Solat halang insan daripada malas

Agama yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW sangat seimbang dan memudahkan umatnya.

Dari sudut ibadat solat contohnya, apabila seseorang tidak mampu melaksanakannya secara berdiri kerana keuzuran, dia boleh solat secara duduk.

Sebenarnya tiada alasan untuk meninggalkan ibadat yang menjadi tiang agama itu melainkan dia seorang yang pemalas dan hanya mendahului tuntutan nafsunya.

Jika diperhatikan kepada waktu solat yang ditetapkan sebanyak lima kali sehari semalam, kebetulan waktu itu sama dengan masa lapang dan santai kebanyakan orang.

Pada awal pagi, ketika ramai yang sedang lena, umat Islam perlu bangun untuk menunaikan solat Subuh. Begitu juga pada waktu tengah hari, ketika sibuk melaksanakan tugasan harian atau sedang berehat, umat Islam perlu berhenti seketika bagi melaksanakan solat Zuhur.

Sekiranya diteliti, waktu solat itu sebenarnya memberi panduan pengendalian hawa nafsu buat umat Islam. Apabila seseorang itu didorong nafsu malas, solat itu akan dirasakan begitu berat dan panjang untuk dilaksanakan.

Bukan kerana tiada kekuatan fizikal untuk melaksanakannya tetapi semua itu berpunca daripada kegagalan manusia mengawal dan mengendalikan hawa nafsu.

Islam adalah agama yang syariatnya disesuaikan dengan kemampuan umatnya.

Bahkan, ketika Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-hamba-Nya, ia turut disesuaikan dengan kesanggupan serta kemampuan masing-masing. Dalam hal itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan.

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami pikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Sehubungan itu, setiap mukmin yang menerima sesuatu musibah, perkara yang menyempitkan hati atau tidak disukainya, ia perlu sentiasa bersabar.

Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan sekiranya umat Islam menghadapi kehidupannya penuh sabar dan syukur, mereka seolah-olah mengamalkan serta menyempurnakan seluruh ajaran Islam.

Islam turut ‘menawarkan’ kaedah penyelesaian terbaik buat umatnya yang melakukan sebarang perilaku maksiat dan dosa iaitu dengan bertaubat dan kembali mentaati Allah SWT.

Alangkah indah dan bahagianya apabila setiap umat Islam menjalankan sepenuhnya tanggungjawab yang diamanahkan di dunia ini.

Sebagai seorang pemimpin, dia perlu sentiasa berlaku adil dalam segala hal berkaitan hal kepemimpinannya.

Bagi umat Islam yang dikurniakan Allah SWT dengan kekayaan harta, mereka perlu bertanggungjawab menafkahkan sebahagian hartanya itu ke jalan Allah.

Orang berilmu pula tidak boleh menggunakan ilmu yang diperoleh untuk diri sendiri saja, namun perlu menyampaikan kebaikan ilmu itu kepada orang lain sehingga ia menjadi salah satu jariah yang ganjaran pahalanya akan terus mengalir.

Buat golongan yang diuji Allah SWT dengan kemiskinan, mereka perlu meningkatkan kesabarannya bagi meraih pahala Allah SWT.

Ijtimak Pondok Malaysia 7 Mac 2020 ini di Pondok Pasir Tumboh

Sikap mulia ahli syurga

Fadly Samsudin

Bagi orang yang sudah meninggal dunia, mereka kini berada di alam barzakh dan menunggu untuk dibangkitkan sebelum menuju ke alam akhirat.

Syurga dan neraka ber-ada di alam akhirat yang menjadi destinasi terakhir buat seluruh umat manusia.

Di syurga, Nabi SAW me-nyatakan Baginda melihat sebatang pokok. Jika hen-dak melalui di bawahnya saja perlu mengambil masa selama 100 tahun.

Itu baru kisah sebatang pokok di dalam syurga. Se-tiap ahli syurga dan nera-ka, masing-masing mem-punyai tanda-tandanya.

Tanda seseorang itu ba-kal menjadi ahli syurga sudah pasti dapat dinilai daripada ibadat yang me-reka lakukan di dunia.

Dalam kalangan sahabat Nabi SAW, ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi SAW mendengar Bilal bin Rabah berjalan.

Ketika turun ke dunia Nabi bertanya kepada Bilal: “Wahai Bilal, aku mende-ngar di dalam syurga kamu berjalan, perbuatan apa kamu lakukan wahai Bilal?

Bilal menjawab: “Ya Ra-sulullah, setiap kali berwu-duk, aku akan solat dua rakaat.”

Ketika itu, Nabi Muham-mad SAW belum lagi me-ngajarkan solat sunat wu-duk dan waktu untuk me-laksanakannya.

Dari situ memberi gam-baran kepada kita, bakal ahli syurga sentiasa me-menuhi hidupnya dengan amal ibadat.

Setiap orang pasti me-ngetahui mereka banyak beribadat atau melakukan perkara sia-sia dalam kehi-dupan sehariannya.

Dalam al-Quran, ada ayat yang menyebutkan ciri-ciri ahli syurga.

Antaranya, ahli syurga tidak bercakap perkara sia-sia. Semua yang keluar daripada mulut mereka hanya yang baik-baik saja.

Cuba lihat pula pada diri kita, dalam sehari berapa banyak kita mengata, me-ngumpat, mencerca, meng-hina serta membuka aib orang lain?

Seluruh penghuni syurga kelak, mereka tidak men-dengar percakapan sia-sia, kosong dan dosa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka tidak akan mendengar da-lam syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa. Mereka hanya men-dengar ucapan: “Selamat! Selamat! (daripada satu kepada yang lain).” (Surah al-Waaqi’ah 56:25-26)

Seterusnya, ciri-ciri ba-kal ahli syurga, mereka tidak pernah berdengki serta berdendam.

Itu adalah sifat Muslim yang memiliki kebersihan dan kelembutan hati.

Dalam hati tidak pernah terbit perasaan dengki dan iri hati dengan sesiapa saja walaupun melihat orang itu mendapat kelebihan da-ripada Allah SWT.

Lihat pula pada diri ma-nusia hari ini, contohnya, apabila melihat saja jiran atau kawan menukar ke-reta baru, hati sudah tidak keruan dan mula timbul perasaan dengki.

Dalam hati kemudian berkata-kata, bagaimana dia mampu memiliki ke-reta itu sedangkan gajinya lebih rendah daripadanya.

Maka, untuk menjadi ahli syurga, hati mesti sen-tiasa bersih dan berlapang dada.

Di padang mahsyar ke-lak, ada beberapa keadaan ketika manusia menunggu untuk ditimbang amalan mereka.

Golongan yang paling beruntung adalah umat Nabi Muhammad SAW yang akan terus masuk ke syurga tanpa dipanggil nama serta buku amalan mereka juga tidak dibuka.

Itulah kelompok manu-sia paling mulia dan isti-mewa di atas padang mah-syar kelak.

Malah, Allah SWT tetap memanggil seorang demi seorang rasul dan nabi un-tuk disoal serta dibentang-kan buku amalan mereka di hadapan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang diutuskan (rasul-ra-sul) kepada mereka dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga rasul-rasul itu.” (Surah al-A’raaf (7): ayat 6)

Kumpulan kedua adalah mereka akan masuk ke syurga dengan cara ditim-bang tetapi sesaat pun me-reka tidak masuk ke dalam neraka.

Selesai saja timbangan, mereka akan terus ke te-laga Kauthar dan selepas melintasi titian sirat, mere-ka terus masuk ke dalam syurga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Lalu Ka-mi perintahkan kepada-nya): “Bacalah Kitab (sura-tan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (menge-nai segala yang engkau lakukan).” (Surah al-Israa’ (17): ayat 14)

Buku yang memuatkan amalannya, semuanya be-rat kepada ibadat dan dia juga banyak berbuat baik kepada manusia.

Ketika diumumkan se-siapa yang mempunyai tuntutan terhadapnya juga tiada.

Semuanya berpuas hati termasuk isteri, anak-anak serta kawan-kawannya.

Terdapat juga golongan yang selepas ditimbang amalan mereka adalah ahli neraka.

Selepas tinggal dan di-seksa di dalam neraka un-tuk tempoh tertentu, tiba-tiba mereka dikeluarkan oleh malaikat sehingga penghuni neraka lain be-rasa hairan.

Ia disebabkan ketika di dunia dahulu, mereka pernah bersahabat dan berdampingan dengan orang-orang soleh yang terlebih dahulu menjadi ahli syurga.

Golongan yang dikeluar-kan dari neraka itu men-dapat syafaat daripada sahabatnya yang soleh.

Mudah-mudahan kita sentiasa berdamping de-ngan orang-orang yang baik yang sentiasa menga-jak melakukan kebaikan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapa pun yang memberi pertolongan. Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa. Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali lagi supaya kami menjadi daripada orang-orang yang beriman.” (Surah asy-Syu’araa’ (26): ayat 100-102)

Solat penenang kekusutan minda

Hilmi Isa

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Pada zaman moden ini, manusia semakin sibuk. Semakin sibuk kehidupan seseorang, maka kehidupan mereka semakin tertekan.

Mesyuarat di pejabat tidak tahu bila penghujungnya. Apabila menghadiri kursus memaksa mereka berjauhan daripada keluarga dan menyebabkan tanggungjawab di rumah terabai.

Setiap hari bangun seawal jam 4 pagi untuk bersiap-siap ke tempat kerja demi mengelakkan diri daripada menempuh azab tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Kemudian, manusia bertungkus-lumus menyiapkan kerja supaya dapat pulang awal bagi mengelak diri sekali lagi tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

Sebahagian manusia yang menerima tekanan dalam hidupnya mampu menguruskannya dengan baik manakala ada juga yang akan tertewas.

Terdapat statistik menyatakan bahawa satu daripada tiga rakyat Malaysia mengalami masalah mental. Apabila kehidupan penuh dengan tekanan, lama-kelamaan hati nurani kemanusiaan akan rosak.

Apabila anak melakukan sedikit saja kesalahan maka, penampar akan singgah di mukanya. Isteri lambat masak, pelbagai perkataan keluar menyumpah isteri. Orang lain berborak hal lain, kita pula yang rasa mereka menyindir kita.

Tidak dinafikan sekarang, kos sara hidup yang semakin melambung menjadi salah satu punca tekanan yang dihadapi dalam kalangan rakyat di negara ini.

Hampir segala harga barangan meningkat, sedangkan pendapatan tidak masih ditakuk lama. Harga rumah meningkat mendadak sehingga kebanyakan rumah hanya menjadi ‘mampu lihat’ saja.

Harga barangan keperluan asas bersilih ganti naik. Dahulu apabila berbelanja RM100 di pasar raya, bakul kecil mungkin penuh, namun sekarang hanya tinggal tiga suku saja.

Makanan di kedai juga semakin mahal. Jika ada kedai yang mengekalkan harga pun, kuantiti dan kualiti makanan sudah menurun.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya datang kepadamu pelajaran dari Rabbmu (al-Quran) dan penyembuh bagi penyakit-penyakit dalam dada (hati manusia) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)

Maka, solat adalah salah satu penawar untuk memberikan ketenangan kepada jiwa manusia. Allah SWT adalah sumber ketenangan dan Dia lah penyelesai masalah kepada segala masalah yang dihadapi hamba-hamba-Nya.

Pada akal fikiran manusia yang cetek ini, betapa besar menggunung masalah yang sedang dihadapi sekalipun, tetapi apabila kita mengadu kepada Allah, pasti Dia akan memberi ilham untuk menyelesaikannya.

Ketika itu, baru kita sedar rupa-rupanya kecil saja masalah yang kita hadapi. Pergilah ke masjid dan surau yang sudah lama kita tidak jejaki.

Hadiri majlis ilmu kerana ia sentiasa akan dinaungi malaikat. Sebulan sekali, cuba bersama jemaah tabligh serta orang-orang yang ikhlas untuk mempelajari agama Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan baginya jalan keluar (dalam semua masalah yang dihadapinya) dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” (Surah at-Thalaaq, ayat 2-3)

Malaikat turut doakan orang Islam

Di dalam al-Quran ada menyatakan, setiap hari ada gemuruh malaikat pemikul Arasy serta malaikat lain disebabkan doa dan zikir malaikat memuji kebesaran Allah SWT.

Selain itu, malaikat juga turut berdoa untuk orang Islam.

Doa dan zikir itulah yang didengar Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda melihat malaikat Jibril di Sidratul Muntaha iaitu tempat paling tinggi di langit ketujuh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhan-Nya dan beriman kepada-Nya serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya, maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka daripada azab neraka.

“Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga ‘Adn’ yang Engkau janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka) orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Mukmin, ayat 7-8)

Menerusi doa malaikat itu menyatakan dua per-kara iaitu:

Di bumi ini ada orang yang selalu didoakan oleh malaikat.

Orang yang beramal soleh akan didoakan oleh seluruh malaikat supaya dia dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama seluruh ahli keluarga iaitu ibu bapa, isteri, anak-anak serta cucunya.

Setiap manusia lahir dalam keadaan fitrah. Dalam hidup ini, kita akan diuji dengan hawa nafsu lalu meninggalkan fitrah yang bersifat suci itu.

Fitrah itulah yang akan membisikkan sifat kebaikan. Melalui fitrah juga hati manusia mudah tersentuh mendengar bacaan al-Quran dan mendapat khusyuk dalam solat.

Golongan yang sedar daripada kekeliruan akan kembali semula kepada fitrahnya dan menjadi manusia yang bahagia.

Mereka yang didoakan malaikat sebenarnya bukannya tidak pernah melakukan kesalahan tetapi mereka akan bangkit dan sedar kesalahan yang dilakukan dan sentiasa berusaha untuk memperbaikinya.

Barangkali ada yang memikirkan bukankah di akhirat kelak kita semua akan terpisah daripada ibu bapa, isteri, anak-anak serta saudara?

Tidak mungkin Allah SWT akan menghimpunkan semula seseorang bersama ahli keluarganya di dalam Syurga Adn sedangkan darjat amalan masing-masing berbeza.

Bagaimanapun, dalam Surah az-Zukhruf, ayat 69-70 menyatakan persahabatan yang terjalin dan ikatan kekeluargaan yang dibina di dunia ini akan bertaut semula sekiranya mereka bertakwa dan yakin terhadap Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh, menyatakan, pada hari kiamat nanti sahabat menjadi musuh kecuali orang yang bertakwa.

(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.”

Thabrani dan Ibnu Mardawaih meriwayatkan, Abdullah bin Abbas meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW berkata: “Ketika seseorang masuk ke syurga, dia bertanya perihal ibu bapa, isteri dan anak-anaknya.

Allah berkata kepadanya, ‘Mereka tidak mencapai darjat amalanmu.’ Lalu dia menjawab, ‘Wahai Tuhanku, aku beramal untuk diriku dan juga diri mereka.’

Selepas itu, Allah SWT memerintahkan malaikat supaya turut menghantar keluarganya ke syurga itu.”

Abdullah bin Abbas kemudian membaca ayat 21, Surah at-Tur yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amal-amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

Aturcara Ijtimak Pondok Malaysia 2020 pada 7 Mac 2020 ini

Setiap detik kehidupan tak terlepas kurniaan nikmat

Oleh Mohamad Fadzil Awang

 

REALITINYA hari ini, ramai yang lalai untuk bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Sedar atau tidak, nikmat itu sangat banyak dan pelbagai bentuk. Setiap detik kehidupan kita tidak terlepas daripada kurniaan nikmat pemberian Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 16)

Syukur adalah ucapan, sikap dan perbuatan untuk berterima kasih kepada Allah SWT terhadap kurniaan yang diberikan-Nya.

Darjat syukur lebih tinggi

Menurut Imam Al-Ghazali, darjat syukur lebih tinggi daripada darjat sabar serta takut kepada Allah SWT. Kesyukuran itu adalah darjat paling mulia dan tertinggi.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) dari apa yang dikurniakan Allah SWT kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah SWT, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an-Nahl, ayat 114)

Mengapa masih ramai antara kita yang sombong untuk bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT?

Pernahkah kita berfikir setiap kekayaan yang dimiliki adalah milik mutlak Allah SWT? Kekayaan itu bersifat sementara dan tidak kekal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedang kamu semua orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal).” (Surah Muhammad, ayat 38)

Nikmat berkekalan, bertambah

Manfaat bersyukur sebenarnya dapat kita rasakan seperti kekalnya nikmat yang dimiliki atau bertambahnya nikmat itu. Melihat kepada kesenangan orang lain tidak sepatutnya menjadikan kita iri hati sebaliknya reda dan syukur dengan pemberian Allah SWT.

Allah SWT berpesan yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah SWT berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah SWT akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa, ayat 32)

Sesiapa yang berusaha lebih, pasti akan mendapat lebih. Mengapa masih ada yang tidak mahu meredai hasil usaha lebih orang lain sedangkan kita masih bersikap malas untuk berusaha? Janji Allah SWT itu pasti. Sesiapa yang berusaha pasti akan mendapat lebih atas usaha sendiri.

Rasulullah SAW bersabda: “Pekerjaan terbaik adalah seseorang yang berusaha dengan tangannya sendiri dan berbuat sehabis baik.” (Riwayat Imam Ahmad)

Bersyukur dengan lima perkara

Seorang Mukmin yang taat dan mengaku beriman kepada Allah SWT seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan. Bersyukurlah dengan lima perkara sebelum terlepas nikmat daripada lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sakit dan hidup sebelum mati.

