• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,307,090 orang
  • Kandungan Blog

Doa Hari Arafah

Amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT.  Ia merupakan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan. Ini diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah, “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”. (Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).” (Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”  (Hadis diriwayatkan oleh Malik)

Wuquf pada hari Arafah dan doa mustajab ini adalah khusus kepada jemaah haji yang berada di sana di mana  amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib.

Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah _khususiyyat_(perkara yang dikhususkan) untuk jemaah haji yang berada di Arafah, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, mereka boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing, tanpa menghadkan tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu, bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Ini kerana tiada dalil khusus yang menghadkannya.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa pada hari Arafah sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadith:

“Sesungguhnya Nabi SAW bersabda, berpuasa pada hari Arafah dihitung oleh Allah dengan meluputkan dosa setahun yang telah lalu dan dosa pada tahun akan datang.” (Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)

Disediakan oleh:
Seksyen Syariah
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
29 Ogos 2017

Khutbah Aidil Adha 1438H

Khutbah Aidil Adha 1438

خطبة عيدالأضحى 1438 

7 Amalan terbaik 10 awal Zulhijjah

Oleh Hizbur Rahman

Tujuh amalan dianjur sepanjang bulan penuh berkat

KINI kita berada pada 10 awal bulan Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3 maksudnya: “Demi waktu fajar dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah dan bilangan yang genap serta yang ganjil.”

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hamba-Nya daripada neraka lebih daripada hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ketiga dari surah al-Buruj yang bermaksud: “Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadis yang menceritakan mengenai kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya, daripada Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada satu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).”

Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah.”

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini, umat Islam dianjur melakukan pelbagai amalan antaranya:

Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan.

Kedua: berpuasa pada hari berkenaan atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa pada hari Arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim)

Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa Lillahil Hamdu.”

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

Kelima: Memperbanyakkan amalan salih terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya digandakan pada hari berkenaan.

Keenam: Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu Subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.

Ketujuh: Disyariatkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Amalan paling agung pada bulan mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran, ayat 97 maksudnya: “Di situ ada tanda keterangan nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.”

Orang yang menunaikan fardu haji merupakan tetamu Allah SWT. Mereka berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji mabrur.

Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

Makluman Cuti Pondok Sempena Aidil Adha 1439H

Adalah dengan ini dimaklumkan tarikh Cuti Madrasah sempena Aidil Adha 1439H seperti ketetapan berikut

 

TARIKH MULA CUTI MADRASAH

30 HB OGOS 2017 (08 Zulhijjah 1438H)

HARI : RABU

 

HINGGA

 

TARIKH :

08 HB SEPTEMBER 2017 (17 Zulhijjah 1438H)

HARI : JUMAAT

 

TARIKH MULA PENGAJIAN/PENDAFTARAN BARU PADA :-

09 SEPTEMBER 2017 (18 Zulhijjah 1438)

HARI :SABTU

Ibadat Korban di Pondok Pasir Tumboh masih dibuka

‘Hati mati’ doa tak makbul

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Cepat atau lambatnya doa diperkenankan adalah urusan Allah SWT. Bagaimanapun doa yang tidak dimakbulkan disebabkan jiwa dan hati berprasangka buruk terhadap Allah SWT selain tidak menuruti adab berdoa. Oleh itu, amalan baik menjadi kunci doa dimakbulkan. Ikuti kupasan doa oleh Ustaz Syed Mohd Norhisyam dalam rancangan Tarbiah.

Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru? Rasulullah SAW menjawab: Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi.” (Riwayat Muslim)

Doa adalah satu bentuk harapan kerana manusia sangat mengharap pertolongan dan bantuan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW menjelaskan doa adalah senjata bagi Mukmin. Ini bermakna besarnya peranan dan kedudukan doa pada saat tiada tali kebergantungan selain doa kepada Allah SWT.

Menerusi rancangan Tarbiah, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang menjelaskan, Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak pernah lupa untuk memakbulkan doa hamba-Nya yang ikhlas mengharap ihsan-Nya.

