Ramadhan bulan jinakkan nafsu liar

NAFSU itu diibaratkan seperti kuda liar. Kuda liar perlu dijinakkan dengan latihan. Menunggang kuda liar boleh menyebabkan penunggang tersungkur. Melatih kuda liar ibarat menjinakkan nafsu diri. Antara batas nafsul amarah ke nafsul lawamah sehingga terbina nafsul mutmainnah, ini menuntut proses dan jihad.

Ramadan diibarat madrasah mendidik nafsu dan hati. Walaupun syaitan dan iblis dirantai tetapi nafsu manusia masih bebas. Mengekang hawa nafsu dan mendidik hati amat penting supaya madrasah Ramadan membangun jiwa muttaqeen. Jiwa muttaqeen adalah jiwa yang terpedoman dengan rasa ubudiyyah yang tinggi dengan Allah.

Rasa ubudiyyah (keterikatan dengan Allah) sangat penting bagi seseorang mukmin kerana pancang hubungan dengan Allah menjadikan kita hamba yang taat dan khalifah yang bermanfaat . Hamba yang taat mampu mengawal nafsu dan mendidik hati supaya ada rasa kepatuhan, ketaatan, ketundukan dan keakuran terhadap suruhan Allah.

Khalifah yang bermanfaat terpancar dari jiwa kehambaan supaya apa saja yang dilakukan dalam hidup ini berada dalam lingkungan ibadullah dan ibadurrahman iaitu memiliki ketaatan kepada Allah dan kasih sayang yang tinggi terhadap orang lain.

Ramadan menyediakan para mukmin ruang untuk melakukan muhasabah dan taubat. Muhasabah dan taubat menjadi sesuatu yang amat penting kerana kita ini adalah manusia berdosa dan mohon keampunan kepada Allah adalah suatu tuntutan.

Ego diri yang sombong dan degil hati yang keras harus dijinakkan supaya kembali kepada fitrah diri yang menuntut supaya manusia menginsafi bahawa kudrat upaya yang ada pada kita adalah terbatas dan Allahlah satu-satunya yang Maha Perkasa atas segala.

Apabila kita berlapar hawa nafsu kita lapar sama. Tetapi bagaimana kelaparan itu membawa kita menginsafi kelompok yang tidak bernasib golongan miskin yang minta perhatian supaya makna kemanusiaan terpancar dan mendorong kita mengerti erti kesusahan dan kepayahan.

Tarawih yang kita kerjakan mendidik hati supaya berjiwa rukuk dan sujud dan sentiasa terikat dengan jamaah. Jiwa rukuk dan sujud membawa keinsafan bahawa kita adalah hamba-Nya dan keterikatan dalam jamaah adalah penting untuk membangun ummah.

Tadarus yang kita lakukan bakal mendekatkan kita dengan al-Quran kerana Ramadan dan al-Quran terhubung erat supaya ajaran al-Quran menjadi pedoman hidup kita dan hubungan terhadap yang ghaib menjadi dekat dan rapat.

Sunat tahajjud dan qiyam yang kita kerjakan lambang kehampiran dan kedekatan kita dengan Allah. Ini adalah proses mendidik nafsu dan hati supaya memiliki kepatuhan yang tinggi terhadap suruhan dan pantang larang Allah. Inilah kunci yang menjadikan manusia sentiasa berjiwa tawaduk terhadap Allah dan juga umat manusia dan mampu mengawal diri dari melakukan sesuatu yang menyalahi.

Kita tunaikan zakat fitrah lambang membersihkan harta dan mendekati kelompok asnaf. Kelompok ini perlu didekati dengan ikhlas lantaran Islam mendidik kita bertimbang rasa dan berlaku adil terhadap yang lain.

Aidilfitri yang bakal disambut lambang titik kemenangan dalam perjalanan rohaniah meningkatkan kualiti diri supaya tidak terjebak dengan perangkap hawa nafsu dan memiliki ubudiyyah tinggi terhadap pencipta dan mampu mengembalikan diri sebagai manusia fitrah.

Menjadi manusia fitrah kembali adalah impian melalui madrasah Ramadan dengan segala sukatannya dan ingin lahir sebagai insan soleh yang mampu mendamba diri untuk kehidupan setahun lagi supaya memiliki kualiti mutmainnah dan dapat menjalani hidup dengan aman dan cekal.

Inilah maksud Ramadan dan Aidilfitri yang hakiki supaya islah diri terjadi, transformasi amal berlaku dan kita bakal mampu berperanan untuk bulan-bulan seterusnya sehinggalah Ramadan datang lagi.

Kesan Ramadan yang penuh maknawi ini adalah matlamat ibadah ini dilakukan supaya barakah dari Allah diterima dan manfaat kepada yang lain dirasai. Bila nafsu dapat dijinakkan dan hati dapat digilap dengan keinsafan bahawa kita adalah dicipta dan tertakluk sebagai hamba dan khalifah, selagi itulah kesan ubudiyyah terhadap-Nya akan sentiasa berlaku.

Ibarat kuda yang liar setelah dijinakkan berupaya memacu perjalanan diri dengan tangkas dan patuh kepada tali kekang dan tuannya supaya perjalanan diri dan kehidupan sentiasa terpedoman dan terkawal. Itulah hikmah Ramadan dan Aidilfitri.

Ramadhan Bulan Didik Akhlak Mulia

MOHD. AYOP ABD. RAZID

 

KITA hari ini berada dalam lingkungan persaingan dan hidup berbangga-bangga dengan kehidupan dunia. Sifat keduniaan ini mendorong ramai individu yang materialistik, individualistik dan egoistik. Kesannya, pe­nyakit rohani seperti iri hati, hasad dengki, dendam dan permusuhan sesama manusia semakin berleluasa dalam masyarakat. Akal, jiwa dan perasaan manusia seolah-olah tertutup dalam perkara-perkara berkaitan ihsan dan kemanusiaan.

Untuk Islam ubatnya ada, iaitu melaksanakan ibadah puasa. Ulama tersohor nusantara, Prof. Hamka menyebut ibadah puasa berupaya mengetuk hati, iman dan akidah. Ibadah ini dapat menyatukan akal, perasaan, jiwa dan sanubari in-
san kerana ketika berpuasa kita sebenarnya melakukan ‘al-muja-hadah’ atau bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.

Al-mujahadah dapat membantu kita membentuk jiwa yang sentiasa khauf (takut) balasan akhirat dan pengadilan Ilahi di Padang Mahsyar nanti. Dari sudut tasawuf, bermujahadah melawan hawa nafsu ketika berpuasa menyebabkan berlakunya proses pembersihan diri (takhali) iaitu sifat-sifat keji yang ada dalam hati dibuang dan diisikan (tajali) dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat mulia). Maknanya, ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Kesan positif yang terhasil daripada ibadah puasa yang dilaksanakan dengan penuh penghayatan itu mampu membina dan menyuburkan kembali nilai akal budi insan. Akal budi insan akan menjadi jernih dan murni.

Dalam konteks ini, bulan puasa secara tidak langsung menjadi bulan ‘kempen budi dan nilai-nilai murni’. Ada kewajarannya kita menganggap demikian kerana di bulan mulia inilah kita dianjurkan membaiki akhlak dan melakukan amalan-amalan mulia dengan menyantuni sesama manusia, membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui amalan sedekah, infaq dan ibadah zakat.

Budi merujuk kepada akhlak mulia yang mengandungi nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi. Budi juga merujuk kepada perlakuan tata hidup, kesopanan dan kesusilaan, tata terbit, kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang menggambarkan kualiti pemikiran dan perasaan seseorang atau sesuatu bangsa itu.

Puasa yang dilakukan de­ngan penuh penghayatan akan membawa kita kembali hidup bermasyarakat secara harmoni. Ibadah puasa dapat mendidik kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri. Menurut Hamka ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan dirasionalkan oleh akal sehingga lapar dan dahaga yang dirasai itu mampu mengetuk pintu hati dan menghapus rasa keangkuhan diri. Akal budi akan kembali jernih hingga menumbuhkan rasa kasih sayang dan belas ihsan terhadap orang yang kurang bernasib baik serta mereka yang berada dalam kesulitan dan musibah.

Kesannya akan wujudlah hubungan harmoni antara golong­an kaya dan golongan miskin. Orang berada akan menjadi lebih dermawan dan orang yang memiliki kuasa akan menjadi le­bih penyayang. Hakikatnya, ibadah puasa yang dilakukan dengan sempurna dapat memupuk persaudaraan dan silaturahim sesama umat Islam. Inilah masanya hubungan dan perpaduan sesama umat Islam yang telah terjejas dipereratkan kembali.

