Mengejar kelebihan Ramadhan dengan amalan soleh

Mohd. Shah Che Ahmad

 

Sebagaimana kelaziman, minggu pertama Ramadan dilihat seperti ‘pesta’ bagi umat Islam tidak kira di mana sahaja untuk berpusu-pusu ke masjid atau surau. Sehinggakan di sesetengah kawasan, pihak surau terpaksa menyediakan khemah dan tikar tambahan bagi menampung jemaah yang ramai. Inilah yang dikatakan ‘satu… banyak-banyak.’

Namun, permulaan baik menyambut kehadiran Ramadan itu mula berkurangan pada minggu seterusnya iaitu memasuki fasa kedua. Khemah dan tikar tambahan yang disediakan pada minggu pertama mula berkurangan.

Apabila memasuki minggu ketiga, bukan sahaja ruang tambahan, malah jemaah dalam ruang solat utama juga semakin berkurangan di kebanyakan tempat.

Malangnya, fenomena ini dilihat sangat bertentangan dengan saranan dan amalan Rasulullah SAW untuk menghidupkan malam-malam akhir Ramadan. Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis maksudnya: “Rasulullah SAW ketika memasuki 10 hari terakhir (Ramadan) menghidupkan malam harinya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.” – Riwayat Muslim

Justeru, mungkin inilah masa untuk sama-sama merenungi untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini sebagai Ramadan terbaik dengan meningkatkan pelbagai amalan kebajikan dan ibadah kepada Allah secara berterusan atau istiqamah, selagi gus mendidik jiwa bukan sahaja menutup amal kebaikan apabila berakhirnya Ramadan tetapi melaksanakan pada bulan seterusnya sepanjang tahun.

AMALAN DIAJAR RASULULLAH

1. Perbanyak berdoa

“Tiga doa mustajab; doa orang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang bermusafir.” – Riwayat Tirmizi

Antara doa diamalkan Rasulullah pada Ramadan:

“Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka.”

2. Solat berjemaah

“Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.” – Riwayat Bukhari

3. Solat witir

“Sesungguhnya Allah telah menganugerahi kamu satu solat yang lebih baik daripada unta-unta yang terbaik, iaitu solat witir.” – Riwayat Abu Daud

4. Dampingi al-Quran

“Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.” – Riwayat Bukhari

5. Selawat

“Sesiapa yang berselawat sekali, Allah akan berselawat atasnya 10 kali.” – Riwayat Muslim

6. Wuduk

“Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, keluarlah kesalahan daripada tubuhnya termasuk dari bawah kukunya.” – Riwayat Muslim

7. Banyakkan ibadah dan qiyamullail

“Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.” – Riwayat Bukhari

8. Bersedekah dan menaja juadah berbuka

Rasulullah SAW ditanya: “Sedekah apakah yang paling baik?” Baginda menjawab: “Sedekah pada Ramadan.” – Riwayat Tirmizi

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang menjamu seorang yang berpuasa, dia mendapat pahala sebanyak pahala orang yang berpuasa tersebut, tanpa dikurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” – Riwayat Tirmizi

Kelebihan berpuasa

1. Diampunkan dosa

  • “Sesiapa yang puasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, maka akan diampuni dosanya yang terdahulu.” – Riwayat Bukhari

2. Mulut seharum kasturi

  • “Dikurniakan kepada umatku pada Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampunkan bagi mereka pada akhir malam.” – Riwayat Ahmad

3. Perisai api neraka

“Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana dia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat.” – Riwayat Ahmad

4. Kegembiraan bertemu Allah

“Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya, sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan, apabila dia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya dia gembira.” – Riwayat Muslim

5. Mustajab doa

“Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa tidak ditolak.” – Riwayat Ahmad

6. Dibebaskan daripada api neraka

“Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam.” – Riwayat Ibnu Majah

7. Malam Lailatulqadar

Satu malam bersamaan 1,000 bulan sekurang-kurangnya. Amalan selama 1,000 bulan sekurang-
kurangnya bersamaan:

  • 147,654 solat fardu
  • 2,450 hari berpuasa Ramadan
  • 166 hari raya Aidilfitri dan Aidiladha
  • 4,333 solat Jumaat
  • 83 tahun

Perubatan tidak membatalkan puasa

  • Ubat titis mata dan telinga
  • Ubat tablet di bawah lidah yang digunakan oleh pesakit jantung
  • Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin)
  • Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray
  • Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan, berus gigi, dengan syarat tiada bahan memasuki perut daripada prosedur tersebut
  • Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jel atau plaster berubat
  • leropong dalam rongga perut (endoskopi) untuk mencari punca penyakit.
  • Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk dalam perut
  • Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat ke dalamnya (contoh: IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim)
  • Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain
  • Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur
  • Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya
  • Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut

PERKARA MEMBATALKAN 
PUASA

  • Masuknya sesuatu ke dalam rongga terbuka
  • Murtad iaitu keluar daripada Islam, sama ada niat dalam hati, perkataan, perbuatan
  • Haid, nifas atau melahirkan bayi
  • Gila walaupun sekejap
  • Pengsan sehari suntuk
  • Bersetubuh
  • Mengeluarkan mani
  • Muntah dengan sengaja.

 

Advertisements