Allah SWT tahu apakah perkara baik dan tidak baik untuk setiap hamba-Nya. Doa kita kepada Allah SWT ada yang dimakbulkan-Nya dan ada juga belum diperkenankan. Malah ada doa yang tidak dimakbulkan langsung.

Allah berhak tidak makbul doa

Allah SWT yang Maha Berkuasa berhak untuk tidak memakbulkan doa hamba-Nya jika perkara yang diminta itu tidak membawa sebarang kebaikan. Hikmah di sebalik setiap doa yang tidak dimakbulkan kerana Allah SWT memberikan apa yang manusia perlu bukan apa yang dia mahu.

Berkongsi lebih lanjut mengenai doa yang tidak dimakbulkan Allah SWT, Syed Mohd Norhisyam berkata, sesungguhnya kita perlu yakin dan percaya bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan membiarkan dan menghampakan hamba-Nya yang memohon sesuatu dengan sepenuh hati kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan permohonan itu.” (Surah Mukmin, ayat 60)

Antara ciri-ciri doa yang tidak dimakbulkan adalah doa yang tidak dilakukan secara sepenuh hati. Ertinya, doa yang dimohon kepada Allah SWT, tetapi tidak disertakan dengan keyakinan terhadap kasih sayang dan kekuasaan Allah SWT.

Melalui satu riwayat mengenai ulama terkenal iaitu Al-Imam al-Faqih Abu al-Lais yang didatangi satu kumpulan pemuda, ingin menanyakan perihal doa mereka. Selepas berkali-kali mereka berdoa, tetapi tidak pernah dimakbulkan oleh Allah SWT.

Lalu mereka mempertikaikan ayat al-Quran mengenai Allah SWT memperkenankan doa mereka. Antara ayat itu ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Apabila hamba-Ku bertanya mengenaiKu, maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku perkenankan orang yang berdoa.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Lalu mereka bertanya lagi, apakah ayat al-Quran itu silap atau salah? Al-Imam al-Faqih menjawab: “Ayat itu tidak ada yang silap atau salah. Tetapi yang berdoa itu tidak pernah ambil tahu mengenai kesalahan atau kesilapannya. Oleh itu, wahai orang muda! Jangan pernah ada di hati kamu mempertikaikan ayat al-Quran itu. Seterusnya imam yang mulia itu berkata: Sebab doa tidak disahut oleh Allah SWT kerana hati orang yang berdoa itu mati.”

Begitu juga dalam satu riwayat lain, kisah seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham. Beliau pernah ditanya oleh orang ramai ketika berada di tengah pasar Basrah di Iraq: “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal kami selalu berdoa? Lalu Ibrahim Adham menjawab: Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”

Bersih jiwa daripada prasangka

Oleh itu, setiap Mukmin wajib membersihkan jiwa dan hatinya daripada sebarang prasangka buruk terhadap Allah SWT. Sebaliknya, memperbanyakkan istighfar dan amalan yang mendekatkan diri kepada-Nya.

Hati yang hidup dengan zikrullah dan selawat kepada Baginda Rasulullah SAW akan sentiasa hidup dan dekat dengan-Nya. Amalan yang baik inilah menjadi kunci kepada mudahnya doa kita dimakbulkan Allah SWT.

Menurut Mohd Norhisyam, ada beberapa adab dan peraturan disunahkan supaya mendapat kelebihan dan barakah daripada Allah SWT serta supaya doa dimakbulkan.

Berdoalah dengan suara yang lembut, penuh keyakinan terhadap Allah SWT, menghadap kiblat, berwuduk, berdoa pada waktu mustajab dengan merendah diri dan mengharapkan hanya kepada Allah SWT.

Doa orang yang tidak dimakbulkan oleh Allah SWT antaranya disebabkan seorang itu mengakui wujudnya Allah SWT, tetapi tidak pernah menunaikan hak dan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Membaca al-Quran, tetapi tidak pernah mengamalkannya, mengakui umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunahnya, tidak pernah bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan Allah SWT, mengakui mati itu adalah benar, tetapi tidak pernah bersedia untuknya.

