• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,720 orang
  • Kandungan Blog

Daftar Pelajar Muslimat Pondok Pasir Tumboh DITUNDA kepada 29 Jun 2019

السلام عليكم
Makluman kepada ustazah/pelajar muslimat/ibubapa bahawa proses daftar masuk dan pembelajaran PELAJAR MUSLIMAT Pondok Pasir Tumboh sahaja DITUNDA kepada 25 Syawal 1440H/ 29 Jun 2019M kerana kerja penyelenggaraan asrama muslimat masih berjalan
Manakala proses daftar masuk PELAJAR MUSLIMIN, KELAMIN DAN WARGA EMAS kekal pada Sabtu ini 18 Syawal 1440/ 22 Jun 2019
Segala kesulitan dipohon ribuan kemaafan

Daftar baru Pondok Pasir Tumboh akan dibuka 18 Syawal nanti

Cara paling Afdhal Tunai Puasa 6 Syawal

SETELAH sebulan menghadapi cabaran Ramadan, sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan kemuncak kepada kegembiraan bagi umat Islam setelah tamat melakukan kewajipan yang disyariat dalam rukun Islam ketiga itu.

Lazimnya, rata-rata umat Islam tidak melepaskan peluang mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi bagi menyambut hari kemenangan yang dianugerahkan pada bulan Syawal itu.

Bagaimanapun, dalam kegembiraan tersebut, tidak bermakna kita tidak dituntut melakukan ibadah lain. Hakikatnya, bulan Ramadan yang dilalui selama sebulan perlu dijadikan permulaan bagi mendidik jiwa untuk terus istiqamah dalam beribadat kepada Allah SWT.

Kesinambungan daripada itu, puasa enam hari pada bulan Syawal merupakan amalan sunat yang sangat digalakkan untuk dilakukan oleh umat Islam bagi memperoleh kelebihan berlipat ganda yang ditawarkan dan janjikan oleh Allah SWT.

Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka pahalanya adalah sama seperti puasa sepanjang tahun.”

Namun, permasalahan mengenai puasa enam sering menjadi kekeliruan apabila menjelang Syawal. Antaranya, adakah puasa enam boleh digabungkan dengan puasa qada pada bulan Ramadan atau perlu dilaksanakan secara berturut-turut dan banyak lagi.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Dr. Irwan Mohd. Subri berkata, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai persoalan puasa enam, namun pandangan yang paling afdal adalah mengikut mazhab Shafie.

Bagaimanapun tambahnya, pandangan mazhab lain masih boleh diamalkan dan diterima amalannya oleh Allah SWT kerana Islam tidak memberatkan hambanya untuk melakukan ibadah.

“Kesimpulan ringkas yang boleh diambil adalah, puasa enam boleh dilakukan dengan tiga keadaan iaitu qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam, puasa enam dahulu kemudian diikuti dengan puasa qada dan harus juga digabungkan kedua-duanya.

“Namun yang paling afdal dilakukan adalah keadaan pertama iaitu memisahkan puasa qada dan puasa enam dengan melakukan puasa qada terlebih dahulu kemudian diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal.

“Ini bagi memperbanyakkan amalan kita kepada Allah SWT,” katanya.

Afdal berturut-turut

Melihat budaya sambutan Aidilfitri di negara ini yang kebanyakan umat Islam mengadakan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi yang memakan masa berhari-hari, diharuskan melakukan puasa enam secara berselang seli.

Mengulas mengenai kekeliruan melakukan puasa enam secara berturut-turut, Irwan berkata, tidak disyariatkan untuk berbuat demikian, namun perbuatan tersebut merupakan amalan yang paling afdal.

Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang bertakwa. (Ali-Imran: 133)

“Tidak disyaratkan untuk dilakukan puasa enam secara berturut-turut. Ia boleh juga diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

“Namun, menurut pendapat ulama, termasuk mengikut mazhab Syafie dan Imam Nawawi yang terbaik ialah melakukannya secara berturut-turut dan lebih afdal lagi dimulai dari hari raya kedua,” jelasnya.

