• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,285,183 orang
  • Kandungan Blog

Semua ada pasangan di Syurga

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat yang teguh yang sentiasa dinaungi.” (Surah an-Nisa, ayat 57)

Iman kepada hari akhirat bukan hanya jalan memperoleh pahala istimewa, tetapi pendorong kuat kepada amal soleh dan kebaikan di dunia. Kebaikan di dunia bersambung dengan kehidupan yang menemukan seseorang kepada rahmat Allah SWT dan keadilan-Nya di hujung perhentian.

Contohnya, lelaki yang bersama isterinya dengan niat dan tujuan memelihara kehormatan diri serta agama adalah pasangan yang akan diredai Allah SWT seterusnya mendapat pahala kerananya.

Bahkan, makanan yang dimakan untuk tubuhnya atau diberi makan kepada anak dan isteri akan dibalas ganjaran pahala kerana niat kebaikan disertakan dengannya.

Iman dari hati

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada sesuatu yang engkau belanjakan dengan tujuan untuk mendapat keredaan Allah melainkan kamu diberi pahala sehingga kepada apa yang kamu suap di mulut isterimu.” (Riwayat Bukhari) Orang yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui kebenaran rasul-Nya akan masuk ke dalam syurga dengan segala kenikmatan diterimanya sebagai balasan atas usaha mendekatkan diri kepada Tuhan melalui amal soleh dilakukan.

Ini disebabkan jika dengan iman semata-mata, jiwa tidak akan dapat dibersihkan. Oleh itu, iman harus disertai dengan amal soleh yang membuat seseorang sedar keagungan dan kekuasaan-Nya.

Di antara kehendak iman menurut Sayyid Qutb ialah kemunculannya dari dalam hati ke alam nyata melalui amalan soleh. Allah SWT menjelaskan, nikmat bakal diterima mukminin di akhirat nanti antaranya mempunyai isteri yang bersih daripada segala cacat fizikal dan akhlak.

Hidup berpasangan adalah nikmat paling istimewa di dunia. Di dalam syurga nanti, setiap orang mempunyai pasangan masing-masing, tiada penghuni syurga yang berseorangan, sekalipun berseorangan di dunia.

Ahli syurga suci bersih

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadap di atas pelamin masing-masing.” (Surah al-Hijr, ayat 47)

Ibnu Kathir mentafsirkan, ahli syurga telah dicabutkan daripada segala dendam kesumat, buruk hati dan permusuhan antara mereka dengan saudara mereka, masing-masing tinggal dalam singgahsana, bertemu muka dan tiada sebarang curiga terhadap satu sama lain.

Hakikatnya, nikmat kehidupan ini terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan nikmat syurga yang ditawarkan oleh Allah SWT. Sebenarnya, keimanan dan amalan soleh seseorang itulah yang mendekatkan mereka kepada syurga Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: “Di dalam syurga nanti terdapat bilik-bilik apabila berada di bahagian luar akan nampak bahagian dalam dan apabila berada di bahagian dalam akan nampak di bahagian luar. Salah seorang Arab Badwi bertanya: Untuk siapakah bilik-bilik itu? Rasulullah SAW menjawab: Untuk orang yang bercakap baik, memberi makan kepada orang miskin, sentiasa berpuasa dan melakukan solat malam ketika orang lain sedang lena tidur.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Nikmat sempurna

Allah SWT tempatkan mereka pada suatu tempat yang suasananya panas tidak dingin. Gambaran tempat seperti ini adalah untuk menunjukkan nikmat yang sempurna dan kesenangan hidup yang indah serta penuh kemewahan.

Itulah syurga yang dinyatakan dalam hadis Qudsi: “Aku sediakan kepada hamba-Ku yang soleh, nikmat yang tiada mata pernah melihat, tiada telinga pernah mendengar dan tidak pernah terlintas di hati sesiapa.” (Riwayat al-Bukhari)

Musibah, nikmat pengukur nilai keimanan Mukmin

Oleh Nik Hasnah Ismail

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

Ustaz Ahmad Hafiz al-Zaffarani menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm, jam 10.15 pagi, Jumaat lalu memberi pencerahan mengenai dua perkara yang sangat hampir dengan orang Mukmin. Pertama, ujian atau musibah dan kedua adalah nikmat yang diperoleh.

Ujian musibah menyakitkan atau kurniaan nikmat yang membahagiakan, kedua-duanya adalah interaksi Allah SWT terhadap Mukmin untuk melihat sejauh mana keimanan mereka. Bagi sahabat, alim ulama atau salafusoleh, ujian musibah umpama berita gembira yang memberi kelapangan kepada hati.

Mereka melihat ujian musibah daripada pandangan mati hati yang tajam sehingga musibah itu bukan garam yang memedihkan luka, tetapi madu memaniskan masakan. Begitulah tingginya iman alim ulama yang sepatutnya menjadi pedoman kepada seluruh mukmin.

Ujian perngukuh iman

Mereka sepatutnya melihat ujian musibah itu bukan perosak kepada keimanan seseorang tetapi menjadi tali yang mengukuhkan iman dan keyakinan terhadap kebesaran Allah SWT.

Pepatah Melayu juga ada menyebut sesuatu perkara pahit ketika terjadi tetapi manis apabila dikenang. Begitulah perumpamaan bagi sesuatu ujian menimpa seseorang hamba yang perlu mempunyai benteng kesabaran yang tinggi dalam menghadapi setiap ujian Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih, padahal kamulah orang yang tinggi (darjatnya), jika kamu benar-benar orang beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)

Allah SWT memberi peringatan dan bimbingan kepada manusia yang berdepan ujian atau musibah untuk bersabar kerana ujian tidak diberi kepada Mukmin yang lemah sebaliknya Mukmin cekal jiwa, kuat iman dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT.

Justeru, seorang Mukmin yang sering ditimpa ujian adalah Mukmin yang hakikatnya mendapat pandangan di sisi Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sungguh Kami telah menguji orang sebelum mereka, dan Allah pasti mengetahui orang yang benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 3)

Riwayat menjelaskan akhlak Amirul Mukminin Saidina Umar Khattab yang berbicara mengenai kenikmatan ujian musibah. Katanya: “Demi Allah, tidak ada satu bala yang menimpa ke atasku melainkan Allah memberikan empat nikmat kepadaku, iaitu musibah itu tidak dikenakan kepada agamaku melainkan musibah itu untuk diriku. Kedua, tidak ada yang lebih nikmat selain musibah itu datang kepadaku mengikut kemampuanku. Ketiga, aku merasa nikmat kerana musibah itu tidak menghalangku untuk reda kepadanya dan keempat, sesungguhnya aku mengharap pahala dari setiap musibah yang mendatangiku.”

Begitulah seorang Mukmin yang tinggi iman dan ketakwaan terhadap Allah SWT, tidak pernah melihat musibah sebagai perkara yang merosakkan iman atau menjauhi diri daripada terus beriman, melainkan menerima ujian musibah sebagai sebahagian daripada kebaikan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT.

Malah, setiap ujian itu diterima dengan lapang hati bukan dengan rasa keluh kesah atau kekesalan yang mengundang hasutan syaitan ke dalam diri seorang Mukmin.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang Mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang Mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya. Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Jadi Mukmin lebih bersyukur

Begitu juga kurniaan nikmat Allah SWT kepada orang Mukmin adalah satu anugerah yang akan mendekatkan Mukmin kepada Allah SWT melalui perasaan syukur dengan setiap rezeki yang dikurniakan-Nya. Mukmin yang bersyukur akan lebih banyak amal ibadah seperti bersedekah, membantu insan memerlukan, merendah diri dan bersikap zuhud terhadap anugerah kurniaan Allah SWT.

Setiap rezeki nikmat yang Allah SWT kurniakan dikembalikan semula kepada-Nya dengan amalan salih yang akan meningkatkan timbangan amal seorang Mukmin, manakala isi dunia dijadikan sebagai ladang pahala untuk mengutip pelaburannya pada akhirat kelak.

Justeru, bagi orang Mukmin yang beriman, sama ada musibah atau nikmat, kedua-duanya adalah medan untuk menambah amal ibadah kerana tujuan utama hidup ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Pondok Pasir Tumboh mula buka 27 Januari 2021

Pondok Pasir Tumboh mula buka 27 Januari 2021.
Daftar pelajar baru belum dibuka lagi sehingga dimaklumkan tarikhnya nanti

Kaya, miskin bukan pengukur iman

NIKMAT kekayaan sebenarnya adalah ujian sejauh mana kita bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan atau kekayaan itu menjadikan kita lalai. Kemiskinan bukan bermakna kita terlepas daripada ujian Allah SWT kerana ia juga ujian terhadap kesabaran atau menyebabkan kita mengeluh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami uji sebahagian daripada mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang yang kaya itu berkata (kepada orang fakir miskin yang beriman): Inikah orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? (Allah berfirman): Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang yang bersyukur?” (Surah al-Ankabut, ayat 53)

Kekayaan atau kemiskinan bukanlah ukuran keimanan kepada Allah SWT tetapi keimanan diukur melalui sikap terhadap Allah SWT, sama ada bersyukur dengan nikmat dikurniakan dan bersabar dengan ujian kemiskinan dihadapi.

Setiap ujian diberikan pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui. Allah SWT menjadikan adanya golongan kaya dan miskin untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain. Setiap manusia di dunia ini memiliki kelebihan serta kekurangan masing-masing dan tiada manusia yang sempurna di sisi Allah SWT.

Kepada mereka yang memiliki kekayaan, janganlah leka dengan segala nikmat diberikan itu sehingga lupa untuk melakukan amal dengannya. Rebutlah peluang yang Allah SWT kurniakan untuk membantu orang miskin.

Berkongsi kekayaan dengan orang miskin adalah satu cara kita bersyukur dengan nikmat Allah SWT. Ingatlah, janganlah merasa rugi membantu orang miskin, kerana janji Allah SWT itu pasti.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 215)

Amal soleh jadi penentu

Ujian Allah SWT kepada manusia berlaku dalam pelbagai bentuk dan setiap ujian adalah untuk melihat bagaimana seseorang itu menghadapinya. Oleh itu, sebaiknya hadapi ujian dengan berlapang dada serta berusaha mencari jalan mengatasinya.

Mereka yang diuji dengan kemiskinan, janganlah mengeluh kerana itu tandanya Allah SWT ingin melihat sejauh mana kesabaran kita berdepan dugaan. Ingatlah, setiap orang yang berusaha pasti mendapat kejayaan.

Janganlah kita menyalahkan takdir Allah SWT, sebaliknya salahkan diri yang malas berusaha dan hanya suka mengharapkan bantuan orang lain.

Ketahuilah kaya bukan bermaksud mulia dan miskin pula perlu dihina. Keimanan seseorang tidak diukur dari sudut banyak atau sikit harta dimiliki, sebaliknya berdasarkan keimanan serta amal soleh yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Muhasabah diri

Bagaimana kita berdepan ujian membolehkan kita menilai diri seterusnya bermuhasabah supaya langkah yang diambil seterusnya adalah usaha menghadapi keadaan itu sebaiknya atau memperbaiki diri ke arah lebih baik.

Kekayaan dan kemiskinan adalah hak Allah SWT dan sesungguhnya Allah Maha Adil lagi Maha Bijaksana dalam perancangan-Nya kepada umat manusia.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Setiap detik kehidupan tak terlepas kurniaan nikmat

Oleh Mohamad Fadzil Awang

REALITINYA hari ini, ramai yang lalai untuk bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Sedar atau tidak, nikmat itu sangat banyak dan pelbagai bentuk. Setiap detik kehidupan kita tidak terlepas daripada kurniaan nikmat pemberian Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 16)

Syukur adalah ucapan, sikap dan perbuatan untuk berterima kasih kepada Allah SWT terhadap kurniaan yang diberikan-Nya.

Darjat syukur lebih tinggi

Menurut Imam Al-Ghazali, darjat syukur lebih tinggi daripada darjat sabar serta takut kepada Allah SWT. Kesyukuran itu adalah darjat paling mulia dan tertinggi.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) dari apa yang dikurniakan Allah SWT kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah SWT, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an-Nahl, ayat 114)

Mengapa masih ramai antara kita yang sombong untuk bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT?

Pernahkah kita berfikir setiap kekayaan yang dimiliki adalah milik mutlak Allah SWT? Kekayaan itu bersifat sementara dan tidak kekal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedang kamu semua orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal).” (Surah Muhammad, ayat 38)

Nikmat berkekalan, bertambah

Manfaat bersyukur sebenarnya dapat kita rasakan seperti kekalnya nikmat yang dimiliki atau bertambahnya nikmat itu. Melihat kepada kesenangan orang lain tidak sepatutnya menjadikan kita iri hati sebaliknya reda dan syukur dengan pemberian Allah SWT.

Allah SWT berpesan yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah SWT berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah SWT akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa, ayat 32)

Sesiapa yang berusaha lebih, pasti akan mendapat lebih. Mengapa masih ada yang tidak mahu meredai hasil usaha lebih orang lain sedangkan kita masih bersikap malas untuk berusaha? Janji Allah SWT itu pasti. Sesiapa yang berusaha pasti akan mendapat lebih atas usaha sendiri.

Rasulullah SAW bersabda: “Pekerjaan terbaik adalah seseorang yang berusaha dengan tangannya sendiri dan berbuat sehabis baik.” (Riwayat Imam Ahmad)

Bersyukur dengan lima perkara

Seorang Mukmin yang taat dan mengaku beriman kepada Allah SWT seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan. Bersyukurlah dengan lima perkara sebelum terlepas nikmat daripada lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sakit dan hidup sebelum mati.

Bersyukurlah dengan segala yang dikurniakan supaya kita terhindar daripada sifat kufur dan mendapat keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Allah SWT mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, ayat 78)

Wakaf diiktiraf amalan sedekah kelas pertama

Oleh Dr Mohamad Hilmie Mat Daud

AMALAN wakaf ibarat ‘gergasi sedang tidur’ memandangkan potensinya belum diterokai sepenuhnya.

Syariat Islam mengiktiraf wakaf sebagai amalan sedekah kelas pertama yang sangat digalakkan. Ia menjanjikan imbuhan pahala berterusan kepada pewakaf, selagi harta diwakafkan itu kekal dan memberi manfaat.

