Pemimpin terbaik bermula sebagai pengikut baik

Oleh Nor Azam Abdullah 

PERBINCANGAN seni ‘kepengikutan’ jarang dibincangkan, tidak seperti seni kepemimpinan sedangkan pengikut lebih ramai daripada pemimpin. Pemimpin pasti akan menghadapi saat getir jika pengikut tidak mentaatinya seperti Nabi Musa AS bersama umatnya, Bani Israel.

Rasulullah SAW sebagai pemimpin terbaik, berjaya melahirkan Sahabat RA yang menjadi pengikut terbaik juga seperti ditegaskan dalam hadis bahawa sebaik-baik abad adalah abad Baginda sendiri, kemudian selepasnya. Allah SWT juga memuji Muhajirin dan Ansar dalam ayat ke-100 surah al-Taubah.

Membicarakan pengikut terbaik, kita tidak dapat lari daripada Sayidina Abu Bakar al-Siddiq RA atau nama sebenarnya, Abdullah Ibnu Abi Quhafah.

Apabila Nabi SAW menerima perintah kerasulan, Abu Bakar menjadi orang pertama dalam kalangan lelaki dewasa mula-mula masuk Islam. Baginda mengakui sebaik sahaja mengajak Abu Bakar, beliau terus menerima dakwah itu tanpa teragak-agak seperti dalam Sirah Ibnu Hisham.DISYORKAN UNTUK ANDA

Apabila Nabi SAW disakiti secara fizikal pada tahun awal kerasulan, Abu Bakar berani menghalang pembesar Quraisy seperti Abdullah Ibnu Abi Muaith dan pengikutnya.

Abu Bakar akan menjauhkan mereka daripada Nabi SAW sambil menjerit: “Apakah kamu mahu membunuh seseorang hanya kerana dia mengaku bertuhankan Allah?” Akibatnya, beliau pula menjadi sasaran Musyrikin yang memukulnya hingga pengsan dan terpaksa dipapah pulang.

Peristiwa Isra Mikraj memahat gelaran al-Siddiq bermaksud orang yang membenarkan. Gelaran itu bukan diberikan manusia, sebaliknya Allah SWT menganugerahkannya seperti dalam ayat ke-33 surah Az-Zumar.

Ketika Hijrah, Nabi SAW memilih Abu Bakar sebagai peneman Baginda. Ketika hampir semua orang Islam sudah berhijrah ke Yathrib, Abu Bakar sabar menunggu hingga menerima pelawaan Nabi SAW berhijrah bersama-sama.

Sayidatina Aisyah RA meriwayatkan beliau tidak pernah melihat seorang lelaki menangis kegembiraan seperti ayahnya menangis teresak-esak bersyukur kerana dipilih Rasulullah SAW sebagai satu-satunya teman Baginda ketika Hijrah yang penuh bahaya dan jarak mencecah 500 kilometer.

Saat gering yang membawa kepada kewafatan, Rasulullah SAW mengarahkan Abu Bakar menjadi imam menggantikan Baginda dalam solat jemaah di Masjid Nabawi.

Abu Bakar hanya sempat memerintah dua tahun setengah. Walaupun singkat, beliau berjaya memperkukuhkan dasar pemerintahan Islam di Madinah dan meneruskan polisi Nabi SAW, menggerakkan tentera Usamah RA ke medan peperangan, memusnahkan nabi palsu, Musailamah Al-Kazzab dan pengikutnya serta memerangi golongan yang enggan membayar zakat.

Ini membuktikan menjadi pengikut baik ialah prasyarat utama untuk menjadi pemimpin baik masa hadapan. Justeru, apakah ciri-ciri ‘kepengikutan’ yang boleh dipelajari daripada Abu Bakar?

Pertama, kepercayaan. Abu Bakar sentiasa yakin dan percaya kepada Rasulullah SAW hingga ketika ramai menuduh Nabi SAW tidak siuman kerana mengkhabarkan perjalanan Isra Mikraj.

Perjalanan pergi dan pulang biasanya berpuluh-puluh hari dari Makkah ke Baitulmaqdis itu, ditempuh Nabi Muhammad SAW dalam masa semalam sahaja. Peluang itu diambil Abu Jahal untuk menggugat kepercayaan dan kesetiaan Abu Bakar terhadap Nabi Muhammad SAW. Namun, Abu Jahal gagal kerana jawapan Abu Bakar jelas beliau mempercayai Baginda tanpa berbelah bahagi.

Kepercayaan ialah kunci ketaatan pengikut kepada ketuanya. Sekiranya pengikut tidak percaya pada tindakan, kebolehan, ilmu, matlamat, wawasan mahupun keperibadian pemimpin, sudah tentulah dia tidak mentaatinya.

Bagi menjadi pengikut baik, kita perlu memahami misi, visi, wawasan dan tindakan ketua. Daripada kefahaman mendalam itu, akan timbul kepercayaan yang menatijahkan ketaatan dan kasih sayang.