Puasa 6 Syawal hadiah Nabi Muhammad pada umatnya

Ustaz Zainudin Hashim
Nabi Muhammad s.a.w merupakan Rasul terakhir yang diutus oleh Allah SWT ke muka bumi ini.Baginda bukan sahaja sibuk dengan tugas utamanya iaitu menyampaikan ajaran Islam daripada Allah kepada umat manusia, malah memiliki sifat-sifat terpuji atau sifat Rabbaniah (ketuhanan dalam diri).Ini kerana baginda bukan setakat menghubungkan diri dengan Allah (Hablun Minallah) dalam segenap urusan serta tindakannya, malah tidak lupa juga menghubungkan diri dengan manusia sekeliling terutama umatnya (Hablun Minan Nas).Setiap apa yang diungkapkan oleh baginda, sama ada berupa berita gembira atau berita yang mengancam mereka di akhirat, baginda sentiasa memikirkan agar umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT berupa pahala dan ganjaran yang membolehkan mereka layak memasuki syurga Allah.Ganjaran setahun dengan amalan puasa enamBegitulah halnya dengan puasa enam di bulan Syawal, baginda mahukan dari umatnya agar sentiasa peka dalam menambahkan koleksi pahala selepas puasa sebulan Ramadan, kerana bulan yang mulia ini adalah latihan untuk dibuktikan selepas ia melabuhkan tirainya.Berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal di ketika ramai orang berseronok menjamah makanan yang lazat-lazat, memperlihatkan seseorang itu mengharapkan pahala satu tahun berpuasa, ini kerana dalam kalender Islam hanya tercatat 355 hari berbanding bulan Masehi 365.

Kalau seseorang itu melakukan 30 hari puasa Ramadan, setiap hari diganjari dengan 10 pahala, ia bermakna seseorang itu telah berpuasa 300 hari, ditambah dengan enam hari di bulan Syawal, ia akan menjadikan 360 hari bagaikan satu tahun pahala berpuasa.

Perkara ini disandarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.” (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

Inilah yang dikatakan ingatan Nabi terhadap umatnya, begitulah juga dengan peringkat awal kefarduan solat pada malam Mi’raj ke langit, Nabi kenangkan umatnya yang tidak akan mampu untuk melaksanakan 50 waktu sembahyang hingga bermohon ke hadrat Allah agar dikurangkan hingga menjadi lima waktu sahaja. Itu pun ada di kalangan umat Islam yang tidak melakukan solat fardu lima waktu.

Izin suami penting untuk puasa enam

Walaupun dijanjikan pahala setahun dengan melaksanakan puasa enam Syawal, seorang isteri perlu mendapatkan izin suaminya terlebih dahulu, kerana puasa enam tersebut adalah sunnat, sedangkan mentaati suami yang berkeinginan adalah wajib diutamakan, melainkan suami reda dengan pelaksanaan puasa tersebut.

Apatah lagi jika seorang isteri yang tertinggal puasa Ramadan kerana uzur syar’ie, dia digalakkan untuk mengqada’nya pada bulan Syawal diniatkan untuk qada’ puasa di samping ibadat puasa sunat pada masa yang sama, insya-Allah dengan cara itu dia tidak akan terlepas untuk mendapatkan pahala setahun berpuasa.

Bagaimana dengan sikap kita terhadap baginda Rasulullah?

Kalau disebutkan di atas tadi bahawa, baginda sering mengenang dan mengingatkan umatnya dalam segenap tindakannya, bagaimana pula dengan diri kita yang serba kurang dan kerdil bila berhadapan dengan Allah SWT.

Apakah setiap tindakan, perbuatan, kenyataan, perakuan yang terbit dari diri lidah kita yang tidak bertulang itu memperlihatkan kita benar-benar mengenang dan mengingati Nabi ajaran Muhammad s.a.w.

Benarkah kita mengingati Nabi ketika membuat keputusan mesyuarat tidak sedikit pun menyingung peribadi atau ajaran baginda.

Dalam banyak masalah yang dihadapi oleh umat Islam dalam negara kita hari ini termasuk masalah remaja, mereka jarang sekali menyelesaikannya dengan kaedah yang ditunjukkan oleh baginda menerusi wahyu al-Quran, masalah perzinaan sebagai contoh, bila sabit kesalahan dengan saksi-saksi yang ada, sepatutnya bagi orang yang berzina yang sudah berkahwin direjam sampai mati dan yang belum kahwin disebat, tetapi ajaran Nabi Muhammad ini ditukar kepada undang-undang denda dan penjara.

Adakah tindakan manusia hari ini membolehkan mereka mendapatkan syafaat (recommend) baginda pada hari kiamat sedang baginda sentiasa memikirkan bagaimana untuk umatnya mendapat yang terbaik daripada Allah SWT?

Tepuk dada tanda iman! – mks._

Adab berziarah

BERZIARAH dan saling bermaafan adalah tuntutan agama.

AMALAN ziarah-menziarahi sememangnya dituntut oleh agama. Bukan sekadar menziarah kaum keluarga atau sanak saudara bahkan jiran-jiran terdekat hatta individu yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

Tujuan kunjung mengunjung adalah untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan. Bukan bertujuan untuk mendapatkan duit raya, memperaga baju raya paling cantik, mahal ataupun melihat setiap hiasan atau susun atur rumah yang kita kunjungi.

Islam memperincikan beberapa syarat atau adab yang perlu diamalkan ketika seseorang Muslim berhasrat untuk menziarah jiran atau sanak saudara, bukan sahaja pada hari raya malah ketika hari-hari biasa.

Adab-adab tersebut diperincikan bermula daripada sebelum berziarah, semasa menziarah, selepas menziarah dan perkara-perkara yang perlu dihindarkan ketika berziarah.

Adab-adab sebelum berziarah

*Memilih masa yang sesuai

*Memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat

*Berniat pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah

Masa yang sesuai dikira berdasarkan keselesaan pihak yang anda kunjungi, bukan keselesaan pihak anda.

Sebagai contoh, kunjungan ke rumah seseorang tanpa perkhabaran terlebih dahulu, melebihi pukul 10 malam kerana masa tersebut dikira sebagai masa rehat, bukanlah masa yang sesuai. Jalan terbaik, khabarkan terlebih dahulu kepada tuan rumah mengenai kunjungan anda.

Adab semasa menziarah

*Memberi salam dan bersalaman

*Meminta izin untuk masuk

*Memendekkan tempoh ziarah

*Mengawal pandangan

*Merendahkan suara

Memendekkan tempoh ziarah bermaksud tidak bersenang-senang di rumah tersebut untuk jangka masa yang lama.

Seseorang dikira sebagai tetamu hanya di dalam tempoh tiga hari ziarah. Walaupun begitu, anda perlu peka dengan keadaan dan situasi tuan rumah, agar kunjungan anda tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka.

Mengawal pandangan pula termasuklah mata anda tidak meliar atau merayau-rayau ke segenap ceruk rumah meneliti setiap hiasan atau susun atur kelengkapan rumah yang anda kunjungi.

Adab selepas menziarah

*Meminta izin apabila hendak beredar

*Memberi salam dan bersalaman sebelum beredar

Perkara yang perlu dihindarkan semasa menziarah

*Enggan memberi salam

*Masa yang tidak bersesuaian

*Mengaibkan tuan rumah

*Mengumpat

Satu perkara yang perlu diingat adalah memberi salam kepada tuan rumah turut mempunyai syarat yang tertentu.

Jika pintu rumah terbuka, jangan berdiri di depan muka pintu dan memberi salam. Anda perlu berdiri agak jauh dari muka pintu, anggaran tidak dapat melihat isi rumah termasuk tuan rumah, bimbang terdedah aurat tuan rumah atau apa-apa sahaja yang mungkin tidak mahu diperlihatkan oleh tuan rumah.

Mungkin nampak mudah dan agak remeh namun jika tidak diberi perhatian, kunjungan anda mungkin boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan. Salam Aidilfitiri dan ziarahlah dengan hati yang suci.

