• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,147 orang
  • Tetamu Online

Disyariatkan solat sunat tahiyatul masjid

SESEORANG itu masuk ke dalam masjid dan terus duduk di dalam saf.

Kemudian dia tersedar masih belum mendirikan solat sunat tahiyatul masjid. Bolehkah  dia bangun semula  dan melakukan solat tahiyatul masjid?

Solat tahiyatul masjid adalah solat dua rakaat yang amat dituntut kepada seseorang yang memasuki masjid.

Satu hadis diriwayatkan oleh Abu Qatadah Al-Ansari R.A, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu masuk ke dalam masjid maka janganlah dia duduk se-hingga dia selesai solat dua rakaat.” (Riwayat Al-Bukhari) 

Ulama mengeluarkan beberapa faedah daripada hadis itu dan kami seperti berikut:

Hadis itu menjelaskan disyariatkan solat dua rakaat bagi sesiapa yang masuk ke dalam masjid.

Ia turut menjelaskan solat tahiyatul masjid jumlahnya dua rakaat.

Justeru, tidak diterima sekiranya dilakukan hanya satu rakaat sahaja.

Sebahagian ulama berpendapat, arahan mendirikan solat sunat tahiyatul masjid hanya membabitkan orang yang ingin duduk di dalam masjid sahaja.

Jika seseorang itu masuk, kemudian keluar tanpa hajat untuk duduk di dalam masjid, maka dia tidak termasuk dalam tuntutan itu.

Terdapat satu hadis menjelaskan kepentingan mendirikan solat tahiyatul masjid sekalipun seseorang itu sudah duduk sebentar seperti yang diriwayatkan Abu Zar Al-Ghifari R.A, beliau berkata: “Aku pada suatu hari masuk ke dalam masjid, lalu aku melihat bahawa Rasulullah SAW sedang duduk secara bersendirian. Kemudian Baginda berkata kepadaku yang bermaksud: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya bagi masjid itu ada tahiyatnya. Sesungguhnya tahiyat (bagi masjid) adalah dua rakaat. Maka bangunlah kamu dan dirikan dua rakaat tersebut.

Kemudian Abu Zar berkata: “Lalu aku pun bangun dan mendirikan solat dua rakaat, kemudian aku kembali dan duduk semula bersama Rasulullah SAW.” (Riwayat Ibn Hibban)

Imam Al-Nawawi rahimahullah menyebutkan, ulama bersepakat, solat sunat tahiyatul masjid adalah sunah dan jika tiada keuzuran, makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Rujuk  Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab – 4/52)

Perlu dijelaskan bahawa tahiyatul masjid itu terhasil dengan sendirinya apabila seseorang melakukan solat fardu atau solat sunat lain. Tujuannya supaya seseorang itu tidak harus duduk di dalam masjid tanpa  solat terlebih dahulu kerana menghormati masjid.

Berkaitan isu mendirikan solat tahiyatul masjid selepas  duduk sebentar, satu hadis diriwayatkan Jabir R.A, bahawa Sulaik Al-Ghatafani mahu solat Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah SAW sedang duduk di atas mimbar.

Sulaik terus duduk sebelum mendirikan solat (dua rakaat). Lalu Rasulullah SAW bertanya: “Adakah kamu sudah mendirikan solat dua rakaat?’’

Maka Sulaik menjawab: “Tidak’’. Kemudian Baginda SAW bersabda yang maksudnya: “Bangunlah kamu dan tunaikan ia (solat dua rakaat).” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, hukum mendirikan solat tahiyatul masjid selepas seseorang duduk adalah dibolehkan.

Namun, pendapat yang terpilih adalah dibolehkan sekiranya tempoh masa duduk itu sebentar sahaja dan bukan berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

3 Pintu kebaikan untuk ke syurga

DALAM satu hadis, Muaz bin Jabal bersama-sama Nabi SAW dalam satu perjalanan.

Pada satu pagi, beliau berada dekat dengan Baginda dan bertanya: “Wahai Rasulullah, khabarkanlah kepadaku amalan yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka?”

Baginda menjawab: “Demi sesungguhnya kamu bertanyakan kepadaku sesuatu yang agung padahal sungguh ia adalah perkara mudah bagi orang yang Allah jadikan mudah baginya iaitu: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan berhaji ke Baitullah.”

Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Pintu-pintu itu adalah puasa, ia adalah perisai (daripada api neraka). Sedekah, ia akan memadamkan dosa-dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat seseorang pada pertengahan malam.”

Kemudian Baginda membacakan ayat: “Mereka menjauhkan diri dari tempat tidurnya (kerana solat malam), serta mereka berdoa kepada Rabbnya dengan rasa takut (tidak dimakbulkan) dan harap (agar dimakbulkan), dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Sajdah, ayat 16-17)

Kemudian Baginda bertanya: “Mahukah kamu aku tunjukkan pokok bagi segala perkara agama, tiangnya dan puncaknya?” Muaz menjawab: “Tentu wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Pokok bagi (segala) perkara adalah Islam, tiangnya adalah solat, sedangkan puncaknya adalah jihad.”

Kemudian Baginda bertanya: “Mahukah aku khabarkan kamu dengan sesuatu yang menguasai semua itu?” Muaz menjawab: “Tentu wahai Nabi Allah!”

Maka, Baginda memegang lidahnya dan bersabda: “Tahanlah (lidah) kamu ini.” Muaz bertanya: “Wahai Nabi Allah! (Apakah) sungguh kita akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang kita katakan?”

Baginda menjawab: “Moga ibumu kehilanganmu wahai Muaz! Tidaklah manusia itu disungkurkan ke dalam neraka di atas muka atau hidung mereka melainkan disebabkan apa yang lidah mereka (ucapkan).” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi)

Dalam hadis itu, ketika Nabi SAW menyatakan antara pintu kebaikan itu adalah puasa sama ada ia puasa wajib atau sunat. Puasa itu dianggap sebagai perisai kerana dengan berpuasa, kita pasti dapat menjaga akhlak dan tingkah laku.

Jika tidak berpuasa, kita tidak rasa ada perkara yang dapat mengawal diri kita. Seperti kita melaksanakan puasa wajib pada bulan Ramadan. Sudah pasti, pada hari berkenaan kita sedaya upaya menjaga mulut daripada berkata-kata perkara sia-sia.

Ia sama dengan seseorang yang sedang mengerjakan ibadat haji atau umrah. Apabila seseorang itu sudah berniat mengerjakan umrah dan berihram dengannya, maka dia akan menjaga segala-galanya. Mulut ketika itu hanya mahu mengucapkan talbiah atau bertasbih.

Begitu juga apabila Nabi SAW menyatakan kepada Muaz hal kedua yang menjadi pintu kebaikan buat diri manusia iaitu amalan sedekah. Sekiranya kita sering mengeluarkan sedekah, ia dapat menghapuskan dosa kita.

Pintu kebaikan ketiga yang dinyatakan Rasulullah SAW adalah seorang yang bangun pada tengah malam untuk bersolat. Biasanya, golongan itu akan bangun pada tengah malam kira-kira jam 4 atau 5 pagi untuk menunaikan solat sunat.

Sebelum tidur, mereka sudah berniat untuk bangun bertahajud. Maka, secara automatik, mereka akan bangun walaupun untuk menunaikan solat sunat dua rakaat.

Sebarang ganjaran kebaikan yang Allah SWT hendak berikan kepada hamba-Nya pada hari akhirat kelak tidak diketahui. Ganjaran itu pastinya sesuatu yang tidak pernah terbayang dan tergambar pada fikiran kita.