• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,205,009 orang
  • Tetamu Online

Bawa ‘roh masjid’ di rumah

Fahimi Zakaria

SEMENJAK Malaysia dilanda wabak Covid-19  sejak Mac lalu, kerajaan khususnya melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan banyak peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan dan kebaikan semua rakyat tanpa mengira bangsa serta agama.

Keputusan demi keputusan yang dibuat oleh kerajaan pastinya mengambil kira banyak faktor dan implikasi lebih-lebih lagi ia berhubung hal ehwal agama Islam seperti SOP pelaksanaan solat, majlis ilmu dan program keagamaan yang lain. Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan pihak berkuasa agama mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam usaha memastikan umat Islam dapat melaksanakan ibadah dalam suasana yang aman dan selamat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Janganlah menghumbankan dirimu ke lembah kebinasaan! Berbuatlah kebaikan, sesungguhnya Allah menyukai orang yang baik.” (al-Baqarah: 195)

Menurut Syeikh Muhammad Solah al-Munajjid bahawa ulama mengambil ayat ini sebagai lafaz umum dalam pengharaman apa sahaja perbuatan yang boleh membahayakan diri dan orang lain (al-Islam Sual wa Jawab, 2008). Tindakan kerajaan meletakkan SOP ibadah menepati kaedah Fiqh yang menyebut: “Tindakan pemimpin terhadap rakyat mengambil kira maslahah (kebaikan)”. Jika kita membaca laporan semasa kes jangkitan Covid-19, bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sehingga 17 Oktober adalah sebanyak 19,627 kes tidak termasuk 869 kes pada 18 Oktober (Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia). Peningkatan yang serius ini menyebabkan kerajaan melalui Kementerian Pertahanan Malaysia mengumumkan PKP Bersyarat di Selangor, bahkan beberapa kawasan di Kedah dan Sabah telah dan sedang mengikuti PKP Diperketatkan berikutan penularan Covid-19 yang cepat sehingga menyebabkan kematian.

Sebagai umat Islam yang beriman, kita wajib meyakini wabak ini pastinya ujian dan musibah daripada Allah SWT sebagai pengajaran untuk kembali kepada-Nya dengan membanyakkan bertaubat dan muhasabah. Seterusnya, memahami bagaimana SOP pelaksanaan ibadah sepanjang PKP ini. Tindakan kerajaan menangguhkan solat Jumaat, majlis ilmu dan beberapa SOP solat berjemaah di masjid seperti jarak satu meter, membawa sejadah, memakai pelitup muka dan sanitasi tangan merupakan keputusan yang datang daripada kumpulan pakar iaitu pakar agama dan pakar kesihatan. Bahkan sekiranya jemaah bergejala seperti selesema, batuk, sakit tekak maka lebih baik solat di rumah bersama keluarga sahaja.

Umat Islam juga tidak perlu merentas negeri semata-mata untuk mendirikan solat Jumaat. Sesungguhnya keputusan penangguhan solat Jumaat dibuat mengambil kira implikasi besar terhadap umat Islam termasuk fitnah yang memburukkan imej Islam jika masjid menjadi punca penularan wabak pembunuh ini. Al-Quran jelas menyuruh orang beriman mentaati perintah pemerintah selagi ia tidak bercanggah dengan syarak (al-Nisa’: 59). Menurut Ibnu Abbas RA, perkataan  Ulul Amridalam ayat ini merujuk kepada ahli hukum daripada agamawan. Secara khusus di Malaysia, agamawan termasuk pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Mufti yang bertindak sebagai pakar agama. Justeru mentaati perintah mereka sama seperti mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.

Sebaliknya umat Islam perlu memahami betapa konsep ibadah dalam Islam sangat luas. Sesungguhnya Islam sudah tersedia mudah, maka jangan sesekali kita bermudah-mudah lagi dengan agama. Sebagai contoh, kita boleh bersolat berjemaah bersama keluarga di rumah walaupun tidak dapat pergi ke masjid. Selain itu, majlis ilmu secara atas talian juga salah satu kaedah pengajian yang baik pada masa kini seperti menonton ceramah di  Youtube, membaca info ilmiah di laman sesawang pejabat mufti, bersoal jawab bersama asatizah melalui aplikasi video atas talian seperti  Zoom,  Meet  dan sebagainya. Keterbatasan umat Islam dalam beberapa perkara ibadah buat masa ini sebenarnya bukanlah alasan atau halangan sehingga roh ibadah itu hilang sama sekali.

Sebagai kesimpulan, ibadah bukan pada masa lapang sahaja. Ia bukan dilaksanakan atas semangat semata-mata, bahkan tidak dikira sebagai ibadah jika dilakukan hanya bertujuan mengisi masa lapang. Agama dan ilmu tidak dapat dipisahkan, ilmu mesti dipelajari dan difahami supaya agama dapat diamalkan dengan betul seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Maka, di musim PKP ini antara waktu yang terbaik untuk kita membuktikan keluasan dan keanjalan agama Islam walaupun dalam hal ibadah. Hidupkan ibadah walaupun di rumah secara berjemaah seperti solat, tadarus dan majlis ilmu. Hidupkan sunah hari Jumaat walaupun tiada solat Jumaat seperti membanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW, membaca surah al-Kahfi, mandi sebelum mendirikan solat dan memakai pakaian yang bersih serta berwangi-wangian. Semoga wabak ini memberi iktibar buat kita semua.