• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,237,739 orang
  • Kandungan Blog

Amalan baik digandakan kebaikan

Mohd Shahrizal Nasir

AJARAN Islam amat mementingkan kebaikan serta menyeru umatnya supaya banyak melakukan kebaikan.

Malah, Allah SWT menggalakkan setiap hamba-Nya berlumba-lumba melakukan kebaikan.

Firman Allah bermaksud: “… Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan)…” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Ketika setiap orang dianjurkan untuk melakukan perbuatan baik, maka membalas kebaikan dengan kebaikan juga dianggap sebagai perkara yang baik.

Ada orang yang menolak kebaikan yang dilakukan orang lain kepadanya.

Orang seperti ini tidak memahami ajaran Islam dengan baik. Beri peluang orang lain melakukan kebaikan untuknya.

Perbuatan membalas kebaikan orang lain juga satu cerminan akhlak mulia. Ini bermakna Islam tidak membuka peluang sesetengah orang sahaja berbuat baik dan menutup pintu kebaikan untuk orang lain.

Buktinya, orang yang menerima kebaikan juga berpeluang melakukan kebaikan dengan menghargai perbuatan baik yang diterimanya.

Saidatina Aisyah berkata yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bermaksud: “Dahulu Rasulullah pernah menerima hadiah dan baginda membalasnya dengan memberi hadiah pula.” Ini bukti keunggulan peribadi Rasulullah SAW yang mesti dicontohi umatnya.

Kita diajar oleh Islam untuk menghargai kebaikan orang lain. Perbuatan ini juga menggambarkan bahawa Islam bukan sahaja mementingkan hubungan baik manusia dengan Allah, tetapi juga hubungan sesama manusia.

Orang yang menghargai kebaikan orang lain juga dikira mensyukuri nikmat kurniaan Allah.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak bersyukur kepada Allah (dengan baik), bagi orang yang tidak berterima kasih kepada orang (lain).” (Hadis Riwayat Ahmad)

Jelas bahawa lidah manusia juga berfungsi untuk melakukan kebaikan dan meraih ganjaran pahala daripada Allah.

Sungguhpun begitu, masih ada dalam kalangan kita yang berat lidah untuk mengungkapkan ucapan penghargaan atas kebaikan yang dilakukan orang lain kepadanya.

Ini antara bentuk penyakit hati yang ada dalam diri orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah.

Islam memberi tip terbaik dalam usaha membalas kebaikan orang lain. Ini berdasarkan penjelasan Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang telah berbuat baik kepada kalian, maka balaslah dia (kerana kebaikannya). Lalu jika kalian tidak mendapatkan sesuatu yang boleh digunakan untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sampai kalian merasai bahawa diri kalian telah membalas kebaikannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)

Antara cara membalas kebaikan orang lain ialah dengan doa yang selalu kita dengar ataupun kita temui dalam bentuk tulisan di media sosial atau aplikasi WhatsApp.

Kita doakan orang yang membuat kebaikan kepada kita dengan ungkapan ‘Jazakallahu khaira’ (untuk lelaki) dan ‘Jazakillahu khaira’ (untuk perempuan). Ungkapan ini bermaksud: “Semoga Allah mengurniakan kepada kamu kebaikan.”

Hal ini pernah dijelaskan Rasulullah dalam sabda baginda bermaksud: “Sesiapa yang telah mendapat kebaikan daripada seseorang, lalu dia berkata kepada pelaku kebaikan tersebut, ‘Jazakallahu khaira’, bererti dia telah memujinya (telah berterima kasih kepadanya dengan memujinya).” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Baru-baru ini ketika menyambut 1 Syawal, kelihatan ramai orang mengucapkan selamat kepada saudara dan rakan menerusi media sosial masing-masing. Suasana ini digunakan sebaiknya kerana masing-masing tidak dapat bertemu kerana masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perbuatan menyampaikan ucapan selamat juga termasuk dalam perkara baik yang perlu dihargai. Cari masa untuk membalas ucapan baik orang lain kepada kita sempena hari raya kerana ia satu daripada tuntutan Islam.

Setiap ucapan baik yang ditujukan kepada kita adalah satu doa yang pelakunya wajar didoakan kebaikan yang sama.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksd: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa’, ayat 86)