• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,274,626 orang
  • Kandungan Blog

Memanfaat kandungan al-Quran

Penghayatan al-Quran itu perlu diwujudkan dalam diri setiap anggota masyarakat betapa perlunya al-Quran itu ‘hidup’ dalam setiap rumah orang Islam.

Bukan hanya menjadi perhiasan di rak rumah atau cantik digantung pada dinding sahaja.

Golongan yang tidak mahu berfikir mengenai al-Quran sedangkan dirinya dikurnia akal yang sihat, maka dia ditempelak oleh Allah SWT sebagai memiliki akal tidak sempurna.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Maka adakah orang yang mengetahui bahawa al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta mata hatinya? Sesungguhnya orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah ar-Ra’d, ayat 19)

Al-Quran mengandungi setiap titah perintah dan larangan daripada Allah SWT. Al-Quran juga adalah ‘Kalamullah’ sebenar-benarnya datang daripada Allah SWT bukannya ia ciptaan manusia, bahkan bukan juga rekaan Nabi Muhammad SAW.

Baginda hanya menyampaikan setiap ayat yang diterimanya tanpa sebarang tokok tambah. Firman Allah SWT bermaksud: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.” (Surah an-Nisa’, ayat 82)

Jangan kita menjadi umat yang hanya percaya kepada al-Quran tanpa sebarang usaha memanfaatkan isi kandungannya.

Kepercayaan kepada al-Quran dan beriman dengan kandungannya perlu disusuli usaha untuk memahami, mengkaji serta mempraktikkan pengajarannya dalam kehidupan seharian.

Orang yang beriman dengan al-Quran sentiasa mewajibkan diri untuk membacanya pada setiap hari.

Begitu juga orang yang sayang kepada Rasulullah SAW, akan sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan kerana al-Quran adalah mukjizat Baginda SAW yang kekal sehingga ke hari ini.

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat Mengambil iktibar.” (Surah Sad, ayat 29)

Hari ini, kehidupan manusia disibukkan dengan perkara yang menjauhkan kita dengan al-Quran.

Kita boleh membaca hantaran WhatsApp berjam-jam lamanya, tetapi untuk membaca sepotong ayat al-Quran kita sentiasa gagal lakukan.

Ada orang boleh mengemaskini akaun media sosial setiap jam namun dirinya tidak terfikir untuk membaca tafsiran ayat al-Quran yang sarat dengan pengajaran dan panduan.

Allah SWT merakamkan perihal manusia yang meninggalkan al-Quran menerusi firman-Nya bermaksud: “Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.” (Surah al-Furqan, ayat 30)

Al-Shaykh ‘Abd ar-Rahman as-Sa’di menjelaskan, meninggalkan al-Quran membabitkan segala bentuk dimulai meninggalkan perbuatan membaca al-Quran, mentadabbur, mempelajari tafsirnya dan mengamalkannya.

Menurut al-Shaykh dalam Tafsir as-Sa’di: “Mereka telah berpaling dan meninggalkan al-Quran, padahal mereka wajib untuk patuh dan menerima terhadap hukum di dalamnya serta berjalan dengan petunjuk al-Quran.”

Sehubungan itu, jika pemenang majlis tilawah dan menghafaz al-Quran pulang dengan hadiah masing-masing, kita pula perlu mengakhiri majlis itu dengan usaha menjadikan al-Quran panduan hidup paling utama.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya kelak ia akan datang pada hari kiamat untuk memberikan syafaat bagi pendampingnya.” (Hadis riwayat Muslim)