• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Doa ibu cepat makbul

Mohd Hassan Adli Yahya

 

Hujung minggu lalu, saya memandu kereta ke masjid untuk menyampaikan kuliah Subuh. Sepanjang perjalanan, terdetik dalam fikiran, “Dah lama tak buat ‘alignment’ tayar kereta. Nak kena buat nanti.”

Tanpa disangka, 10 minit kemudian saya terlanggar sebatang besi. Mungkin serpihan daripada kerja kontraktor yang membaiki jalan di situ. Tayar kereta kempis dan saya memberhentikan kereta di tepi jalan dalam keadaan hening pagi yang sunyi itu.

Kebetulan dalam kereta tiada peralatan mencukupi. Saya mati kutu sebentar. Saya menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu. Namun, bila seluk poket, rupa-rupanya saya tertinggal beg duit. “Ah, sudah. Macam mana nak buat? Subuh dah nak masuk. Macam mana nak ke masjid?”

Mujur ada telefon bimbit. Saya memaklumkan kepada orang masjid situasi saya alami ketika itu. Akhirnya saya dijemput ke masjid dengan menaiki motosikal. Selepas selesai kuliah Subuh, ada orang masjid membantu untuk menukar tayar kereta. Sambil tukar tayar, kami berbual dan saya bercerita mengenai rancangan untuk buat ‘alignment’ tayar ketika dalam perjalanan ke masjid tadi.

“Memang betul ustaz, apa yang kita fikir adalah doa. Apa yang kita fikir tu kadangkala terus sampai pada Allah,” kata lelaki tadi. Saya tersenyum membenarkan kata-katanya.

Dia menyambung lagi, “Sama juga dengan ibu ayah kita, terutamanya ibu. Depan ibu, jangan tunjuk sangat kita susah walaupun sebenarnya kita memang tengah susah. Cuba tunjuk depan ibu yang kita senang. Sekali sekala belikan hadiah untuk ibu kita.”

“Maksudnya macam mana encik?” tanya saya padanya untuk mendapatkan penjelasan. Kalau dah susah, macam mana nak senang? Bukankah hipokrit?

“Bagini ustaz. Ibu ini, apa yang dia kata adalah doa. Kalau dia nampak kita susah, mesti dia akan sebut, ‘Buat apa awak belikan mak barang, awak pun susah. Banyak nak belanja itu ini.’

“Kadangkala ibu kita bersembang dengan kita mengenai adik-beradik yang lain, ‘Kesian kat abang awak, dah umur 40 tahun pun belum beli rumah. Kesian nampak dia susah nak cari rezeki’.”

Saya tersenyum seakan-akan mengerti apa yang cuba disampaikan. Kemudian dia sambung lagi, “Bila ibu nampak kita susah, perkataan yang akan selalu meniti di bibirnya adalah ‘susah’. Secara tak langsung ‘susah’ ini menjadi doa yang sampai ke ‘atas’.

“Alhamdulillah ustaz, dalam adik-beradik saya, kiranya sayalah yang paling ‘senang’. Bukan nak cakap besar ustaz, bila saya bersembang dengan ibu saya, selalu ibu sebut, ‘Awak kan senang, tolong-tolonglah abang awak yang susah tu.’

“Dan saya nampak apa yang disebut ibu, itu yang berlaku. Kita mesti tanamkan dalam pemikiran ibu bapa kita mengenai kita, biarkan dia selalu nampak kita senang.”

Ada kebenarannya apa yang disampaikan lelaki ini. Mahu ibu ayah nampak senang tidaklah sampai kita perlu meminjam untuk membeli barang yang mahal. Cukup kita belikan buah tangan, bawa mereka berjalan atau sekali sekala belikan apa yang mereka suka. Kita juga adalah ibu dan ayah atau bakal ibu dan ayah suatu masa nanti. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah tadi, antaranya;

1. Doa ibu sangat mustajab – sama ada bermaksud baik atau tidak. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati dan usah ikut perasaan.

2. Ibu harus sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak, lebih lagi pada waktu solat.

3. Ibu harus sentiasa menjaga mulut dan usah mudah tersinggung – maafkanlah dan nasihatkan serta sentiasa berdoa untuk anak.

4. Sebagai pengasuh, ibu perlu dilengkapi ilmu demi memupuk anak yang soleh.

Seorang alim besar, Syeikh Syaroni Ahmadi Al-Qudsy berkata: “Doa ibu adalah seperti jelmaan malaikat, bahkan ibu adalah seperti jelmaan malaikat yang nampak. Ertinya, hati-hatilah dengan doa ibumu kerana doanya begitu cepat dikabulkan oleh Allah SWT.”

