• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,279 orang
  • Kandungan Blog

Beri tumpuan ketika bacaan khutbah

Qira’ah Fatwa

Ketika mendengar khutbah Jumaat kadangkala ada jemaah berasa mengantuk. Apakah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan hal itu?

Mendengar khutbah Ju-maat adalah dituntut. Sekalipun fuqaha berbeza pendapat mengenai hukumnya antara wajib dan sunat, ia tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.

Terdapat dua perkara menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat Jumaatnya seperti berikut:

1. Perkataan

Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung menyebabkan pelakunya menjadi lagha.

Ini berdasarkan satu riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: ‘Diamlah’ ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha. (Riwayat al-Bukhari – 934)

Hadis itu menjadi dalil bahawa sebarang ucapan sekalipun berbentuk amar makruf (arahan kepada kebaikan) dilarang ketika khutbah sedang berlangsung serta menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Pengertian lagha di sisi ulama membawa kepada makna berikut:

1. Tidak mendapat sebarang pahala.

2. Fadilat Jumaat seseorang itu terbatal.

3. Solat Jumaatnya menjadi solat Zuhur saja.

Berdasarkan hadis itu juga, dalalah al-muwafaqah (petunjuk yang bertepatan) membawa kepada larangan berkata-kata ketika khutbah.

Sekalipun ucapan ‘diamlah’ itu suatu amar makruf, ia dianggap sebagai lagha. Maka ucapan selain daripada itu adalah lebih utama untuk dinilai sebagai lagha.

2. Perbuatan anggota badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Satu riwayat daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat Jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (ketika khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari Jumaat (yang akan datang) serta pertambahan tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia lagha. (Riwayat Muslim – 857)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang. Ia menjadikan pelakunya lagha. Hal itu diluaskan lagi kepada perbuatan lain menyebabkan hilangnya tumpuan dalam mendengar isi khutbah seperti bermain telefon bimbit dan menyibukkan diri dengan tasbih.

Namun, terdapat pengecualian ke atas perbuatan yang dapat membantu menambahkan fokus mendengar khutbah. Terutamanya perbuatan yang dapat menghilangkan rasa mengantuk ketika khutbah dibacakan.

Satu riwayat daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang kamu mengantuk ketika dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat), maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain. (Riwayat Abu Daud – 1119)

Hadis itu menunjukkan, tidaklah semua pergerakan anggota badan itu dilarang ketika khutbah, tetapi perbuatan seperti beralih kedudukan dari satu tempat ke tempat lain itu dibolehkan, bahkan disunatkan dengan tujuan untuk mengelakkan rasa mengantuk serta dapat terus fokus mendengar khutbah.

Berikut adalah hikmah perbuatan beralih kedudukan ini:

• Pergerakan dapat menghilangkan rasa mengantuk.

• Tempat duduknya yang menyebabkan dia tidur itu terdapat padanya syaitan.

Dua hikmah itu disebutbutkan oleh al-Sayyid Muhammad Siddiq Hasan di dalam kitabnya, Al-Diin al-Khaalis (4/145-146).

Maka, perbuatan dan pergerakan seperti itu tidak dilarang dan dianggap sebagai lagha. Bahkan, ia suatu yang dituntut lagi disunatkan.

Kesimpulannya, seseorang yang rasa mengantuk ketika khutbah disunatkan beralih kedudukan tempat duduknya ke tempat lain di dalam masjid.

Bagaimanapun, memandangkan suasana setempat kita pada hari ini saf sudahpun penuh ketika khutbah, maka tidaklah perlu seseorang yang berasa mengantuk beralih tempat lain sehingga menyebabkan mengganggu jemaah lain.

Dibolehkan untuk melakukan perbuatan lain yang dapat menghilangkan mengantuk seperti memicit leher atau badannya.

Adab dan sunat hari raya Aidil Adha

Di sini dicoretkan beberapa adab dan perkara yang disunatkan untuk kita lakukan pada hari raya ini.

1. Membersihkan diri sebelum keluar untuk solat hari raya

Antara dalilnya ialah sebagaimana berikut :

a. Adalah Ibnu Umar mandi pada hari raya sebelum dia keluar
(riwayat imam Malik dengan sanad yang sohih )
b. Telah sabit bahawa para sahabat bersugi dan memakai bauan pada hari raya.
c. Telah sabit juga bahawa Ibnu Umar mandi dan memakai bauan pada hari raya.
d. Sebahagian ulama’ menyatakan sunat mencukur bulu dibadan dan memotong kuku kerana ia adalah penyerpurna dalam berhias. (cuma bagi yang mahu melakukan ibadat korban sunat tidak melakukan perkara tersebut bermula 1 Zulhijjah hingga selesai ibadat korban)

2. Memakai sebaik-baik pakaian

Adalah bagi Rasulullah S.A.W satu jubah yang dipakai pada kedua hari raya.

3. Makan tamar atau seumpamanya selepas solat hari raya

Daripada baridah telah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W tidak keluar pada hari raya eidil fitri sehingga baginda makan dan tidak makan pada hari raya korban sehingga menyembelih binatang korban. ( riwayat imam Ahmad dalam sohih Al-Jami’ )

4. Keluar solat hari raya dimasjid dan seumpamanya

Ummu ‘Athiyyah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kami supaya keluar pada hari raya eidil fitri dan eidil adha termasuk perempuan yang baru baligh, mereka yang datang haidh dan mereka yang sibuk dengan tugas di rumah. Maka bagi mereka yang datang haidh hendaklah tidak turut sama untuk solat dan mereka menyaksikan kebaikan dan jemputan muslimin. ( Riwayat imam Bukhari dan Muslim)

Setengan ulama’ mewajibkan para muslimin untuk keluar ke temapt solat hari raya.

5. Melaungkan takbir bermula pagi hari Arafah hingga berakhir hari Tasyriq 13 Zulhijjah

Hadis Ibnu Umar mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari 10 dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”

Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”

Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.

6. Melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat hari raya

Adalah Rasulullah S.A.W apabila keluar pada hari raya pada satu jalan, baginda pulang pada jalan yang lain. ( Riwayat imam Bukhari dalam sohih al-Jami’ )

7.Mengucapkan tahniah dan ucapan selamat hari raya kepada para muslimin

Adalah para sahabat apabila bertemu pada hari raya, mereka akan mengatakan kepada mereka yang ditemui dengan kalimah yang bermaksud : Semoga Allah menerima segala amalan kami dan kamu.
( Telah diriwayat oleh al-Muhamili dan selainnya dengan sanad yang sohih dalam Tamam al-Minnah )

Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan amaln sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat. Hidupkan hari raya dengan perkara yang bermanfaat dan jangan kotorkannya dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk maksiat. Hari raya kemenangan dalam melawan nafsu dan jangan biarkan nafsu yang mengalahkan kita pula pada hari raya.

Hukum dan kelebihan ibadat korban

Syariat / Hikmah Korban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Firman Allah swt yang bermaksud:

Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.” Al-Kautsar:

Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:

“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripadaNya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya.”

Nabi SAW juga telah bersabda yang bermaksud:

Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Hukum Korban

Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah.

Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa berkorban hukumnya wajib bagi orang yang mencukupi nasab zakat. Antara rujukan mereka adalah hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Fadhilat Korban

 Keistimewaan orang yang berkorban banyak sekali.

Saidina Ali Bin Abi Talib RA telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat.

Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih. Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan. Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titis darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah 10 malaikat yang mendoakan dan meminta keampunan kesalahannya kepada Allah sampai hari kiamat.

Apabila dagingnya dibahagi-bahagikan, maka setiap suap yang dimakan orang, baginya adalah seperti memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail AS. Haiwan yang dikorbankan itu kelak akan menjadi kenderaan bagi orang yang mengorbankannya pada hari kiamat.

Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim.”

Selain daripada itu orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dipandang sebagai orang yang baik di antara umat Nabi Muhammad SAW sesuai dengan maksud sabda Rasulullah SAW:

“Umatku yang baik ialah mereka yang berkorban dan umatku yang jahat ialah mereka yang tidak berkorban.”

Korban juga dapat menyelamatkan orang yang berkorban dari kejahatan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Bukankah korban itu termasuk ibadah yang menyelamatkan orang, yakni menyelamatkan orang yang empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat.”