Untuk mencapai hakikat persaudaraan Islam maka hendaklah kita jauhi sifat-sifat mazmumah seperti buruk sangka, kebencian, permusuhan, hasad, iri hati, mencaci dan mengata nista. Rasulullah SAW pernah ditanya, “Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?” Lalu ba­ginda menjawab, “bercakap dusta dan mengumpat”. Jika puasa kita sia-sia maka kita gagal membentuk akal budi yang jernih.

Kesimpulannya, Ramadan adalah ‘madrasah rohaniah’ dan bulan ‘kempen budi dan nilai-nilai murni’ yang mampu membawa manusia mencapai ‘islah al-basyar’ atau transformasi kemanusiaan. Ibadah puasa dapat mendidik jiwa mukmin, melembutkan perasaannya serta membawanya kepada ‘muraqabah’ atau mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Hargai kedatangan Ramadhan dengan amal soleh

SEKEJAP sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik kita sudah melangkah masuk ke bulan Ramadan. Terasa masih baru berpisah dengan Ramadan tahun lalu. Mengapakah masa dirasakan semakin laju bergerak? Adakah putaran bumi semakin laju? Tidak sama sekali! Rasa deras masa berlalu termasuk dalam rangkuman “tanda akhir zaman” yang disebut oleh Rasulullah SAW:
“Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah masa menjadi singkat, setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan satu Jumaat, Jumaat bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma,” – Sunan Tirmizi.

Oleh itu, segeralah panjatkan syukur kepada Allah apabila sekali lagi berjaya melangkah kepada bulan ini. Perhatikan kisah mimpi yang sungguh ajaib ini. Jadikan ia motivasi untuk melajukan pacuan ibadah pada Ramadan ini kerana belum tentu pada tahun depan ia menjadi milik kita.
“Talhah bin Ubaydillah menceritakan, pada suatu hari dua orang lelaki dari suku Baliyy datang bertemu Rasulullah SAW. Kedua-duanya memeluk Islam secara serentak. Seorang daripada mereka begitu bersemangat untuk berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai perang dan gugur syahid. Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun sebelum meninggal dunia.

“Talhah menyambung: “Pada suatu hari aku bermimpi bersama mereka berdua di pintu syurga, kemudian keluar malaikat dari syurga lalu mengizinkan lelaki yang mati kemudian memasuki syurga, kemudian malaikat tadi keluar lagi dan mengizinkan lelaki yang gugur syahid itu memasuki syurga, kemudian dia datang semula kepadaku dan berkata: “Engkau pulanglah, kerana giliranmu memasuki syurga masih belum sampai.

“Menjelang pagi Talhah menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi kepada orang ramai, maka mereka semua hairan dengan mimpinya. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan mereka menceritakannya kepada baginda. Tanya baginda: Apa yang menghairankan kamu semua? Mereka menjawab: Wahai Rasulullah SAW lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga.

“Jawab Nabi: Bukankah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun? Jawab mereka: Benar. Sambung baginda lagi: Bukankah dia telah mendapat bulan Ramadan dan berpuasa dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu? Jawab mereka: Benar. Sabda Nabi SAW: Maka beza antara mereka lebih jauh dari langit dan bumi,” – Sunan Ibn Majah.

NILAI RAMADAN

Bagi memudahkan kefahaman berkaitan hamba Allah dan hamba Ramadan, izinkan saya beranalogi. Apa ada dengan tarikh “31 Ogos” setiap tahun bagi Malaysia tanpa adanya peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu? Begitulah juga dengan Ramadan, apa ada dengan Ramadan tanpa penurunan al-Quran? Bukan setakat al-Quran, Ramadan turut dimasyhurkan Allah dengan penurunan banyak wahyu langit. Sabda Rasulullah SAW:
“Suhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama Ramadan, Taurat pada 6 Ramadan, Injil pada 13 Ramadan, Zabur pada 18 Ramadan dan al-Quran pada 24 Ramadan,” – Musnad Ahmad.

Walaupun Ramadan begitu istimewa berbanding bulan lain, jangan pula kita menjadi hamba Ramadan tetapi jadilah hamba Allah yang melimpahkan siraman rahmat-Nya dalam bulan ini. Petanda mudah mengenal hamba Ramadan adalah orang yang hanya mengenal Allah pada bulan ini sahaja. Setelah berlalunya Ramadan, rasa gerun, takut dan cinta kepada Allah menyusut lantas hilang ditelan masa.

Mengejar kelebihan Ramadhan dengan amalan soleh

Mohd. Shah Che Ahmad

 

Sebagaimana kelaziman, minggu pertama Ramadan dilihat seperti ‘pesta’ bagi umat Islam tidak kira di mana sahaja untuk berpusu-pusu ke masjid atau surau. Sehinggakan di sesetengah kawasan, pihak surau terpaksa menyediakan khemah dan tikar tambahan bagi menampung jemaah yang ramai. Inilah yang dikatakan ‘satu… banyak-banyak.’

Namun, permulaan baik menyambut kehadiran Ramadan itu mula berkurangan pada minggu seterusnya iaitu memasuki fasa kedua. Khemah dan tikar tambahan yang disediakan pada minggu pertama mula berkurangan.

Apabila memasuki minggu ketiga, bukan sahaja ruang tambahan, malah jemaah dalam ruang solat utama juga semakin berkurangan di kebanyakan tempat.

Malangnya, fenomena ini dilihat sangat bertentangan dengan saranan dan amalan Rasulullah SAW untuk menghidupkan malam-malam akhir Ramadan. Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis maksudnya: “Rasulullah SAW ketika memasuki 10 hari terakhir (Ramadan) menghidupkan malam harinya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.” – Riwayat Muslim

Justeru, mungkin inilah masa untuk sama-sama merenungi untuk menjadikan Ramadan pada tahun ini sebagai Ramadan terbaik dengan meningkatkan pelbagai amalan kebajikan dan ibadah kepada Allah secara berterusan atau istiqamah, selagi gus mendidik jiwa bukan sahaja menutup amal kebaikan apabila berakhirnya Ramadan tetapi melaksanakan pada bulan seterusnya sepanjang tahun.

AMALAN DIAJAR RASULULLAH

1. Perbanyak berdoa

“Tiga doa mustajab; doa orang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang bermusafir.” – Riwayat Tirmizi

Antara doa diamalkan Rasulullah pada Ramadan:

“Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka.”

2. Solat berjemaah

“Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda.” – Riwayat Bukhari

3. Solat witir

“Sesungguhnya Allah telah menganugerahi kamu satu solat yang lebih baik daripada unta-unta yang terbaik, iaitu solat witir.” – Riwayat Abu Daud

4. Dampingi al-Quran

“Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya.” – Riwayat Bukhari

5. Selawat

“Sesiapa yang berselawat sekali, Allah akan berselawat atasnya 10 kali.” – Riwayat Muslim

6. Wuduk

“Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, keluarlah kesalahan daripada tubuhnya termasuk dari bawah kukunya.” – Riwayat Muslim

7. Banyakkan ibadah dan qiyamullail

“Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.” – Riwayat Bukhari

8. Bersedekah dan menaja juadah berbuka

Rasulullah SAW ditanya: “Sedekah apakah yang paling baik?” Baginda menjawab: “Sedekah pada Ramadan.” – Riwayat Tirmizi

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang menjamu seorang yang berpuasa, dia mendapat pahala sebanyak pahala orang yang berpuasa tersebut, tanpa dikurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” – Riwayat Tirmizi

Kelebihan berpuasa

1. Diampunkan dosa

  • “Sesiapa yang puasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, maka akan diampuni dosanya yang terdahulu.” – Riwayat Bukhari

2. Mulut seharum kasturi

  • “Dikurniakan kepada umatku pada Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi, malaikat mengampunkan mereka sehingga berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, kemudian berfirman hampir-hampirlah hamba-Ku yang soleh yang merasai kesukaran tetapi terus menuju kepadamu, diikat padanya syaitan dan diampunkan bagi mereka pada akhir malam.” – Riwayat Ahmad

3. Perisai api neraka

“Puasa merupakan perisai daripada neraka seperti perisai seseorang daripada kamu pada masa peperangan selama mana dia tidak mengoyaknya dengan berdusta atau mengumpat.” – Riwayat Ahmad

4. Kegembiraan bertemu Allah

“Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya, sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan, apabila dia berbuka nescaya bergembira dan apabila bertemu Allah nescaya dia gembira.” – Riwayat Muslim

5. Mustajab doa

“Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa tidak ditolak.” – Riwayat Ahmad

6. Dibebaskan daripada api neraka

“Sesungguhnya bagi Allah ketika berbuka puasa mempunyai mereka yang dibebaskan daripada neraka yang demikian itu pada setiap malam.” – Riwayat Ibnu Majah

7. Malam Lailatulqadar

Satu malam bersamaan 1,000 bulan sekurang-kurangnya. Amalan selama 1,000 bulan sekurang-
kurangnya bersamaan:

  • 147,654 solat fardu
  • 2,450 hari berpuasa Ramadan
  • 166 hari raya Aidilfitri dan Aidiladha
  • 4,333 solat Jumaat
  • 83 tahun

Perubatan tidak membatalkan puasa

  • Ubat titis mata dan telinga
  • Ubat tablet di bawah lidah yang digunakan oleh pesakit jantung
  • Memasukkan ubat melalui faraj, memasukkan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin)
  • Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray
  • Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan, berus gigi, dengan syarat tiada bahan memasuki perut daripada prosedur tersebut
  • Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jel atau plaster berubat
  • leropong dalam rongga perut (endoskopi) untuk mencari punca penyakit.
  • Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk dalam perut
  • Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat ke dalamnya (contoh: IUCD, alat pencegah kehamilan dalam rahim)
  • Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain
  • Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur
  • Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya
  • Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut

PERKARA MEMBATALKAN 
PUASA

  • Masuknya sesuatu ke dalam rongga terbuka
  • Murtad iaitu keluar daripada Islam, sama ada niat dalam hati, perkataan, perbuatan
  • Haid, nifas atau melahirkan bayi
  • Gila walaupun sekejap
  • Pengsan sehari suntuk
  • Bersetubuh
  • Mengeluarkan mani
  • Muntah dengan sengaja.

 

Jangan ‘kuruskan’ puasa batin!

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

 

RAMADAN datang lagi! Bersyukurlah kerana masih diizinkan Allah melangkah masuk ke Ramadan dengan jaya.

Sepatutnya kita mengira berapa ramai teman, rakan taulan dan sahabat handai yang ‘dijemput’ Allah sebelum Ramadan ini. Peluang dijemput masuk ke Ramadan kali ini pasti membuka pintu pahala yang jauh lebih besar bagi kita. Perhatikan kisah menarik dalam hadis ini:

“Talhah bin Ubaydillah menceritakan, pada suatu hari dua lelaki dari suku Baliyy datang bertemu Rasulullah SAW. Kedua-duanya memeluk Islam secara serentak. Seorang daripada mereka begitu bersemangat untuk berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai perang dan gugur syahid.

Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun kemudian dia pun meninggal dunia. Talhah menyambung: “Pada suatu hari aku bermimpi bersama mereka berdua di pintu syurga, kemudian keluar malaikat dari syurga lalu mengizinkan lelaki yang mati kemudian memasuki syurga, kemudian malaikat tadi keluar lagi dan mengizinkan lelaki yang gugur syahid itu memasuki syurga, kemudian dia datang semula kepadaku dan berkata: “Engkau pulanglah, kerana giliranmu memasuki syurga masih belum sampai.”

Menjelang pagi Talhah menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi kepada orang ramai, maka mereka semua hairan dengan mimpinya. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan mereka menceritakannya kepada Baginda. Tanya Baginda: Apa yang menghairankan kamu?

Mereka menjawab: Wahai Rasulullah SAW lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga.

Jawab Nabi SAW: Bukankah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun? Jawab mereka: Benar. Sambung Baginda lagi: Bukankah dia telah mendapat Ramadan dan berpuasa dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu? Jawab mereka: Benar. Sabda Nabi SAW: Maka beza antara mereka lebih jauh dari langit dan bumi,” – Sunan Ibn Majah.

PUASA ZAHIR VS PUASA BATIN

Walaupun masih bernafas pada awal Ramadan, teruskan berdoa agar bulan mulia ini benar-benar menjadi milik kita sepenuhnya secara zahir dan batin.

1. Puasa zahir bermaksud mampu menghabiskan Ramadan kali ini tanpa ditutup akaun kehidupan oleh wakil Allah yang bernama Malaikatul Maut atau dihinggapi sakit penghalang puasa.

  • Berapa ramai kita dengar dan lihat orang yang ditimpa sakit lalu terlantar di hospital, gagal berpuasa kerana kekangan ubatan.
  • Puasa yang ditinggalkan kerana sakit boleh diganti dengan hari lain, sebagaimana firman Allah (al-Baqarah 2:184), tapi ia tetap tiada tandingan dengan limpahan rahmat Allah dalam Ramadan. Penulis pernah dilarang oleh para doktor untuk berpuasa dalam Ramadan pada 2010 kerana baru menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang. Pada waktu itu, rasa sayu berbaur rindu menyelubungi diri kerana tak mampu bersama Muslimin lain menahan lapar dahaga kerana Allah pada siang Ramadan.

2. Puasa batin wajib mengiringi puasa zahir. Gagal atau berjayanya puasa seorang hamba bergantung kepada puasa batinnya.

  • Hamba Allah yang mampu memenuhi batin atau jiwanya dengan penghayatan puasa akan beroleh kejayaan dunia dan akhirat.
  • Kemuncak puasa batin membuahkan takwa dalam jiwa hamba. Bahkan pensyariatan puasa Ramadan berpaksi atas asas ini sebagaimana firman Allah:

          “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa (al-Baqarah 2:183).

  • Perhatikan penggunaan perkataan – la’allakum – pada hujung ayat ini. Ia bermaksud ‘mudah-mudahan atau semoga’. Dalam bahasa Arab, ia memiliki makna yang jauh lebih dalam. Ia dinamakan – Adat al-Tarajji – iaitu perkataan mengandungi harapan yang mampu dicapai oleh usaha ikhtiar.
  • Maksudnya, amalan puasa secara holistik mampu melahirkan manusia bertakwa yang sentiasa waspada arahan dan larangan Allah walau di mana sahaja mereka berada, sama ada semasa Ramadan atau selain Ramadan. Inilah inti sari utama maksud puasa batin.

BAGAIMANA STATUS PUASA KITA?

Muslim yang hanya menahan lapar dahaga tanpa mengambil kira larangan Allah seperti lidah berbisa, tangan jahat menaip dan mata liar memandang aurat sebenarnya belum memenuhi syarat puasa batin. Ia ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap yang dusta, kotor dan mengamalkannya, maka Allah langsung tidak berhajat (tidak memerlukan) (puasanya) yang meninggalkan makan serta minumnya,” – Sahih Bukhari.

Mengambil kira dunia yang semakin moden dan mencabar, skop menjaga puasa batin wajib diluaskan kepada kehidupan di alam maya kerana hampir semua warga sekarang memiliki telefon pintar yang kadangkala menjadikan mereka kurang pintar menjaga dosa atau menambah pahala.

Kita dapati ada Muslim yang bersungguh menjaga diri daripada lalai atau bercakap kotor sesama manusia ketika berpuasa, tapi gagal menjaga ‘lidah maya’ yang digerakkan oleh jari jemari dalam media sosial. Ingat! Para malaikat belum pencen:

“Tiada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya),” (Qaf 50:18).

Perkara ini wajib ditegur kerana hawa panas politik negara belum reda. Saban hari kita lihat perang maya berlaku sengit dengan senjata komen panas biadab dan tular tanpa selidik dalam aplikasi Facebook atau WhatsApp. Semua Muslim wajib menjaga puasa batin mereka dengan menahan ‘tangan’ dalam media sosial. Jangan sampai tangan kita menjadi sebab puasa batin kita kurus dengan dosa murahan media sosial.

Benar sekali firman Allah ini: “(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada para hamba-Nya,” (al-Anfal 8:51).

Rebut peluang Ramadan ini dengan pengisian sebenar puasa zahir dan batin. Jika teman, rakan taulan, sahabat handai kita yang sudah mendiami perkampungan ‘di bawah bumi’ mampu berbicara, mereka pasti mahu kembali ke dunia untuk mengisi akaun pahala mereka dengan pahala puasa zahir dan batin.

Namun apakan daya, yang mati tak akan kembali. Apa yang penting, kita yang masih bernafas di atas muka bumi ini perlu menggunakan peluang berpuasa ini sebaik mungkin.

Jangan jadi insan yang kufur nikmat hidup. Isilah puasa ini sebaik mungkin semoga reda Allah melimpahi hidup kita.

Artikel Puasa dan Ramadhan

Bayar Fidyah Tinggal Puasa

Tips didik anak berpuasa

Kelebihan menjamu orang berbuka puasa

Bezanya Puasa Dengan Ibadat Lain

5 perkara rosakkan pahala puasa

Fadilat Ramadan & Hikmah Berpuasa

10 Keutamaan orang berpuasa

Perkara yang harus dilakukan bila batal puasa

Adab berpuasa dan solat terawih

Kewajiban-kewajiban lahiriah puasa

Rahsia puasa kita diterima

Hikmah puasa dari aspek kesihatan

Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya

Sunat-sunat dalam ibadat puasa

3 bentuk ganjaran kesempurnaan puasa

3 Tingkatan Orang Berpuasa

Nikmat ibadat puasa

Rahsia ibadat puasa

7 Tips seronok sambut Ramadhan

Amalan Pilihan Sepanjang Ramadhan

Berseronoklah menghidupkan Ramadhan

11 Amalan terbaik sepanjang Ramadhan

KEKHUSUSAN DAN KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

Cara Salafussoleh hidupkan Ramadhan

Program Ihya’ Ramadhan di Pondok Pasir Tumboh

Penempatan dan makan minum untuk Daurah Kitab Ramadhan 1439H

 

Penempatan utk pengajian umum sempena Ramadhan 1439H di pondok pasir tumboh bagi peserta bujang muslimin ialah di dewan asrama manakala pelajar muslimat di pondok sewa siang hari dan tidur di surau pada malam hari (yuran RM50 + RM23 kitab)

Makan berbuka puasa disediakan di masjid atau surau

Makan sahur beli di kedai berhampiran

Antara rumah sewa, homestay dan bilik penginapan yg berhampiran dengan Pondok Pasir Tumboh untuk pasangan keluarga atau peserta dewasa yg ingin ikuti pengajian umum sempena Ramadhan 1439H

1. Us Syuib 0129975513

2. Nik La Inn 0175266756

3. Musafir Inn Pasir Tumboh. Tel: 0129644249/0129606095

4. Indah Homestay ..Tel. 013-9272626

5. Guest House …Tel. 019-9847426

Pengajian Kitab Umum Sempena Ramadhan 1439H di Pondok Pasir Tumboh

6 ciri mukmin berjaya

MUHAMMAD ZURIH KUSNIN

 

DIRIWAYATKAN oleh Imam Ahmad dari Umar Ibnul Khattab bahawa Rasulullah bersabda:

قال: أنزل عليّ عشر آياتٍ من أقامهن دخل الجنّة, ثم قرأ:”قد أفلح المؤمنون” حتئ ختم عشر آيات.

Telah diturunkan kepadaku 10 ayat (yang dimaksudkan adalah ayat 1 hingga 10 surah Al-mukminun), sesiapa yang mengerjakannya akan masuk syurga. Kemudian dibacanya ayat pertama sehingga habis ayat ke-10.

Mukmin adalah orang yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya dan apabila dibacakan ayat-ayat al-qur’an bertambah keimanannya. Bagi seorang mukmin, hidup adalah rangkaian ibadah. Mereka akan menempuh bahtera kehidupan mengikut cara-cara dan acuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Orang mukmin sentiasa berusaha untuk memenuhi kehidupannya dengan melakukan ibadah dan kebaikan dengan tujuan memperolehi kejayaan di dunia dan akhirat. Jadi melalui surah al-Mukminun ayat 1-10 ini, penulis akan berkongsi kepada anda tentang ciri-ciri mukmin berjaya. Moga bermanfaat.

1. Khusyuk dalam solat.
Khusyuk dalam solat ialah tunduk dan merendah diri dengan tumpukan fikiran, hati dan anggota ketika solat dan dilakukan adalah semata-mata kerana mencari keredhaan Allah. Terdapat pelbagai cara untuk kita mendapat khusyuk dalam solat. Antaranya ialah kita perlu memahami maksud ayat dan lafaz yang dibaca, menumpukan pandangan ke tempat sujud, melakukan solat dengan tidak tergesa-gesa dan yang paling utama ialah kita menunaikan solat dengan ikhlas. Solat yang khusyuk dapat menghilangkan rasa takut, perasaan gelisah, jiwa menjadi berani dan bebas dengan kekusutan dunia. Orang yang beriman wajib menunaikan solat, namun solat tidak akan bererti sekiranya hanya melakukan gerak badan sahaja. Solat mestilah disertakan dengan khusyuk, kerana solat dengan khusyuk itu ibarat tubuh dengan nyawa. Kedua-duanya saling memerlukan.

2. Menjauhkan diri daripada perkara yang tidak berguna dan sia-sia.
Perkara yang sia-sia merangkumi semua perkara yang membawa kepada kelalaian, maksiat dan aktiviti yang tidak berfaedah. Orang mukmin perlu menjaga dirinya daripada terlibat dengan perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah. Hal ini kerana, perkara yang melalaikan boleh menjauhkan seseorang daripada mengingati Allah dan memudahkan hawa nafsu dan syaitan menguasai serta membawa kita ke arah kemaksiatan dan derhaka kepada Allah. Mereka yang dapat menjaga diri daripada terlibat dan terjerumus dengan perkara yang sia-sia, mereka adalah orang-orang mukmin yang berjaya.

3. Menunaikan zakat.
Zakat berasal daripada perkataan bahasa arab yang membawa maksud pembersihan. Zakat, sama ada zakat fitrah atau zakat harta, kedua-duanya adalah ibadah yang wajib dilakukan ke atas mereka yang mampu. Mukmin yang berjaya adalah mereka yang bersedia dan rela ketika mana Allah memerintahkan untuk memberikan sebahagian harta yang dimilikinya kepada orang yang berhak (lapan asnaf). Tujuan Allah mewajibkan zakat kepada kita adalah untuk menolong mereka yang berhajat dan berhak serta membersihkan harta, kerana di dalam harta kita terdapat hak orang lain.

4. Memelihara kemaluan.
Memelihara kemaluan bukan hanya sekadar memelihara diri dari perbuatan zina, tetapi juga menghindarkan diri daripada perkara yang mendekati zina. Menjaga kemaluan sering dikaitkan dengan menjaga pandangan kerana awal dari segala bentuk perbuatan zina adalah ketidakmampuan kita dalam menjaga pandangan. Orang yang pandai menjaga kemaluannya adalah orang yang sentiasa menjaga pandangannya. Oleh itu, tip yang paling berkesan dan mujarab untuk menjaga kemaluan adalah dengan menjaga pandangan kita. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat ke-30,

”Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”.

Pintu masuk perbuatan zina yang paling besar adalah dari pandangan mata. Jadi jagalah pandangan kita agar kemaluan kita juga turut terjaga.

5. Memelihara amanah dan janji.
Amanah dan janji merupakan perkara yang wajib kita menepatinya, kerana itu Islam sangat  menganjurkan umatnya untuk teguh memegang amanah dan juga janji. Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak ada iman bagi orang yang tidak memiliki amanah, dan tidak ada agama bagi orang yang tidak memegang janji.” (riwayat Ahmad).

Daripada hadis diatas, kita diwajibkan untuk memegang amanah dan janji, kerana jika kita mengkhianatinya ibarat kita tidak mempunyai iman dan agama. Orang yang mengkhianati serta tidak memelihara amanah dan janjinya dengan baik, mereka disifatkan sebagai orang yang munafik, sebagaimana sabda Rasulullah dalam sebuah hadis: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga (1) Apabila dia bercakap,dia berbohong. (2)Apabila dia berjanji, dia tidak tepati. (3) Apabila dia diberi amanah, dia mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya”.   

6. Menjaga solat.
Islam menyuruh umatnya melakukan solat fardhu yang wajib dilakukan lima waktu setiap hari. Orang Mukmin akan berusaha untuk memenuhi hari-hari mereka dengan menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain, ini kerana manusia yang paling mulia itu adalah apabila ibadah hariannya bermula dengan solat Subuh, kemudian diakhiri pula harinya dengan solat Isyak. Sebagaimana firman Allah dalam surah Hud, ayat 114:

“Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam”.

Terdapat pelbagai kemuliaan bagi orang yang menjaga solatnya. Antaranya ialah dicintai Allah, hatinya lembut, wajahnya bercahaya seperti orang soleh dan pelbagai lagi fadhilat lain. Kita juga dituntut untuk menjaga hak-hak yang berkaitan dengan solat contohnya adalah solat di awal waktu, menunaikannya secara berjemaah, menyempurnakan rukuk dan sujud serta segala rukun-rukunnya. Mereka yang menjaga solat dengan segala hak-haknya adalah mereka yang berjaya dan mendapat ganjaran daripada Allah di akhirat kelak.

Inilah ciri dan sifat-sifat mukmin yang berjaya yang di sebut oleh Allah di dalam surah al-Mukminun ini. Kadang-kadang, ada antara kita yang telepas pandang tentang fadhilat dan kelebihan yang terkandung dan tersirat dalam surah ini. Jadi, melalui sedikit perkongsian ini, penulis mengajak anda untuk sama-sama kita menghisab dan menghitung diri kita, adakah kita mempunyai sifat-sifat yang disebutkan oleh Allah itu. Jika sifat-sifat ini tiada dalam diri kita, sama-samalah kita berusaha untuk mendapatkannya, kerana pada akhir ayat ini Allah berjanji akan mewarisi syurga-Nya iaitu syurga Firdaus kepada sesiapa yang mengamalkan sifat-sifat ini. Maka beruntunglah kita!