• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Buka mata hati lihat yang tersurat

Oleh Syafiq Salleh

 

Kepedihan dan kesedihan yang datang bersama dalam ujian yang kita hadapi sematkanlah dalam hati dan bersangka baik kepada Allah SWT.

Sekiranya kita belum nampak kebaikan yang Allah SWT berikan melalui takdir ujian itu menunjukkan ilmu pengetahuan kita tidak mampu mengukur dan menjangka ilmu Allah SWT yang Maha Luas.

Pujuk hati untuk menerima takdir walaupun mungkin mengambil masa untuk kita melihat kebaikan di sebalik kepahitan, kepedihan dan kesakitan yang diberikan Allah SWT.

Perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah bersama pendengar di IKIMfm pada setiap Rabu jam 10.15 pagi yang lalu, masih meneruskan perbincangan mengenai topik ‘Saat Diri Diuji’ (Bahagian kedua)’.

Kegagalan, kerugian, kesakitan, perpisahan dan kematian mempunyai kebaikan jika semua itu datang daripada Allah SWT. Hikmah yang berlaku itu mungkin kita tidak dapat melihat disebabkan oleh mata hati kita yang buta.

Bukalah mata hati untuk melihat sesuatu yang tersirat daripada yang tersurat supaya kita selalu dapat dihubungkan dengan Allah SWT untuk ditambahkan keimanan.

Oleh yang demikian, Pahrol terus mengingatkan bahawa bersangka baik dan ingatlah kepada Allah SWT kerana kaedah itu akan menjamin kebaikan hidup. Hal ini dapat kita lihat menerusi firman Allah di dalam hadis qudsi di mana sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: “Aku (Allah) adalah seperti sangkaan hamba-Ku terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku”.

Bersangka baik

Untuk mendapat kebaikan dari sesuatu ujian mesti bermula dengan bersangka baik kepada Allah SWT. Apabila bersangka baik kepada Allah SWT, maka hati menjadi tenang dan fikiran menjadi lapang. Segala emosi dan pengurusan diri akan menjadi tenteram. Namun begitu, sifat diri manusia yang lemah tidak terkecuali untuk terlanjur bersangka buruk kepada Allah SWT.

Sekiranya berlaku sedemikian, maka bertaubatlah dengan sebenar-benarnya dan mulakanlah bersangka baik. Allah SWT bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim juga sifat-sifat baik daripada-Nya.

Yakinlah bahawa Allah SWT memberi ujian sepadan dan setimpal dengan kemampuan kita untuk menghadapinya. Sebagai contoh, apabila kita ingin menempah baju dengan seorang tukang jahit berpengalaman dan cekap untuk mengukur dan menjahit, beliau akan menyiapkan baju sesuai mengikut saiz tepat berdasarkan bentuk badan kita.

Ujian yang datang itu sesuai dengan kemampuan seseorang manusia untuk menerima dan menempuhi segala-galanya kerana Allah SWT Maha Adil dan Dia tidak pernah sesekali bersifat keterlaluan dalam menguji seseorang hambanya.

Perkara ini dapat kita lihat menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286, yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya”.

Saat dan ketika apabila Allah SWT memberikan ujian, Dia meminta kita mengeluarkan seluruh potensi diri yang tidak disangka dan dijangka oleh diri.

Sebagai contoh, sekiranya kita dikejar oleh anjing maka kita akan berlari sekuatnya sehingga tidak terjangka kita mampu melangkah seluasnya melintasi lopak air dan parit untuk menyelamatkan diri. Walau ujian sakit yang diberikan menyebabkan kita menderita sakit, Allah SWT mengetahui kita berupaya menyelesaikan ujian tersebut dengan cara yang paling terbaik.

Didik dekat kepada Ilahi

Ujian adalah didikan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha pencipta. Sekiranya kita sentiasa rasa selamat dan selesa dengan tahap iman yang sedia ada, sedangkan diri kita belum berada di tempat yang betul di sisi Allah SWT, maka sebab itulah Allah SWT menurunkan ujian untuk memperbetulkan keadaan diri kita.

Hal ini termasuklah ketika diri diuji, Allah SWT mahu kita menggunakan sepenuh kekuatan yang ada dalam diri disamping melaksanakan kaedah yang terbaik dengan memantapkan ibadah solat dan berdoa.

