• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,143,284 orang
  • Tetamu Online

Kematian: Janji yang sudah pasti

Oleh Prof Emeritus Datuk Zakaria Stapa

Sesungguhnya Islam mengajarkan setiap makhluk bernyawa yang hidup di dunia ini termasuk manusia semestinya mengalami kematian dan mereka semua tidak mungkin sama sekali melarikan diri daripada merasai kematian yang sudah ditentukan oleh Allah SWT. Menerusi firman Allah bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran, ayat 185)

Ini bermakna mati adalah satu yang pasti dan tidak mungkin dielakkan.  Malahan, dalam konteks yang lebih mendalam, pakej hidup dan mati yang disediakan oleh Allah SWT kepada makhluk ciptaan-Nya adalah merentasi empat fasa: mati (sebelum lahir), hidup, mati dan hidup (pada hari akhirat).

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 28 bermaksud: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembali kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).”

Justeru, umat Islam mestilah menjalani hidup dalam kerangka kefahaman yang tepat tentang hakikat fakta seperti di atas dan dengan itu secara sekali gus mereka dapat mengenal siapa sebenarnya diri mereka dan tahu daripada mana asal usul mereka dan ke mana seterusnya kesudahan hidup mereka. Golongan Muslim sebegini, seperti yang dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab tersohor beliau Ihya’ Ulum al-Din, merupakan golongan yang seluruh kegiatan hidup serta daya usaha mereka tertumpu ke arah persiapan untuk menyempurnakan keperluan menghadapi kematian.  Justeru, golongan ini pastinya secara hati-hati menjalani kehidupan dunia ini agar mereka tidak perlu terperangkap dalam bencana besar kerohanian yang diistilahkan sebagai ghaflah (lupa) yang jelasnya sedang memerangkap cukup ramai sekali kalangan Muslim semasa.  Bencana ghaflah inilah yang amat digeruni oleh kalangan orang yang dekat dengan Allah SWT, kerana ia boleh menyebabkan pemiliknya seperti terungkap dalam al-Quran jatuh merudum statusnya sehingga ke tahap menjadi lebih rendah dan lebih sesat daripada binatang ternak, sedangkan di akhirat pula terpaksa meringkuk dalam neraka Jahanam.

Allah berfirman bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah SWT) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat kebesaran Allah dan mempunyai telinga, tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat; mereka seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah golongan yang lalai.” (Surah Al-A’raf, ayat 179)

Bertitik tolak daripada suasana dan sikap hidup yang sentiasa mengingati mati yamg membawa manusia Muslim menjadi kenal diri, maka mereka boleh merangka persediaan dan persiapan berasaskan ajaran Islam bagi menghadapi dengan jayanya saat kematian yang akan membawa mereka ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat. Sebagai contoh dalam tulisan ringkas ini boleh diketengahkan aktiviti berkaitan ibadah, maka mereka pastinya akan melaksanakan tugasan ini dengan sesempurna mungkin berasaskan ajaran Islam yang membahagikan ibadah ke dalam dua kategori berikut:

1. Ibadah Formal – iaitu merujuk kepada Rukun Islam: sembahyang, puasa, zakat dan haji. Ia amat penting kepada proses pemupukan dan peneguhan akidah dan merupakan medan latihan yang amat berkesan dalam proses pembentukan personaliti Muslim. Ibadah formal ini mempunyai struktur, sistem dan peraturan tertentu yang sudah ditetapkan syarak, yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan setepatnya oleh kalangan orang yang menunaikannya untuk ia boleh diterima dalam Islam.

2. Ibadah Tidak Formal – ibadah ini cukup luas sekali, merangkumi segenap aspek kehidupan manusia Muslim itu sendiri.  Perspektif Islam menjelaskan keseluruhan tindakan dan amalan manusia, pekerjaan dan tugasnya sehari-hari adalah tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti yang termasuk dalam istilah ibadat jika tindakan dan amalan, pekerjaan dan tugas itu dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur kerana patuh dan tunduk kepada undang-undang Allah dan kebesaran-Nya iaitu ibadat yang dilakukan dalam bentuk pekerjaan dan tindakan hamba Allah di ladang, di kilang, di pejabat, di hospital, di rumah dan di mana-mana saja Muslim itu berada.

Sesungguhnya pelaksanaan sempurna tugasan ibadah formal misalnya, pasti berupaya menghasilkan golongan Muslim yang kuat pegangan akidah dan mulia akhlak mereka yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan hidup bermasyarakat.  Sedangkan keikhlasan dan kejujuran melaksanakan ibadah tidak formal pula pastinya boleh meningkatkan produktiviti serta menyumbang kepada kemakmuran negara.  Adapun penyempurnaan tugasan adalah ciri asas kepada kalangan Muslim yang hidup dengan idealisme mengingati mati kerana mereka berhasrat untuk mendapatkan sebanyak mungkin ganjaran dari Allah bagi kesempurnaan hidup di akhirat.

Kesimpulannya ialah idealisme hidup yang sentiasa mengingati mati adalah suatu yang amat penting dihayati oleh manusia Muslim di samping ia juga merupakan satu unsur positif yang berupaya menjadikan manusia Muslim golongan yang dinamik dalam mengusahakan segala sesuatu dalam kehidupan yang semuanya dalam perspektif Islam adalah kerja ibadah. Dan sikap hidup mengingati mati ini juga adalah sebahagian yang tidak dapat dipisahkan dengan model hidup zuhud yang dibicarakan sebelum ini.