• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,143,284 orang
  • Tetamu Online

Pertahan akidah bukan taasub

ANCAMAN ISLAM DI NUSANTARA

AKIDAH Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) sudah bertapak di Nusantara sejak berabad lamanya. Antara kitab akidah ASWJ yang terawal ditemui adalah terjemahan Melayu bagi kitab al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah oleh Imam an-Nasafi daripada aliran Maturidiyyah.

Kemudian kitab akidah seperti Umm al-Barahin oleh Imam as-Sanusi dan Jauharah at-Tauhid oleh Imam al-Laqani daripada aliran Asya’irah adalah antara kitab akidah ASWJ tersebar dan berkembang luas di Nusantara.

Kitab-kitab ini sudah diajarkan dan dipelajari di serata pusat pengajian agama baik di Selatan Thailand, Malaysia, Sumatera, Pulau Jawa hingga ke Sulawesi.

Pendek kata, Nusantara adalah wilayah umat Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ sejak sekian lama. Tokoh seperti Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, Syeikh Abdus Samad al-Falimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Arsyad al-Banjari, Syeikh Yusuf al-Makassari dan ramai lagi antara mata rantai ilmuwan Nusantara yang gigih menanamkan akidah yang benar dalam jiwa masyarakat Islam.

Dengan akidah yang mantap, sudah tentu keyakinan seseorang tidak akan goyah sekiranya diganggu gugat fahaman asing yang datang mengancam. Justeru, mempertahankan akidah ASWJ adalah satu tanggungjawab yang perlu digalas oleh setiap Muslim dan bukan hanya pihak berkuasa agama semata-mata.

Ini kerana akidah adalah soal perkara usul yang mesti berasaskan dalil yang yakin dan pegangan yang jazam, bukannya sekadar sangkaan dan ikut-ikutan semata. Bererti aliran akidah yang tidak berasaskan dalil yang yakin dan pegangan yang jazam, mestilah diketepikan. Ini kerana soal akidah bukan seperti soal fiqah yang melibatkan perkara furu’ dan harus berbeza pandangan mengenainya.

Aliran yang disepakati berpegang dengan manhaj ASWJ ialah Asya’irah, Maturidiyyah dan Athariyyah Mufawwidhah. Manakala, aliran lain yang tidak mengikut manhaj ini perlu ditolak, malah wajib dipantau pihak berkuasa supaya tidak mengancam akidah masyarakat Islam. Ulama ASWJ sejak dahulu mengambil berat aspek ini.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini umat Islam Nusantara mula menghadapi pelbagai ancaman fahaman yang bertentangan dengan manhaj ASWJ seperti Syiah, Wahabi, Qadyani, Islam Liberal, Anti-Hadis dan ajaran sesat lain.

Ancaman ini patut dipandang serius oleh semua pihak kerana mempertahankan kebenaran itu merupakan satu tanggungjawab bersama. Namun, oleh kerana berlaku pertembungan intelek yang cukup sengit, adakalanya kebenaran itu menjadi kabur bagi sesetengah pihak. Wujud juga pihak yang menyarankan supaya masing-masing bertolak ansur dan berlapang dada seperti mana soal furu’ dalam ilmu fiqah.

Baginya, pihak yang menolak usaha ‘mendamaikan’ dianggap sebagai pihak yang taasub. Lebih aneh, ilmuwan ASWJ yang bersungguh-sungguh memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai bahaya fahaman-fahaman menyeleweng tersebut dituduh sebagai taasub terhadap pegangannya.

Ini jelas satu pandangan yang keliru dengan konsep kebenaran dan manhaj sebenar ASWJ. Seolah-olah, ASWJ tidak perlu lagi menjadi ‘tuan’ sebagaimana tradisi yang diwarisi daripada ulama Nusantara dahulu.

Pandangan keliru ini mungkin disebabkan sama ada kurang mendalami manhaj ASWJ atau tidak meneliti intipati sebenar fahaman yang menyeleweng.

Jika kefahaman usulnya mantap, sudah pasti ia tidak menganggap pegangannya saja benar atau pegangan fahaman ada kemungkinan benar, sepertimana dalam hal masalah furu’. Tidak mustahil mereka yang berfikiran demikian akan menyebabkan fahaman menyeleweng lebih bertambah subur dan berkembang luas.

Tuduhan taasub itu sebenarnya tidak kena pada tempatnya dan tidak berlandaskan kepada asas yang betul. Sifat taasub hanya dikeji apabila terus membantu dan membela sesuatu kezaliman atau kebatilan.

Sahabat Nabi SAW, Wathilah bin al-Asqa’ RA pernah bertanya kepada baginda SAW: “Wahai Rasulullah, apakah dia ketaasuban itu?” Jawabnya: “Iaitu kamu membantu kaummu berbuat zalim.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Ibn Majah)

Justeru, mereka yang membantu dan meraikan fahaman yang sudah diketahui batil dan menyeleweng itu yang lebih patut dilabel sebagai taasub.

Benar melalui dialog dan nasihat berterusan, kita boleh hidup bersama secara damai dan harmoni (ta’ayusy). Namun, bukan bermakna perlu meraikan dan menerima semua aliran akidah di atas nama perdamaian dan alasan kononnya berasas kepada ilmu. Jika tidak, ia adalah satu tindakan yang pasti merugikan ASWJ.

Setinggi-tinggi tahniah kepada jabatan mufti dan jabatan agama Islam negeri yang mengambil berat terhadap isu pegangan akidah masyarakat Islam berdasarkan manhaj ASWJ.

Penulis adalah Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)