• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,388 orang
  • Tetamu Online

Dahsyatnya fitnah kuasa

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

FITNAH tahkta dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu mereka untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar. 

Fitnah kekuasaan adalah fitnah terdahsyat terhadap umat Nabi SAW. Hadis daripada Thauban RA, Rasulullah SAW  bersabda maksudnya:  “Sesungguhnya aku hanya khuatir (takut) atas umatku ini para pemimpin yang menyesatkan.” (Hadis  Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis  lain, daripada Abu Zar RA, dia berkata, aku mendengar Nabi SAW  bersabda maksudnya: Ketika aku bersama Nabi SAW  pada satu hari ke rumahnya, aku mendengar Baginda berkata: “Bukan Dajjal yang lebih aku khuatirkan terhadap umatku daripada Dajjal.” Sebelum baginda hendak masuk, aku bertanya: ‘Apakah yang lebih engkau khuatirkan atas umatmu daripada Dajjal itu? Baginda menjawab: ‘Para pemimpin yang menyesatkan orang lain.'” (Hadis  Riwayat Ahmad)

Kedua-dua hadis ini memberi isyarat tentang satu bentuk fitnah yang akan terus-menerus melanda umat Nabi SAW  iaitu fitnah kekuasaan. Nabi SAW  menyebut pada hadis pertama dengan pola pengkhususan (takhsis) yang menjurus kepada fitnah yang akan menyebabkan umat Islam tergelincir ke dalamnya. Isyarat itu juga menunjukkan umat Islam yang paling ramai terfitnah dengan kekuasaan. 

Pada hadis  kedua, Nabi SAW  menjelaskan kerisauan baginda tentang fitnah kekuasaan ini melebihi daripada fitnah Dajjal. Ini jelas menunjukkan fitnah Dajjal adalah lebih jelas berdasarkan pemahaman dan ilmu yang berkembang serta tempohnya lebih pendek berbanding fitnah kekuasaan yang meliputi zaman.

Di antara penyebab manusia tergelincir ke lembah fitnah kuasa adalah mereka yang ingin berdampingan dengan penguasa. Daripada Ibnu Abbas RA, Nabi SAW  bersabda maksudnya:  “Barangsiapa yang tinggal di desa akan menjadi kasar perangainya, barangsiapa yang mengejar binatang buruan maka dia akan lalai, barangsiapa yang datang kepada penguasa maka dia akan terfitnah.” (Hadis Riwayat  al-Tirmizi)

Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya:  “Barangsiapa yang tetap menghampiri penguasa maka dia akan terfitnah, tidaklah seseorang itu bertambah dekat dengan penguasa kecuali dia bertambah jauh daripada Allah.” (Hadis  Riwayat Abu Daud)

Gambaran utama dalam hadis ini menjelaskan keadaan manusia apabila menghampiri penguasa, menjadi orang yang dekat kepada mereka atau menjadi orang yang mengetuk pintu-pintu pejabat atau rumah mereka merupakan sumber kepada terjadinya fitnah. Apabila seseorang menghampiri penguasa, perkara seperti membodek, bermanis muka, ‘menjilat’ mereka akan menjadi barah yang berbahaya kepada Islam. Namun, sekiranya dia tidak menghiraukan penguasa, maka kesannya hanya di dunia.

Perbezaan taraf kehidupan manusia melalui harta dan kebijaksanaan kurniaan Allah SWT  menyebabkan manusia tergelincir ke dalam fitnah tahkta dan kedudukan yang membinasakan.

Fitnah takhta dan kedudukan ini antara ujian besar menimpa umat Nabi SAW  terutama apabila manusia setiap hari dan masa mengejar pangkat dan kedudukan yang lebih tinggi bertujuan memperoleh pendapatan (gaji atau elaun) yang lebih besar.

Pelantikan yang dibuat untuk sesuatu jawatan sama ada dalam proses yang benar atau tidak, akan memberi kegembiraan yang besar kepada seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah organisasi. Daripada lantikan peringkat bawahan sehingga menjadi orang atasan, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi ujian yang besar kepada mereka, sama ada mereka dapat menjalankan tanggungjawab tersebut atau terleka dengan pangkat yang sudah diperoleh.

Kebiasaan yang berlaku, di awal permulaan lantikan, seseorang sangat bersemangat mengubah dan berikrar akan sedaya upaya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun, amanah ini tidak sekadar jawatan dunia semata-mata, bahkan akan dipersoal pada hari kiamat kelak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesungguhnya setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab ke atas kepemimpinannya. Seorang kepala negara adalah pemimpin atas rakyatnya dan akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin atas anggota keluarganya dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah tangga dan anak-anaknya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya. Seorang pembantu rumah tangga adalah petugas yang memelihara barang milik majikannya dan akan ditanya atas pertanggung jawabannya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya atas pertanggungjawabannya.” (Hadis Riwayat  Muslim)

Rasulullah SAW  bersabda kepada Abdul Rahman Ibnu Samurah:  “Janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau jawatan lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.” (Hadis Riwayat  Bukhari dan Muslim)

Iktibar daripada hadis itu dapat kita lihat pada hari ini apabila orang yang ghairah memburu jawatan dan kedudukan belum tentu dapat melaksanakan tugas yang diidamkan itu dengan baik berikutan mendapat bantahan dan tentangan daripada kakitangan.

Sebaliknya, jika jawatan diterima berdasarkan kelayakan, dengan izin Allah, bebanan tanggungjawab dipikul seberat mana pun akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokong ketua atau pemimpin yang dilantik sebulat suara dan dipersetujui.

Hal itu ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu.” (Hadis Riwayat  Muslim)

Berkenaan keperluan kepada kepemimpinan, Nabi SAW bersabda  maksudnya:  “Adalah bagi Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi selepasku, namun akan ada ramai para khilafah.” (Hadis  Riwayat al-Bukhari)

Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: “Bani Israil yang dipimpin oleh Nabi apabila wafatnya seorang Nabi, akan diganti dengan Nabi yang lain yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka.” 

Sabda Baginda Nabi SAW maksudnya: “Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” (Hadis  Riwayat Imam Ahmad)

Justeru itu, tahkta dan kedudukan ini akan menjadi fitnah sekiranya seseorang itu berkeinginan kepada jawatan disebabkan kepentingan peribadi dan dorongan hawa nafsu yang tinggi. Namun sekiranya jawatan tersebut diperoleh dengan meletakkan agama sebagai panduan, maka bantuan Allah akan menyusulinya.