Oleh itu, setiap ujian juga membawa pengajaran supaya menjadi lebih soleh serta dapat meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT.

Ambillah manfaat ujian yang diberikan oleh Allah SWT itu dengan bersangka baik kepada-Nya dan pelajarilah hikmah daripada ujian tersebut supaya kita dapat menjadi sebaik-baik hamba.

Daurah Bersama Baba Ismail Sepanjang di Pondok Pasir Tumboh 7 November ini

Wajib taubat jika buruk sangka

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

 

Buruk sangka dan suka mencari salah orang lain adalah perbuatan yang sangat dimurkai Allah SWT. Sifat buruk sangka boleh membawa kepada perpecahan ummah. Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin di IKIMfm berkata, terdapat perintah untuk menjauhi prasangka kerana tindakan itu adalah perbuatan dosa.

Buruk sangka adalah salah satu sifat mazmumah manakala mencari-cari kesalahan orang lain pula hadir apabila wujudnya sangkaan buruk dalam hati. Apabila timbul buruk sangka, sudah tentu rasa ingin mencari kesalahan timbul sehingga terbuka kesalahan, aib atau kelemahan seseorang itu.

Sesiapa yang mempunyai sifat buruk sangka dengan sesama Islam, maka ia wajib bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Dosa orang yang buruk sangka adalah besar dan termasuk dalam perbuatan jahat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan berkenaan) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Ketika menjelaskan secara terperinci ayat itu dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata ia terkandung perintah untuk menjauhi kebanyakan berprasangka kerana tindakan berprasangka adalah perbuatan dosa.

Dilarang juga berbuat tajassus iaitu mencari kesalahan, keburukan atau aib orang lain yang biasanya kesan daripada prasangka yang buruk. Dalam erti kata lain, kita disaran tidak terpengaruh dengan individu yang suka bersangka.

Prasangka kerana iri hati

Allah SWT mengingatkan, sebahagian prasangka itu perbuatan dosa kerana ia timbul daripada rasa iri hati atau dengki terhadap seseorang. Ia juga menyebabkan timbul tuduhan tidak berasas kerana orang lain turut melakukan perbuatan serupa yang menambahkan prasangka sedia ada.

Teknologi komunikasi yang tidak bersempadan meluaskan penyebaran maklumat boleh meracuni akal manusia yang tidak tahu membuat pertimbangan antara fitnah dan hak. Oleh itu, sebagai hamba beriman kepada Allah SWT, kita perlu menjaga pertuturan atau berdiam diri.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Menurut Muhammad, seseorang itu mudah terpengaruh dengan sangkaan dibuat oleh orang lain atas tiga sebab. Pertama, disebabkan tidak kenal orang itu. Elakkan mencari kekurangan orang lain, tetapi bergaullah dengan baik.

Seterusnya, bagi mengelakkan terpengaruh dengan segala perkhabaran yang tidak dipastikan kesahihannya, penting untuk kita sentiasa peka dan memahami situasi dilalui oleh individu berkenaan.

Jika diabaikan perkara sebegini, sifat buruk sangka akan sentiasa berlanjutan. Jiwa akan hancur luluh, perasaan tertekan, rumah tangga runtuh, kedamaian musnah, masyarakat menjadi porak-peranda.

Semua itu gara-gara perangai buruk sangka. Islam mendesak umatnya supaya mendahulukan bersangka baik daripada cepat bersangka buruk. Hukuman tidak harus dijatuhkan hanya berdasarkan kepada sangkaan.

Selain itu, individu yang tidak mempunyai pendirian akan mudah terpengaruh dengan segala sangkaan negatif yang diterima daripada pihak lain. Apabila menerima maklumat atau berita negatif mengenai sesuatu berkaitan peribadi seseorang, selidik (tabayyun) terlebih dahulu.

Jangan terus mempercayai atau memberi maklum balas secara negatif. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Buruk sangka terhadap suami adalah berdosa. Dalam kes isteri yang tidak mempercayai suami, ia hanya akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan seperti pertengkaran yang hanya merugikan pasangan.

Kesimpulannya, dalam melayari rumah tangga yang bahagia, setiap pasangan disaran supaya tidak sesekali buruk sangka dan mudah terpengaruh dengan pihak lain yang suka mencari kesalahan orang lain.

Belajar reda dengan apa dimiliki

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

 

TERLALU banyak perkara yang menyeronokkan dalam hidup ini, tanpa kita sedari ia juga boleh membawa kerosakan. Tanya penagih dadah, mereka tahu dadah itu merosakkan, tetapi kerana tarikan sedap dan seronok yang ada pada dadah, mereka abaikan larangan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu  sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Hidup sentiasa menjanjikan sesuatu di luar jangkaan dan pastinya berdepan pelbagai ujian dan cabaran bukan sedikit. Cabaran itulah ada kalanya membuat kita lemah dan tersungkur. Menerusi rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menekankan kepentingan percaya kepada qada dan qadar.

Katanya, Islam menitikberatkan sifat sabar apabila berhadapan ujian, musibah atau malapetaka. Hamba Allah SWT akan berjaya mengekalkan kesabarannya jika sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran mengenai hakikat atau hikmah musibah.

Hanya mereka yang bersangka baik kepada Allah SWT memiliki kesabaran dan iman yang teguh, iaitu mereka yang jodoh dan pertemuan di tangan Allah SWT walaupun ada kala kita menyangkakan ia terjadi dengan sendiri tanpa disedari. Tetapi, jangan sesekali kita sesal dengan jodoh dikurniakan Allah SWT.

Usah cepat menyerah

Kata-kata jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Allah SWT wajar dijadikan renungan kerana ia mampu mendidik manusia dengan sifat qana’ah (bersyukur dengan apa yang ada), tetapi wujud pula manusia terlalu cepat menyerah kepada takdir tanpa sebarang usaha.

Allah SWT tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan hambanya seperti firman-Nya yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Ayat itu mengingatkan kita Allah SWT tahu kita ada kekuatan yang tersembunyi dalam diri untuk menghadapi ujian, maka hendaklah berusaha mencari kekuatan itu. Terkadang kita jarang kaitkan ayat berkenaan dengan anugerah, rezeki, jawatan atau situasi yang kita harap dapat kita miliki.

Contohnya, suami isteri yang mengharapkan dikurniakan cahaya mata, namun sehingga kini masih tidak mendapat seperti diharapkan. Mengaitkan dengan ayat itu, Allah SWT tidak akan membebankan hamba-Nya melebihi kemampuan seseorang itu, maka ia memberitahu kemungkinan kita belum bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Apa sahaja yang dilalui oleh manusia adalah ujian yang diturunkan oleh-Nya. Allah SWT menguji seseorang bukan kerana benci, tetapi kerana Dia sangat kasih kepada kita.

Oleh itu, perbaikilah diri supaya sentiasa menjadi umat yang   tenang menerima takdir dan ujian daripada Ilahi.

Dalam memperkuatkan lagi kepercayaan mengenai qada dan qadar, berpegang teguhlah kepada Allah SWT apabila dilimpahi  kesenangan.

Elakkan daripada  memiliki sifat riak dan takbur dan jangan biarkan sifat itu bermaharajalela di jiwa, sebaik-baiknya berusaha muhasabah diri.

Musibah orang lain, ujian bagi kita

Maslina Alias

 

Malaikat maut pada saat mencabut nyawa Nabi Nuh telah bertanya kepada Baginda: “Bagaimana kamu dapati dengan umur yang begitu panjang? Nabi Nuh menjawab: Umpama sebuah rumah yang aku masuk melalui pintu depan dan keluar melalui pintu belakang.”

Nabi Nuh yang dikurniakan Allah SWT umur panjang iaitu lebih seribu tahun menggambarkan bahawa betapa masa yang dilalui itu berjalan dengan begitu pantas. Itulah mula bicara Ustazah Norhafizah Musa pada program Usrati minggu lalu.

Beliau membicarakan mengenai topik ‘Sentiasa Untung’ yang dikaitkan dengan tiga sikap manusia iaitu sentiasa membaca, merujuk dan beramal dengan kitab Allah (Al-Quran). Kedua, mereka yang menjaga dan memelihara solat lima waktu dan ketiga, yang menafkahkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT.

Mengambil iktibar musibah banjir yang berlaku, Norhafizah memfokuskan perbincangan kepada keuntungan yang diperoleh mereka yang menafkahkan sebahagian harta ke jalan Allah SWT.

Perniagaan tidak alami kerugian

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terang, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka daripada limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur kepada-Nya).” (Surah Faatir, ayat 29)

Semasa Allah SWT menguji hamba-Nya, Allah SWT memerintahkan malaikat untuk melihat bagaimana keadaan hamba yang diuji itu. Apabila malaikat memberitahu hamba yang diuji itu reda, maka untuknya juga keredaan Allah. Jika sebaliknya pula, hamba yang diuji itu tidak reda dan berkeluh kesah, maka begitu jugalah daripada Allah SWT kepada hamba itu.

Ujian atau musibah yang berlaku kepada orang lain sebenarnya ujian kepada diri kita. Bagaimanakah cara kita melihat ujian yang menimpa orang lain. Adakah dengan hanya memandang dengan simpati atau menghulurkan bantuan kepada mereka?

Keuntungan bukan dinilai dari aspek harta

Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak supaya mereka mengerti keuntungan bukan dinilai dari aspek harta tetapi manusia boleh menjadi beruntung dengan berkongsi harta diperoleh bersama golongan kurang berkemampuan atau mereka yang berdepan ujian. Anak perlu dididik untuk berasa simpati dan empati.

Norhafizah memberi contoh mudah iaitu ibu bapa boleh mendidik anak bermula dari sekolah dengan berkongsi makanan atau membeli makanan untuk meraikan kawan yang kurang berkemampuan. Seterusnya, anak perlu ditanam sikap sentiasa bersederhana dan merasa cukup dalam kehidupan.

Ibu bapa adalah orang paling rapat dengan anak dan mereka sepatutnya menunjukkan teladan supaya mudah mendidik anak hidup dalam kesederhanaan. Kesederhanaan mendidik hati untuk mudah menafkahkan sebahagian rezeki kepada yang memerlukan.

Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT untuk mendidik nafsu supaya berasa cukup dan syukur dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada kita.

Allah SWT Maha Mengetahui setiap ujian atau musibah yang diberikan kepada hamba-Nya kerana mereka mampu menerimanya. Allah SWT tidak akan sekali-sekali memberikan ujian kepada hamba-Nya untuk memudaratkan mereka, melainkan adalah untuk memberi kekuatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Setiap ujian atau musibah yang melanda untuk mendidik kita supaya reda kepada Allah SWT. Hati perlu dididik sentiasa mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT dengan apa yang telah ditakdirkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah at-Talaaq, ayat 2-3)

Jaminan diberi jalan keluar

Alangkah ruginya mereka yang diuji Allah SWT, tetapi meninggalkan solat lima waktu. Malah merintih dan mengeluh dengan musibah yang melanda. Allah SWT telah berjanji dalam al-Quran jika hamba-Nya yang diuji itu reda dan sentiasa mengingati Allah SWT, maka akan diberi mereka jalan keluar.

Allah SWT memberi jaminan kepada hamba-Nya yang yakin dan bertakwa walau dalam apa keadaan sekalipun, sama ada dalam keadaan gembira mahupun susah.

Keredaan terhadap Allah SWT akan hilang jika hati kita diselubungi rasa syak, keraguan dan kebimbangan terhadap ujian serta musibah yang melanda. Segala tindak tanduk kita dalam kehidupan menunjukkan sama ada kita yakin atau tidak dengan ayat Allah SWT.

Keyakinan terhadap Allah SWT adalah jalan keluar bagi segala-segalanya, seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berduka cita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Persahabatan ikhlas dunia, akhirat

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

FIRMAN Allah SWT: “Dan Dia (Allah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Walaupun engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Anfal, ayat 63)

Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam tafsirnya menyebut, bantuan Allah seperti kekuasaan kepada orang mukmin melalui tiga faktor iaitu bantuan kepada tercapainya kemenangan, Allah membantu dengan pembabitan orang mukmin dan mempertautkan hati mereka.

Justeru, perkara penting yang perlu diperhatikan ialah bagaimana mempertautkan hati masyarakat Islam supaya mereka membina persahabatan, persaudaraan dan perpaduan berdasarkan teras sebenar yang dituntut al-Quran.

Sesungguhnya dasar dan teras kepada persahabatan ialah keimanan kepada Allah SWT yang akan melahirkan sesuatu yang indah dalam perhubungan.

Persahabatan adalah nikmat yang Allah SWT limpahkan kepada hati yang ikhlas membina hubungan semata-mata kerana Allah SWT.

Kesan daripada itu, maka timbullah perasaan kasih sayang, hormat-menghormati dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Lantaran itu, kita dapat melihat dengan jelas dalam sejarah Islam bagaimana generasi awal Islam yang dididik Rasulullah SAW membina persahabatan mereka.

Kita dapat melihat bagaimana penduduk asal Madinah yang dikenali sebagai golongan Ansar menerima saudara mereka dari Makkah (Muhajirin). Mereka membuka hati dan rumah untuk Muhajirin, yang tiada kaitan darah antara mereka dan tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini.

Itulah dikatakan kesan keimanan yang menyerap ke hati dan jiwa mereka, bukan kerana kepentingan tertentu tetapi nilai persahabatan sebenar adalah suatu perkara yang sangat mahal, tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, emas atau perak.

Islam meletakkan persahabatan dan persaudaraan bukan kisah kehidupan dunia yang hanya tamat selepas berlaku kematian tetapi ia berterusan hingga ke akhirat. Rasulullah SAW ada menyebut mengenai kedudukan orang yang membina persahabatan kerana Allah di akhirat nanti.

Sabda Baginda: “Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah ada kelompok manusia yang mereka itu bukan nabi-nabi dan bukan pula orang yang mati syahid. Nabi dan syuhada berasa cemburu melihat kedudukan kelompok itu di sisi Allah. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? Rasulullah menjawab: Mereka adalah satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah tanpa ada pertalian darah, juga tidak ada harta yang diambil, demi Allah muka mereka sungguh berseri-seri, mereka berada di dalam nur Allah, mereka tidak takut ketika manusia takut dan tidak bersedih ketika manusia bersedih.” (Riwayat Abu Daud)

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT bermaksud: “Ingatlah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah Yunus, ayat 62)

Al-Quran dalam banyak ayat menggambarkan keperluan manusia kepada kawan dan sahabat dalam kehidupan. Antara keperluan kepada teman dan sahabat dapat kita fahami menerusi permohonan Nabi Allah Musa kepada Allah SWT bermaksud: “Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu daripada keluargaku.” (Surah Toha, ayat 29)

Ayat berikutnya, al-Quran menjelaskan Nabi Musa menyebut tujuan dan matlamat persahabatan yang didambanya. Pertama, beliau mengehendaki Nabi Harun menjadi penolong dalam menempuh kehidupan.

Kedua, Harun menjadi rakan untuk berkongsi kegembiraan dan kesedihan serta teman bertukar fikiran dan ketiga, Harun menjadi sahabat yang membantu supaya Baginda sentiasa berzikir serta bertasbih kepada Allah SWT.

Keperluan ketiga-tiga sifat ini ialah untuk menolong dalam menjalani kehidupan, berkongsi kegembiraan dan kesedihan serta menjadi sahabat yang memberi dorongan supaya sentiasa mengingati Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang lelaki telah menziarahi saudaranya kerana Allah SWT, lalu Allah SWT menghantar kepadanya seorang malaikat, lalu malaikat itu bertanya: Ke mana kamu hendak pergi? Lelaki itu menjawab: Saya hendak menziarahi saudaraku. Malaikat bertanya lagi: Adakah kerana sesuatu hajat kamu ke sana? Jawab lelaki itu: Tidak, akan tetapi aku kasih kepadanya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku telah diutuskan oleh Allah SWT mengasihi kamu kerana kamu mengasihi saudaramu kerana Allah maka pastilah bagi kamu syurga.” (Riwayat Muslim)

Zalim jika biarkan maksiat berterusan

Oleh Zamri

Sikap mematuhi perintah Allah SWT berbeza-beza antara satu sama lain. Ada dalam kalangan hamba-Nya mudah mematuhi segala arahan-Nya hanya sekadar mendengar ayat al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW. Ada pula yang memerlukan perdebatan, berhujah dan perbincangan, baru mereka taat perintah Allah SWT.

Namun ada juga hamba-Nya yang bukan sekadar ingkar, bahkan bersikap terang-terangan dalam melanggar perintah Allah SWT. Ada perkara dilanggar itu memberi kesan kepada orang lain atau masyarakat. Maka bertujuan mengembalikannya kepada kepatuhan kepada Allah SWT, ia memerlukan penguatkuasaan undang-undang.

