• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,374 orang
  • Tetamu Online

Pemimpin perlu contohi kesediaan Sayidina Umar terima kritikan

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad

ISLAM ialah agama sempurna yang memiliki mekanisme semak dan imbang dalaman tersendiri. Abu Ruqayyah Tamim al-Dari RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Agama itu ialah nasihat.” Kami pun bertanya: “Bagi siapa (nasihat itu)?” Baginda menjawab: “Nasihat untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, imam golongan Muslimin dan seluruh Muslimin (rakyatnya).” (HR Muslim)

Nasihat di sini bukan bermaksud menasihati Allah SWT tetapi beriman dan mentauhidkan Allah SWT, manakala nasihat terhadap kitab pula adalah menunaikan hak al-Quran untuk dipelajari, dibaca, diamal, dihayati dan disebarkan.

Dalam konteks Rasul SAW pula bermaksud beriman kepada apa-apa dibawa Baginda, mencontohi sunnah dan akhlak Nabi SAW. Adapun nasihat kepada imam dan pemimpin adalah membantu, mentaati, menasihati serta menegur mereka apabila melakukan kesalahan.

Dalam hal menasihati pemimpin, ia boleh berlaku dalam banyak dimensi. Pertama, daripada yang atas kepada di bawah seperti nasihat dan teguran Allah SWT kepada Nabi SAW atau nasihat daripada orang bawah kepada pemimpin tinggi seperti sahabat menasihati Baginda atau orang awam menasihati khalifah.

Islam sejak awal ditanzilkan lagi tidak putus-putus mencatatkan banyak kisah menasihati pemimpin, bermula daripada nasihat atau teguran daripada Allah SWT terhadap Nabi SAW seperti terakam dalam ayat pertama hingga 4 dalam surah ‘Abasa:

Asbabun nuzul (sebab turun ayat) adalah kerana Nabi SAW didatangi seorang buta, iaitu Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang ingin bertanyakan hal agama, namun Nabi SAW tidak melayan kerana ketika itu Baginda sibuk berdakwah dengan pemimpin kafir Quraisy seperti Walid Ibnu al-Mughirah dan amat berharap mereka akan memeluk Islam. Lalu, Allah SWT menegur Nabi SAW atas sikap itu sedangkan hidayah milik Allah jua.

Begitu juga, ketika mengatur strategi dalam Perang Badar, Nabi SAW dinasihati pakar strategi peperangan Khabab Munzir RA apabila mendapati Baginda bercadang berkhemah di suatu tempat agak jauh dari sumber air, lalu beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah tempat ini pilihan wahyu daripada Allah SWT atau dasar strategi perang?”

Nabi SAW menjawab: “Tidak, bukan (wahyu) daripada Allah SWT tetapi ini hanyalah strategi kita sahaja.” Lalu, Khabab pun mencadangkan tentera Islam bergerak lebih ke hadapan berdekatan telaga air dan dipersetujui Nabi SAW.

Pada zaman sahabat pula, sejarah mencatatkan Sayidina Umar Al-Khattab RA dilantik menjadi khalifah, beliau dengan lantang menyeru agar ditegur jika menyeleweng dengan berkata: “Sesiapa antara kamu melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka luruskanlah ia.”

Maka, bangkit seorang lelaki Arab Badwi berkata dengan berani: “Demi Allah wahai Umar, sekiranya kami mendapati kamu menyeleweng, nescaya kami akan luruskan kamu dengan pedang kami yang tajam ini.” Lalu Umar menjawab: “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang menjadikan dalam kalangan umat Muhammad, mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya.”

Umar juga pernah naik ke atas mimbar dan berucap menetapkan mahar perkahwinan tidak melebihi 400 dirham. Lalu apabila beliau turun, beliau ditegur seorang perempuan dengan membacakan ayat ke-20 dalam surah al-Nisa’ yang menyebut Allah SWT memberikan kebebasan kepada lelaki memberikan sebanyak mana yang mereka mahu sebagai mahar kepada perempuan.

Ini menginsafkan Umar yang beliau tiada hak menetapkannya, lalu sedar kesalahannya dan berkata: “Ya Allah, berilah keampunan kepadaku. Semua orang lebih faqih (memahami) daripada Umar.”

Khalifah kedua itu pun kembali menaiki mimbar dan berkata: “Sesungguhnya tadi aku melarang kamu menetapkan mahar terhadap wanita lebih daripada 400 dirham. (Namun) sekarang, sesiapa pun boleh memberikan hartanya berdasarkan yang dia suka (sebagai mahar).”

Islam menganjurkan bersikap berani menasihat, menegur dan mengkritik secara membina pemimpin kerana dengan cara itulah kesilapan serta kesalahan yang mungkin tidak disedari pemimpin akan dapat dibetulkan. Ia sikap murni, terbit daripada hati jujur dan bersih yang inginkan mencari keredaan Allah SWT semata-mata.

Ia bukan seperti yang mungkin wujud dalam dunia hari ini yang sebagai contoh, apabila wujud dua golongan, berpihak kepada pemerintah dan lagi pembangkang. Pihak pembangkang akan senantiasa hanya membangkang, membantah dan menentang apa sahaja datang daripada pemerintah hanya kerana mereka bukan daripada kelompok pemerintah dan begitulah sebaliknya.

Keadaan itu berlaku tanpa melihat terlebih dahulu tindakan, usul atau usaha itu sebenarnya membawa kebaikan dan mengelak kemudaratan. Perkara ini dilakukan demi survival kelompok masing-masing dan bukannya bertujuan kebenaran.

Kejatuhan kerajaan, empayar dan dinasti silam antara lainnya berpunca daripada keengganan kelompok memimpin (tidak kira yang memerintah atau tidak) untuk berlapang dada, berjiwa besar mendengar saranan, nasihat, teguran, teguran ikhlas yang diberikan ilmuwan, cendikiawan dan sarjana yang jujur.

Islam bukan sahaja menganjurkan agar pemimpin sentiasa berjiwa besar dan terbuka menerima teguran, bahkan mempelawa dan mengalu-alukan orang lain memberikan pandangan bermanfaat seperti ditunjukkan Umar apabila dilantik sebagai khalifah.

Sheikh Abdul Aziz al-Badri menyebut pelawaan Umar itu suatu kesediaan dan pelawaan jelas untuk ‘dikritik’ serta sebagai proses muhasabah dalam pemerintahan Islam.

Beliau berkata: “Ajaran Islam mewajibkan pemimpin dilantik memimpin umat Islam agar mendengar sesiapa mengkritik dan berlapang dada (menerima kritikan) seperti diperintahkan untuk akur dengan kritikan berkenaan sekiranya bertepatan dengan hukum Islam.

“Islam juga melarang daripada mengenakan apa jua hukuman yang boleh menyakiti mereka yang mengkritik, sekalipun kritikan itu kata-kata keras dan tajam,” tulisnya dalam al-Islam Bayna al-Ulama’ Wa al-Hukkam.