‘Sampaikan walau satu ayat’

Mohd Shahrizal Nasir

Seluruh umat Islam perlu menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Baginda melaksanakan tanggungjawabnya menyebarkan Islam sehingga manusia hari ini menerima Islam sebagai  ad-Din. Kewujudan agama Islam yang kekal sehingga ke hari ini menjadi bukti baginda berjaya membimbing manusia agar mengakui keesaan Allah SWT. Sesungguhnya hanya dengan mengesakan Allah SWT, manusia dapat keluar daripada kegelapan menuju kepada jalan yang benar.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Allah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”  (Surah al-Baqarah, ayat 257)

Pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyebarkan agama Allah SWT di atas muka bumi ini tidak mampu dibalas oleh umatnya. Rasulullah SAW menerima banyak ujian dan rintangan sepanjang melaksanakan amanah menyebarkan Islam. Meskipun baginda SAW disayangi oleh Allah, baginda tetap menempuhi cabaran tersebut agar umatnya dapat meneruskan kesinambungan dakwahnya.

Oleh itu, amat wajar bagi umat Islam sentiasa mengingati Rasulullah SAW. Lihat sahaja seperti mana yang ditetapkan oleh syarak, seluruh umat Islam akan menyebut nama dan mendoakan baginda SAW dalam solat. Ini membuktikan setiap umat Islam pasti akan menyebut nama baginda dan mendoakan kesejahteraan untuknya.

Kita menyebut nama Rasulullah SAW dalam bacaan tahiyat ketika menunaikan solat fardu mahupun sunat. Begitulah gambaran jelas betapa sepatutnya umat Islam patut sentiasa rasa dekat dengan Rasulullah SAW. Begitu juga dengan pesanan baginda SAW agar umatnya memperbanyakkan selawat untuknya.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat (mengurniakan kebaikan) kepadanya sepuluh kali.”  (Hadis riwayat Ahmad)

Selain itu, ganjaran besar yang akan dinikmati oleh orang yang banyak berselawat kepada baginda SAW ialah dapat berada bersamanya di hari akhirat nanti. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling utama bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak hanya menerusi amalan berselawat ke atasnya sahaja. Dalam dunia yang serba mencabar hari ini, wujud pihak yang tidak bertanggungjawab menghina Rasulullah SAW. Penghinaan kepada Rasulullah SAW sebenarnya perlu dirasakan sebagai satu penghinaan kepada umat Islam seluruhnya.

Orang yang tidak beriman kepada Rasulullah SAW sememangnya akan terus berusaha menafikan kedudukan baginda sebagai insan paling mulia di sisi Allah SWT. Malah Allah SWT telah pun menjanjikan balasan yang setimpal terhadap perbuatan jahat itu di akhirat kelak.

Firman Allah SWT bermaksud:  “Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: ‘Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya). Katakanlah: ‘Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, dia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang Mukmin dan dia pula menjadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu. Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.'” (Surah at-Taubah, ayat 61)

Dari sudut yang lain pula, umat Islam perlu menutup perkara yang boleh menampakkan kerapuhan cinta terhadap Rasulullah SAW. Kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu dizahirkan berlandaskan ketetapan yang dinyatakan oleh baginda sendiri. Apakah yang menjadi ketetapan baginda itu?

Ia tidak lain dan tidak bukan, umat Islam perlu menyahut seruan baginda yang dibuat secara jelas tanpa memerlukan sebarang takwilan. Antara perkara yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah agar berusaha menyebarkan ajaran Islam yang dibawanya.  Sabda baginda SAW  bermaksud:  “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.”  (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya hanya dengan meneruskan kesinambungan usaha dakwah Rasulullah SAW, ia akan dapat menangkis tohmahan terhadap baginda dan agama Islam. Umat Islam tidak boleh mempertahankan Rasulullah SAW dengan emosi dan tindakan yang boleh mengaitkan Islam dengan keganasan.

Sebaliknya, tohmahan terhadap Rasulullah dan agama Islam perlu ditangkis dengan menyemarakkan lagi usaha menyebarkan keindahan Islam sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menerusi keindahan budi pekertinya.

Tiada makna jika emosi untuk mempertahankan Rasulullah SAW ditunjukkan kepada dunia sedangkan usaha dakwah semakin layu. Hentikanlah perbalahan sesama umat tentang perkara yang tidak pun disentuh oleh Rasulullah SAW. Kita semua cintakan baginda SAW dan bukankah saling mencemuh, saling menyalahkan, saling tuduh-menuduh sesama Muslim itu perbuatan yang dilarang oleh baginda SAW sendiri?

Orang yang mencintai Rasulullah SAW akan sentiasa akur dengan nasihat dan amanat baginda. Oleh itu, janganlah ada dalam kalangan umat Islam yang sanggup menjadikan Rasulullah SAW sebagai modal untuk berselisihan, bercakaran dan bermusuhan sesama umat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:  “Janganlah kalian terlalu berlebih-lebihan kepadaku sebagaimana orang Nasrani telah berlebih-lebihan kepada Isa bin Maryam, sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba Allah maka katakanlah hamba Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semarakkanlah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dengan melaksanakan tuntutan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Baginda mengingatkan umatnya agar terus menyebarkan ajaran yang dibawa oleh baginda SAW. Maka orang yang memahami hasrat baginda SAW tidak akan membiarkan dirinya hanyut dengan isu-isu yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat.

Sepatutnya umat Islam menjadi bertambah kuat, saling bekerjasama dan berganding bahu bagi mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini.  Inilah yang membuktikan kecintaan sebenar kita kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dikasihinya berbanding bapanya, anaknya dan sekalian manusia.”  (Muttafaq ‘alaih).

Kecintaan kita kepada Rasulullah SAW adalah atas sebab kedudukan baginda SAW yang dimuliakan oleh Allah SWT. Kecintaan kita kepada baginda SAW juga disebabkan pegangan baginda yang mentauhidkan Allah SWT. Kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak akan sesekali membuatkan kita jauh daripada Allah SWT, sebaliknya semakin dekat dengan-Nya. Sebab itulah sesiapa yang mengakui dirinya mengasihi Allah SWT, maka ikuti dan sayangilah pembawa risalah-Nya iaitu Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:  “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani.'”  (Surah Ali ‘Imran, ayat  31)

Didik masyarakat benci arak

Oleh Johari Baharom

TIDAK syak lagi meminum arak atau ketagihannya adalah haram di sisi agama Islam. Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya mahupun orang lain akibat sesuatu yang dimakan, diminum, diamalkannya mendatangkan mudarat atau kesan yang tidak baik kepada kesihatan seseorang.

