• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,617 orang
  • Kandungan Blog

Bentuk nilai iman dan takwa di bulan Ramadhan

Dr Mohd Kamel Mat Salleh

RAMADAN yang dinanti pencinta amalan dan kebajikan datang semula selepas ditinggalkan setahun yang lalu.

Rasa syukur dipanjatkan kerana Allah SWT masih memberi peluang kebajikan kepada Muslimin untuk meneruskan pengabdian diri kepada-Nya.

Namun suasana Ramadan pada tahun ini agak luar biasa lantaran penularan wabak Covid-19 menyebabkan tiada lagi solat Tarawih di masjid, iftar jamaie, iktikaf, tadarus malam Ramadan dan sebagainya.

Kesannya, ihya Ramadan tahun ini lebih tertumpu dan berpusat di rumah masing-masing.

Seruan berpuasa seperti yang disebut Allah ditujukan kepada orang yang beriman dan matlamatnya adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa.

Di sini jelas terdapat unsur pengukuhan akidah yang ingin diterapkan Allah di sebalik pensyariatan suatu perintah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah difardukan kepada mereka yang sebelum daripada kamu, agar kamu bertakwa”. (Surah al-Baqarah, ayat 183 )

Ibadat puasa memerlukan kepada penghayatan iman yang mendalam bagi setiap individu Muslim.

Bagaimana mungkin ia dapat dilaksanakan jika tidak disertakan dengan kefahaman yang jelas berkenaan dengan peranan, falsafah dan matlamat daripada kefarduannya.

Iman mengatasi segala-galanya, ibadat puasa tetap dilaksanakan walaupun terpaksa berlapar dahaga mengekang nafsu dan mengawal seluruh pancaindera daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa.

Hebatnya iman dalam membentuk dan mencorakkan peribadi Muslim sejati yang teguh melaksanakan ketaatan kepada-Nya di bulan Ramadan al-Mubarak ini.

Impaknya, akan lahir insan bertakwa yang menjunjung perintah Allah.

Puasa yang memberi nilai takwa boleh diukur melalui amal ibadah dan pelaksanaan rukun Islam yang lain.

Orang yang berpuasa pasti menjaga solatnya. Dalam keadaan yang terbaik, pasti ia dilakukan di awal waktu, secara berjemaah dan menjaga segala rukun-rukunnya.

Mereka yang berpuasa juga mesti melazimi dengan bacaan al-Quran dan bertadarus dengan menjaga hukum tajwidnya.

Ini antara buah iman yang menghasilkan akhlak mahmudah selari konsep ihsan yang menjadi indikator terpenting dalam penghayatan iman dalam diri individu Muslim.

Konsep ihsan seperti yang diungkapkan Baginda SAW dalam himpunan 40 hadis al-Nawawi: “Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah melihatnya, walau kamu tidak melihatnya, tetapi Allah melihat kamu” amat signifikan dengan ganjaran pahala yang Allah kurniakan kepada mereka yang berpuasa.

Ia bertitik tolak daripada sebuah hadis kudsi, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan akulah yang akan membalasnya.”” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam Ibn ‘Uyainah menyebut: “Ini merupakan hadis yang paling baik dan penuh hikmah kandungannya. Apabila berlakunya hari kiamat, Allah ‘Azza Wajalla akan menghisab setiap amalan hamba-Nya. Setiap kezaliman akan disempurnakan pembalasannya dengan semua amalan pelaku kezaliman itu akan dijadikan kafarah kepada dosa kezalimannya sehingga tidak tinggal sedikit pun daripada amalannya kecuali puasa. Lalu Allah ‘Azza Wajalla menghapuskan dosa yang berbaki daripada kezaliman tersebut dengan sebab amalan puasa. Lalu pelaku kezaliman itu dimasukkan dalam syurga kerana pahala puasa tadi.”

Ini nilai takwa sebenar yang dianggap sebagai hadiah dan anugerah Allah khas buat mereka yang berpuasa.

Pemahaman tanpa dokongan iman pasti agar sukar menilai anugerah istimewa ini kerana hanya Allah yang mengganjari orang yang berpuasa.

Ia membawa pengertian bahawa puasa adalah amalan batin yang hakikatnya tidak diketahui melainkan Allah Yang Maha Mengetahui dan orang yang melakukannya sendiri sahaja.

Ia adalah ibadah yang terbentuk dalam hati melalui niat dan berbeza dengan semua amalan lain yang boleh dilihat mata orang lain dan tidak lepas daripada syirik, riya, ujub serta takabur.

Manakala puasa, ia lebih pada amalan yang bersifat rahsia antara seorang hamba dengan Rabb-Nya. Ini dia nilai ihsan.

Melihat kepada hikmah ini, anugerah Ramadan hendaklah disyukuri dengan mempertingkatkan amal ibadat demi membuktikan bahawa penghayatan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik.