• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,388 orang
  • Tetamu Online

Batasan bergurau dalam Islam

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran ( jasmani dan rohaninya).” (Surah Al-Balad, ayat 4)

Kehidupan adalah satu perjalanan yang getir dan dipenuhi kesukaran serta kesusahan. Pasti tidak ada manusia yang terlepas daripada berasa sedih berhadapan dengan kepayahan.

Hakikatnya orang yang beriman lebih banyak menghadapi cabaran dunia berbanding orang lain.

Pernah satu ketika Nabi SAW ditanya: “Siapakah orang yang paling berat ujiannya? Maka Baginda menjawab: “Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya.”

Apabila orang itu kuat agamanya maka akan semakin keras ujiannya. Jika agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih daripada dosa.” (Riwayat Tirmizi)

Justeru, manusia memerlukan perkara yang dapat merehatkan tubuh dan minda sehingga membuatkan mereka gembira, ketawa dan dapat bergurau senda.

Antara bentuk hiburan yang dapat mencapai tujuan itu ialah nyanyian, gurauan, lawak jenaka atau apa saja yang boleh membuatkan seseorang ketawa dan menghilangkan kedukaan di hati.

Islam adalah agama fitrah yang diturunkan untuk manusia. Kita tidak mampu untuk membayangkan bagaimana Islam boleh menghalang naluri manusia ketawa dan bergembira.

Islam menerima semua perkara yang boleh menjadikan kehidupan itu lebih ceria dan bahagia.

Islam juga mahukan orang Islam ceria dalam kehidupan. Teladan sebenar kita ialah Rasulullah SAW yang mana walaupun baginda menghadapi pelbagai kerumitan, kesusahan dan kesedihan, baginda tetap ada ruang untuk bergurau serta bersantai bersama sahabat.

Sahabat menyifatkan Rasulullah SAW sebagai seorang manusia yang menyeronokkan dan kita dapat melihat sendiri melalui sirah bagaimana Rasulullah SAW bergurau dengan isteri baginda serta mendengar cerita mereka.

Rasulullah SAW suka membangkitkan keceriaan dan kegembiraan terutama dalam perayaan dan majlis perkahwinan.

Ketika Abu Bakar mengherdik nyanyian dua orang hamba wanita di rumahnya serta ingin mengusir mereka pada satu hari raya, Rasulullah SAW bersabda kepada beliau, “Biarkan mereka berdua, ini adalah hari raya.”

Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Supaya orang Yahudi mengetahui bahawa agama kita mempunyai toleransi.”

Pernah Rasulullah SAW bergurau dengan seorang wanita tua yang bertemu meminta Rasulullah SAW mendoakannya masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda, “Wahai ibu, syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua.”

Lantas orang tua itu menangis kerana hanya memahami zahir daripada kata- kata Rasulullah SAW.

Lalu baginda menjelaskan kepadanya bahawa apabila dia masuk ke dalam syurga, dia tidak masuk dalam keadaan tua tetapi bertukar menjadi wanita muda yang cantik.

Kemudian Rasulullah SAW membaca firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” (Surah al-Waaqi’ah, ayat 35-37)

Bergurau dan bergelak ketawa dengan penuh kegembiraan adalah sesuatu yang tidak dipertikaikan dari sudut keharusannya tetapi perlulah dijaga batasannya.

Antara syarat bergurau dan membuat lawak jenaka adalah tidak menjadikan pendustaan jalan untuk menjadikan orang lain ketawa.

Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah bagi orang yang berdusta untuk berbicara untuk membuat satu kaum ketawa, celaka baginya, celaka baginya, celaka baginya.” (Riwayat Abu Daud)

Jenaka itu tidak mengandungi celaan dan penghinaan kepada orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan itu menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.” (Surah al-Hujuraat, ayat 11)

Jangan pula jenaka itu menyebabkan ketakutan dan memberi kebimbangan kepada orang lain kerana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang Muslim.” (Riwayat Abu Daud)

Jenaka itu bukan gurauan pada tempat yang serius dan saat yang diperlukan menangis.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejeknya) dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan?” (Surah An-Najm, ayat 59-61)

Bergurau dan ketawalah dengan kadar yang diterima oleh fitrah sejahtera. Islam menegah sikap berlebihan dan keterlaluan dalam semua perkara termasuk ibadah apatah lagi dalam soal bergembira, berhibur serta bergurau-senda.