Sebagai Muslim, tanda kasih-sayang kepada saudara seakidah adalah mengembalikannya kepada Allah SWT dan jalan kebenaran, cuma caranya berbeza-beza. Walaupun perkataan digunakan seperti hukuman dan penguatkuasaan seolah-seolah membawa makna seperti menyekat kebebasan, hakikatnya ia mengandungi sifat rahmah serta kasih-sayang.

Teruskan dakwah

Kasih-sayang dan rahmah kepada pelaku maksiat serta kemungkaran perlu dikembalikan kepada jalan kebenaran. Membenarkan orang berterusan melakukan kemaksiatan adalah suatu kezaliman kepadanya. Bagaimanapun, tugas pendakwah terus berdakwah kerana mereka tiada autoriti untuk menjatuhkan hukuman ataupun menguatkuasakan undang-undang tetapi kerajaan dan agensinya mesti menggunakan kuasa yang ada untuk melakukan penguatkuasaan dan menjatuhkan hukuman kepada pelaku yang degil selepas didakwahkan.

Bukankah Rasulullah SAW bersabda dalam hadis diriwayatkan Anas Malik RA: Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. (HR Bukhari)

Daripada Jabir Abdillah RA berkata: Dua hamba bergaduh, masing-masing daripada Muhajirin dan Ansar. Hamba daripada golongan Muhajirin berkata: “Pembelaan untuk Muhajirin.” Budak daripada golongan Ansar pula berkata: “Pembelaan untuk Ansar”. Lalu Rasulullah SAW keluar dan bersabda: “Tidak, melainkan jika dua hamba ini memukul pada yang lain.” Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tidak mengapa, bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi. Adapun yang zalim itu, bantulah dia dengan cara menegahnya dan orang dizalimi pula bantulah dia (daripada kezaliman).” [HR Ahmad dan Muslim)

Usaha hentikan maksiat

Sifat rahmah sebenar mempunyai cakupan luas melewati kasih-sayang di dunia. Kasih-sayang sebenar adalah berasa kasihan jika sadara kita akan dimasukkan ke neraka nanti. Rahmah kita kepadanya adalah berusaha menghentikannya.

Namun sikap penerimaan nasihat dan teguran berbeza-beza antara satu sama lain. Maka, ada dalam kalangan mereka terpaksa dihukum. Dalam al-Quran pun ada ayat-ayat yang jelas difahami sebagai hukuman.

Dalam hadis Sahih Bukhari, hukuman yang diterima di dunia jika disertai dengan taubat, ia akan menjadi penghapus dosa terhadapnya. ‘Ubadah as-Shamit yang juga sahabat yang ikut Perang Badar dan juga antara yang ikut bersumpah pada malam Aqobah, berkata Rasulullah SAW bersabda ketika berada di tengah-tengah sebahagian sahabat: “Berbaiatlah kau kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak kamu, tidak membuat pembohongan yang kamu ada-adakan antara tangan dan kaki kamu, tidak bermaksiat dalam perkara yang makruf. Sesiapa antara kamu yang memenuhinya maka pahalanya ada pada Allah dan sesiapa melanggar hal berkenaan, lalu Allah menghukumnya di dunia, maka ia kafarat baginya dan sesiapa yang melanggar hal terbabit kemudian Allah menutupinya (tidak menghukumnya di dunia) maka urusannya kembali kepada Allah, jika Dia mahu, dimaafkannya atau disiksanya”. Maka kami membaiat Baginda untuk perkara-perkara itu.

Apabila konsep hukuman terhadap individu pendosa difahami, kita tidak hanya melihat dakwah dan rahmah itu hanya menasihat, menegur dan membimbing sahaja bahkan hukuman juga adalah salah satu bentuk rahmah.

Ramadan mengajar dan mendidik umat Islam untuk mentaati perintah Allah dengan penuh kerelaan dan menginsafi statusnya hanyalah hamba Allah di atas muka bumi ini. Allah SWT tidak akan menghukum dengan hukuman dunia tercatat dalam al-Quran jika umat Islam terdidik untuk taat dan mematuhi segala arahan dan larangan Allah SWT.

 

Kuliah Hijrah dan Munajat di Masjid Pondok Pasir Tumboh Selasa malam Rabu ini

Daurah Kitab Ihya’ Ulumuddin Oleh Habib Syed Abdul Hamid b Ali al-Mahdaly di Pondok Pasir Tumboh 17 Oktober ini