Oleh itu, marilah kita membersihkan hati dengan menjadi Mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT dan pada masa sama meyakini ayat suci al-Quran serta hadis Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kita menuruti adab berdoa kepada Allah SWT supaya doa kita dimakbulkan-Nya.

Diriwayatkan oleh at-Tarmizi, “Rasulullah SAW pernah ditanya: Doa yang manakah yang paling didengar (diterima)? Jawab Baginda: Doa pada akhir malam dan selepas solat wajib.”

Mukmin sejati anggap ilmu bagai lautan

Nik Hasnah Ismail

 

Manusia yang mempunyai identiti yang berkualiti sudah pasti mempunyai ciri-ciri Muslim yang baik sebagaimana yang digariskan di dalam al-Quran dan al-Hadis.

Seperti juga seekor gajah, ia dikenal orang kerana gadingnya. Begitu juga seekor rusa diburu orang kerana keindahan tanduknya dan burung merak dibela orang kerana kecantikan bulunya.

Perumpamaan ini adalah bagi memberi contoh kepada kita bahawa samalah juga bagi seseorang Muslim yang Mukmin pastinya ada ciri-ciri atau sifat yang menonjolkan identiti Mukmin pada dirinya.

Melalui rancangan Tarbiah yang bersiaran setiap Jumaat 10.15 pagi, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi minggu lepas berkongsi sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Anfal ayat 2, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.

Kriteria Mukmin sejati

Ayat al-Quran di atas secara tidak langsung menjelaskan kepada kita akan beberapa kriteria yang membantu kita untuk menjadi seseorang Mukmin yang benar-benar terisi keperibadian Mukmin dalam dirinya. Apakah ciri-ciri Mukmin?

Pertama, seseorang yang disebut sebagai Mukmin adalah orang yang apabila disebut nama Allah maka bergetarlah hatinya.

Dalam hidup ini Allah hanya memberikan manusia satu hati dan dalam satu hati itu terdapat seribu satu rasa. Sebagai contoh jika seseorang yang dalam hatinya diisi oleh harta, maka apabila disebut tentang harta kekayaan, hatinya akan bergetar kegirangan.

Bagi orang yang di dalam hatinya penuh keinginan pangkat dan darjat, maka jika disebut tentang pangkat dan darjat, hatinya akan terus bergetar. Begitu juga bagi seorang Mukmin yang hatinya penuh dengan kecintaan kepada Allah, jika disebut nama Allah SWT, lalu hatinya akan bergetar, tergugat perasaan dan rentap hatinya kerana cinta dan dalam masa yang sama takut akan azab Allah.

Bagaimana amat akrab perhubungan antara Pencipta. Memetik contoh perjalanan hidup Imam Malik bin Dinar, bagaimana beliau seorang yang suka berfoya-foya. tetapi sebuah mimpi mengenai azab neraka, Malik bin Dinar berubah menjadi seorang Muslim dan ahli sufi yang sangat taat kepada Allah.

Sehingga ada satu riwayat menyatakan dalam perjalanan hidupnya Malik bin Dinar tidak pernah senyum, lalu ketika ditanya mengapa dia tidak senyum, lalu Malik bin Dinar menyatakan ‘bagaimana aku harus senyum, sedangkan mengingati akan neraka Allah sudah menggetarkan hatiku’.

Kalimat Allah yang kalau diucap bagi orang yang berhati bersih, jiwa yang hening akan bergetar hatinya. Bukan hanya sekadar ucapan pada lisan, tetapi memberi kesan kepada seluruh anggota badan. Sehinggakan dengan menyebut nama Allah bukan saja menjauhkannya daripada segala larangan dan perkara yang membawa kepada maksiat, tetapi mendengar kalimat Allah saja seseorang Mukmin itu merasa gerun akan pembalasan Allah di akhirat kelak.

Tambah pengetahuan

Ciri yang kedua perlu ada bagi seorang Mukmin yang akan membentuk kualiti dirinya adalah orang yang sentiasa menambah pengetahuan dalam dirinya dengan ayat-ayat Allah.