Bersyukurlah dengan segala yang dikurniakan supaya kita terhindar daripada sifat kufur dan mendapat keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Allah SWT mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, ayat 78)

2 Syirik boleh sebabkan kufur

Nik Hasnah Ismail

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain daripada dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Barangkali kita telah terselamat daripada melakukan perkara membawa kepada syirik secara terangan seperti menyembah berhala, tokong atau apa sahaja yang menyamakannya dengan Allah SWT. Tetapi adakah dengan tidak menyekutukan Allah SWT secara terang itu kita tidak melakukan syirik kepada-Nya?

Perbuatan syirik bermaksud sesuatu perbuatan yang menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain sama ada makhluk bernyawa atau sebaliknya menyamai bagi Allah SWT.

Sekutu Allah perbuatan syirik

Menyekutukan Allah SWT jelas dianggap sebagai suatu perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama, apatah lagi perbuatan sesetengah orang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Lebih parah apabila golongan itu wujud dalam masyarakat kerana boleh merosakkan akidah umat Islam.

Menerusi rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi menjelaskan, syirik bermakna menduakan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Syirik secara terang disebut sebagai syirik jali manakala syirik secara tersembunyi adalah syirik khafi.

Bagaimanapun, kedua-dua jenis syirik ini mengundang bahaya yang besar kepada kita kerana takut apa juga amal ibadah dilakukan kepada Allah SWT secara bersungguh-sungguh, menjadi kawah kosong yang kering kontang tanpa apa-apa hasil.

Penegasan salahnya perbuatan syirik dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Justeru, berhati-hatilah dalam setiap perbuatan dan tindak tanduk supaya kita tidak dibelenggu perbuatan adat dan kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar sehingga boleh membawa kepada dosa besar yang akhirnya menjerumuskan kita ke neraka.

Galak cari ilmu

Sebab itulah kita dianjurkan untuk mencari ilmu agama yang kukuh dan belajar dengan mereka yang arif supaya ilmu agama boleh menjadi benteng atau pendinding daripada ancaman perbuatan merosakkan akidah terhadap Allah SWT.

Menurut Sharizan, syirik terbahagi kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata). Syirik jali boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu menerusi iktikad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah SWT.

Kedua, menerusi perbuatan serta amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib, mempercayai sesuatu objek mempunyai keramat tertentu juga membawa kepada unsur syirik.

Bahkan ahli agama berpendapat perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan yang boleh menjurus kepada syirik.

Ketiga, menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.

Syirik khafi pula, kita harus lebih berhati-hati kerana dibimbangi tanpa disedari kita tergolong dalam melakukan perbuatan syirik seperti perbuatan riak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadahnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Amal ibadah kita kepada Allah SWT hendaklah dilakukan secara ikhlas dengan bersungguh-sungguh meyakini keesaan-Nya. Amalan kita bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.

Perbuatan bertujuan menunjuk-nunjuk sama ada secara sengaja atau tidak, amat dimurkai Allah SWT, malah Rasulullah SAW menegur perbuatan itu kerana boleh membawa kepada perbuatan yang merosakkan hati manusia.

Allah SWT menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” (Surah az-Zumar, ayat 65)

Bina kesedaran, tambah pengetahuan

Mari kita bersama membina kesedaran melalui ilmu dan sentiasa menambah pengetahuan supaya tidak terjerumus dengan perbuatan bukan sekadar sia-sia tetapi membawa kepada dosa. Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan supaya tidak terjebak dalam syirik yang membinasakan.

Adalah merugikan ibadah kita lakukan secara bersungguh-sungguh atau sedekah jariah yang sekian banyak, jika amalan itu bersulam perbuatan riak yang menjurus kepada syirik kerana telah banyak disebut dalam hadis dan al-Quran bahawa amalan syirik hanya membawa kepada kebinasaan serta kerugian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

Qiamullail Mingguan di Masjid Pondok Pasir Tumboh 4.45 pagi Tiap Jumaat

Pertahankan akidah biarpun nyawa diancam musuh

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

Hikmah al-Quran: Huraian Surah al-Baqarah, ayat 217.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah, peperangan pada bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang Islam) daripada jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan juga perbuatan menyekat (orang Islam) ke Masjidil Haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang pada bulan yang dihormati).” (Surah al-Baqarah, ayat 217).