Membudayakan ilmu julang umat mulia

Jana kegemilangan pemikiran, tindakan rasional

Dunia dan umat Islam kini sedang ‘dipanggang’ api kezaliman Yahudi dan musuh-musuh Islam. Islam dikatakan agama pengganas, fundamentalis, ekstremis, dan bermacam lagi. Sedangkan Islam adalah agama suci yang diredai Allah SWT. Sesungguhnya, Islam menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sedangkan pengganas sebenar dianggap sebagai wira sejagat. Yahudi dan puaknya semakin berani menghina Allah dan Rasulullah SAW. Mereka juga telah merampas Baitulmaqdis, malah mahu memasuki Baitullah al-Haram. Mereka juga menyatakan baginda seorang penzina dan pengganas. Natijahnya, segala tohmahan ini menyebabkan kehidupan umat Islam dilanda kemelut yang berpanjangan. Justeru, perlulah diluruskan pemahaman terhadap Islam, agar umat Islam kembali menghayati Islam yang jelas dan benar. Iaitu yang bersumberkan al-Quran, al-Sunah, Ijmak dan Qias.

Ketika ini dunia dilanda krisis yang sangat membimbangkan. Jika dibiarkan, ia akan mengancam kewujudan dan kesinambungan umat Islam. Sesungguhnya, umat Islam adalah umat teristimewa yang membawa misi peradaban dan kesejahteraan kepada dunia serta dilantik oleh Allah sebagai pemimpin dan saksi bagi umat manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143: “Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”

Antara krisis umat Islam yang amat membimbangkan ialah krisis pemikiran dan moral. Akibat kemunduran umat Islam, terjadilah kejumudan fikiran, tafsiran melulu dalam bidang fikah, keraguan dalam akidah, menganggap ibadah sebagai adat kebiasaan dan berlebih-lebihan dalam tasawuf.

Oleh yang demikian, kita harus bangun dan membetulkan kefahaman terhadap Islam agar umat Islam mengikuti jalan Islam yang sebenarnya. Dengan bekalan ilmu di dada dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak, kerana fikiran adalah pangkal pekerjaan yang benar, manakala ilmu pengetahuan adalah penyuluh ke arah kebenaran.

Allah berfirman dalam surah al-A’laq ayat 1-2 yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.”

Oleh itu, jelaslah bahawa budaya memartabatkan ilmu dalam kehidupan akan membantu ke arah kegemilangan pemikiran dan tindakan rasional dalam kalangan umat Islam agar tidak mudah dipersendakan oleh Barat. Medan jihad dalam keilmuan menjadi nadi pemangkin ummah.

Merujuk Kamus Dewan, jihad didefinisikan sebagai usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah. Manakala makna kedua ialah penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan negara dan lain-lain (seperti jihad pada hawa nafsu).

Ulama besar Dr. Said Ramadhan al-Buti berkata: “Jihad ialah bersusah payah mencurahkan tenaga demi meninggikan kalimah Allah dan membina masyarakat Islam. Mencurahkan tenaga dengan jalan peperangan adalah sebahagian daripadanya dan matlamat utama ialah mendirikan masyarakat Islam dan membentuk Daulah Islamiyyah yang sebenar.

Berjihad dalam memartabatkan tradisi budaya ilmu dalam kehidupan merupakan antara usaha yang perlu dititikberatkan. Ilmu merupakan alat utama dan amat berharga kepada manusia. Justeru, ilmu dapat merubah diri manusia daripada jahil kepada tahu, gelap kepada cahaya, derita kepada bahagia, batil kepada al-haq. Perjuangan dan jihad merangsang masyarakat agar menghidupkan tradisi ilmu serta budaya membaca dalam membina kemajuan agar setanding dengan bangsa-bangsa asing.

Dr. Abdul Monir Yaacob menyatakan bahawa apabila Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW, baginda juga diberi ilmu. Ilmu yang mencakupi seluruh cara hidup dan keperluan manusia di dunia serta akhirat. Islam mementingkan umatnya menguasai ilmu. Bahkan membenarkan setiap orang mencari ilmu walaupun di mana sahaja. Jelas bahawa ilmu itu perlu dicari, tidak datang menggolek. Pernah pada suatu ketika seorang khalifah di zaman Abbasiyyah mahukan puteranya belajar. Jawab guru berkenaan, ilmu itu dicari bukan ditunggu dan mempunyai adabnya.

Seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran malahan mempunyai keyakinan dan kesedaran terhadap tanggungjawabnya kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan tugas yang tertinggi sekali iaitu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Abu Hurairah RA meriwayatkan katanya; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam meninggal dunia maka semua amalannya terputus kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah dan anak soleh yang sering berdoa kepada kedua ibu bapa.”

Saidina Ali berkata: “Ilmu adalah lebih utama daripada utama. Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan berkurangan bila kau belanjakannya. Sedangkan ilmu bertambah subur bila kau sebarkannya. Ilmu adalah hakim dan sebaliknya harta adalah sesuatu yang dihakimi.”

Kepentingan berjihad atau berusaha dalam memartabatkan budaya ilmu mendorong individu untuk berjihad ke atasnya dan beristiqamah dalam memperjuangkannya. Ini akan membentuk peribadi yang bertakwa dalam menentang hawa nafsu dan memaksa diri untuk mentaati Allah. Demikian juga, ilmu dan takwa merupakan buah daripada amalan jihad pada jalan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan mereka bersungguh-sungguh berjihad untuk Kami, tetap Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami.”

Didapati bahawa semakin kuat pihak Barat berusaha mencengkam akidah, akhlak dan syariat Islamiyyah. Tidak lain, mereka bertujuan untuk melihat kehancuran Islam dan umatnya di atas muka bumi dengan meracuni dan seterusnya merosakkan pemikiran serta akhlak umat Islam. Oleh yang demikian, jelaslah di sini ideologi yang berteraskan keimanan dan bersendikan prinsip (al-amal bil ma’ruf wan nahyu ani mungkar) adalah menjadi syarat paling utama untuk melayakkan diri sebagai pemimpin daulah Islamiah berkualiti.

Umat Islam tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh dan bergantung kepada pengalaman dan nama Islam sahaja tanpa berusaha mencapai peningkatan dalam bidang ilmu pengetahuan yang pelbagai. Malahan sekiranya, orang-orang yang berilmu pengetahuan namun tidak dijadikan pakaian dalam kehidupan, maka kemusnahan, kesesatan dan kemungkaran akan berleluasa di merata dunia.

Hakikatnya, tiada penentangan langsung antara agama dengan tamadun sebagaimana yang dilabelkan oleh Barat. Adalah menjadi tanggungjawab utama umat Islam untuk meninggikan darjat umat Islam. Semua kaedah kehidupan dunia hendaklah berjalan di atas landasan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan kekuatan keimanan, ketakwaan berserta dengan ilmu pengetahuan yang luas. Maka umat Islam mampu bangun untuk berjihad menentang kedurjanaan musuh Islam kerana umat Islam mempunyai akidah yang teguh iaitu tauhid rububiyah dan uluhiyyah sebagai tulang belakang perjuangan. Ajaran Islam perlu disebarkan ke tengah masyarakat secara berkesan melalui nas-nas al-Quran, al-Sunah, ijmak dan qias.

Masa adalah makhluk Allah yang ajaib

Manfaatkannya, ia punca bahagia, duka di akhirat

 

MASA adalah satu makhluk Allah yang ajaib. Ia tidak perlu menonjolkan dirinya bagi membuktikan kewujudannya di alam ini. Apabila jam berdetik, masa dinamakan saat. Apabila matahari jatuh di ufuk barat, masa dinamakan pula hari. Apabila kitaran bumi sudah lengkap mengelilingi matahari dalam kiraan 365 hari, masa bertukar nama menjadi tahun. Tiada siapa yang mampu terlepas daripada cengkamannya. Manusia yang dulunya muda belia menjadi tua lemah apabila diselubungi masa. Masa juga mampu mematangkan manusia dengan himpunan pengalaman.

Pun begitu, masa kadangkala boleh dikalahkan dengan ilmu. Manusia yang mempunyai ilmu mampu mengubah kuasa masa dengan kenderaan berkelajuan tinggi yang mereka miliki. Perjalanan dengan kapal terbang berbeza dengan memandu kereta. Prinsip isu ini disebut Allah ketika menceritakan mukjizat Nabi Sulaiman a.s. yang berkenderaan angin mampu memotong masa dari sebulan menjadi sehari. Saya kira kenderaan angin baginda boleh dikiaskan pada kapal terbang pada hari ini:

“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: “sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan,” (Saba’[34:12]).

Bukan setakat itu sahaja, para malaikat yang dicipta Allah daripada cahaya memiliki kemampuan bergerak pantas merentas masa. Seakan dikata, masa berurusan dengan teknologi malaikat dalam kerangka lain berbeza dengan kemampuan manusia:

“Para malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang yang bersalah) sungguh panjang selama 50,000 tahun,” (al-Ma’arij [70:4]).

MAKHLUK TERAWAL

Masa juga antara makhluk awal ciptaan Allah kerana dalam banyak ayat Allah menyebut penciptaan awal langit dan bumi dalam enam masa: “Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “Arasy-Nya, berada di atas air,” (Hud [11:7]).

Masa hanya di dunia dalam kiraan naik turunnya matahari dan munculnya bulan. Di alam barzakh lain pula halnya. Tiada lagi ukuran masa seperti di dunia. Oleh itu, manusia yang mati sejak zaman nabi Adam atau mati sehari sebelum berlakunya kiamat tetap berada dalam satu ruang masa yang sama bersesuaian dengan kuasa Allah selaku “Pencipta masa.”

Pernah saya terbaca dialog-dialog orang tabi’in (murid sahabat yang tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bertemu dalam mimpi. Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Aku bermimpi bertemu Sufyan al-Thawri (yang sudah meninggal dunia). Aku lalu bertanya kepadanya: Apa yang diperlakukan Allah padamu?” Sufyan menjawab: “Aku bertemu dengan Muhammad SAW dan puaknya (para sahabat),” Apa-apa pun, mimpi ini tetap tidak boleh menjadi hujah.

Masa adalah makhluk Allah yang terikat dengan izin Penciptanya. Ia wajib akur kepada kehendak Allah sebagaimana sang api pernah akur ketika menyelamatkan nabi Ibrahim a.s.: “Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk dan selamat sejahtera kepada Ibrahim!,” (al-Anbiya’ [21:69]).

HAKIKAT MASA

 

Sepanjang sejarah manusia, kuasa masa pernah ditarik oleh Allah beberapa kali seperti dalam kisah tujuh pemuda soleh yang tidur dalam gua: “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: 300 tahun (dengan kiraan Ahli Kitab), dan (tambah) sembilan lagi (dengan kiraan kamu),” (al-Kahf[18:25]).

Walaupun masa sudah berlalu selama 300 tahun, jasad tujuh wali Allah ini kekal remaja seperti waktu awal mereka tidur. Begitu juga kisah pemuda Bani Israel yang tidur selama 100 tahun:

“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? “ Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu,” (al-Baqarah [2:259]).

Kisah ini jelas menunjukkan penguasaan mutlak Allah terhadap masa. Jasad dan makanan lelaki ini tidak terjejas kerana masa tidak dibenarkan untuk menyentuhnya, manakala si keldai hancur menjadi tulang kerana Allah membenarkan masa mengenakan kuasa pemusnahnya kepada si keldai. Maha Suci Allah!

Sama perihalnya dengan Nabi Isa a.s. Pada perkiraan biasa, baginda sudah berusia lebih 2,000 tahun, tetapi keremajaan baginda kekal seperti waktu baginda diangkat ke langit. Baginda menjadi kebal masa dan tidak dimamah usia kerana Allah menghalang masa daripada menyentuh baginda.

Semoga bicara ringkas pada kali ini akan membuka luas mata hati kita betapa makhluk Allah yang bernama masa sebenarnya sangat ajaib. Inilah antara sebab mengapa Allah bersumpah menggunakan masa dalam al-Quran:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar,” (al-‘Asr [103:1-3]).

Manfaatkan makhluk Allah ini sebaik mungkin kerana ia akan menjadi sebab bahagia atau duka kita di akhirat kelak. Kita akan berbahagia jika bijak menggunakan masa bagi mengisi hidup dengan ketaatan kepada Allah, manakala kita bakal derita jika terlalu banyak membuang masa untuk aktiviti dosa yang tidak berfaedah.

Syafaat Rasulullah s.a.w selamat umat

Fairuz Noordin

 

SYAFAAT bererti memohon pertolongan atau mengharapkan sesuatu yang boleh membantu ketika berada di saat kesukaran seperti di Padang Mahsyar.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW menceritakan, apabila manusia berada dalam keadaan saling bertengkar dan pelbagai rupa di Padang Mahsyar, akhirnya mereka bertanya satu sama lain berapa lamakah mereka akan berada dalam keadaan itu? Masing-masing meluahkan keinginan untuk mencari syafaat yang boleh menyelamatkan mereka ketika itu. Akhirnya mereka memutuskan untuk meminta bantuan daripada Nabi Adam.

Menurut Rasulullah, kelompok manusia yang berani mencari Nabi Adam untuk memohon syafaat adalah dalam kalangan ulama yang hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Kelompok ulama ini akan bergerak mencari Nabi Adam dan apabila bertemu, mereka meminta Baginda memohon kepada Allah SWT supaya mengadili manusia di Padang Mahsyar ketika itu. Nabi Adam tidak berani berbuat demikian kerana berasa pernah melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Baginda menyuruh mereka meminta pertolongan daripada Nabi Noh.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm berkongsi riwayat Abi Hamid dalam kitabnya Kashful Ulum Al-Akbar yang menceritakan manusia mula bergerak mencari Nabi Noh selama kira-kira seribu tahun.

Selepas bertemu Nabi Noh, Baginda juga sangat takut kepada Allah SWT kerana kaumnya berpaling daripada ajaran yang dibawanya. Nabi Noh meminta mereka menemui Nabi Ibrahim. Pencarian manusia di Padang Mahsyar berterusan seribu tahun lagi. Apabila bertemu Nabi Ibrahim, Baginda tidak mampu membantu dan mencadangkan supaya mencari Nabi Musa.

Seribu tahun kemudian mereka bertemu dengannya tetapi Baginda juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta kelompok manusia itu mencari Nabi Isa. Selepas seribu tahun dan bertemu Nabi Isa, Baginda juga tidak berani membantu kerana sangat takut dengan kemarahan Allah SWT. Nabi Isa meminta memohon bantuan daripada Nabi Muhammad SAW.

Rupa manusia berbeza-beza

Sepanjang pencarian itu, kelompok manusia berada dalam keadaan rupa yang berbeza-beza. Apabila bertemu Rasulullah SAW, mereka berkata: “Ya Rasulullah, kami sudah lama berada di Padang Mahsyar ini. Tolonglah berdoa dengan menggunakan syafaat yang ada padamu, supaya Allah SWT mempercepatkan pengadilan kita sebelum dihisab di sisi-Nya.”

Baginda mula sujud, lalu Allah SWT bertanya kepada malaikat walaupun mengetahui sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuat demikian. Malaikat menjawab: “Ya Allah, sesungguhnya Muhammad itu mengharapkan sesuatu daripada-Mu. Rasulullah SAW bersujud sambil menangis dan merayu: Ya Allah tolonglah lakukan sesuatu untuk mengadili umatku ini.”

Lalu Allah memerintahkan umat Baginda yang belum dihisab, masuk ke dalam syurga melalui pintu yang terletak di sebelah kanan. Menurut Rasulullah SAW, mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab adalah manusia yang semasa hidupnya dahulu tidak pernah mendapatkan bantuan bomoh atau menjadi bomoh yang mensyirikkan Allah SWT.

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah: “Siapakah orang yang paling gembira apabila mendapat syafaat daripada kamu pada Hari Kiamat kelak, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Abu Hurairah, aku fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku soalan ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan Laila illallah Muhammadur Rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan berusaha menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT.”

Qadi bin Iyat berkata, lima syafaat Rasulullah SAW iaitu syafaat umum bagi seluruh umat manusia, syafaat kedua ialah untuk memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa dihisab terlebih dahulu, syafaat ketiga untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada memasuki neraka, syafaat keempat untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada neraka dan syafaat kelima untuk meninggikan darjat penghuni syurga

Jadual Pengajian Umum 2018 di Pondok Pasir Tumboh

Jadual Pengajian Harian

Penginapan dan makan minum

Bayaran Penempatan

  1. Pondok wakaf (kebanyakan pelajar bujang tinggal di pondok wakaf)

a. Percuma untuk tempat tinggal Cuma wajib baiki kerosakan sendiri

b. Elektrik bulanan biasanya RM 10.00

c. Air bulanan biasanya RM 3.00

 

2. Asrama

a. Yuran asrama mengikut ketetapan pihak pengurusan

b. Yuran makan minum

c. Elektrik dan air biasanya RM 15.00 sebulan

 

3. Pondok sewa (hampir semua pelajar muslimat, kelamin dan warga emas tinggal di pondok sewa)

a. Mengikut kadar sewa yang ditetapkan oleh pemilik pondok

b. Elektrik dan air mengikut bil semasa

Makan Minum dan Pembelian Kitab

– Pembiayaan makan  minum dan pembelian kitab adalah tanggungan sendiri. Pelajar dan warga pondok diberi pilihan samada memasak sendiri atau membeli makan di kedai sekitar kawasan pondok

Waspada pintu maksiat

Jangan pernah berasa aman daripada tipu daya syaitan

UBADAH bin Samit al-Ansari berasal daripada suku Ansar. Beliau termasuk ahli Madinah yang pertama masuk Islam sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Beliau hadir dalam semua medan jihad mempertahankan Islam bersama baginda Nabi SAW.

Selepas baginda wafat, Khalifah Umar bin Khattab mengutus beliau ke Palestin untuk mengajarkan al-Quran. Ubadah terus tinggal di negeri tersebut hingga wafat pada 34 Hijrah. Waktu itu usia beliau telah mencapai 72 tahun.

Menelusuri sejarah hidup sahabat Nabi yang mulia ini memberi banyak pengajaran yang sangat penting. Salah satunya ialah kepentingan berdisiplin dalam menjaga diri daripada dosa dan maksiat.

Walaupun usia Ubadah sudah lanjut, namun beliau tidak pernah berasa aman daripada tipu daya hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Beliau berkata: “Tidakkah kamu melihat bahawa aku tidak mampu berdiri melainkan didokong. Aku hanya memakan makanan yang telah dilembutkan. Dan kemaluanku telah lama mati.

“Namun begitu, aku tetap tidak ingin berkhalwat dengan wanita yang tidak halal bagiku walaupun dibayar seisi dunia sekalipun.”

Ubadah melanjutkan: “Itu kerana aku bimbang suatu saat syaitan akan datang lalu menggerakkannya kembali.” (Siyar A’lam al-Nubala)

Jiwa muslim

Demikianlah jiwa Muslim yang selalu waspada. Seorang Muslim tidak boleh berasa aman daripada tipu daya syaitan. Walaupun sudah tua dan tidak bertenaga, ataupun telah banyak beribadah dan mengumpul pahala. Selagi nyawa masih berada di dalam tubuh, syaitan tidak akan berhenti menyesatkan manusia.

Merenungi keadaan diri kita, sepatutnya kita berasa lebih bimbang daripada Ubadah bin al-Samit.

Itu kerana Ubadah seorang ahli Badar yang telah diampuni dosanya oleh Allah SWT. Beliau sangat soleh dan jasanya kepada Islam sangat banyak.

Sementara kita belum cukup mengumpulkan bekalan akhirat. Kita pun masih suka menurutkan hawa nafsu. Justeru, jangan sesekali kita berani menghampiri maksiat, apa lagi berasa diri mustahil terjatuh ke dalam dosa.

Pintu syahwat

Salah satu pintu maksiat yang selalu digunakan syaitan ialah pintu syahwat. Ramai manusia yang tewas di pintu ini. Tidak kira usia, darjat ataupun status. Bahkan seorang tokoh agama sekalipun terkadang tewas apabila diuji menerusi pintu ini.

