• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,388 orang
  • Tetamu Online

Amalan puasa rawat jiwa kotor

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

AMALAN puasa antara bentuk ibadah bertujuan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Malah, ibadah itu ialah latihan spiritual dan penyucian jiwa bertujuan mendidik hati agar dijauhi sifat mazmumah yang boleh menjerumuskan Mukmin ke lembah kemaksiatan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi, berkata amalan berpuasa diperintahkan Allah SWT melalui al-Quran yang bermaksud; “Hai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan, (lalu berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari ditinggalkan itu, pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang yang berat menjalankannya, membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itu lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” (Al-Baqarah, ayat 183-184)

Kelebihan amalan berpuasa begitu banyak dari segi kerohanian dan fizikal. Dari sudut kesihatan, amalan berpuasa boleh mengawal masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit tertentu, manakala dari segi ibadah pula, ia bertujuan meningkatkan ketakwaan dan ketaatan terhadap setiap perintah Allah SWT.

Manfaat amalan puasa

Antara manfaat amalan berpuasa dari segi spiritual, berpuasa dapat merawat kekotoran hati dan menundukkan nafsu yang banyak mengajak manusia ke arah perkara yang tidak baik.

Dalam mengamalkan puasa, terdapat adab dan cara yang perlu diikuti bagi mendapat kualiti puasa yang akhirnya memberi kesan baik kepada Mukmin yang istiqamah. Ahli tasawuf membahagikan puasa kepada tiga jenis, iaitu puasa awam, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.

Puasa umum atau awam ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Puasa tahap ini seperti puasa orang awam yang bertujuan untuk kesihatan dan sebagainya. Puasa sebegini hanya sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara membatalkan puasa.

Puasa khusus pula, ialah puasa tahap kedua bertujuan menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada perbuatan yang membawa kepada dosa. Puasa pada tingkatan ini antara lain juga memelihara dan menjaga akhlak serta melakukan perkara sunat bagi menambahkan lagi kualiti puasa.

Seterusnya terakhir ialah puasa khusus al-khusus, iaitu tahap yang paling tinggi. Puasa pada tingkatan ini adalah menahan hati daripada keinginan buruk dan memikirkan sesuatu selain Allah. Puasa ini juga adalah puasa hati daripada segala pemikiran kotor dan tidak lagi memikirkan perkara duniawi, selain hanya memikirkan serta mengingati Allah semata-mata.

Bagi Mukmin yang bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah kepada Allah akan lahir perasaan seronok dan bahagia dalam mengamalkan ketaatan kepada-Nya sehingga seluruh lembaran hidup hanya mahu mengabdikan diri kepada Allah.

Dikurnia kebahagiaan

Justeru, Mukmin yang mujahadah dan istiqamahnya berada pada tahap tinggi ini, pasti dapat menikmati manisnya ibadah serta indahnya ketaatan. Lalu seseorang Mukmin yang mencapai tahap ini akan dikurniakan Allah kebahagiaan, kelapangan dan ketenangan hati yang hakiki untuk terus beramal ibadah kepada-Nya.

Sesungguhnya begitu banyak kelebihan mengamalkan ibadah puasa seperti sabda Rasulullah SAW dalam hadis qudsi: “Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sebab ia hanyalah untukku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran pahala padanya.” (HR Bukhari)

Amalan puasa yang dilakukan ikhlas kerana Allah SWT akan menatijahkan hati yang sentiasa dalam neraca keimanan dan pastinya ganjaran pahala yang hebat dari Allah SWT.

Puasa patut didorong keimanan, bukan warisan adat

Oleh Norhayati Paradi

 

Kita akan teliti dalam memilih rumah kerana tahu tujuan pemilikan serta fungsi rumah itu. Jika atap atau lantainya rapuh, maka akan diperbaiki mahupun diganti dengan kadar segera bagi memastikan ia mampu terus melengkapkan peranannya sebagai kediaman.

Tamsilan itu dijadikan mukadimah pertemuan menerusi program Islam Itu Indah bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi yang bersiaran Rabu lalu di
IKIMfm. Namun beliau berkata, ironinya ia tidak berlaku kepada ibadah puasa.

Walaupun tidak tahu peranan ibadah puasa, kita tetap melaksanakan tanpa punya perasaan untuk membaikinya. Menerusi usia yang telah di pinjamkan Allah SWT ini, adakah sudah memenuhi tuntutan dan tujuan sebenar ibadah puasa dilaksanakan?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Matlamat ibadah puasa

Matlamat ibadah puasa adalah untuk melahirkan insan yang bertakwa yang menjaga hukum-hakam Allah SWT dan sebagai ganjaran, mendapat pembelaan serta keberkatan hidup daripada Allah SWT.

Jika puasa tidak memberi impak takwa seperti melahirkan akhlak mulia, secara tidak langsung ia boleh dijadikan kayu ukur tahap ibadah puasa yang telah dilaksanakan. Hadirnya takwa dalam diri sewajarnya akan meningkatkan kualiti itqan dalam kerja dengan sifat cekap, berkesan serta produktif.

Imbas kembali ibadah puasa yang dilaksanakan, adakah buah takwa sudah menampakkan putiknya atau masih tiada bayangan? Jika pohon puasa tidak berbuah, Pahrol menyarankan untuk kita melakukan dua perkara.

Pertama, selidik kembali benih yang digunakan dan periksa dengan teliti keadaan pohon itu. Teliti kembali jenis benih dan tahap kesuburannya, dibimbangi benih itu sebenarnya sudah tercemar dengan ulat. Lihat proses ia membesar dan menjadi pohon.

Berdasarkan firman Allah SWT mengenai kewajipan berpuasa dan dikaitkan dengan tamsilan pohon, maka benih itu ibarat iman kerana dengan iman akan membuahkan takwa seperti sabda Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah: “Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Ini bermakna, bagi yang benar-benar melaksanakan ibadah puasa akan keluar daripada Ramadan dalam keadaan bersih daripada segala dosa menepati maksud sebenar ‘fitrah’ (Aidilfitri) dengan syarat menjalani ibadah puasa penuh keimanan serta keikhlasan kerana Allah SWT.

Ibadah puasa hendaklah dilakukan atas dorongan iman dan kepatuhan pada perintah-Nya, rasa takut serta kecintaan yang hakiki kepada Allah SWT. Akur dan patuh kepada sumber yang tidak terlihat pada mata, tapi tahu wujud-Nya.

Umat Islam perlu muhasabah diri tatkala berbicara mengenai puasa. Semak kembali tujuan puasa dilaksanakan sama ada kerana iman, ibadah atau adat. Jika berpuasa kerana adat, bermakna ia hanya diwarisi yang diterima daripada nenek moyang serta keturunan terdahulu.

Maka akan lahir umat yang menjaga ketepatan waktu puasa, tetapi mengabaikan ketepatan waktu solatnya. Sedangkan solat itu lebih utama berbanding puasa kerana puasa mengikut adat kebiasaan yang dididik orang terdahulu dan bukannya mengikut iman yang memberi kefahaman jelas kedudukan ibadah puasa.

Terkadang masyarakat Islam lebih berat menitikberatkan ibadah puasa kepada anak berbanding solat. Ibu tidak akan keberatan mengetuk pintu bilik anak mengejutkan untuk bersahur berbanding mengetuk pintu bilik bagi tujuan bersolat Subuh.

Ibadah warisan dalam solat tarawih

Selain itu, ibadah warisan ini dapat dilihat tatkala bersolat sunat tarawih yang serius dilakukan berbanding solat Subuh secara berjemaah.

Berpuasa juga ada kalanya dilakukan atas keinginan meraih hikmah berpuasa bukan sebagai salah satu cara pengabdian diri kepada Ilahi. Tidak dinafikan, ibadah puasa secara tidak langsung dapat membantu dalam pengurusan kesihatan termasuk penurunan berat badan selain dapat merasakan kelaparan orang miskin.

Tetapi hikmah di sebalik ibadah puasa itu tidak boleh diletakkan sebagai sandaran atau dasar dalam beribadah. Jika ibadah dilakukan atas dasar hikmah semata, natijahnya pohon ibadah itu akan goyah dan tidak kukuh. Ibadah yang didorong hikmah adalah tidak konsisten.

Puasa itu menahan dalam erti kata mendidik dan menundukkan nafsu, bukannya sekadar menyekat nafsu. Sesungguhnya nafsu dan kejahatan manusia berpunca daripada dua elemen iaitu perut dan kemaluan. Jika mampu menjaga perut, bererti berjaya mendidik diri untuk mengawal nafsu seks.

Sesungguhnya ujian hawa nafsu itu tidak pernah terhenti. Justeru, hadirnya Ramadan ini dapat mendidik diri untuk 11 bulan seterusnya atas kehebatan serta kemuliaan yang dikurniakan Allah SWT padanya serta memahami realiti kehidupan sebagai hamba yang Esa.

Pada Ramadan ini, setiap individu sebenarnya dapat melihat warna sebenar diri sama ada kebaikan mahupun kejahatan yang wujud pada diri. Jika pada bulan yang sungguh kondusif untuk melihat dan memperbaiki diri masih tegar melakukan kejahatan bermakna diri berada pada situasi berbahaya dan kritikal.

Kelebihan puasa dalam keindahan takwa

Oleh Norhayati Paradi

 

Allah SWT itu Maha Indah dan suka kepada keindahan. Sifat Maha Indah itu menzahirkan syariat yang indah untuk ditunaikan oleh hamba-Nya yang bernama manusia. Acap kali keindahan syariat-Nya dicemari, bukan kerana syariat itu kurang indah, tetapi kerana hati manusia sirna indahnya.

Melihat keindahan puasa perlu pada sisi yang tepat dari kaca mata diperintahkan Allah SWT, bukan mengikut rasa hati.

Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menegaskan menerusi Islam Itu Indah minggu lalu, jika melihat dengan pandangan yang tersasar, tujuan sebenar berpuasa tidak mampu untuk dilestarikan dalam bentuk amalan yang sempurna.

Ustaz Pahrol berkongsi tamsilan cara melihat dengan memandang kepada laut. Tatkala dilihat oleh pencinta alam akan terdampar pemandangan indah yang menenangkan, ada ombak dan juga sampah di permukaannya.

Bagi nelayan, hasil tangkapan di laut sumber pencarian mereka. Berbeza bagi pemburu mutiara, melihat laut dengan bayangan kemilau butiran berharga di dasar lautan. Lebih hebat apabila jurutera petroleum memandang lautan, menerobos jauh di bawah lapisan bumi menilai harga galian yang tersembunyi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Kesinambungan iman, puasa, takwa

Terkandung dalam ayat itu, tiga kata kunci yang saling berkaitan dan berkesinambungan antara satu sama lain iaitu iman, puasa serta takwa. Iman itu adalah ‘input’, manakala puasa adalah proses dan akhir sekali takwa iaitu ‘output’ atau buah yang diharapkan daripada benih iman serta pohon ibadah puasa.

