• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Perkukuh iman, jiwa anak jadi berani

Oleh Fairuz Nordin

 

IBU bapa perlu membina keberanian dalam diri anak-anak melalui sirah Nabi Muhammad SAW dan bukannya kisah khayal berkaitan hantu. Ikuti penjelasan bagaimana menyemai sifat terpuji itu bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati IKIMfm.

Setiap bayi baru dilahirkan lumrahnya akan disertai dengan tangisan, lalu Islam menggalakkan bayi itu diazan dan diiqamatkan kerana ia dapat memberi kekuatan kepada jiwa mereka. Malah dengan mendengar azan yang dikumandangkan lima kali sehari, ia mampu menguat dan mengukuhkan jiwa orang mukmin yang seharusnya menjalani kehidupan dalam keadaan yang berani dan tidak takut menghadapi cabaran.

Ujian ketakutan ialah antara bentuk ujian diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia.

Sekiranya ketakutan ini tidak dibendung sejak usia kecil, maka ia akan memberi impak yang sangat buruk kepada manusia sehinggalah mereka dewasa kelak. Akhirnya mereka takut untuk berbicara mengenai kematian, syurga dan neraka serta tidak bersedia untuk berbicara keadaan di Padang Mahsyar.

Perkongsian menerusi slot Mau’izati yang bersiaran di radio IKIMfm setiap Khamis jam 5.15 petang bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, menjelaskan sepanjang perjalanan hidup manusia, selalunya anak perempuan mempunyai perasaan takut yang lebih berbanding anak lelaki, malah anak lelaki lebih cekal sifatnya. Ini antara sebab lelaki lebih layak menjadi pemimpin. Namun, ia tidak bermakna anak lelaki tidak langsung memiliki rasa takut dan terdapat beberapa faktor yang membentuk perasaan takut berkenaan dalam diri anak.

Ulama membicarakan berkaitan sebab wujudnya perasaan takut dalam kalangan anak yang antaranya berpunca daripada ibu mereka sendiri. Si ibu menakutkan anak kepada benda tertentu sama ada haiwan, tempat yang gelap atau orang yang tidak mereka kenali. Apabila anak ditakut-takutkan secara keterlaluan, akhirnya mendorong mereka berkelakuan pasif dan tidak berani melakukan sesuatu.

Selain itu, seorang ibu yang terlalu memanjakan anaknya sehingga menyebabkan mereka terlalu bergantung kepadanya untuk menjalani kehidupan seharian, tidak mampu berdikari atau terlalu takut melakukan sesuatu. Seharusnya si ibu perlu memberi dorongan kepada anak untuk melakukan sendiri sesuatu perkara, memikul tanggungjawab, yakin dengan kebolehan diri sendiri dan berpegang kepada kepercayaan bahawa Allah akan sentiasa berada bersama mereka.

Terlalu mengongkong

Faktor lain yang mendorong perasaan takut dalam diri anak ialah apabila si ibu tidak membenarkan mereka bergaul dengan orang luar, terlalu mengongkong dan mengurung mereka dalam rumah. Pergaulan yang sangat terbatas mendatangkan pengaruh buruk, malah lebih memudaratkan apabila mereka membesar dalam keadaan berdampingan dengan gajet dan media sosial sahaja serta interaksi yang sangat terhad dengan manusia di luar alam maya. Malah ibu bapa yang sering mendedahkan dan menceritakan kepada anak dengan kisah khayalan berkaitan hantu dan jin, terlalu asyik dengan animasi dan kartun akan mengakibatkan mereka dibayangi rasa takut dan alam khayalan.

Untuk memulihkan situasi anak yang berhadapan dengan perasaan takut yang melampau, seharusnya ibu bapa mengambil langkah seperti disarankan dalam Islam. Iman yang kukuh mampu menangani situasi ini, dengan melakukan amal ibadat kepada Allah SWT agar dapat ditanam keyakinan dalam diri anak bahawa mereka hanya takut kepada Allah semata-mata.

Apabila berhadapan dengan ujian dalam hidup, diharapkan mereka tidak lagi takut menghadapi manusia dan jawatan. Sebaliknya hanya Allah yang menjadi sumber kekuatan dan keberanian untuk menangani permasalahan hidup serta mengelakkan mereka daripada melakukan kemaksiatan sehingga terhumban ke dalam neraka.

Sesungguhnya manusia itu diciptakan Allah secara fitrahnya berada dalam keadaan berkeluh kesah dan serba salah apabila dilanda ujian. Namun sekiranya dikurniakan harta dan kesenangan, mereka terdorong bersikap kedekut, melainkan orang yang tetap amal ibadatnya kepada Allah. Selain itu, untuk mengelakkan anak dibelenggu ketakutan, ibu bapa perlu memberi ruang kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri dan memikul tanggungjawab mengikut kadar perkembangan dirinya seperti pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya, bahawa setiap dalam kalangan manusia adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan di atas apa yang di bawah pimpinannya.

Perkara lain perlu diberi perhatian ialah jangan sesekali menakut-nakutkan anak dengan hantu, jin dan orang yang jahat, terutama ketika mereka sedang menangis dengan tujuan menghentikan dirinya daripada terus menangis kerana perbuatan itu hanya akan menambahkan ketakutan dalam diri anak.

Berkomunikasi

Sewajarnya perlu diingatkan kepada anak bahawa orang Mukmin yang kuat dan berani lebih baik di sisi Allah berbanding manusia lemah. Mereka juga digalakkan bergaul dengan komunikasi yang berkesan dalam kalangan anak yang lain sejak usia mereka masih kecil dan memberi peluang untuk mereka sering bertemu dan kenal-mengenali di antara satu sama lain. Situasi ini akan membentuk sifat diri penyayang, berkeyakinan tinggi dan boleh dipercayai dalam kalangan kenalannya, malah dapat mengelakkan terjebak dalam gejala buli yang kini semakin berleluasa.

Rasulullah SAW menjelaskan orang Mukmin adalah orang yang mesra, memudahkan urusan orang lain dan Baginda sendiri tidak menyukai umatnya yang sukar didekati atau tidak suka bergaul dengan orang lain. Malah sebaik-baik manusia ialah mereka yang mendatangkan manfaat kepada orang lain.