Apa lagi sekiranya ia boleh menjangkaui musibah atau bahana kepada individu terbabit atau orang lain di sekitarnya.

Selaku Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), saya terpanggil untuk memperincikan mengenai meminum alkohol atau arak di sisi Islam. Kalau dadah atau penyalahgunaannya haram di sisi Islam, meminum arak juga haram. Yang haram tetap haram, walaupun ada sesetengah peminum arak tidak memabukkan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-7 pada sidang 11 dan 12 April 1984, membincangkan dengan mengambil kira pelbagai sudut, antaranya dalil al-Quran dan hadis, implikasi kesihatan, kesan sosial dan akhlak, sudut ekonomi serta kerukunan rumah tangga dan masyarakat.

Muzakarah itu memutuskan bahawa setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol mengandungi arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis. Alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram diminum.

Selain itu, minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak, sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum. Sementara itu, minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses membuat arak adalah halal. Antaranya tapai dan cuka adalah halal dimakan. Maksudnya alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.

Ibu segala maksiat

Begitu juga dengan ubat-ubatan, alatan kecantikan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan. Lebih jelas lagi, arak atau dalam bahasa Arab ‘khamar’ yang bermaksud minuman yang memabukkan. Arak menjadi kemegahan kepada mereka yang meminumnya dalam kalangan orang kafir (terlindung daripada seruan Allah SWT atau ajaran agama Islam), fasik dan munafik.

Islam secara tegas mengharamkan arak sejak 14 abad lalu. Nabi Muhammad SAW menyampaikan firman Allah SWT mengenai bahaya dan musibah meminum arak kepada orang kafir Quraish yang hidup dalam keadaan tidak bertamadun ketika itu.

Mereka adalah peminum arak tegar dan menganggap arak adalah minuman berprestij atau terbaik untuk menikmati keseronokan hidup di dunia ini tanpa mengira darjat, keturunan hatta anak sendiri dijadikan hamba seks.

Sesungguhnya, Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Maidah, ayat 90 – 91, mafhumnya: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya minuman keras, berjudi, berkorban untuk berhala dan menenum nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu beruntung”

Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dan menghalang kamu mengingati Allah dan melaksanakan solat. Maka, tidakkah kamu mahu berhenti?”

Kalau kita pergi lebih jauh, arak sebenarnya adalah ibu segala maksiat. Ia mendatang banyak keburukan kepada sesiapa sahaja yang meminumnya. Ia adalah sama dengan penyalahgunaan dadah. Nabi Muhammad SAW bersabda; “Arak adalah ibu segala maksiat dan ia maksiat paling mengaibkan.”

Marilah kita sama-sama meneliti kenapa Islam mengharamkan meminum arak? Antaranya, arak boleh merosakkan akhlak dan akidah dengan memalingkan manusia daripada beriman kepada Allah SWT kepada seorang manusia yang terjerumus kepada lembah maksiat. Ia boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama insan, meruntuhkan rumah tangga, keluarga, masyarakat dan negara. Ketagihan arak menyebabkan penyakit hepatitis, sakit jantung, rosak buah pinggang, kanser, angin ahmar, lumpuh, keracunan dan gila.

Dorong perbuatan jenayah

Ketagihan arak juga boleh membawa perubahan metabolisme akal fikiran, organ hati dan menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan baik.

Menurut kajian Biro Keadilan, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada 1996, didapati purata 2,713 kes rogol, zina, sumbang mahram dan AIDS berlaku setiap hari. Di United Kingdom (UK), angka rasmi akibat meminum alkohol ialah 45-46 peratus kejadian jenayah, 39 peratus keganasan rumah tangga dan hampir sejuta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk.

Justeru, jauhi minuman yang memudaratkan ini. Minuman alkohol iaitu arak adalah haram. Dosanya terlalu besar, sama dengan penyalahgunaan dadah.

Biasanya sesiapa yang ketagihan arak, memudahkan dirinya untuk digoda oleh pengedar dadah untuk terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Pihak berwajib termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memainkan peranan masing-masing untuk mendidik masyarakat membenci arak, sama dengan membenci rokok, candu, hidu gam, najis dadah, hisap vape, minum air daun ketum dan berjudi.

Hikmah solat awal waktu

Siti Nur Baiin Che Harun

Seringkali kita mengeluh dan berasa sedih kenapa Allah selalu menangguhkan permintaan kita.

Pernahkah kita terfikir tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya?

Kita sering saja menangguhkan segala suruhan Allah. Allah tidak menciptakan manusia dengan sia-sia. Kita wajib mentaati dan patuh segala suruhan-Nya.

Antara tujuan dan tanggungjawab kita sebagai hamba adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, menunaikan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang serta memakmurkan bumi Allah berdasarkan syariatNya.

Salah satu kewajipan kita terhadap Allah SWT adalah dengan menunaikan solat pada awal waktu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Tirmidzi mengenai amalan paling utama ialah solat diawal waktu.

Nabi SAW pernah ditanya, “Amalan apakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Solat pada awal waktu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi No: 155)

Seperti yang kita tahu, banyak kelebihan dan keistimewaan bagi hamba-Nya yang menunaikan solat di awal waktu.

Ada yang merungkai dari segi saintifik, meditasi dan kesihatan.

Tertarik dengan apa yang dikongsi seorang blogger, Nurisa Omar. Contohnya, pada waktu Subuh, ia berkait rapat dan sangat mempengaruhi sistem metabolisme dalam badan.

Ini diterangkan bahawa alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisme tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar, rezeki dan komunikasi.

Sebab itu hadis untuk berpagi-pagian sentiasa dikongsi oleh pakar motivasi.

Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah pada pagi hari untuk mencari rezeki dan keperluan-keperluan hidupmu. Sesungguhnya pada pagi hari, terdapat berkah dan keberuntungan.” (Riwayat at-Tabrani dan al-Bazzar)

Manakala waktu Zuhur pula, spektrum pada waktu ini berkait rapat dengan frekuensi perut dan hati di mana ia berhubung dengan sistem penghadaman.

Seterusnya waktu Asar, ia dinyatakan frekuensi ketika ini berkait dengan sistem yang ada pada prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Dengan solat Asar pada awal waktu akan memberi kesan yang baik kepada organ kesuburan.

Selain itu, kelebihan solat awal untuk waktu Maghrib ada dijelaskan kaitan dengan unsur keyakinan pada frekuensi otot, saraf dan tulang. Di mana waktu ini, spektrum warna menghampiri frekuensi jin dan iblis iaitu cahaya merah (infra-red).

Dinasihatkan juga kepada musafir untuk berhenti solat terlebih dahulu dan tidak meneruskan perjalanan kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan terutama pada pandangan mata.

Rungkaian untuk waktu Isyak pula ada keistimewaan dari segi sistem kawalan otak di mana frekuensi pada waktu ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian.

Ini bertepatan dengan hadis Sahih al-Bukhari (5970) yang bermaksud, “Apakah amalan yang paling dicintai disisi Allah SWT? Nabi menjawab “Solat pada waktunya.”

Rasa tertarik dan terpanggil dengan kisah yang dikongsikan oleh pendakwah, Ustazah Asma’ Harun dalam kuliahnya mengenai seorang hamba Allah iaitu seorang pembantu rumah kepada sahabatnya yang bersiap sedia untuk solat, mengambil wuduk setengah jam sebelum masuknya waktu azan.

Selepas mendengar kisah ini, kita dapat rasakan satu aura yang sangat berbeza. Ia satu tamparan yang hebat untuk kita muhasabah.

Kita selalu rasa hebat dan megah dengan apa yang kita ada. Kita rasa lebih berkuasa dengan jawatan apa yang kita pegang dan berapa besarnya gaji bulanan kita.

Kita riak dengan memiliki banyak kereta dan rumah, kita rasa kita sudah cukup bagus dengan siapa kita, kita rasa pongah dan angkuh dengan tingginya jawatan kita, kita merasa tinggi diri dengan apa yang kita miliki.

Sehinggakan kita rasa rugi untuk meninggalkan sebentar urusan dunia.

Sesungguhnya rugi menjadi orang yang angkuh seperti merak. Ini dijelaskan dalam Al-Quran: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling kenal-mengenal, sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa.” (Q.S. Al-Hujurat [49]: 13).

Sebenarnya kita lupa, kita milik-Nya, di mana semua ini adalah pinjaman sementara dan ia milik Allah SWT.

Tapi, dari kisah ini, betapa membuka mata kita, hubungan kita dengan Allah terletaknya pada tingginya takwa kepada Pencipta kita.

Sedangkan pembantu rumah ini menjaga hubungan dengan Allah SWT, betapa kasih dan cintanya dia terhadap Allah SWT.

Di sini menunjukkan beza hubungan kita dengan Allah SWT.

Pernahkah dalam seharian kesibukan tugas kita, kita tanya diri kita? Dalam setahun berapa kali kita solat sejurus selesainya azan? Dalam sebulan, berapa kali kita solat di awal waktu?

Belum lagi ditanya, khusyukkah solat kita? Pernahkah kita muhasabah status pencapaian KPI dalam solat kita?

Jom amalkan dan didik diri untuk solat diawal waktu.

Dengan solat pada awal waktu, kita akan berasa waktu dan masa itu lebih lama, lapang dan tenang daripada biasa kerna terdapatnya barakah.

Muat turun aplikasi solat untuk menghantar notifikasi azan atau waktu solat supaya tidak leka dengan tugasan kerja.

Tutup komputer atau berhenti serta-merta bila azan berkumandang dan terus bersiap sedia dengan mengambil wuduk.

Jadikan setiap waktu solat sebagai temu janji yang paling eksklusif dan dating kita dengan Pencipta yang dinanti-nanti.

Ini kerana Allah lah majikan Teragung. Sentiasa berada dalam kumpulan yang suka mengingatkan satu sama lain untuk sentiasa mengajak untuk kita bersolat seusai azan berkumandang.

Seeloknya terus menuju masjid atau surau untuk menunaikan solat secara berjemaah. Banyak keistimewaan dan kelebihan dalam menunaikan solat berjemaah antaranya adalah kita akan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda, “Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, terlepas dari azab api neraka dan terhindar jadi seorang munafik, mendapat perlindungan dari Allah pada hari Kiamat, dinaikkan darjat di sisi Allah SWT, diampunkan dosa, mendapat jaminan syurga, disediakan hidangan di syurga, mendapat cahaya pada hari kiamat dan pahala seperti menunaikan haji.

Sesiapa yang ingin doanya dimakbulkan segera oleh Allah SWT, solat dengan segera.

Lebih cepat kita tunaikan hak Allah, lebih cepat Allah akan makbulkan hajat kita.

Jadikan semua rezeki dan kurniaan Allah kepada kita itu sebagai pemangkin untuk kita jadi lebih berdisiplin.

Bentuk diri dengan solat pada awal waktu. Tinggalkan sementara urusan dunia, dan tunaikan tanggungjawab kita kepada Maha Pencipta.

Islam haram arak bersandarkan justifikasi kukuh, rasional

Oleh Muhammad Hisyam Mohamad

Sebagai negara majoriti orang Islam, gejala minum arak tidak seharusnya berlaku, terutama dalam kalangan umat Islam.

Namun, dapatan kajian menunjukkan masalah ini berlaku, malah lebih mengejutkan ia turut membabitkan pelajar dan generasi muda. Ini hakikat sukar diterima kerana hukum minuman memabukkan jelas di sisi Islam, iaitu haram.

Ketegasan Islam mengharamkan arak kerana kemudaratannya adalah satu bentuk peraturan bersandarkan justifikasi kukuh dan rasional.

Dalam al-Quran, minuman memabukkan dirujuk sebagai khamr. Dalam surah al-Maidah ayat ke-90, Allah SWT menggambarkan khamr sebagai al-rijs, iaitu kotoran atau najis yang termasuk dalam perbuatan syaitan dan pencetus permusuhan (al-‘adawah) dan benci-membenci (al-baghda’).

Hal ini berlaku apabila orang mabuk akan kehilangan kewarasan. Justeru, lahir pula perkataan dan perbuatan buruk yang menyakiti hati manusia.

Ia memungkinkan pembunuhan, pergaduhan, rompakan, kefasikan, penyebaran rahsia dan pengkhianatan terhadap pemerintah serta negara seperti disebut dalam Tafsir Al-Maraghiy dan Tafsir HAMKA.

Justifikasi pengharaman arak turut disokong kajian ketika mengaitkan kesan bahaya pengambilan arak ke atas peminum dan persekitaran peminum serta masyarakat keseluruhan.

Ini termasuk kesan sosial dan ekonomi. Kesan sosial merujuk kos terpaksa ditanggung masyarakat dan persekitaran peminum, sekali gus tidak secara eksklusif ditanggung peminum arak sahaja.

Kos sosial lebih menjurus kepada kesan terhadap kesejahteraan masyarakat seperti kemalangan jalan raya, masalah di tempat kerja, kemiskinan, kesihatan, keganasan rumah tangga dan kegagalan melaksanakan peranan sosial terhadap keluarga.

Seterusnya, kesan sosial akan memberi impak negatif terhadap aspek ekonomi secara keseluruhan. Hal ini wujud kerana aspek sosial ialah unsur penting yang boleh mempengaruhi produktiviti dan mutu penghasilan kerja masyarakat serta negara.

Di negara ini, dapatan kajian dan kutipan data dibuat oleh Assunta, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut senada dengan dapatan kajian dilakukan pada peringkat antarabangsa.

Selain memburukkan isu kemiskinan dan menyebabkan rumah tangga porak peranda, pengambilan arak juga antara penyebab berlaku kemalangan jalan raya di negara ini.

Menurut MIROS, pemandu mabuk 13 kali lebih berkemungkinan menyebabkan kemalangan berbanding pemandu tidak di bawah pengaruh alkohol.

Menurut statistik PDRM, bagi tempoh 2014 sehingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca kemalangan membabitkan pemandu memandu di bawah pengaruh alkohol direkodkan.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dibuat oleh Institut Kesihatan Umum KKM, 11.8 peratus penduduk mengambil alkohol dengan 45.8 peratus mengambilnya secara mudarat atau sehingga mabuk.

NHMS 2019 turut melaporkan pengambilan alkohol juga menjadi penyebab kepada kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini, iaitu 17.6 peratus lelaki dan wanita (10.9 peratus); sirosis hati (lelaki 16.8 peratus dan wanita 16.2 peratus) serta kanser (lelaki 2.2 peratus dan wanita 0.6 peratus).

Terdapat data kemasukan ke hospital di bawah KKM menunjukkan 48 peratus daripadanya akibat kecelaruan mental dan tingkah laku berpunca pengambilan substan psikoaktif berpunca pengambilan alkohol.

Islam mengharamkan penganutnya meminum arak. Meskipun al-Quran mengakui manfaat yang ada pada arak, ia juga menegaskan mudarat terhasil daripada pengambilan arak lebih besar.

Hikmah pengharaman arak mempunyai kaitan dengan aspek penjagaan akal atau hifz al-aql yang terkandung dalam maqasid (tujuan) syariah.

Apabila manusia hilang kewarasan akal, pelbagai kesan buruk akan timbul. Daripada hanya kesan terhadap penjagaan akal, kemudaratan arak menular kepada aspek penjagaan agama, keturunan, jiwa dan harta.

Di sini impak negatif pengambilan arak dimanifestasikan, antara lain menerusi keganasan rumah tangga, kemalangan jalan raya, kemiskinan, pergaduhan, masalah kesihatan dan masalah prestasi kerja.

Dengan kata lain pengharaman arak oleh Islam bersandarkan justifikasi kukuh, rasional dan boleh diterima orang berakal waras tidak mengira agama.

Arak boleh menghilangkan maslahah atau unsur kebaikan dalam kehidupan manusia. Mungkin sudah tiba masanya kita melihat kembali aspek perundangan syariah dan sivil, peraturan penjualan dan penguatkuasaan berkaitan arak untuk melihat ruang yang boleh ditambah baik.

Ia untuk memastikan isu pengambilan arak dalam kalangan masyarakat dapat ditangani demi mewujudkan bangsa sihat dan sejahtera.

7 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang

Oleh: osmantikos

Dalam mendidik anak-anak sebenarnya tiada formula khusus yang boleh diikuti atau diterapkan kerana setiap anak adalah makhluk yang luar biasa dan unik dan berbeza-beza antara satu sama lain.Menurut Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dalam bukunya, 21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang,

ilmu mendidik anak adalah satu ilmu kemahiran yang perlu dimiliki oleh ibu bapa sebagaimana perlunya mereka memiliki ilmu kemahiran rumah tangga, kewangan, teknikal dan agama.Rasulullah S.A.W. telah menggariskan empat tahap mendidik anak iaitu:

Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun ) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana haiwan menjaga anak.

Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh(14 tahun)hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.

Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.

Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.

1. Kaedah Pesanan dan Arahan.

Pesanan dan arahan merupakan salah satu daripada kaedah yang disarankan oleh Rasulullah S. A. W. Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan. Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik. Antara bentuk pesanan dan arahan kepada anak-anak :

• Mengenai solat di awal waktu
• Adab dengan orang tua-tua
• Adab dengan guru
• Adab dengan kawan-kawan
• Tugas harian di rumah
• Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.
• Tatacara makan mengikut sunnah nabi
• Cara belajar yang berkesan
• Ingat sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah
• Keselamatan jalan raya
• Tanggungjawab melindungi adik-adik.

2. Kaedah Bercerita

Kaedah bercerita menguatkan hubungan anak-anak dengan ibu bapa terutamanya kisah-kisah teladan daripada Al-Quran, kisah nabi dan sebagainya. Tujuan bercerita ialah untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung melalui pemahamam minda bawah sedar mereka, menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut, mengerat dan merapatkan hubungan anak dan ibu bapa, anak-anak boleh menggambarkan di minda mereka dengan lebih jelas dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.

3. Kaedah Soal jawab

Bersoala jawab denagn anak akan menggerakkan minda mereka. Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu mengenai diri anak dan perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan tanpa mengira masa, keadaan dan tempat seperti ketika dalam perjalanan, di rumah, waktu makan dan sebagainya.

Ibu bapa hendaklah berusaha menjawab semua persoalan. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa hendaklah memberi penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanya oleh anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.

Anak-anak kecil lazimnya suka bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak mengambil peduli keletah anak-anak ini. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa kerana tabiat anak-anak yang bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anka yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.

4. Kaedah Merujuk Pengalaman Lalu

Pengalaman yang positif boleh dijadikan teladan, pengalaman yang negatif boleh dijadikan sempadan. Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar, dokumen atau barangan peninggalan yang terlibat. Ini kerana pengalamna ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan dan mudah pula dijadikan iktibaroleh anak-anak. Pengalaman anak-anak itu juga penting. Kaitkan apa perlunay mereka berwaspada denagn peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.

5. Kaedah Nasihat dan Teguran

Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan.

Ketika mendengar nasihat dan teguran daripada ibu bapa, anak hendaklah dilatih supaya memandang wajah kedua-duanya atau tunduk.

6. Kaedah Bermain dan Bergurau

Cuba tanya diri anda, berapa kerapkah anda bermain-main dan bergurau-gurau dengan anak-anak anda? Terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dengan anak-anak ketika sedang bermain, beriadah mahupun bersukan. Matlamat bergurau dengan anak-anak ialah untuk menggembirakan hati mereka.

Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak yang baik. Tetapi jangan pula bergurau melampau batas seperti bermain dan bergurau berlarutan sehingga meninggalkan ibadah wajib dan tugas yang lebih penting.

Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bermain dengan anak lelaki yang telah meningkat dewasa. Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan sehingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.

7. Kaedah Latihan yang Berterusan

Anak yang cemerlang perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah ini juga disarankan oleh Rasullullah S.A.W. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan boleh dibahagikan kepada beberapa ciri diantaranya :-

a) Jantina

Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya seperti tuga yang berat dan kasar diagihkan kepada anak lelaki manakala anak perempuan kepada kerja-kerja dalaman yang lebih ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka. Bagaimanapun tidak salah jika anak lelaki diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti membasuh pakaian sendiri, menyidai pakaian, melipat pakaian, memasak, membasuh pinggan dan sebagainya.

b) Usia

Pengagihan tugas juga perlu diagihkan mengikut usia. Anak yang berusia di bawah enam tahun belum boleh diberi tanggungjawab yang serius. Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat dan mengikut kesesuaian waktu.

Jangan lupa memberi pujian dan penghargaan kepada anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu. Namun jangan berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.

Sumber majalah Wanita November 2005 oleh Noraishah Ismail

http://feryco.com/7-kaedah-mendidik-anak-cemerlang

8 Ciri pemimpin adil, berwibawa

Miliki sikap belas kasihan, penyayang dan prihatin kebajikan rakyat bukti ketinggian iman

Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan menjadi kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda.

Menurut pengkaji sains politik, kepemimpinan yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dengan demikian, sebahagian besar tanggungjawab pemimpin untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat.
Merasai denyut hati rakyat

Pemimpin juga mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat terutama rakyat di luar bandar sebahagian besarnya terdiri daripada petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah yang mengharapkan pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka.

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti dicontohi Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubat, ayat 128)

Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Nabi Muhammad SAW adalah contoh pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia.
Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin.

Ciri pemimpin wibawa

Terdapat beberapa ciri pemimpin berwibawa antaranya, seorang yang berupaya menjaga agama Islam dan mampu menegakkan syariat Allah SWT, bukan menjadikan agama sebagai istizha atau alat untuk dipermainkan seperti sanggup menggadaikan agama untuk mendapatkan kuasa dan menjatuhkan lawannya.

Firman Allah SWT: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jugalah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj, ayat 41)

Kedua, seseorang yang mempunyai al-Quwwah iaitu kekuatan sama ada dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental. Al-Quran telah menjelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib memintanya memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah.

Inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut, bukannya hanya pada kehebatan pidatonya ataupun percakapannya saja.

Ketiga, seseorang yang memiliki sifat takwa, kerana ciri inilah yang menjamin pemimpin berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Keempat, pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada di bawah pimpinannya.

Adil bukan sekadar kata-kata retorik, tetapi dibuktikan dengan perbuatan dan amalan. Sifat ini mesti dimiliki pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepemimpinannya dihormati, disegani dan disayangi.

Kelima, pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sabda Rasulullah SAW: “ Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Keenam, pemimpin hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak bersalah, sekalipun membabitkan ahli keluarga, kawan atau lawan.

Ketujuh, pemimpin hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya, menjadi teladan baik dalam semua tindak tanduknya dan bebas daripada kerosakan moral.

Kelapan, pemimpin hendaklah menunaikan janji kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai, bukannya berdusta, berjanji palsu dan menghampakan orang bawahannya.

Adakah pemimpin yang bakal kita pilih memiliki ciri-ciri dinyatakan atau sebaliknya? Sedarlah, jika salah percaturan tergadailah agama dan negara dan kita yang bertanggungjawab.

Diharamkan syurga jika menipu rakyat

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah menyeru umat Islam: “Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku.”

Hadis sohih kelebihan Selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w

Hadith Sahih.           Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Bacalah selawat kepadaku kerana sesungguhnya bacaan selawat kamu semua dapat sampai kepadaku di mana saja kamu berada .” [ Sila rujuk HR Abu Daud, Riyadus Solihin, 1398, Sahih menurut Imam Nawawi ]

Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku),melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” [Sila rujuk HR Abu Daud dan Ahmad,Riyadus Solihin -1398,Sahih menurut Imam Nawawi ]

Hadith Sahih. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [Sila rujuk Sahih Muslim-0408]

Hadith Sahih. Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [Sila rujuk HR An-Nasaie-1271 ]

Hadith Sahih. Abdullah ibnu Masud r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Seutama-utama manusia dengan aku di hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” [Sila rujuk HR At-Tirmizi-0483 dan beliau berkata hadith ini adalah hasan Gharib. Riyadus Salihin -1395 ]

Hadith Sahih. Hussain bin Ali memberitakan daripada ayahnya Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya mereka berdua) bahawa Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah bersabda :”apakah tidak lebih baik aku khabarkan kepada kamu tentang orang yang dipandang sebagai manusia yang paling bakhil?”maka kami(para sahabat) menjawab : “Baik benar Rasulullah!” Maka Rasulullah (selawat Allah dan salam ke atasnya) meneruskan: “ Orang yang disebut namaku di hadapannya, maka tiada ia berselawat kepadaku, itulah manusia yang paling bakhil.!”

[Sila rujuk HR At-Tirmizi,Misykat Al-Masbih-3/299,no : 311.Riyadus Salihin -1440. Imam At-Tirmizi berkata hadith ini adalah sahih. Juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad,Ibnu Hibban dan Al-Hakim ]

Hadith Hasan. Ali bin Abi Talib (semoga Allah meredhainya) berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.”

[Sila rujuk kitab Al-Mu’jam Al-Ausat oleh Imam Ath-Thabrani. Hadith Hasan]

Hadith Sahih. Abu Hurairah (semoga Allah meredhainya) berkata,Rasulullah (selawat Allah dan salam keatasnya) telah bersabda : “Tiadalah suatu kaum berada di sesuatu majlis di mana mereka tidaklah menyebut nama Allah dan mereka tidak pula berselawat ke atas Nabi mereka.melainkan mereka pasti akan ditimpai padah(penyesalan). Maka jika Allah kehendaki ,Dia akan seksa mereka ; dan jika Dia kehendaki, Dia akan mengampunkan mereka.” [Sila rujuk HR At-Tirmizi-3440 ]

Di dalam satu riwayat yang lain ,hadith ini di akhiri dengan: “……..mereka akan ditimpa penyesalan di hari Kiamat; sekali pun mereka dapat memasuki syurga bagi pahala amalan-amalan lain yang mereka kerjakan.”  [Sila rujuk Musnad Imam Ahmad. Disemak semula sebagai Sahih oleh Imam Al-Hakim, Adz-Dzahabi dan Al-Haitami]

Takzim perawi hadis terhadap Nabi Muhammad s.a.w

Dr Mohd Khafidz Soroni

KEKURANGAN kita mengenali Nabi SAW secara mendalam adakalanya menyebabkan kita memandang hambar terhadap sesuatu yang berkaitan dengan diri baginda.

Tidak seperti ulama terdahulu yang menunjukkan rasa cinta dan takzim yang cukup luar biasa terhadap baginda SAW, apatah lagi dalam mengikuti sunahnya.  

Ini bertepatan dengan tuntutan hadis Nabi SAW sabdanya: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku ini lebih dicintai olehnya lebih daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia lain.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Al-Qadhi ‘Iyadh dalam kitabnya , al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa  menukilkan kata Imam Malik mengenai  Ayyub as-Sakhtiyani, seorang perawi hadis yang masyhur:  “Apabila disebutkan nama Nabi SAW, beliau akan menangis sehingga aku berasa kasihan terhadapnya.” 

Kata Mus’ab bin ‘Abdullah:  “Imam Malik  sendiri apabila disebutkan nama Nabi SAW akan berubah warna wajahnya dan menundukkan kepala sehingga menyukarkan hal tersebut kepada orang yang duduk bersamanya.  Pada suatu hari, beliau ditanya mengenai hal itu, lalu jawabnya: “Sekiranya kamu semua melihat apa yang pernah aku lalui, nescaya kamu tidak akan hairan terhadapku seperti apa yang kamu lihat. Aku pernah melihat  Muhammad bin al-Munkadir yang merupakan penghulu qurra’ namun hampir tidak pernah kami bertanya kepadanya mengenai sesuatu hadis pun melainkan beliau akan menangis sehingga kami berasa kasihan terhadapnya.

“Aku pernah melihat  Ja’far bin Muhammad al-Sadiq, seorang yang banyak  bergurau dan tersenyum namun apabila disebutkan di sisinya nama Nabi SAW, rupa beliau akan berubah menjadi pucat. Tidak pernah aku melihat beliau meriwayatkan hadis dari Rasulullah SAW melainkan dalam keadaan suci. ‘Abdul Rahman bin al-Qasim  pernah menyebut nama Nabi SAW, lalu kami melihat warna rupa wajahnya seolah-olah telah keluar darah daripadanya, lidahnya menjadi kering dan kelu di dalam mulutnya kerana merasakan kehebatan Rasulullah SAW.

“Aku juga pernah datang kepada  ‘Amir bin ‘Abdullah bin al-Zubair, apabila disebut di sisinya Rasulullah SAW beliau akan menangis sehingga tidak tinggal lagi air mata di matanya. Aku juga pernah melihat al-Zuhri, seorang yang paling ramah dan mesra, namun apabila disebutkan di sisinya nama Nabi SAW, beliau seolah-olah tidak mengenali kamu dan kamu tidak mengenalinya. Aku juga pernah datang kepada  Safwan bin Sulaim, seorang daripada kalangan ahli ibadah, namun apabila beliau menyebut nama Nabi SAW, beliau akan menangis dan terus menangis sehingga semua orang akhirnya bangun dan meninggalkannya.”

Mengulas akhlak a salaf terhadap Nabi SAW ini, al-Sakhawi dalam kitabnya,  al-Qawl al-Badi’ menyebut: “Jika kamu amati benar-benar perkara ini, kamu akan mengetahui apa yang wajib ke atasmu daripada rasa khusyuk, tunduk, hormat, beradab serta tekun mengucapkan selawat dan salam apabila menyebut nama baginda atau mendengar nama baginda yang mulia.” 

Kata al-Qadhi ‘Iyadh:  “Ketahuilah bahawa kehormatan Nabi SAW sesudah wafatnya serta mempermulia dan mengagungkannya adalah satu perkara yang wajib, sama sebagaimana keadaan baginda masih hidup. Terutama ketika mengingati baginda, menyebut hadis dan sunahnya, mendengar nama dan sirahnya, bermuamalah dengan ahli keluarganya serta memuliakan Ahlul Bait dan para sahabatnya.” 

Kata Abu Ibrahim al-Tujibi:  “Wajib atas setiap mukmin apabila menyebut nama baginda SAW atau disebutkan nama baginda di sisinya hendaklah ia tunduk, khusyuk, hormat dan diam tidak bergerak serta merasakan kehebatan baginda dan kehormatannya, sebagaimana dirinya akan berasa begitu sekiranya dia berada di hadapan baginda serta beradab dengan adab yang telah diajarkan oleh Allah Taala kepada kita”.

Baginda SAW pernah mengkhabarkan bahawa akan datang di akhir zaman sekumpulan umatnya yang berasa amat rindu untuk bertemu dengan baginda.

Sabdanya SAW: “Antara umatku yang paling cinta kepadaku ialah sekumpulan manusia yang akan datang sesudahku, yang mana seorang daripada mereka itu sanggup jikalau dia dapat melihatku dengan menggadaikan ahli keluarga dan hartanya.” (Hadis Riwayat Muslim)  

Dalam riwayat lain, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya akan datang sekumpulan orang dari kalangan umatku selepasku nanti, yang mana seorang daripada mereka itu sanggup jikalau dia mampu membayar dengan ahli keluarga dan hartanya untuk melihatku.” (Hadis Riwayat al-Hakim)    

Rasa cinta dan takzim terhadap baginda SAW yang mendalam akan menyebabkan kita memandang tinggi terhadap apa jua yang berkaitan dengan diri baginda walaupun ia hanya lakaran capal dan falsafahnya.

Bagi ahli tauhid yang waras, tiada unsur syirik pada rasa cinta dan takzim sedemikian.

Tanda awal kewafatan Nabi s.a.w

Dr Ahmad Sanusi Azmi

PERSOALAN berhubung riwayat kewafatan Rasulullah SAW sering menjadi tajuk perbincangan dalam kal ngan pengkaji. Namun setiap riwayat yang disampaikan mestilah diteliti dahulu agar kita tidak terjerumus dalam menyampaikan perkara yang tidak pasti berkenaan Rasulullah SAW.

Di dalam Sahih al-Bukhari, tanda awal akan saat kematian Rasulullah itu disebutkan oleh Baginda ketika menyampaikan khutbah.

Menurut riwayat Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW dikatakan sedang menyampaikan khutbah lalu Baginda Nabi menyebutkan: “Sesungguhnya Allah telah memberi pilihan kepada seorang hamba sama ada untuk memilih dunia atau memilih berada disisi-Nya. Lalu hamba itu memilih untuk berada di sisi Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sebaik mendengar ucapan ini, Abu Bakar tiba-tiba menangis. Abu Said al-Khudri yang meriwayatkan hadis ini tertanya-tanya, apa yang menyebabkan Abu Bakar menangis. Setelah beberapa ketika barulah mereka faham bahawa perkataan ‘hamba’ yang disebutkan Rasulullah SAW itu adalah mengenai dirinya sendiri. Iaitu Rasulullah sudah memilih untuk berada di sisi Allah.

Ini adalah detik awal, tanda-tanda kedatangan saat kewafatan Rasulullah SAW. Sebahagian riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mula menerima kesan racun Yahudi Khaibar yang dikatakan menjadi punca kewafatan Rasulullah.

Menurut riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW mengadu kepada Aisyah bahawa kesan racun yang dikenakan kepada Baginda sudah mula memberikan kesakitan. Sabda Rasulullah SAW: “Wahai ‘Aisyah, aku masih merasakan kesan dari makanan yang sudah aku makan pada saat di Khaibar. Inilah saatnya terputusnya nafasku disebabkan oleh racun itu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Untuk pengetahuan, setelah berlakunya kemenangan Khaibar, seorang perempuan Yahudi bernama Zainab binti al-Harith sudah memberikan daging kambing yang beracun kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah sempat meluahkan daging itu setelah dimaklumkan berkenaan racun tersebut. Namun seorang sahabat bernama Bisyr bin al-Barra tidak mengetahui mengenai perkara itu dan meninggal serta-merta selepas memakan daging itu.

Rasulullah SAW memanggil perempuan Yahudi itu dan bertanya mengapa dia melakukan sedemikian. Perempuan Yahudi itu menjawab bahawa tujuan dia melakukan sedemikian adalah kerana ingin menguji Rasulullah. Sekiranya benar dia seorang Nabi, maka racun itu sepatutnya tidak memberikan mudarat kepada Baginda.

Apakah Rasulullah tidak terpelihara (maksum)? Apakah hadis ini bercanggah dengan ayat al-Quran?

Meneliti hadis ini, ada dalam kalangan pengkaji yang bertanya, apakah hadis racun ini bercanggah dengan ayat al-Quran? Ini kerana dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa: “Allah memelihara kamu dari manusia.” (Surah al-Maidah: 67).

Manakala hadis di atas pula seolah menunjukkan yang racun terbabit memberikan kesan kepada Rasulullah.

Sebenarnya tiada percanggahan di antara ayat ini dengan hadis yang sahih. Ayat daripada Surah al-Maidah itu menggambarkan betapa Rasulullah dipelihara oleh Allah dalam banyak keadaan.

Kata al-Imam Ibn Kathir, perhatikan bagaimana Allah menyelamatkan Rasulullah SAW daripada ancaman bunuh Quraish, menghilangkan Rasulullah daripada pandangan mata Quraish, memberikan kemenangan bahkan kambing yang beracun itu sendiri memaklumkan kepada Rasulullah mengenai racun itu.

Bererti Allah memelihara Rasulullah SAW dari sebarang kemudaratan. Hadis itu sekadar memaklumkan salah satu punca sahaja sedangkan Allah penentu sebenar akan ajal Rasulullah.

Malah, pada hakikatnya, bukan racun itu sahaja menjadi punca kewafatan Rasulullah. Menurut al-Imam Ibn Abd al-Barr, Rasulullah sudah mula merasa sakit di rumah isterinya Saidatina Maimunah. Setelah itu Rasulullah mula mengadu sakit dan demam. Ini terjadi di rumah Saidatina Aisyah.

Riwayat-riwayat ini menunjukkan bahawa tanda sakit Rasulullah berlaku dari pelbagai keadaan. Bukan sekadar kambing beracun itu sahaja.

Kesakitan sakratul maut

Bukan sekadar demam dan pening kepala, Saidatina Aisyah turut menceritakan perihal sakratul maut yang dihadapi Rasulullah SAW. Kata Aisyah: “Bahawa di hadapan Rasulullah (ketika saat kewafatan Baginda) terdapat sebuah bekas berisi air. Baginda memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam air dan mengusap-usapkannya ke wajah, dan berkata, “Laa ilaaha illallaah, sesungguhnya kematian itu diiringi sakarat.”

Sakaratul maut dari aspek bahasa adalah gabungan dari dua perkataan iaitu sakarat yang membawa maksud kemabukan atau hilang sedar akibat kesakitan yang amat. Manakala perkataan maut membawa
erti kematian.

Rasulullah sendiri melalui peristiwa ini sehingga pengsan membayangkan betapa dahsyat saat sakaratul maut ini.

Peristiwa kewafatan Rasulullah diriwayatkan beberapa sarjana hadis. Ia menggambarkan beberapa peristiwa dan kesakitan dilalui Baginda sebagai manusia sebelum saat kewafatan Baginda.