Rebutlah Kelebihan ibadat Korban

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berkorban merupakan salah satu ibadah yang agung sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahin AS kepada anaknya Nabi Ismail AS bagi memenuhi perintah Allah SWT. Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban. Untuk itu, di sana terdapat beberapa buah hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan berkorban. Antaranya:

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)][Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib]

 

Makna Hadith

Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 5/61] Selain itu juga, status hadith ini menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’ kerana ada yang melihat hadith ini sebagai dhaif dan sebagainya. Akan tetapi, al-Mubarakfuri menilai hadith ini sebagai hasan sebagaimana yang dinyatakan ketika mensyarahkan hadith ini.

Tambahan pula, di akhir hadith ini terdapat perintah agar kita membersihkan jiwa atau diri kita dengan melaksanakan ibadah ini kerana padanya disediakan ganjaran dan pahala yang cukup besar oleh Allah SWT.

 

Penutup

Ibadah korban merupakan satu ibadah yang agung dan ganjaran yang disediakan amat besar bagi orang-orang yang melaksanakan ibadah ini. Ini kerana, ibadah korban merupakan sunat muakkad iaitu yang amat digalakkan untuk dilakukan bagi orang yang menepati syarat-syarat berkorban berdasarkan firman Allah SWT:

 

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Al-Kauthar 108:2

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan petunjuk dalam melaksanakan perkara-perkara ketaatan kepada Allah SWT dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapatkan syurga Firdaus yang paling tinggi di akhirat kelak. Amin.

 

Wallahua’lam

Rebutlah Fadhilat Puasa Arafah (9 Zulhijjah)

Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain.

Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”

.

.

Niat Puasa Hari Arafah;

*نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلِّهِ تَعَالَى*

Daku berniat puasa hari Arafah, sunat kerana Allah Ta’ala.

.

Rasulullah SAW. bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

.

Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah hajipula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu.

Diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:“Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di Arafah lantas Baginda meminumnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari Arafah bagi mereka yang berada di Arafah.” (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah r.ha.).

Khutbah Aidil Adha 1441H

Khutbah Aidil Adha 1441H – word

Khutbah Aidil Adha 1441H – Pdf

خطبة عيد الأضحى 1441 – word

خطبة عيد الأضحى 1441 هـ – Pdf

Pujuk diri buat kebaikan

Mohd Shahrizal Nasir

BAGINDA SAW membawa risalah terakhir yang diterima daripada Allah SWT sebagai panduan dalam kehidupan.

Wahyu Ilahi itu mengeluarkan manusia daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya yang terang iaitu iman.

Firman Allah SWT bermaksud: “Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang yang kafir, para penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 257)

Umat Islam dituntut melakukan kebaikan selain mengajak orang lain ke arah kebaikan. Apa saja bentuk keburukan dan kemungkaran ditegah Islam secara mutlak.

Hal itu dijelaskan Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 104)

Rasulullah SAW juga menjelaskan usaha menyebarkan kebaikan menerusi sabdanya bermaksud: “Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia bero-
leh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim)

Semua dalil itu menekankan kepentingan umat Islam melakukan kebaikan dan menyeru orang lain turut melakukan kebaikan. Hanya orang yang gagal memahami keindahan Islam akan melihat Islam dengan pandangan yang sempit.

Islam memperjuangkan kebaikan dan segala perbuatan baik. Islam juga menggesa umatnya berlumba-lumba melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “…berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Dalam usaha berlumbalumba melakukan kebaikan, jangan pula ada yang menyekat orang lain daripada melakukan kebaikan. Setiap Muslim mendapat peluang sama banyak untuk melakukan kebaikan, seterusnya memperoleh ganjaran yang dijanjikan oleh-Nya.

Semuanya bergantung kepada usaha dan kehendak diri. Selain itu, apa saja amal kebajikan yang dilakukan, perlu diniatkan hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana ganjaran daripada manusia.

Kita dilarang meremeh-remehkan amal kebaikan yang mungkin pada mata kasar kita amalan itu kecil.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Janganlah meremehkan kebaikan walaupun hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan itu adalah sebahagian daripada kebajikan.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Melakukan kebaikan juga tidak tertumpu kepada amalan yang membawa kebaikan untuk diri sendiri. Kita juga dianjurkan berusaha melakukan kebaikan terhadap orang lain.

