• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,143,289 orang
  • Tetamu Online

Kehebatan Imam Syafie

Oleh Ustaz Hafiz Za’farani

SEMUA sedia maklum Imam Syafie adalah seorang mujtahid mutlaq yang menguasai pelbagai cabang ilmu. Oleh itu, Imam Syafie juga seorang ulama yang menguasai bidang akidah dengan cukup baik. Namun, timbul persoalan kenapakah kita yang bermazhab Syafie dalam fiqh, tidak mengikuti mazhab Syafie dalam bidang akidah? Bahkan di Malaysia sudah dibuat suatu ketetapan bahawa fiqh mengikut mazhab Syafie, akidah mengikut manhaj Asyairah Maturidiah dan tasawwuf pula mengikuti Imam Al-Ghazali serta Abu Junaid Al-Baghdadi.

Bagi menjelaskan persoalan ini, kita perlu mengetahui setiap ulama itu mempunyai tumpuan mereka tersendiri. Sebagai contoh, zaman Abu Bakar As-Siddiq mempunyai keutamaan untuk memelihara ketulenan agama Islam daripada golongan murtad, nabi palsu dan mereka yang ingkar dengan kefarduan zakat.

Demikian juga pada setiap era pemerintahan khalifah yang seterusnya, mereka mempunyai keutamaan sendiri. Oleh itu, ulama juga mempunyai keutamaan tersendiri seperti Imam Asy-Syafie yang memberi keutamaan kepada bidang usul fiqh dan fiqh sehingga terhasil mazhab beliau. Bahkan, Imam Syafie yang sibuk bergelumang dalam perbahasan fiqh juga terkenal dengan pendapatnya yang baharu selepas berhijrah ke Mesir, pendapat tersebut dikenali sebagai qaul jadid (pendapat baharu). Secara tidak langsung, kita dapat memahami Imam Syafie banyak memberi tumpuan dan keutamaan pada bidang fiqh di sepanjang hidupnya. Oleh yang demikian, tidak ada suatu bab akidah yang beliau susun melainkan ada beberapa yang dinisbahkan pada beliau dan ulama masih berselisih faham berkenaan pensabitannya.

Seterusnya walaupun sudah masyhur bahawa Imam Syafie antara ulama hadis yang sangat mahir dan menghafal ratusan ribu hadis, kita perlu tahu Imam Syafie juga tidak menyusun kitab hadis seperti yang dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain. Oleh itu, dalam bidang hadis kita mengikuti susunan yang dibuat oleh penyusun kitab hadis yang masyhur seperti kitab Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan At-Tirmidzi, Sunan An-Nasaie dan Sunan Ibnu Majah. Walaupun ada satu kitab hadis yang dinamakan Musnad Asy-Syafie, ulama masih membahaskan pensabitan kitab ini pada Imam Syafie. Ada yang mengatakan ia dihimpunkan oleh murid beliau dan bukan hasil penulisannya sendiri. Oleh itu, tidak salah jika dalam fiqh kita bermazhab Syafie manakala dalam hadis kita mengikut penilaian ulama yang disebutkan di atas.

Demikian juga dalam bidang akidah. Oleh kerana Imam Syafie tidak menyusun kitab khusus dalam bidang akidah, maka kita mengikut silibus akidah yang disusun Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidiah. Penyusunan manhaj atau silibus yang dibuat oleh kedua-dua imam ini hampir sama dengan perkembangan setiap mazhab, khususnya mazhab Syafie. Hal ini kerana selepas asas-asas telah disusun oleh kedua-dua imam itu, murid-muridnya memberi khidmat yang luar biasa dalam mensyarah, menjelas dan menyebarkan silibus yang dibuat oleh kedua-dua pengasas tersebut. Oleh itu, kini manhaj akidah terbesar yang diakui mengikuti akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah hanyalah Asyairah dan Maturidiah yang pengikutnya berada di serata dunia. Kebanyakan pengikut mazhab Syafie, Maliki dan fudhala’ Hanabilah mengikuti manhaj Asyairah. Manakala, kebanyakan pengikut mazhab Hanafi pula mengikuti manhaj Maturidiah. Sehingga kini, golongan yang tidak mengikuti manhaj Asyairah Maturidiah hanyalah golongan Syiah dan Wahhabi yang tidak diterima pengamalannya di Malaysia.

Hal yang sama berlaku dalam bidang tasawuf, ulama mengatakan bahawa penyusunan ilmu tasawuf mengalami kelewatan berbanding ilmu lain kerana pada peringkat awal Islam tasawuf tidak perlu kepada pengajaran secara khusus dan berkitab. Hal ini kerana ilmu tasawuf dipelajari secara tidak langsung melalui akhlak guru dan penghayatan daripada hadis Nabi yang masih kuat dalam hati umat Islam ketika itu. Hal ini terbukti dengan kata-kata Abdullah bin Mubarak seorang ulama salafussoleh yang terkenal mengakui beliau mempelajari adab selama 30 tahun berbanding ilmu lain yang dipelajari selama 20 tahun. Demikian juga Imam Abdullah bin Wahhab mengatakan beliau mempelajari adab Imam Malik lebih banyak daripada mempelajari ilmunya. Namun, setelah beberapa kurun berlalu, keruntuhan akhlak umat Islam semakin membarah sehingga perlu kepada penyusunan ilmu tasawuf secara terperinci dan kemas. Antara ulama yang muncul mengambil tanggungjawab ini ialah Imam Abu Junaid Al-Baghdadi (wafat 297), Imam Al-Ghazali (wafat 505), Imam Abu Hasan Asy-Syazili (wafat 656) dan Imam Ibnu Athaillah As-Sakandari (wafat 708). Hal ini menyebabkan penyusunan ilmu tasawuf lebih lewat berbanding ilmu fiqh, hadis, akidah dan lain-lain. Atas dasar itu, kita mengambil silibus ilmu tasawuf yang disusun oleh Imam Al-Ghazali dan tidak mengambil tasawuf Imam Syafie kerana beliau tidak terkehadapan dalam ilmu tasawuf.

Kesimpulannya, ulama Islam terbuka dan memahami kenapa akidah, tasawuf dan ilmu lain kita tidak mengikuti mazhab Syafie. Hal ini kerana Imam Syafie lebih menonjol dalam bidang fiqh berbanding ilmu lain. Manakala dalam bidang lain, ada tokohnya masing-masing yang diakui oleh umat Islam. Penerimaan umum umat Islam ini juga menunjukkan reda Allah kepada hal tersebut kerana semua yang berlaku sesuai dengan takdir dan kehendak Allah jua. Oleh yang demikian, kita juga perlulah menerima hal ini dengan dada yang lapang dan minda luas kerana ia adalah berkaitan perjalanan penyusunan ilmu sesuai dengan ketentuan Allah. Wallahu ‘alam.

Jangan ambil mudah status halal produk makanan

Oleh Dr Mohd Anuar Ramli

 

Setiap masyarakat memiliki budaya makanan tersendiri selari dengan pegangan agama, cita rasa dan tradisi turun-temurun, selain dipengaruhi keadaan alam sekeliling yang memudahkan untuk mendapatkan sumber makanan serta faktor cuaca panas atau sejuk.

Bagaimanapun, kesan globalisasi dan perkembangan teknologi makanan, pelbagai jenis makanan diimport ke dalam masyarakat termasuk di negara ini, sekali gus merancakkan konsumerisme.

Selari fenomena itu, selera orang Melayu mengalami evolusi daripada citarasa tempatan kepada antarabangsa, selain beradaptasi dengan hidangan makanan luar dari masa ke semasa.

Kuasa tular di media sosial baharu pula menyebabkan ia mendapat perhatian hingga ada pengguna sanggup beratur panjang bagi menikmatinya. Ironinya, kedinamikan cita rasa pengguna Melayu-Muslim kadangkala merentasi batasan halalan toyyiban yang digariskan syarak.

Ada premis atau makanan yang ditawarkan tiada sebarang pengesahan halal daripada pihak berautoriti. Justeru, sikap mengambil mudah aspek halalan toyyiban kian membimbangkan.

Baru-baru ini, isu biskut bijirin yang tular mengandungi bahan sumber babi. Begitu juga gula-gula yang dikeluarkan sejak 1940-an di China tetapi kini memasuki pasaran Malaysia secara meluas hingga menjadi pilihan dan kegemaran ramai pengguna Muslim.

Pihak pengeluar tidak membuat sebarang dakwaan status halal produk dan tidak pernah memohon status halal. Apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat pengumuman status halal produk berkenaan, pengguna Muslim panik kerana analisis makmal mendapati terdapat sumber haram berasaskan khinzir.

Justeru dalam isu gula-gula terbabit, pengeluar tidak boleh dipersalahkan kerana mereka tidak meletakkan sebarang label halal terhadap produk berkenaan, sebaliknya senario itu menunjukkan tahap kesedaran halal pengguna Muslim masih rendah.

Jelasnya, sikap mengambil mudah aspek halalan toyyiban oleh pengguna Muslim boleh menjejaskan aspek spiritual dan fizikal. Pengambilan makanan syubhah dan haram akan memberi kesan besar terhadap pembangunan kerohanian, di samping menjejaskan pembentukan akhlak.

Islam meletakkan garis panduan halal haram jelas dalam pengambilan makanan minuman. Ia sebahagian tuntutan ibadah.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda baik (halal) yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah: 172).

Begitu juga arahan memakan rezeki halal lagi toyyib (baik) kerana ia menjadi indikator keimanan. Firman Allah SWT: “Dan makanlah makanan halal lagi baik dari apa Allah rezekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada-Nya. (Al-Ma’idah: 88)

Di samping itu, Nabi Muhammad SAW bersabda: Ada empat keadaan, apabila keempatnya ada pada dirimu, maka segala urusan dunia yang luput darimu tidak akan membahayakanmu: Menjaga amanah, berkata benar, akhlak baik dan menjaga urusan makanan (halal). (Hadis riwayat Ahmad)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, jelas menunjukkan panduan asas syariah dalam pengambilan makanan minuman, iaitu mengutamakan halal lagi tayyib. Di samping kandungannya suci dan berkualiti, makanan dan minuman halalan tayyiban terjamin selamat kepada pengguna sama ada daripada aspek ancaman bahaya bersifat fizikal juga spiritual.

Panduan ini juga selari dengan pandangan Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin yang menegaskan setiap orang Islam perlu mengutamakan sesuatu yang halal, menghindari sesuatu yang haram dan menjauhi setiap yang syubhat.

Pemilihan makanan halalan tayyiban sebenarnya jati diri seorang pengguna Muslim. Apatah lagi bagi masyarakat Melayu, budaya makanan diwarisi melambangkan falsafah unik untuk dihayati. Selain mengenyangkan perut, makanan dijamah juga punya simbolik tertentu agar jati diri Melayu-Muslim terpelihara dan tidak terjajah cita rasanya.

Jika pun ingin meniru budaya makan semasa berasaskan cita rasa antarabangsa seperti makanan Korea dan Jepun serta minuman Taiwan, pengguna Muslim wajib mengutamakan aspek halalan toyyiba.

Mereka juga perlu mengunjungi premis dan mengambil makanan serta minuman yang mendapat pensijilan halal diiktiraf. Malah melalui aplikasi Verify Halal dibangunkan JAKIM, pengguna kini boleh menyemak status halal dengan mudah melalui aplikasi dimuat turun ke dalam telefon pintar masing-masing.

Dengan itu, pengguna akan dapat menentukan status makanan minuman diambil tanpa waswas. Pada masa sama, mereka dapat menghindari daripada unsur syubhat dan haram.

Kelebihan, keistimewaan pencinta masjid

KEAGUNGAN dan kemuliaan masjid digambarkan secara jelas oleh Rasulullah SAW melalui perbuatan. Banyak peristiwa dapat dikaitkan dengan kecintaan Baginda terhadap tempat suci bagi umat Islam itu.

Justeru, pengakuan mencintai Rasulullah SAW perlu dizahirkan dengan meneladani dan mengikuti ajaran Nabi antaranya sentiasa mempertingkatkan amalan mengimarahkan masjid.

Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Murshidi Mohd Noor, berkata terdapat pelbagai keistimewaan bagi umat Islam yang hatinya sentiasa terikat dan rindu untuk berada di masjid.

“Islam menekankan perihal masjid menerusi ayat al-Quran dan hadis yang menggalakkan orang Islam membina masjid, menerangkan kelebihan solat serta adab khusus ketika berada dalam rumah Allah itu.

“Antaranya, dalam hadis riwayat Bukhari, mereka yang hadir ke masjid akan mendapat pahala solat berjemaah yang kelebihannya adalah memperoleh 27 darjat berbanding solat sendirian.

“Ketika solat berjemaah, apabila imam selesai membaca surah al-Fatihah, lalu menyebut ‘amin’ bersama makmum, lafaz itu bertepatan dengan ‘amin’ malaikat, maka dosa mereka akan diampunkan oleh Allah SWT,” katanya.

Mohd Murshidi berkata, turut digalakkan adalah mengalunkan zikir beramai-ramai sejurus melaksanakan solat berjemaah.

“Dalam hadis riwayat Tirmizi menyatakan majlis zikir adalah satu taman syurga. Begitu juga dalam periwayatan Muslim ada menyebut, Allah SWT akan menurunkan rahmat dan ketenangan ke atas mereka yang berzikir secara beramai-ramai,” katanya.

Beliau menambah, maksud hati terikat kepada masjid itu bukan sekadar sentiasa duduk atau meluangkan masa yang lama di situ.

Menurut tafsiran Imam Nawawi, maksud terikat itu adalah terlalu cinta kepada masjid dengan melazimi solat berjemaah.

Beliau berkata, pengimarahan masjid secara menyeluruh dilakukan sejak zaman berzaman oleh Rasulullah SAW dan sahabat.

“Dalam peristiwa penghijrahan ke Madinah, ketika Baginda SAW pertama kali sampai ke Quba’, Nabi membina sebuah masjid. Selain itu, dalam keadaan bermusafir, Baginda menyediakan tempat khusus untuk solat bersama sahabat seperti dilaksanakan ketika peperangan Khaybar.

“Sehingga detik selepas kewafatan Nabi, sahabat terus memuliakan masjid. Pernah suatu ketika, Umar al-Khattab memerintahkan penguasa di bawah jajahannya membina masjid bagi setiap negeri dan daerah,” katanya.

Usah terbabit hantar makanan tak halal – Mufti Kedah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

 

Penghantar makanan e-hailing dinasihatkan tidak terbabit dalam penghantaran pesanan makanan tidak halal sekiranya mengetahui status halal makanan berkenaan.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang, berkata bagaimanapun sekiranya langsung tidak mengetahui status halal, hukum pendapatan diperoleh daripada perkhidmatan itu adalah halal.

“Hukum asal jual beli yang membawa kepada maksiat dan kemungkaran ialah haram sekiranya diketahui serta ada dzan (sangkaan) kuat terhadap tujuan yang cenderung kepada perkara haram.

“Dalam konteks Malaysia yang majoriti penduduk beragama Islam, secara umumnya perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian adalah halal dan termasuk dalam kategori akad Wakalah Bil Ujrah, iaitu perwakilan yang dibayar upah yang hukumnya harus berdasarkan syarat ditetapkan syarak,” katanya dalam kenyataan.

Fadzil berkata, jika pesanan bercampur antara makanan halal dengan haram, terdapat tiga keadaan perlu diambil perhatian.