Lailatul qadar rangsangan untuk lipat ganda ibadat

Oleh Ibrahim Abdullah

MALAM lailatul qadar turut dikaitkan dengan beberapa riwayat menceritakan sebab diturunkan surah al-Qadr yang menjadi rujukan setiap Ramadan untuk mengingatkan umat Islam anugerah satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Dikisahkan dalam satu riwayat oleh Ibn Hatim dan al-Wahidi, Rasulullah SAW pernah menyebut seorang Bani Israel yang berjuang fisabilillah menggunakan senjatanya selama seribu bulan terus menerus. Kaum Muslimin mengagumi perjuangan orang itu. Maka Allah menurunkan surah al-Qadar, ayat 1-3.

Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa dalam kalangan Bani Israel terdapat seorang lelaki yang suka beribadah malam hari hingga pagi dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Perbuatan itu dilakukan selama seribu bulan.

Sahabat kagum dan iri hati dengan lelaki Bani Israel yang beribadah dan berjihad selama seribu bulan sedangkan ajaran Islam baru disebarkan Nabi, ramai yang masuk Islam pada umur 40 tahun atau lebih. Sehingga sisa waktu mereka hanya 20-30 tahun saja.

Justeru itulah, turun ayat mengenai lailatul qadar untuk direbut kelebihannya yang menyamai beribadat selama seribu bulan. Maka, digalakkan kita memperbanyakkan solat, zikir, doa, bertadarus, membaca al-Quran, bersedekah, dan berjihad di jalan Allah pada malam lailatul qadar.

Malam lailatul qadar terjadi pada malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan (malam ke 21, 23, 25, 27 atau 29).

Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan dan Baginda bersabda yang bermaksud: Carilah malam qadar pada malam ganjil dari 10 malam terakhir dari Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu Umar: “Bahawa beberapa sahabat Nabi melihat lailatul qadar dalam mimpi tujuh malam terakhir, maka barang siapa mencarinya hendaklah ia mencari pada tujuh malam terakhir.” (Muttafaq Alaih)

Ibnu Abbas menyatakan bahawa Nabi bersabda bermaksud: “Carilah lailatul qadar pada malam 10 yang terakhir dari (bulan) Ramadan. Lailatul qadar itu pada sembilan hari yang masih tersisa, tujuh yang masih tersisa dan lima yang masih tersisa.” (Hadis riwayat Bukhari)

Tanda-tanda malam lailatul qadar seperti diriwayatkan daripada Ubay, beliau berkata: “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Pagi hari malam lailatul qadar, matahari terbit tanpa sinar menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi.” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Malam lailatul qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, dan keesokan harinya cahaya sinar matahari melemah kemerah-merahan.” (Hadis riwayat Tayalisi, Ibnu Khuzaimah, Bazzar)

Mengisi malam lailatul qadar, Nabi Muhammad SAW beriktikaf di masjid, Baginda bersolat wajib dan sunat, membaca al-Quran, berzikir serta berdoa.

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang mendirikan (solat malam/tarawih) kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Adapun ciri-ciri orang yang mendapat malam lailatul qadar adalah dia beribadah lebih rajin daripada sebelumnya.

Siapa layak dapat kelebihan Lailatul Qadar

Oleh ANZARUDDIN AHMAD

 

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak
keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh
berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr
dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada
Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini
(Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan
ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya
daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu,
sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan
kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak
mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang
beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan
keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat
Muslim).

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan.
Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir
Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada
malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang
siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam
ke-27 (riwayat Ahmad).”

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada
malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam
itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada
hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan
mengharapkan keredaan Allah.

Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan
orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada
malam-malam tertentu sahaja.

Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas,
khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu
sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia
umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek
hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh
umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud
satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang
mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah
dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh.
Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik
daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar
mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini,
Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam
menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar
lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati
isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti
solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan
seumpamanya.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang
sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami!
Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di
akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang
pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk
memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah
dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.

Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh
tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan
amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun
kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak
terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang
dilarang Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak
akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada
kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat
al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan
dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan
itu.

Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau
ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang
menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang
disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal
kemudian hari