Maka inilah tujuan berpuasa menepati ajaran Islam yang merangkumi Rukun Iman, Rukun Islam dan ihsan.

Rukun Iman adalah keyakinan yang menjadi benih, manakala rukun Islam proses iaitu tindakan (puasa) dan ihsan wujud atas rasa yang hadir umpama melihat Allah SWT atau paling kurang hadir perasaan dilihat oleh Allah SWT tatkala melaksanakan ibadah.

Keindahan puasa terletak pada proses dan jalan untuk mencapai takwa. Kelebihan puasa sinonim dengan kehebatan dan keindahan takwa. Menurut Ibn Manzur, takwa berasal daripada perkataan Arab dengan kata akar waqa iaitu menjaga.

Imam Al-Munawi menjelaskan, takwa ialah menjadikan diri dalam keadaan berjaga-jaga daripada apa yang ditakuti. Justeru, takwa adalah menjaga ketaatan kepada Allah SWT daripada seksaan-Nya dan memelihara diri daripada melakukan maksiat yang mengakibatkan pembalasan azab.

Orang bertakwa akan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga ketika bertindak.

Implikasi kepada ketakwaan adalah tertanam teguh kepercayaan bahawa jika menjaga Allah SWT, maka Allah SWT akan menjaga diri individu itu. Menjaga Allah SWT di sini bermakna menjaga hukum-hakam, perintah dan larangan daripada Allah SWT.

Sebagai timbal balik, Allah SWT akan menjaga dirinya bermaksud tidak ada yang boleh memudaratkan, memusnahkan apatah lagi menakutkan orang itu kerana ketika ada Allah SWT dalam diri manusia, bermakna dia ada segala-galanya.

Kitab Minhajul Abidin karangan Imam Ghazali menyenaraikan kelebihan orang yang bertakwa menurut al-Quran. Pertama, Allah akan menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Sesungguhnya, menjadi seorang Islam belum menjamin pembelaan daripada Allah SWT.

Sebab itu dapat dilihat umat Islam seluruh dunia hari ini kerana Allah SWT tidak menjanjikan pembelaan sekadar kepada orang beriman, tetapi Allah SWT menjanjikan pembelaan kepada hamba yang bertakwa.

Kedua, akan diberi rezeki yang tidak disangka-sangka dan penuh keberkatan seperti firman-Nya yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Thalaq, ayat 2-3)

Peluang menuju takwa

Jika berlaku kekusutan dalam apa juga bidang dan lapangan maka audit kembali tingkat takwa diri berada di paras mana? Moga ibadah puasa yang bakal tiba menjadi peluang menuju takwa, pelepas daripada sebarang kekusutan dan kerumitan.

Selain itu, orang bertakwa akan diberi keberkatan dalam hidup sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika penduduk satu kampung beriman dan bertakwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

Orang yang bertakwa juga dijanjikan syurga oleh Allah SWT dan diselamatkan daripada bakaran api neraka seperti yang termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: “Akan tetapi orang yang bertakwa kepada Tuhannya bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 198)

Orang bertakwa akan diselamatkan oleh tipu daya musuh iaitu Yahudi dan Nasrani yang terkenal dengan strategi serta perancangan licik untuk menghancurkan umat Islam. Mereka begitu sistematik, fokus dan komited untuk melemahkan perjuangan umat Islam.

Namun, orang bertakwa sentiasa berjaya mengenal dan mengatasi tipu daya mereka itu. Justeru, persiapkan diri dengan doa supaya Allah SWT sampaikan usia kepada Ramadan untuk merebut kesempatan pengampunan daripada Allah SWT dan nikmat takwa.

Modul Ramadan bina ketakwaan

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Puasa berkesan adalah puasa yang membuahkan takwa. Kehadiran Ramadan adalah kem latihan dan madrasah tarbiah selama sebulan yang lengkap dengan modul disediakan Allah SWT. Adaptasi daripada modul itu boleh dikategorikan melalui beberapa perkara iaitu iman, puasa dan takwa.

Begitulah kupasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam program Islam Itu Indah di IKIMfm mengenai ibadah puasa berkesan dalam membentuk keperibadian mulia serta menghayati pengertian puasa untuk membina ketakwaan kepada Allah SWT.

Berpuasa adalah dasar iman yang akan menjadi benih kebaikan dalam diri. Melalui ibadah puasa, pengharapan terhadap keredaan Allah SWT menjadi keutamaan dalam menjalani ibadah puasa serta mengharapkan balasan syurga yang abadi.

Jika iman tidak dijadikan pegangan, hati tidak terdorong untuk melaksanakan fadilat dan kelebihan yang ada dalam bulan Ramadan. Keyakinan itu membawa umat Islam menyatakan Allah SWT itu ada dan percaya ganjaran pahala yang diberikan-Nya.

Proses ibadah puasa bermula daripada niat yang membawa kepada tanggapan yang betul. Berpuasa ialah menahan nafsu supaya tidak terjerumus dengan amalan yang dimurkai Allah SWT dan digunakan ke arah kebaikan.

Bukan ibadah bermusim

Selain ganjaran pahala berlipat ganda, puasa juga bermanfaat terhadap tubuh badan supaya menjadi sihat. Pemakanan mengikut masa yang betul serta pengambilan makanan sunah menjadi keutamaan sepanjang bulan Ramadan.

Puasa tidak sewajarnya ditafsirkan sebagai adat atau ibadah bermusim di mana ada sebahagian umat Islam masih menganggap puasa lebih penting daripada solat. Pendidikan fardu puasa perlu diterapkan kepada setiap umat Islam sejak kecil.

