Pengajian bersanad tradisi ilmuwan silam

Dr Mohd Khafidz Soroni

PENGAJIAN hadis bersanad merupakan antara budaya ilmu ulama Islam sejak lebih 14 kurun lalu. Bagaimanapun, kini ia semakin berkurangan apabila sistem pengajian banyak diambil alih oleh metode pendidikan moden. Meskipun ia hampir pupus di kebanyakan dunia Islam namun di benua India seperti di Deoband, Lucknow dan Saharanpur tradisi ini kekal dan mungkin tidak terusik sejak beberapa abad lepas. Demikian juga usaha memeliharanya secara individu di beberapa tempat masih tetap ada dipertahankan sehingga sekarang.

Para ulama sejak dahulu mengambil berat mengenai sistem sanad. Antara bukti yang menunjukkan demikian ialah wujudnya tuntutan mengaplikasikan kaedah dan adab periwayatan sanad hadis di dalam kesemua kitab-kitab disiplin ‘ulum al-hadith.

Terdapat lapan kaedah dalam periwayatan hadis termasuk dua kaedah pertama yang dianggap paling kuat, iaitu mendengar penyampaian guru, guru menyemak bacaan murid, guru memberikan keizinan, guru memberikan bahan bertulis, guru menulis serta mengirimkan surat, guru memberikan makluman, guru memberikan wasiat serta penemuan bahan bertulis. Di samping, terdapat penjelasan secara terperinci tentang adab muhaddith (guru) dan penuntut hadis (murid). Dalam tradisi pengajian hadis, kesemua kaedah dan adab ini adalah dipraktikkan.

Sistem sanad kemudian berkembang dan tidak hanya sekadar pada kitab hadis. Malah, ia menjangkau kepada kitab-kitab ilmu lain, seperti qiraat al-Quran, tafsir, fiqah, usul, akidah, sejarah, sirah, tasawuf dan lain-lain. Kesemuanya bertujuan untuk menjaga, mengukuhkan, membuktikan dan mengesahkan persambungan rantaian keilmuan dan kefahaman yang diterima oleh seseorang ilmuwan.

Apa yang mengkagumkan, semua sanad ini direkodkan oleh mereka di dalam banyak kitab khusus secara lengkap. Pendokumentasian sanad keilmuan, sama ada dalam bidang hadis dan lain-lain dalam kalangan ulama Islam memang cukup luar biasa. Dr. Yusuf al-Mar’asyli menyenaraikan di dalam karya ensiklopediknya, Mu’jam al-Ma’ajim wa al-Masyyakhat sebanyak 3,225 kitab yang merekodkan pelbagai sanad keilmuan daripada ramai tokoh ulama di sepanjang sejarah Islam.

Dengan kesedaran sesetengah pihak kini terhadap kepentingan sistem sanad, budaya ini cuba dihidupkan kembali, baik di Timur tengah, Afrika utara, mahu pun di Nusantara. Di Malaysia, pengajian hadis bersanad dahulu mula dibawa oleh ulama Melayu yang belajar di Makkah. Begitu juga oleh mereka yang belajar di benua India. Ulama dari Timur Tengah, sama ada Mesir, Syria dan Yaman yang berkunjung ke Malaysia kebelakangan ini turut memainkan peranan dalam mengembangkan tradisi pengajian bersanad.

Menghidupkan kembali tradisi pengajian yang menjadikan ulama dahulu berjaya dan cemerlang merupakan sesuatu yang wajar diberi galakkan. Tradisi yang menjadikan disiplin ilmu Islam sebagai yang paling sahih di dunia ini memang cukup patut dibanggakan. Ini kerana ia dipindahkan daripada satu generasi ke satu generasi lain sehingga kini tanpa gagal sedikit pun.

Walaupun sanad sekarang tidak mempengaruhi status hadis. Namun, ia merupakan hujah nyata kepada musuh Islam seperti orientalis Barat bahawa ketulenan ilmu Islam adalah autentik dan terpelihara tanpa terputus jalurnya.

Di samping, dapat menjadi bukti integriti dan kesahan ilmu seseorang individu bahawa ilmu yang dimilikinya adalah benar dan bersambung melalui ulama muktabar. Justeru, jika seseorang ilmuwan tidak mempunyai sanad, malah sanad ilmu yang dipelajarinya pula terputus, bagaimana ia hendak rasa berbangga mengenainya terhadap pihak lawan?

Pemeliharaan sanad pengajian ini adalah cukup penting. Ia umpama identitiĀ  umat Islam yang tidak wajar terjejas dalam perspektif keilmuan antara semua disiplin ilmu di dunia. Para ulama pada masa dahulu cukup mengambil berat terhadap aspek ini, malah mereka membawa anak-anak ke majlis periwayatan hadis agar mereka turut beroleh ijazah sanad yang diberikan, walaupun mereka masih lagi belum faham. Kata al-Hafiz Ibn al-Salah (m. 643H): “Para ahli ilmu sejak dahulu dan kini sering membawa anak-anak mereka ke majlis penyampaian dan periwayatan hadis, serta mengiktiraf riwayat mereka melalui kaedah begitu sesudah mereka besar.”

Pengajian bersanad sebenarnya bukan sekadar untuk mengambil berkat, bahkan selain mendapat manfaat ilmu, ia turut mendidik jiwa dengan berbagai sifat mahmudah seperti tekun, sabar, ikhlas, istiqamah, tawakkal, tawaduk dan sebagainya.

Di samping menerapkan berbagai adab Islam, seperti adab dalam majlis, adab berguru, adab dengan ilmu dan sebagainya. Selain peluang berzikir dan berselawat, serta meraih doa malaikat dan rahmat yang turun semasa majlis ilmu. Mereka yang tidak menghargai banyak hikmah rohani tersirat ini tentunya akan memandang sepi terhadap majlis pengajian sedemikian.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: