Mukmin sejati anggap ilmu bagai lautan

Nik Hasnah Ismail

 

Manusia yang mempunyai identiti yang berkualiti sudah pasti mempunyai ciri-ciri Muslim yang baik sebagaimana yang digariskan di dalam al-Quran dan al-Hadis.

Seperti juga seekor gajah, ia dikenal orang kerana gadingnya. Begitu juga seekor rusa diburu orang kerana keindahan tanduknya dan burung merak dibela orang kerana kecantikan bulunya.

Perumpamaan ini adalah bagi memberi contoh kepada kita bahawa samalah juga bagi seseorang Muslim yang Mukmin pastinya ada ciri-ciri atau sifat yang menonjolkan identiti Mukmin pada dirinya.

Melalui rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat 10.15 pagi, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi minggu lepas berkongsi sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Anfal ayat 2, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.

Kriteria Mukmin sejati

Ayat al-Quran di atas secara tidak langsung menjelaskan kepada kita akan beberapa kriteria yang membantu kita untuk menjadi seseorang Mukmin yang benar-benar terisi keperibadian Mukmin dalam dirinya. Apakah ciri-ciri Mukmin?

Pertama, seseorang yang disebut sebagai Mukmin adalah orang yang apabila disebut nama Allah maka bergetarlah hatinya.

Dalam hidup ini Allah hanya memberikan manusia satu hati dan dalam satu hati itu terdapat seribu satu rasa. Sebagai contoh jika seseorang yang dalam hatinya diisi oleh harta, maka apabila disebut tentang harta kekayaan, hatinya akan bergetar kegirangan.

Bagi orang yang di dalam hatinya penuh keinginan pangkat dan darjat, maka jika disebut tentang pangkat dan darjat, hatinya akan terus bergetar. Begitu juga bagi seorang Mukmin yang hatinya penuh dengan kecintaan kepada Allah, jika disebut nama Allah SWT, lalu hatinya akan bergetar, tergugat perasaan dan rentap hatinya kerana cinta dan dalam masa yang sama takut akan azab Allah.

Bagaimana amat akrab perhubungan antara Pencipta. Memetik contoh perjalanan hidup Imam Malik bin Dinar, bagaimana beliau seorang yang suka berfoya-foya. tetapi sebuah mimpi mengenai azab neraka, Malik bin Dinar berubah menjadi seorang Muslim dan ahli sufi yang sangat taat kepada Allah.

Sehingga ada satu riwayat menyatakan dalam perjalanan hidupnya Malik bin Dinar tidak pernah senyum, lalu ketika ditanya mengapa dia tidak senyum, lalu Malik bin Dinar menyatakan ‘bagaimana aku harus senyum, sedangkan mengingati akan neraka Allah sudah menggetarkan hatiku’.

Kalimat Allah yang kalau diucap bagi orang yang berhati bersih, jiwa yang hening akan bergetar hatinya. Bukan hanya sekadar ucapan pada lisan, tetapi memberi kesan kepada seluruh anggota badan. Sehinggakan dengan menyebut nama Allah bukan saja menjauhkannya daripada segala larangan dan perkara yang membawa kepada maksiat, tetapi mendengar kalimat Allah saja seseorang Mukmin itu merasa gerun akan pembalasan Allah di akhirat kelak.

Tambah pengetahuan

Ciri yang kedua perlu ada bagi seorang Mukmin yang akan membentuk kualiti dirinya adalah orang yang sentiasa menambah pengetahuan dalam dirinya dengan ayat-ayat Allah.

Semakin seseorang Muslim itu menghayati, memahami dan mempelajari ayat-ayat al-Quran semakin bertambah kecintaan dan keimanan kepada Allah SWT. Ini kerana ayat-ayat suci al-Quran itu sendiri mempunyai kesempurnaan ilmu untuk manusia mengukuhkan jiwa dan raganya terhadap apa yang diajar menerusi ajaran Islam yang mulia.

Sebagaimana kata-kata jika diambil seluas lautan untuk menukilkan ilmu Allah nescaya tidak terhitung kerana ilmu-Nya amat luas.

Manusia, lautan, bumi, langit dan segala isi alam ini adalah dari ilmu Allah. Segala yang ada dalam perut bumi dan dunia ini adalah milik Allah yang tentunya jika dikaji manusia akan menemui setiap segala ciptaan-Nya bukan sesuatu yang sia-sia melainkan untuk manusia melihat betapa besar kekuasaan-Nya dan pasti ini adakan meningkatkan keimanan seseorang mukmin.

Begitu juga ayat-ayat Allah seperti dalam Surah al-Fiil, ayat 3-5 yang menceritakan kisah Abrahah bersama tentera bergajah yang mahu menghancurkan kota Makkah di tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Allah mengutus burung Ababil lalu mengalahkan tentera Abrahah dan dengan kekuasaan-Nya maka hancur tentera berkenaan. Betapa kisah ini banyak memberi panduan dan teladan kepada kita betapa besar kuasa Allah menyusun dan mengatur kehidupan manusia ini dengan kehendak-Nya.

Bagi menambah kekuatan iman, selain kita mengalunkan ayat-ayat Allah dengan kemerduan suara yang memberi ketenangan dan kelapangan hati, tetapi menghayati dan memahami ayat-ayat suci al-Quran akan mendorong kita untuk menyelidiki secara lebih mendalam mengenai ciptaan Allah yang akan membina kekuatan akidah kita terhadap Allah SWT.

Bertawakal

Ciri-ciri yang ketiga menjadikan kita benar-benar mempunyai kualiti Mukmin dalam diri adalah bertawakal hanya kepada Allah SWT. Kehidupan dan mati kita hanya kerana Allah SWT. Tawakal yang bermakna selepas kita melakukan segala usaha dengan bersungguh-sungguh dan berdoa mengharap pertolongan serta bantuan daripada Allah, dan akhirnya kita menyerahkan kepada takdir yang terbaik daripada Allah melalui tawakal kepada-Nya.

Kehidupan hari ini yang begitu banyak dengan penyakit dunia moden menyebabkan ada sesetengah orang tidak lagi mahu bertawakal kepada Allah. Menaruh keyakinan bahawa setiap yang dilakukan adalah hasil titik peluh sendiri dan bukannya kerana anugerah atau rezeki yang ditentukan Allah.

Sedangkan kehidupan ini segala-galanya ditentukan oleh kuasa Allah dan begitu juga rezeki setiap insan adalah ketentuan-Nya. Namun sesiapa yang berusaha pasti ada ganjaran daripada Allah terhadap setiap titik peluh yang dicurahkan.

Namun, jika pelbagai bentuk ikhtiar telah kita laksanakan, namun rezeki tidak berpihak kepada kita bermakna Allah telah mengatur yang terbaik untuk hamba-Nya. Sesungguhnya sebagaimana disebut dalam ayat al Quran yang bermaksud “boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahuinya” (Surah al-Baqarah ayat 216).

Bagaimanapun bagi setiap mukmin yang hatinya bersih, jiwanya lapang apa juga yang ditentukan untuknya diterima dengan kebaikan hati dan keterbukaan sehingga menjadikannya orang yang reda. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam orang yang mempunyai ciri mukmin berkualiti yang akan menempatkan kita di syurga Allah nanti.

Advertisements