• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,138,629 orang
  • Tetamu Online

Mempertahankan kemerdekaan

DI BUMI bertuah ini tempat kita dilahirkan dan di bumi ini pula tersemainya bibit-bibit cinta kita terhadap maruah dan kemerdekaan negara yang mesti dipertahankan oleh setiap warganegaranya. Hadis menyebutkan, “Mencintai tanah air itu sebahagian daripada iman.” Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya walaupun diperangi oleh kaum kafir Quraisy di tempat kelahirannya di Mekah, berhijrah ke Madinah atas perintah Allah SWT, namun tanah tumpah darahnya di Mekah tetap dikenang dan kemudiannya Baginda dan para sahabatnya (kaum Muhajirin) dapat membebaskan kembali pembukaan dan penaklukan Mekah dengan penuh gemilang yang dikenali dalam sejarah sebagai Fathul Mekah. Ini merupakan suatu jihad yang sangat besar dalam pengertian agama Islam.

Justeru, setiap Muslim itu wajib mempertahankan negara sampai ke titisan darah yang terakhir. Tuntutan itu sebahagian jihad yang dituntut agama. Sesiapa yang tidak mempunyai semangat mempertahankan negara tergolong sebagai nifak (cabang munafik).

Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (jihad) dan tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk berjihad, maka dia mati atas satu cabang nifak (munafik). (riwayat Muslim, Nasai’i dan Abu Daud)

Dalam pengertian ‘jihad’ banyak orang silap faham mengenai konsep jihad. Jihad bukan semestinya berperang di medan perang, mengangkat senjata seperti golok, parang dan sebagainya. Salah tafsir mengenai jihad menyebabkan ada orang mengangkat senjata melawan pihak yang dianggap mereka sebagai tidak sehaluan, golongan dan puak.

Pengertian jihad mempertahankan negara boleh dilihat dalam pelbagai bentuk dan sudut. Setiap Muslim boleh diberi gelaran ‘pejuang’ asalkan melakukan sesuatu usaha untuk kebaikan rakyat dan negara. Sesuatu yang dilakukan dengan satu semangat yang kental dan ikhlas adalah satu jihad asalkan tidak bercanggah dengan nilai-nilai agama dan perikemanusiaan.

Sokongan rakyat

Dengan demikian, negara memerlukan sokongan setiap rakyat untuk berjuang. Kini negara berdepan dengan pelbagai bentuk ancaman dari dalam dan luar.

Kancah fahaman politik dan ideologi serta pengaruh kebendaan yang menguasai cara dan gaya hidup menyebabkan banyak individu menjadi musuh kepada negara. Mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan inspirasi dan kepentingan negara.

Misalnya, ancaman daripada segi fahaman politik melampau, pertubuhan haram, aktiviti haram dan masalah sosial semakin meluas dan meningkat. Semua ini memerlukan jihad daripada warganegaranya untuk memerangi gejala-gejala tersebut. Tugas ini tidak memadai hanya dilakukan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO). Hakikatnya, kerjasama setiap rakyat amat diperlukan untuk mencegah dan menanganinya.

Di samping itu, peningkatan kadar jenayah, pengedaran dan penagihan dadah, seks bebas, tarian bogel, lepak, perjudian, kongsi gelap dan gejala lucah, penderaan kanak-kanak, pembuangan bayi, rompakan, pembunuhan, pecah rumah, kecurian dan sebagainya menjadi ancaman kepada kestabilan dan keselamatan negara. Sesiapa yang terlibat dalam kancah dan koridor amalan seperti itu menjadi musuh kepada negara dan rakyat.

Sementara itu, individu yang melakukan sesuatu mendatangkan keburukan kepada negara menjadi musuh dalam selimut. Perbuatan dan tindakan itu memberi ancaman kepada kestabilan negara lebih bahaya dan serius berbanding tindakan musuh dari luar negara.

2