Tidak hairan apabila Allah SWT bukan hanya melarang kita daripada zina. Akan tetapi menyuruh kita untuk menjauhkan diri daripada zina. Maknanya, kita dituntut untuk menutup setiap peluang dan kesempatan yang membawa kepada perilaku zina seperti berkhalwat, sembang antara laki-laki dan perempuan tanpa hajat, berlebih dalam gurauan dan lain sebagainya.

Allah berfirman yang bermaksud: Janganlah engkau mendekati zina. Sesungguhnya zina ialah dosa yang sangat keji dan jalan yang sangat buruk. (al-Isra’: 32)

Pada masa yang sama, kita disuruh untuk menjaga kesopanan dalam pergaulan, pemakaian dan perkataan. Kita juga disuruh untuk menundukkan pandangan. Rasulullah SAW menjamin syurga bagi sesiapa yang mampu mengawal hawa nafsunya.

Baginda bersabda: Siapa yang menjaga apa yang berada di antara kedua pahanya (iaitu kemaluan) dan kedua rahangnya (iaitu lidah), maka aku menjamin syurga baginya. (riwayat al-Bukhari)

Galakan ini berlaku untuk semua orang tanpa mengira usia dan jantina. Siapapun kita, berapa pun usia kita,apapun profesion kita, jangan pernah berasa aman daripada tipu daya syaitan.

Siapa yang waspada, ia akan selamat. Siapa yang lalai, ia akan terkandas. Wallahua’lam

Amal sunah Rasul mudahkan laluan ke syurga

Hasliza Hassan

 

Melakukan perubahan memerlukan semangat yang kuat kerana selain kelemahan diri, pengaruh luar boleh menjadikan hasrat untuk berubah terbantut atau hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Cabaran lebih besar apabila ingin memulakan langkah menuju jalan ke syurga.

Itu antara inti pati perbincangan pada forum perdana bertajuk ‘Jalan Ke Syurga’

Pendakwah terkenal, Syed Norhisyam Tuan Padang, berkata ilmu penting untuk memandu tindak tanduk manusia kerana melalui ilmu seseorang itu dapat menilai sesuatu perkara dan memastikan mereka berada pada landasan ajaran agama yang sebenar.

Ilmu, pilih kawan dorong ke syurga

Katanya, ilmu juga membantu seseorang menentukan pengaruh baik yang akan membawa kepada kebaikan selain pemilihan kawan yang baik sebagai pendorong untuk istiqamah dalam mencapai impian menjadi penghuni syurga.

“Rasulullah SAW bersabda, bagi sesiapa yang tempuh satu jalan untuk mencari ilmu, dia sedang menempuh jalan ke syurga. Ini kerana ilmu akan memandu manusia untuk ke syurga, manakala kawan yang tidak baik akan membawa kita jauh daripada syurga,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang memimpin diri untuk melakukan kebaikan, sifat istiqamah perlu untuk menangkis pengaruh yang boleh menjejaskan usaha itu kerana seseorang yang ingin berubah ke arah kebaikan pasti berdepan pelbagai ujian.

Syed Norhisyam berkongsi kisah sahabat Rasulullah SAW, Hanzalah, yang bersemangat untuk mencari jalan ke syurga, namun berdepan cabaran mengekalkan semangat itu.

Diriwayatkan, Hanzalah berjumpa Abu Bakar dan memberitahunya: “Wahai Abu Bakar, Hanzalah sudah munafik kerana apabila duduk di majlis bersama Rasulullah SAW, beliau nampak syurga dan neraka tetapi apabila kembali kepada keluarga serta dalam kalangan sahabat, beliau lupa segala-galanya. Abu Bakar berkata: Jika begitu, Abu Bakar juga sudah jadi munafik. Mereka berjumpa Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: Jika sesiapa dapat mengekalkan iman walau di mana berada, nescaya malaikat akan bersalaman dengannya.”

Amal sunah Rasulullah

Namun, tidak dinafikan sifat manusia memerlukan peringatan, justeru cara terbaik untuk mengekalkan usaha melakukan kebaikan secara istiqamah ialah dengan mengamalkan sunah Rasulullah SAW. Ia boleh dimulakan dengan sunah yang kecil seperti mengucapkan salam serta membudayakan memberi senyuman.

Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata kecantikan dan keindahan syurga menjadikan semua hati tertarik untuk menjadi ahli syurga.

Katanya, walaupun tiada siapa dapat membayangkan keadaan syurga, namun terdapat gambaran mengenai syurga yang diceritakan termasuk dalam al-Quran serta sunah Rasulullah SAW sebagai pemangkin untuk manusia menjalani kehidupan yang membawa mereka menuju jalan ke syurga.

“Imam Malik ditanya oleh sahabat bagaimana bentuk syurga dan Imam Malik menjawab, yang ada di muka bumi ini tidak boleh dikatakan bahawa itulah syurga. Jika hendak diceritakan pun, orang akan kata tidak masuk akal dan hati tidak boleh bayangkan kerana syurga itu hebat.

“Bagaimanapun, jika ditanya semua akan melahirkan keinginan untuk menjadi ahli syurga. Sebab itu kita tidak lihat banyak perbincangan mengenai neraka kerana sebut saja neraka, ia sudah sangat menakutkan,” katanya.

Dosa halang masuk syurga

Beliau berkata, sifat syurga ada tiga dan ia selari dengan fitrah dimiliki manusia iaitu sukakan kepada kehijauan seperti taman indah dipenuhi pohonan hijau, ingin berteman atau mempunyai pasangan dan suka kepada makanan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang bertakwa, disediakan syurga tempat mereka beroleh apa yang mereka ingini. (Mereka akan beroleh) kebun-kebun dan buah anggur. Dan perawan yang sebaya umurnya. Dan gelas yang penuh berisi dengan minuman.” (Surah Naba’, ayat 31-34)

Dr Mohd Izhar berkata, bukan semua boleh mencapai syurga kerana ada dosa menghalang seseorang itu masuk syurga iaitu hati yang ada padanya perasaan takbur dan lelaki dayus yang membiarkan isteri serta anak melakukan perkara menyalahi hukum agama.

Konsep 7M lahir generasi al-Quran

Maslina Alias

 

Generasi 7M adalah generasi yang memiliki ciri-ciri generasi al-Quran. Dalam melahirkan generasi al-Quran, pendidikan perlu menyeluruh sama ada bagi membina masyarakat, keluarga, anak serta individu yang memiliki tujuh ‘M’.

Pertama ialah mempelajari iaitu merujuk kepada kehendak untuk belajar al-Quran sebagai gudang ilmu yang perlu diterokai. Jika perkara utama itu tidak ada dalam diri seseorang, maka amat sukar untuk membentuk seseorang itu menuju kejayaan sebagai generasi al-Quran.

Kedua ialah membaca al-Quran. Membaca bukan sahaja merujuk kepada membaca sahaja tetapi juga bermaksud mendengar bacaan al-Quran dibaca oleh orang lain, seperti mana Rasulullah SAW pernah meminta Ibnu Mas’ud untuk memperdengarkan bacaan al-Quran kepada Baginda.

Daripada Ibnu Mas’ud, Nabi SAW bersabda kepadaku: “Bacakanlah al-Quran untukku. Aku berkata: Wahai Rasulullah, saya membacakan al-Quran untuk tuan? Pada hal kepada tuanlah al-Quran diturunkan. Baginda bersabda: Sesungguhnya aku ingin mendengar al-Quran dibaca oleh orang lain. Maka aku pun membacakan untuk Baginda surah an-Nisa’ sehingga sampai ayat 41. Kemudian Baginda bersabda: Cukuplah sampai di sini. Saya menoleh kepada Baginda, tiba-tiba kedua matanya mencucurkan air mata.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW sepatutnya dijadikan iktibar kepada umat Islam, generasi sebeginilah yang perlu dibentuk bagi memimpin masa hadapan. Generasi mempunyai hati yang cair dan lebur apabila mendengar bacaan al-Quran, yang dibaca sendiri atau mendengar orang lain membacakannya.

Membaca al-Quran boleh dijadikan sebagai aktiviti atau rutin harian setiap institusi keluarga, mudah-mudahan ia memberi rahmat kepada seluruh ahli keluarga di samping dapat melembutkan hati yang keras.

Ketiga ialah mengajar al-Quran mengikut kadar ilmu yang ada dalam diri. Seseorang individu boleh mendapat kebahagiaan dengan mengajar, sama ada mengajar ilmu berkaitan bacaan al-Quran atau ilmu lain seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya.

Ustazah Norhafizah Musa dalam program Usrati mengambil contoh seorang guru sains yang hendak menceritakan mengenai kejadian manusia sepatutnya mengaitkannya dengan keindahan kejadian diceritakan dalam al-Quran untuk menarik minat pelajar sekali gus merasa lebih dekat dengan al-Quran itu sendiri.

‘M’ yang keempat ialah menghafaz ayat al-Quran, sama ada keseluruhan ayat, sebahagian daripadanya atau memberi motivasi dan galakan kepada anak untuk menghafaz al-Quran. Mereka adalah golongan yang menjaga akhlak, amanah kepada Allah SWT dan berdisiplin.

Sheikh Zainuddin Al-Malbari menulis satu syair yang menggambarkan pakej atau ciri-ciri orang menghafaz al-Quran. Qari dan hafiz haruslah berperangai dengan perangai yang baik dan diredai seperti zuhud terhadap kemewahan dunia, tidak menaruh perhatian kepada harta atau gilakan dunia.

Juga orangnya murah hati, dermawan, berakhlak mulia dan wajah berseri-seri. Seorang yang santun, penyabar, menghindari pekerjaan yang menghinakan dan sentiasa memperindahkan dirinya. Menjauhi tempat tertawa dan tidak bercanda berlebihan.

Takut pada ujub, riak, hasad, merendahkan orang lain, takbur dan sentiasa berhati-hati. Mempergunakan zikir, doa, tasbih dan tahlil yang jelas sumbernya. Selalu ingat kepada Allah SWT di saat sepi, ramai dan menyandarkan segala urusan kepada Allah SWT. Demikianlah sebahagian adab pembaca dan penghafaz al-Quran yang harus disempurnakan.

Kelima ialah merenung atau mentadabbur sementara yang keenam ialah mengamalkan. Generasi al-Quran sudah pastinya tidak akan wujud jika hanya menumpukan kepada belajar, membaca dan menghafaz, tanpa mengamalkan al-Quran.

Ketujuh, adalah mendaulatkan al-Quran yang mengandungi hukum-hakam dan syariat yang telah Allah SWT tentukan sebagai panduan hidup manusia. Generasi al-Quran sudah pasti akan menjadikan segala perintah Allah SWT dalam al-Quran sebagai perjuangan hidup dan mati mereka.

Ibu bapa perlu menjadikan 7M sebagai panduan mendidik dan menjadikan diri serta anak sebati dengan al-Quran, bermula daripada mempelajari sehinggalah mengamalkan isi kandungan al-Quran. Jangan menjadikan al-Quran rujukan apabila menghadapi kesulitan, kesusahan atau atas sebab yang memaksa.

Mohonlah kepada Allah SWT supaya menghadirkan kegembiraan dan kebahagiaan dalam hati kita untuk membaca, mengajar, belajar, mengamal ataupun memperjuangkan al-Quran. Jadikanlah saat berurusan dengan al-Quran saat yang menggembirakan supaya sentiasa ada rasa untuk berdampingan dengan al-Quran.

Sematkan rasa bahagia bertuah dalam diri bahawa Allah SWT telah memilih lidah kita untuk membaca, mata untuk menatap ayat Allah SWT, telinga untuk menadah dan mendengar ilmu mengenai al-Quran. Merasa diri tenang dan gembira dapat melaksanakan sesuatu amalan berkaitan dengan al-Quran.

Memahami konsep 7M atau generasi al-Quran, menjadikan ibu bapa lebih mengetahui cara terbaik untuk mendidik anak memiliki kualiti 7M supaya dapat menjadi benteng kepada mereka menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Berlapang dada terima teguran

Amran Zakaria 

 

Golongan miliki sifat rendah diri lebih mudah dengar nasihat

Tegur menegur adalah amalan baik dan digalakkan agama. Namun, kaedah dan caranya yang perlu diberi perhatian supaya teguran tidak bertukar menjadi permusuhan yang berakhir dengan pertelingkahan.

Apa yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab boleh dijadikan panduan. Suatu hari, seorang peminum arak menegur sesuatu kepada Saidina Umar dan khalifah dengan berlapang dada menerima teguran itu.
Orang yang melihat keadaan itu berasa pelik dan hairan lalu bertanya kepada Khalifah: “Wahai Amirul Mukminin, kenapakah tuan menerima teguran dia, sedangkan dia peminum arak? Saidina Umar menjawab: Ya, dia berdosa kerana meminum arak tetapi tegurannya kepadaku adalah benar.”

Ada orang sensitif apabila ditegur tetapi ada juga yang berterima kasih kerana ada orang sudi memperbetulkan kesilapan. Oleh itu, seboleh-bolehnya apabila kita ingin menegur hendaklah mengelak daripada menegur secara menyindir dan sinis supaya pihak yang ditegur tidak terluka.

Hakikatnya, ada yang tidak suka kepada teguran kerana dalam diri manusia itu memiliki benih kesombongan dan keangkuhan. Biasanya manusia yang merendah diri dan mengakui kelemahan diri lebih mudah menerima teguran.

Allah berfirman: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun teguran itu ada asas kebenarannya. Semua pihak hendaklah berlapang dada untuk menerima teguran hatta mereka ini tergolong dalam golongan ulama dan ilmuwan agama yang dihormati masyarakat.
Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perbuatan yang sangat baik, iaitu berzikir kepada Allah SWT dalam segala situasi, saling menyedarkan antara satu sama lain dan mengasihi saudaranya (yang memerlukan).” (Riwayat al-Dailami)

Hakikatnya, Islam memberi panduan jelas untuk memberi teguran dan sikap yang sepatutnya dipamerkan apabila ditegur. Kita tidak seharusnya melatah apatah lagi bertindak balas secara emosional hingga sanggup menyerang melalui kata-kata.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran iaitu pertama, tidak bersifat merendah-rendahkan seseorang yang ditegur. Kedua, mencari situasi yang sesuai dan ketiga, memahami kedudukan orang yang ditegur.

Kegagalan untuk berkomunikasi dengan baik akhirnya menyebabkan hilang kawalan emosi boleh membawa kepada berlakunya pertikaman lidah. Jika tidak kena gaya, boleh mendorong ke arah bermasam muka dan tidak bertegur sapa.

Begitu juga dengan pujian, elakkan daripada memuji terlebih. Imam al-Ghazali dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus kepada dusta, memuji dengan berpura-pura dan menyatakan sesuatu untuk menggembirakan orang yang dipuji tanpa berniat membetulkan kesilapan dibuat.

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong dan bangga diri, kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati. Keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah bekerja kuat untuk mencapai maksud serta tujuan.

Apa juga yang kita lakukan berkaitan lidah, harus berhati-hati tidak kiralah sama ada ia teguran atau pujian kerana setiap yang diperkatakan akan dihitung di akhirat kelak.