• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Lawan waswas ibadah dengan ruqyah

IBADAT yang dilakukan sering terganggu disebabkan perasaan waswas yang menguasai diri. Bisikan dan hasutan syaitan yang membelenggu manusia menyebabkan mereka terkeliru dan terganggu dalam melaksanakan ibadat.

Antara yang sering diperhatikan ketika mengambil wuduk ada yang terlupa anggota basuhan dilakukan sehingga terpaksa mengulangi wuduk.

Begitu juga dalam solat apabila sukar mengangkat takbiratul ihram sehingga terpaksa melakukannya berkali-kali. Malah, ada juga waswas bilangan rakaat yang sudah dilakukan.

Firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Daripada kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Daripada kalangan jin dan manusia.” (An-Naas: 1-6)

Pendakwah, Emran Ahmad, berkata perasaan waswas menyebabkan seseorang tidak pasti status ibadat yang dilaksanakan sah atau tidak.

“Syaitan terus menghasut dan membisikkan kepada manusia supaya kita waswas, seterusnya tidak dapat merasai kenikmatan ibadat yang dilakukan,” katanya.

Turut diriwayatkan, sahabat Rasulullah SAW, Uthman ibnu Abi al-‘As RA datang bertemu Baginda mengadu dengan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku terganggu.” Rasulullah SAW bersabda: “Itulah syaitan yang disebut Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah menghilangkan gangguan itu daripadaku.” (HR Muslim)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ubai Kaab RA, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya untuk wuduk ada syaitan (yang mengganggu) yang bernama al-Walahan. Maka jauhilah waswas air!” (HR Tarmizi)

Jelas Emran, gangguan dan bisikan syaitan dalam bentuk waswas juga menyebabkan manusia malas serta lemah dalam melakukan ibadat, seterusnya menjadikan ia tidak sempurna.

“Banyak panduan dalam Islam untuk merawat dan melawan perasaan waswas dalam ibadat yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW, Sahabat RA dan tabiin serta pengikut mereka.

“Rasulullah SAW menganjurkan ayat khusus untuk mengubati perasaan waswas ini dengan mengamalkan ayat Kursi dan surah al-Ikhlas, an-Naas serta al-Falaq, iaitu surah yang dibaca Jibril AS ketika merawat Rasulullah SAW yang disihir oleh seorang Yahudi.

“Terdapat riwayat sahabat RA merawat seorang Arab Badwi menggunakan al-Fatihah dan dengan izin Allah SWT, penyakit yang dihadapi sembuh,” katanya.

Emran berkata, paling penting kita perlu tahu ayat al-Quran yang boleh dijadikan ruqyah untuk mengubati sesuatu penyakit.

Katanya, dalam mengubati seseorang yang waswas perlu juga diperbetulkan akidah dan keimanannya kepada Allah SWT.

Katanya, seseorang yang sentiasa berada dalam kemaksiatan dan kepercayaan tahyul serta syirik menjadikan syaitan akan terus mendampingi dan sukar untuk merawat perasaan waswas yang ada dalam diri mereka.

“Kita perlu percaya segala manfaat dan mudarat datang daripada Allah SWT dan makhluk lain tidak mempunyai kuasa. Jika kita meletakkan kekuasaan Allah SWT melebihi segalanya, menjadikan penguasaan syaitan dalam diri kita semakin lemah.

“Selain itu, seseorang yang mengalami waswas perlu difahamkan mengenai sifat Allah SWT yang tidak pernah membebankan makhluk-Nya, malah Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

“Dalam menghindari waswas, mereka perlu difahami dengan perbandingan dalam mazhab; kita berpegang kepada mazhab Syafie mengangkat dan melafazkan takbir itu adalah perkara sunat, sebaliknya cukup dengan menghadirkan niat ketika ingin bersolat,” katanya.

Jelas Emran, seseorang yang mengalami masalah waswas dalam kehidupan seharian seperti terlupa menutup lampu tidak boleh disamakan dengan perasaan waswas dalam perkara ibadat.

Sebaliknya, Emran berkata, perkara itu hanyalah disebabkan oleh lemah ingatan yang memerlukan seseorang untuk menajamkan akalnya dengan memperbanyakkan amalan zikir dan juga menjauhi perkara yang boleh melemahkan fikiran.

“Ulama terdahulu mempunyai ingatan yang tajam disebabkan mereka ini menjaga kehidupan harian mereka daripada perkara kemaksiatan malah turut menjauhi perkara syubahah.

“Namun sekarang, ia tidak dilakukan menjadikan fokus kehidupan harian menjadi terganggu dan mula dibelenggu dengan masalah,” katanya.