• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,273,611 orang
  • Kandungan Blog

Kitab amalan kita di Sijjin atau Illiyin?

Muhammad Saufi Hassan

TATKALA manusia itu kembali dijemput oleh Allah SWT, persoalan yang perlu difikirkan oleh semua manusia adalah kedudukan kitab perbuatan di dunia, adakah ditempatkan di Illiyin atau Sijjin.

Mungkin ramai yang sudah mengetahui bahawa Illiyin serta Sijjin ini adalah tempat ‘kitab suratan amalan’ akan disimpan sementara menanti Hari Pembalasan iaitu kiamat serta Mahsyar dibentangkan.

Illiyin adalah tempat di mana kitab amalan manusia yang soleh serta taat kepada perintah-Nya akan disimpan, manakala Sijjin pula adalah tempat tersimpannya kitab perbuatan ‘orang-orang yang curang’ ketika diberikan peluang oleh Allah SWT di atas muka bumi ciptaan-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari Akhirat) Sesungguhnya ‘kitab suratan amalan’ orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam ‘Sijjin’. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui; apa dia ‘Sijjin’ itu, ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata (yang menghimpunkan amalan orang-orang berdosa).” (Surah al-Mutaffifin ayat 7 hingga 9).

Bagi Illiyin pula, Allah SWT dalam surah sama berfirman dengan maksud: “Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya ‘kitab suratan amalan’ orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam ‘Illiyin’. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Illiyin’ itu, ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata, yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya.” (Surah al-Mutaffifiin ayat 18 hingga 21).

Pastinya, semua orang mahukan kitab amalan mereka disimpan di Illiyin kerana ia adalah permulaan yang baik dan pastinya, urusan akhirat seseorang hamba itu akan lebih mudah walaupun ketika dibangkitkan di Mahsyar untuk berdepan dengan penghakiman Allah SWT yang Maha Adil.

Biarpun kehidupan seseorang manusia di dunia dilimpahi dengan wang ringgit, harta, kemasyhuran dan darjat sosial yang tinggi, namun individu itu tetap tidak boleh membeli tarikh kematian serta lokasi kematiannya kerana sesungguhnya, Allah SWT yang berhak memilih dan setiap manusia akan mati dengan kaedah cara kehidupannya.

Allah SWT berfirman dengan maksud: “… Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakan esok (sama ada baik atau jahat) dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi Pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman ayat 34).

Oleh itu, jelas sekali kehidupan di dunia ini hanya pinjaman, setiap perbuatan akan dihitung, setiap kekayaan itu sebenarnya amanah daripada Allah SWT dan semuanya akan kembali dinilai sama ada cara kehidupan kita sepanjang dipinjamkan hayat adalah mendapat keredaan Allah atau sebaliknya.

Itulah hakikat kematian yang akan dirasai setiap makhluk yang bernyawa. Tarikh, masa, lokasi dan cara kematian seseorang itu kekal sebagai rahsia Allah SWT dan sesungguhnya, kita sebagai hamba wajar berdoa agar Allah SWT mengurniakan kita pengakhiran yang baik.