• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,280 orang
  • Kandungan Blog

Manfaat PKPB selesaikan puasa Syawal, tingkatkan kualiti ibadah

ALLAH Yang Maha Pengasih mendatangkan Syawal berserta dengan kelebihan tertentu. Semoga ia mampu mengubat sedikit sebanyak kesedihan. Ini kerana pemergian Ramadan semestinya ditangisi orang bertakwa lantaran berakhirnya banyak kelebihan dan tawaran seperti dalam al-Quran dan sunnah.

Syawal dari segi pengertian bahasa ialah meningkat dan bertambah. Ia antara bulan dalam kalendar Arab, diperakui Islam dan digunakan dalam takwim Hijrah hingga kini. Antara peristiwa besar berlaku dalam bulan ini ialah Perang Bani Qainuqa’ pada tahun ke-2 Hijrah; Perang Uhud (13 Syawal 3H); Perang al-Ahzab atau Khandaq (5H); Perang Hunain (8H) dan Perang Taif (8H), selain pernikahan Nabi SAW Dengan Sayidatina Aishah RA dan Ummu Salamah RA.

Antara kelebihan terbesar Syawal, tentunya pensyariatan Aidilfitri. Ia hadiah kemenangan beribadat dalam Ramadan dan juga sempena kembali kepada fitrah insan. Aidilfitri ialah masa dan ruang bertakbir, bertasbih, bertahmid dan menyucikan Allah SWT.

Syawal juga himpunan rukun Islam, iaitu dua kalimah syahadah, solat, zakat (harta dan fitrah), puasa (sama ada puasa ganti Ramadan atau sunat) dan haji (sudah boleh berniat haji) pada bulan Syawal.

Pensyariatan puasa enam hari ialah syiar teragung dilaksanakan umat Islam dalam Syawal. Jumhur ulama bersepakat mengharuskannya berdasarkan sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Sesiapa berpuasa Ramadan, kemudian ia menyambungnya dengan enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang masa.” (HR Muslim).

Dari segi pelaksanaannya, ulama bersetuju dengan pensyariatannya berbeza pendekatan. Imam Shafie menyatakan puasa Syawal sunat dilakukan secara berturut-turut dari awal Syawal, iaitu selepas 1 Syawal. Pendapat kedua menyatakan ia boleh disambung atau diasingkan hari-harinya selagi masih dalam bulan sama. Pendapat lain menyebut ia boleh dibuat tiga hari sebelum 13 Syawal dan tiga hari putih (13-15 Syawal) atau tiga hari putih dan tiga hari selepasnya.

Ibnu Rejab al-Hanbali menyebut beberapa hikmah pensyariatan berpuasa enam hari dalam Syawal. Pertama, puasa enam Syawal akan melengkapkan pahala berpuasa sepanjang tahun atau setiap masa. Ini jelas berdasarkan mafhum hadis yang dikemukakan sebelum ini.

Kedua, puasa enam Syawal akan menyempurnakan ibadat puasa Ramadan, sekali dengan puasa Syaaban sebelumnya. Ia ibarat solat sunat rawatib dikerjakan sebelum dan sesudah solat fardu. Seterusnya, puasa enam Syawal menandakan penerimaan puasa Ramadan kerana biasanya sesuatu kebaikan akan disusuli dengan kebaikan lain. Selain itu, ia menzahirkan kesyukuran atas nikmat keampunan dan ganjaran kurniaan Allah SWT pada hari raya.

Walaupun pelbagai kelebihan puasa enam Syawal seperti tertera di atas, ramai umat Islam gagal melaksanakannya saban tahun. Antara alasan klasik sering diberikan ialah kesibukan berhari raya dengan menghadiri rumah terbuka anjuran jabatan, persatuan dan orang perseorangan.

Masyarakat kita seolah-oleh merayakan Aidilfitri sebulan, bukan lagi hanya 1 Syawal. Malah, ada yang terpaksa mengadakannya pada Zulkaedah lantaran bertembung dengan banyak program sama pada Syawal. Selain itu, kenduri perkahwinan, akikah, naik rumah dan bermacam-macam lagi sering dibuat dalam Syawal.

Justeru, berpuasa sunat Syawal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau era pasca-norma baharu mengundang banyak rahmat dan kelebihan. Ini disebabkan tiada lagi sambutan hari raya secara terbuka atau besar-besaran boleh dilakukan. Maka, tiada ziarah-menziarahi atau rumah terbuka dibenarkan.

Oleh itu, masyarakat tidak lagi boleh menyalahkan penganjuran majlis terbabit demi mewajarkan untuk mereka tidak berpuasa enam. Dari satu sudut, puasa enam Syawal yang dilakukan kali ini adalah diharapkan lebih baik dan berkualiti kerana kurang pergaulan sosial atau pergerakan tidak perlu.

Sama seperti puasa Ramadan, umat Islam akan lebih banyak berada di rumah bersama keluarga masing-masing. Peluang ini seharusnya digunakan untuk mengajak semua ahli keluarga berkemampuan untuk sama-sama berpuasa sunat Syawal ini.

Justeru, kemeriahan bersahur dan berbuka puasa beramai-ramai akan dapat diulangi serta dihayati bersama walaupun dengan hanya melakukan puasa sunat sahaja. Akhir sekali, ibadat puasa ini dan amalan soleh lain berpotensi untuk bertambah dari segi kuantiti dan kualitinya dengan berlakunya musibah seumpama wabak COVID-19 ini.

Hal ini kerana kebiasaannya seorang hamba akan lebih taat dan taqarrub atau dekat kepada Allah SWT apabila berlakunya musibah, berbanding dengan waktu senang. Justeru, rebutlah peluang keemasan ini untuk kita sama-sama makin dekat kepada Allah SWT. Semoga peluang kali ini dapat dimanfaat sebaiknya.