• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,140 orang
  • Tetamu Online

Hukum dan kelebihan ibadat korban

Syariat / Hikmah Korban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Firman Allah swt yang bermaksud:

Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.” Al-Kautsar:

Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:

“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripadaNya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya.”

Nabi SAW juga telah bersabda yang bermaksud:

Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Hukum Korban

Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah.

Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa berkorban hukumnya wajib bagi orang yang mencukupi nasab zakat. Antara rujukan mereka adalah hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Fadhilat Korban

 Keistimewaan orang yang berkorban banyak sekali.

Saidina Ali Bin Abi Talib RA telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat.

Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih. Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan. Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titis darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah 10 malaikat yang mendoakan dan meminta keampunan kesalahannya kepada Allah sampai hari kiamat.

Apabila dagingnya dibahagi-bahagikan, maka setiap suap yang dimakan orang, baginya adalah seperti memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail AS. Haiwan yang dikorbankan itu kelak akan menjadi kenderaan bagi orang yang mengorbankannya pada hari kiamat.

Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim.”

Selain daripada itu orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dipandang sebagai orang yang baik di antara umat Nabi Muhammad SAW sesuai dengan maksud sabda Rasulullah SAW:

“Umatku yang baik ialah mereka yang berkorban dan umatku yang jahat ialah mereka yang tidak berkorban.”

Korban juga dapat menyelamatkan orang yang berkorban dari kejahatan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Bukankah korban itu termasuk ibadah yang menyelamatkan orang, yakni menyelamatkan orang yang empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat.”

Rebutlah Kelebihan ibadat Korban

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahin AS kepada anaknya Nabi Ismail AS bagi memenuhi perintah Allah SWT. Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban. Untuk itu, di sana terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan berkorban. Antaranya:

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)][Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]

 

Makna Hadith

Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 5/61] Selain itu juga, status hadith ini menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’ kerana ada yang melihat hadith ini sebagai dhaif dan sebagainya. Akan tetapi, al-Mubarakfuri menilai hadith ini sebagai hasan sebagaimana yang dinyatakan ketika mensyarahkan hadith ini.

Tambahan pula, di akhir hadith ini terdapat perintah agar kita membersihkan jiwa atau diri kita dengan melaksanakan ibadah ini kerana padanya disediakan ganjaran dan pahala yang cukup besar oleh Allah SWT.

 

Penutup

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang agung dan ganjaran yang disediakan amat besar bagi orang-orang yang melaksanakan ibadah ini. Ini kerana, ibadah korban merupakan sunat muakkad iaitu yang amat digalakkan untuk dilakukan bagi orang yang menepati syarat-syarat berkorban berdasarkan firman Allah SWT:

 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Al-Kauthar 108:2

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan perkara-perkara ketaatan kepada Allah SWT dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapatkan syurga Firdaus yang paling tinggi di akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam