• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,617 orang
  • Kandungan Blog

Adab dan Sunat Hari Raya

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik rh meriwayatkan sebuah hadis di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.
Termasuk di dalam adab berhari raya al-Fitri ialah makan dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya  Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].
Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt:
{وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن}
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].
Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
Sahih juga daripada Abdul Rahman al-Salamiy katanya: “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding hari Raya al-Adha. Waki’ berkata: “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam bertakbir.” [Lihat Irwa’ al-Ghalil: 3/122].
Al-Daraqutni dan selainnya pula meriwayatkan bahawa Ibnu Umar apabila keluar pada pagi hari Raya al-Fitri dan hari Raya al-Adha, beliau bersungguh-sungguh bertakbir sehinggalah sampai ke tempat solat, kemudian dia bertakbir lagi sehinggalah Imam keluar (untuk mendirikan solat).”
Ibnu Abi Syaibah pula meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Zuhriy katanya: “Adalah manusia bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar daripada rumah-rumah mereka sehinggalah mereka sampai ke tempat menunaikan solat dan sehingga Imam keluar, apabila imam keluar (untuk menunaikan solat), mereka semua senyap, apabila Imam bertakbir, mereka juga bertakbir.” [Lihat Irwa’ al-Ghalil: 2/121].
Bertakbir pada pagi hari raya ketika keluar dari rumah menuju ke tempat mendirikan solat dan sehingga keluarnya Imam adalah suatu perkara yang benar-benar masyhur di sisi generasi Salaf. Sekumpulan ulama yang menulis seperti Ibnu Abi Syaibah, Abdul Razak dan al-Faryabi dalam kitabnya “Ahkam al-‘Eidain” menukilkan perkara ini dari generasi Salaf, kerana itu Nafi’ bin Jubair sentiasa akan bertakbir (pada pagi hari raya) dan beliau menganggap pelik orang-orang yang tidak bertakbir (pada pagi hari raya) sambil berkata: “Apakah kamu semua tidak bertakbir?”
Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari  pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

4. Lafaz Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas’ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz:
اللهُ أكْبَرُ، اللهُ أكْبَرُ، -اللهُ أكْبَرُ-، لا إلهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ، اللهُ أكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْد.
Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
Ibnu Abi Syaibah juga meriwayatkan di kesempatan yang lain dengan sanadnya sendiri, dimana takbir itu diucapkan sebanyak 3 kali.
Al-Mahamiliy (المحاملي) meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibnu Mas’ud: 
اللهُ أكْبَرُ كَبِيْرا،ً اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً، اللهُ أكْبَرُ وَأجَلّ، اللهُ أكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْد.
Maksudnya: Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha agung, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.” [Irwa’ al-Ghalil: 3/126]
Kata ulama’: Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan amalkan.
Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar.

 

5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan:
1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua).
2. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.
Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ , Ibnu Hajar berkata: Isnad (riwayat ini) Hasan. [Fath al-Bari: 2/446].

6. Berpakaian baru/cantik di Hari raya
Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].
Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibnu Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.
Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (disebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi saw:
لا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ، وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلاتٌ
Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah dari masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].
Keluar dengan berpakaian biasa diluar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi.
Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.
7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah r.anhuma katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]
Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i.        Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii.       Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii.      Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt.
iv.      Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v.       Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

8. Solat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama’semasa.
Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.
a-         Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunnat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit dari para sahabat Nabi saw.
b- Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-Ala (سبح اسم ربك الأعلى) dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasiah (هل أتاك حديث الغاشية) berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf (ق) pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar (القمر) pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi saw.
c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis di dalam Musnad Ahmad daripada Ibnu Abbas r’anhuma:
أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ
Maksudnya: “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”
d-  Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya.
Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari. Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan perkataan Ibnu Battal (ابن بطال): “Telah sepakat para fuqaha’ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”
9.    Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya
Daripada Ali bin Abi Tolib r.a. katanya: “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” [Riwayat al-Tirmizi dan beliau menghasakannya]. Kata al-Tirmizi: “Beramal dengan hadis ini kebanyakan para ulama, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (untuk  solat hari raya) dengan berjalan kaki.” Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”
Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ، مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًا
Maksudnya: “Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]
Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

10.  Wanita uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya.
Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Dari Umm Atiyyah r.’anha katanya: “Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

11.    Zakat al-Fitr
Nabi saw menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan hadis Ibnu Umar r.’anhuma yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: وكانوا يعطون قبل الفطر بيوم أو يومين
Maksudnya: “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”
Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya maka ia tidak dikira sebagai zakat fitrah berdasarkan hadis Nabi saw daripada Ibnu Abbas r.’anhuma:
من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات
Maksudnya: “Sesiapa yang membayarnya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), maka itulah zakat fitrah yang diterima, dan sesiapa yang membayarnya selepas solat, maka ianya hanya sekadar sedekah dari sedekah yang lain.”
Maka berdasarkan hadis ini haram hukumnya melewatkan membayar zakat sehingga selesai solat hari raya tanpa sebarang keuzuran. Jika dia terlewat disebabkan keuzuran seperti orang yang dalam perjalanan (musafir) yang tidak memiliki wang atau tidak mendapati orang yang boleh diberikannya zakat, dia boleh mengeluarkannya selepas daripada solat hari raya disebabkan dia termasuk orang yang mempunyai keuzuran.

Adab Hari raya cara Rasulullah

Mohd Rizal Azman Rifin

Masa berlalu begitu pantas. Dalam keasyikan melaksanakan ibadat pada Ramadan ini, akhirnya ia bakal meninggalkan kita beberapa hari lagi.

Apakah kita masih berpeluang bertemu lagi bulan Ramadan pada tahun akan datang?

Ramadan meninggalkan begitu banyak kesan dalam kehidupan beramal kepada Allah SWT serta amal kebajikan sesama manusia.

Masing-masing tidak mahu ketinggalan menyertai ‘perlumbaan’ meraih keberkatan dan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT.

Sebelum Ramadan, masjid hanya penuh ketika solat Jumaat saja. Pada bulan Ramadan satu transformasi berlaku tanpa dipaksa-paksa.

Pada fasa awal Ramadan ruang solat di masjid biasanya sudah dipenuhi jemaah. Namun, menjelang fasa kedua, semangat ke masjid menjadi berkurangan dan yang tinggal hanya beberapa saf saja.

Ketika satu Syawal begitu dinanti, kekuatan dan semangat mengimarahkan Ramadan semakin terhakis. Alunan lagu raya mengambil alih perhatian umat Islam daripada menumpukan kepada ibadat.

Kesempatan yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan amal ibadat pada akhir Ramadan bertukar menjadi ‘perlumbaan’ mempersiapkan diri dan keluarga menyambut raya.

Tiada salahnya kita untuk menzahirkan rasa kegembiraan untuk menyambut Aidilfitri kerana ia adalah hadiah Allah SWT atas kemenangan hamba-hamba-Nya menahan nafsu sepanjang Ramadan.

Menjelang ketibaan Syawal ini, kita perlu kembalikan semangat meraikan Aidilfitri mengikut gaya Baginda SAW supaya kegembiraan sambutannya beroleh pahala dan keberkatan di sisi-Nya.

Beberapa amalan sunah patut dilaksanakan pada sambutan Aidilfitri nanti antaranya mengenakan pakaian baharu.

Sahabat Baginda, Jabir pernah memberitahu, “Sesungguhnya Nabi memiliki pakaian khusus yang hanya dipakai pada dua hari raya dan hari Jumaat.” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi)

Al-Baihaqi juga ada meriwayatkan Abdullah bin Umar akan mengenakan sebaik-baik pakaian pada hari raya. Maka, berpakaian baharu dan cantik pada hari raya adalah amalan sunah yang pernah dilakukan Rasulullah SAW dan sahabatnya.

Selain itu, kita juga dianjurkan mandi sunat hari raya sebelum keluar rumah untuk ke masjid menunaikan solat sunat hari raya.

Imam Malik melaporkan, Abdullah bin Umar akan mandi terlebih dahulu pada hari raya Aidifitri sebelum beliau berangkat menunaikan solat sunat hari raya.

Imam An-Nawawi memberitahu amalan mandi sunat sebelum menunaikan solat hari raya disepakati dalam kalangan ulama.

Seperkara lagi adalah menjamah makanan terlebih dahulu sebelum menuju ke masjid bagi melaksanakan solat hari raya.

Rasulullah SAW dikatakan tidak akan keluar dari rumahnya pada hari raya melainkan Baginda memakan beberapa biji buah tamar terlebih dahulu.

Kita disunatkan makan apa saja hidangan dalam kadar sedikit bagi mengalas perut. Amalan itu adalah simbol hari kemenangan dan umat Islam diharamkan berpuasa.

Tidak menjadi halangan untuk makan apa yang terhidang sebelum ke masjid, namun amalan makan kurma itu sesuatu yang sangat digalakkan kerana ia sebahagian sunah Rasulullah SAW.

Seterusnya, bertakbir ketika keluar dari rumah. Sahabat Baginda sentiasa melakukannya ketika mereka keluar rumah menuju ke tempat solat hari raya.

Imam al-Baihaqi ada meriwayatkan, Abdullah bin Umar akan bertakbir bermula saja beliau melangkah kakinya keluar rumah sehinggalah beliau tiba di tempat solat.

Sunah paling afdal dan terbesar adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah. Pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, solat Aidifitri dilakukan di kawasan lapang dan terbuka.

Ummu Athiyyah memberitahu, “Rasulullah memerintahkan kepada kami untuk keluar pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha sama ada hamba, wanita yang uzur dan juga pemudi. Wanita uzur hendaklah menjauhi tempat solat dan saksikanlah kebaikan serta seruan kaum Muslimin.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Begitu juga dengan amalan bermaaf-maafan yang tidak dapat dipisahkan daripada sambutan hari raya. Kita dianjurkan membuka lembaran baharu dengan saling bermaafan.

Semoga Aidilfitri ini memberikan kita keberkatan dan ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT sama seperti apa yang kita harapkan pada bulan Ramadan ini.

Adab dan Sunat Hari Raya

Sempena menyambut kedatangan hari lebaran yang ditunggu-tunggu oleh para muslimin seluruh dunia setelah sebulan berhempas pulas melawan kehendak nafsu dengan tibanya hari untuk bersyukur dan bergembira dengan segala nikmat Allah iaitu hari raya Eidul Fitri. Di sini dicoretkan beberapa adab dan perkara yang disunatkan untuk kita lakukan pada hari raya ini.

1. Membersihkan diri sebelum keluar untuk solat hari raya

Antara dalilnya ialah sebagaimana berikut :

a. Adalah Ibnu Umar mandi pada hari raya sebelum dia keluar
(riwayat imam Malik dengan sanad yang sohih )
b. Telah sabit bahawa para sahabat bersugi dan memakai bauan pada hari raya.
c. Telah sabit juga bahawa Ibnu Umar mandi dan memakai bauan pada hari raya Eidil Fitri.
d. Sebahagian ulama’ menyatakan sunat mencukur bulu dibadan dan memotong kuku kerana ia adalah penyerpurna dalam berhias.

2. Memakai sebaik-baik pakaian

Adalah bagi Rasulullah S.A.W satu jubah yang dipakai pada kedua hari raya.

3. Makan tamar atau seumpamanya sebelum keluar untuk solat hari raya

a. Daripada Anas adalah Rasulullah S.A.W tidak bersarapan pada hari raya eidul fitri sehingga baginda makan tamar dan memakannya secara ganjil pada bilangan.
(riwayat imam Bukhari dan Ahmad)
b. Daripada baridah telah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W tidak keluar pada hari raya eidil fitri sehingga baginda makan dan tidak makan pada hari raya korban sehingga menyembelih binatang korban. ( riwayat imam Ahmad dalam sohih Al-Jami’ )

4. Keluar solat hari raya dimasjid dan seumpamanya

Ummu ‘Athiyyah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kami supaya keluar pada hari raya eidil fitri dan eidil adha termasuk perempuan yang baru baligh, mereka yang datang haidh dan mereka yang sibuk dengan tugas di rumah. Maka bagi mereka yang datang haidh hendaklah tidak turut sama untuk solat dan mereka menyaksikan kebaikan dan jemputan muslimin. ( Riwayat imam Bukhari dan Muslim)

Setengan ulama’ mewajibkan para muslimin untuk keluar ke temapt solat hari raya.

5. Melaungkan takbir pada hari raya

Daripada Ibnu Umar berkata bahawa Nabi S.A.W bertakbir pada hari raya eidil fitri bermula ketika baginda keluar dari rumah sehinggalah sampai di temapt solat hari raya.
( Riwayat Baihaqi dan al-hakim dalam sohih al-Jami’ )

6. Melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat hari raya

Adalah Rasulullah S.A.W apabila keluar pada hari raya pada satu jalan, baginda pulang pada jalan yang lain. ( Riwayat imam Bukhari dalam sohih al-Jami’ )

7.Mengucapkan tahniah dan ucapan selamat hari raya kepada para muslimin

Adalah para sahabat apabila bertemu pada hari raya, mereka akan mengatakan kepada mereka yang ditemui dengan kalimah yang bermaksud : Semoga Allah menerima segala amalan kami dan kamu.
( Telah diriwayat oleh al-Muhamili dan selainnya dengan sanad yang sohih dalam Tamam al-Minnah )

Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan amaln sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat. Hidupkan hari raya dengan perkara yang bermanfaat dan jangan kotorkannya dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk maksiat. Hari raya kemenangan dalam melawan nafsu dan jangan biarkan nafsu yang mengalahkan kita pula pada hari raya.