Puasa boleh menjadi benteng daripada melakukan amalan tidak disukai Allah SWT seperti mengawal nafsu serta mendidik hati supaya iman menjadi teguh. Mendidik nafsu boleh dilakukan dengan qiamullail, membaca al-Quran dan bersedekah.

Kawalan dan didikan ini juga baik kepada akal dan hati kerana tidak lagi membenarkan mata sebagai jendela untuk melihat perkara nafsu. Elemen itu menjadi latihan yang akan memenatkan hawa nafsu supaya terus beribadah, elak melakukan maksiat.

Bimbing manusia asas ibadah sempurna

Segala bebanan diberikan terhadap nafsu ini penting dalam memandu diri kepada zon selamat daripada kejahatan. Umat Islam juga perlu diingatkan untuk terus menjadi hamba Allah SWT dan melakukan segala suruhannya.

Iman dan puasa ini merangkumi satu proses tarbiah yang membimbing manusia kepada asas ibadah sempurna serta menjadikan perjalanan sepanjang Ramadan sebagai institusi pendidikan untuk melahirkan Muslim bertakwa.

Konsep takwa akan terus menjadi ilmu dan cahaya kebenaran buat umat Islam ke arah meraih pahala dan balasan syurga yang Allah SWT janjikan. Istiqamah dalam memburu ganjaran kebaikan daripada ibadah puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak ini membolehkan umat Islam melaksanakan puasa yang berkesan.

Ramadan bulan ganda ibadah

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

SELURUH umat Islam di dunia baru menyambut Ramadan yang penuh barakah ,  bulan yang dijanjikan ganjaran pahala berlipat ganda.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah di radio IKIM, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, berkata agama Islam mengajar umatnya untuk taat kepada segala perintah dan seruan Allah SWT supaya setiap perbuatan dan amalan mendapat keredaan-Nya.

Sebelum tibanya Ramadan, umat Islam disaran berdoa kepada Allah SWT supaya diberi kesempatan menjalani ibadah puasa dan melaksanakan amalan lain.

Sebagai motivasi untuk mencapai tahap ibadah terbaik di sisi Allah SWT, umat Islam disarankan sentiasa mengingatkan diri seolah-olah amal ibadah yang dilakukan itu adalah amalan yang terakhir. Ini bagi mendorong kita melaksanakan ibadah itu dengan cara paling baik dan berkualiti.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW menganjurkan umatnya sentiasa melakukan yang terbaik dalam sabda Baginda: “Solatlah kamu seperti solat itu yang terakhir.”

Selalunya, apabila diberi peluang terakhir untuk melakukan sesuatu, kita akan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan ibadah puasa yang bakal dilaksanakan sepanjang Ramadan nanti.

Umat Islam hendaklah menanam semangat dalam diri untuk melaksanakan ibadah puasa dengan ikhlas. Dalam setiap diri perlu ada perasaan gembira yang luar biasa dengan roh kecintaan tinggi terhadap bulan mulia itu.

Bulan pengampunan

Kehadiran tetamu agung yang membawa seribu kebaikan kerana Ramadan adalah bulan pengampunan memberi peluang umat Islam mendapat keampunan Allah SWT.

Kebaikan Ramadan hendaklah disambut dengan rasa suka dan bahagia seperti mana alim ulama teruja apabila tibanya Ramadan. Perasaan gembira dan bahagia menjadikan Ramadan lebih bermakna.

Selain itu, disarankan juga mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan kerana kefahaman mengenai ibadah puasa membolehkan ibadah itu dilaksanakan dengan sempurna. Kesucian Ramadan terpelihara dengan amal ibadah berada pada tingkat yang tertinggi di sisi Allah SWT.

Persiapan merangkumi aspek spiritual untuk membersihkan diri daripada dosa dan pada masa sama membina keimanan tinggi kepada Allah SWT. Mukmin yang beriman akan menjalani ibadah dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT.

Ganjaran pahala tinggi

Keimanan penting supaya setiap amalan yang dilaksanakan mendapat ganjaran pahala tinggi di sisi Allah SWT. Selain itu, persiapan fizikal juga penting iaitu memiliki kesihatan yang baik bagi menjamin ibadah yang sempurna.

Mana mungkin badan yang tidak sihat kerana penyakit atau kekurangan tenaga membolehkan kita beribadah dengan baik. Oleh itu, penting untuk menjaga kesihatan terutama pada Ramadan supaya dapat melakukan ibadah dengan baik.

Pada Ramadan, jadual harian akan berubah kerana amalan bersahur, solat sunat tarawih dan amalan lain yang berbeza daripada rutin harian menuntut kita lebih bijak menguruskan jadual harian.

Jangan sesekali berasakan kitalah orang yang paling sempurna melakukan sesuatu ibadah kerana kesempurnaan adalah penilaian Allah SWT. Setiap ibadah hendaklah ikhlas kerana Allah SWT, hati yang selalu rendah diri terhadap Allah SWT akan diangkat di sisi-Nya.

Setiap rumah kini ‘madrasah’ Ramadan

Oleh Latifah Arifin

 

UMAT Islam menyambut Ramadan tahun ini luar biasa apabila perlu mengehadkan pergerakan dan terus berada di rumah, malah sebahagiannya menjalani perintah berkurung.

Lebih meninggalkan kesan, Makkah dan Madinah turut ditutup dengan arahan solat tarawih akan diadakan tanpa jemaah awam di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Di seluruh negara ketika ini, demi memerangi dan memutuskan rantaian COVID-19, amalan yang menjadi kebiasaan masyarakat termasuk majlis berbuka puasa, solat tarawih berjemaah, tadarus al-Quran dan moreh di semua masjid dan surau terpaksa dibatalkan.

Ia selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kemudian diumumkan dilanjutkan oleh Perdana Menteri hingga 12 Mei ini.

Bagaimanapun, kita tidak seharusnya melihat kedatangan Ramadan kali ini suram sebaliknya berlapang dada dengan ujian menimpa dan berusaha memakmurkan rumah masing-masing dan mentransformasikannya sebagai madrasah Ramadan.

Pendakwah, Mohd Iqbal Zain, berkata Muslim perlu sedar apa sahaja menimpa mereka adalah kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda: Sungguh ajaib dalam urusan Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada Mukmin.

Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya. (HR Muslim)

Mohd Iqbal berkata, walaupun umat Islam terpaksa masuk ke dalam Ramadan hanya dengan berkurung di rumah, hati Mukmin yang berpaut kepada Allah SWT dan bersangka baik kepada-Nya akan menjadi tenang serta bahagia.

“Tidak timbul persoalan suram atau bosan kerana kehidupan Mukmin akan sentiasa ceria apabila hatinya bersama Allah SWT.

“Kita meyakini pasti ada hikmah dan rahsia besar daripada Allah SWT terhadap apa yang didatangkan kepada kita,” katanya kepada Ibrah, baru-baru ini.

Mohd Iqbal mengingatkan kedatangan Ramadan jangan disia-siakan hanya kerana kekangan semasa antaranya merasakan ibadah tidak sempurna tanpa aktiviti lazim termasuk solat berjemaah di masjid atau surau.

“Sudah tentu ramai yang terfikir sekiranya ia dapat dikerjakan secara berjemaah, maka bertambahlah pahala.

“Usah risau kerana kita masih boleh menunaikan solat tarawih sama ada secara sendirian atau berjemaah bersama keluarga di rumah.

“Bahkan, solat tarawih boleh dikerjakan sepanjang malam dan bukan pada masa tertentu atau harus selesai dalam beberapa jam selepas Isyak sahaja.

“Jam 12 tengah malam pun masih boleh bertarawih, asalkan ditunaikan sebelum masuk waktu Subuh,” katanya.

Beliau berkata, maka terdapat banyak amalan boleh dihidupkan sepanjang Ramadan ini, meskipun berada di rumah.

“Antara amalan boleh dihidupkan di rumah ialah tadarus al-Quran sesama keluarga, walaupun ada kemungkinan tidak sempat khatam.

“Namun jangan jadikan ia penghalang untuk terus menambahkan amalan sepanjang Ramadan.

“Begitu juga dengan amalan qiamullail boleh dihidupkan pada waktu malam bersama keluarga,” katanya.

Beliau menambah, bagi membakar semangat supaya lebih bersungguh-sungguh beramal, Rasulullah SAW  berpesan setiap amalan sunat akan digandakan pahalanya seperti amalan fardu dan setiap amalan fardu akan digandakan kepada 70 kali.

Menurutnya lagi, dalam tempoh mencabar, peranan institusi agama termasuk masjid dan surau amat diperlukan terutama memberikan sokongan, panduan ibadah dan memperbanyakkan aktiviti di platform digital bagi menyemarakkan Ramadan.

“Institusi agama, masjid dan surau dapat memainkan peranan membantu ibadah masyarakat dengan mengeluarkan garis panduan, nasihat dan saling ingat-mengingatkan antara satu sama lain.

“Sebagai contoh, pihak masjid atau surau boleh membentuk kumpulan WhatsApp bagi mengagih-agihkan juzuk tertentu al-Quran untuk dibaca di rumah.

“Maka dengan itu, budaya tadarus dapat terus hidup secara kolektif bersama komuniti setempat,” katanya.

Iqbal Zain berkata, PKP juga memberikan kesempatan kepada ibu bapa mendidik anak dengan akhlak baik dan mengajarkan mereka untuk cinta kepada ibadah.

“Apa yang boleh saya sarankan, setiap hari ajaklah anak-anak membaca hadis dan kisah Rasulullah SAW serta orang soleh.

“Walaupun setiap hari cuma satu kisah, ia akan membentuk jiwa anak-anak.

“Galakkan anak-anak untuk turut serta dalam amalan yang dibuat secara berjemaah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat banyak ibrah yang sangat signifikan untuk diteliti bersama, kesan daripada wabak COVID-19 ini khususnya membuatkan kita lebih mengenal kebesaran Allah SWT.

“Kita dapat melihat Allah SWT dengan Kekuasaan-Nya dapat menukarkan keadaan dalam sekelip mata.

“Dia Maha Berkuasa untuk melapangkan dan menyempitkan keadaan.

“Namun, ini semua penzahiran sifat keindahan dan keperkasaan Allah yang perlu disaksikan dengan mata hati Mukmin hingga dia menjadi insan reda ketentuan Ilahi,” katanya.

Katanya, di sini menunjukkan pentingnya untuk menyediakan hati yang sentiasa berpaut kepada Allah SWT dalam keadaan senang dan susah agar hati manusia tidak tertekan atau goyah dengan fenomena yang didatangkan-Nya untuk menguji keimanan setiap hamba.

“Apabila datang musibah sebegini, ia teguran supaya hati setiap manusia tidak sombong dengan apa yang dimiliki.

“Ini disebabkan segala-galanya adalah dalam genggaman kuasa Allah SWT dan kepada Dia, segala-galanya akan kembali,” katanya.

Persiap minda, rohani hayati Ramadan ketika musibah

KITA berada di ambang Ramadan. Beberapa hari lagi, kita menguak pintunya untuk masuk ke madrasahnya. Tahun ini, akan sedikit berbeza, tetapi objektif Ramadan akan tetap sama.

Ia berbeza kerana kita diduga dengan musibah COVID-19 hingga pergerakan kita terbatas, hatta dalam persoalan mengerjakan ibadah di masjid.

Malah, manusia tidak akan berpusu-pusu ke masjid pada malam pertama Ramadan untuk mengerjakan tarawih. Begitu juga tiada lagi kemeriahan mencari juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan sebelah petang.

Demikianlah hari mendatang. Ia pasti berbeza dengan solat Tarawih hanya sesama ahli keluarga di rumah masing-masing. Semua berwaspada agar penularan COVID-19 berjaya diputuskan rantaiannya.

Pastinya juga ada hikmah. Bapa sebagai ketua keluarga sudah bolehlah bersiap dari sekarang untuk menjadi imam solat tarawih. Anak lelaki pula diajar menjadi bilal, manakala isteri dan anak lain menjadi makmum.

Perbezaan cara kita menyambut Ramadan kali ini usahlah kita risau dan bimbangkan. Apa yang penting adalah untuk kita tidak sesekali melupakan dasar dan asas kepada matlamat Allah SWT memfardukan puasa kepada umat manusia.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh ketakwaan.” (Al-Baqarah: 183)

Kita bersyukur masih hidup dan dipilih Allah SWT untuk menggapai Ramadan kali ini dan marilah kita sama-sama mencari peluang supaya ia lebih baik daripada tahun lalu.

Darjat ketakwaan yang disebutkan dalam ayat di atas adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadat puasa.

Dalam ayat itu, Allah SWT menggunakan perkataan ‘asa (mudah-mudahan) yang bererti tidaklah semua yang memperolehnya jika tidak kena gaya dan aturannya dalam berpuasa.

Oleh itu, baki beberapa hari lagi untuk kita masuk pintu Ramadan, wajar untuk kita mempersiapkan minda dan rohani. Minda harus bersedia menerima kehadirannya dengan berfikiran terbuka menghadapi cabaran.

Rohani kita pula perlu disiapkan dengan rasa gembira dan keazaman jiwa untuk menjalaninya dengan penuh keimanan serta ketakwaan.

Sedarlah jiwa yang berpuasa dengan penuh kesedaran akan pelaksanaan ibadah ini kerana Allah SWT semata-mata akan memperoleh ganjaran besar berupa keampunan-Nya terhadap dosanya yang lalu.

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka dosanya yang lalu akan diampuni.” (HR Bukhari dan Muslim)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa atas dasar iman ialah berpuasa dengan beriktikad akan kefarduan puasa, manakala dimaksudkan dengan ihtisaban ialah mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.

Dalam beroleh darjat ketakwaan ini juga hendaklah kita memastikan kita berpuasa dengan cara disebut Nabi SAW, iaitu berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi turut menahan diri daripada melakukan kemaksiatan zahir serta batin.

Nabi SAW bersabda: “Boleh jadi orang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam.” (HR Ibnu Majah)

Antara perbuatan yang akan merosakkan ibadah puasa adalah apabila kita tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji serta dusta.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji serta mengamalkannya pula, maka Allah tidak berhajat untuk orang itu meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari)

Oleh itu, Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin mengklasifikasikan tiga kelompok manusia dalam hal berpuasa.

Kelompok pertama ialah orang awam berpuasa tidak lebih daripada sekadar meninggalkan makan dan minum serta hubungan seksual pada siang hari.

Kelompok kedua pula diberi nama al-khusus, iaitu mereka yang meninggalkan perbuatan di atas di samping turun menjaga anggota pancaindera daripada melakukan segala perbuatan maksiat dan sia-sia.

Kelompok ketiga pula disebut kelompok khusus al-khusus atau al-khawwas, iaitu mereka menjaga seperti kelompok kedua, pada masa sama, mereka turut menjaga hati dengan sentiasa mengingati Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita meningkatkan keazaman kita untuk melakukan ibadah puasa tahun ini dengan kaedah dan cara kelompok yang ketiga supaya kita sebenar-benarnya beroleh darjat ketakwaan di sisi Allah SWT.

Ingatlah ganjaran orang bertakwa atau al-muttaqin akan beroleh syurga-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang bertakwa ialah orang yang berjaya. Mereka beroleh tempat di taman syurga dan beroleh nikmat buah-buahan di dalamnya.” (Al-Naba’: 31-32)

Peluang suami menjadi imam Tarawih

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

RAMADAN yang akan disambut tahun ini pasti berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya.

Persediaan untuk solat sunat Tarawih khususnya bagi golongan lelaki pasti menjadi topik perbincangan utama mereka.

Sudah pasti surau dan masjid tertentu menjadi pilihan bagi mengerjakan solat sunat Tarawih secara berjemaah.

Tidak kurang pula mereka yang mencari masjid yang dipimpin oleh imam luar negara.

Semua faktor berkenaan menjadi pemangkin kepada kemeriahan Ramadan dengan solat sunat Tarawih sebagai ibadah yang ditunggu-tunggu pada setiap tahun sama ada di surau atau masjid seluruh Malaysia.

Namun, situasi terkini penularan virus Covid-19 yang masih lagi berada pada tahap membimbangkan dan dengan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sudah tentu suasana solat sunat Tarawih tahun ini cukup berbeza.

Dalam keadaan ini, pihak penguasa sudah memberi arahan kepada semua surau dan masjid untuk tidak mengadakan solat berjemaah bagi membanteras penularan virus Covid-19.

Hal ini secara umumnya memberi peluang kepada suami untuk memimpin solat sunat Tarawih di kediaman masing-masing.

Kedudukan suami sebagai ketua keluarga adalah bertanggungjawab memimpin rumah tangga serta membimbing ahli keluarganya mengikut panduan yang ditetapkan syarak.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” (Surah Toha, ayat 132)

Maka untuk memimpin ahli keluarga mengerjakan solat secara berjemaah khususnya solat sunat Tarawih yang dilakukan hanya dalam satu bulan sahaja setahun, sudah tentu persediaan yang rapi perlu dilakukan oleh suami.

Ini bertitik tolak dari segi ilmu pengetahuan dan hukum hakam mengenai perkara utama yang perlu ada dalam solat sunat berkenaan.

Justeru, berbaki beberapa hari sebelum Ramadan tiba merupakan tempoh terbaik bagi golongan suami untuk memperelokkan bacaan serta memperkemaskan ilmu berkaitan solat sunat Tarawih sebelum memimpin ahli keluarga nanti.

Mudah-mudahan ibadah yang dilakukan nanti akan diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya”. (Surah Bayyinah, ayat 5)

Hikmah zikrullah sepanjang musibah

Muhammad Saufi Hassan

MUSIBAH, ujian dan dugaan adalah satu bentuk pelajaran serta hikmah yang diturunkan Allah SWT kepada hamba-Nya semata-mata untuk melihat sejauh mana seseorang itu reda akan setiap ketentuan dan ia juga kaedah iman seseorang itu akan diuji.

Mendepani cabaran penularan virus Covid-19 ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan terutama zikrullah supaya sentiasa meletakkan harapan kepada Allah SWT selepas kita berusaha sebaik mungkin untuk mencegahnya.

Antara amalan boleh dibuat adalah membaca himpunan Wirid Asy-Syadhili yang dinisbahkan kepada Imam Abul Hassan Asy-Syadhili.

Selain itu terdapat tiga lagi hizib atau doa yang boleh diamalkan antaranya Hizib Bahr (disusun oleh Imam Abul Hassan Asy-Syadhili), Hizin An-Nawawi, Ratib Al-Attas dan Ratib Al-Haddad.

Ulama banyak menyusun kitab yang mengajar mengenai amalan tertentu dan penulis ingin menyentuh satu himpunan zikir atau wirid yang disusun Habib Abdullah Bin Alwi Al-Haddad yang juga penyusun kepada wirid mahsyur Ratib Al-Haddad.

Berdasarkan sejarah himpunan wirid ini, Ratib Al-Haddad disusun oleh Habib Abdullah Al-Haddad sendiri bagi menunaikan permintaan salah seorang muridnya dikenali Amir daripada keluarga Bani Sa’ad yang tinggal di Kota Syibam, Hadramaut, Yaman untuk mengadakan satu wirid atau zikir.

Tujuan permintaan ialah kerana bagi mengadakan suatu wirid dan zikir untuk amalan penduduk kampung anak muridnya itu agar mereka dapat mempertahankan dan menyelamatkan diri mereka daripada ajaran sesat yang melanda tatkala itu.

Berdasarkan buku Kota Ahli Bait dan 1,001 Auliya karangan Irfan Nazhan Mohd Nasri menyebut bahawa susunan ratib berkenaan disiapkan pada malam Lailatul Qadar 27 Ramadan 1071 Hijrah bersamaan 26 Mei 1661 dan ia juga pernah dibacakan di Masjid Imam Haddad di Hawi, Tarim sekitar 1072 Hjrah.

Apabila Imam Haddad berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji, ratib ini mula dibacakan di Kota Makkah dan Madinah, bahkan kemahsyuran ratib ini terus berkembang sehingga hari ini.

Himpunan Ratib Al-Haddad ini adalah berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW bertujuan perlindungan diri serta memohon keampunan daripada Allah SWT.

Selain Ratib Al-Haddad, himpunan zikir lain yang popular adalah guru kepada Habib Abdullah Al-Haddad iaitu penyusun Ratib Al-Attas, Habib Omar bin Abdul Rahman Al-Attas atau himpunan zikir Wirid Asy-Syadhiliyah yang dinisbahkan kepada susunan amalan, doa serta wirid daripada Imam Abul Hassan Asy-Syadhili.

Imam Abul Hassan Asy-Syadhili mahsyur dengan Hizib Bahr juga mahsyur dalam kalangan ilmuwan serta pendakwah Islam memandangkan beliau antara tokoh ilmuwan Islam yang penting dalam perkembangan keilmuwan Islam.

Ia adalah sebahagian daripada usaha kita sebagai hamba untuk mengharapkan pengampunan daripada Allah SWT kerana hanya Dia mampu untuk mengangkat sesuatu penyakit atau wabak yang melanda.

Pada masa sama, kita juga perlu sentiasa berusaha daripada aspek syariat dengan melakukan pematuhan undang-undang dan menjaga kebersihan diri sepanjang masa.

Kita tidak boleh berserah 100 peratus kepada takdir umpama golongan Jabariyyah kerana usaha adalah tempat zahir seorang hamba yang tidak mempunyai apa-apa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit melainkan meletakkan untuknya ubat kecuali satu penyakit iaitu tua.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan hadis berkenaan, ia adalah petunjuk paling jelas bahawa kita semua perlu berusaha secara syariatnya dan bertawakal kepada Allah SWT tatkala semua usaha serta langkah pencegahan sudah diambil sebaik mungkin.

Semoga Allah SWT mengurniakan keampunan buat kita semua.

