• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,392 orang
  • Tetamu Online

Sentuhan jari boleh memudaratkan

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Islam adalah agama yang indah kerana ia datang daripada Allah SWT. Islam sentiasa benar, tetapi kerana kesilapan penganutnya mengamalkan ajaran Islam, maka ia memberikan wajah yang salah kepada agama ini.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Azizul Asri Ahmad Tajuddin yang mengupas tajuk ‘Bila Tangan Berbicara’ berkata, banyak hadis dan ayat al-Quran yang mengingatkan umat Islam supaya menjaga lisan dan lidah. Melalui kata nista dan bercakap tidak benar akan menghumban kita ke dalam api neraka.

Namun, perkembangan teknologi yang canggih dengan pelbagai aplikasi, manusia bukan hanya berbicara melalui mulut atau lisan, tetapi juga jari jemari.

Sabda Rasulullah SAW: “Seseorang Muslim itu ialah apabila Muslim yang lain selamat daripada gangguan tangan dan mulutnya.”

Pastikan maklumat sahih

Jika dahulu mulut yang menyampaikan sesuatu berita, tetapi hari ini cukup dengan aplikasi dalam telefon atau komputer, seseorang boleh berinteraksi dengan orang lain.

Hendaklah dipastikan setiap berita, maklumat yang diterima atau disampaikan benar-benar sahih dan jangan terlalu cepat untuk berkongsi sesuatu maklumat yang diterima.

Sungguhpun berita yang diterima itu benar, tetapi jika ia boleh mendatangkan keaiban atau fitnah, sebaik-baiknya jangan sesekali dipanjangkan maklumat atau berita berkenaan. Tanpa disedari perbuatan itu boleh mengundang dosa.

Contohnya, apabila menerima berita seperti kes ragut dalam aplikasi kumpulan WhatsApp, ramai ahli kumpulan yang membuat komen negatif sehingga kepada menghina ciptaan Allah SWT. Perbuatan meragut itu satu kesalahan dan dosa, tetapi yang mengata dan mengutuk dengan bahasa kasar juga tidak lari daripada melakukan dosa.

Oleh itu, perlu ada sikap berhati-hati menyebar sebarang berita atau membuat ‘komen’ kepada cerita yang diterima. Sesungguhnya, seperti yang disebut oleh Baginda Rasulullah SAW, seorang Muslim yang baik akan menjaga lidah dan tangannya daripada perbuatan yang mengundang dosa.

Pada hari ini, sesiapa sahaja yang memiliki telefon tidak terlepas daripada terdedah dengan pelbagai berita yang singgah tanpa diundang atau yang sengaja dicari. Sehingga ada istilah ‘keyboard warriors’, iaitu mereka yang bertindak seperti ‘hakim’ yang membuat hukuman.

Perkara ini tidak sihat bagi pembangunan ummah dan pembinaan keperibadian seorang individu.

Begitu juga berkongsi mesej positif dalam media sosial, pada masa sama membuat komen negatif tanpa sempadan tetap akan mencerminkan keburukan akhlak individu berkenaan.

Usah buka aib orang lain

Barangkali ada pihak mempunyai alasan untuk menegur perbuatan seseorang, tetapi jika cara teguran itu mendatangkan dosa, sesungguhnya perbuatan berkenaan dikutuk Allah SWT. Setiap manusia perlu menjaga hak manusia lain.

Jangan sesekali gemar membuka aib orang lain kerana perbuatan itu dimurkai Allah SWT.

Jangan menjadi orang yang tangannya lebih laju daripada fikirannya. Jika mahu membuat teguran atau menyampaikan hujah tertentu, lakukan dengan penuh tanggungjawab.

Setiap yang dilakukan memberi nilai kepada diri kita. Oleh itu, jadilah orang yang sentiasa memberi dan membawa kebaikan kepada orang lain. Ambil ibrah dan iktibar daripada sahabat yang sentiasa berlumba mengejar syurga Allah SWT melalui perbuatan serta amalan baik.

Justeru, setiap Muslim hendaklah sentiasa bijak dalam menilai perbuatan dan menggunakan lisannya ketika berkata-kata. Berkatalah sesuatu yang baik dan jika tidak, diam adalah lebih baik.

Mulut tak dikawal punca ke neraka

Oleh Prof Dr Muhaya Mohamad

 

Tiga hari penting dalam hidup iaitu hari kita dilahirkan, hari disemak kembali kehidupan di dunia dan apabila berada di Padang Mahsyar. Sesungguhnya kita dihidupkan dengan akal sempurna untuk mengimarahkan kehidupan di dunia dan akhirat.

Ketakwaan seseorang terbina apabila ilmu tauhid mantap dan betul, ibadah terpelihara, diikuti dengan akhlak mulia yang diukur daripada cara kita berinteraksi dengan Allah SWT serta manusia.

Salah satu cara menjaga interaksi dengan manusia ialah memelihara mulut atau lisan. Hakikatnya, mulut boleh menjadi punca kita ke neraka jika tidak hati-hati mengawalnya.

Wasiat Imam Ghazali, lapan dosa berpunca daripada mulut iaitu mungkir janji, dusta, mengumpat, menghina, melaknat, memuji diri sendiri, banyak berbicara atau bertengkar dan mendoakan yang buruk sesama makhluk.

Mengenai memungkiri janji dan dusta, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ada tiga perkara yang apabila dimiliki seseorang, maka dia orang munafik, sekalipun dia melakukan ibadah solat dan puasa. Tiga perkara itu adalah apabila berjanji, memungkiri. Apabila berkata, dusta. Apabila dipercayai, khianat.”

Suka bertengkar

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kaum mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?” (Surah al- Hujaraat, ayat 12)

Walaupun membicarakan kenyataan yang benar mengenai seseorang, perbuatan itu tetap berdosa. Jika kita menyedari dunia hanyalah satu kehidupan sementara dan akan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar untuk diadili, pasti kita tidak berani membuat perkara mendatangkan dosa.

Orang yang tidak meningkatkan akidah, ibadah dan akhlak, kita dapat melihat mereka percaya kepada Allah SWT tetapi tidak melaksanakan solat. Ada yang percaya kepada Allah SWT, bersolat dan mengerjakan semua suruhan-Nya tetapi tidak berakhlak pula.

Menurut Imam Ghazali, bertengkar mulut dengan orang bodoh akan menimbulkan musuh yang sentiasa menyakitkan hati sementara bertengkar dengan orang arif tiada manfaat selain menyakitkan hati sendiri.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa meninggalkan bertengkar lisan dan dia berada dalam kedudukan yang salah, maka Allah membangunkan rumahnya untuknya di sekitar syurga; dan barang siapa meninggalkan bertengkar lisan sedang dia berada dalam kedudukan yang benar, maka dibangunkan untuknya sebuah rumah oleh Allah di syurga.”

Oleh itu, tinggalkan sikap suka bertengkar dan mendoakan yang buruk sesama makhluk, sebaliknya semaikan sikap suka berkasih sayang dan saling mendoakan kebaikan.

Aura hati

Binalah aura positif supaya kita disenangi orang Aura ialah suasana atau perasaan halus yang menyelubungi diri bermula dari hati. Aura diri boleh dibina atau dibentuk daripada negatif menjadi positif. Hati yang negatif menghasilkan aura negatif manakala sikap dan tingkah laku positif menghasilkan aura positif.

Sifat positif yang memenuhi kerohanian seseorang itu akan terpancar gambaran kesuciannya di wajah. Orang yang bersih dan tenang hatinya ialah orang yang beraura positif, wajahnya terpancar aura positif kerana senyuman sentiasa menjadi hiasan.

Mereka yang memiliki aura positif mempunyai keyakinan diri dan mudah mesra atau berasa selesa dengan orang lain. Malah, mereka boleh menjadi inspirasi kepada yang lain dengan sikap mudah didekati dan disenangi.

Imej terpancar pada wajah adalah undang-undang getaran atau gelombang jiwa yang kita hantar kepada orang lain. Justeru, siapa dunia dalamannya cantik, akan terpelihara dunia luarannya termasuk mulut yang menjadi punca permasalahan kepada manusia.

Banyak yang sibuk mencari cara mencantikkan diri tetapi tidak ramai mencari kecantikan dalam diri. Sebenarnya, yang lebih penting pada diri seseorang adalah kecantikan dalam diri terutama budi bahasa serta pertuturan yang menambat hati.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya.” (Surah Ibrahim, ayat 24-25)

Lima peringkat

Lima peringkat kehidupan yang perlu dijaga bagi membina aura positif. Pertama, menjaga keterampilan diri dari segi fizikal dengan menjaga kesihatan. Kedua, menjaga kecerdasan minda, dengan banyak memanfaatkan masa mencari ilmu, membaca serta menghadiri majlis ilmu.

Ketiga, menjaga hubungan dengan Yang Maha Pencipta (Allah), buat segala suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya. Keempat, menjaga kewangan kerana apabila kewangan mantap, kita boleh membuat banyak kebaikan dan membahagiakan orang lain.

Kelima, menjaga hubungan dan hormat dengan semua makhluk Allah SWT. Sentiasa fikir apakah manfaat yang boleh kita beri kepada orang, bukan apakah manfaat yang boleh kita dapat daripada orang lain.

Jaga perkataan yang terbit dari mulut kerana itu punca perbalahan seperti pepatah Melayu mengatakan, ‘Kerana mulut badan binasa’ dan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’