Alangkah indahnya kehidupan jika kita bersandarkan kepada hikmah Al- Quran dan uswah hasanah Baginda SAW.

Maka sikap orang yang mengaku berpegang pada agama dan memperjuangkannya tetapi wajah mereka sentiasa serius, muram dan sukar sekali melihat ukiran senyuman serta menganggapnya tuntutan agama adalah tidak tepat mengikut ajaran Islam sebenar.

Kemajuan teknologi landasan sebar fitnah tanpa sedar

PENYEBARAN fitnah sememangnya mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), whatsap, laman web serta e-mel membolehkan penyebaran maklumat dilakukan dengan mudah, cepat, meluas dan murah.

Sepatutnya semakin ramai golongan berpendidikan maka tidak ramai yang terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Namun sebaliknya, bahkan ada golongan berpendidikan turut menjadi penyambung kepada lidah fitnah yang disebarkan itu.

Berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran sepatutnya menjadikan kita tidak mudah terpedaya dengan fitnah yang tidak diasaskan daripada kebenaran tetapi bertujuan mencemarkan nama baik orang lain.

Bagi pemfitnah, semakin luas sebaran maklumat yang ditulis bermakna keuntungan diharapkan telah diperoleh. Namun, mereka lupa keuntungan dinikmati di dunia ini boleh menjadikan mereka muflis di akhirat.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah dia orang muflis? Sahabat menjawab: Orang muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda. Nabi SAW bersabda: Sebenarnya orang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakannya serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Sejarah Islam menunjukkan bukti yang nyata di mana tiga khalifah Islam menjadi korban fitnah menyebabkan Khalifah Umar al-Khattab, Khalifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abi Talib terbunuh.

Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabda Baginda: “Orang Mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor (maki-hamun).” (Riwayat Ibnu Mas’ud)

Bercakap perkara baik sahaja

Rasulullah SAW juga berwasiat kepada Saidina Ali: “Wahai Ali, janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri. Wahai Ali, kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya. Wahai Ali, jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga.”

Tidak dinafikan ada antara kita menjadikan penulisan berbaur fitnah serta dakwaan tanpa bukti kukuh sebagai kerjaya kerana ada yang menerima ganjaran daripada tugasan itu. Disebabkan itu, mereka terlupa etika penulisan dan hukuman terhadap pihak yang membuat fitnah atau berita palsu.

Bahayanya sangkaan buruk diingatkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujarat, ayat 12)

Golongan itu semakin berani apabila bilangan mereka kian bertambah melalui komen diberi menggunakan bahasa kasar yang menyokong tindakan atau kata-kata mereka. Kini bukan sahaja tulisan, gambar turut disebar luas sesuka hati tanpa memikirkan kesan aib kepada pihak berkenaan.

Fitnah dan tohmahan tidak mengenal siapa dan bagi yang suka menabur fitnah, kepuasan ialah apabila hasrat menjatuhkan seseorang itu tercapai. Apatah lagi jika ada ganjaran dalam bentuk material, tugas itu lebih bermakna.

Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: “Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu? Sahabat menjawab: Belum. Lalu Nabi SAW bersabda: Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah.” (Riwayat Ahmad)

Kesan buruk kepada komuniti

Keadaan yang berlaku hari ini menampakkan kegagalan masyarakat memikirkan kesan daripada perbuatan mereka terhadap orang lain. Ia juga memperlihatkan kejahilan mereka mengenai ajaran Islam yang melarang menyakiti saudara kerana umat Islam sepatutnya menyayangi saudara sebagaimana dia menyayangi dirinya.

Kebebasan bersuara serta hak asasi yang diagung-agungkan kelompok tertentu juga menjadikan perbuatan memfitnah, membuat dakwaan palsu sebagai suatu yang boleh diterima atau tidak salah. Undang-undang juga nampaknya gagal mengekang kumpulan yang terus merasakan diri mereka kebal melakukan kesalahan.

Tindakan itu sebenarnya menghilangkan rasa kasih sayang dalam jiwa umat dan menyebabkan terputusnya silaturahim yang sepatutnya menjadikan masyarakat kuat. Ia juga menjatuhkan martabat sesama kita dalam masyarakat.

Rasulullah SAW memberi amaran, sesiapa yang mendedahkan aib saudaranya maka Allah SWT akan mendedahkan aibnya di dunia lagi. Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat.” (Riwayat Muslim)