Bagi membina keberanian dalam diri anak, mereka perlu diceritakan sirah peperangan Rasulullah agar dapat mengenali dengan lebih dekat tokoh yang berada di sebalik peperangan walaupun pada ketika itu masih berusia belasan tahun dan gugur syahid di jalan Allah. Semoga keberanian itu mampu dijadikan contoh kepada anak-anak yang bakal mengharungi cabaran yang menanti di sepanjang perjalanan kehidupan mereka kelak.

Buktikan Cinta Kita Kepada Rasulullah s.a.w

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

UMUM mengetahui kehebatan insan bernama Muhammad bin Abdullah. Seorang kekasih Allah yang dilantik menjadi Nabi dan Rasul membawa serta menyebarkan agama Islam ke seluruh pelosok dunia. Hasil usaha baginda memboleh­kan kita menganut agama Islam. Satu-satunya agama yang diterima oleh Allah SWT.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.” (al-Anbiya’: 107).

Tahun ini tema sambutan adalah Kesatuan Ummah Kesejahte­raan Negara. Sambutan itu biasa­nya dimulakan dengan selawat nabi, diikuti perarakan dan sete­rusnya diisi dengan sesi ceramah atau forum.

Cuma yang perlu diberi perhatian, hendaknya sambutan Maulid kita bukan sekadar melaungkan slogan dan perarakan. Yang lebih utama mencari jalan bagaimana kita dapat mencontohi sifat dan keperibadian baginda SAW.

Jangan kita menjadi Abu Lahab. Keputeraan Nabi SAW bukan sa­haja disambut dengan penuh ke­gembiraan oleh ibu bapanya, Abdullah bin Abdul Mutalib dan Aminah binti Wahb tetapi juga sa­nak saudara termasuk Abu Lahab.

Kegembiraan Abu Lahab iaitu bapa saudara Nabi Muhammad itu terbukti apabila dia memerdekakan hambanya, Suaibah. Namun, semua itu tidak bermakna kerana Abu Lahab enggan menerima dan menyahut seruan Rasulullah SAW supaya memeluk Islam sehinggalah dia mati dalam kufur.

Sebab itu, jangan kita jadi se­­perti Abu Lahab. Dia antara orang yang merai dan paling gembira dengan kelahiran nabi SAW tetapi dia mengingkari seruan baginda. Apabila Nabi SAW menyeru penduduk Mekah memeluk Islam di atas Bukit Safa, Abu Lahablah yang mencela ba­ginda sehingga Allah menurun­kan surah al-Masad.

Cinta dan kasih kita kepada Nabi SAW sepatutnya sepanjang masa. Bukan bermusim atau pada hari-hari tertentu sahaja. Antara bukti kecintaan itu hendaklah kita mengikuti sunnah-sunnah baginda.

Solat berjemaah adalah satu daripada sunnah yang amat diberi perhatian oleh baginda SAW. Rasulullah SAW dalam ke­sibukan baginda mentadbir nega­ra tidak pernah meninggalkan solat berjemaah.

Justeru, kalau kita mencintai baginda, kita juga mesti mencontohi baginda dalam aspek solat berjemaah. Semua orang tahu kelebihan solat berjemaah berbanding solat sendirian. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat lain pula ada yang menyebutkan 25 kali ganda. Ia seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): “Ya Allah, ampunilah dia ya Allah kasihanilah ia. Dan (para malaikat sentiasa mendoakan) selama ia menanti solat”. (Riwayat Muslim).

Solat berjemaah mendidik kita agar bersatu dan patuh kepada imam (ketua). Dalam solat, imam adalah orang yang diikuti. Sebab itu makmum perlu ikut perbuatan imam dalam solat. Walau sehebat mana pun pangkat dan darjat seorang makmum, waima ia Perdana Menteri atau raja, beliau tidak boleh mendahului perbuatan imam. Jika mendahului imam secara sengaja maka batal solatnya.

Persediaan sebelum solat berjemaah, iaitu membina saf juga bertujuan memupuk kesatuan umat. Sebab itu para imam akan memberi arahan supaya makmum membetul, merapat dan meluruskan saf sebelum solat ditunaikan.

Saf yang bengkang-bengkok menjejaskan kesempurnaan solat berjemaah dan boleh memberi ruang kepada syaitan ‘menyelit’ dan seterusnya menimbulkan rasa was-was semasa kita solat. Pendek kata, yang tersirat daripada yang tersurat daripada tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini juga sebenarnya turut menekankan aspek kesatuan tersebut.

Perintah bersatu turut ditegaskan dalam al-Quran. (rujuk ‘ali-Imran: 103). Dalam mentafsirkan ayat ini, Al Qurthubi berkata, sesungguhnya Allah SWT memerintahkan persatuan dan melarang daripada perpecahan. Kerana sesungguhnya perpecah­an adalah kebinasaan dan al ja­maah (persatuan) merupakan ke­selamatan. (Al Jami’ Li Ahkamil Qur’an 4/159)

Satu lagi bukti kecintaan kita kepada Rasulullah ada dengan berselawat ke atas baginda. Walau sesibuk manapun jadual seharian, pastikan jangan tinggal berselawat ke atas nabi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi; wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu dan ucapkan salam kepadanya.” (al-Ah­zab: 56)

Paling tidak, hendaklah kita ber­selawat 10 kali sehari semalam agar mendapat 100 rahmat daripada Allah. Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berse­lawat kepadaku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya 10 kali.” (Riwayat Muslim)

Sambutan maulid ini bagi me­ngingatkan yang lupa dan dilalaikan oleh kesibukan dunia termasuk melayan gajet-gajet yang semakin canggih. Bagi mereka yang sentiasa mengingati baginda SAW, maulid menguatkan lagi kerinduan dan rasa kasih ke atas penutup para nabi itu.

Mengenai sambutan Maulidur Rasul, Imam As-Suyuthi di dalam Al-Hawi li al-Fatawa berkata: “Menurutku, asal perayaan Mau­lid Nabi, iaitu manusia berkumpul, membaca al-Quran dan kisah-kisah teladan Nabi Muhammad sejak kelahirannya sehingga perjalanan hidupnya. Kemudian dihidangkan makanan yang dimakan bersama, setelah itu mereka pulang. Hanya itu yang dilakukan, tidak lebih. Semua itu tergolong Bidaah Hasanah (sesuatu yang baik). Orang yang melakukannya diberi pahala kerana membesarkan kedudukan baginda, menampakkan kesukaan dan ke­gembiraan di atas kelahiran Nabi Muhammad yang mulia.”

Patuhi sunah hidup berkeluarga

Oleh Mohd Faiz Othman

 

KELUARGA tunjang kepada pelbagai sumber kekuatan dalam kehidupan seorang insan, justeru, membangunkan institusi kekeluargaan yang utuh dan berlandaskan syariat Islam bukan satu hal mudah. Bagaimanapun, ia tidak mustahil.

Menerusi segmen Pesona D’Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkongsi hadis Nabi SAW mengenai kekeluargaan.

Daripada Ibnu Majah, Nabi SAW bersabda: “Nikah itu sebahagian daripada sunahku. Orang yang tidak mahu beramal (kerana benci), maka dia bukan daripada kalanganku. Kahwinlah kamu! Kerana aku bangga dengan umatku yang ramai. Siapa yang ada kemampuan, bernikahlah. Maka, siapa yang tidak mampu, hendaklah kamu berpuasa. Sesungguhnya puasa itu ada ubat untuk menundukkan nafsu.”

Apabila Baginda SAW menyatakan nikah itu adalah sunah Baginda, maka daripada awal proses pernikahan itu terdapat sunahnya. Tatkala seseorang menyatakan hasrat untuk mencari pasangan, maka mulakanlah dengan sunah.

Lakukan solat sunat istikharah bagi memohon kepada Allah SWT supaya dipermudahkan urusan memilih pasangan. Apabila anak ingin mencari jodoh, galakkan untuk melakukan solat sunat istikharah supaya tidak mudah tertipu dengan pandangan mata manusia.

Mohon kepada Allah SWT untuk membimbing kita dalam urusan memilih pasangan. Tatkala selesai istikharah dan kita yakin dengan pilihan itu, dapatkan restu serta reda kedua ibu bapa.

Dahulukan calon pasangan pilihan keluarga

Bercerita soal jodoh, Ustaz Muhammad mencadangkan supaya mendahulukan calon pasangan pilihan keluarga. Ada kalanya, kita kurang kematangan dalam membuat sesuatu keputusan. Tambahan pula, ia membabitkan keputusan besar dalam hidup untuk membina sebuah keluarga.

Di mata kita mungkin sudah terbaik, namun ada kala kita salah menilai. Walau bagaimanapun, Islam tetap mengajarkan kita untuk lakukan istikharah supaya diberikan yang terbaik dalam perjalanan memilih pasangan hidup.

Ibu ayah pastinya mengharapkan yang terbaik buat anak mereka, terutamanya apabila telah lama mengasuh, mendidik dan membesarkan. Jalan terbaik adalah berserah kepada Allah SWT melalui jalan istikharah kita kepada-Nya.

Doa supaya diberi pasangan hidup terbaik

Dalam memilih pasangan hidup dan mempersiapkan diri membina sebuah keluarga, ayah perlu mendidik anak sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan pasangan hidup yang terbaik, sentiasa mentaati perintah-Nya serta menghormati orang tua.

Jika datang daripada calon pilihan kita, berbincang dengan baik dan pastikan calonnya mendapat restu kedua ibu bapa. Akhirnya, tetap perlukan petunjuk daripada Allah SWT mengikut apa yang telah diajarkan Baginda SAW.

Sunah yang dituntut dalam mendirikan sesebuah rumah tangga ada pada majlis akad nikah yang bererti kita mengambil tanggungjawab kepada kedua-dua pihak, baik isteri daripada segi layanan kepada suami mahupun suami daripada sudut nafkah kepada isteri.

Tatkala menimang cahaya mata, Baginda SAW telah gariskan beberapa panduan sunah untuk diikuti demi melahirkan generasi umat Baginda yang taat kepada Allah SWT.

Ajar adab bermula usia tujuh tahun

Rasulullah SAW bersabda: “Bermain-mainlah dengan anak kamu sehingga usianya tujuh tahun. Kemudian hendaklah kamu mengajarkannya adab bermula usia tujuh sehingga 14 tahun serta jadikannya sahabat atau kawan ketika berusia 14 tahun ke atas.”

Andai berlaku sesuatu ke atas rumah tangga atau terputus hubungan pernikahan itu, terdapat juga sunah yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Semoga kita memperoleh rumah tangga yang bahagia dan dibahagiakan oleh Allah SWT. Rumah tangga bahagia bukan terletak pada mewahnya harta, namun bahagia letaknya di hati.

Allah SWT yang meletakkan kebahagiaan dalam hati kita, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang yang beriman.” (Surah al-Fath, ayat 4)

Kewajipan bersama Bela, pertahankan Nabi s.a.w

Fadly Samsudin

 

Apabila ada orang bukan Islam biadab mencerca serta menghina Nabi Muhammad SAW, kita wajib mempertahankannya.

Selayaknya apabila berlaku perkara sedemikian dalam masyarakat kita hari ini, umat Islam perlu bersatu hati menzahirkan penghormatan buat Rasulullah SAW.

Antara sifat agung yang ada pada diri Baginda adalah sifat prihatin serta kerinduan terhadap umatnya walaupun Baginda tidak pernah melihat kita.

Dalam sebuah hadis ada dinyatakan mengenai kerinduan serta kecintaan Rasulullah SAW terhadap umatnya yang lahir selepas kewafatannya.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersama-sama sahabatnya pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan Baginda bersabda yang bermaksud: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita.”

Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi dalam satu perkongsian menyatakan sahabat Rasulullah SAW sangat menjaga kemuliaannya biarpun Baginda sudah wafat.

Menurutnya, segala apa yang menyakiti Rasulullah SAW pasti akan membuatkan sahabat Nabi berasa sensitif.

Diceritakan, pernah dua lelaki dari Taif meninggikan suara di Masjid Nabi. Saidina Umar datang memanggil mereka lalu menegur mereka. Umar berkata: “Apakah kamu berdua meninggikan suara di dalam Masjid Rasulullah?” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kewajipan mencintai Rasulullah SAW juga dikaitkan dengan keimanan diri seseorang.

Malah, kecintaan itu perlu melebihi orang yang paling rapat dengan diri kita termasuk ibu bapa dan anak sendiri.

Daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua-dua orang tuanya, anaknya dan manusia seluruhnya.” (Riwayat Bukhari)

Tanamkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan cara mempelajari sejarah kehidupan Baginda untuk dijadikan contoh dan panduan hidup.

Jika perkara itu diabaikan, sudah pasti generasi pada hari ini dan akan datang tidak berasa sensitif ketika Rasulullah SAW dihina.

Diceritakan dalam peristiwa Tabuk, ada beberapa orang munafikin mencela Nabi Muhammad SAW.

Lalu turun ayat al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta) kerana sesungguhnya kamu kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (Surah At-Taubah, ayat 65-66)

Begitu juga berlaku peristiwa pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang lelaki buta mempunyai hamba wanita yang cukup anti dan sering mencerca Baginda SAW.

Lelaki buta itu cuba melarangnya, tetapi wanita itu tetap tidak mahu berhenti menghina Nabi Muhammad SAW.

Pada suatu malam, wanita itu kembali mencela dan menghina Nabi Muhammad SAW.

Akhirnya, lelaki buta itu mengambil pisau, lalu ditikam ke perut hamba wanita itu sehingga mati.

Pada keesokan harinya, kecoh di Madinah ada seorang wanita dibunuh. Berita itu sampai ke pengetahuan Nabi SAW.

Lalu Baginda mengumpulkan sahabat dan bertanya: “Saya jadikan Allah sebagai saksi, jika benar ada orang yang membelaku, tolonglah berdiri.”

Kemudian lelaki buta itu berdiri dan menceritakan kejadian sebenar yang berlaku. Maka, Nabi SAW menyatakan darah wanita itu tiada nilai.

Menghina Rasulullah SAW adalah perbuatan yang cukup buruk. Seluruh umat Islam perlu sentiasa berdoa supaya Allah SWT memberikan hidayah kepada umat ini untuk beramal dengan ajaran Nabi SAW.

Di Mahsyar kelak, Baginda adalah individu yang akan dicari manusia supaya mereka diberikan syafaat dan pertolongan untuk melepaskan diri daripada diazab api neraka.

Baginda SAW akan berdoa kepada Allah SWT untuk membantu umatnya dan permintaannya itu akan diperkenankan Allah SWT.

Begitulah betapa kasih dan sayang Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya. Perjuangan Baginda mengembangkan Islam menyebabkan umat Islam sehingga ke hari ini dapat mengecapi nikmat terbesar iaitu iman dan Islam.

Sehubungan itu, kita perlu sentiasa menzahirkan rasa kerinduan terhadap Nabi Muhammad SAW antaranya dengan berselawat serta mengamalkan sunahnya.

Amalan selawat itu cukup tinggi nilainya. Setiap kali kita berselawat, selawat itu pasti akan dibalas oleh Baginda.

Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang pun yang memberikan salam kepadaku (selepas kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad, Riyadus Solihin)

Solat Subuh santapan rohani mulakan hari

Zamanuddin Jusoh

 

Ciptaan manusia dilengkapkan dengan jasad, roh dan fikiran. Keseimbangan ketiga-tiga unsur itu digabungkan dalam tamadun Islam sehingga mereka menjadi cemerlang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian, Dia menyempurnakan ciptaanNya dengan meniupkan di dalam tubuh manusia akan roh lalu dijadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati.” (Surah Sajadah, ayat 9)

Berdasarkan sejarah, kita melihat tamadun India hanya menumpukan kepada spiritual semata-mata, tamadun Rom dibina atas kekuatan jasad semata-mata dan tamadun Greek menumpukan kepada falsafah serta pemikiran.

Islam menggabungkan ketiga-tiga kekuatan sebagai pelengkap kepada ciptaan manusia. Namun, Islam meletakkan kekuatan roh mengatasi segala kekuatan lain.

Kekuatan itu menjadikan umat Islam memiliki jati diri tinggi dengan menjaga perintah Allah SWT, mengutamakan rohani berbanding jasmani.

Justeru, Allah SWT mewajibkan umat Islam sujud dua rakaat solat Subuh selepas dikembalikan roh mereka pada waktu pagi sebagai persediaan menghadapi perjalanan hari itu. Inilah kekuatan yang sering dilupakan umat Islam.

Cahaya kekuatan

Pendakwah terkenal di Timur Tengah, Dr Umar menyebut, pendedahan ilmiah mendapati cahaya kekuatan akan menyelubungi setiap tempat di bumi apabila berkumandang azan Subuh. Oleh itu, bagi mereka yang berpagi-pagi untuk solat Subuh akan mendapat segala kekuatan itu.

Demikianlah perintah Allah SWT yang terkandung dalamnya seribu rahmat untuk umat manusia. Di sinilah bermulanya kekuatan umat yang disarankan Allah SWT demi kebaikan hamba-Nya sekali gus dapat menghadapi segala rintangan serta dugaan.

Kekuatan dimaksudkan adalah kelapangan dada kerana manusia akan dapat menghadapi rintangan dan ranjau dengan kelapangan dada. Menunaikan solat Subuh sebagai sarapan rohani, umat Islam akan menjana kekuatan menghadapi rintangan kehidupan harian mereka.

Contoh yang dapat dipetik daripada al-Quran ialah kisah Nabi Musa dan Firaun. Apabila Nabi Musa diperintahkan untuk mengadap Raja Firaun yang telah melampaui batas, perkara pertama dipohon oleh Nabi Musa adalah kelapangan dada.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pergilah wahai Musa kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Musa berkata: Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku untuk menghadapinya.” (Surah Taha, ayat 24-25)

Jelaslah kelapangan dada suatu kekuatan untuk menghadapi tugas berat. Namun, segala-galanya berubah apabila kekuatan itu diambil alih oleh bukan Islam apabila mereka memulakan kehidupan harian lebih awal berbanding umat Islam.

Maka di sinilah letaknya kelemahan umat Islam sehingga mereka jauh ketinggalan daripada kaum lain. Kelemahan itu juga telah disedari Yahudi kerana mereka melihat kekuatan umat Islam yang boleh dijanakan oleh solat Subuh sudah berkurangan atau hampir tiada.

Baginda SAW bersabda: “Dua rakaat solat Subuh mendapat pahala melebihi dari nilai dunia dan segala khazanahnya.”

Menunjukkan pentingnya solat Subuh dalam kehidupan. Tidak dinafikan dosa juga akan gugur apabila kita bersabar menghadapi ujian dan bencana. Namun, kita juga perlu melihat ia juga peringatan daripada-Nya atau Allah SWT akan menggantikan dengan kebaikan yang hanya diketahui oleh-Nya.

Jika ia adalah peringatan, maka solat nadi kekuatan umat dalam menghadapi sebarang bencana. Peringatan Allah SWT amat jelas dalam firman yang bermaksud: “Kami tidak akan memusnahkan sesebuah tempat kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.” (Surah al-Qasas, ayat 50)

Dapat pertolongan

Solat Subuh juga berkait rapat dengan pertolongan Allah SWT kerana manusia amat memerlukan kepada pegangan yang kuat dan kepada Allah SWT tempat bergantung. Sabda Baginda SAW: “Solat Subuh berkait rapat dengan pertolongan Allah SWT.”

Mereka yang menunaikan solat Subuh akan mendapat perlindungan daripada Allah SWT seperti kelapangan dada, keceriaan bekerja, keutuhan minda serta jati diri yang waja.

Ulama mengungkapkan; “Sesiapa yang berpegang dengan dirinya, akan berasa penat. Sesiapa berpegang kepada akalnya semata-mata, maka dia akan sesat. Sesiapa yang berpegang kepada hartanya, akan berkurangan dan sesiapa yang berpegang dengan orang lain akan menjadi hina. Namun, jika mereka berpegang dengan Allah SWT, mereka bebas daripada kepenatan, kesesatan, kekurangan harta dan jauh daripada kehinaan.”

Pemikir terkenal, Dr Solah Sultan berkata: “Dunia akan sentiasa dipenuhi dengan manusia yang buruk, zalim, penipu, pengkhianat dan sebagainya. Segala-galanya di bawah pengurusan Allah SWT. Maka, mereka yang menunaikan solat Subuh akan dipelihara oleh Allah SWT daripada golongan itu. Ia juga akan menyelamatkan manusia daripada gelombang dosa yang melanda umat. Amat malang lagi apabila mendapati mereka yang menghadapi musibah masih lalai terhadap solat dan sibuk mengagihkan habuan dunia sehingga lupa kepada pencipta musibah itu sendiri dan akhirnya boleh mencetuskan pergaduhan sesama sendiri.”

Sesuatu yang perlu diingat adalah peranan syaitan dalam menggagalkan umat untuk mendekati Tuhannya. Pengaruh syaitan akan mengindahkan buaian tidur sehingga kita lupa keindahan pertemuan dengan Allah SWT.

Bersungguh didik anak solat

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

 

“MASA cuti sekolah lepas aku buat kerja sambilan di sebuah syarikat. Setiap kali masuk waktu solat, aku akan curi masa solat beralaskan plastik hitam dalam bilik stor kerana pihak majikan tidak menyediakan ruang solat khas. Lantas aku dianggap paling warak dan alim kerana rajin solat. Dalam kelompok pekerja yang rata-ratanya Melayu Muslim, hanya aku seorang sahaja yang menunaikan solat. Pekerja lain, baik tua atau muda semuanya seakan-akan tak pernah dilihat solat.”

Segar lagi dalam ingatan cerita kawan kami yang sama-sama belajar dalam tingkatan lima di Sekolah Menengah Agama (Arab) Ma’ahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu Kelantan, kira-kira 26 tahun lalu.

Kami yang dengar ceritanya tersenyum lebar kerana tahu kawan kami ini masih tebal selaput nakalnya. Namun kini, apabila semakin dewasa dan banyak melihat ragam manusia, saya akui Muslim yang tidak tinggal solat sebenarnya sangat istimewa, iaitu kerana kenal diri dan Tuhannya.

KITARAN SONGSANG

Sepanjang pemerhatian, didapati ramai tidak solat, baik remaja, dewasa dan warga emas yang berpunca daripada kepincangan didikan. Mungkin mereka ini tidak dipaksa didik oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa mereka dahulu pun mungkin turut tidak dipaksa didik oleh generasi sebelumnya. Orang yang tidak dipaksa didik untuk solat akan jadi orang dewasa yang tidak pula memaksa didik anak mereka.

Kitaran tidak paksa didik ini akan terus berhubung dan berantai merentas generasi.

Setelah melihat kecacatan kitaran paksa didik ini, barulah saya faham mengapa Nabi Ibrahim a.s. berdoa agar ibadat solat mendasari ke dalam jiwa keturunannya:

“Wahai Tuhanku! Jadikan daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenanlah doa permohonanku,” (Ibrahim 14:40).

Rasulullah SAW tahu benar solat yang konsisten sukar dilaksanakan jika tidak dilatih sejak kecil. Ini sebabnya Baginda menyuruh agar solat dipasak ke dalam jiwa anak-anak seawal usia tujuh tahun. Setelah usianya mencecah 10 tahun, lanjutan didikan solat itu perlu disulam dengan didik pukul (tanpa dera) agar tiang solat benar-benar bertapak kemas ke dalam jiwa mereka.

“Suruhlah anak-anakmu solat apabila usia mereka mencecah tujuh tahun (agar dia biasa melakukannya setelah dewasa) dan jika mereka enggan solat setelah usia mereka mencecah 10 tahun, pukullah mereka (dengan pukulan kasih sayang yang tidak menyakitkan). Juga asingkan juga tempat tidur antara mereka,” – Sunan Abu Dawud.

