Usaha mencegah tuntutan Islam

Muhammad Saufi Hassan

ISLAM mengajar mencari penawar dan mencegah. Masyarakat di negara hari ini sedang berdepan dengan penularan virus Covid-19 yang sehingga kini merekodkan jumlah kematian seramai 15 individu manakala jumlah pesakit dirawat mencatatkan jumlah 1,518 individu.

Ia memaksa kerajaan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk semua rakyat di negara ini dan hanya memberi pengecualian kepada segmen kritikal seperti keselamatan, penyiaran dan beberapa segmen lain.

Menerusi perspektif Islam, ia adalah langkah paling tepat kerana Rasulullah SAW juga pernah memerintahkan kuarantin tatkala wabak taun melanda untuk mencegah daripada menular kepada individu lain.

Rasulullah SAW ketika berbicara mengenai wabak penyakit menyarankan agar migrasi dihentikan serta-merta di mana saja dan baginda SAW pernah bersabda dengan maksud: “Jika kamu mendengar taun (wabak penyakit) di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini jelas mengajar kita bahawa Rasulullah SAW juga mengambil pendekatan untuk mencegah penyakit dan tidak berserah 100 peratus kepada Allah SWT kerana usaha manusia itu adalah penzahiran sebagai seorang hamba.

Tindakan Rasulullah SAW juga boleh diklasifikasikan dalam bahasa moden sebagai kuarantin agar penyakit atau wabak ini tidak tersebar secara meluas.

Penulis melihat wujud segelintir masyarakat Islam terutama di laman sosial yang sering menyatakan ‘terserah’ tanpa mengambil usaha pencegahan sedangkan memelihara nyawa itu penting dalam konteks Islam.

Wujud juga golongan yang menyatakan ‘lebih takut kepada Allah SWT’. Sebenarnya golongan ini mungkin menghadapi masalah kecelaruan pemahaman bahawa sebagai seorang hamba, usaha kita adalah mencegah dan berikhtiar untuk mencari jalan penyembuh manakala selepas kita berusaha sehabis baik, selebihnya kita berserah kepada kekuasaan dan keredaan Allah jua.

Islam mengajar umatnya supaya berikhtiar dan berusaha mencari penawar bagi sebarang penyakit atau wabak yang dihadapi tanpa menyerahkan sepenuhnya kepada takdir.

Memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, dalam satu artikel yang disiarkan menerusi akhbar ini, beliau berkata, usaha dan ikhtiar itu juga bukanlah bermaksud takut pada virus lebih daripada Allah SWT.

Beliau menerangkan dalam Islam diajar mengambil hukum sebab tanpa menafikan hukum musabib. Ia bermakna hukum sebab ini dengan buat macam ini ia akan jadi begini dengan pergi tempat macam ini akan jadi macam ini.

“Hukum sebab kena ambil kira tetapi musabib yang pencipta sebab juga perlu diambil kira iaitu Allah tetapi cara dia ialah dengan ikhtiar,” katanya dipetik sebagai berkata dalam satu temu bual.

Nabi Muhammad SAW mengajar supaya berubat dan mencari penawar sesuatu penyakit. Jadi, usaha seperti kuarantin, mengehadkan pergerakan, makan ubat mengikut saranan doktor adalah sebahagian daripada usaha serta ikhtiar sebagai seorang hamba.

Tatkala kita berusaha untuk menghindarkan diri daripada virus, tidak bermaksud kita takut kepada virus melebihi takut kepada Allah SWT, sebaliknya ia lebih kepada maksud harfiah iaitu ingin memelihara diri daripada terkena virus atau sesuatu wabak berkenaan.

Sisi pandangan ini boleh dilihat sama ada daripada aspek hakikat pengucapan, makna harfiah atau sekadar ucapan umum.

Penulis ingin mengingatkan supaya usaha ikhtiar itu adalah penzahiran kita sebagai hamba Allah dan kepada-Nya kita memohon perlindungan.

Penulis ingin berkongsi penerangan daripada Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Nur Mohamad Hadi Zahalan yang menyatakan bahawa setiap apa yang terjadi pasti ada hikmahnya sama ada kita mengetahui ataupun tidak.

Beliau menyatakan, setiap ujian yang Allah SWT berikan kepada kita adalah untuk menilai sejauh manakah pergantungan kita kepada Allah SWT selain mengajarkan untuk bersedia menempuh ujian akhir zaman sebagaimana yang dipesan Rasulullah SAW.

Semoga Allah SWT sentiasa memelihara kita di dunia dan juga di akhirat serta dijauhkan segala penyakit dan sentiasa menjadikan Malaysia yang tercinta dalam keadaan aman dan damai.

Penulis ingin menyarankan supaya kita semua sentiasa mematuhi arahan pemimpin dan pihak berkuasa memandangkan mereka lebih arif dalam menguruskan hal sebegini. Wallahualam

Takut virus atau Tuhan?

Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KERAJAAN sangat serius mengekang penularan wabak Covid-19, tetapi terpaksa berhadapan dengan kelompok yang enggan memberikan kerjasama melakukan ujian saringan wabak berkenaan.

Golongan ini dengan bangganya mempersoalkan takut kepada Allah SWT atau virus apabila didesak supaya mengambil langkah pencegahan.

Tindakan itu secara jelas bertentangan dengan konsep Islam yang menganjurkan umatnya berikhtiar mencari penawar.

Ikuti wawancara Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid bersama wartawan Nor Asyikin Mat Hayin bagi mengupas isu ini.

Ada golongan enggan mendapatkan rawatan moden dan sebaliknya hanya bergantung kepada ayat al-Quran meskipun membabitkan penyakit mengancam nyawa. Pendapat Datuk?

Allah SWT mengurniakan   akal   kepada manusia  untuk berfikir, berusaha dan  bertawakal.

Ia bertepatan  dengan sabda  hadis Rasulullah SAW.  Baginda menyuruh seorang sahabat mengikat kenderaannya (seekor unta) supaya tidak hilang, yang bermaksud: Gunakanlah akal fikiran dan bertawakal (berserah diri) kepada Allah SWT.

Oleh itu, setiap  usaha termasuk  rawatan perlu menggunakan dan mendahulu akal fikiran  sebelum bertawakal kepada Allah SWT.

Berusaha ke arah mencapai sesuatu yang lebih baik.  Contohnya, seorang pesawah menanam padi perlu gigih berusaha bagi mendapatkan hasil lebih baik.

Usaha itu merangkumi kerja menjaga, membaja, meracun serangga dan membersihkan rumput liar yang tumbuh bersama tanaman padi.

Kemudian bertawakal yang disertai doa kepada Allah agar tanaman ini membesar dalam  baik, tanpa serangan serangga dan mengeluarkan hasil berkualiti.

Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud ‘setiap penyakit ada penawarnya’.  Oleh itu, kita perlu berusaha mencari ubat sebelum sesuatu penyakit itu merebak menjadi lebih buruk.

Ubat ini sebagai penyebab untuk menyembuhkan penyakit  dan  wasilah (perantara) sembuhnya segala  penyakit.

Pada masa sama, banyakkan berdoa  kepada Allah SWT  supaya  setiap  penyakit dihidapi  sembuh.

Usaha dan ikhtiar ini  tidak bercanggah dengan hukum syarak.

 

Golongan ini  seperti ‘sengaja’ menyebarkan mudarat kepada orang lain. Apa hukumnya kepada golongan ini?

Perbuatan ini dikira ‘zalim’ sekiranya individu   mengetahui menghidap sesuatu penyakit yang boleh  menjejaskan keselamatan diri atau mungkin merebak dan mengancam keselamatan  individu lain.

Dalam Islam,  Rasulullah SAW ada menyatakan yang maksudnya tiada sebarang mudarat dan tiada perbuatan membalas kemudaratan.

Individu berpenyakit yang  hanya mahu mengambil pendekatan  bertawakkul  semata-mata (menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa usaha),  tanpa bertawakal (menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT, selepas berusaha keras) dianggap zalim terhad dirinya sendiri dan boleh menjadi penyebab menzalimi orang lain.

Menjadi satu kesalahan besar sekiranya individu yang positif dengan virus, tetapi  tidak berterus terang dengan perkara itu (penyakit) kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Tidak diharuskan (haram) memudaratkan diri sendiri kerana Allah SWT berfirman yang maksudnya: Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (al-Baqarah:195).

 

Takut Tuhan atau virus?  Ini soalan kerap dilontarkan pihak tertentu?

Takut kepada Allah SWT kewajipan kepada orang Islam yang perlu dipatuhi.  Khatib setiap kali menyampaikan  khutbah Jumaat menyatakan ‘takutlah kepada Allah SWT’ dan ia satu daripada lima rukun khutbah wajib diucapkan khatib.

Virus  makhluk ciptaan  Allah.  Maknanya semua kejadian  di muka bumi ini sama ada  yang baik dan buruk adalah  ciptaan Allah SWT.

Kita perlu berusaha dan berikhtiar supaya terhindar serta tidak dijangkiti oleh penyakit berbahaya yang berpunca daripada bakteria atau virus.

Pada masa sama waspada supaya tidak dijangkiti  atau menjadi penyebar jangkitan kepada orang lain. Ini konsep tawakal dalam Islam.

 

Semuanya berserah kepada Allah SWT, seolah-olah kita tidak perlu berusaha. Pendapat Datuk?

Kita boleh berserah kepada Allah SWT tetapi  selepas berusaha bersungguh-sungguh (bertawakal).  Ini langkah terakhir berserah kepada Allah SWT.

Contoh mudah,  seorang isteri sarat mengandung masuk  di   wad Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami kesukaran  untuk bersalin.

Doktor melakukan pembedahan sebagai usaha terakhir  demi menyelamatkan nyawa bayi terbabit.

Begitu juga dengan penularan Covid-19  dan mereka yang dijangkiti tidak boleh hanya bertawakkul  semata-mata. Mereka perlu berusaha dengan mendapatkan rawatan.

Saya mengingatkan kepada mereka yang mendapatkan rawatan bahawa  ubat  wasilah  (penyebab atau perantaran)  tetapi yang menyembuhkan penyakit seseorang Allah SWT.

 

Oleh kerana mahu mendapatkan pahala solat berjemaah, jemaah mendirikan solat jemaah dengan jarak saf satu meter ketika wabak Covid-19. Boleh atau tidak?

Solat berjemaah perlu dilakukan dengan saf yang rapat dan lurus iaitu bahu jemaah saling bersentuhan. Situasi ini dibolehkan jika semua jemaah sihat tanpa sebarang penyakit terutamanya Covid-19.

Namun, disebabkan wabak Covid-19, maka tidak menjadi kesalahan saf jemaah berdiri pada jarak 0.25 meter bagi  mengelak jangkitan wabak itu.

Tetapi  jangan pula  disebabkan  jarak berjauhan seperti  itu membuatkan  jemaah menjadi  tidak khusyuk dalam solat.

Hikmah solat jemaah pada jarak rapat ialah membantu kita solat dengan khusyuk yang dibanturasa denyutan panas badan jemaah lain yang berdiri bersebelahan.

Sebaliknya, jika solat berjemaah bersama ahli keluarga yang diyakini sihat dan bebas daripada penyakit berbahaya, maka boleh merapatkan saf itu.

 Adakah timbul sebarang isu berbangkit susulan penutupan sementara masjid?

Di Selangor,  langkah penutupan ini menyebabkan segelintir  masyarakat salah faham dan mengatakan  kerajaan negeri melarang mereka datang ke masjid.

Hakikatnya kerajaan negeri, sebagaimana titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengambil langkah penutupan sementara dengan menangguhkan aktiviti di masjid, surau dan musala.

Ini bertujuan  mencegah kluster jangkitan menjadi lebih teruk.

Namun kita  masih boleh solat berjemaah bersama keluarga di rumah masing-masing.

Dalam isu berkaitan solat di masjid, surau dan musala, imam bertugas bersama bilal dan noja perlu menunaikan solat fardu berjemaah (sekurang-kurangnya dua orang).

Azan tetap dilaungkan sebanyak lima kali sehari dengan tujuan mereka dapat melepaskan tanggungan fardu kifayah oleh ahli  kariah di kawasan masing-masing.

Jika solat berjemaah ini tidak dapat dilakukan, maka seluruh ahli kariah menanggung dosa kerana tidak mendirikan solat lima waktu secara berjemaah di surah, masjid atau musala.

Ibadat Haji disekat, Masjidil Haram ditutup 40 kali

SETELAH dunia dikejutkan dengan wabak coranivirus (COVID-19) yang membimbangkan hingga membawa kepada kes kematian, kerajaan Arab Saudi mengumumkan halangan sementara memasuki Makkah dan Madinah untuk melaksanakan ibadah umrah.

Sudah tentu keputusan itu menarik perhatian umat Islam seluruh dunia. Apatah lagi kurang dua bulan lagi umat Islam akan menyambut kedatangan bulan dinanti-nantikan, iaitu Ramadan.

Pada masa sama, musim haji juga bakal bermula pada Julai ini. Pastinya kebimbangan ini dapat dirasakan sekiranya halangan itu tidak ditarik mahupun diputuskan awal.

Namun, keputusan itu bukanlah disengajakan. Ia langkah segera yang berani dan tepat bagi mengekang risiko penularan COVID-19 di dua kota suci umat Islam itu.

Selain menghalang jemaah seluruh dunia termasuk rakyatnya sendiri daripada melaksanakan umrah, kerajaan Arab Saudi juga menghalang pemberian visa kepada pelawat dari negara berisiko tinggi terkena virus dengan mengeluarkan senarai negara-negara terbabit. Selain Malaysia, turut dihalang ialah pelancong dari China, Itali, Singapura, Kazakhstan, Korea dan Jepun.

Sekalipun sekatan ini sangat memberi kesan kepada semua pihak khususnya syarikat penerbangan, hotel, agensi pelancongan dan ekonomi, ia keputusan berat yang perlu diterima semua pihak dengan hati reda.

Bagaimanapun, tiada apa perlu dirisaukan. Keputusan ini hanya sementara, bahkan kerajaan Arab Saudi hanya meneruskan tradisi yang pernah dilakukan kerajaan Islam sebelum ini yang menjaga dua kota suci yang turut dipanggil al-Haramain itu.

Kalau ditelusuri catatan sejarah Masjidil Haram, hakikatnya sudah 40 kali masjid itu ditutup bermula 865 hingga 1987 akibat pelbagai sebab seperti peperangan, kebakaran dan wabak penyakit, selain proses baik pulih.

Ertinya, halangan ini bukan pertama kali. Maka, tiada alasan untuk kita risau dan panik, sebaliknya ia proses untuk menjaga maslahat ummah.

Apatah lagi sejarah pernah mencatatkan wabak taun yang melanda tanah suci pada 1814 mengorbankan 8,000 jemaah haji. Begitu juga pada 1831, tiga perempat jemaah haji tahun berkenaan terkorban akibat wabak yang dipercayai datang daripada India.

Gambar fail jemaah haji di Mina pada 2019. - Foto ehsan Tabung Haji
Gambar fail jemaah haji di Mina pada 2019. – Foto ehsan Tabung Haji

Sudah tentu peristiwa itu menjadikan penguasa Makkah ketika itu lebih berhati-hati. Kesannya mereka mengambil satu keputusan besar untuk menutup Masjidilharam daripada kehadiran jemaah haji untuk melaksanakan ibadat berkenaan pada 1850, 1865 dan 1883 apabila berlakunya penyebaran wabak penyakit.

Malah pada 1837, sekali lagi wabak penyakit berlaku hingga menyebabkan ibadat haji untuk tiga tahun berikutnya tidak diadakan, iaitu 1838, 1839 dan 1840.

Pada 1864, pernah 1,000 orang penziarah al-Haramain terkorban dalam sehari kerana wabak penyakit yang sangat berbahaya hingga menyebabkan ibadat haji dikecualikan pada tahun berikutnya.

Ini antara peristiwa besar penutupan Masjidil Haram dan pengecualian ibadat haji yang pernah tercatat dalam lipatan sejarah.

Maka keputusan kuarantin diambil pemerintah al-Haramain bukanlah suatu baharu. Bahkan bertepatan dengan ajaran Islam seperti disarankan Nabi Muhammad SAW. Islam melarang umatnya daripada mengunjungi tempat dilanda wabak bagi melindungi daripada terkena kemudaratan itu.

Bagi mereka yang menetap di kawasan dilanda wabak, Islam melarang mereka daripada keluar atau meninggalkan kawasan terbabit bagi mengelak daripada penularan.

Ini berdasarkan hadis mengenai Khalifah Umar al-Khattab RA yang ingin bermusafir ke Syam tetapi dimaklumkan mengenai wabak taun yang sedang merebak di sana.

Lalu Abdul Rahman Auf RA menasihatkan beliau: “Sesungguhnya aku mempunyai ilmu mengenai ini. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sekiranya kamu mendengar sesuatu wabak di tempat tertentu, maka janganlah kamu memasukinya. Dan sekiranya wabak itu melanda suatu tempat, maka jangan pula meninggalkan tempat tersebut.” (HR Bukhari)

Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang menghuraikan hadis itu dalam kitab Fath al-Bari, Muslim tidak boleh mendedahkan diri dalam kemudaratan dan kebinasaan. Ia sebahagian maqasid syariah yang mesti diutamakan, iaitu memelihara jiwa atau nyawa.

Ini selaras dengan perintah Allah SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah: 195)

Malah, pada peringkat global, sudah banyak negara mengambil langkah berjaga-jaga agar memastikan kesihatan rakyatnya terjamin kerana ia keutamaan tidak boleh dikompromi.

Perilaku baik mendepani wabak

Mohd Shahrizal Nasir

RASULULLAH SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud: “Berkelakuanlah kepada manusia dengan perlakuan yang baik.” (Hadis riwayat Ahmad)

Hadis ini dilihat sangat signifikan dalam keadaan sekarang. Setiap orang perlu berakhlak dengan akhlak yang baik antara satu sama lain ketika menghadapi ujian sekarang. Ketika ini seluruh rakyat Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perlu difahami ketetapan yang dibuat kerajaan Malaysia ini bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak. Ia langkah yang perlu diambil bagi memastikan wabak Covid-19 dapat disekat daripada terus menular. Maka tiada pilihan lain untuk menyekat wujudnya kontak rapat antara pesakit yang didapati positif wabak ini dengan orang lain yang sihat melainkan dengan pengawalan pergerakan khususnya melibatkan perkumpulan orang ramai.

Situasi ini sebenarnya memerlukan pemahaman yang jelas tentang sifat kebersamaan dalam menghadapi ujian mendepani penularan wabak Covid-19 di negara ini. Orang yang disahkan menghidap penyakit daripada virus ini atau orang yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit dilarang mendekati orang yang sihat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Orang yang sakit janganlah mendatangi orang yang sihat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ketetapan ini memberi petunjuk jelas tentang perlunya seseorang mengasihi orang lain agar tidak menerima jangkitan wabak Covid-19. Sesungguhnya seseorang Muslim yang memiliki iman yang sempurna akan mengasihi orang lain seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.

Begitu juga dengan orang awam yang sihat, mereka perlu mematuhi perintah yang dikeluarkan pihak berkuasa agar diri mereka tidak terdedah dengan jangkitan wabak Covid-19. Setiap anggota masyarakat tidak boleh berdegil sebaliknya perlu menanam sikap simpati terhadap petugas kesihatan yang sedang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan terbaik membasmi penularan wabak ini.

Jika semua orang memainkan peranan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan kekal berada di rumah, maka pihak polis dan tentera juga tidak perlu mengeluarkan pelbagai arahan atau menguatkuasakan undang-undang demi memastikan setiap arahan dipatuhi.

Selain itu, pada saat negara berdepan dengan ujian ini ada pula sesetengah anggota masyarakat yang dilihat mementingkan diri sendiri. Mereka membeli barang lebih daripada keperluan. Akhirnya orang kemudian tidak dapat membuat pembelian atau terpaksa menunggu stok barangan baharu sampai di kedai. Perbuatan tersebut jelas menunjukkan hilangnya sikap bertimbang-rasa dalam diri.

Islam menggesa setiap umatnya menyebarkan kasih sayang. Orang yang memiliki sifat kasih sayang sesama manusia tidak akan tergamak melihat orang lain berada dalam kesusahan. Malah, orang yang memiliki sifat kasih sayang akan menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Para pengasih dan penyayang dikasihi dan disayang oleh Ar-Rahman (Allah). Rahmatilah yang ada di bumi nescaya kalian akan dirahmati oleh yang berada di langit.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Perbuatan menyebarkan berita kurang tepat apatah lagi palsu adalah perbuatan orang yang tidak mempunyai sifat kasih sayang. Golongan seperti ini suka melihat orang lain berada dalam kegelisahan dan ketakutan. Berita palsu tidak akan tersebar sekiranya setiap orang memahami perbuatan mencipta berita tersebut diharamkan agama.

Begitu juga dengan kemunculan orang yang mengambil kesempatan dalam situasi sekarang. Majlis Keselamatan Negara (MKN) menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan kewujudan pihak yang tidak bertanggungjawab menyamar kononnya hadir ke rumah untuk menjalankan imunisasi Covid-19. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membenarkan pihak yang mencurigakan masuk ke dalam rumah mereka.

Seluruh rakyat disaran agar terus mematuhi ketetapan yang dibuat oleh kerajaan. Dapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa melalui pengumuman yang dibuat pihak kerajaan. Dalam masa sama, setiap orang perlu sama-sama berdoa agar ujian ini segera berakhir dan rakyat Malaysia dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada sesuatu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kelonggaran situasi mudarat

Oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi

SEBAHAGIAN negara Arab mula melaungkan lafaz azan yang sedikit ganjil yang tidak pernah didengari sebahagian besar daripada kita.

Video yang tular di media sosial merekodkan laungan azan dari negara Arab yang ditukar beberapa lafaznya. Pada kebiasaannya, kita biasa mendengar bilal melaungkan ungkapan Hayya ‘Ala Solah (marilah menunaikan solat) dilaungkan. Namun ketika musim wabak ini berlaku, lafaz terbabit ditukar kepada Sollu fi Buyutikum (solatlah di rumah kamu).

Pada hakikatnya, apa yang dilakukan sebahagian masjid
di tanah Arab ini mempunyai sandarannya daripada hadis Nabi. Menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim, sahabat pernah mengalami musim sejuk yang luar biasa. Lalu Saidina Abdullah bin Umar bangun melaungkan azan dan di sini perubahan lafaz berlaku. Abdullah menukar lafaz Hayya ‘Ala Solah kepada lafaz Sollu fi Rihalikum (solatlah di rumah atau kenderaan kamu). Beliau lalu menjelaskan kepada yang lain bahawa Rasulullah pernah memberikan arahan supaya ungkapan terbabit diubah. Ini bagi membolehkan solat di rumah masing-masing dalam situasi yang boleh memberikan mudarat kepada manusia.

Dalam hadis yang lain pula Abdullah bin Abbas memberikan petunjuk sama. Cuma lafaz yang digunakan Abdullah bin Abbas sedikit berbeza dengan ungkapan yang dilaungkan Abdullah bin Umar. Andai sekiranya Abdullah bin Umar melaungkan perkataan Sollu Fi Rihalikum, Abdullah bin Abbas pula menggunakan lafaz Sollu Fi Buyutikum (solatlah di rumah kamu). Seperti biasa, tindakan atau cadangan Abdullah bin Abbas ini dipandang aneh oleh sebahagian manusia pada zamannya. Malah, ada yang mempersoalkan perkara ini. Mereka berasa hairan bagaimana lafaz azan ini boleh diubah-ubah? Bagi menjernihkan kekeliruan, Abdullah menjelaskan kepada mereka.

Kata beliau: “Sesungguhnya perkara ini dilakukan oleh seorang yang lebih baik dari diriku (iaitu Rasulullah).”

Jelas di sini bahawa perubahan lafaz azan ketika berlaku sesuatu yang dibimbangi boleh mendatangkan mudarat kepada manusia adalah sesuatu yang pernah dilakukan Rasulullah.

Pergerakan ke masjid dikawal

Bukan sahaja azan, malah beberapa urusan ibadah umat Islam lain turut diberi kelonggaran sekiranya berlaku perkara yang boleh membinasakan umat manusia. Perhimpunan manusia di masjid juga dikawal bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin. Solat Jumaat sebagai contohnya adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah pernah menegaskan bahawa: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ditunaikan oleh umat manusia. Hanya empat golongan yang dikecualikan dari kewajipan ini iaitu golongan hamba, wanita, kanak-kanak dan mereka yang sakit.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Namun, dalam situasi yang mendatangkan kemudaratan kepada manusia, Islam memberikan kelonggaran. Ini kerana memelihara nyawa itu adalah perkara yang sangat utama. Dalam perihal solat Jumaat, al-Imam Ibn Qudamah menegaskan bahawa mereka yang bimbang akan keselamatan diri mereka diberikan keuzuran untuk tidak hadir masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Pandangan sama diungkapkan al-Imam al-Mawardi yang menyebutkan bahawa: “Dan di antara perkara yang layak untuk mendapat keuzuran daripada menunaikan solat Jumaat adalah seseorang yang takut akan kemudaratan yang menimpa kehidupannya atau kemudaratan kepada harta yang dijaganya.”

Langkah kawalan dari ke masjid

Perhatikan bagaimana prihatinnya Rasulullah dalam mengawal penularan wabak sehingga Muslim dinasihatkan supaya menunaikan solat di rumah sahaja. Malah, lebih drastik lagi, lafaz azan turut dikemas kini sesuai dengan situasi semasa yang melanda umat Islam. Solat Jumaat yang berstatus wajib juga diberikan kelonggaran dalam situasi tertentu. Langkah kawalan untuk ke masjid ini membuktikan bahawa Islam adalah agama yang sangat praktikal.

Bagi mengawal penyebaran penyakit berjangkit juga, Rasulullah turut pernah menasihati sahabat supaya jangan memasuki kawasan yang dilanda wabak. Mereka yang berada dalam kawasan penularan terbabit dinasihatkan supaya jangan meninggalkan wilayah terbabit. Hal ini bagi memastikan penularan wabak terbabit boleh dikawal. Dalam hadis lain pula, Rasulullah turut menasihatkan supaya binatang ternakan juga dikawal dengan baik. Jangan dicampurkan binatang yang terkena penyakit dengan haiwan yang masih sihat. Sabda Rasulullah: “Janganlah kamu mencampur-adukkan binatang yang sedang menderita ditimpa penyakit dengan haiwan yang masih sihat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Fardu ain, cegah COVID-19

RAMAI tidak memahami cubaan dan teguran Allah SWT datang dalam pelbagai keadaan, sekali gus dakwaan bahawa pandemik COVID-19 sebagai semata-mata bala adalah salah sama sekali.

Malah, tanggapan sedemikian dikhuatiri boleh mendorong seseorang menolak qada dan qadar Allah SWT, bahkan lebih berbahaya sekiranya ada bersangka buruk terhadap sesuatu ujian, dugaan dan musibah yang sedang dilalui ketika ini.

Sebaliknya, fasa kritikal gelombang kedua COVID-19 sepatutnya dianggap ruang yang menguji keteguhan akidah dan pada masa terbaik untuk sama-sama bermuhasabah diri.

Pada waktu ini, selain bertawakal, Islam menyuruh setiap Muslim berusaha mengawal jangkitan daripada terus merebak.

Justeru, tindakan kerajaan membendung COVID-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula Rabu lalu hingga 31 Mac ini, bertepatan dengan ajaran agama.

Hal itu bersandarkan hadis mengenai Sayidatina Aishah RA yang bertanya mengenai wabak taun. Rasulullah SAW bersabda: Ia azab Allah SWT yang diutuskan kepada sesiapa dikehendaki dan Allah SWT menjadikannya rahmat kepada orang yang beriman. (HR Bukhari)

Setiausaha Agung Pertubuhan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI), Syed Shahridzan Syed Mohamed, berkata berasaskan hadis itu, Rasulullah SAW menghuraikan wabak berbahaya itu datang dengan dua kemungkinan.

“Ia boleh jadi azab daripada Allah SWT atau rahmat-Nya. Namun, kita perlu meyakini tidak kira apa tujuan Tuhan menurunkan wabak kepada kita, kita tetap perlu meningkatkan muhasabah diri atas dosa dilakukan dengan memperbanyakkan ibadat,” katanya.

Syed Shahridzan berkata, pada masa masyarakat khususnya umat Islam dilarang menyebabkan kerosakan kepada manusia lain dan ia tertakluk kepada situasi semasa memandangkan COVID-19 begitu cepat menular.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.” (Al-Nisa: 29)

“Ayat ini menerangkan seseorang yang terjebak dengan penyakit berjangkit berbahaya dan tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengelakkan penyakitnya daripada menjangkiti orang lain, dia seolah-olah membahayakan nyawa orang lain kerana kesannya boleh menyebabkan kematian.

“Tidak dinafikan kita perlu meletakkan keyakinan pada Allah SWT sepenuhnya bahawa Dia yang mendatangkan penyakit dan hanya Allah yang berkuasa untuk menyembuhkan segala wabak pada hamba-Nya,” katanya.

Beliau berkata, Rasulullah SAW menekankan konsep tawakal yang sebenar, iaitu bukan hanya berserah kepada Allah SWT tanpa berusaha mengelakkan diri daripada risiko.

Sabda Rasulullah SAW: Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Apabila berlaku dalam negeri yang kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.” (HR Bukhari dan Muslim)

Menurut Syed Shahridzan, Islam diturunkan untuk memenuhi maqasid syariah antaranya menjaga nyawa daripada kerosakan dan kebinasaan.

“Islam mengharamkan seseorang memudaratkan diri sendiri dan orang lain kerana ia amat bertentangan dengan maqasid syariah.

“Maka tidak keterlaluan jika dinyatakan hukum mencegah daripada wabak penyakit berjangkit lagi berbahaya adalah fardu ain dan bukan lagi fardu kifayah yang hanya membabitkan pihak tertentu sahaja.

“Malah setiap individu yang mengaku beriman wajib memainkan peranan untuk menyelamatkan keadaan, lebih-lebih lagi meningkatkan amalan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Selain itu, Syed Shahridzan berkata, penjagaan kebersihan dan kesihatan diri dan seluruh keluarga amat dititikberatkan supaya ia berada tahap tertinggi,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk melakukan saringan kesihatan, sekiranya terdapat simptom COVID-19. Selain itu, umat Islam perlu mematuhi arahan kuarantin di rumah masing-masing supaya tidak menjangkiti orang lain.

“Atas tanggungjawab ini, setiap Muslim wajib mentaati segala perintah pihak berkuasa yang bertujuan membendung wabak berjangkit.

“Ketaatan ini juga termasuk larangan menghadiri solat berjemaah di masjid atau surau, majlis yang membabitkan kumpulan atau himpunan individu.

“Ia adalah tuntutan wajib dipenuhi oleh setiap Muslim lebih-lebih pada saat agak getir ini,” katanya.

Firman Allah SWT yang menghuraikan kepentingan mentaati pemerintah: “Wahai orang beriman! Taatilah Alllah dan taatilah Rasul dan ulil amri (pemerintah) dalam kalangan kamu.” (Al-Nisa’: 51)

Justeru, dalam menghadapi COVID-19 ini, ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk menggembleng tenaga demi kestabilan negara dan kesihatan masyarakat.

“Dalam keadaan sekarang, tidak perlu menuding jadi menyalahkan sesiapa dan menyalahkan mana-mana pihak kerana ia tidak akan membawa sebarang kebaikan malah menambahkan lagi keburukan,” katanya.

Memadai dengan meneruskan usaha yang tidak putus-putus untuk melindungi keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti wabak, selain terus istiqamah dan berdoa supaya dikurniakan kesembuhan dan memastikan keadaan di seluruh dunia pulih sepenuhnya selepas ujian yang hebat ini.

Firman Allah SWT: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan ketakwaan dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan pelanggaran serta bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya amat berat azab-Nya.” (Al-Maidah: 5)

Besi belit tubuh penghuni neraka

Oleh Fairuz Noordin

 

MANUSIA sentiasa berharap supaya tidak tergolong dalam kalangan mereka yang dihumban ke neraka pada Hari Kiamat dan berdoa penuh harapan supaya dilindungi daripada kemurkaan Allah SWT.

Dahsyatnya neraka digambarkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka sambil diseret ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka.” (Surah Ghafir, ayat 71-72)

Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Amr bin al-Asr, Rasulullah SAW bersabda: “Jika benda seperti ini (sambil menunjukkan di bahagian belakang kepala Baginda) dilepas dari langit ke bumi, maka tempoh jarak masa perjalanannya adalah 500 tahun lamanya, akan sampai ke bumi sebelum malam. Sedangkan jika dilepaskan daripada atas rantai maka memakan masa selama 40 tahun siang dan malam untuk sampai ke dasar atau jurang-jurang neraka Allah.”

Menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkongsi gambaran mengenai neraka serta manusia yang sedang diazab di dalamnya yang teringat akan awan ketika mereka hidup di dunia dahulu.

Awan itu menyebut kepada ahli neraka: “Wahai penduduk neraka, apa yang kamu inginkan ketika ini? Lalu mereka menjawab: Kami inginkan air yang sejuk.” Kemudian diturunkan hujan yang mengikat mereka dengan rantai yang menambahkan beban.

Muhammad bin al-Munkadir menyebut, jika semua besi di dunia ini dikumpulkan, maka tidak dapat menyamai satu lingkaran yang mengikat tubuh badan ahli neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Selain daripada itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)!” (Surah al-Haaqqah, ayat 39)

Percikan api neraka

Ibnu Wahab meriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Zaid, katanya, pada Hari Kiamat neraka Jahanam diperlihatkan percikan bunga api seperti bintang. Lalu mereka berpaling dan melarikan diri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; pada hal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab Allah dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.” (Surah al-Ghaafir, ayat 33)

Menurut ulama, sebelum memasuki neraka berlakunya gegaran yang menakutkan ahli neraka menyebabkan mereka lari. Lalu mata mereka dicungkil dan masuk ke neraka dalam keadaan buta. Tangan dibelenggu, kaki dan leher juga diikat, lalu diheret untuk dihumban ke neraka.

Rasulullah SAW menyebut, jarak antara kedua-dua bahu penjaga neraka itu seperti jarak di antara Timur dan Barat. Ibnu Zaid pula menyebut, mereka mempunyai pemukul besi untuk memukul penghuni neraka.

Jika diperintahkan kepada penjaga neraka untuk memukul, maka dia akan memukul, demikianlah ribuan malaikat yang tidak meletakkan tangan mereka pada sesuatu apapun kecuali tulang mereka remuk dan hancur lebur.

Sambil ditarik ke neraka, mereka merayu supaya diselamatkan, hanya wajah mereka yang terselamat dan dalam keadaan buta.

Ibnu Zaid membaca: “Maka apakah lagi yang boleh melindungi wajah kamu daripada menghindari azab pada Hari Kiamat nanti? Sama dengan orang Mukmin yang tidak diazab. Sebutlah kepada orang yang hidup dan melakukan kezaliman. Rasalah apa yang telah kamu lakukan di atas dunia dahulu.”

Ketika dihumban ke dalam neraka, sewaktu hampir ke dasarnya, mereka dikejar dengan nyalaan api menjadikan mereka berasa ingin segera sampai ke bawah. Hampir-hampir keluar sahaja, mereka disambut malaikat dengan pemukul besi sehingga hancur lebur dan ia berlaku berulang-kali.

Neraka kediaman orang fasik

Ibnu Zaid membaca lagi: “Dan ada orang yang fasik atau kafir tempat kediaman mereka ialah di dalam neraka. Setiap kali mereka merangkak untuk keluar dari neraka, malaikat menolak kembali ke dalamnya sambil menyebut: Rasailah kamu sekarang, yang di atas dunia dahulu, bukan main lagi kamu mendustai dan tidak percaya kepada ayat Allah SWT!”

Kuatnya bakaran api neraka melonjakkan manusia ke atas sehingga terlihat mereka ahli syurga, sedangkan wujudnya hijab di antara mereka.

Ahli syurga itu memanggil ahli neraka: “Lihatlah kami ini. Kami ini sudah mendapat apa yang telah dijanjikan Allah SWT kepada kami. Bagaimana dengan kamu? Adakah kamu yakin sekarang apa yang dijanjikan oleh Allah dahulu?

Ahli neraka menjawab, “Ya, kami sudah mendapatnya.” Lalu malaikat mengumumkan di antara kedua golongan itu: “Laknat Allah yang disediakan bagi mereka yang melakukan kezaliman di atas dunia dahulu.”

Golongan Al-a’raaf paling miskin di syurga

PERJALANAN hidup manusia tidak dinilai dengan ukuran dunia, tetapi kejayaan bagi Mukmin ialah apabila dipesongkan dari neraka serta melalui perjalanan lancar untuk menuju syurga seperti dijelaskan dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Kehidupan manusia juga akan melalui fasa di alam barzakh, seterusnya dibangkitkan semula di Padang Mahsyar di dalam keadaan kosong serta tidak mengetahui bagaimana berakhirnya nasib setiap manusia.

Manusia akan dihisab oleh Allah SWT segala amalan ketika di dunia dan kemudian dimizankan, amalan baik diletakkan di sebelah kanan, manakala amalan buruk berada di sebelah kiri. Timbangan berat di sebelah kanan membawa manusia ke syurga, jika sebaliknya maka ke nerakalah dia.

Timbangan amal seimbang

Apabila ditimbang di antara kanan dan kiri, kedua-duanya seimbang maka keadaan ini dikenali sebagai al-a’raaf.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara keduanya (syurga dan neraka) ada tembok ‘al-A’raaf’ (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok al-A’raaf itu ada sebilangan orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli syurga dan neraka) itu, dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli syurga (dengan memberi salam, katanya): Salaamun Alaikum (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk syurga, pada hal mereka ingin sangat memasukinya. Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang yang zalim.” (Surah al-A’raf, ayat 46-47)

Menurut Imam al-Qurtubi, al-a’raaf dari segi bahasa ialah tempat mulia atau ditinggikan dan dapat melihat orang melalui titian sirat untuk memasuki syurga atau neraka.

Perkongsian melalui slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menceritakan Rasulullah SAW menyebut, “Pada suatu hari akan dikumpulkan manusia pada Hari Kiamat dan akan diperintah penghuni syurga untuk masuk ke dalam syurga, manakala penghuni neraka masuk ke dalam neraka. Kemudian penghuni al-a’raaf akan dipanggil Allah lalu ditanya kepada mereka: Apakah yang kamu lihat? Dijawab: Kami melihat apa yang Kamu sebut, benar-benar terjadi ya Allah. Lalu dikatakan kepada mereka: Sesungguhnya kebaikan kalian melampaui batas untuk dimasukkan ke dalam neraka. Tetapi untuk memasuki syurga, ada kesalahan yang kalian lakukan. Oleh itu, masuklah kalian ke dalam syurga dengan pengampunan dan kasih sayang Allah SWT.”

Di dalam kitab K’ab al-Ahbar, diceritakan ada dua lelaki yang bersahabat ketika di dunia. Salah seorangnya berjalan menemui sahabatnya yang sedang menuju ke neraka. Lalu dia berkata kepada sahabatnya itu, “Demi Allah, tidak ada yang tinggal padaku kecuali satu kebaikan yang boleh menyelamatkanku. Ambillah wahai saudaraku, mungkin kamu akan selamat dan kita menjadi penduduk al-a’raaf. Kemudian Allah memerintahkan kedua-duanya dimasukkan ke dalam syurga.

Pendapat ulama menyatakan, ini adalah di antara orang yang digambarkan dengan ahli syurga yang paling miskin sekali di akhirat nanti ialah al-a’raaf.

Abu Hamid menceritakan dalam kitabnya Kasyhful Ulum al-Akhirah, seorang lelaki dibawa pada Hari Kiamat, namun tiada satu pun kebaikan memberatkan timbangannya yang sama berat di antara amal baik dan amal buruknya.

Allah SWT memerintahkannya mencari satu lagi kebaikan supaya melayakkannya memasuki syurga. Lalu lelaki ini mula mencari ke seluruh alam mereka yang akan memberikan amalan baik mereka kepadanya.

Setiap orang yang ditemui menyatakan kebimbangan mereka amalan kebaikan akan berkurangan, sedang mereka lebih memerlukannya berbanding lelaki itu. Lama-kelamaan lelaki itu mula berputus asa, lalu datang seorang lelaki lain bertanya apakah yang dicarinya.

Amal kebaikan bawa ke syurga

Dijawab bahawa dia sedang mencari satu sahaja lagi amal kebaikan bagi membolehkannya memasuki syurga Allah SWT. Lelaki itu pula berkata kepadanya bahawa dia telah bertemu dengan Allah SWT dan mempunyai hanya satu amalan baik dan tidak membawa manfaat kepadanya kerana dia akan dihumban ke dalam neraka.

Lalu dia memberikan amal baiknya kepada lelaki yang memerlukan satu lagi amal kebaikan untuk memasuki syurga itu. Kemudian dia dipanggil dan disoal Allah SWT kenapa amal baiknya diberikan kepada lelaki itu dan Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi kemuliaan-Ku, lebih luas daripada kemuliaan kamu, ambillah tangan saudaramu yang telah kamu berikan amal baikmu kepadanya tadi, dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga.”

Demikian juga orang yang timbangan amalnya sama berat. Allah SWT berfirman kepadanya yang bermaksud: “Kamu bukan penghuni syurga dan bukan penghuni neraka. Lalu pemilik lembaran itu meletakkan kitab mizannya, dan keluar kalimah derhaka (Cis!) yang pernah disebutkan kepada ibu bapanya, yang dosanya seberat gunung. Kerana dosanya itu maka dia dihumbankan ke neraka. Setelah dibawa ke neraka, lelaki itu meminta dibawa semula untuk menemui Allah SWT.

Dia menyatakan ketika berada di sana, dilihat ayahnya juga menjadi ahli neraka dan meminta Allah SWT menambah seksaan kepadanya dan menyelamatkan bapanya dengan pahalanya sebelum ini.

Abu Hamid menyebut di dalam kitabnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di dunia kamu menderhakainya, tetapi di akhirat kamu berbuat baik kepadanya. Ambillah tangan bapamu dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga.”

Riwayat Huzaifah mengisahkan, penjaga al-mizan pada Hari Kiamat adalah Malaikat Jibril dan penduduk al-a’raaf adalah mereka yang paling rendah darjatnya di sisi Allah SWT.

Ciri insan layak ke syurga, elak neraka

Oleh Fairuz Noordin

 

SALAH satu cara Allah SWT menunjukkan rasa kasih kepada hamba-Nya ialah dengan mengurniakan Ramadan. Kini kita berada dalam Rejab dan dua bulan lagi bakal bertemu Ramadan dengan izin Allah SWT.

Antara doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW sejak

permulaan Rejab: “Ya Allah,

berkatilah aku dengan Rejab,

berkatilah aku dengan Syaaban, ya Allah panjangkanlah usiaku supaya aku sempat memasuki

Ramadan.”

Ramadan memberi ruang dan kesempatan kepada manusia untuk menjadi penghuni syurga dengan melakukan persediaan awal menghadapinya. Ulama menyebut, antara sifat penghuni syurga ialah ketika hidupnya di dunia sering memuji Allah SWT.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di radio IKIMfm mengingatkan supaya mengelakkan diri daripada memuji makhluk kerana ia tidak wajar dilakukan manusia kerana perkara pertama dilakukan manusia ketika melangkah masuk ke syurga ialah menyebut: “Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan jalan hidup kepada diri kita.”

Namun, mengucapkan kalimah syukur amat sukar dan terlalu sedikit dalam kalangan manusia yang memuji Allah SWT. Itulah juga sebab manusia diazab dengan himpitan kubur pada saat mulanya jenazah diturunkan ke liang lahad.

Tidak terbilang nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada manusia oleh itu, sentiasalah memanjatkan rasa syukur. Ciri orang Mukmin yang sentiasa bersyukur ialah bersabar apabila dilanda musibah dan bersyukur di atas setiap pemberian.

Selain itu, manusia sentiasa bersabar melayakkan mereka masuk syurga. Sesungguhnya Allah SWT berserta dengan orang yang sabar. Memupuk sifat sabar dalam diri bukanlah sesuatu yang mudah tetapi mengambil masa panjang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ganjaran yang Allah sediakan bagi orang yang sabar itu, ganjaran yang tidak terhitung banyaknya.” (Surah al-Zumar, ayat 10)

Bagaimanapun, tidak ramai yang mampu bersabar sedangkan Allah SWT memberi ujian mengikut kemampuan manusia itu. Allah SWT tidak akan masukkan seseorang ke dalam syurga sehingga mengetahui dia benar-benar berjuang di jalan-Nya dan bersabar menghadapi ujian di dunia ini.

Berjihad ke jalan Allah SWT

Golongan ketiga yang layak menghuni syurga ialah mereka yang berjihad mengorbankan nyawa mentaati perintah Allah SWT. Cabaran luaran dan dalaman perlu dihadapi dengan kekuatan diri walaupun dilanda pelbagai ujian.

Manusia yang memiliki sifat jihad mampu mengatasi kesukaran ketika bangun bertahajud di tengah malam, kekuatan jihad juga mendorong dirinya mendengar sidang ilmu yang mengajak kepada kebaikan.

Selemah-lemah jihad bagi setiap individu ialah menanam niat membawa agama Allah SWT sehingga menemui syahid di jalan-Nya. Malah jihad yang paling utama ialah jihad untuk diri melakukan perintah Allah SWT.

Orang yang berinfaq ke jalan Allah SWT melayakkan dirinya menjadi penghuni syurga. Setiap harta dikurniakan adalah untuk digunakan di jalan Allah SWT, bukan hanya kegunaan diri dan keluarga sahaja.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq adalah contoh terbaik kerana menginfaqkan keseluruhan hartanya untuk agama, begitu juga Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang amat disayangi Rasulullah SAW. Jangan sesekali menggunakan harta untuk dunia tanpa menyediakan bekalan menuju akhirat.

Urus niaga yang mampu menyelamatkan manusia daripada neraka ialah beriman kepada Allah SWT dan Rasul, berjuang ke jalan-Nya dengan harta benda dimiliki, seterusnya mampu mengorbankan jiwa raga hanya kerana Allah SWT.

Selain itu, manusia yang layak memasuki syurga ialah yang mampu mengawal kemarahannya dan suka memaafkan orang lain. Malah, Rasulullah SAW sentiasa berpesan supaya tidak cepat marah kerana ia mampu menjunamkan manusia ke neraka.

Berdendam penyakit hati

Elakkan berdendam kerana ia penyakit dalam diri manusia, oleh itu, maafkanlah kerana Allah SWT mencipta perjalanan hidup manusia untuk terus mara ke hadapan dan sewajarnya melupakan perkara telah berlalu tanpa dipengaruhi sifat dendam.

Tidak akan masuk syurga bagi mereka yang tidak memaafkan orang lain kerana ia akan memutuskan silaturahim.

Orang yang selalu berbuat ihsan, iaitu orang yang suka melakukan kebaikan adalah antara ciri penghuni syurga. Golongan itu tidak melepaskan peluang berbuat baik walaupun hanya diminta memberi pandangan terhadap sesuatu perkara, khidmat nasihat atau menerima kehadiran tetamu.

Ciri lain mereka yang layak menghuni syurga ialah ulama yang mengamalkan segala ilmu diperolehnya. Mereka adalah tempat bergantung bagi umat manusia setelah ketiadaan nabi dan rasul.

Ulama bertanggungjawab memperbetulkan jalan kehidupan manusia supaya sentiasa taat di jalan Allah SWT dan tidak memperkecilkan manusia lain. Malah, syarat melayakkan diri untuk masuk syurga Allah SWT ialah menjadi pemimpin yang adil mengikut al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Pemimpin yang baik tidak pernah takut dengan celaan manusia tetapi hanya takut kepada Allah SWT kerana hanya Dia yang mampu memberi kekuatan kepada manusia.

Manusia yang sering mengajak melakukan kebaikan dan

mencegah daripada kemungkaran layak menghuni syurga.

Mencegah kemungkaran perlu

dilaksanakan sekalipun hanya mampu sekadar melakukannya

di dalam hati.

Tidak ketinggalan, manusia yang zuhud dan warak akan turut terpilih menjadi ahli syurga. Mereka bersyukur dengan kurniaan Allah SWT dan menggunakan seluruh pemberian itu untuk mentaati perintah-Nya.

Nikmat sungai al-Kautsar untuk penghuni syurga

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Sesungguhnya amat bertuah bagi seseorang Muslim kerana memiliki anugerah teragung daripada Allah SWT iaitu ayat suci al-Quran yang begitu besar rahmatnya. Setiap satu ayat Allah SWT terungkap makna yang jika dihayati setiap Muslim pasti akan menambahkan ketakwaan terhadap Allah SWT.

Melalui rancangan Tarbiah di IKIMfm yang bersiar setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir menyatakan kelebihan surah al-Kautsar sebagai satu anugerah teragung kepada Muslim kerana melalui surah pendek itu terungkap pengajaran dan ibrah yang amat besar.

Surah al-Kautsar adalah surah ke-108 dalam al-Quran yang bermaksud kebaikan atau membawa nikmat yang banyak. Surah itu mengandungi tiga ayat sahaja dan diturunkan di Makkah, membawa pengertian mengenai sungai di syurga.

Menurut ulama tafsir, sungai di syurga bererti sebuah kolam sungai diperbuat daripada batu permata yang begitu indah dan cantik. Rasanya pula lebih manis daripada madu, warnanya lebih putih daripada susu dan baunya lebih wangi daripada kasturi.

Surah penghibur Nabi Muhammad

Dinamakan al-Kautsar kerana Allah SWT telah mengurniakan kepada Nabi Muhammad SAW kebaikan yang banyak di dunia dan akhirat. Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad SAW yang bersedih atas kematian dua orang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudara, Abu Talib.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Nabi Muhamad SAW bersabda: “Al-Kautsar adalah sebuah sungai sebelum menjelang ke syurga. Allah telah menurunkannya kepadaku. Allah menjanjikan di syurga nanti ada sungai itu untuk aku. Kemudian Anas bertanya: Adakah sungai itu Nabi Muhamad SAW sahaja? Lalu Baginda menjawab: Sebenarnya al-kautsar itu untuk umatnya juga.”

Menurut Nazrul, surah al-Kautsar juga memperjelaskan mengenai Nabi Muhammad SAW yang diberi kebaikan tertinggi oleh Allah SWT iaitu mendapat anugerah teragung kehebatan sungai al-Kautsar di dalam syurga.

Tidak ada yang lebih nikmat bagi seorang Muslim melainkan untuk menjadi penghuni syurga Allah SWT dan mendapat kenikmatan yang banyak seperti dinukilkan melalui surah al-Kautsar. Kenikmatan tertinggi hanya diperoleh penghuni syurga yang dipilih Allah SWT untuk merasai kenikmatannya.

Pengajaran lain yang terkandung dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW dan umat Baginda supaya sentiasa mengerjakan solat dengan ikhlas serta menyembelih binatang korban sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.

Solat adalah amalan pertama dihisab Allah SWT yang akan menentukan tempat kita sama ada di syurga atau neraka. Seperti hadis Rasulullah SAW: “Permulaan amalan yang diperiksa ke atas seseorang hamba pada Hari Kiamat ialah solatnya, jika betul solatnya maka sesungguhnya ia mendapat kemenangan. Jika tidak, maka rugi dan sia-sialah usahanya.” (Hadis al- Tabrani daripada Anas)

Dalam surah ini, Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW dan umatnya menunaikan solat yang wajib mahupun sunat dengan penuh keikhlasan hanya kerana Allah SWT. Setiap ketaatan terhadap perintah Allah SWT dilakukan untuk mendapat keredaan-Nya tanpa mensyirikkan Allah SWT dengan yang lain.

Sementara itu, anjuran untuk kita melakukan ibadah korban menandakan kepatuhan hamba terhadap seruan Allah SWT, dan pada masa sama, untuk menterjemahkan rasa kesyukuran manusia terhadap anugerah nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya.

Manusia dianjurkan melakukan ibadah bersedekah kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan supaya nikmat yang Allah SWT berikan dapat dikongsi selain mendidik hati manusia tidak kufur atau kikir dengan kurniaan Allah SWT.

Ikhlas lakukan amal ibadah tanda syukur nikmat

Sayid Qutub berkata, “Setelah menerangkan nikmat yang melimpah ruah yang bertentangan dengan kempen orang kafir, Allah SWT memerintah Rasul-Nya supaya mensyukuri nikmat dengan kewajipannya yang pertama iaitu ikhlas dan tetapkan dalam hati amal ibadah kepada Allah SWT, mengerjakan solat dan menyembelih binatang korban dengan penuh keikhlasan tanpa menghiraukan kesyirikan kaum Musyrikin.”

Antara inti pati lain yang terkandung dalam surah al-Kautsar adalah berkaitan perkhabaran berita gembira kepada Nabi Muhammad SAW dengan kemenangan ke atas musuh dan kerugian serta kehinaan menimpa mereka lantaran tercantas daripada setiap kebaikan di dunia dan akhirat.

Mereka yang membenci dan menolak syariat dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW seolah-olah menderhaka perintah Allah SWT. Setiap ajaran Baginda adalah perintah daripada Allah SWT, maka mereka adalah orang yang jauh daripada mendapat keredaan Allah SWT.

Nilai setiap sesuatu perkara dilakukan oleh seorang Muslim adalah mengikut ukuran Allah SWT, bukan ukuran manusia. Sebab itulah setiap amalan yang kita lakukan perlu ikhlas kerana Allah SWT. Setiap perbuatan hendaklah berpandukan kepada al-Quran dan hadis supaya tidak terpesong daripada ajaran agama yang sebenar.