Kedua, melindungi. Abu Bakar melindungi Baginda Nabi SAW dengan jiwa dan raga. Ketika Hijrah, Abu Bakar masuk ke dalam gua Thur dahulu untuk memastikan selamat daripada bahaya termasuk haiwan berbisa.

Abu Bakar berusaha menutup lubang di dinding dan lantai gua, namun beliau sendiri dipatuk binatang berbisa. Kesakitan itu tidak dapat ditahan hingga menitiskan air mata, namun beliau tidak mengejutkan Rasulullah SAW yang tidur akibat keletihan.

Apabila Rasulullah SAW menyedari apa yang berlaku, Baginda mengusap tempat patukan itu yang dengan izin Allah SWT, bisa sengatan itu hilang serta-merta.

Pengikut mesti melindungi pemimpinnya. Bukan sahaja tubuh badan, malah juga idea, wawasan dan tindakan ketua perlu dilindungi daripada serangan musuh, sekali gus perlu mendalami fikiran serta menghayati tindakan pemimpinnya.

Ketiga, mencontohi. Pengikut akan mencontohi cara berfikir dan bertindak pemimpinnya. Ini hasil kepercayaan tidak berbelah bagi terhadap ketuanya, selain kasih sayang dan ketaatan.

Menurut sejarawan Islam, sikap, tindakan, tutur kata dan akhlak Abu Bakar saling tak tumpah Rasulullah SAW. Seperti Baginda juga, apabila terdapat dua pilihan, Abu Bakar akan memilih yang lebih lunak dan mudah kepada rakyatnya.

Malah, ikutan itu melangkaui hingga ke peringkat peribadi sendiri. Ketika sakit, Abu Bakar bertanya kepada Aisyah mengenai jumlah kain kafan Baginda, beliau mahu dikafankan dengan bilangan sama selepas meninggal dunia.

Abu Bakar juga berdoa agar dipanggil menemui Allah SWT pada hari sama dengan kewafatan Rasulullah SAW. Allah SWT memakbulkan doa hingga beliau kembali ke rahmatullah pada Isnin, dua tahun setengah selepas kewafatan Baginda dan pada usia sama, iaitu 63 tahun.

Menjadi hebat seperti itu, pengikut hendaklah sentiasa mendampingi pemimpinnya hingga dapat meneladani akhlak dan tingkah laku, memahami corak pemikiran dan mengartikulasi kata-kata sama.

Mungkin ada mempersoalkan jika begitu, tidak akan berlaku penambahbaikan kepada kepemimpinan dahulu kerana yang kemudian akan mengikut pemimpin terdahulu 100 peratus.

Jawapannya tidak. Terdapat dua sebab utama pengikut perlu mencontohi sikap, tutur kata dan tindakan pemimpin. Sebab pertama, kesatupaduan sebagai tunjang kekuatan kumpulan, baik negara, komuniti, jabatan mahupun syarikat.

Sebab kedua, supaya pengikut belajar sebanyak mungkin dalam tempoh mendampingi pemimpinnya. Kelak, apabila menerajui, dia akan mengekalkan segala yang baik, seterusnya menambah baik sesuatu dilihatnya kurang berkesan.

Ciri keempat ialah memahami. Nabi SAW pernah berjalan bersama-sama Abu Bakar hingga terlihat kejadian amat menyedihkan hati. Bilal Rabah RA sedang diseksa pemiliknya, Umayyah Khalaf. Dalam kesedihan, Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya Bilal sedang diseksa kerana mempertahankan agama Allah SWT.”

Abu Bakar memahami apa sebenarnya dimaksudkan Nabi SAW, lalu pulang ke rumah dan mengumpulkan dinar dan dirham yang ada serta menemui Umayyah untuk membeli Bilal, sebelum memerdekakannya.

Jika direkfleksi kepada bangsa Melayu, kemahiran mengetahui kehendak sebenar ketua amat diperlukan kerana bangsa kita penuh adab sopan hingga lebih selesa bercakap berlapik.

Kelima, proaktif kerana hasil keupayaan memahami kehendak ketuanya. Beberapa bulan sebelum Hijrah, Abu Bakar memohon keizinan Rasulullah SAW untuk berhijrah bersama keluarganya. Baginda meminta beliau menangguhkan niat hingga Nabi SAW sendiri diizinkan Allah SWT untuk berbuat demikian.

Sebaik saja pulang, Abu Bakar terus memilih dua unta tunggangan sihat dan diberi makan secukupnya, selain mempersiapkan bekalan serta mengatur strategi perjalanan.

Abu Bakar mengambil langkah proaktif kerana Nabi SAW mungkin akan menerima perintah Hijrah bila-bila masa. Apabila saat penting tiba, semuanya sudah tersedia untuk memulakan perjalanan.

Justeru, pengikut perlu mempunyai kelima-lima ciri itu untuk menjadikannya anak buah baik kepada ketua. Perlu diingatkan pemimpin yang baik bermula sebagai pengikut baik terlebih dahulu.