Pondok Pasir Tumboh membuka peluang belajar sepanjang masa

Mohd Nasif Badruddin

Antara keunikan Madrasah Diniah Bakriah, Kota Bharu atau lebih dikenali dengan nama Pondok Pasir Tumboh ialah masjid yang digunakan bagi kelas pengajian adalah masjid mukim untuk solat Jumaat menjadikannya begitu dekat dengan masyarakat.

Malah, kedudukan pondok dan asrama pelajar berhampiran rumah penduduk kampung serta tidak berpagar menjadikan hubungan mereka sangat erat sebagai komuniti warga pondok yang penuh tradisi keilmuan.

Setiausaha Agong Pondok Pasir Tumboh Ustaz Ahmad Shairazi Atiqullah, 41, berkata, pondok diasaskan dua beradik iaitu Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar dan adiknya, Tuan Guru Haji Abdul Aziz bersama ipar mereka, Tuan Guru Datuk Paduka Haji Hashim Abu Bakar pada 1954 ialah rentetan pengajaran bapa mereka iaitu Haji Abu Bakar.

Katanya, pada peringkat awal pondok itu disertai 50 pelajar lelaki dan kini mempunyai hampir 1,000 pelajar terdiri daripada 400 pelajar lelaki, 100 pelajar perempuan serta 400 pelajar kelamin dan warga emas.

Menurutnya, pelajar pondok daripada usia seawal 13 tahun hingga 70-an itu mengikuti pengajian agama secara tradisional di bawah bimbingan 50 guru iaitu 35 lelaki dan 15 perempuan.

“Pondok ini melalui banyak transformasi terutama dari segi infrastruktur dengan masjid sebagai pusat pengajian utama dan ibadat.

“Selain mengekalkan pondok tradisional, kami mempunyai asrama moden, rumah guru, bilik guru, pejabat, perpustakaan, kantin, dewan dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) iaitu badan khas menaungi pondok di Kelantan berkata, Pondok Pasir Tumboh bukan saja mempunyai pelajar tempatan, malah ada yang datang dari luar negara seperti Thailand, Kemboja dan Singapura.

Menurutnya, biarpun berdepan cabaran sistem pendidikan moden terutama sekolah agama dan universiti, pengajian pondok masih relevan bagi masyarakat untuk mendalami bidang agama.

“Cara penyampaian dan kunci ilmu berbeza walaupun mungkin menggunakan kitab sama. Pengajian di pondok lebih menyeluruh dari kulit ke kulit sementara di sekolah lebih kepada bacaan isi penting dan berorientasikan peperiksaan.

“Malah, pengajian di pondok mementingkan kefahaman lebih mendalam dan mengambil masa lama,” katanya.

Katanya, institusi pondok sejak dulu milik persendirian diuruskan keluarga pengasas dan diwarisi generasi bawahan dengan tidak mempunyai peruntukan tetap.

Ustaz Shairazi berkata, pondok hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai dengan yuran pengajian minimum, selain tenaga pengajarnya mengajar ilmu secara sukarela tanpa gaji.

Menurutnya, konsep pengajian percuma dan wakaf di pondok antara faktor menjadikan institusi itu dekat dengan masyarakat, sekali gus menjadikannya pusat pendidikan sepanjang hayat.

“Kami sering menganjurkan majlis bagi hari kebesaran Islam seperti Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan pelbagai lagi, selain diskusi bersama ulama dalam serta luar negara,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: