• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Syawal duga keberkesanan madrasah Ramadan

Penerusan ibadah dengan amalan sunah kekalkan ketakwaan

Madrasah Ramadan adalah proses tarbiah buat hati, jiwa dan roh yang mampu mendekatkan diri kepada Allah.

Natijah daripada segala proses di madrasah Ramadan ini melahirkan hati yang bertakwa kepada Allah SWT di mana takwa adalah pakaian Mukmin untuk menggalas cabaran selama 11 bulan yang akan datang.

Ketika ini juga akan teruji madrasah Ramadan yang telah berlalu selama sebulan dan adakah segala amal ibadah dan amal soleh yang telah dilaksanakan dapat direalisasikan dalam bulan Syawal ini.

Mereka yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah orang yang amat beruntung kerana terlepas daripada kehinaan yang telah dinyatakan oleh Baginda SAW. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Amat jauh daripada rahmat Allah SWT bagi sesiapa yang sempat bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka Allah tidak mengampunkannya.”(Hadis Riwayat Hakim).

Orang bertakwa nikmat kemanisan Ramadan

Orang yang benar-benar dapat menikmati kemanisan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri adalah orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mereka inilah yang tergolong dalam golongan orang yang sentiasa meninggalkan larangan Allah di samping mentaati syiar Islam sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah SWT bermaksud: “Demikianlah ajaran Allah. Sesiapa yang menghormati syiar agama Allah maka dialah orang yang bertakwa kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati Mukmin” .(Surah Al-Hajj ayat 32).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh rasa keimanan dan penghayatan akan diampuni segala dosanya yang lalu”. (Riwayat Bukhari & Muslim). Hadis ini menunjukkan bahawa mereka yang dapat melepasi Ramadan dengan sempurna akan mendapat bonus keampunan daripada Allah SWT. Ini bergantung kepada sejauh manakah kita dapat mengikuti terma dan syarat yang ditetapkan. Ramai yang tidak menduga bahawa dugaan sebenar adalah pada bulan Syawal kerana penurunan peningkatan kualiti ibadah kita berlaku dengan begitu mendadak sekali terutama apabila selesai solat Aidilfitri.

Masjid, surau lengang

Masjid dan surau akan menjadi lengang, al-Quran akan disimpan dan kembalilah aktiviti kebiasaan yang dilakukan sebelum Ramadan. Mereka yang telah berjinak-jinak dengan masjid sudah mula menjauhi diri dan melipat sejadahnya. Mereka kembali kepada dunia seperti sebelumya dengan begitu ghairah sekali.

Menyedari hakikat inilah, Baginda SAW menyeru kita, agar tekun dan terus melaksanakan amalan sunat walau berakhirnya Ramadan supaya kita senantiasa mengingati apakah tujuan Allah menghidupkan dan memanjangkan usia kita di muka bumi ini. Ibadah mestilah diteruskan kerana kehidupan kita sentiasa disambung oleh Allah SWT. Ibadah puasa juga tidak akan habis sehingga penghujung nyawa. Banyak puasa sunat yang dianjurkan khususnya puasa nabi Daud a.s yang berpuasa sehari dan berbuka sehari. Puasa Asyura, puasa Muharam, puasa Isnin dan Khamis dan lain-lain. Baginda SAW juga menyeru umat Islam agar terus mengerjakan ibadah puasa enam hari pada bulan Syawal di mana Baginda SAW telah berwasiat pada Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud : “Wahai Ali, sesiapa antara kamu yang menyambung puasa Ramadan dengan enam hari di bulan Syawal, maka Allah akan menulis baginya pahala puasa satu tahun penuh.” (Al-Hadith). Amalan solat berjemaah di masjid setiap hari mestilah diteruskan di samping meneruskan ibadah qiamullail dan iktikaf. Lidah juga hendaklah dibasahi dengan zikir, terutama melalui pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Bersedekah, berwakaf dan berzakat sepanjang masa serta memelihara silaturahim antara sesama manusia.

Keistimewaan bulan Syawal

Keistimewaan bulan Syawal adalah disebabkan sepanjang bulan itu adalah hari raya, hari kemenangan dan kegembiraan. Ia juga hari kesyukuran dan menambah amal kebaikan yang sedia terkumpul sejak Ramadan. Ia juga adalah bulan keampunan sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW dari Ibnu Mas’ud r.a. yang maksudnya: “Apabila mereka berpuasa sebulan Ramadan lalu pergi untuk mengerjakan solat Aidilfitri, Allah Taala berfirman : “Hai para Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadan lalu menunaikan solat Aidilfitri juga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksikanlah, bahawa sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka.” Lalu ada seruan : “Hai umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.” Maka Allah Taala berfirman: “Hai para hamba-Ku, kamu semua telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni.” (Zubdatul Wa’izhiin).

Syawal juga bulan yang dimakbulkan doa melalui rahmat daripada Allah SWT serta kasih sayang-Nya. Rahmat ini telah dicetuskan oleh amalan baik selepas Ramadan apabila kesan tarbiah Ramadan sudah dapat dicernakan oleh jiwa manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Bersungguh-sungguhlah kamu semua pada Aidilfitrii dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala mengampuni semua dosa kamu. mengabulkan semua doamu dan melihat kamu semua dengan kasih-sayang. “Allah SWT berfirman: “Hai para Malaikat-Ku, saksikanlah olehmu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku.” (Hadith Qudsi).

Pada hari ini, ramai yang memahami bahawa hari raya adalah hari untuk menghabiskan segala dana untuk menggantikan segalanya dengan yang baru.

Bermewah-mewah, hiburan dan sebagainya. Pembaziran berleluasa sehingga mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai seorang Muslim. Kita lupa bahawa itu adalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Allah SWT.

Aidilfitri ialah adalah hari untuk mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semula jadi yang suci dan murni.

Kekal istiqamah selepas Ramadan

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad

 

SELURUH umat Islam menyambut Aidilfitri selepas sebulan menjalani latihan dalam madrasah Ramadan, bulan mendidik, membiasakan amalan baik, mengembalikan sifat fitrah insani yang sebenar sesuai matlamat kita diutuskan Allah SWT.

Oleh itu, Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Kebanyakan kita sudah biasa menghadiri kursus atau bengkel selama sehari, dua hari, seminggu dan ada yang lebih panjang daripada itu. Matlamat bengkel ini biasanya untuk mengubah peserta menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Jika peserta dalam kalangan kakitangan awam atau swasta, maka diharapkan selepas menjalani bengkel itu mereka akan menjadi kakitangan yang lebih baik, cekap, dedikasi serta produktif kepada organisasi. Begitu juga dengan bengkel atau madrasah Ramadan yang baharu berlalu.

Allah SWT meletakkan matlamat Ramadan supaya kita menjadi insan yang bertakwa kepada-Nya. Bukan lapar dan dahaga yang diinginkan tetapi lapar dan dahaga hanyalah wasilah untuk menundukkan nafsu bagi melahirkan insan bertakwa.

Ada antara kita yang sudah 40 tahun menemui Ramadan, ada lebih dan kurang daripada itu. Namun, sifat peribadi mereka sebelum dan selepas Ramadan tidak banyak berubah, seakan tidak memberi bekas untuk menjadikannya insan yang bertakwa.

Khusyuk, rendah hati

Bukan salah ibadah itu tetapi kerana mereka melakukan ibadah itu sebagai adat kebiasaan dan rutin, bukan disebabkan ikhlas, khusyuk dan rendah diri mengharapkan reda Allah SWT. Sebab itulah Nabi SAW berpesan dalam sabda Baginda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan reda Allah SWT), diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari)

Sebab itu hari ini kita temui ramai (termasuk kita sendiri juga mungkin) yang berpuasa, mengerjakan haji dan umrah, mendirikan solat tetapi masih melakukan perkara dosa serta mungkar. Masih menipu orang lain, berdusta, memakan rasuah, mencuri tulang ketika bekerja, hasad dengki dan bermacam penyakit hati lain.

Sheikh Abdul Qadir al-Jilani diriwayatkan berkata: “Aku beroleh kurniaan makrifat Allah SWT bukanlah kerana banyaknya solat tahajudku pada malam hari atau kerajinanku berpuasa di siangnya, tetapi kerana keramahan dan kerendahan hatiku daripada segala penyakit hati.”

Amalan itu semua adalah wasilah untuk menjadikan kita lebih baik seterusnya menggapai gelaran ‘muttaqi’ (orang yang bertakwa), namun tanpa ketulusan hati, kejernihan jiwa, keikhlasan beribadah demi mencari reda Allah SWT, ibadah itu hanyalah aktiviti fizikal semata-mata yang tidak membekas kepada jiwa.

Teruskan amalan sepanjang Ramadan

Walaupun Ramadan sudah berlalu, marilah kita meneruskan apa yang kita asuh sepanjang bulan barakah itu. Amalan yang disuruh seperti memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, berpuasa, bersedekah maka teruskanlah pada 11 bulan yang lain.

Masih banyak puasa sunat lain yang boleh kita teruskan seperti puasa enam hari Syawal, puasa Isnin dan Khamis.

Hentikan perbuatan ditegah seperti mengumpat, berdusta dan bercakap perkara tidak berfaedah. Jika kita mampu lakukan semuanya, itu petanda awal puasa kita berkesan dan diterima oleh Allah SWT.

Kita beribadah sepanjang Ramadan bukan kerana Ramadan tetapi kerana Allah SWT yang memerintahkan kita berbuat begitu. Sebab itu sering disebutkan ungkapan hikmah: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka sesungguhnya Ramadan telah berlalu dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan Tidak Akan Mati.”

Apa diharap selepas Ramadhan?

SAMBUTAN Aidilfitri dan Syawal kali ini seperti Ramadan kita lalui sebelum ini, menjadi sejarah yang akan didendangkan kepada anak cucu nanti.

Norma dan kebiasaan baharu kerana wabak COVID-19 menyebabkan tiada budaya balik ke kampung secara besar-besaran tahun ini, tidak seperti sebelum ini yang ada ketikanya mengambil masa hingga berbelas-belas jam di atas jalan raya.

Hari raya kali ini, kita akan memakai pakaian terbaik, tetapi dalam lingkungan amat terbatas. Ziarah-menziarahi hanya dihadkan kepada mereka dalam negeri sama. Amalan berkumpul mengeratkan silaturahim juga dalam jumlah terhad dengan kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Tindakan di luar kebiasaan ini perlu diterima dan menjadi budaya baharu hingga vaksin ditemui bagi melawan jangkitan ini. Tiada seorang pun boleh mengagak bilakah penawar itu mampu dihasilkan dan dapat disediakan kepada masyarakat. Barangkali 12 bulan atau mungkin mencecah hingga 18 bulan seperti disebutkan Perdana Menteri dalam perutusan khas.

Pihak pemerintah sudah tentu amat mengharapkan normal baharu ini benar-benar disambut rakyat dengan penuh kesedaran. Ia mampu membantu masyarakat berada dalam keadaan dan persekitaran sihat, sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Harapan ini sebenarnya boleh disambut dan ditunaikan dengan penuh tanggungjawab sekiranya wujud kesedaran jitu dalam jiwa rakyat. Di sinilah kedudukan fungsi ibadat berpuasa dalam Ramadan sebelum ini.

Ia dianggap madrasah tarbiah kepada setiap Muslim. Dalam madrasah ini, terdapat larangan tertentu berperanan mendisiplinkan individu berpuasa, selain peluang membersihkan dosa dan mengumpulkan pahala.

Ramadan juga diharap berjaya memupuk sifat mahmudah atau baik dalam diri insan seperti mengasihani sesama manusia, prihatin terhadap orang kurang bernasib baik, sabar dan bersyukur.

Ia juga diharap menjadikan Muslim dapat meninggalkan sifat mazmumah (buruk) seperti sabda Rasulullah SAW: Lima perkara yang menghapuskan puasa yakni dalam erti menghapuskan pahalanya, iaitu dusta, mengumpat, mengadu-domba, sumpah palsu dan melihat sesuatu dengan hawa nafsu. (HR Bukhari dan Muslim)

Bulan puasa yang sudah berlalu juga boleh dijadikan sebagai wadah kemakmuran sosioekonomi masyarakat setempat dengan sumbangan sedekah yang kemuncaknya ialah pembayaran zakat fitrah. Garisan penamatnya ialah kesempurnaan dalam penyucian jiwa selari dengan tiga fasa atau tahap Ramadan merangkumi rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.

Di sebalik kekangan yang dihadapi pada Syawal ini, ia menjadi pengiktirafan kepada kejayaan dalam perjuangan melawan hawa nafsu dan pembentukan insan salih bertakwa. Jika Ramadan medium bermuhasabah diri dan penambahbaikan hubungan hamba dengan Penciptanya, Syawal pula menyediakan peluang terbaik menyempurnakan urusan agama dari sudut hubungan sesama manusia.

Rasa tanggungjawab dengan penuh kesedaran ialah sebahagian nilai takwa terhasil daripada didikan madrasah Ramadan. Akhlak dan tingkah laku terpuji ialah cerminan kepada ketakwaan seseorang. Inti pati ibadah puasa adalah untuk menanam di lubuk hati insan mengenai kewujudan dan kehadiran Allah SWT dalam setiap saat kehidupan.

Bagi orang beriman, Syawal akan dirayakan dengan penuh ketakwaan dan pengertian sebenar walau dalam keadaan sedang diuji begini. Masih banyak sunah boleh dilakukan seperti diajar Nabi Muhammad SAW.

Kita masih boleh memanjatkan syukur dengan bertakbir, mandi sunat dan bersolat sunat hari raya serta mendoakan sesama kita agar Allah SWT menerima amalan hingga berpuasa enam dalam Syawal dan meneruskan ibadah lain secara istiqamah.

Dalam hal ini, kita perlu memahami budaya kunjung-mengunjung ialah hiasan dan manifestasi kepada silaturahim untuk kita saling bermaaf-maafan bagi menyempurnakan dimensi agama dari sudut hubungan sesama manusia yang sebenarnya boleh digantikan secara kreatif.

Hasil tarbiah Ramadan akan menjadikan kita mampu melaksanakan tanggungjawab sosial dan kawalan kendiri dengan cemerlang, malah bersama-sama dan bersungguh-sungguh mengamalkan norma baharu demi memutuskan rantaian COVID-19.

Masyarakat Islam masih boleh bergembira walaupun perlu mengasimilasi normal baharu kerana Ramadan menjadikan kita sebagai jiwa bersyukur, masih mampu menghargai nikmat lain yang Allah SWT kurnia. Ia menjadikan kita sebagai hamba tidak mementingkan diri sendiri.

Ia selari dengan syair Arab yang bermaksud: “Bukanlah Aidilfitri untuk mereka yang berpakaian serba baharu, namun Aidilfitri adalah untuk mereka beriman dan ketaatan mereka yang bertambah-tambah.”

Akhir kata dengan seloka pendek daripada penulis: “Sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan; sayangkan anak, tangan-tangankan; sayangkan orang tua tidak pulang ke kampung halaman.”

Bekalan takwa pelindung godaan selepas Ramadan

Kita baru sahaja meninggalkan bulan yang sangat mulia di sisi Allah SWT, iaitu Ramadan al-Mubarak. Sebaik meninggalkan bulan itu, nasib setiap Muslim yang melaluinya tidak sama.

Ada yang beroleh ganjaran sangat lumayan kerana mengambil peluang sepanjang Ramadan dengan menyibukkan diri beribadat.

Mereka bukan sahaja berpuasa, bahkan memastikan puasa mencapai kualiti terbaik. Puasa diisi bukan sekadar dengan ibadah wajib, malah amalan sunat seperti solat Tarawih, Tahajud dan Witir.

Golongan ini juga menjadikan al-Quran sebagai teman sejati sepanjang Ramadan. Setiap kali masa terluang, mereka penuhi dengan membaca al-Quran serta mentadabur ayatnya.

Tidak cukup itu, golongan bertuah ini menjadi insan paling bermurah hati membelanjakan harta untuk bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan.

Mereka juga amat menjaga tatatertib dan adab berpuasa. Segala anggota dipastikan tidak terbabas, lalu terjebak ke lembah dosa.

Mata dipelihara daripada melihat perkara diharamkan Allah SWT. Lidah tidak menuturkan sesuatu yang tidak selari dengan ajaran agama. Tiada maki hamun atau kata nista.

Telinganya pula hanya mendengar perkara baik dan berfaedah. Masa juga dipenuhi dengan perkara bermanfaat.

Ternyata golongan ini terpilih dan sangat beruntung kerana segala yang mereka lakukan pada hakikatnya adalah cerminan kepada sifat takwa kepada Allah SWT.

Mencapai ketakwaan ialah objektif yang mesti dicapai bagi semua Muslim yang berpuasa.

Gagal mencapai takwa selepas berpuasa ialah gambaran kegagalan mencapai objektif puasa kerana ia jelas disebut dalam al-Quran.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti diwajibkan kepada mereka yang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Ibnu Kathir dalam menghuraikan ayat ini menyebutkan puasa bermaksud menahan diri daripada makan minum dan melakukan hubungan dengan isteri dengan niat semata-mata kerana Allah SWT.

Dengan cara itu, ia mampu menyucikan jiwa daripada segala perkara buruk serta akhlak keji.

Ini bermaksud puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga serta meninggalkan perkara yang boleh membatalkan amalan itu, sebaliknya perlu menyucikan segala anggota daripada sifat yang tercela. Dalam erti kata lain, seluruh tubuh perlu berpuasa.

Berpuasa dengan cara meninggalkan segala bentuk kemungkaran. Apabila ini berlaku, baru takwa akan muncul dalam diri orang yang berpuasa.

Mereka yang mencapai tahap takwa tertinggi sepanjang Ramadan sesungguhnya menyiapkan bekalan yang mencukupi bagi menghadapi hari selanjutnya apabila berada di luar Ramadan. Takwa ialah bekalan terbaik buat mereka yang beriman.

Allah SWT berfirman: “Berbekallah kamu kerana sebaik bekalan (al zaad) itu adalah takwa.” (Al-Baqarah: 197)

Sebaik keluar dari Ramadan, kita bakal berhadapan dengan cabaran yang sangat getir.

Kita kembali bergelut dengan godaan syaitan yang sekali lagi akan bergabung dengan nafsu untuk memusnahkan keimanan dan menarik kita ke neraka.

Jika pada Ramadan lalu, kita begitu lemah, meskipun hanya berdepan dengan satu musuh, iaitu nafsu, bagaimana pula kita akan mampu berhadapan dengan dua musuh yang sentiasa mengintai peluang untuk memusnahkan kita?

Justeru, bekalan takwa yang dijana daripada Ramadan ialah senjata paling ampuh bagi menentang godaan nafsu dan syaitan kerana takwa itu seperti yang disebutkan ulama sebagai ‘wiqayah’ atau pelindung bagi pemiliknya daripada sebarang godaan nafsu dan syaitan serta perkara yang diharamkan Allah SWT.

Puasa 6 bulan Syawal mengukur impak Ramadan

Kehadiran Syawal bukan semata-mata meraikan kejayaan melipatgandakan amal ibadat sepanjang Ramadan lalu, sebaliknya ia menjadi pengukur sama ada bulan puasa yang berlalu memberi impak atau sebaliknya kepada jiwa kita.

Justeru, antara amalan sunat yang menjadi rebutan umat Islam dalam Syawal ialah puasa sunat enam.

Malah antara nikmat yang sungguh hebat untuk mereka yang berpuasa ialah syurga yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa sahaja seperti sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka, tidak ada yang dibenarkan masuk. (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain pula, Nabi SAW menceritakan orang berpuasa diseru untuk memasuki syurga melalui pintu itu hingga apabila semua melintasnya, pintu itu akan ditutup.

Dalam menilai sejauh mana kedudukan puasa Ramadan seseorang Muslim, maka puasa enam boleh dianggap antara kayu pengukur tahap ketakwaan selepas berjaya melaksanakan sebulan puasa.

Nabi SAW bersabda: Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan 10 bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (pada Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (HR Nasa’ie)

Penceramah bebas, Dr Mohd Sobri Ellias, berkata menjadi cabaran kepada umat Islam untuk menunaikan puasa sunat itu kerana bukan mudah berpuasa dalam keadaan orang lain bebas makan minum hidangan yang enak.

Ganjaran besar

Justeru, Mohd Sobri berkata, Allah SWT memberi ganjaran besar kepada mereka yang berjaya melepasi ‘ujian’ itu.

Katanya, amalan sunat itu, lebih afdal dilakukan berturut-turut awal bulan Syawal, iaitu bermula daripada 2 Syawal.

“Namun sekiranya tidak mampu, boleh dikerjakan secara berselang-seli sepanjang Syawal yang fadilatnya tetap ada. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda menyebut Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya,” katanya.

Mengulas mengenai puasa sunat berkenaan dengan wanita, Mohd Sobri berkata, lebih afdal dan utama bagi wanita mengasingkan puasa qada yang dilakukan sebagai ganti terhadap puasa ditinggalkan disebabkan haid daripada puasa enam, sekali gus menjadi pendapat yang muktamad dalam Mazhab Shafie.

“Sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa fardu dan sunat ini secara berasingan, kerana sebagai hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub (mendekatkan diri kepada Tuhan) dengan memisahkan antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentu lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai hamba yang mencari keredaan-Nya,” katanya.

Mohd Sobri yang juga Mudir Pondok Turath Islam Baitussaadah, berkata antara mendahulukan puasa qada dengan puasa enam, yang afdal adalah mendahulukan puasa sunat enam Sya-wal.

“Puasa qada boleh dilakukan dalam bulan selain Syawal berbanding puasa enam hanya terhad dalam Syawal ini.

Khilaf dalam kalangan ulama

“Antara persoalan sering timbul sekitar puasa enam adalah apakah menggabungkan puasa qada dengan puasa enam hari itu, mendapat ganjaran kedua-dua pahala itu meskipun dengan amalan sama,” katanya.

Beliau berkata, berlaku khilaf dalam kalangan ulama apabila sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu atau sunat lain.

“Sekiranya dilakukan, maka puasanya itu dianggap tidak sah, iaitu tidak bagi puasa fardu dan juga amalan sunat terbabit.

“Ada dalam kalangan ulama Mazhab Shafie berpendapat ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.

“Bagaimanapun, pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan seperti dalam kitab Hasyiah asy-Syarqawi ‘ala Tuhfah at-Tullab,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran berpuasa sunat dengan menyertai acara rumah terbuka, Mohd Sobri berkata, puasa untuk mendekatkan diri dengan Allah (hablun minallah), manakala memenuhi jemputan pula adalah menjaga hubungan sesama manusia (hablun minannas).

Justeru katanya, bagi mengelakkan ada pihak terguris hati, umat Islam digalakkan memenuhi undangan itu dan mendoakan kebaikan, keampunan serta keberkatan tuan rumah seisi keluarganya tanpa perlu berbuka puasa.

“Bagaimanapun, mereka boleh juga berbuka puasa, bahkan sunat hukumnya berbuat demikian sekiranya ia membabitkan puasa sunat.

“Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah alasan untuk tidak memenuhi jemputan,” katanya.

Ibnu Umar RA misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa.

Nabi SAW bersabda: Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.” (HR Muslim)

Justeru, Mohd Sobri berkata, cadangan mengadakan majlis rumah terbuka bermula sebelah petang hingga ke malam boleh dilakukan bagi membolehkan semua pihak diraikan dalam suasana lebih harmoni.

8 pintu syurga terbuka untuk amalan soleh

SYURGA diciptakan oleh Allah bagi memberi balasan yang baik kepada hamba-hambaNya yang sentiasa berusaha dalam mencari reda Allah.

Syurga adalah satu tempat yang penuh kesejahteraan, kesenangan, kenikmatan, kebahagiaan serta kemuliaan. Mereka yang masuk ke dalam syurga akan kekal abadi di dalamnya.

Firman Allah di dalam Surah Furqan ayat 16: Mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).

Allah menyediakan nikmat yang sungguh besar bagi mereka yang sentiasa menjaga iman dan mengerjakan amal soleh. Kenikmatan itu bukan sahaja mereka akan dapat di syurga bahkan di dunia lagi mereka akan menikmatinya dengan jiwa yang tenang dalam setiap ujian Allah.

Para alim ulamak membahaskan nama-nama pintu syurga yang disediakan oleh Allah seperti mana yang terdapat dalam hadis nabi. Sabda baginda Rasulullah: Dalam syurga itu ada lapan pintu. – [HR Bukhari 3257].

 

Solat itu adalah tiang agama.

Lapan pintu itu ialah:

1. Pintu Solat

Ia di sediakan bagi mereka yang sentiasa mengerjakan ibadah solat termasuklah solat fardu dan solat-solat sunat.

2. Pintu Jihad

Ia disediakan kepada mereka yang berjihad di jalan Allah bagi menegakkan kalimah Allah.

3. Pintu Ar-Rayyan

Ia disediakan kepada mereka yang suka berpuasa sama ada puasa wajib dan juga puasa-puasa sunat.

Bersedekah adalah amalan mulia.

4. Pintu Sedekah

Ia disediakan kepada mereka yang suka bersedekah kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira waktu.

Keempat-empat pintu yang di sebutkan di atas berdasarkan sabda Baginda Rasulullah: Sesiapa yang menginfaqkan sepasang dari hartanya (iaitu berjumlah dua seperti jika ia penternak kambing maka ia menginfaqkan dua ekor kambing) di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga; (lalu dikatakan kepadanya): “Wahai hamba Allah, inilah kebaikan (dari apa yang kamu amalkan).

Maka barang siapa dari kalangan ahli solat dia akan dipanggil dari pintu solat dan barang siapa dari kalangan ahli jihad dia akan dipanggil dari pintu jihad dan barang siapa dari kalangan ahli puasa dia akan dipanggil dari pintu Ar-Rayyan dan barang siapa dari kalangan ahli sedekah dia akan dipanggil dari pintu sedekah”.

Lantas Abu Bakar: “Demi ayah dan ibuku (sebagai tebusan) untukmu wahai Rasulullah, jika seseorang dipanggil diantara pintu-pintu yang ada, iaitu sebuah kepastian, namun apakah mungkin seseorang akan dipanggil dari semua pintu?” Baginda Rasulullah menjawab: “Benar, dan aku berharap kamu termasuk diantara mereka.” – [ HR Bukhari 1764].

5. Pintu Aiman (pintu paling kanan)

Ia disediakan kepada umat islam yang tidak dihisab amalannya.

Mereka yang di sebutkan Allah golongan kanan yang mana golongan kanan kebiasaanya berkat. Jika kita lihat dalam hadis-hadis nabi maka nabi menyukai belah kanan dan akan memulakan belah kanan dahulu. Firman Allah didalam Surah Al-Waqiah ayat 8: Iaitu puak pihak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu.

Sabda Rasulullah: Lalu dikatakan, “Wahai Muhammad, masukkanlah dari umatmu orang yang tidak ada hisab bagi mereka ke babul aiman (pintu paling kanan) dari salah satu pintu syurga, mereka bersama dengan manusia pada selain pintu itu.” – [HR Bukhari 4343].

 

6. Pintu menahan marah dan memaafkan manusia

Ia disediakan kepada mereka yang dapat mengawal kemarahan, emosi dan tidak mengikut hawa nafsu.

Pintu ini juga disediakan kepada mereka yang dapat memaafkan orang lain dengan penuh keikhlasan

Sabda Rasulullah: Sungguh Allah memiliki satu pintu di dalam syurga yang tidak ada orang yang memasukinya kecuali orang yang memaafkan suatu kezaliman. – [HR Ahmad 6908].

7. Pintu orang menyebut La Haula Wala Quata illa Billah

Ia disediakan kepada orang yang selalu mengerjakan ibadah taubat dan sentiasa beristighfar kepada Allah. Sabda Rasulullah: “Mahukah aku tunjukkan kepadamu satu pintu daripada pintu-pintu syurga?” Jawabku:Tentu. Baginda bersabda: “La Haula Wala Quata illa Billah (Tidak ada daya dan upaya kecuali milik Allah).” – [HR Tarmizi 3505].

8. Pintu hormat ibu bapa

Ia disediakan kepada mereka yang sentiasa mengasihani, menghormati dan membantu ibubapa dalam apa jua keadaan mereka.

Sabda Rasulullah: Ibu bapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, maka jagalah kedua ibubapa kamu atau tinggalkan. [HR Ibn Majah 3653]

Maka seharusnya kita merebut peluang yang ada di Bulan Ramadan untuk sentiasa melayakkan diri untuk masuk ke dalam syurga Allah dengan amal ibadah penuh keikhlasan kepadaNya.

Perkara yang paling kita risau ialah di mana pintu-pintu syurga tidak memanggil nama kita tetapi yang akan memanggil adalah pintu-pintu neraka. Nauzubillah.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ‘Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ… وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.

Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:

(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

 

 Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:

( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.

Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

 

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

 

 Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:

 وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ  [آل عمران: 133]

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

Amalan Salafussoleh untuk istiqamah selepas Ramadhan

Petikan dari blog shafiqolbu.wordpress.com

 

Beristiqamah Beramal Soleh ~ Nasihat Selepas Ramadhan

.

Bulan yang penuh keberkatan telah berlalu. Bulan yang akan menjadi saksi yang akan membela setiap insan yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah سبحانه وتعالى atau bakal menjadi saksi yang akan menghina sesiapa yang memandang remeh bulan Ramadhan.

Oleh kerana itu, hendaknya kita secara individu membuka pintu muhasabah terhadap diri kita masing-masing.

• Amalan apakah yang kita lakukan di bulan tersebut?

• Apakah faedah dan hasil yang kita ambil pada bulan Ramadhan tersebut?

• Apakah pengaruh bulan Ramadhan tersebut terhadap jiwa, akhlak dan perilaku kita?

.

.

Keadaan Salafus Soleh Selepas Ramadhan

.

Soalan yang sukar dijawab oleh kebanyakan orang adalah, “Setelah Ramadhan berlalu, sudahkah kita menunaikan ibadah-ibadah yang akan memudahkan amalan kita di bulan Ramadhan diterima di sisi-Nya dan sudahkah kita bertekad untuk meneruskan berbagai amalan ibadah yang telah kita giatkan di bulan Ramadhan?”

.

Tidakkah kita meneladani generasi sahabat (salafus soleh), di mana hati mereka merasa sedih, seiring berlalunya Ramadhan. Mereka merasa sedih kerana khuatir bahawa amalan yang telah mereka lakukan di bulan Ramadhan tidak diterima oleh Allah سبحانه وتعالى . Sebahagian ulama salaf mengatakan,

كَانُوا يَدْعُوْنَ اللهَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَنْ يَبْلُغَهُمْ شَهْرَ رَمَضَانَ ثُمَّ يَدْعُوْنَ اللهَ سِتَّةَ أَشْهُرٍ أَنْ يَتَقَبَّلَهُ مِنْهُمْ

“Mereka (para sahabat) berdoa kepada Allah selama 6 bulan agar mereka dapat bertemu bulan Ramadhan. Kemudian mereka pun berdoa selama 6 bulan agar amalan yang telah mereka kerjakan diterima oleh-Nya.”

(Lathaaiful Ma’arifhal. 232).

.

Oleh kerana itu, para salafus soleh sentiasa menumpukan perhatian dalam menyempurnakan dan menekuni amalan yang mereka lakukan kemudian selepas itu mereka memfokuskan perhatian agar amalan mereka diterima kerana khuatir amalan tersebut ditolak.

‘Ali bin Abi Talib radliallahu’ anhu mengatakan,

كُوْنُوْا لِقَبُوْلِ اْلعَمَلِ أَشَدَّ اهْتِمَامًا مِنْكُمْ بِاْلعَمَلِ أَلَمْ تَسْمَعُوْا اللهَ عَزَّ وَ جَلَّ يَقُوْلُ : إِنَّمَا يَتَقَبَلُ اللهُ مِنَ اْلمُتَّقِيْنَ

“Hendaklah kamu lebih memperhatikan bagaimana agar amalan kamu diterima daripada hanya sekadar beramal. Tidakkah kamu menyemak firman Allah ‘azza wa jalla,

[إِنَّمَا يَتَقَبَلُ اللهُ مِنَ اْلمُتَّقِيْنَ ] “Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) dari orang-orang yang bertaqwa.” (Al Maaidah: 27).”

(Lathaaiful Ma’arif: 232).

.

Demikianlah sifat yang tertanam dalam diri mereka. Mereka bukanlah golongan yang merasa puas dengan amalan yang telah dilakukan dan mereka tidaklah termasuk ke dalam golongan yang tertipu akan pelbagai amalan yang telah dilakukan. Akan tetapi mereka adalah kaum yang sentiasa merasa bimbang dan takut bahawa amalan yang telah mereka lakukan justeru akan ditolak oleh Allah سبحانه وتعالى kerana adanya kekurangan. Demikianlah sifat seorang mukmin yang mukhlis dalam beribadah kepada Tuhannya.

Allah سبحانه وتعالى telah menyebutkan ciri-ciri ini dalam firman-Nya;

وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ أَنَّهُمْ إِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُونَ ٦٠

“Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka.”

(Surah Al Mukminun: Ayat 60).

.

Ummul Mukminin, ‘Aisyah radliallahu’ anha ketika mendengar ayat ini, beliau berasa hairan kerana tabiat semulajadi manusia selepas melakukan suatu amal soleh, jiwa mereka merasa senang. Namun dalam ayat di atas, Allah سبحانه وتعالى menyatakan sesuatu kaum yang melakukan amalan soleh tetapi hati mereka tetap merasa takut.

Maka ‘Aisyah radliallahu’ anha pun bertanya kepada Rasulullah ﷺ;

أَهُمُ الَّذِينَ يَشْرَبُونَ الْخَمْرَ وَيَسْرِقُونَ

“Apakah mereka orang-orang yang meminum arak dan mencuri?”

Lalu Rasulullah ﷺ pun menjawab;

لَا يَا بِنْتَ الصِّدِّيقِ وَلَكِنَّهُمْ الَّذِينَ يَصُومُونَ وَيُصَلُّونَ وَيَتَصَدَّقُونَ وَهُمْ يَخَافُونَ أَنْ لَا يُقْبَلَ مِنْهُمْ أُولَئِكَ الَّذِينَ
 يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ

“Tidak! Wahai ‘Aisyah. Mereka adalah orang-orang yang berpuasa, menegakkan solat dan bersedekah akan tetapi mereka merasa takut amalan yang telah mereka kerjakan tidak diterima di sisi Allah. Mereka itulah golongan yang sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebajikan.”

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Imam Al Albani).

.

.

Beristiqamah Dalam Beramal Soleh

.

Sebahagian orang bijak mengatakan,

مِنْ ثَوَابِ الْحَسَنَةِ اَلْحَسَنَةُ بَعْدَهَا وَمِنْ عُقُوْبَةِ السَّيِّئَةِ اَلسَّيِّئَةُ بَعْدَهَا

“Di antara balasan bagi amalan kebaikan adalah amalan kebaikan yang ada sesudahnya. Manakala hukuman bagi amalan yang buruk adalah amalan buruk yang ada sesudahnya.”

(Al Fawaa-id hal. 35)

.

“Oleh kerana itu sesiapa mengerjakan kebaikan kemudian meneruskannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda atas terkabulnya amal pertama. Demikian juga sebaliknya, jika seorang melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan amalan yang buruk, maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang pertama.” (Lathaaiful Ma’arif hal. 244).

.

Meneruskan pelbagai amalan yang telah digalakkan di bulan Ramadhan, menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana apabila Allah سبحانه وتعالى menerima amal seorang hamba, pasti Dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik sesudahnya.

Firman Allah سبحانه وتعالى ;

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَاتَّقَىٰ ﴿٥﴾ وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَىٰ ﴿٦﴾ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَىٰ ﴿٧ 

“Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya); Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik; Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga).​​”

 (Surah Al-Lail: Ayat 5-7).

.

Termasuk sebahagian ungkapan rasa syukur seorang hamba atas berbagai nikmat yang telah dianugerahkan kepadanya adalah dengan terus menggalakkan pelbagai amalan soleh yang telah ia lakukan setelah Ramadhan. Tetapi jika ia menggantinya dengan perbuatan maksiat, maka ia termasuk kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Apabila ia berniat ketika melakukan puasa untuk kembali melakukan maksiat lagi, maka puasanya tidak akan terkabul, ia bagaikan orang yang membina sebuah bangunan megah lantas menghancurkannya kembali.

Allah سبحانه وتعالى  berfirman;

وَلا تَكُونُوا كَالَّتِي نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنْ بَعْدِ قُوَّةٍ أَنْكَاثًا

“Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan satu persatu benangnya yang sudah dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh.”

(Surah An-Nahl: Ayat 92).

.

.

Amalan Soleh Selepas Ramadhan

.

Walaupun bulan Ramadhan al-Mubarak telah berakhir, namun amalan seorang mukmin tidak akan berakhir sebelum ajal datang menjemput.

Allah سبحانه وتعالى  berfirman,

وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ ﴿٩٩

“Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yang diyakini (ajal).”

(Surah Al-Hijr: Ayat 99).

.

Jika bulan Ramadhan telah berlalu, maka seseorang mukmin tidak akan terputus dalam melakukan ibadah puasa, kerana sesungguhnya puasa itu terus disyari’atkan sepanjang tahun. Seorang mukmin masih boleh melakukan pelbagai macam amalan puasa selepas Ramadhan. Diantaranya adalah puasa enam hari di bulan Syawal.

Rasulullah ﷺ bersabda;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan, kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa di bulan Syawwal, maka itu adalah seperti puasa sepanjang tahun.”

(Hadis Riwayat Muslim r.a.).

.

Demikian jugs, seseorang mukmin masih boleh mengerjakan puasa sunat sebanyak tiga hari di setiap bulan. Rasulullah ﷺ bersabda,

ثَلاَثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلىَ رَمَضَانَ فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ

“Tiga hari (puasa) setiap bulan, puasa Ramadhan ke Ramadhan berikutnya, maka ini adalah seperti puasa sepanjang zaman.”

(Hadis Riwayat Al Baihaqi).

.

Begitu juga seseorang mukmin masih boleh mengerjakan puasa Isnin-Khamis. Dan masih banyak puasa sunat yang lain yang boleh dilakukan seorang mukmin.

Jika amalan solat malam atau Solat Tarawih di malam Ramadhan telah berlalu, maka ketahuilah bahawa solat malam masih terus disyari’atkan pada setiap malam sepanjang tahun. Tidakkah kita mencontohi Rasulullah ﷺ yang sentiasa mengerjakan solat malam hingga kedua telapak kaki Baginda bengkak. Semua itu Baginda lakukan untuk bersyukur kepada Tuhan-nya.

Rasulullah ﷺ bersabda,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ! أَفْشُوْا السَّلاَمَ وَ أَطْعِمُوْا الطَّعَامَ وَ صَلُّوْا اْلأَرْحَامَ وَ صَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَ النَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, sambunglah kekerabatan dan tunaikanlah solat malam di kala manusia tengah tertidur, nescaya kamu akan memasuki syurga dengan damai.”

(Hadis Riwayat Hakim r.a.).

.

Rasulullah ﷺ juga bersabda,

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

“Solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”

(Hadis Riwayat Muslim r.a.).

.

Di samping itu ada juga pelbagai amalan solat sunat Rawatib yang berjumlah dua belas rakaat, iaitu empat rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat sesudah Maghrib, dua rakaat sesudah Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.

Rasulullah ﷺ bersabda,

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ إِلَّا بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

“Seorang hamba yang sentiasa mengerjakan solat kerana Allah pada setiap harinya sebanyak dua belas rakaat dalam bentuk solat sunat dan bukan termasuk solat wajib, maka nescaya Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di dalam syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim r.a.).

.

Seorang yang beriman juga akan sentiasa berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى  dengan pelbagai zikir yang dituntut oleh Rasulullah ﷺ di setiap kesempatan masa. Begitu juga dengan berbagai amalan kebajikan yang lain seperti bersedekah, membaca Al Qur-an, dan lain sebagainya, selayaknya dilakukan oleh seorang mukmin di luar bulan Ramadhan.

.

Janganlah kita menjadi orang-orang yang merayakan Aidil Fitri dengan penuh gembira kemudian melupakan dan meninggalkan berbagai amalan yang telah digalakkan di bulan Ramadhan.

Wahb ibnul Wardi pernah melihat sekumpulan orang yang bersuka ria dan ketawa gembira di Hari Raya Aidil Fitri. Beliau lalu berkata,

إِنْ كَانَ هَؤُلاَءِ تَقَبَلَ مِنْهُمْ صِيَامَهُمْ فَمَا هَذَا فِعْلُ الشَّاكِرِيْنَ وَ إِنْ كَانَ لَمْ يَتَقَبَّلْ مِنْهُمْ صِيَامَهُمْ فَمَا هَذَا فِعْلُ الْخَائِفِيْنَ

“Apabila puasa mereka diterima di sisi Allah, apakah tindakan mereka tersebut adalah gambaran orang yang bersyukur kepada-Nya. Dan jika ternyata puasa mereka tidak diterima, apakah tindakan mereka itu adalah gambaran orang yang takut akan siksa-Nya.”

(Hadis Riwayat Al Baihaqi dan Lathaaiful Ma’arif).

 .

“Ya Allah! Teguhkanlah kami di atas iman dan amal soleh, hidupkan kami dengan kehidupan yang baik dan sertakan diri kami bersama golongan orang-orang yang soleh.”

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

5 perbuatan yang merugikan di bulan Ramadhan

KEHIDUPAN manusia bergantung kepada setiap apa yang dia usahakan. Sama ada dia beroleh keuntungan ataupun kerugian.

Tidak ada di atas muka bumi ini yang mahukan kerugian dalam kehidupan, perniagaan, perkahwinan dan yang paling penting dalam amalan.

Apabila bercakap soal amal ibadah sudah pasti kita mahukan amalan yang kita kerjakan diterima oleh Allah.

Allah telah memberikan petunjuk untuk kita ikuti dan patuhi kerana itulah Allah menyebut mengenai keuntungan bagi sesiapa yang sentiasa berusaha dalam membersihkan jiwanya dan rugilah bagi mereka yang sentiasa mengotorinya. Firman Allah di dalam Surah Ash-Sham ayat 9 dan 10 yang maksudnya:

(ayat 9) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),

(ayat 10) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).

Solat sunat dan berdoa ketika bangun sahur.

Bulan Ramadan merupakan bulan untuk kita mempertingkatkan amal ibadah. Bulan yang dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya.

Ia boleh di ibaratkan seperti sebuah pasar raya yang menyediakan potongan harga dan promosi yang hebat untuk dinikmati oleh semua pelanggan yang hadir. Maka akan datanglah manusia berpusu-pusu dari segenap tempat untuk mendapatkannya.

Antara ganjaran yang Allah janjikan di dalam bulan Ramadan ialah keampunan, kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga, dimakbulkan doa dan terdapat satu malam yang mana amalan pada malam itu akan dilipat gandakan seperti ibadah selama 1,000 bulan.

Amat rugilah mereka yang berpeluang bertemu dengan Ramadan, tetapi tidak memperolehi keampunan Allah.

Dalam sebuah hadis nabi: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin, Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin.”

Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barang siapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin” – [HR Ibn Hibban 907].

Antara kerugian seorang muslim di bulan Ramadan ialah:

1. Bangun sahur tanpa meminta keampunan Allah

Waktu sahur merupakan satu waktu yang sangat penting bagi orang yang mahu berpuasa. Ini kerana pada waktu itu jika seseorang bersahur maka akan mendapat keberkatan.

Selain daripada itu, orang yang bangkit sahur dan meminta keampunan Allah maka akan diampuni dosa mereka. Firman Allah di dalam Surah Al-Imran ayat 17: (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.

Rebut ganjaran bulan Ramdan dengan bersedekah.

2. Menunggu waktu berbuka tanpa meminta doa kepada Allah

Waktu yang paling sesuai untuk kita memperbanyakkan doa adalah pada ketika hendak berbuka puasa tetapi ramai dalam kalangan kita yang terkadang menghabiskan masa di hadapan televisyen ataupun melayari laman sosial.

Sabda Rasulullah: Sungguh orang yang berpuasa mempunyai doa yang dikabulkan dan tidak akan ditolak tatkala berbuka puasa. – [HR Ibn Majah 1743]

3. Menghabiskan waktu siang dengan tidur

Tidur tidaklah membatalkan puasa tetapi kata para alim ulama bahawa orang yang menghabiskan waktu siang dengan tidur merupakan orang yang rugi.

Bulan Ramadan bulan menambah amal ibadah. Ini kerana pada bulan-bulan yang lain kita akan sentiasa memberi alasan dengan kesibukan urusan dunia seperti kerja, makan, bersama dengan isteri, kawan dan bermacam lagi alasan yang kita cipta untuk tidak melakukan ibadah.

Rugilah mereka yang tidur sehingga tidak melakukan ibadah solat, puasa mereka hanyalah lapar dan dahaga ibarat mengisi air ke dalam baldi yang mana baldinya bocor.

Sabda Rasulullah: Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar dahaga dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain hanya sekadar bangun malam.

 

4. Tidak membaca Al-Quran

Bulan Ramadan merupakan bulan diturunkan Al-Quran yang menjadi panduan kehidupan. Para alim ulama sentiasa membaca Al-Quran dan apabila sampai di bulan Ramadan mereka akan melipat gandakan bacaan tersebut. Diceritakan bahawa Imam Syafie mengkhatamkan Al-Quran sebanyak dua kali pada setiap hari di bulan Ramadan.

Firman Allah di dalam Surah Faatir ayat 29: Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.

Rugi kalau tak baca Al-Quran pada bulan Ramadan.

5. Tidak bersedekah

Mereka yang bakhil dengan harta yang dianugerahkan oleh Allah dan tidak menafkahkannya ke jalan Allah dengan memberi makan kepada orang yang lapar. Seharusnya Bulan Ramadan mendidik jiwa kita ke arah belas kasihan kepada golongan fakir miskin yang mana kebanyakan mereka menahan lapar kerana tidak mempunyai makanan.

Sabda Rasulullah: Rasulullah adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadhan. – [HR Muslim 4268].

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan

Adab dan Sunat Hari Raya

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik rh meriwayatkan sebuah hadis di dalam al-Muwatto’ (الموطأ)
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ إِلَى الْمُصَلَّى
Maksudnya: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.”
Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.
Termasuk di dalam adab berhari raya al-Fitri ialah makan dahulu sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لا يَغْدُو يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَأْكُلَ تَمَرَاتٍ .. وَيَأْكُلُهُنَّ وِتْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya  Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar… dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].
Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan.
Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah swt (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

3. Bertakbir pada hari Raya
Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah swt:
{وَلِتُكْمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْن}
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].
Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”
Sahih juga daripada Abdul Rahman al-Salamiy katanya: “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) pada hari Raya al-Fitri lebih bersungguh berbanding hari Raya al-Adha. Waki’ berkata: “Yakni (mereka lebih bersungguh) dalam bertakbir.” [Lihat Irwa’ al-Ghalil: 3/122].
Al-Daraqutni dan selainnya pula meriwayatkan bahawa Ibnu Umar apabila keluar pada pagi hari Raya al-Fitri dan hari Raya al-Adha, beliau bersungguh-sungguh bertakbir sehinggalah sampai ke tempat solat, kemudian dia bertakbir lagi sehinggalah Imam keluar (untuk mendirikan solat).”
Ibnu Abi Syaibah pula meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Zuhriy katanya: “Adalah manusia bertakbir pada hari raya ketika mereka keluar daripada rumah-rumah mereka sehinggalah mereka sampai ke tempat menunaikan solat dan sehingga Imam keluar, apabila imam keluar (untuk menunaikan solat), mereka semua senyap, apabila Imam bertakbir, mereka juga bertakbir.” [Lihat Irwa’ al-Ghalil: 2/121].
Bertakbir pada pagi hari raya ketika keluar dari rumah menuju ke tempat mendirikan solat dan sehingga keluarnya Imam adalah suatu perkara yang benar-benar masyhur di sisi generasi Salaf. Sekumpulan ulama yang menulis seperti Ibnu Abi Syaibah, Abdul Razak dan al-Faryabi dalam kitabnya “Ahkam al-‘Eidain” menukilkan perkara ini dari generasi Salaf, kerana itu Nafi’ bin Jubair sentiasa akan bertakbir (pada pagi hari raya) dan beliau menganggap pelik orang-orang yang tidak bertakbir (pada pagi hari raya) sambil berkata: “Apakah kamu semua tidak bertakbir?”
Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari  pada hari akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

4. Lafaz Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas’ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz:
اللهُ أكْبَرُ، اللهُ أكْبَرُ، -اللهُ أكْبَرُ-، لا إلهَ إلاَّ اللهُ وَاللهُ أكْبَرُ، اللهُ أكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْد.
Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”
Ibnu Abi Syaibah juga meriwayatkan di kesempatan yang lain dengan sanadnya sendiri, dimana takbir itu diucapkan sebanyak 3 kali.
Al-Mahamiliy (المحاملي) meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibnu Mas’ud: 
اللهُ أكْبَرُ كَبِيْرا،ً اللهُ أكْبَرُ كَبِيْراً، اللهُ أكْبَرُ وَأجَلّ، اللهُ أكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْد.
Maksudnya: Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha agung, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.” [Irwa’ al-Ghalil: 3/126]
Kata ulama’: Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan amalkan.
Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar.

 

5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan:
1. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua).
2. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) hari raya yang diberkati.
Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan تُقُبَِّلَ مِنَّا وَمِنْكُمْ , Ibnu Hajar berkata: Isnad (riwayat ini) Hasan. [Fath al-Bari: 2/446].

6. Berpakaian baru/cantik di Hari raya
Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai satu jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].
Demikian juga al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang sahih, bahawa Ibnu Umar sentiasa memakai pada hari raya seindah-indah pakaiannya.
Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (disebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi saw:
لا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللَّهِ مَسَاجِدَ اللَّهِ، وَلَكِنْ لِيَخْرُجْنَ وَهُنَّ تَفِلاتٌ
Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah dari masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].
Keluar dengan berpakaian biasa diluar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi.
Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.
7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan yang lain.
Daripada Jabir bin Abdillah r.anhuma katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Adalah Nabi saw, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]
Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i.        Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii.       Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii.      Untuk menzahirkan zikir kepada Allah swt.
iv.      Untuk menyakitkan hati orang-orang Munafikin dan Yahudi dan sebagai menakutkan mereka dengan ramainya umat Islam.
v.       Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

8. Solat Hari Raya
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad, sebahagian yang lain mengatakannya fardhu kifayah dan sebahagian yang lain mengatakan hukumnya adalah fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama’semasa.
Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.
a-         Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunnat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit dari para sahabat Nabi saw.
b- Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-Ala (سبح اسم ربك الأعلى) dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasiah (هل أتاك حديث الغاشية) berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf (ق) pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar (القمر) pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi saw.
c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis di dalam Musnad Ahmad daripada Ibnu Abbas r’anhuma:
أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ فِي الْعِيدِ ثُمَّ خَطَبَ
Maksudnya: “Aku menyaksikan Rasulullah saw menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”
d-  Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya.
Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari. Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menukilkan perkataan Ibnu Battal (ابن بطال): “Telah sepakat para fuqaha’ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”
9.    Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya
Daripada Ali bin Abi Tolib r.a. katanya: “Termasuk di dalam sunnah, mendatangi (solat) hari raya dengan berjalan kaki.” [Riwayat al-Tirmizi dan beliau menghasakannya]. Kata al-Tirmizi: “Beramal dengan hadis ini kebanyakan para ulama, mereka memandang sunat orang lelaki keluar (untuk  solat hari raya) dengan berjalan kaki.” Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu’, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”
Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ إِلَى الْعِيدِ، مَاشِيًا وَيَرْجِعُ مَاشِيًا
Maksudnya: “Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]
Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

10.  Wanita uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya.
Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Dari Umm Atiyyah r.’anha katanya: “Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

11.    Zakat al-Fitr
Nabi saw menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal berdasarkan hadis Ibnu Umar r.’anhuma yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: وكانوا يعطون قبل الفطر بيوم أو يومين
Maksudnya: “Adalah mereka (sahabat Nabi saw) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”
Sesiapa yang menunaikan zakat fitrah selepas solat hari raya maka ia tidak dikira sebagai zakat fitrah berdasarkan hadis Nabi saw daripada Ibnu Abbas r.’anhuma:
من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات
Maksudnya: “Sesiapa yang membayarnya (zakat fitrah) sebelum solat (hari raya), maka itulah zakat fitrah yang diterima, dan sesiapa yang membayarnya selepas solat, maka ianya hanya sekadar sedekah dari sedekah yang lain.”
Maka berdasarkan hadis ini haram hukumnya melewatkan membayar zakat sehingga selesai solat hari raya tanpa sebarang keuzuran. Jika dia terlewat disebabkan keuzuran seperti orang yang dalam perjalanan (musafir) yang tidak memiliki wang atau tidak mendapati orang yang boleh diberikannya zakat, dia boleh mengeluarkannya selepas daripada solat hari raya disebabkan dia termasuk orang yang mempunyai keuzuran.