Peminggiran agama halang kebahagiaan manusia

Aspek komersialisasi dalam dunia kontemporari mengheret bidang pendidikan untuk melihat kemenjadian pelajar dari aspek kebolehpasaran kerja. Pelajar dianggap sebagai komoditi untuk peningkatan pendapatan negara.

Bidang pengajian berteraskan sains dan teknologi dianggap bidang kritikal kerana dianggap pemacu utama kepada perkembangan ekonomi negara di peringkat global.

Bidang falsafah, sejarah, tamadun bahkan pengajian agama yang tidak kurang pentingnya dalam pembentukan insan holistik dilihat kurang signifikan kerana tidak menyumbang secara langsung kepada kekayaan material masyarakat dan negara.

Tanpa disedari, kecenderungan itu menyebabkan pendidikan kehilangan makna dan tujuan sebenar.

Nilai sekularisme, materialisme dan individualisme menyelusup masuk seiring arus pemodenan serta globalisasi. Ia merencatkan pencapaian matlamat pendidikan untuk melahirkan insan sejahtera yang dapat menyebarkan kebaikan untuk seluruh masyarakat dunia.

Nilai Barat bukan sahaja mencetuskan permusuhan antara lapisan masyarakat bahkan juga menyebabkan peminggiran dan pengabaian terhadap agama dan Tuhan.

Agama bertujuan mengatur kehidupan dan memelihara kemuliaan manusia didakwa menjadi penghalang kebebasan diri serta kemajuan hidup.

Nilai tunduk dan menyerah kepada kebesaran dan kebijaksanaan Tuhan dianggap sebagai merencatkan potensi akal serta pemikiran manusia.

Akibat penolakan agama dan Tuhan, manusia kehilangan makna diri serta terkeliru terhadap hakikat dirinya.

Manusia tidak memiliki jawapan tuntas mengenai tujuan kewujudannya di dunia hingga menyebabkan timbul gejala kezaliman terhadap golongan lemah dan gejala mudah berputus asa terhadap cabaran serta ujian kehidupan.

Sekalipun wujud penekanan agama dalam masyarakat moden, tujuan beragama itu lebih bersifat utilitarian.

Agama diambil sebagai alat mengawal tingkah laku buruk manusia daripada memberi mudarat kepada masyarakat dan negara.

Pendidikan agama di sekolah dan institusi pengajian diberikan kepada generasi muda dengan tujuan mengekang gejala rasuah atau jenayah membahayakan masyarakat dan merugikan negara.

Walhal, pendidikan agama harus berteraskan pengisian fitrah azali dan pengabdian diri kepada Tuhan menumbuhkan potensi kebaikan dalam diri setiap insan.

Akhirnya nanti, sekalian manusia menjadi penyumbang kepada kesejahteraan sejagat di alam ini.

Namun, hal sedemikian tidak berlaku. Sebaliknya, golongan berkuasa dilihat menindas dan mengekploitasi golongan miskin serta lemah untuk mengukuhkan kedudukan dan kekayaan mereka.

Kemusnahan alam juga berlaku secara berleluasa. Ironinya, perbuatan buruk ini tidak menjadi kesalahan lantaran undang-undang diguna pakai adalah undang-undang ciptaan mereka sendiri.

Dalam masyarakat moden juga, agama berfungsi sebagai antara elemen budaya yang memberi identiti kepada suatu kaum atau bangsa.

Justeru, amalan beragama menjadi milik peribadi dan berperanan sebagai ritual budaya diwariskan generasi terdahulu.

Dalam konteks ini juga, agama kehilangan maknanya sebenar, iaitu sebagai penghubung dan pengabdian diri insan dengan Pencipta.

Hal ini mengarah kepada suatu keadaan beragama, namun tidak merasai keterikatan dan hubungan dengan Tuhan, meskipun amalan disuruh agama dilaksanakan.

Nilai sekularisme berkembang dan tersebar dalam pemikiran masyarakat moden juga menimbulkan fenomena beragama yang berpegang kepada konsep ‘beragama tetapi tidak bertuhan’ atau ‘saya penganut agama yang tidak mempercayai Tuhan.’

Kehilangan makna pendidikan, peminggiran agama dalam hidup dan pemisahan jiwa beragama dengan Tuhan dihuraikan menjadi faktor penghalang kebahagiaan manusia era moden.

Kes bunuh diri, penderaan, pemerdagangan manusia, pengabaian anak dan pembunuhan ahli keluarga menjadi indikator betapa longgarnya hubungan manusia dengan Tuhan.

Sistem kehidupan direncana golongan kapitalis dan sosialis juga mengakibatkan dua ekstrem buruk dalam masyarakat dunia, iaitu kebuluran dan obesiti, kefakiran dan pemborosan serta kemelaratan dan kekuasaan.

Situasi itu menggambarkan sifat insan tandus nilai kemanusiaan dan kasih sayang.

Maka, apakah wajar kita lakukan? Apakah langkah paling awal untuk memperbetulkan seluruh keburukan berlaku hari ini?

Elemen utama perlu dipugar semula ialah kerohanian dalam ilmu dan pendidikan. Pengembalian semula elemen spiritual terbabit membuka pengenalan hakikat kewujudan insan dan potensinya.

Selanjutnya, pengenalan diri insan membawa pengenalan dan pengakuan terhadap wujud dan Kekuasaan Tuhan.

Sekiranya elemen spiritual berterusan terkeluar daripada konsep ilmu dan pendidikan, insan yang berpencapaian dan berkemahiran tinggi tetap dapat dilahirkan tetapi masyarakat manusia tandus nilai bahagia, kasih sayang dan belas ihsan kepada sesama insan.