• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,160,616 orang
  • Tetamu Online

Wakaf diiktiraf amalan sedekah kelas pertama

Oleh Dr Mohamad Hilmie Mat Daud

AMALAN wakaf ibarat ‘gergasi sedang tidur’ memandangkan potensinya belum diterokai sepenuhnya.

Syariat Islam mengiktiraf wakaf sebagai amalan sedekah kelas pertama yang sangat digalakkan. Ia menjanjikan imbuhan pahala berterusan kepada pewakaf, selagi harta diwakafkan itu kekal dan memberi manfaat.

Melalui wakaf, harta dianggap diserahkan kepada Allah SWT, manakala manfaatnya dinikmati penerima manfaat ditentukan (mawquf ‘alayhi).

Pensyariatan wakaf dinyatakan jelas dalam al-Quran. Allah SWT berfirman: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.” (Surah al-Imran, ayat 92)

Ulama mufassirin seperti Al-Qurtubi, Ibn Kathir dan Ibn ‘Ashur mencatatkan bahawa tatkala sahabat Rasulullah SAW, Abu Talhah RA mendengar ayat ini, beliau tidak menunggu lama dan terus mewakafkan telaga Bi’ru Ha’ yang paling disayanginya.

Dalil pensyariatan wakaf juga disebut dalam beberapa hadis. Antaranya, “Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya”. (HR Imam Muslim)

Al-Rafici dan al-Nawawi mentafsirkan kalimah sadaqah jariah dinyatakan dalam hadis ini sebagai amalan wakaf. Jelas sekali, hanya amalan wakaf memiliki ciri sedekah yang sentiasa mengalir tanpa terhenti di tangan penerima sedekah sahaja.

Amalan wakaf bermula sejak awal tahun Hijrah dengan pembinaan Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi. Dua pembinaan ini amalan wakaf paling awal diperkenalkan Rasulullah SAW. Ia kemudian diwarisi dan diteruskan sahabat.

Selain pewakafan telaga Bi’ru Ha’ oleh Abu Talhah, antara amalan wakaf terkenal adalah pewakafan tanah Umar al-Khattab di Khaybar dan telaga Raumah oleh Uthman RA.

Selaras perkembangan amalan wakaf, manfaat semakin melebar kepada segenap lapisan masyarakat dalam bidang pendidikan, kesihatan dan penyediaan kemudahan awam. Manfaat ini dapat diperhatikan dalam pembinaan jalan raya, terusan air, masjid, tanah kubur, hospital dan sekolah perubatan.

Antara contoh amalan wakaf yang memberi impak hebat adalah pewakafan Imaret, iaitu sebuah pusat penyediaan makanan percuma kepada golongan fakir miskin oleh Hurrem Sultan iaitu isteri kepada Selayman I ketika zaman pemerintahan Uthmaniyyah.

Pelbagai kemudahan awam diwujudkan menggunakan aplikasi wakaf seperti Terusan Wakaf ‘Ayn Zubaydah dari Baghdad ke Makkah yang dibina pada zaman Khalifah Harun al-Rashid, Wakaf Rumah Sakit Istana al-Fatimiy pada zaman pemerintahan al-Ayubiyin di Mesir, Hospital Wakaf Ibn Tulun di Kaherah, Hospital Wakaf Marakish di Afrika Utara serta pembinaan Universiti al-Nizamiyyah di Baghdad dan Universiti al-Azhar di Mesir.

Sarjana Barat seperti Baskan dan Yediyildiz menyifatkan pada zaman kegemilangan wakaf, kehidupan seseorang manusia seolah-olah dibiayai institusi wakaf sejak hari kelahiran hingga kematiannya, bahkan wakaf dianggap instrumen penting menyumbang pembiayaan pembangunan masyarakat Islam.

Pada zaman ini juga, wakaf memberikan impak besar kepada kemajuan wilayah Islam sehingga menjadi lebih maju berbanding negara Barat.

Di Tanah Melayu, amalan wakaf wujud sejak permulaan kedatangan Islam. Ia berlaku secara lisan dan membabitkan pewakafan tanah untuk dijadikan surau, masjid, tanah perkuburan, pondok dan madrasah. Bagaimanapun, tiada satu kepastian mengenai waktu sebenar amalan wakaf bermula di Tanah Melayu.

Antara amalan wakaf yang mula dikesan adalah pembinaan Masjid Kapitan Kling di atas tanah wakaf Cauder Mohudeen pada awal kurun ke-19 di Pulau Pinang dan pembinaan beberapa surau, madrasah serta bangsal wakaf pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad I (1800-1837) di Kelantan.

Dari segi pentadbiran, amalan wakaf di negara ini ditadbir sepenuhnya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang diberikan tanggungjawab sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf di setiap negeri.

Antara terawal ditubuhkan adalah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 1915, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada 1925 dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pada 1926.

Pada peringkat Pusat, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) ditubuhkan pada 27 Mac 2004 untuk menyelaraskan pembangunan wakaf di Malaysia, selain Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Kedua-duanya berperanan menyelaras dan menyalurkan dana pembangunan wakaf daripada Kerajaan Pusat kepada MAIN.

Di negara kita, amalan wakaf hidup subur dengan pewakafan hartanah untuk pembinaan pelbagai fasiliti keagamaan dan dakwah seperti masjid, surau dan sekolah agama.

Agenda dakwah tanggungjawab wajib digerakkan setiap individu Muslim. Selain memerlukan keilmuan, kesungguhan dan keikhlasan dai, agenda ini perlu disokong kewujudan dana dan sumber kewangan kukuh bagi membolehkan ia berjalan lancar dan dilaksanakan dalam keadaan tersusun dan berkesan.

Ruang wakaf masih terbuka luas bagi menyediakan fasiliti dakwah yang masih tiada atau belum mencukupi seperti rumah perlindungan dan pusat pendidikan untuk mualaf, pusat khidmat jagaan warga miskin dan gelandangan, kompleks penjagaan dan pendidikan agama yang kondusif untuk warga tua serta pusat latihan dan bimbingan untuk remaja dan belia Muslim.

Semua fasiliti ini sangat diperlukan untuk menjamin kelangsungan dan keberkesanan usaha dakwah di negara kita.

Selain mengharapkan peruntukan kerajaan, umat Islam boleh merebut peluang menjana pahala berlipat ganda dengan amalan wakaf bagi mewujudkan fasiliti terbabit.

Untuk itu, umat Islam perlu mendapat kefahaman jelas mengenai amalan wakaf, menghayati dan merancakkan pengamalannya dalam kehidupan.

Untuk merealisasikan perkara ini, pewakaf boleh menyerahkan hartanah miliknya yang bersesuaian untuk diwakafkan kepada pihak MAIN yang berkenaan, seterusnya memohon membangunkannya sebagai fasiliti dakwah.

Bagi yang tidak mempunyai hartanah untuk diwakafkan, MAIN menyediakan solusi dengan menggunakan wang tunai. Dengan nilai had minimum serendah RM1, kita sudah mampu berwakaf dan mengumpulkan saham yang bakal ditebus keuntungannya di akhirat dengan ganjaran berganda dan berterusan.

Contoh terdekat pembangunan fasiliti dakwah menggunakan kutipan dana wakaf tunai adalah pembinaan Pusat Latihan Mualaf di Tumpat, Kelantan yang menjadi pusat perlindungan, penjagaan dan pembangunan muallaf.

Pembangunan fasiliti ini dibuat atas tanah wakaf dengan menggunakan dana wakaf tunai dikumpulkan melalui skim Wakaf MAIK-Muamalat.

Firman Allah SWT: “Bandingan (perbelanjaan derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)