Jangan pula salah faham tentang maksud pukul dalam hadis ini. Ia cuma pukulan didik yang ringan seperti jentik bahu atau pulas telinga dan bukannya pukulan kasar yang meninggalkan parut fizikal atau emosi. Batas pukulan ini dijelaskan dalam sebuah hadis lain:

“Janganlah dipukul (seseorang itu) melebihi 10 sebatan, kecuali ketika melaksanakan satu hukuman yang ditetapkan Allah (seperti 80 sebat bagi penuduh tanpa bukti dan 100 sebat bagi penzina yang belum berkahwin),” – Sahih Bukhari.

DOA UNTUK SEMUA

Pernahkah kita terfikir mengapa kata ganti nama doa dalam ayat 6, Surah al-Fatihah yang menjadi Rukun Solat didatangkan Allah dengan lafaz jamak (plural) atau ramai?

Mengapa Allah sebut “tunjukkan kami jalan yang lurus” dan bukannya lafaz individu “tunjukkan aku jalan yang lurus”. Antara signifikannya ia adalah suatu ingatan agar kita turut mendoakan semua Muslim dilimpahi petunjuk daripada Allah dan antara petunjuk terbaik adalah kesedaran untuk mengiktiraf Allah sebagai Tuhan dengan melaksanakan rukun kedua Islam ini.

Selain itu, solat adalah warisan para nabi dan orang soleh. Jika kita telusuri dalam al-Quran, para nabi digambarkan Allah sebagai hamba yang bernafas dengan ‘oksigen’ solat:

  • Nabi Ibrahim (Ibrahim 14:37 & 40)
  • Nabi Musa (Taha 20:13])
  • Nabi Isa (Maryam 19:30-31)
  • Nabi Zakaria (Ali ‘Imran 3:39)
  • Maryam (Ali ‘Imran 3:43)
  • Nabi Syu’aib (Hud 11:87)
  • Nabi Ismail (Maryam 19:54)
  • Nabi Muhammad SAW (Taha 20:132)

ALAM INI ADA PEMILIKNYA!

Percayalah! Apabila Allah sudah hilang daripada jiwa manusia dalam kitaran lima waktu sehari, nafsu dan syaitan akan mengisi kekosongan itu:

“Kemudian mereka diganti oleh keturunan yang mencuaikan sembahyang dan menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),” (Maryam 19:59).

Jika orang yang kekal solat pun masih terdedah kepada dosa, bayangkan orang yang tak kenal solat? Orang yang solat adalah orang yang kenal Tuhan mereka.

Mereka sedar kekurangan dan kelemahan diri apabila melakukan dosa kerana mereka masih dalam kitaran penyembahan kepada Allah lima kali sehari. Lambat laun solatnya yang bergerak bersama nafasnya lima kali sehari akan membersihkan jiwanya sebagaimana firman Allah ini:

“Bacalah dan ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan,” (al-Ankabut 29:45).

Bagi orang yang tidak solat, tiada lagi peringatan harian yang boleh mengingatkannya betapa alam ini ada Tuhan, ada dosa pahala dan balasan akhirat.

Kesimpulannya, paksa didiklah diri dan anak keturunan kita untuk konsisten bersolat serta mengenal Allah! Jangan hanya solat sendiri, rangkumkan bersama anak keturunan agar kebahagiaan keluarga disuburkan dengan perlaksanaan arahan Allah:

“Dan perintahkanlah keluargamu dan umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa,” (Taha 20:132).

 

Tangani kelicikan syaitan

Susunan Hashnan Abdullah

 

FIRMAN Allah dalam surah al-Baqarah: 168, bermaksud “…dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana syaitan itu adalah musuh nyata bagimu”, bukan sahaja selalu disebut oleh penceramah dalam kuliah agama tetapi turut menjadi antara elemen penting untuk ibu bapa mendidik anak-anak agar akidah Islam mereka kekal sehingga akhir hayat.

Bagaimanapun, seorang pendakwah kelahiran New South Wales, Australia, Kamal Saleh mengakui bahawa segelintir umat Islam tidak menghayati intipati yang terkandung dalam firman Allah itu. Ini jelas dalam kebanyakan kes, mereka seperti ketagihan untuk melakukan maksiat atau lebih tepat mengikut jejak langkah syaitan.

“Saya yakin setiap Muslim pasti ada terdetik dalam hati untuk mengelakkan situasi tersebut kerana gerun dengan azab Allah SWT ketika di dunia mahu pun akhirat nanti.

“Pasti ada tertanya-tanya, apakah cara untuk mengatasi ketagihan itu? Nasihat yang boleh saya berikan ialah menewaskan iblis atau syaitan melalui permainan yang mereka ciptakan,” katanya yang dipetik dari laman web, iLovUAllah di YouTube, baru-baru ini.

Ikuti temu bual bersama beliau di bawah ini:

Boleh tuan jelaskannya?

Kamal Saleh: Kita bukan hanya kena pelajari dan fahami terlebih dahulu helah atau cara syaitan memanipulasikan manusia, bahkan mengenal pasti pendekatan untuk mengatasi tipu daya mereka itu.

Ini kerana, tanpa pengetahuan sedemikian, musuh utama manusia itu akan mudah mendekati dan seterusnya menyebabkan kita terus terjerumus dalam tabiat atau berkelakuan buruk secara berulang kali.

Bagaimana dia (syaitan) melakukannya?

Iblis atau syaitan sebenarnya mempunyai formula khusus yang mereka ikuti sepanjang masa, iaitu mereka datang kepada kita secara berperingkat-peringkat.

Mereka tidak datang secara tiba-tiba sambil berkata-kata, “Hei, jom kita buat dosa.” Sebaliknya, dia akan membuatkan kita memandang ringan atau remeh terhadap sesuatu kelakuan atau tindakan (dosa) itu.

Contohnya, dia (syaitan) tidak akan datang kepada kamu dan kata, “Hei, kamu kena tengok filem lucah,” atau “Hei, kamu sepatutnya minum arak.”

Tetapi dengan kata-kata, “Hei, tengoklah video muzik atau filem ini. Ia tidak haram walaupun ada serba sedikit perkara tidak baik di dalamnya.”

Kata-kata itu diluahkan dalam nada pujukan berterusan sehingga menimbulkan rasa keraguan atau was-was dalam diri tentang hukum atau pandangan Islam terhadap tindakan (dosa) tersebut.

Jadi, bagaimana untuk elakkan situasi itu?

Jangan dekati perkara yang berpotensi haram. Jika kita berada dalam satu persekitaran atau bersama dengan kawan-kawan tertentu yang mendedahkan kepada tindakan haram, maka tinggalkan atau jauhi dengan segera.

Ini supaya kita tidak terperangkap dengan rantaian pujukan syaitan yang bermula dengan melihat sebelum disusuli oleh perbualan, kemudian senyuman, pelukan dan pastinya berakhir dengan kemurkaan Allah SWT.

Apa nasihat tuan?

Kita sepatutnya menegur diri sendiri. Jika persekitaran, kawan, pandangan dan lain-lain yang membawa kepada melakukan tindakan yang diharamkan, maka berhentilah dan buang jauh-jauh atau fikirkan perkara lain.

Kita juga perlu paksa diri berada dalam persekitaran yang berupaya melindungi dan membolehkan ingatan kepada Allah SWT dilakukan dengan lancar.

Percayalah, ia mampu menyelamatkan kita daripada terjatuh dan terus terperangkap dalam kawalan syaitan untuk selamanya.

Rezeki tidak disangka buat hamba beriman

HAMBA Allah SWT yang sejati tidak akan pernah beralasan untuk jauh daripada agama termasuklah apabila didatangi dengan dugaan atau ujian sehingga dalam keadaan tertentu dia merasakan apa yang diterima itu, melebihi batas kemampuannya.

Dalam konteks kehidupan hari ini, tidak dinafikan ramai yang merungut dengan cabaran ekonomi semasa hingga ada yang terpaksa melakukan dua atau tiga kerja sehari semata-mata ingin mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga.

Desakan itu akhirnya membuatkan ada yang lalai dalam melaksanakan perintah kepada Allah SWT, lalu terus hanyut kerana gagal membina hubungan yang seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi.

Pendakwah, Mohamad Azizi Satibi, berkata umat Islam perlu memahami konsep rezeki menurut syarak supaya tidak sesekali menyalahkan takdir, sebaliknya lebih berusaha keras untuk mencari sumber yang diredhai dan diberkati Allah SWT.

“Konsep rezeki itu ada dua, iaitu rezeki yang dicari dan yang mendatangi kita. Ramai yang memahami konsep rezeki yang dicari, tetapi mungkin kurang arif terhadap rezeki yang datang dengan sendirinya.

“Perkara ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa, akan dilepaskan daripada masalah hidup dan akan diberi rezeki yang tidak diketahui dari mana sumbernya (At-Tholaq: 2-3),” katanya.

Tingkatkan ketakwaan

Mengulas lanjut, Mohamad Azizi berkata, Allah SWT memerintahkan manusia untuk mencari rezeki, bekerja dengan tekun dan sabar serta mentaati-Nya.

Orang yang bertakwa akan sentiasa takut kepada Allah SWT, walaupun ketika saat sibuk bekerja. Golongan sebeginilah yang akan didatangkan rezeki lain yang dia sendiri tidak mungkin menyedarinya sebagai ganjaran terhadap kepatuhan-Nya yang tidak berbelah bahagi.

Katanya, sekiranya masih ada umat manusia yang beralasan jauh dari agama hanya kerana desakan hidup, jelaslah individu terbabit masih belum benar-benar menjadi hamba Allah SWT.

“Oleh itu gelaran hamba Allah yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk Mikraj menjadi gelaran tertinggi kepada manusia.

“Apabila kita benar-benar menjadi hamba-Nya, maka sikap sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT akan ada, terutama jika benar-benar umat Islam memahami sifat-Nya yang baik termasuk yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani dan Maha Pemberi Rezeki,” katanya.

Beriman qada dan qadar

Mohamad Azizi yang juga Bilal di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam berkata, setiap makhluk yang diciptakan sudah tertulis rezeki padanya.

“Mempercayai qada dan qadar ialah satu daripada rukun iman. Di situ juga ada manusia yang dangkal pandangan menyatakan, kalaulah rezeki sudah tertulis, maka tentulah jika ia miskin maka keadaan ini kekal selamanya.

“Bagi orang yang dilahirkan kaya pula, dianggap sebagai tidak perlu berusaha kerana takdirnya sedemikian rupa.

“Hujah ini boleh dipatahkan dengan dalil akal, iaitu sememangnya rezeki sudah ditetapkan tetapi sejauh mana kita tahu berapa banyak yang diperoleh. Oleh itu selain berusaha, digalakkan untuk umat Islam berikhtiar dengan cara berdoa dan tawakal kepada-Nya,” katanya.

Katanya, rezeki yang tidak disangka-sangka itu boleh datang dalam pelbagai bentuk sebagai tambahan kepada apa yang sudah diterimanya setiap bulan.

“Mungkin bagi orang yang bergaji RM1,500 sebulan, tetapi kualiti kerjanya dijaga dengan baik dan taat kepada suruhan-Nya. Selain gaji sedia ada, Allah SWT tambah nikmat dengan kelebihan kesihatan yang baik atau sentiasa ada orang yang bermurah hati untuk membantu saat berada dalam kesusahan.

“Sebaliknya bagi orang bergaji besar tetapi tidak menjadikan kerjayanya sebagai ibadat dan lebih parah tidak mengingati Allah SWT, nikmat gajinya Allah SWT boleh tarik antaranya didatangi pelbagai kesusahan,” katanya.

Tingkatkan kebergantungan kepada Allah SWT

Mohamad Azizi turut menghuraikan faktor seseorang itu terhimpit atau terputus punca rezeki disebabkan kurang kebergantungan kepada Allah SWT, sebaliknya merasakan wang seperti raja yang dapat mengawal segala-galanya.

