• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,143,289 orang
  • Tetamu Online

Kepemimpinan harus berpaksi konsep ibadah

Oleh Dr Mohd Zamrus Mohd Ali

penularan wabak COVID-19 khususnya di negara ini masih belum reda, namun habanya terasa makin panas apabila segelintir rakyat mempamerkan sikap mementingkan diri dan kuasa berbanding menjaga sentimen rakyat.

Pemimpin perlu menonjolkan keperibadian mulia dan tutur kata baik, malah mengambil berat persoalan rakyat. Antara kegusaran rakyat ialah moratorium yang tamat hari ini. Rata-rata yang terkesan sudah memikirkan langkah penjimatan, kerja sampingan atau mencari ruang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Apa yang rakyat mahu ialah kestabilan politik berkekalan di negara ini, malah bersama-sama mengekalkan keharmonian.

Tugas kepemimpinan dan memimpin bukanlah dilaksanakan selepas diberikan jawatan atau menang pilihan raya. Ia sudah sedia tergalas seperti sabda Rasulullah SAW: Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menjadi mesej supaya kita melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cara terbaik. Tonjolkan sikap merendah diri dengan memberi khidmat sedaya upaya, mengurangkan konspirasi dan menghilangkan keegoan kerana amanah kepemimpinan akan disoal Allah SWT kelak.

Sesiapa sahaja yang boleh menyinsing lengan dan menghulurkan bantuan kepada rakyat itulah pemimpin sebenar walaupun tidak didendang.

Rakyat tidak menunggu hanya sewaktu berkempen, sebaliknya menilai keikhlasan sekiranya bantuan diberi hanya muncul tatkala undian rakyat diperlukan dalam pilihan raya. Hal ini berlawanan tuntutan al-Quran seperti firman Allah SWT: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal baik untuk mendapat) keampunan Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang bertakwa.” (Ali Imran: 133)

Pemimpin juga perlu sabar dengan kerenah dan teguran rakyat. Dalam sirah, peristiwa pemimpin ditegur pernah berlaku seperti seorang lelaki yang menegur Sayidina Umar RA: “Bertakwalah kamu kepada Allah, wahai Umar.” Maka, salah seorang hadir dalam majlis itu pun menjawab: “Apakah kamu berani berkata demikian terhadap Amirul Mukminin?”

Namun, ucapan lelaki itu dijawab Umar dengan tutur kata manis: “Tiada kebaikan bagi kamu (rakyat) sekiranya kamu tidak menyatakannya dan tiada kebaikan pula bagi kami (pemerintah) jika kami tidak mendengarnya.”

Pemimpin harus melihat tanggungjawabnya dengan menyeluruh dan konsisten. Pemimpin perlu sanggup mengorbankan diri untuk melihat rakyat dan negara dalam keadaan aman lagi sejahtera.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang berkuasa) dalam kalangan kamu.” (Al-Nisa’: 59)

Sahabat Nabi SAW, iaitu Abu Hurairah dan Ibnu ‘Abbas RA mengatakan maksud ulil amri itu ialah penguasa yang sah dan menjalankan amanah kepemimpinan selari kehendak syarak. Umat Islam ditegah memperlekeh dan tidak mempedulikan mereka.

Dalam konteks negara ini, pemimpin terbahagi kepada dua kategori, iaitu pemimpin tertinggi negara yang merujuk kepada ketua utama negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong. Kedua, pemimpin kerajaan, iaitu ketua yang merujuk kepada kepemimpinan eksekutif tertinggi dalam kerajaan.

Sudah tiba masanya, seluruh rakyat memahami erti kepemimpinan sebenar sesuai pelaksanaan amanah pemimpin sangat berat. Dalam erti kata lain, falsafah kepemimpinan ini perlu berpaksikan konsep ibadah dan bukannya adat semata-mata.

Dengan melihat ketaatan terhadap pemimpin, walaupun dalam situasi penularan COVID-19, kita mahu kepemimpinan menjalankan program pemimpin masa hadapan yang serius dengan pelaksanaannya di sekolah mahupun di institusi pengajian.

Falsafah kepemimpinan berpaksikan konsep ibadah harus menjadi keutamaan agar generasi pemimpin masa hadapan lebih unggul seiring hala tuju kepemimpinan diinginkan, iaitu membawa negara ke ‘Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur’ yang bermaksud negara baik lagi mendapat keampunan Allah SWT.

Dengan sikap kepemimpinan itu, segala pendekatan direncana pemerintah akan membawa kebaikan dalam masyarakat. Malah, rakyat akan berganding tangan membangunkan negara dan menyokong langkah mulia pemimpin yang membawa kepada kejayaan di dunia serta akhirat.

Pemimpin hari ini perlu terus melaksanakan amanah bagi memastikan rakyat berada dalam situasi yang selamat. Cuma, jika ada antara kita mengganggu keamanan negara, jangan dipersalahkan pemimpin yang ada. Ingat-ingat peribahasa, anak harimau jangan diajak bertampar, ingat-ingat kukunya.