• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,204,990 orang
  • Tetamu Online

Allah beri hidayah kepada sesiapa dikehendaki

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Allah SWT memuji mukminin dalam ayat ini kerana mereka telah beroleh hidayah, lalu menginfak harta di jalan Allah SWT dengan memberi sedekah barangan bermutu dan yang mereka sayangi, sedikit pun tidak terpengaruh bisikan syaitan yang menakutkan mengenai kemiskinan atau kepapaan.

Mereka bertindak berdasarkan ilmu dan hikmat anugerah Allah SWT kepada mereka. Allah SWT memberikan ilmu berguna yang boleh membangkitkan kemahuan kepada manusia yang dikehendaki-Nya sehingga dapat membezakan antara benar dan salah.

Mampu bezakan ilham Allah SWT

Lalu mereka dapat membezakan antara ilham yang datang daripada Allah SWT dan bisikan syaitan. Sesiapa diberi pengetahuan seperti itu, nescaya mampu membezakan antara janji Allah SWT dan janji syaitan, bahkan mampu berpegang teguh dengan janji Allah SWT dan membuang jauh-jauh janji syaitan.

Imam Ar-Razi ketika mengulas ayat itu berkata, syaitan menjanjikan manusia dengan kemiskinan dan kepapaan serta menyuruh melakukan perbuatan keji sedangkan Allah SWT menjanjikan keampunan serta kelebihan kurniaan-Nya.

Yang menguatkan janji Allah SWT ialah kekuatan hikmah dan penggunaan akal, manakala yang menguatkan janji syaitan ialah kehendak hawa nafsu dengan mencapai keseronokan sementara, mengikut khayalan serta sesuatu yang tidak pasti.

Perkataan al-hikmah mempunyai banyak makna termasuk an-nabuwwah, mengetahui segala rahsia alam, memahami hakikat al-Quran, makrifat Allah SWT, kefahaman dalam agama, ilham yang dengannya seseorang dapat membezakan antara bisikan syaitan dengan bimbingan Ilahi.

Al-Imam Al-Qurtubi menegaskan, al-hikmah ialah segala apa yang benar berkaitan iktikad kefahaman dalam agama, amalan dan kebijaksanaan. Ibnu Abbas mentafsirkan hikmah sebagai akal, kefahaman manakala Mujahid pula berkata, hikmah ialah akal, kefahaman, perkataan yang tepat dan betul.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiada hasad dibolehkan kecuali pada dua perkara: Seorang yang diberi kepadanya harta lalu dihabiskan pada yang hak dan seorang lagi ialah orang yang diberi Allah hikmah kepadanya, lalu dia menghukum dengannya dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam tafsir Al-Zilal disebut hikmah dikurniakan Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-Nya. Inilah dasar pokok dalam kefahaman Islam, iaitu dasar mengembalikan segala sesuatu kepada kehendak Allah SWT.

Pada masa sama, al-Quran menetapkan satu hakikat yang lain iaitu sesiapa berkehendakkan kepada hidayah dan berjuang untuk mendapatkannya, maka Allah SWT tidak akan mengharamkan hidayah daripada-Nya, malah Allah SWT akan menolong untuk mencapainya.

Oleh itu, setiap orang yang menuju kepada hidayah Allah SWT hendaklah yakin bahawa masyi’ah Allah SWT mengurniakan hidayah dan hikmat kepadanya serta akan menganugerahkannya kebajikan yang banyak.

Mendapat taufik

Sumber al-hikmah datangnya daripada Allah SWT, Dia memberi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Apabila seseorang berjaya mendapat anugerah al-hikmah, sesungguhnya dia telah mendapat taufik ke arah penguasaan ilmu bermanfaat dan amal soleh yang serasi dengan ilmunya. Dengan itu, berbahagialah dia di dunia dan akhirat.

Ayat itu juga memberikan pengertian hikmah dengan lebih luas seterusnya memberikan bimbingan kepada manusia supaya menggunakan akal sebagai kurniaan paling mulia kepada mereka dengan cara yang benar.

Siapa yang diberi ilmu berguna oleh Allah SWT dan kemudian diberi petunjuk cara menggunakan akal untuk menuju ke jalan yang benar sesungguhnya orang itu mendapat petunjuk serta kebaikan di dunia dan akhirat.

Dia akan dapat menggunakan potensi yang ada dalam dirinya, seperti penglihatan, pendengaran, hati dan fikirannya ke jalan yang benar demi kesenangan sendiri seterusnya berserah diri kepada Allah SWT, Tuhan Penciptanya. Dialah asal dan sumber segala sesuatu dan kepada-Nyalah semuanya akan berakhir.

Manusia tidak akan menerima bisikan syaitan yang akan mengotori diri sendiri dengan berbuat dosa. Dia percaya segala sesuatu berlaku menurut ketentuan dan takdir Allah SWT.

Menerusi fikiran dan perasaan seperti ini, hatinya menjadi lapang, perasaannya menjadi tenang sambil jiwanya dipenuhi dengan kedamaian untuk mengharung malam serta siang.