Semakin seseorang Muslim itu menghayati, memahami dan mempelajari ayat-ayat al-Quran semakin bertambah kecintaan dan keimanan kepada Allah SWT. Ini kerana ayat-ayat suci al-Quran itu sendiri mempunyai kesempurnaan ilmu untuk manusia mengukuhkan jiwa dan raganya terhadap apa yang diajar menerusi ajaran Islam yang mulia.

Sebagaimana kata-kata jika diambil seluas lautan untuk menukilkan ilmu Allah nescaya tidak terhitung kerana ilmu-Nya amat luas.

Manusia, lautan, bumi, langit dan segala isi alam ini adalah dari ilmu Allah. Segala yang ada dalam perut bumi dan dunia ini adalah milik Allah yang tentunya jika dikaji manusia akan menemui setiap segala ciptaan-Nya bukan sesuatu yang sia-sia melainkan untuk manusia melihat betapa besar kekuasaan-Nya dan pasti ini adakan meningkatkan keimanan seseorang mukmin.

Begitu juga ayat-ayat Allah seperti dalam Surah al-Fiil, ayat 3-5 yang menceritakan kisah Abrahah bersama tentera bergajah yang mahu menghancurkan kota Makkah di tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Allah mengutus burung Ababil lalu mengalahkan tentera Abrahah dan dengan kekuasaan-Nya maka hancur tentera berkenaan. Betapa kisah ini banyak memberi panduan dan teladan kepada kita betapa besar kuasa Allah menyusun dan mengatur kehidupan manusia ini dengan kehendak-Nya.

Bagi menambah kekuatan iman, selain kita mengalunkan ayat-ayat Allah dengan kemerduan suara yang memberi ketenangan dan kelapangan hati, tetapi menghayati dan memahami ayat-ayat suci al-Quran akan mendorong kita untuk menyelidiki secara lebih mendalam mengenai ciptaan Allah yang akan membina kekuatan akidah kita terhadap Allah SWT.

Bertawakal

Ciri-ciri yang ketiga menjadikan kita benar-benar mempunyai kualiti Mukmin dalam diri adalah bertawakal hanya kepada Allah SWT. Kehidupan dan mati kita hanya kerana Allah SWT. Tawakal yang bermakna selepas kita melakukan segala usaha dengan bersungguh-sungguh dan berdoa mengharap pertolongan serta bantuan daripada Allah, dan akhirnya kita menyerahkan kepada takdir yang terbaik daripada Allah melalui tawakal kepada-Nya.

Kehidupan hari ini yang begitu banyak dengan penyakit dunia moden menyebabkan ada sesetengah orang tidak lagi mahu bertawakal kepada Allah. Menaruh keyakinan bahawa setiap yang dilakukan adalah hasil titik peluh sendiri dan bukannya kerana anugerah atau rezeki yang ditentukan Allah.

Sedangkan kehidupan ini segala-galanya ditentukan oleh kuasa Allah dan begitu juga rezeki setiap insan adalah ketentuan-Nya. Namun sesiapa yang berusaha pasti ada ganjaran daripada Allah terhadap setiap titik peluh yang dicurahkan.

Namun, jika pelbagai bentuk ikhtiar telah kita laksanakan, namun rezeki tidak berpihak kepada kita bermakna Allah telah mengatur yang terbaik untuk hamba-Nya. Sesungguhnya sebagaimana disebut dalam ayat al Quran yang bermaksud “boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahuinya” (Surah al-Baqarah ayat 216).

Bagaimanapun bagi setiap mukmin yang hatinya bersih, jiwanya lapang apa juga yang ditentukan untuknya diterima dengan kebaikan hati dan keterbukaan sehingga menjadikannya orang yang reda. Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam orang yang mempunyai ciri mukmin berkualiti yang akan menempatkan kita di syurga Allah nanti.

Sentiasa pelihara kesucian hati

Oleh Zalilah Bahari

 

APAKAH nilai bagi seorang manusia? Adakah dilihat pada paras rupa dan nasab keturunannya? Atau pada harta benda serta kekayaan dimilikinya? Jawapannya, tidak sesekali manusia itu dinilai berdasarkan perkara yang bersifat duniawi.