Allah SWT dalam banyak ayat sentiasa mengingatkan umat Islam supaya sentiasa berwaspada terhadap sikap orang Musyrikin yang berazam untuk meneruskan cita-cita jahat mereka menindas dan memurtadkan orang Islam daripada ajaran Islam.

Menerusi ayat ini Allah SWT mendedahkan penindasan terhadap kaum Muslimin adalah matlamat tetap bagi musuh Islam, matlamat itu tidak berubah di mana sahaja dan dalam sebarang generasi.

Satu fakta yang tidak boleh diperdebatkan lagi ialah orang Islam tidak pernah memulakan peperangan atau pencerobohan, malah yang selalu memulakannya ialah kaum Musyrikin. Mereka menahan orang daripada mendekati agama Allah SWT, kufur terhadap Allah SWT dan menghalang orang dari Masjidil Haram.

Perbuatan mengusir penduduk Tanah Haram adalah lebih besar dosanya daripada berperang pada bulan haram dan perbuatan menindas orang Islam kerana agama mereka adalah lebih besar dosanya di sisi Allah SWT daripada membunuh.

Kaum Musyrikin telah melakukan dua dosa yang besar ini. Menjadi kewajipan kaum Muslimin jangan membiarkan mereka berselindung di sebalik tabir kesucian palsu yang tidak dihormati dan dipandang suci dalam hati mereka.

Perbuatan mereka menyebut kehormatan bulan haram adalah semata-mata tabir palsu untuk berselindung di sebaliknya bagi memburukkan kedudukan kaum Muslimin dan menonjolkan mereka dengan sifat penceroboh, sedangkan sebenarnya merekalah sejak awal yang telah mencabul kehormatan Baitullah.

Sesungguhnya perbuatan mengganas, mengusir dan menindas penduduk Tanah Haram Makkah lebih besar daripada berperang pada bulan haram yang dilakukan beberapa orang Islam di bawah pimpinan Abdullah bin Jahsh di Batn Nakhlah itu.

Oleh itu, hujah Nabi SAW dan sahabatnya yang dikatakan tidak menghormati bulan haram ini tidak timbul lagi kerana kaum musyirikinlah sebenarnya yang memulakan pencerobohandan tidak memuliakan kehormatan Tanah Suci serta Baitullah.

Perkataan fitnah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah menyekat kebebasan manusia untuk hidup beragama dan memaksa mereka supaya terus kufur kepada Allah SWT. Mereka menyeksa sebahagian sahabat seperti Ammar Yasir, Bilal dan Khabbab Al-Arat.

Mereka menyeksa Ammar dengan besi panas supaya beliau kembali ke agama asalnya dan menyeksa saudara serta ibu bapanya. Ketika Nabi SAW lalu di hadapan mereka, Baginda berhenti, kemudian bersabda: “Sabarlah keluarga Yasir, sabarlah, sesungguhnya syurga telah dijanjikan buatmu.”

Berikutan itu, Yasir meninggal dunia dalam seksaan manakala ibunya pula disula pada kemaluannya sehingga beliau menemui ajalnya. Bilal pula diseksa oleh Umayyah Ibn Khalaf dengan dibiarkan kelaparan dan kehausan.

Dadanya ditindih dengan batu besar di tengah terik matahari, lalu dikatakan padanya: “Kamu akan tetap dibiarkan begini sehingga mati atau kamu kafir kepada Muhammad dengan kembali menyembah Al-Lata dan Al-Uzza. Namun Bilal tidak mahu dan bertahan bagi memelihara agamanya.

Ancaman paling berbahaya kepada umat Islam ialah murtad atau berpaling tadah daripada akidah dan ajaran Islam. Islam memandang berat gejala murtad kerana perubahan mereka daripada asalnya menjadi mata dan telinga kepada Islam lalu dengan tiba-tiba menjadi mata dan telinga kepada pihak musuh.

Murtad boleh berlaku sama ada melalui ucapan atau perbuatan. Murtad melalui ucapan apabila seseorang mengingkari sesuatu yang diketahui secara pasti bahawa itu termasuk dalam ajaran agama. Menerusi perbuatan seperti bersujud kepada matahari, berhala dan meremehkan al-Quran.

Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan agama Islam, walaupun digoda oleh orang kafir dengan pelbagai ancaman. Mereka tidak harus murtad setelah mengecapi kemanisan iman dan Islam. Sesiapa mati dalam keadaan murtad, maka seluruh amalan kebajikannya yang lalu akan gugur dan sia-sia.