Katanya, jika diketahui kuantiti makanan atau minuman halal melebihi haram, maka pendapatannya adalah halal.

“Kedua, jika diketahui kuantiti makanan atau minuman haram lebih banyak, adalah lebih baik mengelak daripada memperoleh pendapatan daripada pekerjaan itu.

“Sekiranya tidak dapat dibezakan antara kedua-duanya, pendapatannya tidak haram. Namun, hukum mengambil pendapatan itu adalah makruh. Bagaimanapun, atau dasar Ihtiyat (berjaga-jaga) adalah tidak digalakkan mengambilnya kerana dibimbangi termasuk dalam perkara syubhah,” katanya.

Fadzil berkata, bagi mengelak dikenakan tindakan penalti pihak syarikat perkhidmatan kerana pembatalan perkhidmatan penghantaran makanan tidak halal itu (jika yakin makanan dipesan termasuk perkara syubhah), maka jawatankuasa menasihatkan mereka berhubung terus dengan syarikat berkenaan agar membatalkan pesanannya.

“Hal ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) seseorang tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu mengenai apa kamu kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (segala isi hati) terkandung dalam dada.

“Berdasarkan dalil itu, Muslim tidak akan menanggung dosa seseorang Muslim lain. Justeru, dalam konteks transaksi membabitkan tujuan atau perkara haram dan di luar pengetahuan seseorang, maka dosa pelaku ditanggung sendiri dan tidak ditanggung pihak lain yang berurusan dengannya,” katanya.

Kuasai ilmu, iman kawal emosi

Allah SWT mengurniakan hati dan rasa untuk merasai nikmat-Nya seperti nikmat iman, kemuliaan serta pengampunan Allah SWT yang memberi kekuatan dalam hati untuk terus memanfaatkan sepenuhnya dalam kehidupan.

Dalam Islam, soal emosi sangat penting bagi setiap individu kerana berkait rapat dengan perasaan. Oleh itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam segmen Islam Itu Indah berkata, pengurusan emosi perlu diketahui supaya mampu mengurusnya dengan baik.

Beliau berkata. manusia yang berdosa perlu bertaubat dan syaratnya ialah rasa menyesal iaitu emosi yang memainkan peranan memberi garis panduan kepada umat Islam supaya takut serta patuh dengan larangan Allah SWT.

“Rasa datang dari hati di mana terletaknya iman seseorang menandakan keyakinan kepada Allah SWT. Begitu juga dengan takwa yang terletak dalam hati. Rangkuman dari hati mendorong tindakan manusia mengikut apa yang dirasainya. Hati akan jadi baik apabila selalu menyebut zikrullah,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Emosi juga akan mempengaruhi cara berfikir dan jika cara berfikir itu salah, maka tindakan akan menjadi salah.

 

Perbaiki diri

Oleh itu, jika umat Islam tidak berfikir dengan baik dan tidak merasai setiap kelebihan serta ganjaran yang Allah SWT berikan, semua itu akan dipinggirkan serta disia-siakan begitu sahaja. Perkara itu ada kaitan dengan pencarian ilmu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu.” (Surah Fatir, ayat 28)

Umat Islam perlu melihat situasi yang tersendiri dan perlu memperbaiki diri. Ilmu yang ada bukan bermaksud seseorang itu berjaya dari segala aspek. Contohnya, ada segelintir individu yang cemerlang dalam mata pelajaran, tetapi tidak melaksanakan solat.

Hal ini menerangkan ilmu itu tidak semestinya mampu mengawal rasa dan emosi, tetapi hanya membangunkan fikiran. Berjaya dalam pelajaran tidak bermaksud akan berjaya dalam kehidupan. Justeru, individu Muslim mestilah menguasai ilmu disamping mentaati perintah Allah untuk mencapai kebaikan.

Tindakan itu dapat melahirkan seorang yang menjiwai ilmu dan terbit rasa yang baik dari hatinya. Profesor Hamka berkata, ‘hujung akal, pangkal agama’ di mana manusia mencari-cari sesuatu adalah bermula dari agama.

Agama meletakkan kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan manusia itu pada tauhid dan iman seseorang. Jika iman dipelihara dengan baik, segala bentuk perbuatan tidak akan mempengaruhi emosi.

 

Umat Islam dituntut minta nasihat

Orang yang beriman akan sentiasa merujuk pada Allah SWT dan tindakannya mengikut syariat Islam serta mereka tidak berasa dukacita. Bagi mereka yang tiada pegangan ini, setiap tindak balasnya akan menyebabkan berlaku perkara yang di luar kawalan akal fikiran.

Perasaan dendam dan marah akan menyelubungi hidupnya tanpa menghiraukan perasaan orang lain.

Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat dan sentiasa berpandukan kepada alim ulama untuk membentuk peribadinya. Marah dan emosi yang tidak terkawal adalah sebahagian daripada sifat syaitan.

Oleh itu, jauhi sifat marah dan berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa supaya dapat meningkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Al-Quran gambarkan ciri-ciri ahli syurga

DALAM kehidupan manusia diberi dua pilihan oleh Allah SWT, sama ada ke syurga atau neraka. Al-Quran menggambarkan ahli syurga, orang beriman dan beramal soleh.

 

Ingat pesanan Rasulullah SAW, iman tidak diperoleh dengan berangan-angan, tetapi iman adalah apa yang diikrarkan di dalam hati dan dizahirkan dengan amal dan perbuatan, serta yakin bahawa pada suatu hari nanti manusia akan kembali menghadap Allah apabila dimatikan dan memasuki alam kubur.

 

Manusia juga perlu yakin akan melalui saat disoal di dalam kubur dan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar dan kemudian melalui titian sirat, serta tetap yakin akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.

 

Tidak dapat dinafikan ciri utama penghuni syurga adalah dalam kalangan manusia yang beriman. Firman Allah yang bermaksud: “Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu” dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 5)

 

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm, berkata manusia yang sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik dan berhijrah di jalan Allah SWT adalah antara ciri bagi penghuni syurga. Semakin matang dan meningkatnya usia menjadikan mereka semakin soleh sehingga ke penghujung hayatnya digelar wali Allah oleh malaikat.

 

Allah SWT menyebut: “(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah SWT dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberi minum orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.” (Surah al-Taubah, ayat 20 hingga 22).

 

Hijrah ke arah lebih baik

 

Setiap manusia yang ingin berhijrah kepada yang lebih baik dalam hidupnya perlu ada kemahuan melakukan perubahan. Ciri ketiga bagi penghuni syurga ialah orang yang sentiasa bertaubat dan menjauhkan dirinya daripada kelalaian yang melampau.

 

Rasulullah SAW berpesan, sekiranya bertemu dengan orang yang kaya, lalu kamu menghormatinya kerana kekayaannya, nescaya dua pertiga daripada agamanya sudah dileburkan di sisi Allah. Dalam kehidupan ini tidak akan ada seorang pun manusia yang layak memiliki kekayaan selain Allah SWT.

 

Selain itu orang yang beriman kepada Allah SWT dan ayat-Nya serta sentiasa hidup dengan berserah kepada Allah SWT, adalah di antara ciri manusia yang layak menghuni syurga.

 

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Zukhruf, ayat 68 hingga 70: “(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang yang beriman akan ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang Islam yang taat patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam syurga bersama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.”

 

Manusia yang sentiasa hidup di dalam keikhlasan walaupun dihalangi kesukaran, melayakkan mereka menjadi penghuni syurga kelak. Sukarnya melahirkan keikhlasan sehinggakan Allah menurunkan Surah al-Ikhlas yang dinilaikan seumpama satu pertiga al-Quran. Mereka yang mampu menjadikan dirinya ikhlas di dalam beribadah kepada Allah, menunjukkan petanda bahawa dirinya seperti yang digambarkan di dalam al-Quran, orang yang sedang bergerak ke arah syurga.

 

Dalam Surah as-Saaffaat, ayat 40 hingga 43 pula bermaksud: “Kecuali hamba Allah SWT yang dibersihkan daripada sebarang syirik, Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum, Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan.”

 

Ciri penghuni syurga

 

Ciri penghuni syurga, termasuk dalam kalangan manusia yang istiqamah beribadah kepada Allah. Mereka ini digambarkan di dalam Surah Fussilat, ayat 30 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

 

Orang yang bertakwa kepada Allah SWT, diusir dari negerinya dan diseksa kerana berada di jalan Allah SWT juga antara ciri penghuni syurga. Di dalam firman Allah, Surah ali-Imran, ayat 195: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang sabil) sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).”

 

Hidupkan malam beribadah

 

Di antara ciri lain bagi manusia yang layak menghuni syurga ialah mereka yang sanggup merenggangkan dirinya dengan tempat tidurnya semata-mata untuk menghidupkan malamnya untuk sujud kepada Allah.

 

Begitu juga para wali Allah yang sentiasa dekat-Nya, orang yang beriman pada Hari Akhirat serta orang yang sabar di dalam mengharapkan pertemuannya dengan Allah SWT. Selain itu, manusia yang menginfaqkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT dan hidupnya begitu taat kepada Allah SWT dan Rasul bakal memasuki syurga.

 

Ciri ahli syurga ini terkandung dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 22 hingga 24: “Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -Iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri mereka serta anak mereka; sedang malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”

5 Amal ibadah kunci syurga

 

KESILAPAN menyintai dunia dan mengikut hawa nafsu hanya akan memusnahkan impian manusia untuk beroleh ganjaran istimewa pada hari akhirat kelak.

 

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)

 

Tanda-tanda yang menunjukkan manusia itu dalam kalangan mereka yang bertakwa dan bakal menghuni syurga ialah mereka rajin bertaubat kepada Allah SWT. Walau apa juga kesilapan dan dosa dilakukan, janganlah berputus-asa dan jemu memohon keampunan daripada-Nya.

 

Malas bertaubat membuktikan manusia malas untuk masuk syurga kerana sesungguhnya agama menggalakkan manusia meraih ganjaran dengan apa cara sekalipun. Antara usaha itu ialah bertaubat kerana manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

 

Berada dalam majlis ilmu

 

Rajin bertamu di rumah Allah SWT dan menghidupkan majlis ilmu adalah tanda manusia bakal meraih ganjaran syurga. Mereka yang sentiasa berada di majlis ilmu adalah dalam kalangan orang yang terpilih kerana amalan itu sukar dilakukan.

 

Menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, berkata peringatan yang diperolehi menerusi tazkirah dan kuliah ilmu memberi manfaat syurga kepada ahlinya.

 

Beliau berkata, sentiasa membantu orang lain juga akan menjanjikan syurga, terutama apabila bantuan diberikan tidak mengharapkan pujian dan balasan, Allah SWT akan membantu dipermudahkan jalan mereka masuk ke syurga.

 

Abu Bakar as-Syafie meriwayatkan daripada Qulaib bin Har, Rasulullah SAW bersabda: “Carilah syurga sekuat tenaga kamu, kamu perlu berani mengatakan tidak kepada perkara yang mendatangkan dosa, berani menadahkan tangan setinggi mungkin, menangis teresak-esak kepada Allah SWT, manakala neraka, kamu larilah sekuat mungkin daripadanya.

 

Sesungguhnya mencari syurga itu tidak sepatutnya ia hidup dalam keadaan terburu-buru, dan orang yang ingin lari daripada neraka itu tidak sepatutnya mereka hidup di dalam keadaan tergesa-gesa atau hanya melakukan amalan secara ala kadar.”

 

Mereka yang rajin membaca al-Quran juga antara yang meraih syurga. Jika tidak mampu membaca al-Quran, maka perbanyakkanlah berzikir. Bertadabburlah dan menghalusi ayat al-Quran sehingga dapat merasai kemanisan hidup beragama.

 

Nikmat dirasai apabila sering membaca al-Quran tidak dapat dibayangkan keindahannya kerana ia mukjizat agung Allah SWT berikan kepada manusia. Sebaliknya, manusia tidak merasai kehebatan al-Quran kerana dibelenggu kemalasan.

 

Menjaga silaturahim

 

Oleh itu, untuk merasai diri dekat dengan Allah SWT, lakukanlah perkara yang dicintai-Nya seperti menyambung silaturahim kerana semakin ramai yang dekat dengan kita, semoga ramai yang mendoakan kita.

 

Rasulullah SAW mengingatkan, tidak akan masuk syurga orang yang hidup di dunia ini, memutuskan silaturahim. Menyambung silaturahim akan melayakkan dirinya memperoleh ganjaran syurga.

 

Syurga Firdaus iaitu ganjaran tertinggi kepada penghuninya. Orang yang beriman kepada Allah SWT dan sentiasa beramal soleh dan mereka akan tinggal di dalamnya buat selama-lamanya.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka itulah orang yang berhak mewarisi – yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 10-11)

 

Syurga kedua tertinggi ialah syurga Adni seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “(Segala sifat yang mulia) ini, adalah menjadi sebutan penghormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang yang bertakwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak), Iaitu beberapa buah syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka; (Mereka akan bersukaria) dalam syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang pelbagai jenisnya dan rasa kelazatannya. Dan di sisi mereka pula bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. Inilah dia balasan yang dijanjikan kepada kamu setelah selesai hitungan amal! Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis.” (Surah Saad, ayat 49-54)

 

Syurga ketiga ialah syurga Khuld yang diceritakan dalam al-Quran: “Bertanyalah (kepada mereka): Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa? Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali. Mereka beroleh dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).” (Surah al-Furqan, ayat 15-16)

 

Syurga seterusnya ialah syurga Makwa yang dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi ‘Sidratul-Muntaha’; yang di sisinya terletak syurga ‘Jannatul-Makwa’. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) ketika Sidratul Muntaha itu diliputi oleh makhluk dari alam ghaib, yang tidak terhingga.” (Surah al-Najm, ayat 13-16)

Bersikap adil terhadap kawan dan lawan

 

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.” (Surah Al-Hadiid, ayat 25)

 

Syeikh Mustafa Al-Maraghi ketika membuat huraian di atas menyebut manusia terbahagi kepada dua golongan, satu golongan dapat diatur dengan ilmu dan hikmat. Satu golongan lagi hanya boleh diatur dengan pedang dan tongkat.

 

Mereka yang tunduk kepada kekuasaan adalah lebih ramai berbanding yang tunduk kepada al-Quran. Sementara itu keadilan dan undang-undang harus ada pelindungnya. Kenyataan Al-Maraghi membayangkan kepentingan keadilan yang mesti ditegakkan sama ada melalui al-Quran atau undangundang.

 

Antara nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai keadilan. Ia akan menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Al-Quran menegakkan keadilan di antara manusia sebagai matlamat semua risalah samawi sehingga diutuskan kepada mereka Rasul-rasul kerana faktor menegak keadilan dibangunkan langit dan bumi.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undangundang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.” (Surah al-Rahman, ayat 7-9)

 

Maksud keadilan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak sama ada individu atau kumpulan manusia. Islam memerintahkan setiap orang berlaku adil terhadap dirinya dengan menyeimbangkan antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.

 

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu ada haknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Hadis itu adalah teguran Rasulullah SAW kepada Abdullah Ibnu Amru apabila dia mengabaikan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamullail pada malam harinya.

 

Begitu juga Islam telah memerintahkan supaya berlaku adil pada keluarga, suami, isteri dan anak-anak.

 

Ketika Basyir ibnu Saad Al-Ansari hendak mendapatkan persaksian Rasulullah SAW terhadap hibah atau pemberian tertentu, dia mengutamakan pemberian itu kepada sebahagian anak-anaknya. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya: “Adakah semua anak kamu berikan yang seumpama ini? Basyir menjawab: Tidak. Rasulullah SAW bersabda: “Carilah penyaksian ke atas pemberian itu selain dariku, aku tidak akan membuat persaksian atas ketidakadilan.” (Riwayat Nasaie)

 

Ini menggambarkan keadilan harus diberikan kepada yang disayanginya atau tidak supaya perasaan sayang seseorang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan. Alangkah hebatnya perintah untuk berbuat keadilan ini sehingga al-Quran meminta berlaku adil walaupun terhadap orang dimusuhi.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maaidah, ayat 8)

 

Antara bentuk keadilan paling jelas ditekankan oleh al-Quran ialah keadilan sosial dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang luas antara kaya dan miskin, membataskan monopoli orang kaya dan mengangkat taraf hidup orang miskin.

 

Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada orang yang kurang bernasib baik dan pengabaian terhadap perkara ini dengan ancaman neraka.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahim; selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar, Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin.” (Surah al-Haaqqah, ayat 30-34)

 

Agama juga memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam perkataan. Kemarahan tidak boleh menjadi alasan untuk kita tidak berkata benar dan kerelaan kita kepada seseorang tidak menjadi pendorong untuk berkata suatu yang tidak benar.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu).” (Surah al-An’aam, ayat 152)

 

Begitu juga Islam memerintahkan kita berlaku adil dalam penyaksian. Kita tidak boleh menjadi saksi melainkan dalam perkara yang kita tahu, tidak boleh berlebih, tidak boleh berkurang, tidak boleh mengubah dan tidak boleh menggantikan dengan yang palsu.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya) dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata).” (Surah at-Talaaq, ayat 2)

 

Menegakkan keadilan antara seruan utama al-Quran kepada manusia, justeru menjadi kewajipan kepada kita memastikan diri termasuk dalam kalangan mencintai keadilan dan menegakkannya dalam seluruh sistem kehidupan.

 

Pengabaian terhadap nilai keadilan sebenarnya adalah pengabaian terhadap nilai Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan juga Rasul sebelum Baginda.

Kehebatan al-Quran berupaya ‘lunakkan’ hati manusia

KISAH lima pelajar perempuan berketurunan Orang Asli Temiar memeluk Islam kerana mendengar alunan bacaan al-Quran rakan mereka beragama Islam, menunjukkan kehebatan kitab suci itu sebagai mukjizat yang berupaya mengetuk hati manusia.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, Gua Musang itu mengucap dua kalimah syahadah pada majlis khas di Madrasah Taman Sri Galas, Kuala Betis, Gua Musang.

Siti Awara Johari, 13, berkata dia setiap hari berkawan dengan rakan sekolah dan selalu mendengar alunan bacaan al-Quran.

Katanya, begitu juga dapat melihat rakan beragama Islam itu menunaikan solat lima waktu sehingga dirinya rasa gelap masa depan selagi tidak beragama.

Dalam sirah, sudah tentu banyak kisah yang mencatatkan sahabat Rasulullah SAW memeluk Islam selepas mendengar ayat al-Quran.

Antara yang istimewa tentunya kisah Sayidina Umar al-Khattab RA, apatah lagi kerana ia mengubah daripada seorang yang bersikap keras terhadap seruan Islam dan mahu mengambil tindakan terhadap Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang sangat mencintai Baginda melebihi diri sendiri.

Malah, al-Quran juga ‘mengetuk’ pintu hatinya sebanyak dua kali sebelum akhirnya beliau melafazkan kalimah syahadah.

Kisah pertama berlaku ketika Umar mahu bertemu Rasulullah SAW yang ketika itu berada di hadapan Kaabah dan sedang membaca surah al-Haaqqah.

Firman Allah SWT: Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu daripada Kami) disampaikan Rasul mulia. Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (seperti kamu dakwakan. Namun, sayang) amatlah sedikit kamu beriman. Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (seperti kamu katakan. Namun, sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (Al-Haaqqah: 40-42)

Ketika Rasulullah SAW membacakan ayat ke-40, Umar merasakan apa dibacakan Baginda ialah sihir seperti dituduh Musyrikin Makkah pada waktu itu. Bagaimanapun, ayat berikutnya yang dibaca Baginda mengejutkannya kerana persoalan yang timbul di fikirannya itu, terus dijawab Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan – sudah tentu Kami akan menyentapnya dengan kekuasaan Kami, – Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati serta-merta); Maka tidak ada seorangpun antara kamu dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.” (Al-Haaqqah: 44-47)

Umar ketika itu merasakan Islam menyelinap masuk ke hati sanubarinya, tetapi belum menjadikannya memeluk Islam hingga kisah keduanya yang terkenal.

Kisah kedua lebih dramatik kerana Umar ketika itu menghunus pedang dengan perasaan penuh kemarahan untuk mencari Rasulullah SAW tetapi beliau diberitahu bahawa adiknya, Fatimah bersama suami sudah memeluk Islam.

Oleh itu, Umar menangguhkan hasrat itu, lalu berpatah ke rumah Fatimah dan menerjah pintu rumah mereka serta memukul adik iparnya.

Bagaimanapun, keteguhan hati Fatimah dan suami berhadapan dengannya, menyebabkan hati yang membara itu sedikit sejuk, ditambah melihat adik kesayangannya berdarah.

Malah, hatinya terus lunak kemudiannya selepas Fatimah membaca lembaran surah Taha ayat 1-8. Umar yang sebelumnya menghunus pedang mencari Rasulullah SAW, lalu berubah menjadi seorang yang mahu menatap wajah Baginda sebagai seorang Muslim.

Sudah tentu sejarah merakamkan bagaimana Umar menjadi tokoh penting dan berani dalam sirah, sekali gus mencatatkan banyak peristiwa besar termasuk menjadi khalifah kedua dalam Islam.

Sikap kufur, suka berbohong tidak dapat hidayah

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang yang berkata dengan mulutnya: Kami tetap beriman, padahal hatinya tidak beriman.” (Surah al-Maaidah, ayat 41)

Rasulullah SAW diutuskan dengan membawa segala bentuk kebaikan untuk umatnya, berita gembira kepada orang mukmin, amaran bagi orang kafir. Rasulullah SAW sangat menginginkan kaumnya mendapat petunjuk dan hidayah.

Orang yang mudah bersikap kufur daripada golongan munafik yang mengaku beriman hanya sebagai pemanis mulut, namun ternyata sebenarnya mereka tidak beriman dengan bersungguh-sungguh. Mereka ialah orang yang menampakkan kebaikan dan menyembunyikan keburukan.

Ibnu Juraij berkata, orang munafik ialah yang perkataannya menyalahi tindak-tanduknya dan batinnya bercanggah dengan zahirnya .

Sifat keprihatinan yang luar biasa menyebabkan Baginda SAW merasa sedih kepada sesiapa sahaja yang keluar daripada garis keimanan. Baginda memberatkan dirinya dalam urusan dakwah mengatasi kemampuan yang ada bahkan melebihi apa yang dituntut kepadanya.

 

Teguran kepada nabi

 

Abu Hayyan berkata, ayat itu diturunkan untuk menghiburkan Nabi Muhammad SAW dan meringankan rasa dukacitanya terhadap sikap mereka yang mencari kekufuran dan mendedahkan hakikat diri mereka supaya Baginda SAW tidak menaruh harapan tinggi mereka akan beroleh petunjuk.

Seperti diketahui Baginda tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya.” (Surah as-Syu’ara, ayat 4)

Disebabkan terlalu mengharapkan petunjuk untuk kaumnya, Allah SWT menegur Nabi Muhammad SAW kerana itu akan membebankan dirinya. Teguran itu bukan kerana kelemahan ataupun kesilapan Baginda tetapi ia mengatasi kemampuannya.

Orang munafik keimanan mereka hanya di bibir sahaja. Demikian juga orang Yahudi, suka mendengar berita dusta dan palsu. Mereka suka mendengar perkataan pendeta Yahudi yang sering berbuat dusta terhadap Allah SWT.

 

Suka cerita bohong

 

Di samping itu, mereka suka memesongkan dan meminda hukum Allah SWT. Mereka tidak mahu hadir dalam majlis nabi kerana sombong dan terlalu ingin menunjukkan permusuhan seperti Yahudi Bani Khaibar.

Sementara golongan suka mendengar cerita bohong ialah orang Yahudi Bani Quraizah yang datang menemui Baginda, mereka mengubah serta meminda hukum Allah SWT dalam kitab Taurat serta menggantikannya dengan hukum lain.

Ibnu Abbas berkata, hukum yang mereka pinda ialah hukum hudud yang telah ditetapkan dalam kitab Taurat. Mereka meminda rejam dan menggantikannya dengan hukuman sebat serta menghitamkan muka.

Mereka berkata kepada pengikut mereka, jika disampaikan kepada kamu hukum dalam Taurat seperti yang dipinda ini, bolehlah kami terima. Tetapi sebaliknya, jika disampaikan kepada kamu hukum asal dalam kitab Taurat, maka jangan sekali-kali kamu menerima hukum itu.

 

Hati yang hidup

 

Nabi Nuh AS telah berdakwah kepada kaumnya, isteri dan anaknya selama 950 tahun, namun hanya sedikit yang beriman kepada Allah SWT. Ini bukanlah petanda Nabi Nuh gagal, tetapi bukti tidak ada yang dapat memberikan hidayah kecuali dengan izin Allah SWT.

Apabila jiwa seseorang sering berkecimpung dalam perkara kebatilan, pembohongan dan kejahatan, suka menderhaka dan melakukan perbuatan merugikan, maka kesesatannya menjadi perwatakan. Hatinya tidak lagi mempunyai sebarang kemanisan untuk menerima kebenaran. Akibatnya, mereka tidak lagi dapat menerima keterangan yang benar.

Al-Quran memberi manfaat kepada orang yang mempunyai hati yang hidup, mengetahui kebaikan di sebalik petunjuk, bimbingan-Nya serta mengikut bimbingan dan petunjuk itu.

Mereka ini umpama manusia yang apabila muncul kilatan cahaya kebenaran di hadapan, mereka akan segera menangkapnya sehingga hati dan sanubari dipenuhi cahaya kebenaran itu. Itulah orang yang dianugerahkan Allah SWT taufik dan hidayah, yang bakal memperoleh kemenangan serta kebahagiaan