Sentiasa pelihara kesucian hati

Oleh Zalilah Bahari

 

APAKAH nilai bagi seorang manusia? Adakah dilihat pada paras rupa dan nasab keturunannya? Atau pada harta benda serta kekayaan dimilikinya? Jawapannya, tidak sesekali manusia itu dinilai berdasarkan perkara yang bersifat duniawi.

Ternyata segala kemewahan duniawi bukanlah tanda kemuliaan seseorang kerana manusia yang rosak akhlak dan sentiasa melakukan durjana sekalipun diberi kemewahan oleh Allah SWT.

Pokoknya, manusia yang inginkan kejayaan di dunia dan akhirat, sungguh-sungguh mahukan kenikmatan, kemuliaan hidup adalah orang yang sentiasa memelihara keindahan serta kesucian hatinya.

Justeru, nilai seorang manusia sebenarnya adalah pada hatinya yang membentuk ketakwaan kepada Allah SWT, menerusi amal soleh dan segala perbuatan seperti sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu. Ketahuilah! Wahai anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (Riwayat Muslim dan Tabrani)

Hati cermin keperibadian

Jelaslah nilai dan taraf seseorang manusia bukanlah diukur daripada keterampilan, kemasyhuran atau ketinggian pangkat tetapi kayu pengukur yang sebenar di sisi Allah SWT ialah iman yang bertapak di hati.

Iman yang diwarnai keikhlasan, ketakwaan, keyakinan dan tunduk dengan tulus ke hadrat Allah SWT. Kemudian dipraktikkan dengan anggota badan seterusnya diwujudkan melalui perbuatan yang soleh.

Iman yang bertapak menjadikan hati tempat yang subur dengan nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain.

Hati juga memainkan peranan penting dalam mencermin dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Di sebalik itu semua, kita juga harus sedar kewujudan maksiat hati yang perlu dijauhi seperti perasaan dendam, dengki, fitnah, riak, bakhil, takbur, ujub dan pelbagai lagi sifat tercela.

Oleh itu, amalan tidak beretika dan bermoral yang semakin berleluasa dalam masyarakat Islam adalah petunjuk bahawa hati seseorang itu ketandusan nilai kerohanian yang luhur.

Peranan hati sangat penting kerana apa jua yang ada pada dasar hatinya akan menjadi niat apabila dizahirkan melalui perbuatan. Menerusi keikhlasan hati, akan terpancarlah niat.

Ini bermakna niat melakukan sesuatu kerja perlu dilihat sejauh mana keikhlasan hatinya. Hati yang ikhlas melakukan sesuatu amal perbuatan hanya semata-mata kerana Allah SWT. Manusia beramal dengan hati yang ikhlas akan dapat membentuk peribadi kuat, jiwa gigih dan keyakinan mendalam.

Sesuatu kebaikan atau perbuatan yang ada ‘udang di sebalik batu’ tidak boleh dikategorikan sebagai perbuatan daripada hati yang ikhlas.

Ikhlas dalam konteks bekerja bermakna tidak akan melaksanakan kerja diamanahkan sekadar melepaskan batok di tangga atau kerana upah semata-mata.

Bahkan orang yang ikhlas berkerja kerana Allah SWT akan menerima tanggungjawab dengan reda dan sentiasa bersungguh-sungguh menghasilkan kualiti kerja yang baik.

Kerja bersulamkan keikhlasan hati pasti akan membuahkan keberkatan.

Jaminan kehidupan akhirat

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Umar bin al-Khattab, ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sesuatu pekerjaan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan memperoleh hasil sesuai dengan niatnya itu.”

Bekerja dengan niat yang ikhlas akan meningkatkan produktiviti dan dapat menghasilkan kerja bermutu. Keikhlasan itu juga akan dapat menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.” (Surah al-Hijr, ayat 39 hingga 40)

Justeru, amat besar kerugian yang akan menimpa mereka yang bukan mukhlis, diibaratkan seperti menuangkan pasir di dalam nasi yang akhirnya akan memusnahkan seluruh amalan mereka.

Untuk menjadi seorang yang memiliki hati yang ikhlas perlu memperbanyakkan doa supaya diri terhindar daripada kesyirikan dan memohon perlindungan daripada Allah SWT.

Menyembunyikan amal kebaikan daripada pengetahuan orang lain menjadikan kita benar-benar ikhlas melakukannya kerana Allah SWT, bukannya untuk menunjuk-nunjuk.

Takut tidak diterima Allah SWT amalan baik yang dilakukan akibat timbulnya perasaan riak. Seelok-eloknya keikhlasan itu wujud sebelum dan selepas melakukan amalan baik.

Tidak terpengaruh dengan perkataan manusia iaitu menjadikan pujian manusia sebagai penyebab untuk melakukan kebaikan kerana amalan itu tidak termasuk perbuatan yang ikhlas.

Memandang rendah pada amal kebaikan dilakukan untuk mendorong diri istiqamah, ikhlas dan tidak cepat berpuas hati dengan amalan baik yang dilakukan.

Sebagaimana kata-kata Khalifah Saidina Ali bin Abi Thalib, “Nilai seseorang itu sesuai dengan kadar tekadnya, ketulusannya sesuai dengan kadar kemanusiaannya, keberaniannya sesuai dengan kadar penolakannya terhadap perbuatan jahat dan kesucian hati nuraninya sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan dirinya.”

Sesungguhnya orang ikhlas dan bersikap benar adalah ciri seorang hamba yang berusaha memperlengkapkan dirinya sebagai insan bertakwa dan tidak terhingga tinggi nilainya di sisi Allah.

Advertisements