Mudir Pondok Pasir Tumboh Seru Perantau Pulang Mengundi PRU-14

Advertisements

Benteng diri dengan al-Quran dan Sunnah

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

 

ZAMAN fitnah ini ialah penghujung zaman yang penuh dengan ujian dan pancaroba sebelum terjadinya kiamat. Daripada aspek syarak, fitnah yang banyak terjadi ini  telah pun dijelaskan ALLAH SWT dan Rasul-Nya kepada kaum yang beriman. Malangnya, hanya segelintir dalam kalangan umat Islam yang sedar dan memahami situasi yang terjadi.

FITNAH MUSNAHKAN SEGALANYA

Rehal mendapatkan pandangan daripada pendakwah, Ustaz Mohd Fikri Che Hussain mengenai kemelut fitnah yang berlaku dalam kalangan ummah pada akhir zaman ini. Jelas beliau antara fitnah dan ujian yang melanda umat manusia hari ini ialah banyaknya perselisihan dan pertelagahan. Perbalahan dalam memahami sesuatu isu dalam masyarakat adalah perkara biasa dan sering berlaku, namun kesan fitnah ini hingga ke tahap pergaduhan, permusuhan dan juga peperangan yang memusnahkan serta mengorbankan banyak nyawa.

Menurutnya, ramai manusia berada dalam dilema, orang yang dicerobohi tanah dan negara dianggap musuh, manakala penceroboh pula adalah orang yang berhak dan tidak dianggap bersalah atas alasan yang direka-reka dengan penuh dusta. Manakala golongan yang mahu kembali kepada Islam dan ingin menegakkan syariat ALLAH dianggap sebagai pengganas dan membawa minda ekstrem dan pihak lain yang menentang tertegaknya hukum ALLAH disanjung sebagai pejuang dan pembawa idea perdamaian, demokrasi dan kemanusiaan sejagat.

“Sedangkan merekalah yang menceroboh dan menindas kebanyakan negara umat Islam atas alasan terorisme dan tidak kurang ratusan ribu terkorban dengan alasan sebegitu.

“Segala fitnah dan ujian yang dihadapi umat Islam ini bagi satu pihak sebagai bencana dan mala petaka buat mereka, namun sebahagian lain beranggapan ia kebaikan buat kaum yang benar-benar beriman, sepertimana firman ALLAH dalam Surah Muhammad ayat 31 dan Surah Al-Ankabut, ayat 2 hingga 3,” ulasnya.

ALLAH yang menciptakan ujian dan dugaan itu agar manusia menyedari dan merenung hikmah yang tersembunyi. Bukan sahaja dapat membezakan antara kawan dan lawan, benar dan salah, jujur dan munafik. Tetapi juga,  mendidik diri supaya lebih dekat kepada Pencipta. Semua ini adalah satu rahmat ALLAH kepada hamba-Nya, akan tetapi segelintir sahaja yang dapat memahami dan menerima. Justeru, apakah jalan terbaik untuk melepaskan diri dari terjerumus ke dalam ujian fitnah ini?

BINA BENTENG HADAPI FITNAH

Sebelum diperincikan solusi ampuh bagi mengatasi kemelut ini, ada baiknya diperhatikan apa yang dinyatakan ALLAH yang sentiasa mengasihi hamba-Nya yang beriman.

Kasih sayang ALLAH itu melebihi kasih sayang bonda dan ayahanda yang membesarkan, malah melampaui daripada diri mereka sendiri. Nabi Muhammad SAW juga sentiasa mengasihi umatnya. Baginda SAW telah diciptakan dan dihiasi dengan rahmat sebagai nabi yang diutus oleh Rabbul ‘alamin untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Bertepatan dengan firman-Nya: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul daripada kaum kamu sendiri, berat berasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kamu dan amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang beriman.” (Surah al-Taubah: 128)

Maka inilah benteng yang kukuh dan teguh dengan jaminan daripada kalam Tuhan dan sunnah Nabi SAW. Adalah wajar bagi kaum yang beriman untuk merenungkan beberapa jenis benteng pertahanan diri yang dapat menyelamatkannya daripada terjerumus ke dalam lembah ujian dan fitnah:

1- Benteng diri – Berdoa

Benteng paling ampuh (keyakinan dan keimanan tauhid yang sahih) ialah sentiasa bergantung harap kepada ALLAH. Tidak akan lari daripada memohon dan mengharapkan keselamatan daripada-Nya. Hatinya sentiasa berpaut kepada tali ALLAH dalam apa jua ujian yang menimpa.

2-  Benteng diri – Ilmu

Ilmu adalah benteng paling kukuh yang perlu dibina dalam jiwa manusia yang beriman kepada ALLAH dan rasul-Nya. Benteng ilmu ini mampu melenyapkan segala kejahilan dan melapangkan jalan kebenaran bagi setiap generasi ummah. Ilmu juga mengukuhkan pendirian seseorang daripada segala bentuk kesamaran dan keraguan yang timbul serta membinasakan segala bentuk kejahatan yang muncul.

Antara ilmu yang dianjurkan untuk diteladani pembaca ialah membaca sirah Nabi SAW dan sahabat. Bagaimanakah cara terbaik mereka menghadapi ujian fitnah yang melanda diri, serta  panduan mengatasinya?

3- Benteng diri – Ibadah dan amalan kebajikan

Apabila manusia berasa resah dan gelisah, mereka perlu mengikuti sunnah Nabi SAW. Malah, Baginda SAW sendiri pun, saat menghadapi suatu masalah, resah dan gelisah, berduka mahu pun gundah, Baginda SAW segera melaksanakan solat mengadu kepada ALLAH.

Segala urusan itu diserahkan kepada ALLAH, berusaha menyelesaikannya dengan kemampuan yang ada dan bertawakal kepada ALLAH, di samping melaksanakan amalan kebaikan untuk diri dan juga orang lain.

4- Benteng diri –  Iman sejati

Iman yang sejati diperoleh dengan mengagungkan perintah ALLAH, berdampingan dengan-Nya dan menjaga ketakwaan dalam diri sepanjang hari. Iman yang ikhlas kepada ALLAH akan mencambahkan nilai kasih sayang, mengharapkan reda dalam setiap perkara dan mengutamakannya pada setiap amalan.

TAMBAH IMAN, YAKIN

Ustaz Mohd Fikri turut mengupas persoalan bagaimanakah cara untuk menambah iman dan keyakinan terhadap agama? Jawapannya ialah,  banyakkan membaca, memahami dan mengkaji al-Quran. Sering membaca dan memahami terjemahannya, janji ALLAH kepada hamba-Nya yang patuh, mematuhi suruhan-Nya dan meninggalkan segala bentuk syahwat dan perkara yang diharamkan ALLAH.

“Mereka melaksanakan setiap suruhan al-Quran itu, kerana takutkan ALLAH dan janji-Nya di akhirat kelak. Malah mereka bersikap tamak dalam memburu ganjaran pahala daripada ALLAH di akhirat kelak bukan kerana habuan dunia.

“Nabi SAW sendiri mendidik sahabatnya hanya bergantung harap dengan ALLAH dan mengikat hati mereka untuk mencari janji syurga, walaupun mereka berada dalam penderitaan, bahaya fitnah dan juga ancaman daripada musuh ALLAH silih berganti. Malah pernah suatu ketika Baginda SAW melintasi keluarga Yasir yang sedang diseksa dengan seksaan yang dahsyat di bawah terik panas cahaya matahari. Baginda SAW lantas memberikan jaminan kepada mereka dengan jaminan yang ‘bukanlah’ berupa kesenangan dan kemewahan di dunia, tetapi sabdanya: “Bersabarlah wahai keluarga Yasir! Sesungguhnya janji kamu adalah syurga.” (Hadis dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dan Ibn ‘Asakir)

“Kita disarankan untuk beramal dengan ilmu yang diperoleh. Dalam menghadapi zaman penuh fitnah ini, seseorang itu harus beramal dengan pegangan agama yang sahih sebagaimana ia diturunkan. Sebahagian golongan yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah menggelar diri mereka sebagai ahli atsar atau pun ahli Sunnah kerana mengikut dalil wahyu yang diturunkan dalam kedua-dua sumber syariat Islam tersebut,” katanya.

Golongan ahli sunnah ini perlulah menyampaikan segala kebaikan, membetulkan segala kesalahan dan menyeru manusia agar menegakkan kebaikan dan meninggalkan segala larangan ALLAH, supaya masyarakat tidak terjatuh dalam lembah fitnah yang membinasakan.

Namun, kini terdapat satu ‘golongan’ yang mendakwa mengajak kepada sunnah tetapi mempertikaikan hadis-hadis yang sahih dan membawa amalan yang tidak jelas asal usulnya. Sedangkan perbuatan yang salah dan tiada asas itu perlu dikaji dan dinilai semula. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud; “Sesiapa yang melakukan satu amalan yang bukan daripada urusan kami, maka ia adalah tertolak.” (Riwayat Muslim)

KEMBALI PADA ALLAH

Tegakkan syariat dan berpegang dengan ajarannya, agar  menjadi kelompok yang berpegang teguh dengan kebenaran. Kembalilah kepada al-Quran dan Sunnah, dengan menyampaikan ilmu-ilmunya.  Usaha ini sedikit sebanyak dapat menyelamatkan mereka daripada berbuat kesilapan dan kesalahan.

ALLAH berfirman: “Dan sekiranya mereka betul-betul melaksanakan perintah yang diberikan, sudah tentu itu lebih baik bagi mereka dan lebih menguatkan ( iman mereka ) (Surah An-Nisaa: 66)

Mereka yang menunjukkan amalan kebaikan berdasarkan pengetahuan yang mereka miliki itu pasti akan mendapat kebaikan, ketetapan iman, ganjaran pahala yang besar dan petunjuk ke arah jalan yang lurus.

5- Benteng diri  – Jauhi  fitnah

Dalam keadaan yang getir ini, sebaiknya pilihlah untuk berada dalam posisi paling selamat. Kekalkan sikap amanah, jujur, tawaduk dan warak dalam diri agar selamat daripada fitnah yang melata. Pada saat berhadapan dengan fitnah harta, wanita atau seumpamanya, berusahalah untuk berlepas diri agar tidak terkena dengan sebarang musibah dan ujian fitnah.

Golongan ulama terdahulu ingatkan kita agar hindari diri daripada sebarang fitnah. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibn Abi Mulaikah: “Aku mengenali lebih 30 orang sahabat Rasulullah dan semua mereka begitu takutkan kemunafikan terkena pada diri mereka.”

Namun, kini sikap hipokrit begitu berleluasa dalam kalangan umat Islam, sukar untuk dipercayai siapa yang baik dan sebaliknya. Imej, personaliti dan budaya berpakaian langsung tidak boleh dipercayai kerana sikap ‘pembohong’ yang wujud dalam kalangan manusia hari ini.

Abu Hurairah RA pernah berkata: “Fitnah yang berlaku ini seolah-olah tidak mempunyai tempat untuk menyelamatkan diri daripadanya, melainkan dengan berdoa (sebanyak-banyaknya) seperti doa orang yang hampir lemas.”

Apa yang dimaksudkan Abu Hurairah RA? Doa orang yang hampir lemas itu adalah doa yang penuh harap kerana ketakutan berada dalam air dan mati lemas. Justeru, apa yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita dalam menghadapi bahana fitnah ini adalah dengan memperbanyakkan amalan soleh.

6- Benteng diri –  Gabung dengan jemaah

Antara kaedah penting dalam menolak ujian fitnah kalangan umat Islam adalah sering bersama jemaah Muslimin dan mengelakkan diri daripada perpecahan. Sesungguhnya perpecahan itu adalah suatu keburukan yang tercela, sedangkan penyatuan pula rahmat yang akan menghasilkan kesatuan, kekuatan ikatan dan ketinggian wibawa dalam kalangan kaum Muslimin seluruhnya.

Kesimpulannya, dalam usaha kita menghindari segala bentuk ujian fitnah ini, fokus utamanya adalah dengan kembali berpegang kepada al-Quran dan sunnah. Kedua-dua sumber itulah penyelamat kita daripada terjerumus kepada jalan yang terseleweng dan membawa kepada bencana yang besar di akhirat kelak.

Kita memohon kepada ALLAH supaya menyelamatkan diri kita dan seluruh kaum Muslimin daripada fitnah kehidupan dan kematian serta fitnah dajal pada akhir zaman.

Selidik kebenaran sebelum disebarkan

DR. ABDULLAH MD. ZIN

ZAMAN ini merupakan era ujian dan fitnah yang menggugat keimanan serta ketenteraman hidup. Manusia keliru dalam membuat pendirian dan sukar untuk berpegang teguh atas prinsip yang benar disebabkan cabaran, ujian serta tekanan yang wujud.

Rasulullah SAW banyak merakamkan hadis berkenaan fitnah dihadapi umat Islam dengan menjelaskan sebab berlaku fitnah, mereka yang melakukannya dan kesan yang timbul dalam masyarakat.

Al-Quran turut merakamkan perkataan fitnah pada 34 tempat, tidak termasuk kata terbitan daripada perkara fitnah yang turut terdapat dalam al-Quran, sekali gus menunjukkan isu fitnah perlu difahami dengan mendalam.

Antaranya:

– Pengertian ujian (Surah al-Anfal ayat 28, Surah al-Furqan ayat 20 dan Surah al-Qamar ayat 27),

– Syirik (Surah al-Baqarah ayat 193),

– Musibah dan kesusahan (Surah al-Haj ayat 11),

– Keburukan dan perpecahan (Surah al-Taubah ayat 47 dan 48),

– Peperangan dan pembunuhan (Surah al-Ahzab ayat 14).

Antara hadis sahih yang menyebut tentang fitnah ialah:

– “Tidak akan berlaku kiamat sehingga dua pihak yang ramai daripada kalangan orang Islam berperang sesama sendiri.” – Riwayat Bukhari, Ahmad dan Muslim.

– Hadis ini tidak menunjukkan masa yang tertentu, ia terbuka kepada mana-mana fitnah yang berlaku sama ada dahulu, kini dan akan datang.

– “Sesungguhnya pada ambang kiamat itu didahului oleh fitnah al-Harj, para sahabat bertanya: apakah makna al-Harj? Lalu dijawab oleh Rasulullah SAW: pendustaan dan pembunuhan. Mereka bertanya lagi: Pembunuhan apakah lebih banyak daripada apa yang kami bunuh? Nabi menjawab: ia bukan bermaksud membunuh orang Musyrikin, tetapi pembunuhan dalam kalangan orang Islam, sehingga seseorang itu sanggup membunuh jirannya, saudaranya, bapa saudaranya dan anak saudaranya,” – Riwayat Muslim.

– Al-Harj bererti pertumpahan darah yang berlaku dalam kalangan Muslimin sama dda peperangan mahupun pertentangan sesama mereka.

– “Sesungguhnya Islam pada permulaannya asing dan kembali asing, maka beroleh kebaikan bagi orang yang asing. Sesungguhnya akan hampir kiamat dengan munculnya fitnah seperti orang musafir pada malam yang gelap gelita, pada waktu petang dia keluar menghadapi malam tersebut dan pada waktu pagi dia menjadi kafir dan ada yang keluar pada waktu pagi dia mengharungi kegelapan tersebut maka apabila petang dia menjadi kafir. Mereka menjual agama mereka untuk mendapat keuntungan dunia,” – Riwayat Muslim.

l “Sesungguhnya akan berlaku fitnah, orang yang duduk ketika itu lebih baik daripada orang yang berdiri, orang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang berkenderaan,” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

l “Bergegaslah melakukan amal soleh sebelum datang fitnah seperti malam yang gelap gelita,” – Riwayat Muslim.

HIKMAH PEMBERITAHUAN BERLAKUNYA FITNAH OLEH RASULULLAH

– Mendidik ummah bersedia apabila fitnah itu datang, mereka berkewajipan mencari jalan terbaik untuk kemaslahatan umat Islam.

– Mengisyaratkan golongan yang menimbulkan fitnah dalam masyarakat terdiri daripada mereka pada luarannya beriman dan melampau pegangan mereka serta menyeleweng.

– Mendedahkan ancaman golongan munafik.

– Keperluan golongan Mukmin bangkit menjalankan amal makruf dan nahi mungkar dalam menghadapi fitnah ini.

– Menggerakkan emosi, semangat umat Islam berjihad dan berdakwah menghadapi fitnah.

– Mengelak diri daripada terpengaruh dengan dunia, pangkat, kedudukan dan lain-lain yang melalaikan umat Islam daripada jihad serta dakwah,

– Pemberitahuan tentang fitnah yang akan berlaku dengan menyebut sebab berlaku, sikap umat Islam dan lain-lain untuk mencari punca berlakunya fitnah dan bagaimana langkah yang perlu diambil bagi menghadapi fitnah tersebut.

– Menunjukkan kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW.

– Keimanan para sahabat Rasulullah SAW yang mendengar hadis-hadis ini bertambah setelah apa yang diriwayatkan menyerupai fitnah yang berlaku atau dilalui mereka, seterusnya berlaku pula di satu generasi ke satu generasi pada zaman masing-masing.

– Rasulullah menyebut dengan jelas fitnah peperangan dalam kalangan umat Islam sejak zaman sahabat, tabiin hingga hari ini. Perkara ini perlu dikaji untuk mendapat iktibar, orang Islam tidak sewajarnya menjadi pemerhati sahaja.

– Rasulullah memberi peringatan menghadapi fitnah mengikut suasana setempat, ada-kalanya baginda mencela orang yang terlibat, memuji orang yang tidak terlibat dan memuji mereka yang memperbaiki urusan orang Islam.

– Mereka yang terlibat dengan fitnah tidak menggunakan akal sewajarnya kerana mengikut hawa nafsu semata-mata dan menjual agama dengan keduniaan.

– Dalam menghadapi fitnah, golongan yang dijaga Allah tidak terlibat dengan pembunuhan tetapi berusaha untuk mengislahkan kepada kebaikan dan persaudaraan antara golongan yang bertentangan.

Rentetan episod fitnah berbangkit sebegini, umumnya majoriti ulama bersetuju tidak membincangkan peristiwa fitnah yang berlaku dalam kalangan para sahabat secara terperinci dan menyerahkan kepada Allah menentukan siapa yang benar serta beriktikad mereka merupakan individu yang layak berijtihad.

Jika betul ijtihad mereka dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala ijtihad. Diriwayatkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz ketika ditanya tentang Peperangan Siffin, berkata:

“Mereka terdiri daripada 
orang dibersihkan darah-darah mereka, aku tidak suka masuk campur dalam urusan mereka, lalu dia membaca firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 141 yang bermaksud: ‘Mereka itu adalah umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka usahakan dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka lakukan’.”

Israk Mikraj singkap rantaian kehidupan

Oleh Hasliza Hassan

 

RANTAIAN kehidupan yang berubah daripada senang kepada susah, kemudian kembali senang sebelum berdepan lagi kesukaran adalah proses normal perlu dilalui setiap manusia dan ia tidak bersalahan penjelasan sains mengenai kehidupan.

Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Faisal Abdul Hamid, berkata melihat kepada rantaian itu ahli sejarah menjelaskan bahawa satu peristiwa tidak berlaku begitu sahaja, tetapi bermula dengan cerita kecil yang menghasilkan cerita besar.

Katanya, rantaian itu yang menjadikan Rasulullah SAW, contoh paling ideal sebagai manusia hebat yang berdepan pelbagai kesusahan sejak kecil apabila kehilangan bapa, ibu dan datuk. Tidak terhenti di situ, Baginda SAW diuji dengan kematian anak, bapa saudara dan isteri.

“Kenapa Allah SWT takdirkan itu kepada Nabi Muhammad SAW, ulama mengatakan di sebalik kesusahan dan kesenangan itulah Baginda menjadi hebat. Agama tidak mengajar kita takut dengan kesusahan, tetapi berdoa supaya kesusahan dapat dipikul,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan dilalui Nabi Muhammad SAW itu mengandungi inti pati yang disebut secara terus atau menerusi petunjuk oleh Allah SWT.

Ia menepati firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, serta silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali-Imran, ayat 190)

Bukti kekuasaan

Menurut Faisal, perjalanan dilalui Nabi Muhammad SAW ketika Israk dan Mikraj adalah mukjizat ditunjukkan Allah SWT yang membuktikan kekuasaan-Nya untuk melanggar aturan alam iaitu disebut sebagai ‘sunatullah’.

Beliau berkata, walaupun hidup di dunia ada peraturannya berdasarkan sebab dan akibat yang memberi keyakinan kepada manusia, Allah SWT boleh mengubahnya kerana peraturan itu tidak mutlak.

“Sifat api membakar, tetapi Nabi Ibrahim tidak terbakar ketika dicampakkan ke dalam api. Nabi Adam dilahirkan tanpa ibu dan bapa. Sebenarnya banyak yang Allah ubah tetapi kita tidak perasan,” katanya.

Bagi umat Islam, mereka perlu tahu kesudahan atau akibat daripada kehidupan di dunia ini adalah untuk meraih syurga Allah SWT dan peraturan yang ditetapkan ialah dengan beriman dan melakukan amal soleh.

Kebiasaannya rasa bertawakal wujud ketika seseorang berdepan kesusahan dan sifat manusia apabila diuji dengan kesukaran akan berpaling kepada orang yang penting, mempunyai wibawa serta dipercayai boleh menyelesaikan masalah itu.

Umat Islam akan bertawakal kepada Allah SWT untuk mendapatkan apa yang diinginkan kerana yakin hanya kepada-Nya yang memiliki kekuasaan kita boleh menyerahkan segala-galanya.

Faisal berkata, pengalaman dilalui Nabi Muhammad SAW mendorong Baginda bertawakal kepada Allah SWT; sebagai balasannya Baginda melalui pengalaman Israk dan Mikraj yang juga menjadi petunjuk kepada manusia bahawa di sebalik kesusahan bakal menanti kesenangan.

Katanya, ia adalah proses yang berulang kerana manusia tidak akan senang selamanya atau diuji sepanjang hidupnya, tetapi mereka perlu yakin dan beriman kepada Allah SWT.

Sementara itu, hendak menuju kepada Allah SWT perlu dilakukan dalam keadaan sedar iaitu melakukan segala perintah serta meninggalkan larangan kerana faham hikmah segala tuntutan itu.

“Sebelum Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW tidur di rumah Ummu Hani dan Baginda dikejutkan oleh Malaikat Jibril. Inilah bukti Allah SWT mahukan kita taat dalam keadaan sedar, tahu apa batas yang boleh serta tidak boleh dilanggar,” katanya.

Elak jadi ‘jutawan dosa’ media sosial

JIKA para sahabat Rasulullah SAW hidup semula pada zaman ini, mereka pasti kagum melihat perkembangan teknologi maklumat yang ada. Mereka pasti terkejut melihat betapa cepatnya maklumat dan berita tersebar dalam jaringan media sosial. Ilmu dan pahala diperoleh dengan mudah melalui jari jemari. Tekan sahaja, pahala masuk mencurah bak hujan yang lebat. Pendek kata, jika teknologi maklumat pada hari ini digunakan sepenuhnya secara positif, pasti tiada lagi manusia jahil.

Pun begitu, para sahabat nabi pasti lebih terkejut melihat betapa mudahnya media sosial melahirkan ‘jutawan dosa senyap’. Apa tidaknya, akhlak ‘bahasa’ sesetengah orang Islam dalam media sosial pada hari ini sungguh dahsyat. Adakah mereka ingat para malaikat tidak menilai akaun media sosial mereka?

Untuk makluman, malaikat belum pencen sebagai pegawai audit amalan harian mereka. Firman Allah:

“Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya),” (Qaf [50:17-18]).

Setelah melihat dahsyatnya akhlak umat Islam pada zaman ini, pasti para sahabat nabi akan mengingatkan kita semua dengan sebuah sabda Rasullah SAW yang sudah lama umat Islam zaman ini baca dan dengar:

“Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendak dia berkata (yang) baik (sahaja) atau diam,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

‘TANGAN’ LEBIH TAJAM DARIPADA PEDANG

Jangan kita sempitkan maksud berkata-kata baik atau diam dalam hadis di atas hanya pada aktiviti lidah.

Pada zaman ini, bicara tangan jauh lebih lantang dan bahaya berbanding lidah. Ini sebabnya Allah banyak mengaitkan nasib malang manusia yang dihumban ke neraka kerana jenayah tangan. Dalam media sosial, tangan banyak melakukan jenayah fitnah, kongsi tanpa semak, ejek dan sindir. Benar sekali firman Allah ini:

“(Azab seksa) yang demikian itu adalah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Nya,” (al-Anfal[8:51]).

Bahkan semasa audit mahsyar di akhirat kelak, tangan yang kaku boleh berbicara dengan fasih sebagaimana firman Allah:

“Pada waktu itu Kami paterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan mereka berbicara kepada Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan,” (Yasin[36:65]).

Oleh itu, usaha menjaga tangan agar jangan berbicara tanpa hala dalam media sosial perlu digiatkan. Bicara lidah atau tangan banyak berkait dengan kesucian hati. Bukan saya kata, tapi Rasulullah SAW yang bersabda:

“Iman seseorang hamba itu tidak akan lurus sehinggalah hati jantungnya lurus (terlebih dahulu). Hati jantungnya pula tidak akan lurus sehinggalah lidahnya lurus (terlebih dahulu).  Seorang lelaki (dan wanita) tidak akan masuk syurga jika jirannya tidak selamat daripada kejahatannya,” – Musnad Ahmad.

JANGAN JADI EJEN PENYEBAR FITNAH

Selain itu, jika kita benar-benar menjiwai maksud Islam yang dianuti, semua pihak wajib menjaga diri agar tidak memangsakan saudara Muslim lain dengan kejahatan lidah dan tangan di mana sahaja kita berada sama ada alam nyata atau maya.

Sabda Rasulullah SAW: “Seorang Muslim (sejati) adalah orang yang saudara Muslim lain terselamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis lain, Baginda turut bersabda:

“Mahukan aku khabarkan padamu perkara yang mampu mengawal semuanya (akidah, ibadat dan amal soleh)? Mu’adh bin Jabal menjawab: Ya wahai Nabi Allah! Rasulullah mengeluarkan lidahnya kemudian berkata: “Jaga benda ini (lidahmu).” Aku (Mu’adh) tanya: “Wahai Nabi Allah, adakah kita akan dihukum kerana apa yang kita ucapkan? Baginda menjawab: Sedarlah Wahai Mu’adh! Tidakkah manusia dihumban ke neraka atas wajah dan hidung mereka kerana tuaian (buruk) lidahnya ini,” – Sunan Tirmizi.

Melihat kepada fitnah media sosial yang sungguh dahsyat, saya yakin sabda baginda SAW dalam hadis ini bukan hanya terbatas kepada lidah, tetapi merangkumi ‘lidah maya’ yang dimainkan oleh tangan kita semua.

Menjaga lidah atau tangan dengan diam atau berkata baik sahaja sangat penting bagi menjamin keselamatan iman dan keharmonian masyarakat. Lihat sahaja berapa banyak musibah fitnah media sosial sudah berlaku dan membakar hangus nilai amanah, kepercayaan, integriti dan hubungan silaturahim.

Para ulama banyak menulis buku berkaitan kepentingan diam dan menjaga lidah seperti buku Imam Ibn Abi al-Dunya yang bertajuk ‘al-Samt Wa Adab al-Lisan’ (Diam dan adab menjaga lidah). Saya yakin, jika beliau masih hidup, pasti buku ini akan bertukar tajuknya menjadi ‘Kepentingan diam dan adab menjaga lidah serta tangan dalam media sosial’.

PEDOMAN

Selepas ini jika timbul apa sahaja isu dalam media sosial, tahanlah ‘jari-jemari’ anda daripada mengeluarkan ‘suaranya yang sumbang’. Timbanglah terlebih dahulu dengan neraca iman. Adakah cakapku ini boleh mengundang dosa atau pahala? Adakah komenku ini akan merendah atau menaikkan sesiapa?

Hayati sabda Rasulullah SAW pada awal rencana ini untuk berkata baik atau diam sahaja. Mengapa agaknya pangkal hadis itu diikat dengan dua Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat?

Tidak lain, kegagalan menjaga lidah atau ‘tangan’ akan mengundang murka Allah. Semoga Allah kurniakan kita semua kebijaksanaan dengan mengamalkan ‘sunah diam atau  berkata baik’ dalam media sosial.

Keberkatan khusyuk dalam solat

NURATIKAH MOHAMMAD KAMAL ARIFIN

 

SESUNGGUHNYA solat merupakan suatu ibadah yang besar di sisi Allah SWT. Dan ia merupakan suatu kewajipan ke atas manusia sebagai makhluk kepada sang pencipta. Solat merupakan rukun Islam kedua yang wajib ditunaikan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Perintah mendirikan solat ini telahpun bermula semenjak berlakunya satu peristiwa besar di dalam Islam yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW iaitu peristiwa Israk dan Mikraj. Sebagaimana kita ketahui, bahawa solat adalah benteng kepada diri  daripada melakukan dosa dan maksiat. Allah berfirman dalam surah al-‘Ankabuut :

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” [Surah Al-‘Ankabuut ayat 45]

Solat akan menjadi lebih sempurna apabila wujudnya khusyuk dalam diri hamba. Khusyuk dalam solat ialah tunduk dan merendahkan diri dengan menumpukan fikiran semata-mata kerana Allah, disertai pergerakan badan yang tenang dalam melakukan ibadah solat. Cara untuk kita  merasakan Allah itu dekat, syaratnya ialah mestilah orang itu beriman dengan sebenar-benarnya, yakni percaya dengan sepenuh keyakinan terhadap kewujudan dan keagungan Allah SWT.

Jika imannya telah lemah kerana sudah dibahagikan sebahagian besar hatinya kepada cinta dunia, mustahil ia akan dapat merasakan kedekatan Allah dan mustahil untuknya merasakan nikmat khusyuk dalam beribadat. Orang yang khusyuk dalam solat adalah mukmin yang berjaya. Sebagaimana firman allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿23:1﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ‏ ﴿23:2﴾

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” [Surah Al-Mu’minuun ayat 1-2]

Mereka yang khusyuk dalam solat akan dinaikan darjat dan mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat serta mampu merasa kemanisan dalam beribadat. Nilai khusyuk yang terpancar dalam diri seseorang dapat dilihat melalui ketenangan hati dan jiwa yang luhur. Seseorang yang hatinya hilang dalam solat, maka hilanglah nikmat khusyuk.

Apabila seseorang itu melakukan ibadah dengan menghadirkan sepenuhnya rasa kekhusyukan, semestinya hati akan lebih tenteram. Segala aktiviti dan pekerjaannya pasti Akan dipermudahkan. Khusyuk akan menjadikan seseorang menjadi lebih positif dan tidak mudah Berputus asa. Hal ini kerana, segala urusannya Diserahkan sepenuhnya kepada pencipta. Nescaya Allah akan menjamin kehidupan orang berserah diri dan melindungi dari sebarang  kejahatan. Dalam hadith nabi Muhamad saw bersabda:

“Serahkan urusan kalian berdua kepada Allah Azza wa jalla, agar kalian merasa tenang.”

Selain itu, kekhusyukan dalam solat dapat melahirkan sifat kesyukuran pada diri. Yakni mereka sentiasa bersyukur Di Atas kurniaan nikmat dan Rahmat yang tidak terhingga dengan melakukan ibadat Kepada-Nya. Dengan kewujudan sifat ini, sekaligus akan menghindar diri dari sifat mazmumah seperti tamak, iri hati dan hasad dengki. Menurut firman allah SWT:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Dan (ingatlah) ketika Rabbmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.” [Ibrâhîm/14:7]

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Istilah yang sering kali kita dengar iaitu ‘kenapa orang itu solat tapi tetap melakukan maksiat?’, ‘kenapa orang itu solat tetapi dikeliling dengan pelbagai masalah?’. Hanya solat yang khusyuk sahaja mampu menyelam ke dalam diri manusia dan merubah rasa hati menjadi lebih tenang, gaya fikir yang lebih bijak, prinsip hidup yang harmoni dan akhirnya mengubah perilaku seseorang.

Solat yang khusyuk menjadikan seseorang sentiasa ingat jati dirnya sebagai seorang hamba Allah. Dia tidak akan sesekali merasakan dirinya sebagai tuan apatah lagi sebagai “tuhan” dalam hidupnya. Secara tidak langsung seseorang itu akan sentiasa dipenuhi sifat kehambaan dalam diri seperti rasa jahil, hina, malu, lemah, dan lain-lain sifat yang menzahirkan kekurangan diri apabila berhadapan dengan Allah.

Rasa kehambaan ini akan melahirkan seseorang yang sentiasa ingat akan Penciptanya. Walau sekuat mana pun ujian hidup melanda, segalanya dapat diatasi dengan sempurna kerana wujudnya talian hayat dengan yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa, rasa diri yang lemah akan menjadi kuat apa hati diserahkan sepenuhnya untuk ditadbir Allah melalui nilai khusyuk

Al-Quran gambarkan ciri-ciri ahli syurga

Setiap manusia memasang impian menjadi penghuni syurga. Pelbagai perbuatan yang dilakukan semasa di dunia memberi gambaran sama ada sesorang itu layak ke syurga atau neraka. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di IKIMfm, berkata terdapat lima ciri penghuni syurga iaitu mereka yang beriman, sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik, sentiasa bertaubat, orang yang bertakwa dan mereka yang bersujud setiap malam kepada Allah SWT.

DALAM kehidupan manusia diberi dua pilihan oleh Allah SWT, sama ada ke syurga atau neraka. Al-Quran menggambarkan ahli syurga, orang beriman dan beramal soleh. Ingat pesanan Rasulullah SAW, iman tidak diperoleh dengan berangan-angan, tetapi iman adalah apa yang diikrarkan di dalam hati dan dizahirkan dengan amal dan perbuatan, serta yakin bahawa pada suatu hari nanti manusia akan kembali menghadap Allah apabila dimatikan dan memasuki alam kubur.

Manusia juga perlu yakin akan melalui saat disoal di dalam kubur dan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar dan kemudian melalui titian sirat, serta tetap yakin akan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Tidak dapat dinafikan ciri utama penghuni syurga adalah dalam kalangan manusia yang beriman. Firman Allah yang bermaksud: “Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu” dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 5)

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm, berkata manusia yang sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik dan berhijrah di jalan Allah SWT adalah antara ciri bagi penghuni syurga. Semakin matang dan meningkatnya usia menjadikan mereka semakin soleh sehingga ke penghujung hayatnya digelar wali Allah oleh malaikat.

Allah SWT menyebut: “(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah SWT dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberi minum orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.” (Surah al-Taubah, ayat 20 hingga 22).

Hijrah ke arah lebih baik

Setiap manusia yang ingin berhijrah kepada yang lebih baik dalam hidupnya perlu ada kemahuan melakukan perubahan. Ciri ketiga bagi penghuni syurga ialah orang yang sentiasa bertaubat dan menjauhkan dirinya daripada kelalaian yang melampau. Rasulullah SAW berpesan, sekiranya bertemu dengan orang yang kaya, lalu kamu menghormatinya kerana kekayaannya, nescaya dua pertiga daripada agamanya sudah dileburkan di sisi Allah. Dalam kehidupan ini tidak akan ada seorang pun manusia yang layak memiliki kekayaan selain Allah SWT.

Selain itu orang yang beriman kepada Allah SWT dan ayat-Nya serta sentiasa hidup dengan berserah kepada Allah SWT, adalah di antara ciri manusia yang layak menghuni syurga. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Zukhruf, ayat 68 hingga 70: “(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang yang beriman akan ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang Islam yang taat patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam syurga bersama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.”

Manusia yang sentiasa hidup di dalam keikhlasan walaupun dihalangi kesukaran, melayakkan mereka menjadi penghuni syurga kelak. Sukarnya melahirkan keikhlasan sehinggakan Allah menurunkan Surah al-Ikhlas yang dinilaikan seumpama satu pertiga al-Quran. Mereka yang mampu menjadikan dirinya ikhlas di dalam beribadah kepada Allah, menunjukkan petanda bahawa dirinya seperti yang digambarkan di dalam al-Quran, orang yang sedang bergerak ke arah syurga. Dalam Surah as-Saaffaat, ayat 40 hingga 43 pula bermaksud: “Kecuali hamba Allah SWT yang dibersihkan daripada sebarang syirik, Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum, Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan.”

Ciri penghuni syurga Ciri penghuni syurga, termasuk dalam kalangan manusia yang istiqamah beribadah kepada Allah. Mereka ini digambarkan di dalam Surah Fussilat, ayat 30 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

Orang yang bertakwa kepada Allah SWT, diusir dari negerinya dan diseksa kerana berada di jalan Allah SWT juga antara ciri penghuni syurga. Di dalam firman Allah, Surah ali-Imran, ayat 195: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang sabil) sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).”

Hidupkan malam beribadah

Di antara ciri lain bagi manusia yang layak menghuni syurga ialah mereka yang sanggup merenggangkan dirinya dengan tempat tidurnya semata-mata untuk menghidupkan malamnya untuk sujud kepada Allah. Begitu juga para wali Allah yang sentiasa dekat-Nya, orang yang beriman pada Hari Akhirat serta orang yang sabar di dalam mengharapkan pertemuannya dengan Allah SWT. Selain itu, manusia yang menginfaqkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT dan hidupnya begitu taat kepada Allah SWT dan Rasul bakal memasuki syurga. Ciri ahli syurga ini terkandung dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 22 hingga 24: “Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -Iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri mereka serta anak mereka; sedang malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.”