Melalui wakaf, harta dianggap diserahkan kepada Allah SWT, manakala manfaatnya dinikmati penerima manfaat ditentukan (mawquf ‘alayhi).

Pensyariatan wakaf dinyatakan jelas dalam al-Quran. Allah SWT berfirman: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.” (Surah al-Imran, ayat 92)

Ulama mufassirin seperti Al-Qurtubi, Ibn Kathir dan Ibn ‘Ashur mencatatkan bahawa tatkala sahabat Rasulullah SAW, Abu Talhah RA mendengar ayat ini, beliau tidak menunggu lama dan terus mewakafkan telaga Bi’ru Ha’ yang paling disayanginya.

Dalil pensyariatan wakaf juga disebut dalam beberapa hadis. Antaranya, “Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya”. (HR Imam Muslim)

Al-Rafici dan al-Nawawi mentafsirkan kalimah sadaqah jariah dinyatakan dalam hadis ini sebagai amalan wakaf. Jelas sekali, hanya amalan wakaf memiliki ciri sedekah yang sentiasa mengalir tanpa terhenti di tangan penerima sedekah sahaja.

Amalan wakaf bermula sejak awal tahun Hijrah dengan pembinaan Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi. Dua pembinaan ini amalan wakaf paling awal diperkenalkan Rasulullah SAW. Ia kemudian diwarisi dan diteruskan sahabat.

Selain pewakafan telaga Bi’ru Ha’ oleh Abu Talhah, antara amalan wakaf terkenal adalah pewakafan tanah Umar al-Khattab di Khaybar dan telaga Raumah oleh Uthman RA.

Selaras perkembangan amalan wakaf, manfaat semakin melebar kepada segenap lapisan masyarakat dalam bidang pendidikan, kesihatan dan penyediaan kemudahan awam. Manfaat ini dapat diperhatikan dalam pembinaan jalan raya, terusan air, masjid, tanah kubur, hospital dan sekolah perubatan.

Antara contoh amalan wakaf yang memberi impak hebat adalah pewakafan Imaret, iaitu sebuah pusat penyediaan makanan percuma kepada golongan fakir miskin oleh Hurrem Sultan iaitu isteri kepada Selayman I ketika zaman pemerintahan Uthmaniyyah.

Pelbagai kemudahan awam diwujudkan menggunakan aplikasi wakaf seperti Terusan Wakaf ‘Ayn Zubaydah dari Baghdad ke Makkah yang dibina pada zaman Khalifah Harun al-Rashid, Wakaf Rumah Sakit Istana al-Fatimiy pada zaman pemerintahan al-Ayubiyin di Mesir, Hospital Wakaf Ibn Tulun di Kaherah, Hospital Wakaf Marakish di Afrika Utara serta pembinaan Universiti al-Nizamiyyah di Baghdad dan Universiti al-Azhar di Mesir.

Sarjana Barat seperti Baskan dan Yediyildiz menyifatkan pada zaman kegemilangan wakaf, kehidupan seseorang manusia seolah-olah dibiayai institusi wakaf sejak hari kelahiran hingga kematiannya, bahkan wakaf dianggap instrumen penting menyumbang pembiayaan pembangunan masyarakat Islam.

Pada zaman ini juga, wakaf memberikan impak besar kepada kemajuan wilayah Islam sehingga menjadi lebih maju berbanding negara Barat.

Di Tanah Melayu, amalan wakaf wujud sejak permulaan kedatangan Islam. Ia berlaku secara lisan dan membabitkan pewakafan tanah untuk dijadikan surau, masjid, tanah perkuburan, pondok dan madrasah. Bagaimanapun, tiada satu kepastian mengenai waktu sebenar amalan wakaf bermula di Tanah Melayu.

Antara amalan wakaf yang mula dikesan adalah pembinaan Masjid Kapitan Kling di atas tanah wakaf Cauder Mohudeen pada awal kurun ke-19 di Pulau Pinang dan pembinaan beberapa surau, madrasah serta bangsal wakaf pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad I (1800-1837) di Kelantan.

Dari segi pentadbiran, amalan wakaf di negara ini ditadbir sepenuhnya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang diberikan tanggungjawab sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di setiap negeri.

Antara terawal ditubuhkan adalah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 1915, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada 1925 dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada 1926.

Pada peringkat Pusat, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) ditubuhkan pada 27 Mac 2004 untuk menyelaraskan pembangunan wakaf di Malaysia, selain Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Kedua-duanya berperanan menyelaras dan menyalurkan dana pembangunan wakaf daripada Kerajaan Pusat kepada MAIN.

Di negara kita, amalan wakaf hidup subur dengan pewakafan hartanah untuk pembinaan pelbagai fasiliti keagamaan dan dakwah seperti masjid, surau dan sekolah agama.

Agenda dakwah tanggungjawab wajib digerakkan setiap individu Muslim. Selain memerlukan keilmuan, kesungguhan dan keikhlasan dai, agenda ini perlu disokong kewujudan dana dan sumber kewangan kukuh bagi membolehkan ia berjalan lancar dan dilaksanakan dalam keadaan tersusun dan berkesan.

Ruang wakaf masih terbuka luas bagi menyediakan fasiliti dakwah yang masih tiada atau belum mencukupi seperti rumah perlindungan dan pusat pendidikan untuk mualaf, pusat khidmat jagaan warga miskin dan gelandangan, kompleks penjagaan dan pendidikan agama yang kondusif untuk warga tua serta pusat latihan dan bimbingan untuk remaja dan belia Muslim.

Semua fasiliti ini sangat diperlukan untuk menjamin kelangsungan dan keberkesanan usaha dakwah di negara kita.

Selain mengharapkan peruntukan kerajaan, umat Islam boleh merebut peluang menjana pahala berlipat ganda dengan amalan wakaf bagi mewujudkan fasiliti terbabit.

Untuk itu, umat Islam perlu mendapat kefahaman jelas mengenai amalan wakaf, menghayati dan merancakkan pengamalannya dalam kehidupan.

Untuk merealisasikan perkara ini, pewakaf boleh menyerahkan hartanah miliknya yang bersesuaian untuk diwakafkan kepada pihak MAIN yang berkenaan, seterusnya memohon membangunkannya sebagai fasiliti dakwah.

Bagi yang tidak mempunyai hartanah untuk diwakafkan, MAIN menyediakan solusi dengan menggunakan wang tunai. Dengan nilai had minimum serendah RM1, kita sudah mampu berwakaf dan mengumpulkan saham yang bakal ditebus keuntungannya di akhirat dengan ganjaran berganda dan berterusan.

Contoh terdekat pembangunan fasiliti dakwah menggunakan kutipan dana wakaf tunai adalah pembinaan Pusat Latihan Mualaf di Tumpat, Kelantan yang menjadi pusat perlindungan, penjagaan dan pembangunan muallaf.

Pembangunan fasiliti ini dibuat atas tanah wakaf dengan menggunakan dana wakaf tunai dikumpulkan melalui skim Wakaf MAIK-Muamalat.

Firman Allah SWT: “Bandingan (perbelanjaan derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Hayati matlamat pendidikan anak selaras tuntutan Islam

Oleh Dr Amir Mohd Nason

Kesempatan cuti persekolahan pastinya memberi ruang besar buat ibu bapa menyusun dan mengatur langkah bagi sesi persekolahan baharu.

Pastinya, ibu bapa turut mengambil kesempatan dalam ruang ini menghabiskan masa cuti bersama anak, membina hubungan lebih harmoni, menyuburkan kasih sayang dan tidak kurang juga mengambil peluang mengenali watak anak yang semakin membesar.

Ia turut menyediakan ruang terbaik buat ibu bapa kembali melakukan muhasabah dan memperbetulkan niat serta tujuan sebenar menghantar anak ke sekolah.

Persekolahan dan pendidikan tidak dinafikan sebagai suatu keperluan. Ia ruang disediakan supaya anak yang dihantar ke sekolah mendapat didikan dan pelajaran yang mampu membentuk keperibadian baik serta berakhlak.

Perbahasan berkaitan makna pendidikan sering berkisar mengenai usaha pembaharuan hal ehwal yang berkaitan pelajar, mendidiknya, menyantuninya dan memberikan hak kepada pelajar itu secara berterusan dengan penuh komited.

Istilah pendidikan memiliki erti yang sama halnya dengan perbincangan yang ada dalam al-Quran. Istilah pendidikan dalam al-Quran turut merangkumi maksud ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan pendidikan.

Firman Allah SWT, “Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: “Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku, bukan penyembah Allah”. Akan tetapi (dia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya. (Surah al-Imran, ayat 79).

Menurut al-Baidawi, kalimah al-Rabb berasal pada awalnya dengan erti pendidikan. Hal ini adalah suatu usaha untuk membawa sesuatu ke tahap kesempurnaan secara berperingkat.

Al-Ragheb al-Isfahani pula berkata, pendidikan Islam juga ditakrifkan sebagai mengikuti manhaj Islam dalam didikan terhadap individu Muslim melalui kaedah secara bertahap.

Dengan cara ini yang merangkumi semua aspeknya, pasti mampu mencapai kebahagiaan bagi seseorang itu di dunia dan akhirat.

Pendidikan Islam mempunyai satu set tujuan dan matlamat yang harus dicapai. Tujuan ini dijelaskan sebagai berikut:

Pertama, membentuk rasa kehambaan kepada Allah SWT. Rasa perhambaan kepada Allah Yang Maha Esa adalah matlamat umum tertinggi yang ingin dicapai oleh pendidikan Islam.

Menyembah Allah Yang Maha Esa dan menunaikan kewajipan kekhilafan di bumi adalah tujuan utama manusia itu diciptakan. Perkara ini tidak akan mampu dicapai melainkan dengan pendidikan.

Kedua, membina asas akidah yang mantap. Hal ini bertujuan mewujudkan individu yang soleh yang menyembah Allah Yang Maha Tinggi berdasarkan petunjuk dan matlamat atas asas kesedaran sendiri.

Ketiga, mencirikan individu Muslim dengan akhlak yang baik. Anak perlu dididik supaya berakhlak seperti akhlaknya Nabi Muhammad SAW yang memiliki ketinggian dan keindahan sebagaimana digambarkan Allah SWT dalam firman-Nya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia (Surah al-Qalam, ayat 4).

Keempat, meningkatkan kepedulian dan rasa kebersamaan dalam komuniti Islam. Pendidikan seharusnya meningkatkan rasa kebersamaan terhadap sesama umat Islam dengan memperhatikan pelbagai masalah dan keperluan mereka. Hal ini dapat dilakukan dengan mengikat persaudaraan dalam kalangan masyarakat Islam yang menyumbang kepada kebangkitan Islam berteraskan syariat Allah SWT.

Kelima, menggapai kebahagiaan insan di dunia dan akhirat. Pendidikan berperanan membentuk cara fikir supaya bersederhana dalam membina kehidupan dunia antara keperluan material dengan sisi kerohanian manusia tanpa membataskan atau mengurangkannya antara satu dengan yang lain.

Kesederhanaan ini akan melahirkan insan yang bijak dalam membentuk kehidupan seimbang antara keperluan duniawi dan kepentingan ukhrawi.

Firman Allah SWT, “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka” (Surah al-Baqarah, ayat 201).

Keenam, mempersiapkan umat untuk menyebar mesej Islam. Ini dilakukan dengan membina generasi yang mampu menyebarkan mesej Islam ke seluruh alam, menegakkan kebenaran dan keadilan dalam kalangan manusia serta mengangkat kalimah Allah SWT ke serata dunia.

Ketujuh, menanamkan nilai keimanan dalam jiwa. Pendidikan Islam juga bermatlamat untuk membangunkan manusia dan nilai kemanusiaan berdasarkan kesatuan serta kesamarataan sesama insan.

Hal ini boleh dilakukan dengan menanam nilai keikhlasan dan membangkitkan niat baik dalam jiwa manusia, mendorong kesabaran, kejujuran, keyakinan serta rasa kepatuhan kepada Allah SWT.

Penetapan tujuan dan matlamat pendidikan terhadap anak adalah suatu hal yang cukup penting serta perlu diberi perhatian sewajarnya.

Ibu bapa bertanggungjawab menentukan hala tuju pendidikan dan kehidupan anak dengan memberi kefahaman supaya mereka dapat membina keseimbangan antara tuntutan kehidupan dunia yang sementara dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya.

Membentuk asas fikir seperti ini akan menjadikan generasi yang bakal lahir untuk bangkit memimpin tamadun ‘khayra ummah’ sebagai satu generasi yang mampu menyantuni keperluan masyarakat dengan seimbang, mengajak yang kaya untuk membantu yang miskin dan fakir, yang berkuasa untuk menyantuni rakyat dengan penuh keadilan, mengambil peduli segala keperluan masyarakat tanpa mengabaikan kepentingan pengabdian diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Surah al-Imran, ayat 18).

Sumbangan bantuan banjir kepada Pondok Pahang dan Johor

KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMATPertubuhan Muafakat Pondok Semalaysia (PMPS) dengan ini melancarkan …*MISI BANTUAN KILAT* untuk sahabat² Pondok kita yang diuji musibah banjir di Pahang dan Johor.*SASARAN TARGET KUTIPAN : *RM 10,000*Tarikh Lancar : 09/01/2021(Sabtu)Tarikh Tutup : …………………………. (sebaik sahaja capai sasaran target)*Hari ini hari dia sahabat kita yang perlukan sokongan bantuan. Siapa tahu suatu hari nanti, dikalangan kita pula yang diuji dan perlukan sokongan yang sama!!!*========= *Bank Islam**12225010027810**PERTUBUHAN MUAFAKAT PONDOK SEMALAYSIA*Sila TANDAKAN ✅ kepada mereka yg memasukkan Sumbangan dan Hantarkan Salinan resip @ slip Bank kepada Ust Mohd Yusof Ahmad no hp 0105267545Terima Kasih.Mohd Yusof Hj AhmadSetiausaha PMPS

Syukur benteng tunduk syaitan

Oleh Norhayati Paradi

IBLIS berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus; kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. (Surah Al-A’raaf, ayat 16 &17).

Telah termaktub janji sumpah syaitan terhadap bani Adam di dalam al-Quran untuk memesong manusia selagi tidak tiba Hari Pembalasan.

Ustazah Norhafizah Musa menerusi slot Tarbiyah di IKIMfm yang bersiaran pada jam 10.15 pagi, Jumaat lalu memberi penyelesaian untuk menewaskan musuh paling utama dengan menjadi manusia bersyukur. Bersyukur kepada nikmat yang jelas terlihat di mata, malah pada nikmat tersirat yang tersembunyi.

Mereka ini sentiasa sedar hidupnya diliputi nikmat akan dapat melihat kehebatan si Pemberi Nikmat. Sungguh, iblis lumpuh pada mereka yang bersyukur.DISYORKAN UNTUK ANDA

Justeru, jika matlamat utama syaitan melalaikan manusia daripada sifat syukur, maka jadikanlah matlamat utama manusia untuk minta kepada Allah agar dibuka pintu pandangan hikmah melihat segala sesuatu sebagai perkara yang mampu di syukuri.

Allah Maha Penyayang, telah meletakkan manusia di dalam lautan nikmat dan kebaikan yang sangat banyak. Allah berfirman mafhumnya: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya”. (Surah al-Baqarah, ayat 269).

Hikmah, adalah antara nikmat yang sering dilupakan kerana terkadang hadirnya tidak terasa, asbab tidak terlihat oleh pancaindera.

Manusia berjaya bukan dibanding dengan kejayaan

Kemampuan seseorang dalam mencari nilai kepada sesuatu perkara dan ketetapan dalam hidupnya adalah ilmu pemberian-Nya. Manusia yang dikurnia pandangan hati yang tajam dalam menilai sesuatu, hakikatnya menerima kebaikan yang sangat banyak daripada Allah SWT.

Setiap takdir yang berlaku dalam kehidupan adalah daripada Allah SWT yang semestinya sarat dengan kebaikan. Manusia yang berjaya, bukan dibanding dengan kejayaan demi kejayaan yang ditempa, tetapi makna kejayaan sebenar tatkala bijak mencungkil hikmah pada setiap takdir yang ditetapkan oleh-Nya.

Siapa manusia untuk menyangkal setiap yang berlaku? Jika seseorang itu berilmu dan tahu pasti akan dapat melihat di sebalik setiap perkara bukan sekadar pada zahirnya semata.

Tetapi semua itu juga datang daripada takdir dan keizinan Allah SWT. Setiap takdir yang wujud memudahkan jalan lain selepasnya. Walaupun nampak kusut dan menyesakkan pada peringkat awal, yakin dan percayalah itu cara Allah ingin menunjukkan pintu alternatif lain yang sedang terbuka untuk diri dan hidupnya.

Menjadikannya manusia yang lebih bijaksana, lebih berlapang dada dan lebih pintar membolos diri mencari penyelesaian dalam kemelut ujian yang dihamparkan dalam hidupnya.

Allah memberi bukan kepada perkara yang manusia mahu, tetapi Dia memberi pada perkara yang manusia perlu. Sungguh Allah itu Maha Mengetahui serta tidak pernah menjadikan sesuatu dengan sia-sia.

Sebagai hamba tadbirlah takdir semoleknya. Pandang setiap perkara pada letak duduk hikmah dan kebaikan yang terselit sebelum melumpuhkan diri dengan sifat putus asa.

Untaian hikmah Ibnu ‘Atho’illah as-Syakandary mengungkapkan “tiada suatu nafas terlepas daripadamu, melainkan di situ pula ada takdir Allah yang berlaku atas dirimu.”

Disebabkan tiap nafas hidup manusia pasti terjadi suatu sama ada taat atau maksiat, nikmat atau musibah (ujian). Justeru, barang siapa yang tidak boleh kembali dan benar-benar sujud menghambakan diri kepada Allah dengan sebanyak-banyak kebaikan yang telah dikurniakan Allah kepadanya.

Ujian tanda kasih sayang Allah

Maka atas nama kasih sayang, Allah berikan kepadanya ujian demi ujian sehingga manusia itu kembali kepada Allah dalam keadaan senang hati dan rela atau dipaksa oleh-Nya.

Lumrah sebahagian manusia, semakin ditabur banyak nikmat, maka semakin luput sifat taat. Justeru, atas nama kasih sayang Allah padanya dianugerahkan ujian demi ujian bagi membawa dan mengheretnya kembali kepada Pemberi Nikmat walau dengan rela mahupun terpaksa.

Allah SWT berfirman mafhumnya: “Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun)”. (Surah al-Israa’, ayat 20).

Rebutlah peluang atas segala yang Allah SWT telah sediakan kerana dalam setiap baik dan buruk pemberian tersirat hikmah yang menenangkan bisa mendorong untuk kembali kepada fitrah kejadian serta kembali dalam dakapan kasih sayang Maha Pemberi segala kejadian.

Orang abai doa dianggap sombong

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah, ayat 129)

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengajar manusia, anak cucu serta keturunannya supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Sebenarnya, doa adalah senjata paling ampuh yang dimiliki Nabi dan pengikut setia perjuangan kebenaran serta umat Islam keseluruhannya.

Kepentingan doa dalam kehidupan

Adalah menyedihkan jika umat Islam tidak menyedari kepentingan berdoa dan mengabaikannya dalam kehidupan. Doa adalah ibadah yang membawa maksud memohon kepada Allah SWT supaya hajat kita diperkenankan, segala kesulitan dan malapetaka dijauhkan.

Setiap daripada kita perlu segera mendapatkan doa yang dibacakan Nabi SAW dan mengamalkannya dengan penuh keyakinan sama ada doa ketika damai, perang, miskin, kaya, gembira, sedih, senang atau susah.

Antara doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ialah Allah SWT tidak meninggalkan zuriat keturunan mereka tanpa hidayah dan petunjuk-Nya. Mereka memohon kepada Allah SWT supaya dibangkitkan Rasul bagi memenuhi tiga misi utama.

Misi itu ialah tilawah iaitu membaca ayat Allah SWT kepada manusia supaya mereka sedar dan berfikir dengan baik mengikut pedoman Allah SWT. Taklim iaitu untuk mengajar al-kitab dan al-hikmah dan yang ketiga, tazkiyyah iaitu menyucikan dan membersihkan zahir serta batin manusia.

Al-Raghib Al-Isfahani menjelaskan, tilawah atau bacaan itu khusus dalam mengikuti kitab-kitab Allah SWT dengan mengikuti bacaannya, memperhatikan isinya, mengikuti perintah, larangan, galakan, ancaman atau sesuatu yang dibayangkannya.

Rasulullah SAW membacakan ayat al-Quran kepada sahabat dengan mengkaji, menggali dan mengungkap makna terkandung di dalamnya, sementara sahabat mengikuti bacaan Rasulullah SAW, memperhatikan erti dan makna yang ada di dalamnya.

Proses beri pengetahuan

Proses taklim atau mengajar adalah proses pemberian pengetahuan, pemahaman, pengertian, sehingga diri manusia itu menjadi suci atau bersih daripada segala kotoran dan bersedia menerima hikmah serta mampu mempelajari perkara yang bermanfaat bagi dirinya.

Perkataan al-hikmah dalam al-Quran sering digandingkan dengan perkataan al-Kitab. Menurut Sheikh Mustafa Al-Maraghi, maksud al-hikmah ialah pengetahuan mengenai rahsia dan tujuan syariah.

Menurut Qatadah, al-hikmah ialah as-sunah iatu penjelasan ditunjukkan Rasulullah SAW melalui sabda dan amalannya. Pendapat Ibnu Zaid Al-Himah, al-hikmah ialah pemahaman yang bijaksana terhadap agama dan Ibnu Jarir al-Tabari berkata, al-hikmah ialah pengetahuan mengenai hukum Allah SWT yang diketahui melalui penerangan Rasulullah SAW.

Analisis mengenai perkataan al-hikmah menunjukkan semua erti itu mempunyai tujuan sama iaitu Rasulullah SAW telah dikurniakan al-Quran serentak dengan ilmu pengetahuan menjelas dan mentafsirkannya dengan tepat serta bijaksana maksud ayat terkandung dalam al-Quran.

Perkataan tazkiyah bermaksud pembersihan, penyucian atau pemurnian. Perkataan membersihkan diambil daripada perkataan az-zakkah yang membawa dua erti iaitu bersih dan subur. Dalam ayat itu ia membawa erti membersihkan daripada kotoran syirik dan penyakit hati serta menyuburkan iman dan takwa.

Allah SWT memperkenankan doa Nabi Ibrahim dan Ismail dengan membangkitkan Nabi Muhammad SAW setelah berlalu beberapa abad. Itulah kebangkitan Rasul daripada zuriat Ibrahim dan Ismail yang membaca kepada mereka ayat Allah SWT, mengajar kitab suci, hikmah dan membersihkan daripada kotoran dosa.

Sabda Rasulullah SAW: “Aku adalah hasil doa nenek moyangku Ibrahim dan khabar gembira yang diberitakan oleh Nabi Isa.” (Riwayat Imam Ahmad)

Doa dimakbulkan Allah SWT, tetapi disempurnakan pada masa yang wajar ditentukan mengikut hikmah kebijaksanaan-Nya tetapi manusia selalu gopoh dan minta disegerakan perkenan-Nya. Orang yang belum mempunyai hubungan rapat dengan Allah SWT selalu dilanda perasaan jemu dan putus asa.

Allah SWT murka kepada sesiapa yang tidak berdoa atau memohon sesuatu kepada-Nya kerana orang yang meninggalkan doa itu dikatakan sebagai sombong serta takbur. Allah SWT menyukai orang yang memohon kurniaan-Nya.

Nabi Ibrahim mengakhiri doanya dengan pujian kepada Allah SWT. Sebenarnya Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Ibrahim dengan membentuk umat yang terbaik daripada mereka sehingga mereka dapat menguasai dan memimpin dunia dalam waktu yang agak lama.