Diam atau berkata baik

Fadly Samsudin

LISAN orang beriman hanya mempunyai dua pilihan iaitu bercakap perkara yang baik dan jika tidak mampu, maka perlu diam.

Orang Islam yang baik pastinya akan meninggalkan perkara yang tiada kaitan atau urusan dengannya.

Pada zaman sekarang, percakapan bukan hanya menggunakan mulut. Ia sudah berpindah kepada tangan termasuklah menulis di media sosial.

Lidah mungkin tidak lagi banyak berkata-kata, tetapi tangan pula sentiasa sibuk mengambil alih peranan lidah bagi melakukan perbuatan yang mengundang dosa fitnah sesama manusia.

Kita mengetahui setiap fitnah akan membuahkan permusuhan besar.

Sehubungan itu, kita perlu berpegang kepada peringatan yang diberikan Allah SWT seperti dalam firman-Nya yang  bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah An-Nuur, ayat 19)

Ingatlah, semua yang kita ucapkan akan dicatat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaaf, ayat 18)

Jika tersalah dalam berkata-kata, sangat bahaya kesannya.

Barangkali, ada ketikanya kita mengeluarkan sesuatu ucapan yang dirasakan tiada sebarang masalah buat diri kita namun disebabkan ia tidak jelas, maka perbuatan itu juga mendapat murka daripada Allah SWT.

Dalam satu hadis panjang, Rasulullah SAW menjelaskan kepada Muaz bin Jabal ketika bersama-sama baginda dalam satu perjalanan.

Pada satu pagi, beliau berada dekat dengan Baginda dan bertanya: “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka?”

Baginda menjawab: “Demi sesungguhnya kamu bertanyakan kepadaku sesuatu yang agung padahal sungguh ia adalah perkara mudah bagi orang yang Allah jadikan mudah baginya iaitu: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan berhaji ke Baitullah.”

Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Pintu-pintu itu adalah puasa, ia adalah perisai (daripada api neraka). Sedekah, ia akan memadamkan dosa-dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang pada pertengahan malam.”

Kemudian Baginda membacakan ayat: “Mereka menjauhkan diri dari tempat tidurnya (kerana solat malam), serta mereka berdoa kepada Rabbnya dengan rasa takut (tidak dimakbulkan) dan harap (agar dimakbulkan), dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-
Sajdah, ayat 16-17)

Sememangnya lidah manusia itu sesuatu yang luar biasa kesannya. Ia boleh membuatkan orang berasa benci, sakit hati dan  berlaku pergaduhan besar akibat seseorang yang jenis lancang pengucapannya.

Sebaliknya, apabila lidah itu dijaga dengan sebaiknya, ia pasti  mampu membangkitkan rasa tenang, kagum serta terharu orang di sekelilingnya.