Kem Cuti Sekolah 18-21 Mac 2017 ini di Pondok Pasir Tumboh

Advertisements

Kuliah Asar Bersama Ustaz Hj Tuan Ibrahim b Tuan Man Khamis 16 Mac ini

Mengharmonikan perbezaan dengan ilmu

Mohamad A’sim Ismail

 

MANUSIA adalah makhluk yang mempunyai bentuk fizikal dan minda yang berbeza-beza.

Dari aspek fizikal sudah tentu ada yang rendah, tinggi berkulit putih gelap, berbadan kurus, gemuk dan sebagainya. Dari aspek minda, mereka juga biasanya ada perbezaan tafsiran dalam menanggapi sesuatu perkara.

Dalam agama Islam Allah menegaskan bahawa manusia itu sebenarnya satu kesatuan ummah. Pada ketika mereka berselisih sesama mereka, Allah SWT telah mengutuskan para nabi dan rasul sebagai jalan penyelesaian kepada perbezaan yang berlaku. Penyelesaian ini adalah melalui wahyu iaitu ilmu. Ilmu ini adalah melalui kitab yang diturunkan kepada para nabi dan rasul.

Walaupun begitu, apabila perbezaan dan perselisihan terus berlaku maka ini adalah disebabkan sikap segolongan manusia yang dengki dan berhasad sehingga perbezaan dan perpecahan terus berlaku. Akhirnya hanya orang beriman iaitu mereka yang akur dengan ilmu yang diterima melalui wahyu tergolong dalam kalangan yang selamat dan bersatu hati.

Ini jelas daripada ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah yang bermaksud:

“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Al-Baqarah, ayat 213)

Ini adalah satu kaedah yang dibentangkan kepada manusia untuk menjadi ikutan iaitu dengan ilmu yang sebenar-benarnya, maka manusia dapat menghindari daripada berlakunya ikhtilaf atau perbezaan pandangan. Perbezaan pandangan yang berlaku setelah memperoleh ilmu adalah satu bentuk kedegilan manusia yang melawan fitrah kejadian mereka.

Hakikat yang berlaku dalam masyarakat semasa ialah perbezaan pandang­an yang berlaku bukan sahaja dalam hal-hal urusan agama bahkan dalam soal kehidupan sosial mereka.

Antara faktor asas penyum­bang kepada perbezaan pandangan ini ialah tidak memahami sesuatu isu sebenar-benarnya. Atau dalam erti kata lain tidak mengetahui dengan ilmu yang mendalam dalam pelbagai aspek isu yang diberi pandangan.

Apabila ada yang memberi pandangan dalam keadaan cetek ilmunya, dan pada masa yang sama bertegas dengan pandangan itu, maka ini akan terus

mewujudkan pelbagai pandangan yang sepatutnya boleh dihindarkan.

Dalam aspek ilmu akidah Islam, wujud nas dan dalil yang jelas tentang ketauhidan Allah SWT. Ini satu ilmu yang Allah SWT kurniakan kepada manusia sejelas-jelasnya melalui al-Quran dan as-sunnah. Manusia khasnya umat Islam dengan mudah memahami ilmu tauhid yang asas. Maka di sana tidak timbul bahawa Allah SWT itu beranak-pinak atau diperanakkan kerana ilmu tauhid dalam al-Quran telah jelas menafikan perkara itu dan difahami oleh manusia.

Dalam aspek ilmu fikah, akan timbul pelbagai pandangan dalam hukum yang memerlukan tafsiran berdasarkan ijtihad daripada al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah perbezaan pandangan dalam hukum yang perlu diakur oleh masyarakat. Ini kerana hukum fikah bukan semuanya mempunyai nas dan dalil jelas daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Maka di sini akan berlaku perbezaan pandangan kalangan alim ulama dalam mengeluarkan hukumnya secara ijtihad. Ini timbul disebabkan alim ulama berbeza dalam menanggapi dan memahami ilmu tentang sesuatu hukum fikah yang tidak disebut secara jelas dalam sumber perundangan Syariah.

Sebaliknya, jika alim ulama dapat memahami secara mendalam ilmu tentang hakikat sesuatu isu yang memerlukan hukum itu, maka sudah tentu tidak akan timbul ikhtilaf atau perbezaan pandangan dalam kalangan mereka. Tetapi untuk mencapai hakikat ilmu dalam kalangan alim ulama adalah sukar kerana tahap kemampuan mereka adalah berbeza-beza dalam menanggapi ilmu daripada sumber perundangan Syariah.

Jadi, dalam aspek perbezaan pandangan dalam hukum fikah ini, peranan masyarakat adalah penting dalam menjadikan perbezaan yang berlaku sebagai unsur yang boleh menguatkan ummah. Ini melalui keterbukaan dan berlapang dada sesama mereka. Tidak perlu wujud rasa iri hati dan taksub dengan pandangan golongan atau individu tertentu sehingga menimbulkan kekacauan dan keruntuhan ummah. Mereka perlu mempunyai ilmu dan adab dalam menegakkan elemen sihat ini dalam diri masing-masing.

Alim ulama turut mempunyai peranan memberikan pandangan yang benar-benar sahih berlandaskan dalil yang kukuh dan diterima ramai ulama kepada masyarakat. Pandangan yang bersifat terpencil perlu dielakkan apatah lagi jika menyentuh tentang perkara cabang, khasnya dalam isu fikah Islam.

Perkara asas yang penting dalam menghadapi arus perbezaan pandangan dalam semua aspek kehidupan secara umumnya ialah dengan pihak berkepentingan termasuk alim ulama mempunyai ilmu.

Dengan ilmu yang betul dan komprehensif sepatutnya perbezaan pandangan tidak lagi menjadi isu besar dalam kehidupan masyarakat.

Membudayakan ilmu julang umat mulia

Jana kegemilangan pemikiran, tindakan rasional

Dunia dan umat Islam kini sedang ‘dipanggang’ api kezaliman Yahudi dan musuh-musuh Islam. Islam dikatakan agama pengganas, fundamentalis, ekstremis, dan bermacam lagi. Sedangkan Islam adalah agama suci yang diredai Allah SWT. Sesungguhnya, Islam menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sedangkan pengganas sebenar dianggap sebagai wira sejagat. Yahudi dan puaknya semakin berani menghina Allah dan Rasulullah SAW. Mereka juga telah merampas Baitulmaqdis, malah mahu memasuki Baitullah al-Haram. Mereka juga menyatakan baginda seorang penzina dan pengganas. Natijahnya, segala tohmahan ini menyebabkan kehidupan umat Islam dilanda kemelut yang berpanjangan. Justeru, perlulah diluruskan pemahaman terhadap Islam, agar umat Islam kembali menghayati Islam yang jelas dan benar. Iaitu yang bersumberkan al-Quran, al-Sunah, Ijmak dan Qias.

Ketika ini dunia dilanda krisis yang sangat membimbangkan. Jika dibiarkan, ia akan mengancam kewujudan dan kesinambungan umat Islam. Sesungguhnya, umat Islam adalah umat teristimewa yang membawa misi peradaban dan kesejahteraan kepada dunia serta dilantik oleh Allah sebagai pemimpin dan saksi bagi umat manusia. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 143: “Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”

Antara krisis umat Islam yang amat membimbangkan ialah krisis pemikiran dan moral. Akibat kemunduran umat Islam, terjadilah kejumudan fikiran, tafsiran melulu dalam bidang fikah, keraguan dalam akidah, menganggap ibadah sebagai adat kebiasaan dan berlebih-lebihan dalam tasawuf.

Oleh yang demikian, kita harus bangun dan membetulkan kefahaman terhadap Islam agar umat Islam mengikuti jalan Islam yang sebenarnya. Dengan bekalan ilmu di dada dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak, kerana fikiran adalah pangkal pekerjaan yang benar, manakala ilmu pengetahuan adalah penyuluh ke arah kebenaran.

Allah berfirman dalam surah al-A’laq ayat 1-2 yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.”

Oleh itu, jelaslah bahawa budaya memartabatkan ilmu dalam kehidupan akan membantu ke arah kegemilangan pemikiran dan tindakan rasional dalam kalangan umat Islam agar tidak mudah dipersendakan oleh Barat. Medan jihad dalam keilmuan menjadi nadi pemangkin ummah.

Merujuk Kamus Dewan, jihad didefinisikan sebagai usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah. Manakala makna kedua ialah penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan negara dan lain-lain (seperti jihad pada hawa nafsu).

Ulama besar Dr. Said Ramadhan al-Buti berkata: “Jihad ialah bersusah payah mencurahkan tenaga demi meninggikan kalimah Allah dan membina masyarakat Islam. Mencurahkan tenaga dengan jalan peperangan adalah sebahagian daripadanya dan matlamat utama ialah mendirikan masyarakat Islam dan membentuk Daulah Islamiyyah yang sebenar.

Berjihad dalam memartabatkan tradisi budaya ilmu dalam kehidupan merupakan antara usaha yang perlu dititikberatkan. Ilmu merupakan alat utama dan amat berharga kepada manusia. Justeru, ilmu dapat merubah diri manusia daripada jahil kepada tahu, gelap kepada cahaya, derita kepada bahagia, batil kepada al-haq. Perjuangan dan jihad merangsang masyarakat agar menghidupkan tradisi ilmu serta budaya membaca dalam membina kemajuan agar setanding dengan bangsa-bangsa asing.

Dr. Abdul Monir Yaacob menyatakan bahawa apabila Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW, baginda juga diberi ilmu. Ilmu yang mencakupi seluruh cara hidup dan keperluan manusia di dunia serta akhirat. Islam mementingkan umatnya menguasai ilmu. Bahkan membenarkan setiap orang mencari ilmu walaupun di mana sahaja. Jelas bahawa ilmu itu perlu dicari, tidak datang menggolek. Pernah pada suatu ketika seorang khalifah di zaman Abbasiyyah mahukan puteranya belajar. Jawab guru berkenaan, ilmu itu dicari bukan ditunggu dan mempunyai adabnya.

Seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran malahan mempunyai keyakinan dan kesedaran terhadap tanggungjawabnya kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan tugas yang tertinggi sekali iaitu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Abu Hurairah RA meriwayatkan katanya; “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam meninggal dunia maka semua amalannya terputus kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah dan anak soleh yang sering berdoa kepada kedua ibu bapa.”

Saidina Ali berkata: “Ilmu adalah lebih utama daripada utama. Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan berkurangan bila kau belanjakannya. Sedangkan ilmu bertambah subur bila kau sebarkannya. Ilmu adalah hakim dan sebaliknya harta adalah sesuatu yang dihakimi.”

Kepentingan berjihad atau berusaha dalam memartabatkan budaya ilmu mendorong individu untuk berjihad ke atasnya dan beristiqamah dalam memperjuangkannya. Ini akan membentuk peribadi yang bertakwa dalam menentang hawa nafsu dan memaksa diri untuk mentaati Allah. Demikian juga, ilmu dan takwa merupakan buah daripada amalan jihad pada jalan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan mereka bersungguh-sungguh berjihad untuk Kami, tetap Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami.”

Didapati bahawa semakin kuat pihak Barat berusaha mencengkam akidah, akhlak dan syariat Islamiyyah. Tidak lain, mereka bertujuan untuk melihat kehancuran Islam dan umatnya di atas muka bumi dengan meracuni dan seterusnya merosakkan pemikiran serta akhlak umat Islam. Oleh yang demikian, jelaslah di sini ideologi yang berteraskan keimanan dan bersendikan prinsip (al-amal bil ma’ruf wan nahyu ani mungkar) adalah menjadi syarat paling utama untuk melayakkan diri sebagai pemimpin daulah Islamiah berkualiti.

Umat Islam tidak boleh hanya duduk berpeluk tubuh dan bergantung kepada pengalaman dan nama Islam sahaja tanpa berusaha mencapai peningkatan dalam bidang ilmu pengetahuan yang pelbagai. Malahan sekiranya, orang-orang yang berilmu pengetahuan namun tidak dijadikan pakaian dalam kehidupan, maka kemusnahan, kesesatan dan kemungkaran akan berleluasa di merata dunia.

Hakikatnya, tiada penentangan langsung antara agama dengan tamadun sebagaimana yang dilabelkan oleh Barat. Adalah menjadi tanggungjawab utama umat Islam untuk meninggikan darjat umat Islam. Semua kaedah kehidupan dunia hendaklah berjalan di atas landasan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan kekuatan keimanan, ketakwaan berserta dengan ilmu pengetahuan yang luas. Maka umat Islam mampu bangun untuk berjihad menentang kedurjanaan musuh Islam kerana umat Islam mempunyai akidah yang teguh iaitu tauhid rububiyah dan uluhiyyah sebagai tulang belakang perjuangan. Ajaran Islam perlu disebarkan ke tengah masyarakat secara berkesan melalui nas-nas al-Qura, al-Sunah, ijtimak dan qias.

Dosa racuni hati, perasaan

Zawawi Yusoh

 

MENJADI nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa tenang. Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum menghadapinya.
Jiwa tenang tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.
Semua cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa dikenali sebagai gangguan psikologi.

Ia memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman.

Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.

Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.

Perut mesti diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing.” Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.

Jika kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan ‘menetap’.

Sifat tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.

Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.

Begitu juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.

Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus ayat 57).

Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka ‘as-sakinah’ (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Bukhari )

Hidup lebih tenang, insaf diri bila ingatkan mati

Farisha Hussin

 

Kebanyakan Muslim hari ini tidak lagi menghiraukan urusan mengingati mati sehingga ada beranggapan kematian tidak penting. Lebih parah lagi, apabila lahir keadaan masyarakat seperti sudah tidak mahu mempelajari hakikat kematian dan aspek keimanan yang lain.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasuk ke syurga, menanglah dia. Tidaklah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)

 

Mengingati mati bukan saja menimbulkan rasa sesal di atas dosa dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang, tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

 

Nabi Muhammad SAW apabila ditanya siapakah yang paling bijak, lantas Baginda menjawab: “Orang yang bijak ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh kematian.”

 

Bersedia hadapi kematian

 

Sebagai Mukmin beriman, kita hendaklah sentiasa berusaha membuat persediaan menghadapi kematian. Segala amal kebaikan hendaklah dilakukan sebanyak mungkin kerana kita tidak tahu apakah keesokan hari kita masih diizinkan oleh Allah SWT mengecap kenikmatan dikecapi ini.

 

Bayangkan jika kita ‘dijemput’ Allah SWT ketika sedang berseronok dengan nikmat dunia yang begitu melalaikan. Masa itu kita merayu, menangis, merintih atau berteriak sekalipun untuk dihidupkan kembali semua tiada guna lagi.

Menurut Imam Al-Ghazali, terdapat dua golongan manusia ketika berhadapan dengan kematian. Golongan pertama adalah yang tenggelam dengan dunia, hiburan serta kemewahan. Mereka takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia.

 

Kerja dunia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan bermati-matian, tetapi amal ibadah dibuat ala kadar saja. Soal menutup aurat dianggap remeh. Golongan ini juga susah untuk dilihat di masjid mahupun majlis ilmu, tetapi begitu senang dilihat di pesta hiburan yang melalaikan.

 

Sementara golongan kedua pula yang apabila terdengar berita atau tazkirah mengenai kematian, pasti akan timbul rasa takut dan bimbang nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri daripada maksiat.

 

Pada masa sama, mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat mengenai ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya, mereka memahami erti Islam sebenar yang menggalakkan umatnya untuk bekerja dunia dan akhirat.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang, tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Sidang Redaksi Portal

Penaung
Tuan Guru Hj Wan Muhammad b. Wan Osman

Penasihat
Ust. Hj Salleh b Ismail

Pengarah
Hj Shairazi Atiqullahfacebook.com/ekhutbah

Ketua Pengarang
Ust. Hj Ahmed Khairi b Muhamed

Pen. K. Pengarang
Ust. Hj Mohd Zaini b Mustafa

Sidang Pengarang
Ust. Alias Abd Jalilalmalakawi.wordpress.com 

Webmaster
Abdul Halim b. Mohd Pauzi