• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,198,137 orang
  • Tetamu Online

Ujian istidraj buat insan

Mohd Shahrizal Nasir

Ada golongan manusia yang taat, tetapi dia hidup dalam kesempitan manakala ada pula golongan bergelumang dosa, namun memperoleh nikmat kesenangan.

Allah SWT berkuasa melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya urusan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”, maka jadilah sesuatu itu.” (Surah Yasin, ayat 82)

Sebagai hamba yang taat, setiap ketentuan Allah pastinya diterima dengan penuh keredaan. Kewajipan sebagai seorang Muslim mesti diteruskan meskipun terdapat harapan dan impian yang masih belum dimakbulkan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila para hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Dalam kalangan kita ada yang diuji dengan pelbagai pemberian nikmat, namun dirinya terus bergelumang maksiat serta melanggar perintah Allah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat pertolongan).” (Surah al-An’am, ayat 44)

Itulah yang dinamakan istidraj. Pemberian itu sebenarnya tidak diredai Allah SWT. Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh pelbagai nikmat dunia sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, pengiktirafan dan sanjungan.

Namun semua itu tidak menjadikan mereka hamba-Nya yang bersyukur, sebaliknya terus jauh daripada Allah SWT. Mereka menyangka Allah SWT memberi segala-galanya meskipun mereka ingkar kepada-Nya.

Golongan yang diuji dengan istidraj kadangkala angkuh mengatakan: “Tengok aku tak solat, tetapi masih dapat naik pangkat,” “Engkau sentiasa ke masjid, tapi aku juga berjaya dalam peperiksaan”, “Tanpa restu ibu bapa, aku masih berjaya memperoleh apa yang dihajati.”

Semua contoh ungkapan itu adalah petanda ujian istidraj. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat bahawa Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah orang itu menerima istidraj daripada Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Lihat bagaimana Fir’aun yang memiliki segala nikmat dunia menyebabkan dirinya angkuh sehingga mengaku sebagai tuhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Fir’aun pula berkata: Wahai pengikutku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang Tuhan yang lain daripadaku. Oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata serta binalah untukku bangunan yang tinggi supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu) dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa daripada orang yang berdusta.” (Surah al-Qasas, ayat 38)

Bagaimana kesudahan hidup Fir’aun? Segala nikmat yang diperolehnya langsung tidak memberi sebarang manfaat, sebaliknya Allah SWT membinasakannya dalam keadaan sangat hina.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dengan sebab itu Kami mengepungnya (Fir’aun) bersama-sama tenteranya serta Kami humban mereka ke dalam laut, maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang yang zalim.” (Surah al-Qasas, ayat 40)

Begitu juga bagaimana Allah SWT menguji hamba-Nya dengan nikmat dunia yang menjadikannya jauh daripada rahmat dan kasih sayang-Nya.

Istidraj bukan saja boleh berlaku kepada hamba-Nya yang tidak beriman, malah boleh terjadi kepada golongan yang tidak berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Allah menyatakan kepada Rasulullah SAW menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam, ayat 44)

Justeru, jangan persiakan setiap nikmat yang diterima dengan perlakuan mengundang kemurkaan Allah SWT. Bagi yang sedang diuji dengan kesempitan hidup, yakinlah nikmat Allah SWT akan datang dalam pelbagai bentuk kerana Allah tidak sesekali menzalimi hamba-Nya yang beriman.

Nikmat pendengaran menuju ke jalan reda Allah

Siri Kitab Qalbun Salim

MINGGU ini, kita akan melihat mengenai kaedah dan kebaikan dalam menjaga salah satu pancaindera iaitu telinga. Sesungguhnya Allah SWT mencipta deria pendengaran menerusi telinga untuk manusia tidak lain dan tidak bukan untuk menambah nikmat kepada hambaNya dengan pendengaran dan sebagai kaedah untuk memahami dalam sesuatu ilmu atau berita atau perkhabaran yang ingin disampaikan.

Dapat kita fahami secara jelas bahawa menerusi deria pendengaran ini, setiap hamba dapat memperdengarkan merdunya bacaan al-Quran, mendengar hadis daripada Nabi Muhammad SAW dan mendengar ilmu yang bermanfaat buat manusia.

Imam Habib Abdullah al-Haddad pernah menyatakan bermaksud: “Telinga juga adalah suatu nikmat Allah SWT yang terbesar. Dan ia diciptakan Allah SWT untuk hamba-Nya supaya dia boleh mendengar kalam Allah SWT (al-Quran) dan kalam nabiNya (hadis) serta kalam semua ulama dan hukama daripada golongan orang yang soleh daripada hamba-hamba Allah SWT. Semuanya itu adalah jalan untuk mendapat pelbagai faedah dan manfaat dalam menempuh perjalanan yang diredai Allah SWT serta menjaga cara hidup yang akan membantunya dalam urusan akhiratnya.” (An-Nasha’ih ad-Diniyah)

Sheikh Abdul Kadir al-Jailani pula menyatakan bermaksud: “Selalulah mendengarkan nasihat yang baik kerana sesungguhnya hati ketika kosong daripada nasihat itu akan buta.” Ini jelas menunjukkan betapa besarnya nikmat deria pendengaran yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk setiap hambaNya mendengar kalam-kalam yang haq lagi benar.

Kita juga perlu sentiasa mensyukuri nikmat telinga termasuk memelihara pendengaran daripada mendengar kata nista atau umpatan yang boleh merosakkan hati seseorang. Memelihara telinga daripada mendengar sesuatu yang dilarang seperti mengumpat, mengadu domba, mendengar perkataan yang tidak baik, berkelahi, mendengar suara perempun dan orang muda yang boleh menimbulkan fitnah dan bermacam-macam lagi.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan ditanya apa yang dilakukan.” (Surah al-Isra’, ayat 36)

Kesan daripada kata-kata yang didengar adalah lebih lama daripada kesan makanan kerana makanan yang ada di dalam usus boleh hilang dengan tidur atau ia mungkin kekal untuk beberapa hari, tetapi ia akan hilang menerusi satu kaedah. Namun, kata-kata yang didengar sebaliknya kadang-kadang ia boleh kekal seumur hidup di dalam hati.

