• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,374 orang
  • Tetamu Online

Syafaat Rasulullah s.a.w selamat umat

Fairuz Noordin

 

SYAFAAT bererti memohon pertolongan atau mengharapkan sesuatu yang boleh membantu ketika berada di saat kesukaran seperti di Padang Mahsyar.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW menceritakan, apabila manusia berada dalam keadaan saling bertengkar dan pelbagai rupa di Padang Mahsyar, akhirnya mereka bertanya satu sama lain berapa lamakah mereka akan berada dalam keadaan itu? Masing-masing meluahkan keinginan untuk mencari syafaat yang boleh menyelamatkan mereka ketika itu. Akhirnya mereka memutuskan untuk meminta bantuan daripada Nabi Adam.

Menurut Rasulullah, kelompok manusia yang berani mencari Nabi Adam untuk memohon syafaat adalah dalam kalangan ulama yang hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Kelompok ulama ini akan bergerak mencari Nabi Adam dan apabila bertemu, mereka meminta Baginda memohon kepada Allah SWT supaya mengadili manusia di Padang Mahsyar ketika itu. Nabi Adam tidak berani berbuat demikian kerana berasa pernah melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Baginda menyuruh mereka meminta pertolongan daripada Nabi Noh.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm berkongsi riwayat Abi Hamid dalam kitabnya Kashful Ulum Al-Akbar yang menceritakan manusia mula bergerak mencari Nabi Noh selama kira-kira seribu tahun.

Selepas bertemu Nabi Noh, Baginda juga sangat takut kepada Allah SWT kerana kaumnya berpaling daripada ajaran yang dibawanya. Nabi Noh meminta mereka menemui Nabi Ibrahim. Pencarian manusia di Padang Mahsyar berterusan seribu tahun lagi. Apabila bertemu Nabi Ibrahim, Baginda tidak mampu membantu dan mencadangkan supaya mencari Nabi Musa.

Seribu tahun kemudian mereka bertemu dengannya tetapi Baginda juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta kelompok manusia itu mencari Nabi Isa. Selepas seribu tahun dan bertemu Nabi Isa, Baginda juga tidak berani membantu kerana sangat takut dengan kemarahan Allah SWT. Nabi Isa meminta memohon bantuan daripada Nabi Muhammad SAW.

Rupa manusia berbeza-beza

Sepanjang pencarian itu, kelompok manusia berada dalam keadaan rupa yang berbeza-beza. Apabila bertemu Rasulullah SAW, mereka berkata: “Ya Rasulullah, kami sudah lama berada di Padang Mahsyar ini. Tolonglah berdoa dengan menggunakan syafaat yang ada padamu, supaya Allah SWT mempercepatkan pengadilan kita sebelum dihisab di sisi-Nya.”

Baginda mula sujud, lalu Allah SWT bertanya kepada malaikat walaupun mengetahui sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuat demikian. Malaikat menjawab: “Ya Allah, sesungguhnya Muhammad itu mengharapkan sesuatu daripada-Mu. Rasulullah SAW bersujud sambil menangis dan merayu: Ya Allah tolonglah lakukan sesuatu untuk mengadili umatku ini.”

Lalu Allah memerintahkan umat Baginda yang belum dihisab, masuk ke dalam syurga melalui pintu yang terletak di sebelah kanan. Menurut Rasulullah SAW, mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab adalah manusia yang semasa hidupnya dahulu tidak pernah mendapatkan bantuan bomoh atau menjadi bomoh yang mensyirikkan Allah SWT.

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah: “Siapakah orang yang paling gembira apabila mendapat syafaat daripada kamu pada Hari Kiamat kelak, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Abu Hurairah, aku fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku soalan ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan Laila illallah Muhammadur Rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan berusaha menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT.”

Qadi bin Iyat berkata, lima syafaat Rasulullah SAW iaitu syafaat umum bagi seluruh umat manusia, syafaat kedua ialah untuk memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa dihisab terlebih dahulu, syafaat ketiga untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada memasuki neraka, syafaat keempat untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada neraka dan syafaat kelima untuk meninggikan darjat penghuni syurga

Doa ibu cepat makbul

Mohd Hassan Adli Yahya

 

Hujung minggu lalu, saya memandu kereta ke masjid untuk menyampaikan kuliah Subuh. Sepanjang perjalanan, terdetik dalam fikiran, “Dah lama tak buat ‘alignment’ tayar kereta. Nak kena buat nanti.”

Tanpa disangka, 10 minit kemudian saya terlanggar sebatang besi. Mungkin serpihan daripada kerja kontraktor yang membaiki jalan di situ. Tayar kereta kempis dan saya memberhentikan kereta di tepi jalan dalam keadaan hening pagi yang sunyi itu.

Kebetulan dalam kereta tiada peralatan mencukupi. Saya mati kutu sebentar. Saya menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu. Namun, bila seluk poket, rupa-rupanya saya tertinggal beg duit. “Ah, sudah. Macam mana nak buat? Subuh dah nak masuk. Macam mana nak ke masjid?”

Mujur ada telefon bimbit. Saya memaklumkan kepada orang masjid situasi saya alami ketika itu. Akhirnya saya dijemput ke masjid dengan menaiki motosikal. Selepas selesai kuliah Subuh, ada orang masjid membantu untuk menukar tayar kereta. Sambil tukar tayar, kami berbual dan saya bercerita mengenai rancangan untuk buat ‘alignment’ tayar ketika dalam perjalanan ke masjid tadi.

“Memang betul ustaz, apa yang kita fikir adalah doa. Apa yang kita fikir tu kadangkala terus sampai pada Allah,” kata lelaki tadi. Saya tersenyum membenarkan kata-katanya.

Dia menyambung lagi, “Sama juga dengan ibu ayah kita, terutamanya ibu. Depan ibu, jangan tunjuk sangat kita susah walaupun sebenarnya kita memang tengah susah. Cuba tunjuk depan ibu yang kita senang. Sekali sekala belikan hadiah untuk ibu kita.”

“Maksudnya macam mana encik?” tanya saya padanya untuk mendapatkan penjelasan. Kalau dah susah, macam mana nak senang? Bukankah hipokrit?

“Bagini ustaz. Ibu ini, apa yang dia kata adalah doa. Kalau dia nampak kita susah, mesti dia akan sebut, ‘Buat apa awak belikan mak barang, awak pun susah. Banyak nak belanja itu ini.’

“Kadangkala ibu kita bersembang dengan kita mengenai adik-beradik yang lain, ‘Kesian kat abang awak, dah umur 40 tahun pun belum beli rumah. Kesian nampak dia susah nak cari rezeki’.”

Saya tersenyum seakan-akan mengerti apa yang cuba disampaikan. Kemudian dia sambung lagi, “Bila ibu nampak kita susah, perkataan yang akan selalu meniti di bibirnya adalah ‘susah’. Secara tak langsung ‘susah’ ini menjadi doa yang sampai ke ‘atas’.

“Alhamdulillah ustaz, dalam adik-beradik saya, kiranya sayalah yang paling ‘senang’. Bukan nak cakap besar ustaz, bila saya bersembang dengan ibu saya, selalu ibu sebut, ‘Awak kan senang, tolong-tolonglah abang awak yang susah tu.’

“Dan saya nampak apa yang disebut ibu, itu yang berlaku. Kita mesti tanamkan dalam pemikiran ibu bapa kita mengenai kita, biarkan dia selalu nampak kita senang.”

Ada kebenarannya apa yang disampaikan lelaki ini. Mahu ibu ayah nampak senang tidaklah sampai kita perlu meminjam untuk membeli barang yang mahal. Cukup kita belikan buah tangan, bawa mereka berjalan atau sekali sekala belikan apa yang mereka suka. Kita juga adalah ibu dan ayah atau bakal ibu dan ayah suatu masa nanti. Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah tadi, antaranya;

1. Doa ibu sangat mustajab – sama ada bermaksud baik atau tidak. Oleh itu, ibu perlu berhati-hati dan usah ikut perasaan.

2. Ibu harus sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak, lebih lagi pada waktu solat.

3. Ibu harus sentiasa menjaga mulut dan usah mudah tersinggung – maafkanlah dan nasihatkan serta sentiasa berdoa untuk anak.

4. Sebagai pengasuh, ibu perlu dilengkapi ilmu demi memupuk anak yang soleh.

Seorang alim besar, Syeikh Syaroni Ahmadi Al-Qudsy berkata: “Doa ibu adalah seperti jelmaan malaikat, bahkan ibu adalah seperti jelmaan malaikat yang nampak. Ertinya, hati-hatilah dengan doa ibumu kerana doanya begitu cepat dikabulkan oleh Allah SWT.”

Israk Mikraj dinilai ikut iman bukan logik akal

NIK HASNAH ISMAIL

 

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa penting yang menjadi anugerah tinggi nilainya dari segi kerohanian. Peristiwa ini juga sebenarnya memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan Allah SWT.

Peristiwa Israk Mikraj yang juga satu peristiwa tidak logik apabila difikirkan oleh akal manusia yang lemah, tetap ia benar-benar berlaku malah tidak mustahil jika dinilai dengan iman. Di sini letak bezanya antara logik akal dan iman. Bagi orang Mukmin, yang didahulukan ialah iman dan bukannya logik akal kerana ada ketikanya akal tidak mampu menanggapi sesuatu perkara yang di luar kemampuannya.

Pengajaran dan asas terpenting di sebalik peristiwa tersebut selain daripada kewajipan solat serta keadaan penghuni syurga dan neraka, lebih penting dari itu adalah untuk memaku akidah umat Islam terhadap ajaran Islam itu sendiri.

Bilakah terjadi peristiwa Israk Mikraj? Beberapa riwayat menjelaskan pendapat berbeza. Ulama berpendapat bahawa peristiwa Israk Mikraj itu terjadi pada hari Jumaat, 27 Rejab. Pengajaran di sebalik Israk Mikraj Ini pandangan paling mahsyur dalam kalangan umat Islam. Imam al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang berlainan. Dalam kitab al-Raudah beliau menegaskan bahawa Israk Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawa, beliau mengatakan ia berlaku pada 27 Rabiulawal. Apapun bila secara tepat peristiwa Israk Mikraj itu berlaku bukan perkara pokok, yang lebih penting ialah mengimani ia berlaku dan mengambil pengajaran daripada peristiwa tersebut.

Peristiwa Israk Mikraj tertulis di dalam al-Quran, melalui Surah al Israa’ ayat pertama di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya, Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Perjalanan spiritual Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh, seperti mana yang digambarkan oleh al-Quran dalam Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat Jibril (dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain di Sidratul Muntaha. Di situ ada syurga tempat tinggal (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang dilihatnya itu dan tidak pula melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar. Dengan ini jelas bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah satu perjalanan spiritual Nabi Muhammad SAW pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha, bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Sememangnya peristiwa Israk Mikraj ini sangat hebat dan luar biasa, bahkan jika dinilai oleh logik akal manusia yang lemah tidak mampu untuk mempercayai peristiwa ini, namun kerana keimanan yang tinggi akan kekuasaan Allah SWT sudah pasti ia adalah perkara yang sebenar-benar berlaku dan dengan izin Allah tidak pernah ada perkara mustahil di dalam dunia ini. Teladani akhlak sahabat Nabi Apabila berbicara tentang soal sama ada peristiwa Israk Mikraj perkara benar atau sebaliknya, Tuan Syed Norhisyam mengajak pembaca mengambil teladan dari akhlak sahabat Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang membenarkan dan meyakini sepenuhnya akan peristiwa ini. Saidina Abu Bakar dengan keimanan yang tinggi tidak mempertikaikan apatah lagi meragui peristiwa luar biasa yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW pada saat ada penduduk Makkah ketika itu yang ragu tentang peristiwa tersebut.

Hari ini banyak pandangan ilmiah daripada ahli sains yang membuktikan peristiwa Israk Mikraj bukan perkara mustahil berlaku. Misalannya mengambil teori kelajuan cahaya iaitu kaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini melalui teori kecepatan kelajuan cahaya. Perkara ini didedahkan oleh pakar fizik iaitu Albert Einstein, yang mengambil masa kira-kira 12 tahun untuk melengkapkan Teori Relativiti Khas kepada Teori Relativiti Umum. Teori ini menjelaskan mengenai cahaya iaitu kelajuan cahaya, seseorang itu tidak akan tertakluk atau terhad kepada masa dan tempat. Bagaimanapun, sebagai umat Islam yang beriman, tidak perlu kita untuk mencari bahan bukti bagi mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini. Marilah sama-sama kita menuruti apa yang dilakukan oleh Abu Bakar yang menerima peristiwa tersebut tanpa ragu-ragu kerana keimanan yang tinggi kepada Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj adalah suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa ketakwaan terhadap Allah SWT menerusi sebahagian tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Fahami maksud tersirat Isra’ dan Mikraj

Umat Islam diberi kesempatan meraikan peristiwa luar biasa yang tercatat dalam sejarah Islam iaitu pengembaraan agung Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin (Israk) dan ke langit bertemu Allah SWT (Mikraj) hanya dalam tempoh sebahagian malam sahaja. Peristiwa luar biasa itu dijelaskan Allah SWT dalam Surah al-Israk pada ayat pertama yang bermaksud: “Maha Suci Allah, yang membawa hamba-Nya mengembara pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Peristiwa terakam dalam al-Quran itu membuktikan kehebatan Allah SWT mengurniakan mukjizat kepada Nabi SAW sebagai tanda kerasulannya kepada golongan kafir yang tidak mempercayai dakwah baginda. Hakikatnya, Israk dan Mikraj bukan sesuatu yang susah atau aneh bagi Allah SWT untuk melakukan demikian kerana Dialah Tuhan yang menjadikan segala kewujudan ini dari tiada kepada ada. Mengembara dalam sedar
Penceramah bebas, Hambali Saad menjelaskan, ulama salafussoleh, khalafussoleh, ahli hadis, ahli kalam, ahli tafsir, ahli fiqh dan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bersepakat bahawa Baginda menempuh pengembaraan agung itu dalam keadaan sedar, bersama roh dan jasad bukan dalam bentuk mimpi. Ketika Mikraj, Nabi Muhammad SAW mengadap Allah SWT untuk menerima perintah solat lima waktu terus daripada-Nya tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril. Ulama sepakat peristiwa itu terjadi pada 27 Rejab beberapa tahun selepas Baginda menjadi Nabi. “Sudah tentu, kembara Nabi Muhammad pada malam itu dianggap sebagai peristiwa agung dan luar biasa bukan sahaja pada zaman baginda, malah sepanjang zaman. “Allah hendak menunjukkan kehebatan-Nya kepada seluruh manusia bahawa Dia Maha Berkuasa membawa Nabi Muhammad mengembara dalam tempoh satu malam dari dua masjid yang jauh dan kemudian diangkat pula ke langit. ”
Ahli tafsir berpendapat, ayat pertama surah al-Israk itu sudah menjelaskan dengan terang bahawa Israk dan Mikraj memang peristiwa yang hebat. Jika tidak ditafsirkan pun, memang ia sesuatu kejadian yang hebat,” katanya
Malangnya kata beliau, ada segelintir umat Islam yang tidak menerima perbuatan meraikan peristiwa Israk dan Mikraj dengan memberi alasan ia bidaah kerana tidak dilakukan Baginda SAW serta sahabat. Katanya, masyarakat perlu sedar golongan sahabat tidak meraikan peristiwa Israk dan Mikraj kerana mereka menghayati semangat terkandung pada peristiwa itu dalam amalan kehidupan seharian berbeza dengan umat Islam hari ini. Hambali berkata, umat Islam bukan saja wajib meyakini peristiwa Israk dan Mikraj kerana ia termasuk dalam perkara ghaib, bahkan perlu memahami maksud tersurat dan tersirat yang terkandung dalam ayat itu. Beliau berkata, ahli tafsir turut berpendapat, ayat berkenaan bukan saja menceritakan peristiwa hebat itu tetapi turut menjelaskan kemuliaan masjid.
Walaupun masjid yang disebut ialah Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa, sebenarnya ia menjelaskan kepentingan masjid secara keseluruhannya. Peroleh ganjaran besar Masyarakat mengetahui ganjaran besar yang diperoleh jika seseorang beribadah di Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa, namun aspek lain yang perlu diberi penekanan umat Islam ialah peranan masjid. “Masjid disebut secara khusus dalam ayat itu dan menjadi bukti ia bukan saja-saja dipilih oleh Allah, sebaliknya menunjukkan masjid mempunyai peranan cukup besar dan hebat. “Peranan masjid hari ini perlu selari dengan perkembangan zaman. Masjid tidak patut dilihat sebagai tempat menunaikan solat semata-mata sebaliknya perlu menjadi institusi paling rapat dengan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Umat Islam hari ini katanya perlu komited memakmurkan masjid dan surau kerana ia bukan sahaja menjadi simbol kepada perkembangan syiar Islam, bahkan rumah Allah SWT yang sepatutnya menjadi tempat yang sering dirindui umat. Masjid dan surau adalah landasan bagi umat Islam untuk bersatu, bermuafakat dan mencipta kecemerlangan dalam hidup kerana tanpanya, hidup umat tidak akan terpandu dengan lancar. Jelas, apa yang disampaikan Hambali itu memang sudah dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu) maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Iktibar daripada Israk Mikraj

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

Peristiwa Israk dan Mikraj memang menakjubkan. Menurut beberapa riwayat, ia berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Ia adalah peristiwa yang sangat luar biasa dilalui oleh Rasulullah SAW. Baginda telah melalui Israk (perjalanan pada waktu malam) dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam. (rujuk surah al-Israk: 1)

Peristiwa besar ini berlaku selepas nabi SAW menempuh tahun dukacita. Manakan tidak, baginda kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib dalam tahun yang sama. Kedua-dua insan ini adalah tokoh penting yang membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal.

Tidak lama kemudian, berlakulah pula peristiwa Taif, di mana baginda telah meghadapi cobaan yang sangat mencabar. Nabi telah dihina, dicerca dan dikecewakan oleh penduduk Taif yang telah menolak usah dakwah baginda.

Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesanan gembira untuk mengiringi baginda untuk Israk dan Mikraj bertemu Pencipta-Nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.

Jemputan Allah kepada Rasulullah SAW itu menjadi ujian keimanan kepada umat manusia. Ia bertujuan melihat keyakinan mereka terhadap agama Allah termasuk syurga, neraka, dosa dan pahala. Ini kerana dalam peristiwa berkenaan banyak perkara pelik dan aneh diperlihatkan kepada baginda SAW untuk selanjutnya disampaikan kepada umat Islam.

Keyakinan terhadap semua keajaiban yang berlaku dalam peristiwa itu telah membawa kepada gelaran al-siddiq (yang membenarkan) kepada Saidina Abu Bakar.

Perkara utama yang difardukan dalam Israk Mikraj ini adalah solat fardu lima waktu sehari semalam. Keutamaan solat jelas terbukti apabila perintah itu disampaikan sendiri oleh Allah kepada Nabi SAW tanpa perantaraan malaikat Jibril.

Dengan kata lain, solat adalah penentu utama kejayaan seseorang Muslim itu di akhirat kelak. Jika solatnya sempurna maka mudahlah baginya melepasi mahkamah Allah kelak. Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia”. (Riwayat Tirmidzi)

Seperkara lagi, dalam berhadapan dengan masalah, kita sepatutnya mengadu dan mendapatkan bantuan Allah dengan cara menunaikan solat antaranya solat hajat dan solat istikharah. Ini adalah antara pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang perlu kita amalkan.

Israk dan Mikraj juga mengajar kita apabila berada dalam dukacita, bawalah diri melancong atau berjalan-jalan. Pendek kata, jika isteri atau anak-anak berada dalam kesedihan si suami hendaklah berusaha membawa mereka bersiar-siar di dalam atau luar negara. Mudah-mudahan hati akan kembali ceria dan gembira

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj

PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

 

PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba

Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.

Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.

Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: “Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain”. (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’ al Zawaid (1/291)).

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu’ kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya”. (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda Baginda SAW lagi: “Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga”. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: “Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf”. (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?” Sahabat menjawab, “Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal”. Sabda Baginda SAW, “Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj

Kuliah Ustaz Azhar Idrus Di Pondok Pasir Tumboh 28 April 2017 ini

Setiap perkataan dibicarakan lambang keperibadian

Nik Suhaila

 

ALLAH SWT menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain, maka manusialah yang menjadi hala suruhan bersopan santun sewaktu bermuamalah dengan sesiapa saja, termasuk kepada binatang dan alam.

Keistimewaannya paling utama ialah Allah menciptakan akal supaya manusia berfikir, maka fikirlah setiap satu matlamat dan akibat setiap perbuatan kita dan Dia juga hadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara, maka sampaikanlah apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia jika tidak menyakitkan hati sesiapa.

Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia meskipun hanya menggunakan dua tangan sebagai isyarat. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rahman, ayat 1-4 bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan Al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.”

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap bicara mendapat keredaan Allah.

Berbicara sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik mempunyai tatacara dan adab tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya.
Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah adalah ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Perkara yang paling utama apabila kita berbicara ialah jangan sekali-kali kita berbicara sesuatu yang tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan kita daripada dosa.
Malah mungkin kita dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti yang menyokong. Abu Darda menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Riwayat Muslim)

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal berkaitan. Ini perlu dielakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, ia boleh mengganggu perbicaraan sekiranya perbicaraan belum selesai atau menimbulkan hal yang memalukan.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan pula berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana, kerana orang yang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dan mengaplikasikan pengetahuan dalam berbicara. Jangan pula berdebat dengan orang yang berperangai buruk kerana mereka akan menyakitkan hati saja.

Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu dan beradab sopan. Tutur kata seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya.

Oleh itu, setiap insan harus berbicara menurut pertimbangan akal waras. Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mengenai apa saja sama ada dalam percakapan, penulisan atau perdebatan.

Bagaimanapun, ia mestilah tidak menyakitkan hati kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Oleh itu, bagi mengelak berlakunya sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Banyak ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW memberi peringatan dan panduan mengenai adab dalam percakapan.

Justeru, jangan kita biarkan lidah yang diam di dalam mulut kita menjadi sebab untuk kita fasik dan kufur sedangkan dengan lidah jugalah kita boleh menghuni syurga-Nya yang mengalir sungai yang luhur dan tanah subur. Biar kita diuji dengan tohmahan jika bercakap benar tetapi jangan sekali-kali kita memfitnah diri sendiri dan orang lain hanya kerana cintakan dunia dan isinya yang fana.

Manusia sentiasa berhajat kepada Allah

PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN DSOFA, NEGERI SEMBILAN
SEBAGAI seorang Muslim, kita mengakui bahawa kewujudan kita di alam ini didahului oleh tiada kepada ada. Kita hadir ke dunia ini dalam keadaan yang serba lemah dan tidak mengerti apa-apa, melalui proses kelahiran dari perut seorang ibu yang dicampakkan oleh Allah SWT perasaan sayang dan belas kepada anak yang dilahirkan
Berbeza dengan Allah SWT yang tidak ada permulaan dan pengakhiran pada kejadian-Nya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Kaya dan Maha Penyayang.

Kejadian diri kita yang memerlukan sepenuhnya kepada Pencipta, mengingatkan kepada keperluan wajib diri kita kepada kurniaan dan pertolongan Allah SWT pada setiap waktu. Kebergantungan kita kepada Allah adalah hakikat diri kita yang semestinya diakui penuh sedar dan insaf oleh semua yang bernama makhluk.

 

Walau apa pun status kita di muka bumi ini kita sentiasa berharap kepada pertolongan Allah.

Sheikh Ibnu Atoillah r.a mengungkapkan dalam kalam hikmahnya: “Keperluan kamu adalah hakikat semulajadi bagi kejadian dirimu, sedangkan kemunculan elbagai sebab mengingatkan kamu kepada sesuatu yang tersembunyi tentang hakikat tersebut, dan keperluan yang semulajadi itu tidak dapat diangkat oleh perkara-perkara yang mendatang”.

Lumrah manusia sering lupa dan alpa terhadap keperluan dan hakikat dirinya apabila dia sentiasa ber

ada dalam keadaan sihat dan dapat memiliki segala keinginannya. Jauh sekali untuk mengakui kesilapan dan kelemahannya.

Oleh itu, Allah dengan sifat kelembutan dan pengasih-Nya menarik hamba-hamba-Nya kepada-Nya dengan rantai ujian dan pelbagai sebab seperti kefakiran dan kesakitan untuk mengingatkan mereka tentang keperluan hakikat dirinya yang tersembunyi itu kepada-Nya.

Sejarah membuktikan, bahawa inilah antara sebab yang menjadikan Firaun lupa terhadap keperluan dan hakikat dirinya, lalu mengaku dirinya adalah Tuhan. Sepanjang 400 tahun usianya, Firaun tidak pernah mengalami sakit kepala atau demam dan tidak pernah ditimpa penyakit-penyakit yang lain.

Sekiranya Firaun diberikan sedikit cubaan atau sakit kepala dalam satu-satu masa, atau demam panas sehari, sudah tentu dia tidak akan mendakwa dirinya sebagai tuhan.

Segala hal yang mendatang, seperti nikmat kesihatan dan kekayaan tidak akan dapat mengangkat keperluan hakikat diri seseorang hamba. Maka harus bagi Allah menghapuskan nikmat-nikmat tersebut dan menggantikannya denganujian dan cubaan kepada hamba-Nya.

Keperluan-keperluan ini tidak boleh terpisah dari seseorang hamba sama ada semasa di dunia atau akhirat, walaupun setelah memasuki syurga kerana hamba itu sentiasa berhajat dan bergantung kepada Allah selama-lamanya.

Apabila hamba itu diperingatkan dengan hal tersebut, maka dia akan kembali berdiri di atas landasannya dan melaksanakan pengabdian kepada Tuhannya.

Allah mencaci kaum-kaum yang merayu kepada-Nya ketika didatangi sebab-sebab yang menjadikan mereka begitu berkehendak kepada-Nya, tetapi apabila sebab-sebab itu tiada maka hilanglah rayuannya, sebagaimana firman-Nya: Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah dia kepada Kami (dalam segala keadaan), sama ada ketika sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri. Dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, dia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon dihapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Yunus: 12)

Allah juga menjelaskannya dalam firman-Nya yang lain: Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami. Kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada kami, dia berkata (dengan sombongnya): “Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat tersebut adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). (al Zumar: 49)

Oleh kerana akal orang awam tidak sampai untuk memahami tentang hakikat kewujudan mereka, maka Allah mendatangkan kepada mereka sebab-sebab yang membangkitkan keperluan mereka kepada Allah untuk memperkenalkan kepada mereka tentang keperkasaan rububiah-Nya dan keagungan ketuhanan-Nya.

Justeru, hendaklah kita sentiasa mengetahui tentang hakikat dan keperluan diri kita kepada-Nya yang setiap masa dan ketika.

Ketahuilah, saat seseorang hamba dapat melihat dan merasakan keperluannya kepada Allah merupakan sebaik-baik waktu baginya. Ini kerana pada waktu itu, terlaksananya hak ubudiah dan kamu dapat merasakan keagungan Allah Yang Maha Hebat.

Ia juga merupakan waktu seseorang hamba menjadi sempurna kerana sekadar mana terlaksananya ubudiah seorang hamba pada zahirnya, maka sebesar itulah penyaksian rububiah pada batinnya.

Serendah mana kehinaan diri yang dirasakan oleh hamba tersebut pada zahirnya pada waktu itu, setinggi itulah kemuliaannya pada batinnya.

Lihatlah kepada semulia-mulia makhluk Allah para Nabi a.s. Dengan apakah Allah berbicara tentang mereka atau namakan mereka jika tidak dengan ubudiah?

Allah berfirman dalam surah al-Israk ayat 1: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari.

Dalam surah Sod ayat 45, Allah berfirman: Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba kami Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak serta Nabi Ya’qub.

Manakala dalam ayat yang lain Allah berfirman: Dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan agamanya). (Sod: 17)

Nabi SAW, ketika disuruh memilih sama ada menjadi nabi seumpama raja atau nabi seumpama hamba, maka Baginda SAW memilih untuk menjadi nabi seumpama hamba. Ini menunjukkan bahawa semulia-mulia sifat manusia ialah perhambaan.

Dari hadis Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya telah turun kepadaku malaikat dari langit yang tidak pernah turun kepada seorang nabi pun sebelumku atau selepasku. Dia ialah Israfil AS. Israfil AS berkata: “Aku adalah utusan Tuhanmu yang memerintahkan aku supaya memberitahumu, “Adakah kamu ingin menjadi nabi yang bersifat hamba atau nabi seperti raja?” Aku melihat Jibril AS, dia menunjukkan isyarat supaya aku merendah diri. Maka sekiranya aku berkata, “Aku ingin menjadi nabi seperti raja, nescaya akan berjalan gunung-ganang pergi bersamaku menjadi emas”. (riwayat al Tabrani)

Dalam kepapaan atau saat kita memerlukan kepada Allah, akan menambahkan lagi nikmat dan kurniaan Allah SWT kepada kita. Justeru, sekiranya kamu mahu dihamparkan ke atasmu kurniaan-kurniaan Allah, hendaklah kamu benar-benar menyempurnakan kefakiran dan keperluan kamu kepada-Nya.

Allah menyertakan pertolongan-Nya dan kemenangan kepada hamba-Nya ketika hamba tersebut benar-benar memerlukan-Nya, merasakan dirinya hina, lemah dan serba kekurangan.

Perang Badar

Kemenangan yang diraih dalam perang Badar dan kekalahan perang Hunain telah membuktikannya. Allah berfirman: Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya, lalu Allah menjadikan kamu ramai. (al-A’raf: 86)

Allah meletakkan kehinaan, kekecewaan, kekalahan dan tidak diberikan pertolongan ketika kamu merasa megah, merdeka dan kuat. Allah SWT telah berfirman: Dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. (al Taubah: 25)

Sebaik-baik waktu kamu juga ialah ketika kamu merasakan kehinaan diri kamu di hadapan-Nya kerana ia sebab kamu mendapat kemuliaan dan pertolongan daripada-Nya.

Setiap sesuatu itu tersembunyi dalam lawannya seperti kemuliaan tersembunyi dalam kehinaan, kekayaan tersembunyi dalam kefakiran, kekuatan tersembunyi dalam kedaifan dan sebagainya.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas r.a: “Ketahuilah, bahawa berkemenangan itu beserta dengan kesabaran, pelepasan itu beserta kesulitan dan di samping kesusahan itu ada kesenangan”.

Membudayakan ilmu julang umat mulia

Jana kegemilangan pemikiran, tindakan rasional

Dunia dan umat Islam kini sedang ‘dipanggang’ api kezaliman Yahudi dan musuh-musuh Islam. Islam dikatakan agama pengganas, fundamentalis, ekstremis, dan bermacam lagi. Sedangkan Islam adalah agama suci yang diredai Allah SWT. Sesungguhnya, Islam menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sedangkan pengganas sebenar dianggap sebagai wira sejagat. Yahudi dan puaknya semakin berani menghina Allah dan Rasulullah SAW. Mereka juga telah merampas Baitulmaqdis, malah mahu memasuki Baitullah al-Haram. Mereka juga menyatakan baginda seorang penzina dan pengganas. Natijahnya, segala tohmahan ini menyebabkan kehidupan umat Islam dilanda kemelut yang berpanjangan. Justeru, perlulah diluruskan pemahaman terhadap Islam, agar umat Islam kembali menghayati Islam yang jelas dan benar. Iaitu yang bersumberkan al-Quran, al-Sunah, Ijmak dan Qias.

Ketika ini dunia dilanda krisis yang sangat membimbangkan. Jika dibiarkan, ia akan mengancam kewujudan dan kesinambungan umat Islam. Sesungguhnya, umat Islam adalah umat teristimewa yang membawa misi peradaban dan kesejahteraan kepada dunia serta dilantik oleh Allah sebagai pemimpin dan saksi bagi umat manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143: “Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”

Antara krisis umat Islam yang amat membimbangkan ialah krisis pemikiran dan moral. Akibat kemunduran umat Islam, terjadilah kejumudan fikiran, tafsiran melulu dalam bidang fikah, keraguan dalam akidah, menganggap ibadah sebagai adat kebiasaan dan berlebih-lebihan dalam tasawuf.

Oleh yang demikian, kita harus bangun dan membetulkan kefahaman terhadap Islam agar umat Islam mengikuti jalan Islam yang sebenarnya. Dengan bekalan ilmu di dada dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak, kerana fikiran adalah pangkal pekerjaan yang benar, manakala ilmu pengetahuan adalah penyuluh ke arah kebenaran.

Allah berfirman dalam surah al-A’laq ayat 1-2 yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.”

Oleh itu, jelaslah bahawa budaya memartabatkan ilmu dalam kehidupan akan membantu ke arah kegemilangan pemikiran dan tindakan rasional dalam kalangan umat Islam agar tidak mudah dipersendakan oleh Barat. Medan jihad dalam keilmuan menjadi nadi pemangkin ummah.

Merujuk Kamus Dewan, jihad didefinisikan sebagai usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah. Manakala makna kedua ialah penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan negara dan lain-lain (seperti jihad pada hawa nafsu).

Ulama besar Dr. Said Ramadhan al-Buti berkata: “Jihad ialah bersusah payah mencurahkan tenaga demi meninggikan kalimah Allah dan membina masyarakat Islam. Mencurahkan tenaga dengan jalan peperangan adalah sebahagian daripadanya dan matlamat utama ialah mendirikan masyarakat Islam dan membentuk Daulah Islamiyyah yang sebenar.

Berjihad dalam memartabatkan tradisi budaya ilmu dalam kehidupan merupakan antara usaha yang perlu dititikberatkan. Ilmu merupakan alat utama dan amat berharga kepada manusia. Justeru, ilmu dapat merubah diri manusia daripada jahil kepada tahu, gelap kepada cahaya, derita kepada bahagia, batil kepada al-haq. Perjuangan dan jihad merangsang masyarakat agar menghidupkan tradisi ilmu serta budaya membaca dalam membina kemajuan agar setanding dengan bangsa-bangsa asing.

Dr. Abdul Monir Yaacob menyatakan bahawa apabila Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW, baginda juga diberi ilmu. Ilmu yang mencakupi seluruh cara hidup dan keperluan manusia di dunia serta akhirat. Islam mementingkan umatnya menguasai ilmu. Bahkan membenarkan setiap orang mencari ilmu walaupun di mana sahaja. Jelas bahawa ilmu itu perlu dicari, tidak datang menggolek. Pernah pada suatu ketika seorang khalifah di zaman Abbasiyyah mahukan puteranya belajar. Jawab guru berkenaan, ilmu itu dicari bukan ditunggu dan mempunyai adabnya.

Seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran malahan mempunyai keyakinan dan kesedaran terhadap tanggungjawabnya kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan tugas yang tertinggi sekali iaitu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Abu Hurairah RA meriwayatkan katanya; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam meninggal dunia maka semua amalannya terputus kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah dan anak soleh yang sering berdoa kepada kedua ibu bapa.”

Saidina Ali berkata: “Ilmu adalah lebih utama daripada utama. Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan berkurangan bila kau belanjakannya. Sedangkan ilmu bertambah subur bila kau sebarkannya. Ilmu adalah hakim dan sebaliknya harta adalah sesuatu yang dihakimi.”

Kepentingan berjihad atau berusaha dalam memartabatkan budaya ilmu mendorong individu untuk berjihad ke atasnya dan beristiqamah dalam memperjuangkannya. Ini akan membentuk peribadi yang bertakwa dalam menentang hawa nafsu dan memaksa diri untuk mentaati Allah. Demikian juga, ilmu dan takwa merupakan buah daripada amalan jihad pada jalan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan mereka bersungguh-sungguh berjihad untuk Kami, tetap Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami.”

Didapati bahawa semakin kuat pihak Barat berusaha mencengkam akidah, akhlak dan syariat Islamiyyah. Tidak lain, mereka bertujuan untuk melihat kehancuran Islam dan umatnya di atas muka bumi dengan meracuni dan seterusnya merosakkan pemikiran serta akhlak umat Islam. Oleh yang demikian, jelaslah di sini ideologi yang berteraskan keimanan dan bersendikan prinsip (al-amal bil ma’ruf wan nahyu ani mungkar) adalah menjadi syarat paling utama untuk melayakkan diri sebagai pemimpin daulah Islamiah berkualiti.

Umat Islam tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh dan bergantung kepada pengalaman dan nama Islam sahaja tanpa berusaha mencapai peningkatan dalam bidang ilmu pengetahuan yang pelbagai. Malahan sekiranya, orang-orang yang berilmu pengetahuan namun tidak dijadikan pakaian dalam kehidupan, maka kemusnahan, kesesatan dan kemungkaran akan berleluasa di merata dunia.

Hakikatnya, tiada penentangan langsung antara agama dengan tamadun sebagaimana yang dilabelkan oleh Barat. Adalah menjadi tanggungjawab utama umat Islam untuk meninggikan darjat umat Islam. Semua kaedah kehidupan dunia hendaklah berjalan di atas landasan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan kekuatan keimanan, ketakwaan berserta dengan ilmu pengetahuan yang luas. Maka umat Islam mampu bangun untuk berjihad menentang kedurjanaan musuh Islam kerana umat Islam mempunyai akidah yang teguh iaitu tauhid rububiyah dan uluhiyyah sebagai tulang belakang perjuangan. Ajaran Islam perlu disebarkan ke tengah masyarakat secara berkesan melalui nas-nas al-Qura, al-Sunah, ijtimak dan qias.