• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,374 orang
  • Tetamu Online

Didik hati takut berbuat dosa

Mohd Rizal Azman Rifin

Setiap dosa tidak pernah terlepas daripada catatan malaikat. Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya yang mengawas dan menjaganya (daripada sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

Sebab itu, Rasulullah SAW sangat menitikberatkan pendidikan kepada sahabatnya supaya mereka sentiasa takut melakukan perbuatan maksiat.

Buku catatan malaikat itu umpama buku rekod peribadi yang kelak akan diserahkan semula kepada setiap individu untuk dibuat penilaian di hadapan Rabbul Jalil.

Bahkan, perbuatan dosa atau mungkar tidak sekadar dihitung di akhirat, tetapi turut mengundang kemurkaan Allah ketika hidup di dunia lagi.

Ada kalanya apabila bentuk kemungkaran itu semakin berleluasa serta dilakukan sewenang-wenangnya, maka tunggulah bala yang akan menimpa.

Bukan sedikit kaum terdahulu Allah binasakan mereka ketika hidup di dunia lagi. Kisah sedemikian bukan untuk dibaca semata-mata, tetapi perlu dijadikan iktibar buat diri kita yang hidup pada akhir zaman ini.

Sahabat Rasulullah SAW, Abdullah Ibnu Mas’ud ada memberitahu situasi hati sahabat Rasulullah SAW berkenaan dosa dan mungkar.

Kata beliau: “Orang munafik akan memandang remeh terhadap dosa. Ia menganggap dosa laksana lalat yang terbang saja. Sebaliknya, orang-orang Mukmin akan melihat dosa seperti gunung yang akan jatuh menimpa dirinya.”

Kata-kata beliau itu adalah paparan lubuk hati sahabat Rasulullah SAW yang dididik rasa takut melakukan dosa.

Kita sudah melihat bukti sejarah dunia moden hari ini di mana bandar Pompei di Itali pernah diranapkan dan penghuninya dihancurkan lantaran perkara keji yang mereka lakukan.

Malah, tinggalan artifak sejarah bandar itu masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Tetapi adakah kita belajar daripada kisah ngeri yang menimpa penghuni bandar itu?

Kejadian tsunami di Palu, Sulawesi yang meragut ribuan nyawa juga dianalisis sebagai antara kesan perbuatan mungkar dilakukan manusia.

Adakah ia benar, hanya Allah SWT saja yang Maha Mengetahui segala-galanya. Namun, sebagai umat Islam kita perlu yakin sebarang amalan syirik, mungkar dan maksiat dilakukan pasti ada balasannya.

Saidina Ali bin Abi Talib pernah ingatkan kita dengan berkata: “Tidak turun suatu bala bencana kecuali disebabkan dosa. Dan tidak diangkat (bala tersebut) kecuali disebabkan taubat.”

Kata-kata Saidina Ali itu selari dengan apa yang Allah SWT firmankan dalam Surah Asy-Syura ayat 30 bermaksud: “Apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dosa daripada dosa-dosa kamu.”

Sebenarnya manusia cepat lupa ketika mereka hidup dikelilingi nikmat dunia. Seolah-olah nikmat yang sedang dikecapi itu akan berlanjutan.

Hal ehwal peribadatan dan agenda hidup tidak seiring dengan lunas yang digariskan Allah SWT. Apa saja dilakukan sesuka hati dan hanya menurut perasaan dan hawa nafsu.

Baca dan hayati bait-bait syair Arab ini: “Jika engkau berada dalam nikmat, peliharalah dengan baik. Kerana dosa dapat menghilangkan nikmat itu. Peliharakanlah nikmat dengan taat kepada Tuhan segenap hamba. Tuhan segenap hamba yang sangat cepat turunkan azab dan seksaan-Nya.”

Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 96 bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi), sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkanapa yang mereka usahakan.”