• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,259,319 orang
  • Kandungan Blog

Ijtimak Pondok Malaysia 7 Mac 2020 ini di Pondok Pasir Tumboh

Jangan abai akidah untuk dunia

Oleh Shafiq Salleh

 

Hukum halal haram bertujuan menjaga kehormatan agama, memelihara maruah diri dan menyediakan peradaban yang tinggi nilainya. Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan halal haram tanda cinta Allah kepada manusia.

Islam terbit daripada dua perkataan iaitu ‘aslama’ yang bermaksud menyerah diri dan ‘salam’. Manusia beragama Islam akan terus taat pada perintah Allah SWT dan menyerahkan diri kepada-Nya, sesuai dengan maksud Islam itu agama selamat untuk setiap individu Muslim.

Kalimah syahadah yang diucapkan menyaksikan bahawa pendirian umat Islam itu teguh dan patuh pada ALLAH SWT mengikut syariat Islam.

Ustaz Rushdi Ramli Al-Jauhary menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan tajuk ‘Halal haram tanda cinta Allah pada manusia’ berkata, Islam agama yang membimbing kepada cara hidup betul (way of life) dari setiap aspek kehidupan. Malah ia memberi mesej pengisian meliputi hukum, patuh, taat dan tunduk.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Ma’idah, ayat 3)

Istilah halal merujuk kepada perkataan ‘halla’ bermaksud merungkai dan melepaskan. Kalimah haram merujuk perkataan (mamnu’) yang membawa maksud hormat. Hukum halal dan haram dalam Islam bertujuan menjaga kehormatan agama, memelihara maruah diri dan menyediakan sebuah peradaban yang tinggi nilainya.

Agama Islam mempunyai sistem dan rukun tertentu berpandukan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Oleh itu, Islam agama lengkap dan menyeluruh serta sesuai untuk kehidupan manusia tidak mengira bangsa mahupun keturunan walau di tempat berbeza.

Menjaga nasab, keturunan

Hukum halal dan haram turut mempengaruhi penjagaan harta benda. Contohnya, Allah SWT menjaga kehormatan manusia melalui harta benda mereka dengan mengharamkan amalan riba dalam sistem jual beli supaya harta tidak mudah diambil oleh orang lain tanpa mengikut syarat tertentu.

Selain itu, kepentingan halal dan haram juga untuk menjaga nasab dan keturunan supaya manusia tidak terjebak perlakuan zina yang menjerumuskan kepada kehinaan dan mengundang balasan dosa daripada Allah SWT. Apabila kaedah halal dan haram diutamakan, maka akal manusia turut terpelihara daripada perkara merosakkan kewarasan fikiran seperti minuman keras.

Umat Islam tidak perlu risau dan terbeban dengan istilah haram kerana Allah SWT mengetahui apa yang terbaik untuk umat-Nya.

Firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang memberi rahmat kepada kamu – dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) – untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah rahmat-Nya kepada orang yang beriman (di dunia dan akhirat).” (Surah al-Ahzab, ayat 43)

Oleh itu, perkara buruk yang berlaku kepada manusia seperti fitnah, mengumpat dan menjatuhkan maruah sesama Muslim amat ditegah dalam agama Islam untuk menjaga kehormatan sesama insan.

Kasih sayang Allah SWT kepada umatnya amat jelas dan nyata tanpa mengira harta, pangkat atau darjat. Justeru, umat Islam perlu terus istiqamah bertakwa kepada Allah SWT dengan sesungguhnya serta sentiasa bermuhasabah diri.

Tidak gadai akidah kerana habuan dunia

Mukmin yang diberikan kefahaman agama tidak akan sanggup menggadaikan akidah semata-mata untuk mendapat habuan dunia, tidak akan mencintai dunia hingga melupakan kehidupan di hari akhirat. Mereka sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Allah SWT mengingatkan umat Islam dalam firman yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (daripada kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).” (Surah al-An’am, ayat 160)

Raih hasil ‘ladang’ dunia di akhirat

Oleh Norhayati Paradi

 

Kehidupan di dunia hanya persinggahan bagi manusia. Gunakan sebaiknya untuk mencari keredaan Ilahi sebagai bekalan pada hari akhirat nanti. Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari menerusi IKIMfm menegaskan, dunia, alam dan isinya adalah permainan serta hiburan yang melalaikan jika tidak ditadabbur sebaiknya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga mengenai banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanamannya mengagumkan petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan daripada Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah al-Hadid, ayat 20)

Akal manusia terbatas dan terhad, sedang ilmu Allah SWT Maha Luas. Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm menegaskan, dunia, alam dan isinya adalah permainan serta hiburan yang melalaikan jika tidak ditadabbur sebaiknya.

Ia melekakan dalam keindahan, mengasyikkan dengan hiasan serta perlumbaan yang mengujakan. Namun, akhirnya perkiraan di sisi Allah SWT di perkampungan akhirat yang utama.

Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud: “Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, jika mereka mengetahuinya.” (Surah al-Ankabut, ayat 64)

Kehidupan dunia adalah ladang akhirat, tetapi ia tidak bermakna meninggalkan segala kepentingan dunia dan hanya berfikir mengenai kehidupan akhirat semata. Sebaliknya, melihat kepentingan berusaha bersungguh-sungguh di dunia untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Jaga keperibadian diri

Manusia dituntut menjaga nilai keperibadian hidup di dunia supaya tidak melampaui batas ditetapkan syarak. Neraca keseimbangan di antara kehidupan dunia dan akhirat perlu sentiasa dititikberatkan supaya tidak tergelincir dalam mengharungi kehidupan yang sementara sifatnya.

Umpama lamunan mimpi, sebesar dan sehebat impian yang tergambar, ia tidak akan pernah mengalahkan manisnya kenyataan. Demikian juga kehidupan dunia, segala jerih perih yang dilalui tidak akan kekal lama, segala hiburan dan kesukaan hanya seketika.

Saat mati datang menjemput, segala-galanya akan hilang dan yang tinggal hanya amal dibawa menghadap-Nya. Maka, berpijaklah di bumi yang nyata kerana dunia ini bakal tiba ke penghujungnya.

Perlu sentiasa sedar, harta yang dicari di dunia bukanlah tujuan hidup, tetapi tidak lebih daripada saranan untuk mencapai tujuan hidup sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu laksana syurga bagi orang kafir dan penjara bagi orang Mukmin.” (Riwayat Muslim)

Harta, wang turut ditimbang

Setiap harta yang kita dapat dan belanjakan akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat nanti. Bermula daripada sumber harta itu diperoleh sehingga cawangan dan cabang ia dibelanjakan segala-galanya dalam kira-kira Yang Maha Bijaksana.

Justeru, perbanyakkan sedekah, infak dan wakaf serta hindarkan daripada dilabur ke jalan kemaksiatan. Bukankah kita datang ke dunia ini atas kehendak Pencipta dan kelak akan pulang atas kehendak-Nya juga.

Dunia tidak ubah seperti ruang ujian. Setiap peserta ujian hanya diberi waktu terbatas untuk mengerjakan soalan ujian itu. Begitu pula manusia di dunia ini, ia selalu menghadapi ujian, sejak baligh hingga saat meninggal dunia.

Peserta ujian akan menggunakan waktu dengan sebaik-baiknya, lebih-lebih lagi apabila ujian semakin dekat. Sedangkan, manusia masih leka dan lalai, sedang ajal bertamu tidak mengira waktu.