Ternyata segala kemewahan duniawi bukanlah tanda kemuliaan seseorang kerana manusia yang rosak akhlak dan sentiasa melakukan durjana sekalipun diberi kemewahan oleh Allah SWT.

Pokoknya, manusia yang inginkan kejayaan di dunia dan akhirat, sungguh-sungguh mahukan kenikmatan, kemuliaan hidup adalah orang yang sentiasa memelihara keindahan serta kesucian hatinya.

Justeru, nilai seorang manusia sebenarnya adalah pada hatinya yang membentuk ketakwaan kepada Allah SWT, menerusi amal soleh dan segala perbuatan seperti sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu. Ketahuilah! Wahai anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (Riwayat Muslim dan Tabrani)

Hati cermin keperibadian

Jelaslah nilai dan taraf seseorang manusia bukanlah diukur daripada keterampilan, kemasyhuran atau ketinggian pangkat tetapi kayu pengukur yang sebenar di sisi Allah SWT ialah iman yang bertapak di hati.

Iman yang diwarnai keikhlasan, ketakwaan, keyakinan dan tunduk dengan tulus ke hadrat Allah SWT. Kemudian dipraktikkan dengan anggota badan seterusnya diwujudkan melalui perbuatan yang soleh.

Iman yang bertapak menjadikan hati tempat yang subur dengan nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain.

Hati juga memainkan peranan penting dalam mencermin dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Di sebalik itu semua, kita juga harus sedar kewujudan maksiat hati yang perlu dijauhi seperti perasaan dendam, dengki, fitnah, riak, bakhil, takbur, ujub dan pelbagai lagi sifat tercela.

Oleh itu, amalan tidak beretika dan bermoral yang semakin berleluasa dalam masyarakat Islam adalah petunjuk bahawa hati seseorang itu ketandusan nilai kerohanian yang luhur.

Peranan hati sangat penting kerana apa jua yang ada pada dasar hatinya akan menjadi niat apabila dizahirkan melalui perbuatan. Menerusi keikhlasan hati, akan terpancarlah niat.

Ini bermakna niat melakukan sesuatu kerja perlu dilihat sejauh mana keikhlasan hatinya. Hati yang ikhlas melakukan sesuatu amal perbuatan hanya semata-mata kerana Allah SWT. Manusia beramal dengan hati yang ikhlas akan dapat membentuk peribadi kuat, jiwa gigih dan keyakinan mendalam.

Sesuatu kebaikan atau perbuatan yang ada ‘udang di sebalik batu’ tidak boleh dikategorikan sebagai perbuatan daripada hati yang ikhlas.

Ikhlas dalam konteks bekerja bermakna tidak akan melaksanakan kerja diamanahkan sekadar melepaskan batok di tangga atau kerana upah semata-mata.

Bahkan orang yang ikhlas berkerja kerana Allah SWT akan menerima tanggungjawab dengan reda dan sentiasa bersungguh-sungguh menghasilkan kualiti kerja yang baik.

Kerja bersulamkan keikhlasan hati pasti akan membuahkan keberkatan.

Jaminan kehidupan akhirat

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Umar bin al-Khattab, ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sesuatu pekerjaan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan memperoleh hasil sesuai dengan niatnya itu.”

Bekerja dengan niat yang ikhlas akan meningkatkan produktiviti dan dapat menghasilkan kerja bermutu. Keikhlasan itu juga akan dapat menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas) di antara mereka.” (Surah al-Hijr, ayat 39 hingga 40)

Justeru, amat besar kerugian yang akan menimpa mereka yang bukan mukhlis, diibaratkan seperti menuangkan pasir di dalam nasi yang akhirnya akan memusnahkan seluruh amalan mereka.

Untuk menjadi seorang yang memiliki hati yang ikhlas perlu memperbanyakkan doa supaya diri terhindar daripada kesyirikan dan memohon perlindungan daripada Allah SWT.

Menyembunyikan amal kebaikan daripada pengetahuan orang lain menjadikan kita benar-benar ikhlas melakukannya kerana Allah SWT, bukannya untuk menunjuk-nunjuk.

Takut tidak diterima Allah SWT amalan baik yang dilakukan akibat timbulnya perasaan riak. Seelok-eloknya keikhlasan itu wujud sebelum dan selepas melakukan amalan baik.

Tidak terpengaruh dengan perkataan manusia iaitu menjadikan pujian manusia sebagai penyebab untuk melakukan kebaikan kerana amalan itu tidak termasuk perbuatan yang ikhlas.

Memandang rendah pada amal kebaikan dilakukan untuk mendorong diri istiqamah, ikhlas dan tidak cepat berpuas hati dengan amalan baik yang dilakukan.

Sebagaimana kata-kata Khalifah Saidina Ali bin Abi Thalib, “Nilai seseorang itu sesuai dengan kadar tekadnya, ketulusannya sesuai dengan kadar kemanusiaannya, keberaniannya sesuai dengan kadar penolakannya terhadap perbuatan jahat dan kesucian hati nuraninya sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan dirinya.”

Sesungguhnya orang ikhlas dan bersikap benar adalah ciri seorang hamba yang berusaha memperlengkapkan dirinya sebagai insan bertakwa dan tidak terhingga tinggi nilainya di sisi Allah.

Tawaduk audit diri elak takbur

Norhayati Paradi

 

Tawaduk bermaksud rendah diri, tidak angkuh dan patuh kepada perintah Allah. Bukan mudah untuk memandang ke bawah di kala berada di atas dengan penuh rasa patuh selaku hamba Allah. Usrah Nurani yang bersiaran setiap Jumaat, jam 5.15 petang, berkongsi ilmu memupuk sifat tawaduk bersama Ustaz Basir Mohamed.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunungganang.” (Surah al-Israa’, ayat 37) Sejauh mana penjelajahan atau setinggi mana pendakian,dengansegalateknologiyang dimiliki, tiada satu pun yang membuktikan semua sudut di atas muka bumi ini telah dicapai, diketahui dan dirungkai segalagalanya.

Jaga hati elak takbur

Menerusi kebijaksanaan Allah SWT mendidik kita untuk melihat bumi yang didiami dan diambil manfaat daripadanya pun masih belum mampu diterjemah dan dikaji setiap satu penciptaan- Nya. Itulah cara terbaik untuk menjaga hati daripada sifat lawan bagi tawaduk iaitu takbur.

Allah SWT mendidik Rasulullah SAW iaitu hamba yang paling tawaduk menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Rendahkan sayapmu (rendahkan martabat dan jangan sombong) kepada orang beriman yang mengikutmu.” Manusia yang punya sifat merendah diri dalam hatinya tidak akan menampakkan kehebatan dirinya malah sentiasa menampakkanorang lain yang bersamanya sangat memberi manfaat dan menambahkan keimanan buat dirinya.

Allah SWT juga mengajar mengenai tawaduk menerusi akhlak ulama dalam urusan nasihat. Mereka tidak melihat kepada individu yang bertutur, tetapi mendengar butir diperkatakan. Ulama akan menerima dan menyematkan setiap nasihat bukan berdasarkan status pembicara, tetapi bahan dibicarakan yang membangkit serta menambahkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Ustaz Basir menerusi Usrah Nurani menceritakan kisah Imam Abu Hanifah yang sangat alim pada zamannya. Pada suatu hari Imam Abu Hanifah berjalan di tepi sebatang parit dan tiba-tiba terserempak seorang kanakkanak sedang berjalan dengan memakai kasut terompah kayu.

Beliau menegur budak itu: “Wahai budak, jaga-jaga dengan kasut kayumu itu. Bimbang engkau akan tergelincir nanti”. Budak itu mengucapkan terima kasih di atas perhatian al-Imam kepadanya lalu bertanya: “Wahai Tuan, siapakah nama tuan?”Imam Abu Hanifah lantas menjawab: “Namaku Nu’man”.

Lalu disambut budak itu: “Oh, rupa-rupanya tuanlahyang digelar al-Imam al-A’dzam (Imam Yang Sangat Hebat) itu?” Dijawab oleh Imam Abu Hanifah: Bukan aku yang meletakkan gelaran itu. Namun orang ramai yang bersangka baik denganku telah meletakkannya.” Budak itu pun berkata: “Wahai Imam, apa yang telah engkau tegurkan kepadaku tadi mengenai berjaga-jaga supaya aku tidak tergelincir masuk ke dalam parit sangatlah baik, cuma izinkan aku memperkatakan sesuatu kepadamu.

“Jika aku yang tergelincir, sekurangkurangnya aku hanya akan masuk ke dalam parit tetapi jika Tuan Imam tergelincir, bukan masuk ke dalam parit tetapi ke dalam neraka Allah. Usahlah engkau sampai tergelincir ke dalam api neraka disebabkan gelaranmu itu, aku hanya memakai kasut kayu yang jika aku tergelincir sekalipun hanya di dunia sematamata. Namun gelaranmu itu terkadang membuatkan seseorang akan tergelincir ke dalam neraka Allah SWT lantaran angkuh dan berbangga-bangga, maka berhatihatilah wahai Tuan Imam.”

Nasihat buat Imam Abu Hanifah menangis

Menangis Imam Abu Hanifah mendengar nasihat daripada kanak-kanak kecil itu. Hebatnya akhlak dan sifat tawaduk Imam Abu Hanifah, sehinggakan nasihat daripada seorang budak pun diambil kira kerana ia meningkatkan rasa takwa ke jalan Allah SWT.

Lawan sifat tawaduk adalah takbur. Digambarkan manusia yang dihinggapi takbur seumpama seseorang yang berdiri di atas bukit atau di tempat tinggi seterusnya melihat kepada orang di bawah, semua akan kelihatan kecil dan kerdil. Hamba ciptaan Allah SWT pertama yang miliki sifat takbur adalah iblis yang takbur apabila melihat satu lagi hamba Allah SWT yang penciptaannya tidak sehebat dirinya, tetapi diperintahkan untuk dia sujud pada ciptaan itu.

Iblis menjadi sangat takbur saat itu kerana berasakan dirinya lebih hebat daripada hamba Allah SWT yang lain. Begitu takbur dan angkuhnya iblis peroleh kemurkaan Allah SWT. Dinyatakan juga, sebelum roh ditiupkan ke dalam jasad Nabi Allah Adam, iblis telah memijak jasad itu dan berkata: “Telah aku selongkar dan lalu di segenap jasad ini dan tidak kelihatan sebarang kehebatan yang melebihiku.”

Tatkala Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu?

Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 30) Allah SWT mengetahui di sebalik penciptaan khalifah yang bakal dicipta- Nya, banyak perkara di luar pengetahuan malaikat. Antaranya, sifat takbur dan hasad iblis. Moga dijauhkan dengan sifat takbur ini yang memperlihatkan kehebatan diri dengan memandang rendah orang lain

Nilai diri sendiri

Terdapat beberapa cara untuk audit diri sama ada miliki sifat takbur atau tidak. Perumpamaan burung merak menggambarkan manusia yang ada sifat takbur dan berbangga diri. Burung merak mengembangkan ekornya yang cantik pada ketika ada orang melihatnya dan menguncup tatkala tiada yang melihat. Berbanding pokok semalu, apabila disentuh akan menguncup dan merendahkan diri.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan takbur walaupun sebesar zarah, dan tidak masuk neraka seseorang yang ada di dalam hatinya iman walaupun sebesar zarah.” (Riwayat Muslim) Oleh itu, hindarilah daripada sifat yang ingin perhatian orang lain, dahagakan pujian, sebutan dan sanjungan. Secantiknya, ambillah resam Rasulullah SAW dengan sikap suka memberi salam sehingga sahabat berlumba-lumba untuk mendahului memberi salam kepada Baginda.

Sebaliknya, pemilik hati takbur akan ternanti-nanti salam diucapkan padanya terlebih dahulu. Saidina Umar al-Khatab berjalan laju semata-mata ingin mengelak daripada bertembung dengan orang yang akan memujinya.

Solat Gerhana bulan Malam ini