Untuk itu, setiap daripada manusia yang ingin mencari reda Allah SWT perlulah sentiasa memelihara setiap pemberiannya dan menjaga nikmat ini supaya kelak di Mahsyar nanti kita tidak dipertanggungjawabkan atas kelalaian serta kejahilan sendiri.

Jiwa kosong ‘pelawa’ makhluk halus masuk

KETIKA jiwa berasa kosong kerana tidak terisi dengan mengingati Allah SWT dan pada masa, dihambat pelbagai tekanan, ia sebenarnya membuka peluang untuk seseorang diganggu makhluk halus.

Baru-baru ini, video seorang wanita yang meracau dan mengaku sebagai Iblis di sebuah wad hospital tular di media sosial.

Secara umumnya, kejadian seperti histeria dan masalah kesihatan mental termasuk halusinasi boleh juga berpunca daripada pengaruh syaitan, jin dan iblis yang menyerang serta menguasai individu yang lemah kerohaniannya.

Firman Allah SWT: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam,” lalu mereka sujud melainkan iblis; ia berasal daripada golongan jin, lalu menderhaka perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang yang zalim; pengganti yang mereka pilih itu.” (Al-Kahfi: 50)

Al-Quran dan hadis banyak menyebut mengenai iblis serta syaitan yang akan kekal hidup hingga kiamat dan Allah SWT menceritakan bagaimana ia akan cuba untuk membawa manusia ke jalan kesesatan.

Maka, penting kepada Muslim untuk meletakkan keseimbangan fizikal dan spiritual untuk menghindari daripada gangguan syaitan memandangkan ia sukar dikesan kerana tidak dapat dilihat mata kasar.

Penceramah dan pengamal rawatan Islam, Halim Din, berkata seseorang yang mengalami gangguan makhluk halus sinonim dikaitkan dengan mereka yang mengalami tekanan perasaan dan ketidakstabilan emosi.

“Apabila tekanan perasaan datang, emosi kita akan kosong yang akhirnya menyebabkan peluang ini diambil jin dan syaitan.

“Nabi Muhammad SAW ada menyebut, jin, iblis dan syaitan ini masuk dalam diri kita melalui saluran darah.

“Ia sehingga boleh menyebabkan berlaku kerasukan yang bukan dibuat-buat tetapi di luar kawalan diri,” katanya.

Beliau berkata, apabila dalaman atau jiwa seseorang itu kosong mungkin disebabkan ditimpa ujian, tekanan atau sedang dihimpit dengan pelbagai permasalahan hidup, maka mereka ini tidak boleh dibiarkan tanpa sokongan serta bantuan.

“Orang yang sedang berdepan pelbagai tekanan hidup ini, perlu sentiasa ada seseorang atau ahli keluarga untuk sentiasa mendengar masalah dan berada dengannya sebagai sumber kekuatan.

“Individu ini tidak boleh dibiarkan berseorangan kerana lebih mudah gangguan syaitan itu muncul,” katanya.

Beliau berkata, kebergantungan kepada Allah SWT sepenuhnya dapat menghindarkan diri kita daripada gangguan sedemikian.

“Segala-galanya berpunca daripada hati yang perlu bergantung kepada Allah SWT, iaitu dalam bentuk zikir dan amalan tidak putus-putus.

“Ada juga kes dalam kalangan orang tinggi ilmu agamanya seperti hafiz al-Quran turut mengalami gangguan sebegini kerana ada dalam kalangan syaitan dan iblis ini memilih untuk berdamping dengan individu disukainya,” katanya.

Katanya, setiap umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ‘pendinding’ bagi mengelakkan gangguan sedemikian.

“Orang yang jiwanya kosong akan memerlukan pendinding diri dan ia masih boleh diamalkan termasuk dalam kalangan wanita yang didatangi haid.

“Walaupun tidak boleh memegang al-Quran dan mengerjakan solat, amalkan niat zikir bagi membaca ayat al-Quran seperti ayat Kursi bagi mengelakkan gangguan syaitan dan iblis.

“Selain itu, usahakan untuk mendengar ayat suci al-Quran dengan kerap. Ini antara cara bagi membina kekuatan dalaman daripada sebarang bentuk gangguan,” katanya.

Beliau berkata, usah sesekali menyimpan penderitaan atau gangguan itu seorang diri, sebaliknya usahakan untuk mendapatkan bantuan keluarga dan nasihat ahli agama.

“Jika kita sedar emosi sedang terganggu atau perkara seumpamanya, usahlah dibiarkan, sebaliknya carilah kawan dan minta nasihat apa sepatutnya dilakukan dalam keadaan sedemikian.

“Lebih baik berjumpa dengan pengamal perubatan Islam untuk ruqyah dan mendapat sokongan orang sekeliling umpamanya sama-sama mengajak untuk melakukan solat sunat tahajud, membaca al-Quran dan mengingatkan untuk sentiasa berzikir kepada Allah SWT,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Halim berkata, individu yang mempunyai sejarah pernah mengalami gangguan syaitan dan iblis perlu lebih berhati-hati kerana perkara ini boleh berulang semula jika tidak segera dipulihkan.

“Bagi individu yang ada sejarah gangguan, potensi untuk kena semula tetap ada terutama jika emosi tidak tenang, berdepan tekanan atau ada masalah tertentu.

“Apabila perkara ini tidak dapat diselesaikan, gangguan ini akan lebih mudah berlaku semula,” katanya.

Halim berkata, setiap umat Islam wajib beriman mengenai kewujudan jin, iblis dan syaitan walaupun secara hakikatnya ia tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia.

“Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berada di masjid dan waktu itu baginda mengajar jin dan bukannya manusia.

“Sebagaimana disebut dalam al-Quran, iblis dan syaitan ini tidak akan mati dan akan terus menyesatkan anak Adam sehingga kiamat kecuali manusia ikhlas beribadat kepada Allah SWT.

“Jadi, antara cara untuk mengelakkan terkena gangguan makhluk halus adalah dengan memperbaiki niat untuk melaksanakan ibadat semata-mata kerana Allah SWT,” katanya.

Halim berkata, antara sahabat Rasulullah SAW yang ditakuti iblis dan syaitan ialah Sayidina Umar al-Khattab RA.

Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: Wahai Umar, demi zat yang jiwaku berada pada-Nya, sudah cukup untuk mengerti kemuliaanmu bahawa tidaklah syaitan terserempak denganmu melainkan memilih jalan selain jalan yang engkau lalu.” (HR Muslim)

“Apabila Umar ingin memasuki masjid, syaitan dan iblis tidak akan masuk melalui pintu yang dimasukinya, manakala ketika beliau menggunakan jalan atau lorong, makhluk halus itu juga tidak berani melaluinya,” katanya.

Beliau turut memberikan nasihat supaya orang awam tidak menjadikan isu gangguan makhluk halus sebagai bahan jenaka, selain sengaja merakam video untuk ditularkan dalam media sosial.

“Perkara ini usah dibuat main, jangan sesekali cabar jin, iblis dan syaitan ini dalam keadaan kita seolah-olah hero.

“Gangguan ini hanya boleh dihindari dengan ada pendinding diri dan ingatlah, sekiranya syaitan dan iblis ini masuk ke dalam diri kita, ia tidak boleh dikalahkan.

“Cuma boleh dihalau tetapi ia boleh masuk (merasuki) semula secara berulang dan berdamping dengan kita,” katanya.

Doa belum dimakbulkan

SAYA ada satu hajat dan saya sudah banyak kali berdoa, tetapi doa saya masih tidak dimakbulkan. Bagaimana cara terbaik supaya doa kita dimakbulkan Allah SWT?

Murshid, Alor Setar, Kedah

DOA adalah inti ibadat. Allah SWT menjadikan doa sebagai alat untuk hamba-Nya berhubung terus dengan-Nya selaku Maha Pencipta seluruh makhluk dan alam ini.

Imam Al-Qurtubi berkata: “Apabila ditanyakan mengapa kita sudah banyak memanjatkan doa kepada Allah tetapi masih belum juga dikabulkan?” Jawapannya kembali kepada ayat al-Quran dalam Surah al-Baqarah, ayat 186. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya tentang Aku kepadamu, maka katakanlah bahawa sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku memperkenankan doa setiap orang yang berdoa kepada-Ku.”

Dalam Surah al-Mukmin, ayat 60 menegaskan: Dan Tuhanmu berkata: “Berdoalah kepada-Kupasti Aku kabulkan.”

Perkataan ‘Ujibu’ dalam ayat itu bermaksud: “Aku mengabulkan doa” manakala perkataan ‘astajib’ pula bermaksud “Aku kabulkan”.

Bukanlah memberi pengertian secara mutlak bahawa semua doa meliputi pelbagai bentuk pasti dikabulkan begitu saja.

Apabila satu doa ingin dikabulkan, ia mesti memenuhi beberapa syarat. Allah SWT menegaskan dalam ayat 55, Surah al- A’raf yang bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dengan suara yang lembut. Kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”

Justeru, merendah diri dengan suara yang lembut adalah sebahagian prasyarat sesuatu doa itu dikabulkan. Apabila seseorang terus-menerus melakukan perbuatan dosa sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, bererti dia belum bersikap merendah diri.

Orang yang melakukan dosa boleh dikatakan sebagai seorang yang sombong. Padahal Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi melampaui batas.

Apabila melakukan begitu (dosa), bagaimana doanya boleh dikabulkan. Pada hakikatnya, Allah SWT sangat menyukai setiap doa yang dipanjatkan oleh hamba-Nya.

Perihal dikabulkan di dunia atau ditunda sebagai simpanan di akhirat adalah hak Allah SWT. Dalam hal itu, Abi Sa’id Al-Khudri menegaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada seorang Muslim yang memanjatkan doa kepada Allah yang tidak disertai perbuatan maksiat dan memutuskan silaturahim kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara iaitu:

1. Doanya dikabulkan dengan segera di dunia.

2. Ditunda sebagai tabung akhirat.

3. Boleh jadi penolakan keburukan yang akan menimpa dirinya.

Sahabat Nabi bertanya: “Adakah kami perlu memperbanyakkan doa, wahai Rasulullah?”

Jawab Rasulullah: “Allah sangat menyintai orang yang memperbanyakkan doa.”

Ketiga-tiga perkara dalam hadis itu adalah bentuk dikabulkan satu doa.

Sebahagian ulama mengatakan, Allah SWT akan sentiasa mengabulkan doa apabila Dia menghendaki-Nya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-An’am, ayat 41 yang bermaksud: “Maka Dia menghilangkan bahaya yang kerananya kamu berdoa kepada-Nya, jika Dia menghendaki.”

Itu termasuk bab mutlak dan muqayyad. Sebab Rasulullah SAW juga pernah memanjatkan doa mengenai tiga perkara, namun yang dikabulkan cuma dua perkara saja.

Perkara itu dinyatakan dalam kitab Tafsir Al-Qurtubi. Sebagaimana yang dikemukakan seorang sahabat Sa’ad bin Abi Waqas: “Pada suatu hari Rasulullah SAW pulang dari daerah pergunungan yang berada di Madinah. Baginda melalui sebuah masjid milik Bani Mu’awiyah, kemudian masuk ke dalam dan melakukan solat sunat dua rakaat. Kami para sahabat ikut pula melakukan solat sunat berserta Rasulullah SAW.” (Hadis riwayat Muslim)

Sesudah itu, Rasulullah SAW berdoa kepada Allah dengan doa yang sangat panjang. Baginda menghadap kepada kami seraya bersabda: “Saya sudah berdoa kepada Allah dengan doa yang sangat panjang dengan sabdanya yang bermaksud: “Saya berdoa kepada Allah tentang tiga perkara, namun hanya dua saja dikabulkan, sementara satu lagi tidak dikabulkan oleh Allah. Aku memohon kepada Allah SWT agar umatku jangan dihancurkan dengan datangnya musim kurangnya bahan makanan, kemudian dikabulkan oleh Allah.

“Saya memohon kepada Allah agar umatku tidak dikalahkan oleh musuh. Kemudian dikabulkan oleh Allah SWT. Dan saya memohon kepada Allah agar di antara umatku jangan sampai berlakunya perselisihan, kemudian yang satu ini tidak dikabulkan oleh Allah SWT.”

Apa yang penting bagi kita ialah sentiasa memelihara dan menjaga etika dalam berdoa dan pra-syarat yang ada di dalamnya.

Dengan demikian, kemungkinan doa dikabulkan adalah lebih besar, insya-Allah.

Nikmat imarah masjid

Mohd Shahrizal Nasir

Hari Jumaat baru-baru ini, kebanyakan masjid mula dibuka untuk jemaah hadir menunaikan solat Jumaat.

Meskipun bilangan jemaah masih dihadkan namun kelonggaran yang diberikan untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat adalah satu nikmat yang ditunggu-tunggu.

Kelonggaran ini diberikan sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun lalu.

Sebenarnya kebenaran menunaikan solat Jumaat belum menyeluruh membabitkan semua negeri.

Masih ada pihak berkuasa negeri yang belum dapat membuka masjid untuk digunakan setakat Jumaat lalu.

Penentuan bilangan jemaah yang dibenarkan untuk hadir menunaikan solat Jumaat juga berbeza-beza antara negeri.

Lihat perkara ini sebagai satu langkah berjaga-jaga diambil pihak berkuasa agama yang lebih mengetahui keadaan semasa
di tempat masing-masing.

Jangan pula ada yang melemparkan pandangan tidak berasas terhadap pengurusan agama di negeri kerana pastinya keputusan yang dibuat perlu mengambil kira pelbagai perkara.

Ingat bahawa semua ketetapan yang dibuat pasti dengan tujuan memastikan wabak Covid-19 tidak menular lagi di negara ini.

Bagi masyarakat Islam yang mendiami tempat dengan kebenaran diberikan untuk hadir ke masjid, pastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.

Antara lain jemaah diminta memastikan diri sihat, berwuduk dari rumah, menggunakan pelitup muka, memeriksa suhu badan sebelum masuk masjid, merekod kehadiran serta memastikan jarak selamat ketika menunaikan solat.

Jemaah juga diminta untuk membawa sejadah sendiri, selain tidak berkumpul lama di masjid dan dilarang bersalaman selepas selesai menunaikan solat.

Jika semua ketetapan ini diberi perhatian yang serius oleh setiap jemaah, maka masjid menjadi tempat yang selamat daripada wabak.

Malah ada masjid yang menggunakan sistem nombor bagi memastikan bilangan jemaah yang hadir ke masjid bertepatan kebenaran yang ditetapkan pihak berkuasa agama di tempat masing-masing.

Ada juga masjid yang menyediakan pelitup muka secara percuma untuk diberikan kepada jemaah yang terlupa membawa pelitup muka sendiri.

Berdasarkan pemerhatian ketika solat Jumaat baru-baru ini, dapat diperhatikan setiap jemaah masjid patuh terhadap ketetapan yang digariskan pihak berkuasa agama yang mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini membuktikan bahawa umat Islam yang hadir ke masjid sama-sama memikul tanggungjawab bagi memastikan masjid menjadi tempat yang bebas daripada penularan wabak Covid-19.

Tidak keterlaluan jika disebut bahawa masjid adalah tempat yang betul-betul mematuhi SOP keberadaan di tempat awam.

Lihat sendiri bagaimana perilaku jemaah dan inisiatif yang dibuat pihak masjid bagi memastikan semua orang yang berada di masjid sentiasa mengikut SOP ditetapkan.

Cuba bandingkan keadaan jemaah di masjid dengan orang yang berada di tempat awam lain termasuk di kedai makan, pusat beli-belah, pasar dan seumpamanya.

Ada orang yang langsung tidak menghiraukan ketetapan yang perlu dipatuhi ketika berada di tempat awam ketika tempoh PKPP.

Oleh itu, adalah diharapkan jemaah yang datang ke masjid terus mengekalkan sikap yang terpuji dengan mematuhi SOP.

Akhirnya nanti, insya-Allah masjid akan terus dibuka untuk orang awam dengan bilangan jemaah yang lebih ramai.

Bagi jemaah yang belum dapat menunaikan solat Jumaat di masjid, jangan berdukacita kerana peluang untuk ke masjid akan dapat dinikmati setiap orang dengan cara penggiliran.

Bersabar dalam mendepani situasi ini kerana kesabaran itu adalah satu perkara yang dituntut Islam.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “… dan ketabahan orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil. Orang yang demikian sifatnya, mereka itulah orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 177).

Selain itu, usah hanya difokuskan mengenai kebenaran menunaikan solat Jumaat di masjid sahaja, sebaliknya imarahkan masjid untuk solat fardu lima waktu sesuai dengan ketetapan yang dimaklumkan pihak berkuasa agama.

Bagi yang sebelum ini merungut kerana tidak dapat hadir ke masjid kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ambil peluang untuk menunaikan solat fardu di masjid dengan mematuhi SOP.

Sesungguhnya orang yang mengimarahkan masjid dengan hadir menunaikan solat akan menerima ganjaran besar di sisi Allah.

Firman Allah bermaksud: “Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Didik hati takut berbuat dosa

Mohd Rizal Azman Rifin

Setiap dosa tidak pernah terlepas daripada catatan malaikat. Allah SWT berfirman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya yang mengawas dan menjaganya (daripada sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”

Sebab itu, Rasulullah SAW sangat menitikberatkan pendidikan kepada sahabatnya supaya mereka sentiasa takut melakukan perbuatan maksiat.

Buku catatan malaikat itu umpama buku rekod peribadi yang kelak akan diserahkan semula kepada setiap individu untuk dibuat penilaian di hadapan Rabbul Jalil.

Bahkan, perbuatan dosa atau mungkar tidak sekadar dihitung di akhirat, tetapi turut mengundang kemurkaan Allah ketika hidup di dunia lagi.

Ada kalanya apabila bentuk kemungkaran itu semakin berleluasa serta dilakukan sewenang-wenangnya, maka tunggulah bala yang akan menimpa.

Bukan sedikit kaum terdahulu Allah binasakan mereka ketika hidup di dunia lagi. Kisah sedemikian bukan untuk dibaca semata-mata, tetapi perlu dijadikan iktibar buat diri kita yang hidup pada akhir zaman ini.

Sahabat Rasulullah SAW, Abdullah Ibnu Mas’ud ada memberitahu situasi hati sahabat Rasulullah SAW berkenaan dosa dan mungkar.

Kata beliau: “Orang munafik akan memandang remeh terhadap dosa. Ia menganggap dosa laksana lalat yang terbang saja. Sebaliknya, orang-orang Mukmin akan melihat dosa seperti gunung yang akan jatuh menimpa dirinya.”

Kata-kata beliau itu adalah paparan lubuk hati sahabat Rasulullah SAW yang dididik rasa takut melakukan dosa.

Kita sudah melihat bukti sejarah dunia moden hari ini di mana bandar Pompei di Itali pernah diranapkan dan penghuninya dihancurkan lantaran perkara keji yang mereka lakukan.

Malah, tinggalan artifak sejarah bandar itu masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Tetapi adakah kita belajar daripada kisah ngeri yang menimpa penghuni bandar itu?

Kejadian tsunami di Palu, Sulawesi yang meragut ribuan nyawa juga dianalisis sebagai antara kesan perbuatan mungkar dilakukan manusia.

Adakah ia benar, hanya Allah SWT saja yang Maha Mengetahui segala-galanya. Namun, sebagai umat Islam kita perlu yakin sebarang amalan syirik, mungkar dan maksiat dilakukan pasti ada balasannya.

Saidina Ali bin Abi Talib pernah ingatkan kita dengan berkata: “Tidak turun suatu bala bencana kecuali disebabkan dosa. Dan tidak diangkat (bala tersebut) kecuali disebabkan taubat.”

Kata-kata Saidina Ali itu selari dengan apa yang Allah SWT firmankan dalam Surah Asy-Syura ayat 30 bermaksud: “Apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dosa daripada dosa-dosa kamu.”

Sebenarnya manusia cepat lupa ketika mereka hidup dikelilingi nikmat dunia. Seolah-olah nikmat yang sedang dikecapi itu akan berlanjutan.

Hal ehwal peribadatan dan agenda hidup tidak seiring dengan lunas yang digariskan Allah SWT. Apa saja dilakukan sesuka hati dan hanya menurut perasaan dan hawa nafsu.

Baca dan hayati bait-bait syair Arab ini: “Jika engkau berada dalam nikmat, peliharalah dengan baik. Kerana dosa dapat menghilangkan nikmat itu. Peliharakanlah nikmat dengan taat kepada Tuhan segenap hamba. Tuhan segenap hamba yang sangat cepat turunkan azab dan seksaan-Nya.”

Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf, ayat 96 bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi), sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkanapa yang mereka usahakan.”

Pemimpin perlu contohi kesediaan Sayidina Umar terima kritikan

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad

ISLAM ialah agama sempurna yang memiliki mekanisme semak dan imbang dalaman tersendiri. Abu Ruqayyah Tamim al-Dari RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Agama itu ialah nasihat.” Kami pun bertanya: “Bagi siapa (nasihat itu)?” Baginda menjawab: “Nasihat untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, imam golongan Muslimin dan seluruh Muslimin (rakyatnya).” (HR Muslim)

Nasihat di sini bukan bermaksud menasihati Allah SWT tetapi beriman dan mentauhidkan Allah SWT, manakala nasihat terhadap kitab pula adalah menunaikan hak al-Quran untuk dipelajari, dibaca, diamal, dihayati dan disebarkan.

Dalam konteks Rasul SAW pula bermaksud beriman kepada apa-apa dibawa Baginda, mencontohi sunnah dan akhlak Nabi SAW. Adapun nasihat kepada imam dan pemimpin adalah membantu, mentaati, menasihati serta menegur mereka apabila melakukan kesalahan.

Dalam hal menasihati pemimpin, ia boleh berlaku dalam banyak dimensi. Pertama, daripada yang atas kepada di bawah seperti nasihat dan teguran Allah SWT kepada Nabi SAW atau nasihat daripada orang bawah kepada pemimpin tinggi seperti sahabat menasihati Baginda atau orang awam menasihati khalifah.

Islam sejak awal ditanzilkan lagi tidak putus-putus mencatatkan banyak kisah menasihati pemimpin, bermula daripada nasihat atau teguran daripada Allah SWT terhadap Nabi SAW seperti terakam dalam ayat pertama hingga 4 dalam surah ‘Abasa:

Asbabun nuzul (sebab turun ayat) adalah kerana Nabi SAW didatangi seorang buta, iaitu Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang ingin bertanyakan hal agama, namun Nabi SAW tidak melayan kerana ketika itu Baginda sibuk berdakwah dengan pemimpin kafir Quraisy seperti Walid Ibnu al-Mughirah dan amat berharap mereka akan memeluk Islam. Lalu, Allah SWT menegur Nabi SAW atas sikap itu sedangkan hidayah milik Allah jua.

Begitu juga, ketika mengatur strategi dalam Perang Badar, Nabi SAW dinasihati pakar strategi peperangan Khabab Munzir RA apabila mendapati Baginda bercadang berkhemah di suatu tempat agak jauh dari sumber air, lalu beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah tempat ini pilihan wahyu daripada Allah SWT atau dasar strategi perang?”

Nabi SAW menjawab: “Tidak, bukan (wahyu) daripada Allah SWT tetapi ini hanyalah strategi kita sahaja.” Lalu, Khabab pun mencadangkan tentera Islam bergerak lebih ke hadapan berdekatan telaga air dan dipersetujui Nabi SAW.

Pada zaman sahabat pula, sejarah mencatatkan Sayidina Umar Al-Khattab RA dilantik menjadi khalifah, beliau dengan lantang menyeru agar ditegur jika menyeleweng dengan berkata: “Sesiapa antara kamu melihat pada diriku suatu penyelewengan, maka luruskanlah ia.”

Maka, bangkit seorang lelaki Arab Badwi berkata dengan berani: “Demi Allah wahai Umar, sekiranya kami mendapati kamu menyeleweng, nescaya kami akan luruskan kamu dengan pedang kami yang tajam ini.” Lalu Umar menjawab: “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang menjadikan dalam kalangan umat Muhammad, mereka yang sanggup meluruskan Umar dengan pedangnya.”

Umar juga pernah naik ke atas mimbar dan berucap menetapkan mahar perkahwinan tidak melebihi 400 dirham. Lalu apabila beliau turun, beliau ditegur seorang perempuan dengan membacakan ayat ke-20 dalam surah al-Nisa’ yang menyebut Allah SWT memberikan kebebasan kepada lelaki memberikan sebanyak mana yang mereka mahu sebagai mahar kepada perempuan.

Ini menginsafkan Umar yang beliau tiada hak menetapkannya, lalu sedar kesalahannya dan berkata: “Ya Allah, berilah keampunan kepadaku. Semua orang lebih faqih (memahami) daripada Umar.”

Khalifah kedua itu pun kembali menaiki mimbar dan berkata: “Sesungguhnya tadi aku melarang kamu menetapkan mahar terhadap wanita lebih daripada 400 dirham. (Namun) sekarang, sesiapa pun boleh memberikan hartanya berdasarkan yang dia suka (sebagai mahar).”

Islam menganjurkan bersikap berani menasihat, menegur dan mengkritik secara membina pemimpin kerana dengan cara itulah kesilapan serta kesalahan yang mungkin tidak disedari pemimpin akan dapat dibetulkan. Ia sikap murni, terbit daripada hati jujur dan bersih yang inginkan mencari keredaan Allah SWT semata-mata.

Ia bukan seperti yang mungkin wujud dalam dunia hari ini yang sebagai contoh, apabila wujud dua golongan, berpihak kepada pemerintah dan lagi pembangkang. Pihak pembangkang akan senantiasa hanya membangkang, membantah dan menentang apa sahaja datang daripada pemerintah hanya kerana mereka bukan daripada kelompok pemerintah dan begitulah sebaliknya.

Keadaan itu berlaku tanpa melihat terlebih dahulu tindakan, usul atau usaha itu sebenarnya membawa kebaikan dan mengelak kemudaratan. Perkara ini dilakukan demi survival kelompok masing-masing dan bukannya bertujuan kebenaran.

Kejatuhan kerajaan, empayar dan dinasti silam antara lainnya berpunca daripada keengganan kelompok memimpin (tidak kira yang memerintah atau tidak) untuk berlapang dada, berjiwa besar mendengar saranan, nasihat, teguran, teguran ikhlas yang diberikan ilmuwan, cendikiawan dan sarjana yang jujur.

Islam bukan sahaja menganjurkan agar pemimpin sentiasa berjiwa besar dan terbuka menerima teguran, bahkan mempelawa dan mengalu-alukan orang lain memberikan pandangan bermanfaat seperti ditunjukkan Umar apabila dilantik sebagai khalifah.

Sheikh Abdul Aziz al-Badri menyebut pelawaan Umar itu suatu kesediaan dan pelawaan jelas untuk ‘dikritik’ serta sebagai proses muhasabah dalam pemerintahan Islam.

Beliau berkata: “Ajaran Islam mewajibkan pemimpin dilantik memimpin umat Islam agar mendengar sesiapa mengkritik dan berlapang dada (menerima kritikan) seperti diperintahkan untuk akur dengan kritikan berkenaan sekiranya bertepatan dengan hukum Islam.

“Islam juga melarang daripada mengenakan apa jua hukuman yang boleh menyakiti mereka yang mengkritik, sekalipun kritikan itu kata-kata keras dan tajam,” tulisnya dalam al-Islam Bayna al-Ulama’ Wa al-Hukkam.

Rindu nak beribadah

Mohd Ajib Ismail

ANTARA tanda-tanda seseorang mendapat kemanisan iman ialah apabila dia sangat senang dan cinta untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT.

Melalui kemanisan iman, seseorang akan mempunyai sifat istiqamah dalam dirinya untuk kekal melakukan amalan ibadah serta sentiasa menunggu-nunggu dan rindu untuk melakukan ibadah seperti solat, puasa, membaca al-Quran, berzikir serta menjauhi perbuatan maksiat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih daripada cintanya kepada yang lain, siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi) dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (daripada kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan
ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sebaliknya tanpa kemanisan iman, seseorang tidak lagi merasai nikmat keindahan dalam melakukan ibadah.

Sebagai contoh, jika sebelum ini solat yang didirikan membuatkan dirinya tenang dan lapang namun amalan terbabit seolah-olah sudah tidak begitu berbekas dalam hati malah seperti kosong dan sepi.

Sebagai Muslim, kita amat beruntung jika dapat menyedari berkurangnya kemanisan dalam beribadah supaya ia menjadi hikmah untuk kita bermuhasabah dan mencari jalan untuk memperbaiki hubungan dengan Allah.

Terdapat beberapa tip untuk kita mengekalkan nikmat beribadah seperti berusaha bersungguh-sungguh untuk mentaati perintah Allah, menjauhkan diri daripada dosa, menjadi manusia yang berakhlak mulia, menjadikan ibadah sebagai jalan mendekati Allah dan meyakini bahawa ibadah itu bernilai sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Selain itu, kemanisan dalam beribadah juga diperoleh melalui cara menjauhi sifat mengejar reda manusia semata-mata, menjauhi teman yang fasik serta meninggalkan sifat mencari kesenangan dunia semata-mata.

Kemanisan iman bermaksud kita dapat merasai kelazatan dalam beribadah, melaksanakan ketaatan kepada Allah, menuruti ajaran Rasulullah dan berkemampuan menghadapi kesulitan serta mengutamakan agama daripada hal keduniaan.

Sebagai hamba Allah, kita berkewajipan melaksanakan amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah seperti solat, zikir dan membaca al-Quran.

Amalan itu seharusnya dapat mengingatkan kita kepada Allah pada setiap masa dan ketika.

Ia tidak wajar hanya menjadi amalan kebiasaan semata-mata, tetapi mestilah dapat meninggalkan kesan dalam seluruh aspek kehidupan sehingga merubah akhlak dan pemikiran selaras dengan tuntutan syariat.

Kita perlu bermuhasabah sama ada kelaziman melakukan ibadah misalnya menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau adalah sekadar rutin biasa yang tidak memberi sebarang rasa kemanisan beribadah atau memberi impak dalam kehidupan sebagai Muslim.

Apabila seseorang merasakan kemanisan dalam beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, ia adalah petanda bahawa dia mengingati Allah dan Allah juga mengingatinya.

Seseorang yang merasai kemanisan beribadah akan merasakan kerinduan yang tinggi apabila leka dan alpa daripada menunaikan amalan ibadah kepada Allah.

Dia akan bersegera menunaikan amalan berkenaan dan timbul rasa penyesalan yang tinggi apabila tertinggal melaksanakannya kerana kesibukan atau sebab lain.

Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini memberikan kelonggaran kepada beberapa perkara dalam hal ini termasuk kapasiti jemaah dan kebenaran mengadakan kuliah Subuh dan Maghrib di masjid, surau Jumaat dan surau di zon hijau khususnya di Wilayah Persekutuan.

Hari pertama pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PKPP berkaitan perkara ini menyaksikan keterujaan orang ramai untuk kembali menunaikan solat Jumaat dengan mematuhi segala panduan ditetapkan.

Perdana Menteri Malaysia juga mendapat gambaran positif berkaitan pematuhan SOP ini apabila beliau berpeluang menyertai solat Jumaat di Masjid Saidina Umar al-Khattab, Bukit Damansara.

Allah berfirman yang bermaksud, “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat berkenaan) maka diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah ayat 18)

Ayat ini menjelaskan betapa besarnya keutamaan memakmurkan masjid yang didirikan kerana Allah dan perbuatan terpuji ini adalah bukti benarnya iman dalam hati seorang hamba.

Semoga Allah sentiasa memelihara hati kita semua supaya berterusan merindui untuk melaksanakan amal ibadah dan mengimarahkan masjid dan surau pada setiap masa serta merasai kemanisan iman dalam beribadah sepanjang kehidupan.

Akhlak baik lambang jati diri mukmin

Mohd Rizal Azman Rifin

Sesungguhnya akhlak seseorang itu terbina kukuh apabila hatinya bersih yang tidak diselaputi dengan abu karat sifat mazmumah.

Apabila hati seseorang itu bersih, kesannya akan jelas terserlah pada apa sahaja pergerakan anggota fizikalnya.

Ini selaras dengan apa yang pernah diberitahu Rasulullah SAW dalam sabdanya yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim yang mana Baginda bersabda, ‘Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada sepotong daging apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badannya dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh anggota badannya. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.’

Kekalutan sosial yang seringkali berlaku kebelakangan ini timbul apabila ada sesetengah pihak yang busuk dan buruk hatinya.

Misalnya, fenomena fitnah-memfitnah dan berhasad dengki adalah petanda hati seseorang individu itu tidak bersih.

Sebab itu Rasulullah secara jelas melarang keras umatnya melakukan perbuatan seperti itu.

Rasulullah sebagaimana diriwayatkan Imam Abu Daud bersabda, ‘Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, Allah akan mengintip keaibannya dan dia akan mendedahkannya, meskipun berada di dalam rumah sendiri.’

Rasulullah juga mengingatkan kita semua akan kesan buruk yang bakal berlaku kepada si pengumpat yang mana kali ini Baginda menyatakan, ‘Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya melibatkan maruah (penghormatan) atau sebagainya, maka lebih baik dia memohon kemaafan kepada orang itu sebelum tiba hari di mana dinar dan drham tidak lagi diperlukan. Jika dia mempunyai apa-apa kebaikan, perkara itu akan ditarik daripadanya sebagai balasan ke atas kejahatan yang dibuat. Jika dia tidak ada sebarang amalan kebaikan, maka kejahatan orang yang diumpat itu akan diletakkan kepadanya.’ (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

‘Peta kehidupan’ seseorang mukmin seharusnya berteraskan kepada akhlak murni yang selari nilai Islam.

Setinggi mana ilmu pengetahuan, sekaya mana kekayaan yang dimiliki atau sekuat mana pengaruh darjat status sosial seseorang itu, tanpa akhlak murni, ia tetap berada dalam ketempangan.

Gerhana Matahari Separa Esok Ahad, 21 Jun 2020

Pada hari Ahad, 21 Jun 2020 esok sekali lagi kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa di langit Malaysia dan Asia Tenggara.

Suasana Gerhana Matahari Separa yang akan dapat dilihat pada 21 Jun 2020 nanti.

Fenomena ini berlaku selang 6 bulan selepas kali terakhir kita dapat menyaksikan gerhana matahari pada 26 Disember 2019 lepas.

Gerhana Matahari kali ini adalah yang terakhir kita akan dapat saksikan dalam masa terdekat. Selepas ini kita terpaksa menunggu 3 tahun, iaitu 20 April 2023 untuk dapat menyaksikan sekali lagi lintasa bayang-bayang Bulan merentasi tanahair kita! Oleh itu jangan lepaskan peluang ini!

Rujuk artikel Takwim lengkap 23 tahun Gerhana Matahari yang akan dapat dilihat di Malaysia (2019-2042)

Apakah jenis Gerhana yang akan berlaku kali ini?

Gerhana kali ini dikenali sebagai Gerhana Matahari Separa. Ia bermaksud hanya sebahagian daripada bentuk piring atau jasad Matahari akan terlindung oleh Bulan.

Di negara-negara seperti Afrika tengah, semenanjung Tanah Arab, Pakistan, India, Nepal, China dan Taiwan, penduduk di sana akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Cincin.

Di bawah ialah simulasi pergerakan Bulan di hadapan Matahari dari Kuala Lumpur nanti.

Bila dan jam berapakah ia akan berlaku?

Di Malaysia, secara amnya ia akan bermula sekitar jam 2:30 petang dan tamat sekitar jam 5 petang bagi anda di Semenanjung. Bagi di Sabah pula, ia bermula sekitar jam 3 petang dan tamat sekitar 5:30 petang

Waktu kemuncak gerhana akan berlaku antara jam 3:50 hingga 4:30 pm bergantung kepada lokasi.

Untuk dapatkan waktu yang paling tepat untuk lokasi anda, sila klik pada peta janaan Xavier M. Jubier ini.

Di bawah ialah peta gerhana bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak, serta Brunei. Bagi anda di Singapura, waktunya adalah hampir sama dengan Johor Bharu.

Nombor yang dipaparkan itu menunjukkan peratusan piring Matahari yang akan terlindung. Waktu yang dipaparkan ialah waktu kemuncak gerhana. Peta ini merujuk kepada ibu negeri sahaja. Jika anda berada berhampiran, waktunya ialah lebih kurang sama. Rujuk link peta janaan Xavier M. Jubier di atas untuk waktu yang lebih spesifik dengan lokasi anda.

Di manakalah lokasi terbaik untuk cerapan Gerhana Matahari ini?

Lokasi terbaik untuk melihat gerhana ini ialah di mana-mana kawasan yang boleh nampak Matahari!

Kita kena ingat, waktu keseluruhan gerhana ini nanti akan berlangsung lebih kurang 2 jam 30 minit. Maka, pastikan laluan Matahari di langit dari kawasan anda itu tidak ada halangan seperti bangunan, bumbung atau pokok! Seeloknya carilah kawasan yang lapang.

Jika anda mahu lihat peratusan gerhana yang paling banyakKudat di Sabah adalah antara lokasi yang paling baik. Di sana, hampir 37% Matahari akan terlindung!

Apakah cara paling selamat untuk kita lihat gerhana ini?

Seperti mana yang kita tahu sebelum ini, Matahari adalah amat terang dan amat berbahaya untuk dilihat secara terus dengan mata. Silap haribulan anda boleh mengalami kecacatan KEKAL di mata, malah boleh BUTA!

Maka, berhati-hatilah ketika mencerap nanti!

Berikut antara kaedah mencerap yang disarankan.

  1. Cermin mata matahari

Cermin Mata Matahari ialah sejenis penapis khas yang membolehkan kita melihat ke arah Matahari dengan selamat. Penapisnya berwarna hitam (black polymer) dan silver (baader). Ia selalunya sudah siap dipasang pada rangka berbentuk cermin mata yang diperbuat daripada kertas.

Jika anda sudah memiliki satu unit ketika gerhana matahari cincin yang lepas, ia masih boleh digunakan.. dengan syarat ia tidak terkoyak atau berlubang!

2. Kaedah kamera lubang pin.

Kaedah ini paling selamat kerana ia hanya membenarkan cahaya Matahari yang sedikit masuk ke dalam lubang pin yang kecil. Imej yang terhasil itu tidak berbahaya dan selamat untuk dilihat.

3. Kamera (yang dipasang penapis!)

Jika anda mempunyai kamera DSLR, ia boleh dijadikan sebagai satu cara melihat gerhana ini, dengan syarat pastikan anda letakkan penapis Matahari tadi (black polymer atau baader) di bahagian hadapan lens!

Jika tidak.. cip kamera anda akan terbakar!

Sila rujuk beberapa siri video berguna mengenai cara mencerap gerhana matahari dengan selamat di dalam artikel Cara paling selamat mencerap Gerhana Matahari

Cara yang salah mencerap gerhana Matahari!

Awas. Berikut adalah cara yang SALAH dan amat berbahaya untuk mencerap gerhana nanti. Tolong jangan buat!

  1. Filem X-Ray (hitam putih)
  2. Filem warna
  3. Cermin Mata Hitam seperti rayband
  4. Kaca yang digelapkan dengan asap
  5. Air dalam baldi

Berdasarkan pemerhatian ketika gerhana matahari bulan Disember lepas, masih ramai yang menggunakan kaedah di atas!

Tolong ye.. walaupun ‘kita rasa’ ia selamat, tetapi hakikatnya, cahaya UV Matahari yang berbahaya tu sedang ‘membakar’ retina mata kita secara senyap-senyap!

Perubahan persekitaran ketika gerhana

Disebabkan gerhana kali ini, tak sampai separuh piring Matahari yang terlindung, maka tidak banyak perubahan yang dapat dilihat berbanding gerhana cincin yang lepas.

Langit tidak akan menjadi ‘mendung’. Suhu kekal panas seperti biasa.

Namun perkara yang harus kita buat ialah melihat kesan imej Matahari yang terhasil dicelah-celah daun pokok atau lubang-lubang pada kertas (kaedah lubang pin). Kita akan nampak bentuk Matahari itu berubah menjadi ‘sompek’ atau tergigit pada satu sisinya.

Foto oleh Maksu Balkhair ketika gerhana bulan Disember 2019 lepas.

Strim Gerhana di internet

Gerhana kali ini berlaku setelah kita tamat mengharungi 3 bulan PKP dan PKPB bagi memutuskan rantaian Covid-19. Alhamdulillah sekarang kita sudah masuk dalam fasa PKPP.

Disebabkan 21 Jun kita masih baru bermula PKPP, dan penjarakan sosial serta acara yang melibatkan orang ramai masih belum boleh dibuat, maka ramai agensi dan orang perseorangan akan melakukan cerapan gerhana dan melakukan strim atau live menerusi facebook atau youtube, dari lokasi masing-masing.

Bagus juga ramai yang buat live nanti, kerana cuaca di Malaysia ini tak menentu. Maka, jika ada yang berawan, mungkin berpeluang melihatnya dari lokasi lain.

InsyaAllah saya sendiri akan lakukan cerapan secara online dari balai cerap saya di rumah. Paparan strim akan dibuat menerusi wall FB saya di facebook.com/shahgazer serta facebook.com/falakonline