“Kesibukan kerja menjadikan mereka ini kurang masa hadir ke kuliah agama, apatah lagi solat berjemaah di masjid. Ada juga yang culas dalam melunaskan zakat pendapatan, gajinya besar tetapi tidak mahu diagihkan kepada yang berhak.

“Bahkan, ada yang terlalu berkira sehingga duit kepada ibu bapa atau nafkah kepada anak dan isteri diabaikan secara sengaja, sekali gus menjadi antara sebab mengapa rezeki makin hari makin sempit,” katanya.

Antara lain, katanya, Islam juga menggalakkan umatnya supaya mencari rezeki yang halal dengan hasil usaha sendiri kerana ia akan diberkati oleh Allah SWT, manakala sifat suka meminta-minta daripada orang lain adalah antara perbuatan keji serta perlu dijauhi.

Kaedah menambah rezeki

Katanya, ada banyak kaedah yang dianjurkan Islam bagi menambah rezeki seperti yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.

Antaranya, termasuk dengan sentiasa berlapang dada ke atas apa saja yang ditakdirkan pada kita. Namun begitu, tidak pula kita disuruh berserah dan mengalah tanpa berusaha.

“Apa yang perlu kita usahakan adalah mencari keberkatan dalam rezeki. Ada banyak kaedah mencapainya, termasuk mensyukuri nikmat pekerjaan, memahami matlamat kehidupan dan konsep rezeki yang halal. Pada masa sama, menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama insan,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jikalau sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.” (Al-A’raf: 96)

Selain itu, Mohamad Azizi berkata, menjaga tiang dalam agama iaitu solat ialah kunci bagi mendapatkan redha Allah SWT kerana ibadat ini amalan pertama yang dihisab di akhirat kelak.

“Apabila mana Allah tidak redha, maka banyak kesusahan yang melanda.

“Jika kita mendapat kejayaan biarpun tidak solat dan menyempurnakan ibadah lain, sebenarnya individu itu sedang mendapatkan istidraj, iaitu nikmat yang diperoleh hanya menambahkan kufurnya kepada Allah SWT,” katanya.

Solat Sunat Gerhana Bulan jam 5 pagi esok Rabu 17 Julai 2019

Tarikh:17Julai2019

Jam:5.00pagi

Tempat: Masjid Pondok Pasir Tumboh

Zikir harian ubati penyakit waswas dalam solat

KESEMPURNAAN dalam solat tidak hanya terletak pada gerak-geri sebaliknya kita ditekankan supaya berusaha untuk mendapatkan khusyuk dalam melaksanakan ibadat yang dituntut lima kali sehari itu.

Malah untuk mendapatkan solat yang sempurna juga memerlukan seseorang itu menjauhi sifat waswas yang boleh mengganggu perjalanan ibadat yang dilakukan.

Antara penyakit waswas yang sering berlaku adalah ketika berniat takbiratul ihram dan juga terlupa rakaat dalam solat.

Pendakwah bebas, Irwan Zahuri, berkata tidak khusyuk dan penyakit was-was dalam solat ini berlaku disebabkan hati yang tidak dihidupkan dengan amalan zikir.

Irwaan berkata, khusyuk adalah antara perkara sunat di dalam solat yang menjadi pelengkap bagi solat.

Imam Nawawi dalam kitab karangannya, Al-Azkar menyebut disunatkan untuk khusyuk dalam solat dan tunduk, mentadabbur atau merenung ayat bacaan serta zikir di dalamnya, sekali gus berpaling daripada memikirkan perkara yang tiada kaitan dengannya.

“Seperti lidah, hati juga boleh berkata-kata. Jadi zikir haruslah dijadikan amalan seharian dan dalam masa yang sama harus memahami makna zikir yang dialunkan.

“Ini kerana hati seperti tanah, sekiranya tidak ditabur dengan baja boleh menyebabkan ia menjadi gersang. Jadi hati yang tidak disirami dengan amalan yang boleh menghidupkan hati boleh menjadikan ia rosak dan seterusnya timbul penyakit hati seperti waswas dalam solat,” katanya.

Katanya, penyakit waswas dan tidak khusyuk dalam solat, walaupun solat yang dilaksanakan adalah sah dan tidak terbatal tetapi ulama bersepakat bahawa ia boleh menjadi makruh.

Pendapat itu dikemukakan oleh Imam Nawawi berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan waswas ataupun bermonolog dalam diri mereka selama mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.” (HR Bukhari)

Katanya, Allah SWT mencela dan menyediakan neraka wail kepada umat-Nya yang lalai dalam menyempurnakan solatnya berdasarkan firman-Nya: “Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Al-Maa-uun: 4-5)

Katanya, mengambil dalam konteks semasa, ramai yang mengambil mudah terhadap solat termasuklah melewatkan solat dengan sengaja sebaliknya lebih mementingkan hal keduniaan.

Justeru, beliau yang juga Mudir Madrasah Riyad Adduafa’ Wal Masakin di Subang Bestari berkata, penerapan dalam solat harus dilakukan supaya dapat merasai khusyuk dalam solat.

Katanya, banyak amalan yang boleh dilakukan seperti yang diunjurkan oleh Rasulullah SWT antaranya melakukan persediaan dalam solat, solat pada awal waktu, memakai pakaian yang bersih dan kemas serta tidak bersolat dalam keadaan menahan air besar dan kecil.

Malah ketika bersolat juga, seseorang itu dituntut untuk memahami dan menghayati bacaan dalam solat.

Katanya, orang yang khusyuk dalam solat seterusnya dapat merasai nikmat dalam kehidupan sehariannya.

“Tingkat tertinggi dalam setiap ibadat yang dilakukan ialah ihsan, iaitu kita menyembah Allah SWT seolah-olah melihat-Nya dan jika kita tidak melihatnya, Dia yang Maha Melihat segala sesuatu termasuk kita.

“Jadi untuk mencapai kesempurnaan dalam solat, seharusnya kita harus menginsafi diri dan menerapkan diri dengan pelbagai amal yang menjadikan khusyuk dalam solat.

“Seterusnya solat kita tidak menjadi sia-sia dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya.