• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,151,619 orang
  • Tetamu Online

Banyakkan Selawat & fahami sirah

Muhammad Rashidi Wahab

Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini jatuh pada 12 Rabiulawal 1442H bersamaan 29 Oktober 2020. Kebiasaannya pada tarikh tersebut umat Islam seluruh dunia akan memenuhi ruang masjid atau tempat-tempat terpilih dengan pelbagai aktiviti seperti membaca al-Quran, berzikir, berceramah mengenai sirah Nabi Muhammad SAW, berselawat serta berzanji dan pelbagai acara lagi. Mimbar Jumaat juga tidak terlepas daripada menyampaikan khutbah untuk menyuburkan kecintaan kepada baginda.

Kegembiraan menyambut Maulidur Rasul tersebut adalah salah satu tanda seseorang itu mencintai Nabi Muhammad SAW, dan ia bukanlah sesuatu perbuatan dilarang oleh Islam. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, seorang ulama al-Azhar, katanya, jika setiap ciptaan yang dijadikan oleh Allah SWT bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW, mengapa sebilangan manusia hari ini ingin menghalang majoriti umat Islam daripada bergembira dengan kelahiran baginda?

Ini kerana perutusan Nabi Muhammad SAW adalah suatu rahmat daripada Allah SWT kepada semua makhluk-Nya, terutama manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami tidak utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya’: Ayat 107). Disebabkan itu, umat Islam diperintah untuk mencintai Nabi Muhammad SAW melebihi cinta mereka kepada makhluk lain. Bahkan seseorang itu tidak dikira beriman jika mereka tidak mencintai baginda.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Nabi Muhammad SAW juga berjanji bahawa sesiapa mencintai baginda maka mereka akan bersama-sama baginda di dalam syurga. (Riwayat al-Bukhari dan al-Tirmizi). Maka wajarlah umat Islam menyambut Maulidur Rasul sebagai tanda kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad SAW.

Cumanya pada tahun ini sambutan Maulidur Rasul tidak dapat diadakan seperti tahun-tahun sebelumnya kerana pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia. Namun ia bukan bermaksud umat Islam tidak boleh menzahirkan kecintaan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW. Ini kerana, kecintaan terhadap baginda adalah sepanjang masa dan sambutan Maulidur Rasul salah satu daripadanya. Sehubungan itu, dikemukakan beberapa cara lain untuk menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW:

• Mentaati segala suruhan dan larangan daripada Nabi Muhammad SAW. Perkara ini jelas dinyatakan dalam beberapa ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan kepada orang-orang yang berkuasa dalam kalangan kamu.” (Surah al-Nisa’: Ayat 59). “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang melakukannya maka patuhilah larangannya.” (Surah al-Hasyr: Ayat 7)

• Menjadikan sunah Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan terbaik dalam kehidupan. Ini kerana segala apa yang dibawa oleh baginda adalah wahyu daripada Allah SWT (Surah al-Najm: Ayat 3-4). Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi kamu telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan terbaik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzab: Ayat 21)

Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW turut menjelaskan bahawa sesiapa yang menjadikan al-Quran dan sunnah baginda sebagai ikutan, maka mereka tidak akan sesat serta selamat selama-lamanya. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana berpegang kepada kedua-duanya iaitu: Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah nabi-Nya.” (Riwayat Malik). Begitu juga sesiapa yang menghidupkan sunah baginda akan diberikan pahala yang besar.

Bukan itu sahaja, kecintaan terhadap Allah SWT turut dihubungkan secara jelas oleh al-Quran dengan memerintahkan umat Islam supaya mengikut Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi (dan mencintai) Allah maka ikutlah aku (iaitu Rasulullah) nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.” (Surah ali-‘Imran: Ayat 31)

• Memperbanyakkan bacaan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada nabi (Muhammad), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab: Ayat 56). Jika Allah SWT dan malaikat pun berselawat kepada baginda, maka umat Islam lebih lagi dituntut untuk berselawat.

• Mempelajari dan mengetahui sirah Nabi Muhammad SAW. Perkara ini begitu mudah untuk dilakukan pada zaman ini kerana terdapat pelbagai bahan bacaan yang boleh diperoleh melalui internet. Begitu juga ceramah atau kuliah agama berkaitan Nabi Muhammad SAW. Cumanya umat Islam perlu berhati-hati agar tidak tersalah mengambil ilmu daripada orang yang tidak berkelayakan. Namun apa yang pasti, semua cara di atas dapat menyemai perasaan cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Salam Maulidur Rasul.