Asyairah serasi pendekatan kesederhanaan

Ustaz Hafiz Za’farani

KINI gelaran Wasatiyyah direbut oleh banyak pihak kerana ia menggambarkan fahaman dan idealogi mereka yang relevan dengan masyarakat semasa. Bahkan ajaran yang tidak diterima di Malaysia seperti Syiah dan Wahhabi juga berebut memakai gelaran ini pada slogan mereka. Hakikatnya, Asyairah yang membawa delegasi Ahli Sunnah Wal Jamaah pada masa sekarang adalah golongan yang berpegang dengan manhaj Wasatiyyah.

Wasatiyyah sinonim dengan kesederhanaan, tidak terlalu ghuluw (melampau) atau tidak terlalu bermudah-mudah. Hal seperti ini sudah tentu dapat menarik ramai peminat dalam kalangan orang awam untuk mempelajari manhaj ini. Sudah tentu ia menjadi rebutan banyak pihak termasuk golongan penggerak ideologi barat seperti liberalisme dan feminisme.

Rentetan banyak pihak yang cuba menuntut gelaran Wasatiyyah ini maka ramai yang terlepas pandang bahawa manhaj Asyairah yang menjadi suatu madrasah pemikiran Islam adalah pembawa manhaj Wasatiyyah yang sebenar. Contohnya ialah suatu ketika dahulu sudah muncul fahaman Qadariyyah yang diasaskan oleh Ma’bad Al-Juhani membawa suatu pemikiran yang mendakwa bahawa segala sesuatu yang terjadi ialah daripada usaha manusia semata-mata dan tiada urusan dengan ketentuan Allah SWT. Fahaman ini beranggapan bahawa kesenangan, kesusahan, kekayaan, kemiskinan, sihat dan sakit semuanya daripada perbuatan manusia semata-mata, bahkan ia tiada kaitan dengan ketentuan Allah kerana Allah sudah menyerahkan segalanya untuk diurus sendiri oleh manusia. Mereka juga berdalilkan dengan firman Allah: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah diri mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11)

Pada ketika itu, muncul pula golongan yang menentang ideologi berkenaan yang dikenali dengan kumpulan Jabbariyyah diasaskan oleh Al-Ja’ad bin Dirham. Jabbariyyah memperjuangkan pemikiran bahawa setiap sesuatu yang berlaku di dunia ini semata-mata ditentukan oleh Allah dan menafikan ikhtiar manusia. Oleh itu, manusia sekadar menjadi boneka di atas segala ketetapan yang sudah ditentukan Allah. Mereka berdalilkan dengan firman Allah: “Dan Allah yang menciptakan kamu dan juga perbuatan kamu.” (Ash-Shafat: 96)

Jika diteliti dengan baik, ajaran Qadariyyah berpandangan bahawa semuanya daripada manusia secara mutlak dan menafikan takdir Allah. Manakala Jabbariyyah berpandangan bahawa semuanya daripada Allah secara mutlak dan menafikan ikhtiar makhluk. Maka jika dibiarkan salah satu daripada fahaman ini, maka sudah tentu akan menyebabkan kerosakan akidah kerana bagi golongan Qadariyyah mereka cenderung menafikan kekuasaan Allah ke atas urusan makhluk. Manakala bagi golongan Jabbariyyah mereka cenderung menafikan ikhtiar makhluk maka jika ada manusia berbuat dosa, pada pandangan mereka ia adalah dipaksa oleh Tuhan dan bukan daripada kehendak mereka sendiri.

Oleh yang demikian, manhaj Asyairah membawa suatu pandangan Wasatiyyah yang sederhana tanpa menafikan kekuasaan Allah dan ikhtiar makhluk. Pada pandangan Asyairah, manusia diciptakan dengan dua keadaan iaitu Ijbariy (ditentukan tanpa ada pilihan) dan Ikhtiariy (diberi pilihan). Maka manusia tidak akan hisab di atas perkara yang Ijbariy seperti umur bertambah, dilahirkan mengikut jantina yang ditentukan, bernafas dan lain-lain. Namun, setiap manusia akan dinilai atas perkara Ikhtiariy yang mempunyai pilihan sama ada hendak melakukan atau meninggalkannya. Sebagai contoh, seseorang itu dinilai atas ikhtiarnya untuk mencuri atau melakukan amal kebaikan.

Justeru, jelaslah bahawa manusia mempunyai ikhtiar. Namun kita tidak dapat menafikan juga bahawasanya setiap ikhtiar yang dilakukan itu hanya berlaku apabila diizinkan Allah. Kita dapat saksikan banyak kes pencuri yang ditangkap kerana gagal mencuri, sedangkan itu ikhtiarnya, tetapi gagal kerana tidak diizinkan Allah. Begitu juga, kita dapat lihat ramai yang mahu mengerjakan haji pada tahun ini, tetapi tidak boleh kerana Allah tidah izinkan. Inilah yang dimaksudkan setiap ikhtiar manusia hanya berlaku dengan izin Allah. Manusia boleh berikhtiar untuk melakukan kebaikan atau keburukan. Namun ia hanya terjadi apabila diizinkan Allah. Lalu, Allah akan menilai mereka atas ikhtiar mereka sendiri, bukan kerana dipaksa oleh Allah.

Inilah yang dimaksudkan bahawa Asyairah membawa manhaj Wasatiyyah yang membawa penyelesaian kepada kekeliruan pemikiran yang diracuni oleh pelbagai falsafah buruk dan sesat. Oleh itu, jika dikatakan manhaj Wasatiyyah, maka sebenarnya ia terus merujuk kepada Asyairah yang menjadi Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diakui oleh jumhur ulama Islam. Wallahu’alam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: