• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,134 orang
  • Tetamu Online

Cari sahabat kerana akhirat

Oleh Mohd Hassan Adli Yahya

Dalam kehidupan sebagai manusia di atas dunia, kita pasti dikelilingi oleh orang yang dipanggil sebagai ‘kawan’. Baik di sekolah, tempat kerja, kawasan perumahan, masjid dan di mana-mana sahaja, kita akan ada kawan.

Kecuali jika seseorang itu benar-benar ‘kera sumbang’ dan hanya duduk di dalam rumah tidak keluar. Namun ia tampak mustahil kerana dia juga pasti pernah mempunyai kawan sebelum ini.

Kehadiran kawan ini juga sebenarnya sedikit sebanyak mencorak kehidupan kita. Siapa kawan yang dipilih dalam kehidupan kadangkala mempengaruhi diri kita terutama bagi golongan remaja kerana fasa ini adalah umpama ‘mengenal dunia’.

Justeru, artikel kali ini lebih kepada hasrat saya untuk mengajak pembaca bermuhasabah dan mengenali status hubungan kita dengan rakan. Di bawah ada tiga kategori kawan yang mungkin ada dalam hidup kita.

1. Persahabatan kerana Allah

Inilah sebaik-baik persahabatan. Persahabatan yang berlandaskan niat kerana Allah SWT semata-mata. Betapa mulia dan agungnya persahabatan ini di sisi Allah SWT. Namun persahabatan kategori ini semakin pupus serta jarang kita temui sekarang.

Ia semakin lenyap dari muka bumi kerana suburnya sifat materialistik dan mementingkan diri sendiri yang menguasai diri manusia. Sesungguhnya persahabatan yang diikat dan dijalin kerana Allah itu sentiasa di dalam kebaikan dan rahmat Allah SWT.

Ciri-ciri persahabatan kerana Allah

– Seseorang yang memilih untuk bersahabat, mengasihi dan membiasakan diri dengan temannya kerana dilihat temannya sangat taat dan cinta kepada Allah Taala.

– Seseorang yang memilih untuk bersahabat dan mengasihi temannya kerana temannya banyak membantunya dalam selok-belok agama dan menasihatinya untuk sentiasa taat setia kepada Allah Taala.

– Seseorang yang memilih untuk bersahabat dengan temannya, mengasihinya kerana temannya membantu urusan keduniaannya lantaran itu terurus dan tersusun jugalah urusan akhiratnya.

2. Persahabatan tabi’i

Persahabatan yang tidak ada hubungan dengan persahabatan kerana Allah. Ia persahabatan biasa kerana urusan keduniaan. Mereka boleh mengasihi satu sama lain kerana mereka saling perlu memerlukan untuk kelancaran urusan duniawi semata-mata.

Persahabatan ini tidak diniatkan kerana Allah SWT. Sesuatu amalan yang tidak diniatkan kerana Allah hanya akan menjadi adat dan tiada pahala. Apa pun, persahabatan ini jika boleh diniatkan kerana Allah SWT, insya-Allah boleh menjadi seperti yang pertama tadi.

3. Persahabatan tercela

Inilah persahabatan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan kita. Bukan sahaja tidak berpahala, malah berdosa pula. Dia bersahabat dan mengasihi seseorang kawan kerana kawannya setia membantunya melakukan kezaliman dan maksiat kepada Allah Taala.

Mereka sama-sama bersahabat, tetapi sahabat yang menganjur berbuat kemungkaran serta kefasikan. Sebenarnya dalam keadaan ini mereka turut bersahabat dengan syaitan laknatullah.

Mereka tidak malu untuk bersama membuat maksiat, malah berbangga dengan kejahatan dan penindasan yang dilakukan kepada orang lain. Namun harus di­ingat, walaupun nampak rapat dan serasi dalam persahabatan yang penuh mungkar dan keji itu, pada hari akhirat nanti mereka akan saling bermusuhan, bercakaran dan salah-menyalahi antara satu sama lain.

“Sia-sia aku berkawan dengan engkau.”, “Rosak hidup aku kerana bersahabat dengan kamu.”, “Kerana berkawan dengan kamu, aku dihumban ke neraka ini!” Allah gambarkan suasana itu dalam firman-Nya dalam ayat 67 surah az-Zukhruf:

“..dan sahabat-sahabat (karib di dunia dahulu) pada hari itu (hari akhirat) saling bermusuhan antara satu sama lain melainkan orang-orang yang bertakwa.”

Oleh itu, siapakah teman, kawan dan sahabat kita hingga ke saat ini yang termasuk dalam kategori persahabatan kerana Allah, persahabatan tabi’i atau persahabatan yang tercela?

Atau ada ‘tahap’ persahabatan yang mungkin boleh bermuhasabah untuk menjadikan ia tidak sekadar putus di dunia, tetapi memberi manfaat hingga ke syurga.