Diplomasi, rundingan penting dalam siasah pentadbiran

Oleh Prof Madya Dr Ishak Suliaman

SUNNAH Nabi Muhammad SAW dalam politik amat perlu diketahui dan diamalkan sebagai ikutan terbaik khususnya ahli politik Islam di negara ini.

Hal ini terutama sunnah Nabi SAW dalam perundingan dan diplomasi atau seni komunikasi tanpa konflik dalam siasah atau politik negara.

Ternyata 2020 dan permulaan tahun ini, ramai ahli siasah atau politik beragama Islam khususnya kurang menghayati rundingan dan diplomasi dalam berpolitik.

Aksi sebahagian Ahli Parlimen dan ahli politik dilihat begitu naif bagi mengamalkan rundingan serta diplomasi dalam siasah atau budaya politik yang bertamadun.

Rakyat dipertontonkan dengan telatah dan budaya politik perseteruan, pengkhianatan, ugutan dan untuk jawatan. Politik viral dan populis mewarnai budaya politik Malaysia.

Sebenarnya, majoriti rakyat yang bukan ahli parti sudah mula jelek, mual dan benci kepada budaya hodoh sebegini.

Lihat saja tulisan netizen di media sosial. Majoriti netizen mengekspresikan kekesalan dan kemarahan terhadap ahli politik yang dipilih dalam pilihan raya lalu.

Justeru, pandemik politik hodoh dan ahli politik naif ini khususnya beragama Islam perlu kembali kepada petunjuk siasah sunnah Nabi SAW.

Nabi Muhammad SAW memperkenalkan siasah rundingan dan diplomasi bermula di Makkah serta diperkasakan di Madinah.

Semasa di Makkah, sebagai kelompok beriman kepada Allah SWT yang asalnya jumlah minoriti, Nabi Muhammad SAW berjaya mengelakkan pertelagahan fizikal berdarah dan kehilangan nyawa sebelum berhijrah ke Madinah.

Walaupun terdapat kes penyeksaan golongan Islam di Makkah seperti Bilal Rabah RA dan keluarga Yasser RA, Nabi Muhammad SAW berjaya mendidik sahabat dengan kesabaran, kebijaksanaan dan pengorbanan demi memelihara iman dan masa depan Islam di bumi Makkah.

Ini prinsip rundingan sunnah Nabi SAW dalam konteks di Makkah. Prinsip rundingan ini digunakan sebagai pendekatan diplomasi kepada golongan bangsawan Mekah (al-Mala’) yang berpengaruh dari aspek siasah atau politik di Makkah ketika itu.

Sayidina Umar al-Khattab RA, Uthman al-‘Affan RA dan Abdul Rahman al-‘Auf RA antara golongan al-Mala’ yang memeluk Islam di Makkah dengan berani mengisytiharkan keislaman mereka.

Nabi Muhammad SAW dan sahabat di Makkah terus mengamalkan prinsip rundingan dan diplomasi sebagai pendekatan dakwah Islam terhadap penguasa serta bangsawan Quraish Makkah.

Akhirnya, penganut Islam semakin bertambah di Makkah meliputi semua kabilah, jantina dan golongan penduduk termasuk hamba abdi.

Kemuncak rundingan dan diplomasi Nabi Muhammad SAW dan sahabat di Makkah ialah misi hijrah ke Madinah.

Ketika pengaruh Islam sedang berkembang dan tekanan kezaliman semakin kuat, Nabi Muhammad SAW dan sahabat diperintahkan berhijrah ke Madinah kerana Allah SWT serta Rasulullah SAW.

Hasil tindakan berstrategi, pendekatan rundingan dengan beberapa pihak, misi hijrah berjaya dilaksanakan dalam konteks diplomasi secara aman tanpa pertumpahan darah serta kehilangan nyawa.

Ini bukti kehebatan sunnah Nabi SAW dalam siasah rundingan dan diplomasi dalam misi Hijrah yang menjadikan Madinah sebagai negara Islam berdaulat.

Sunnah Nabi SAW dalam rundingan dan diplomasi diperkasakan lagi di negara Islam pertama Madinah. Rundingan dan diplomasi siasah dengan non-Muslim Yahudi membawa kepada kedaulatan piagam negara Islam Madinah.

Golongan Muhajirin Makkah dipertautkan melalui konsep ikatan persaudaraan Islam dengan golongan Ansar, Muslim Madinah. Rundingan dan diplomasi sesama Muslim membentuk penyatuan ummah di Madinah.

Rundingan dan diplomasi dengan rakyat minoriti Yahudi Madinah membentuk kesatuan penduduk majmuk Madinah berpegang kepada perlembagaan atau piagam Madinah.

Walaupun beberapa siri peperangan kalah dan menang ditempuhi ketika Nabi Muhammad SAW memimpin, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan Madinah tetap terpelihara.

Antara kemuncak rundingan dan diplomasi Nabi Muhammad SAW di Madinah ialah kejayaan memeterai perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam Hijrah dengan ahli siasah Makkah.

Perjanjian yang pada awalnya kelihatan menang di pihak Makkah, hakikatnya umat Islam dari Madinah bukan sahaja dapat memasuki kota suci itu secara aman bagi menunaikan ibadah haji setelah setahun menunggu, malah akhirnya Makkah dan penduduk serta ahli siasahnya menerima Islam sebagai agama kehidupan.

Dua tanah haram dengan Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid al-Nabawi di Madinah menjadi ikonik Muslim sedunia hasil sunnah Nabi SAW dalam rundingan dan diplomasi khususnya dalam siasah atau politik bernegara.

Kesimpulannya, ahli politik Muslim di negara ini khususnya dituntut menjadikan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam rundingan dan diplomasi bagi melaksanakan amanah politik dan pentadbiran negara.

Ahli politik ketika ini hendaklah meninggalkan legasi terbaik untuk dijadikan ikutan, panduan dan teladan. Kegagalan ahli politik untuk berunding dan berdiplomasi akan mengundang kegagalan dan kehinaan bukan sahaja kepada mereka sebagai ahli politik, malahan kepada negara dan rakyat keseluruhannya