Hulurkanlah apa juga bantuan berdasarkan kemampuan diri supaya bantuan itu dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Islam juga menitik-beratkan kebersamaan dalam kebaikan sehingga orang yang dikira sebagai sebaikbaik manusia adalah mereka yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain).” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Lihatlah orang di sekeliling kita, hulurkan bantuan sekiranya ada insan yang memerlukan. Bantuan bukan saja dalam bentuk wang ringgit, tetapi rasa kebersamaan, memberi nasihat, memudahkan urusan, mengambil berat, menzahirkan simpati, memahami perasaan dan banyak lagi bentuk bantuan yang boleh meringankan beban orang lain.

Kita semua mempunyai dosa yang perlu ‘ditebus’ dengan kebaikan. Maka, dengan melakukan kebaikan serta berlumba-lumba melakukannya, ia dapat menghapuskan dosa dan kesilapan lalu.

Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 114 bermaksud: “Dan dirikanlah waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amalan-amalan kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.”

Pujuklah diri untuk melakukan kebaikan kepada diri sendiri serta orang lain. Usah berfikir panjang untuk melakukan kebaikan. Peluang untuk melakukan kebaikan terbentang luas di depan mata kita.

Setiap hari daripada bangun tidur sehingga kembali semula ke tempat tidur, pasti banyak peluang untuk melakukan kebaikan. Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga…” (Surah al-Israk, ayat 7)

Terjemah falsafah korban di tempat kerja

AIDILADHA semakin menjelang. Ramai dalam kalangan umat Islam yang mengambil peluang menyenaraikan nama sebagai ahli yang membuat korban di surau dan masjid.

Apatah lagi dengan pandemik COVID-19 yang semakin reda, menjadikan sambutan Aidiladha tahun ini pastinya ditunggu-tunggu untuk kita semua kembali berhimpun bersama-sama keluarga. Apatah lagi sambutan Aidilfitri tempoh hari yang berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan rentas negeri.

Semangat melakukan korban semasa Aidiladha ini sewajar dipuji. Malah, mereka yang ikhlas melakukannya akan beroleh ganjaran pahala besar daripada Allah SWT.

Namun, adalah wajar untuk umat Islam yang akan melakukan korban memahami fiqh korban dengan lebih mendalam supaya penghayatan dan kesedaran agama semakin kukuh dan berkesan.

Bagi memahami fiqh korban itu, seseorang harus mengetahui sejarah pensyariatannya yang bertujuan memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bermimpi bahawa Allah SWT memerintahkannya untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail AS.

Firman Allah SWT: “Dan Ibrahim berkata: “Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Rabbku dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Ya Rabbku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang yang salih. Maka Kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Wahai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Ia menjawab: “Wahai ayahku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.

Tatkala keduanya berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya di atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami memanggilnya: “Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, (iaitu) “Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim.” Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.” (Al-Shaffaat: 99-111)

Ada tiga asas atau perkara penting untuk kita mengambil iktibar dari kisah ini. Pertama, prinsip pengorbanan; kedua, ketaatan kepada Allah SWT dan ketiga, tawakal yang sungguh-sungguh kepada-Nya. Tiga asas pentingnya ini hendaklah kita praktiskan secara harian di mana-mana sahaja kita berada termasuk di tempat kerja.

Kita mestilah sanggup berkorban untuk meningkat prestasi majikan kita. Usah lagi ditanya dalam keadaan kesuraman ekonomi pasca-PKP ini, apa yang majikan boleh berikan kepada kita. Namun, selalulah bertanya, apa yang aku beri dan korbankan untuk majikan. Apakah sumbangan dan pengorbanan yang aku boleh lakukan untuk melonjakkan prestasi ekonomi dan kewangan syarikat sehingga memangkin ekonomi negara.

Kita juga perlu melakukan sesuatu pekerjaan dalam keadaan taat kepada Allah SWT. Kerja yang dilakukan hendaklah dengan penuh keikhlasan dan amanah. Tidak sesekali melakukan perkara bertentangan dengan syariat seperti ‘curi tulang’ dan rasuah. Ambillah iktibar dalam kesan wabak penyakit COVID-19 sebagai satu peringatan Allah SWT untuk kita taat sentiasa kepada-Nya dan mengelakkan diri daripada melakukan maksiat.

Akhirnya, setelah kita berkorban dengan penuh kesabaran dalam melaksanakan ketaatan kepada-Nya hendaklah kita bertawakal kepada Allah SWT yang menentukan segala kebaikan kepada hasil usaha kita. Jangan dianggap keberhasilan dan kejayaan itu datangnya daripada usaha kita semata-mata, tetapi anggaplah bahawa Allah SWT yang sebenarnya memberi kejayaan kepada usaha kita.

Dalam erti kata lain, memahami fiqh korban hendaklah turut membawa kita turut mengerti falsafah pengorbanan di dalam alam pekerjaan. Semoga, institusi, syarikat yang kita bernaung di bawahnya mencari rezeki untuk keluarga kita, kekal mampan dan cemerlang sepanjang zaman yang akhirnya juga membawa kemakmuran bumi Malaysia yang kita sayangi.

10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji

MUSIM haji kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Buat pertama kalinya, Malaysia tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Mahu atau tidak, kita terpaksa akur menerimanya dengan hati terbuka demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Perasaan sedih memang tak dapat nak dibendung. Lebih-lebih lagi kepada bakal jemaah yang mendapat tawaran untuk menunaikan Rukun Islam ke-5 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan lagi.

Benarlah, kita hanya mampu merancang, tapi ALLAH jualah yang menentukan segalanya. Berbaik sangkalah kepada-NYA. Barangkali ada hikmah di sebaliknya.

Walaupun tak dapat ke Tanah Suci Makkah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji yang boleh kita lakukan.

10 amalan yang ganjarannya seperti pahala haji

Jom kita tengok apa yang boleh kita lakukan:

 

TUNAIKAN solat Subuh di masjid dan berjemaah di rumah ALLAH.

1. Pergi solat Subuh di masjid dan iktikaf sampai naik matahari, kemudian solat

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, kemudian solat dua rakaat seperti mendapat pahala haji dan umrah.” (Riwayat al-Tirmizi)

2. Pergi menuntut ilmu

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang keluar waktu pagi ke masjid semata-mata menuntut ilmu atau mengetahuinya, pahala seperti menunaikan haji yang sempurna.” (Riwayat al-Tabarani)

3. Pergi solat berjemaah di masjid

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang keluar dari rumah dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti tunaikan haji.” (Riwayat Abu Daud)

4. Berjalan kaki ke masjid untuk solat fardu

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang pergi ke masjid untuk solat fardu berjemaah seperti mendapat pahala haji.” (Riwayat Ahmad)

 

LAYANLAH insan yang telah melahirkan kita ke dunia dengan baik dan penuhi keperluan mereka.

5. Berbuat baik kepada ibu bapa

Sesungguhnya seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW berkata: “Aku ingin berjihad tetapi aku tidak mampu.”

Nabi Muhammad bertanya kembali: “Adakah ibu bapamu masih hidup?”

Lelaki itu berkata: “Ya, ibuku.”

Lalu, baginda SAW berkata: “Berbuat baiklah kepada ibumu kerana ALLAH, engkau akan dapat pahala haji, umrah dan jihad.” (Riwayat Abu Ya’la)

6. Umrah bulan Ramadan

Sabda Rasulullah SAW: “Umrah dalam bulan Ramadan, pahala menunaikan haji bersamaku.” (Sahih Muslim)

7. Zikir subhanallah, alhamdulillah dan Allahu akbar selepas solat fardu

Sesungguhnya sejumlah orang dari fakir-fakir Muhajirin berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah pergi dengan membawa darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal, mereka solat sebagaimana kami solat, mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka mempunyai kelebihan harta. Mereka pergi haji, umrah, berjihad dan sedekah.”

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu mahu aku beritahu amalan yang mana kamu dapat capai orang yang terdahulu dan menyamai orang yang kemudian dan tidak ada yang dapat mengatasi kamu kecuali yang beramal seperti kamu?”

Mereka berkata: “Ya, ya Rasulullah. Masihkan dikatakan berpahala di antara seseorang di antara kami yang menyalurkan syahwatnya?”

Baginda bersabda: “Bertasbih, bertahmid dan bertakbir 33 kali selepas solat fardu.” (Sahih Muslim)

8. Niat yang betul nak buat haji, tapi terhalang

“Di Madinah, terdapat dua lelaki yang berjalan seperti kamu dan tidak melalui lembah seperti kamu, tetapi mendapat pahala seperti kamu; mereka tidak bersamu kerana sakit.” Dalam riwayat lain menyebut, “mereka terhalang dengan keuzuran” dan dalam riwayat lain “mereka dapat seperti kami”. (Sahih Bukhari)

9. Mempersiapkan orang yang hendak pergi haji

Dalam sebuah hadis sahih: “Sesiapa yang mempersiapkan orang berperang atau yang pergi haji, menjaga ahli keluarga yang ditinggal oleh yang pergi haji / jihad atau yang memberi makan kepada orang berbuka, dia dapat pahala seumpama mereka tanpa mengurangkan pahala mereka.”

 

BERBUAT baik dan berikan khidmat yang sempurna kepada suami antara amalan yang boleh dilakukan untuk mendapatkan ganjaran seperti pahala haji.

10. Isteri yang berkhidmat kepada suaminya dengan sempurna

Ibnu Athir meriwayatkan daripada Asma binti Yazid RA, beliau mengadu pada Rasulullah bahawa orang lelaki boleh keluar buat macam-macam seperti haji, solat jemaah, ziarah orang sakit dan jenazah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya baiknya khidmat kamu pada suami kamu, mencari reda suami kamu dan mengikut kehendaknya akan menyamai pahala yang suami lakukan.” (Asadul Ghabah)

Dalam banyak-banyak amalan ini, kalau kita tengok balik, nampak mudah untuk kita lakukan dalam situasi sekarang. Macam nombor 3, 4, 5, 7 dan 10.

Pilihlah mana-mana amalan mudah yang boleh kita buat setiap hari. Asalkan apa yang kita lakukan tadi istiqamah sampai bila-bila.

Moga tahun depan, ada rezeki kita untuk menunaikan haji dan umrah di Tanah Suci. Teruskan berdoa semoga ALLAH segera angkat pandemik Covid-19 di muka bumi ini.

Tinggalkan semua demi solat Jumaat

Hilmi Isa

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah SWT banyak-banyak supaya kamu berjaya.” (Surah al-Jum’ah, ayat 9)

Ayat itu jelas menunjukkan larangan Allah SWT terhadap umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat  sudah dikumandangkan.

Malangnya, sebaik sahaja azan dilaungkan, semakin rancak pula aktiviti jual beli. Semakin ramai yang membeli makanan.

Malah, ketika khutbah dibacakan menjadi waktu mereka makan dan minum. Alasannya, selepas selesai solat Jumaat mereka perlu segera masuk untuk menyambung tugasan.

Padahal, sebelum waktu khutbah ada yang menghisap rokok. Imam Ibn Kathir al-Syafie menyebut: “Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jual beli selepas azan yang kedua.” (Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

Selain itu, menurut jumhur ulama, khutbah adalah antara syarat sah solat Jumaat. Sa’id bin Jubair berpendapat, khutbah menyamai dua rakaat solat Zuhur, seandainya khutbah ditinggalkan dan mengerjakan solat Jumaat sahaja bererti kita meninggalkan dua rakaat solat Zuhur.

Malangnya, ada dalam kalangan jemaah tidur ketika khutbah dibacakan. Sesetengahnya sampai betul-betul terlena dan hanya bangun selepas berakhirnya bacaan khutbah selepas dikejutkan rakan sebelah.

Abu Hurairah, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: Diam dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” (Riwayat al-Bukhari)

Menyedihkan apabila ramai jemaah sempat berbual-bual kosong ketika khatib sedang berkhutbah.

Kanak-kanak dan remaja pula bermain-main dan berbual-bual dengan kuat dan ketawa terbahak-bahak sehingga menjejaskan tumpuan jemaah lain mendengar isi khutbah.

Dalam zaman teknologi yang canggih ini, ramai jemaah turut bermain telefon semasa khutbah sedang disampaikan.

Tanpa kita sedari, berbual di dalam aplikasi itu sama saja dengan berbual secara nyata. Ingatlah, tidak akan lari pelanggan atau projek perniagaan apabila kita menunaikan hak Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam a.s diciptakan, pada hari ini (dia) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga (dia) dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (Hadis riwayat Muslim)